Halaman

Rabu, 30 Disember 2009

Sebenarnya

Sebenarnya dalam hati ini
masih ada seberkas rasa rindu padaMu Tuhan
walaupun kerapnya ia terberancai dirakus nafsu.

Sebenarnya dalam hati ini
masih ada sesusuk doa buatMu Tuhan
walaupun adanya kemungkinan
tidak cukup syarat untuk mendapat restu dan perhatian.

Sebenarnya dalam hati ini
masih ada secawan cinta untukMu Tuhan
walaupun selalunya tidak penuh
dan sering tertumpah.

Sebenarnya dalam hatiku ini Tuhan
terasa amat ketar gementar
menyelusuri lorong masa yang bakinya makin sedikit
dan tidak pernah menoleh ke belakang.

Tuhan
Berilah aku kesempatan
dan sedikit harapan
sebelum matahari terbit dari tangan kanan
sebelum karpat pintu keampunan!


29 Disember 2009
Kedai tepi Masjid Kubang Semang.

Sabtu, 26 Disember 2009

Seek For Understand

Selesai sudah proses peminangan untuk Angah. Gadis kecil molek itu tinggal tidak jauh dari bulatan Bukit Tengah bersebelahan kilang Allagapa's. Hampir 50 orang kami datang membawa 13 dulang hantaran termasuk sebentuk cincin tanda. Hampir tidak kenal aku pada bakal menantu dek solekannya yang ....

" Abang Sham, saya rasa janggal sikit. Rupanya, lain perasaan orang yang bakal terima menantu pertama kali ni ya!"

Abang Sham yang aku amanahkan untuk menjadi orang tengah peminangan ini cuma tergelak.

Diletakkan hantaran sebanyak RM6552 selepas proses tawar menawar dibuat sekadar mencukupkan kehendak adat meminang

" RM552 itu mas kahwin, ya! " Aku sengaja menekankan untuk kepastian. Teringat aku di Selangor yang heboh pasal mas kahwin yang diumumkan oleh JAIS naik dari RM80 ke RM300. Di Penang, kadar ini adalah biasa.

" Kalau dah puas hati hati semuanya, bagaimana kalau saya minta IM bacakan sedikit doa. " sambil wakil dari pihak perempuan menuding ibu jarinya ke arah aku. Ai...nak test aku ke ni

Aku memang dah bersedia untuk itu setelah diperingatkan oleh biras aku Abang Mail sebelum ini. Perlu ada sesaorang yang boleh bacakan doa jika diminta oleh pihak perempuan.

Lalu aku pun.... Al Fatihah... tapi sayang, doakan yang memang sudah aku rangka dalam kepalaku sebelum ini hilang entah kemana. Mujur aku memang selalu diminta membacakan doa di majlis-majlis kecil maka pengalam itu membiasakan aku dan tidak menggugupkan.

Seusai jamuan dan sembang-sembang, aku minta izin untuk undur diri kepada tuan rumah. Sesampai di rumah, riuhlah keluarga sebelah ibu_suri mengagih-agihkan hantaran balas yang diberi hampir 20 talam.
" Harta rampasan perang " usik adikku Niza. Mak aku yang terpaksa duduk di kerusi roda tidak putus-putus memberikan peransang kepada aku. Aku cuma tekun mendengar.

" Mak, hari ini saya belajar satu perkara. Seek for understand... " meminjam kata-kata dari presiden Ke 2 Jamaah Islah Malaysia ( JIM ).

Di kala malam baru terasa badan teramat letih. Bayangkan, aku terpaksa melayani kerenah saudara mara yang berbagai. Terlewat datang ke rumah pengantin perempuan semata kerana menunggu kakak iparku dari Bertam. Kemudian terpaksa menjadi Marshal kepada gerombolan 6 kereta. Nasib tidak baik, sepanjang jalan dari Permatang Pauh, lampu trafik serba erah. Kereta terlalu banyak hingga menyebabkan kenderaan bergerak perlahan.

Sebagai tanda penghargaan kepada semua yang telah menolong aku tak kira dari sekecil-kecil sumbangan, aku hantar sms terima kasih.

Aku ketepikan semua perkara-perkara remeh yang berlaku seperti datang lambat, air tumpah, anak menakan yang kecil memunggah koleksi kesayangan ibu_suri, sesaorang yang aku sangkakan datang untuk mahu meraikan rupanya mempunyai niat lain untuk meminjam wang; aku cuba lupakan. Sebaliknya aku hargai kedatangan mereka, aku hargai kerjasama mereka dan aku hargai teguran dan pandangan mereka. Aku sms untuk ucap jazakallah khairan kathiro.

Muga mereka tidak akan jemu untuk datang membantu aku di majlis walimah Angah nanti malah majlis walimah Along dan Akhmal yang entah bila.

Sayang, aku tidak dapat sertakan foto-foto mereka di sini kerana menggunakan kamera adikku Mamat yang masih menyimpannya. Dia berjanji untuk muatnaikkan foto-foto ini ke dalam album Photopagesnya bila balik ke Ipoh esok.

Khamis, 24 Disember 2009

Suratan

Banyak yang telah aku pelajari selama hidup, sebenarnya. Belajar erti kesabaran. Erti kecekalan. Erti menjaga maruah. Erti menjaga hati kawan. Dan erti menghargai pemberian. Aku akui aku tidaklah pandai dalam ilmu dunia sepertimana orang lain. Jauh sekali dalam ilmu akhirat seperti orang lain juga. Aku hanyalah aku. Seorang yang tidak punya apa-apa dan tidak pandai dalam apa-apa.

Entah kenapa hari demi hari aku merasakan diri aku semakin perlu diperbaiki. Banyak yang kosong di dalam diriku. Kosong amal, kosong cita-cita dan kosong sokongan. Gimanapun aku tetap bersyukur pada Tuhan kerana masih memberi aku peluang bernafas dan meneruskan perjalanan walaupun dalam susahpayah.

Aku masih meletakkan harapan agar aku akan terus bersikap kalau pun tidak lebih baik, paling minima mempunyai sikap seperti hari ini. Punyai sikap merendah diri, menghargai perasaan orang lain dan sentiasa senyum walaupun ada airmata di dalam hati.

Sesekali aku juga hairan entah kenapa akhir-akhir ini aku lebih gemar sendirian di luar rumah. Merenung ke dalam diri dan berangan untuk masa hadapan. Aku menaruh cita-cita yang besar. Cita-cita untuk kembali semula menjadi aku yang aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan seperti dahulu tanpa ada hambatan hidup yang menghalang.

Aku rindu pada puisi. Aku rindu pada sejadah. Aku rindu pada rama-rama. Aku rindu pada puncak gunung dan aku rindu pada air sungai.

Aku sudah jemu menonton hutan batu. Aku sudah jemu menjalar di jalanraya yang sibuk saban waktu.

Namun aku tahu. Suratanku jika begini maka beginilah yang mesti aku tempuhi. Tidak perlu kesal. Tidak perlu futur.

Aku beruntung kerana mempunyai anak-anak yang dapat membantu. Punya adik-adik yang amat memahami. Punya rakan-rakan yang sedia membantu.

Juga paling beruntung kerana masih mempunyai emak yang sentiasa mendoakan aku dan selalu berkata kepadaku;

" Emak dah ampunkan semua dosa-dosa kamu. Tak ada satu pun yang mak simpan dalam hati mak. Jagalah diri kamu baik-baik, ya! " Begitu murni hati seorang mak.

Tidak hairanlah jika entah kenapa aku tiba-tiba tersentak pabila semalam aku mendapat panggilan talipon dari adik;

" Yop, mak sebenarnya dah sebulan lepas doktor sahkan kedua-dua buah pinggang mak rosak. Mak sekarang ni cuma bertahan dengan memakan ubat. Mak tak bagi Uyah cerita kat sapa-sapa pun. Tapi Uyah tak sanggup. Uyah rasa paling tidak Yop sebagai abang paling tua kena tahu. "

Subhanallah!


( foto IM semasa mendaki Gunung Tahan sekitar 1985 ini adalah ihsan dari koleksi blogger Jendela Hatiku )

Ahad, 20 Disember 2009

Khemah Tengah Jalan

Cuti sekolah selalunya menjadi pilihan untuk ibubapa melansungkan majlis perkahwinan anak mereka. Di habitatku ini pun hampir setiap hujung minggu akan ada 2-3 buah rumah mengadakan kenduri kahwin. Dan selalunya bila ada kenduri akan adalah sekatan jalan dilakukan. Yang menjadi mangsa adalah pengguna jalanraya yang tak terlibat seperti aku. Jenuh berpatah balik mencari jalan lain.

Kalau di kampung aku dulu kenduri cuma sebuah dalam satu masa. Seluruh kampung akan datang bergotong royong membina pandir dan memasak. Sekarang semuanya mudah. Jiran pun kalau ada yang datang cuma duduk bersembang. Tak tahu nak tolong apa. Tuan rumah cuci tangan. Semuanya diupah. Dari A hingga ke Z.

Di kampung pun anak muda mungkin tidak ramai seperti sekarang. Pabila hendak memilih tarikh kenduri, hampi buntu untuk menentukan tarikh yang sesuai. Semua penuh. Hari itu anak menakan kenduri, hari inun adik ipar kenduri.

Kalau dulu pula sajian kenduri semata-mata nasi minyak dan 3-4 mata laukpauk. Sekarang ini ada yang menyediakan nasi hujan panas. Ada juga nasi tomato. Dan bagi yang berada sedikit menyajikan nasi beriani. Dan kerana terlalu banyak dapat kad undangan maka makan pun kena sikit-sikit supaya di kenduri lagi satu boleh makan lagi. Lantaran itu bukan setakat nasi tminyak yang tuan rumah perlu sediakan, kena ada juga juadah sampingan lseperti laksa , ais kacang, cendol atau mee goreng.

Pendekkata, kalau Opah aku masih hidup dan datang makan kenduri di zaman cicitnya sekarang ini mesti dia geleng kepala.

" Eee... membazir aje kome ni. Tak cukup nasi nasi ada mee goreng pulak.... "

atau opah akan berkata;

" Senang bebeno kome kenaghi yer... tak payah teghok-tengok basuh pengoyok belanga. Siapkan duit aje ye... Ada duit semua jalan.."

Aku harap jika diizinkan Tuhan, kenduri kahwin anak-anakku nanti aku adakan di dewan sahaja. Tak sampai hati aku melihat orang lain yang tidak berkenaan terpaksa pusing-pusing mencari jalan keluar yang lain. Mesti dalam hati mereka bergantang-gantang rasa bebal kerana kelancaran perjalanan mereka terganggu.

Lagi pun buat di dewan senang. Rumah tanggaku tidaklah serabut. Sementelah pula dengan keadaan emosi ibu_suri yang tidak mengizinkan ini. Dan bila habis kenduri, tidak perlu kemas rumah teruk-teruk.

Tapi yang tidak bagusnya kalau buat di dewan dan katering pula, mahu sekali ganda kosnya berbanding dengan memasak sendiri.

Udah begitu kehendak zaman sekarang. Apa boleh buat. Tahi kambing bulat bulat...

Muga Allah permudahkan urusanku kelak. Harap-harap, begitulah!

Sabtu, 19 Disember 2009

Lepaskan hand brake!

Lepas solat Jumaat semalam aku sempat menyertai demo di Masjid Kubang Semang anjuran Angkatan Muda Keadilan ( AMK ). Aku pun tidak mengetahui sebelum ini akan adanya demo. Bila keluar dari masjid diedarkan risalah barulah aku tahu.

Samada tidak ramai orang atau ramai tetapi berlindung di dalam masjid atau mana-mana teduhan lantaran hujan renyai-renyai, aku tidak pasti. Tetapi yang ada berdekatan tidak sampai 100 orang.

Demo ini bertujuan untuk mendesak supaya kes liwat Anwar Ibrahim dibicarakan di mahkamah syariah bukan sebaliknya di mahkamah sivil. Menurut AMK, mereka dapat menghidu bahawa perbicaraan di mahkamah sivil mempunyai niat jahat.

Seperti biasa, polis mula berada di pinggir jalan.

" Tau je depa ni bila PR buat perhimpunan. Macam juga bila ada accident geng-geng tarik kereta accident entah dari mana datangnya. Cepat sampai dan rajin pula jaga laluan kenderaan. "

Tidak lama. Sekitar 10 minit, setelah kenyataan demo dibacakan dan sedikit ucapan dari YB Mansor Othman, ADUN Penanti merangkap Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, perhimpunan bersurai sambil diringii laungan takbir dan reformasi.

Sambil aku keluar dari perkarangan masjid aku lihat YB diwawancara oleh pemberita.

Sebenarnya sudah lama aku tidak dapat rasai suasana ini. Sudah lama juga aku tidak berpeluang mendengar ceramah-ceramah politik untuk mendengar berita terkini di negeriku sendiri.

Aku teringat peri dari rakanku R yang berkali-kali bahawa untuk meneruskan hidup kita ini dengan sempurna kita mesti melepaskan hambatan yang ada di depan kita. Hambatan yang menyebabkan kita sukar melangkah, sukar berfikir.

Umpama sebuah kereta, hambatannya untuk bergerak kehadapan ialah hand brake. Maka hand brake itu perlu dilepaskan barulah perjalanan dapat dilakukan dengan lancar.

Tetapi bagaimana dengan hand brake yang ada padaku? Ini bukan sebarang hand brake.

Ataupun hand brake yang sebenarnya adalah sikapku, pendirianku atau diriku sendiri.

Aku harap Maal Hijrah 1431 ini akan dapat memberi sedikit ruang kepadaku untuk bernafas dengan bekalan oksijen yang baru...

( foto ihsan dari al-ahkam.net )

Rabu, 16 Disember 2009

Sabarlah, F!

F,

Aku tulis surat ini adalah untuk diriku sendiri, sebenarnya. Akan tetapi kalau kau terbaca dan sudi pula menerima seadanya, aku berbesar hati. Namun maaf jika sebaliknya, ia membuatkan kau rasa tak selesa.


Aku hanya mengenalimu begitu-begitu sahaja. Kebetulan kita ini berada di dalam satu wadah perjuangan yang sama. Matlamat perjuangan dalam dakwah juga sama. Mengharapkan mardhatillah. Itupun, berbanding kau, sumbanganku pada masyarakat atas nama pertubuhan yang sesama kita dokongi ini hanya 0.000000 peratus sahaja.


Aku dapat tahu bahawa suamimu suamimu baru-baru ini diserang angin Ahmar. Ahmar kali pertama menyerang RR ketika kau tiada bersama suamimu lantaran ke luar negeri. Diikuti serangan kedua seminggu selepas itu. Sebaik sahaja aku mengetahui berita itu melalui e-mel di dalam melgrup, aku sudah dapat mengagak bahawa serangan kedua ini pasti akan melumpuhkan sebahagian dari anggota besar suamimu. Dan terkaan aku nyata tidak meleset.


Kau tahu F,


Apabila sahaja doktor memberitahu aku bahawa ibu_suri mengidapi mild stroke dulu, aku merasakan dunia ini teramat kosong, sunyi dan kesaorangan. Aku menalipon hampir kesemua adik beradik ibu_suri namun ditakdirkan Tuhan semua panggilan itu tidak dijawap.


Paling hebat ialah apabila ibu_suri yang digerakkan oleh jururawat yang bertugas untuk diberi ubat bertanya;


“Awak tahu siapa ni?”


Merenung wajah aku...


“Siapa nama dia?”


Menghenjut bahunya.


“Sorry, I…I..” sambil menggelengkan kepala.


Dan keesokan harinya bila aku datang melawat ibu_suri aku terkejut kerana kedua tangannya diikat ke katil. Jururawat memberitahu bahawa dia cuba mencabut tiub air yang ditancap ke lengannya. Dan dia terus mempersoalkan kenapa dia dibuat begitu dan tidak dibenarkan balik sedangkan dia merasakan bahawa dia sudah sihat.


F, menjelang petang seluruh kakikatangan wad hiruk pikuk bila ibu_suri mengamuk hendak balik sedangkan doktor tidak membenarkan. Ibu_suri perlu melalui ujian-ujian untuk memastikan tahap angin Ahmarnya. Seluruh tingkap dan pintu lif di sekat kerana ibu_suri mengugut untuk keluar lari melaluinya jika terpaksa. Akhirnya aku terpaksa menandatangani surat akuan untuk mengeluarkan ibu_suri dari hospital dengan risiko sendiri.

F, menggeletar tanganku tatkala menandatangani surat itu kerana aku sendiri tidak ada idea bagaimana akan menjaga pesakit angin Ahmar sendiriku. Ditambah dengan penemuan baru; ibu_suri juga mengalami depression sekaligus!


Berbalik kepada emel, sebenarnya aku ingin memberi ucap;


“ Sabar F! Semua ini dugaan dari Tuhan, “


Namun ahh…aku tahu kau pun tentu dah hampir tepu membaca emel atau sms dari seluruh sahabat dengan isi yang pastinya sama.


“ F, mungkin boleh bawa RR jumpa si Anu yang pakar dalam akupuntur. Jumpa si Ah Seng, tabib yang pernah mengubat rakan kakakku hingga sembuh. Atau jumpa si Ana pakar urut di Selama yang pernah mengurut si bla bla hingga boleh berdiri dan berjalan macam biasa.”


Tapi akhirnya aku membatalkan niatku kerana aku agak kau juga nanti menjadi buntu tidak tahu hendak ikut yang mana satu, kan? Terlalu banyak saranan yang engkau sendiri tidak tahu mana satu lebih baik. Ya… kerana aku pernah alami semua itu. Pernah!


2 tahun yang lalu. 2 tahun, bukan jangka masa yang pendek bagi seseorang senasib kita. Yang terpaksa menjaga dan ambil peduli terhadap orang yang sebelum ini menjadi tempat kita berpaut dan mengadu asa.


Ya…F! Menjaga insan yang menghidap angin Ahmar bukan kesukarannya pada memberi khidmat makan minum dan mandi pakai. Yang sukar sebenarnya ialah menjaga perasaannya. Melayan emosinya yang turun naik tidak menentu. Yang begitu subjektif. Yang sukar dijangka.


Apatah lagi kau F, yang bernama perempuan! Pasti terkapai-kapai dibuatnya


Dia tidak mandi, orang boleh nampak. Dia tidak makan orang boleh rasakan. Tapi emosinya tidak tenteram hanya kita yang mengetahui. Hanya kita yang merasai betapa susah hendak menjaga dan memeliharanya.


Entahlah F!


Adakalanya, kalau difikir secara positif, kita beruntung kerana dugaan yang Allah berikan ini sebenarnya memberi kita beberapa kelebihan;


  1. Kita akan menjadi lebih dekat kepada Allah kerana tidak ada siapa yang mampu mendengar keluhan hati kita melainkan Dia.
  2. Kita menjadi lebih tabah dari sebelum ini kerana ujian yang kita terima sebenarnya berat dan mau tidak mahu kita terpaksa memikulnya lantaran kita telah berjanji dihadapan Allah semasa diijabkabul dahulu.
  3. Kita akan memberikan seluruh pengorbanan kepada pasangan kita yang tidak pernah kita beri sebelum ini atas rasa pengorbanan yang LillahiTaala.
  4. Dan kita juga terpaksa meminggir seluruh kesenangan dan kepentingan diri sebelum ini kemudian meletakkan kepentingan pasangan kita lebih dari segalanya.

Ya…F!


Tidur kita berdengkur tapi belum tentu nyenyak. Ketawa kita besar akan tetapi belum tentu menghiburkan hati sendiri. Senyum kita manis tetapi pahit untuk menelannya.


Pun percayalah F. Pabila kita memberi nasihat, kesannya amat mendalam kepada yang mendengar nasihat. Pabila kita memimpin pasangan kita bersiar-siar orang melihat kehebatan kita dengan matahati mereka. Kerana kita memberi dan memimpin dari dasar hati yang tulus. Yang berpengalaman menghadapi kesusahan dan keperitan.


F,


Kunci yang paling penting dalam berhadapan dengan insan Ahmar ini ialah ketabahan dan kecekalan. Kunci yang paling utama ialah pasrah kepada Allah. Kunci yang paling utama ialah kepedulian yang ikhlas. Ada pendapat yang berkata; kita akan lebih menyayangi dan mengambil berat pasangan kita ketika dia telah sakit berbanding ketika dia masih sihat. Ada benarnya, F!


Percayalah. Berbanding dahulu kau akan dapat rasakan bahawa kasih sayangmu kali ini kepada RR akan lebih mendalam dan lebih akrab.


Tidak mengapa kalau kau terpaksa melepaskan tugasan kemasyarakatan yang selama ini mengisi hampir separuh dari masa berumahtanggamu. Tidak mengapalah kalau kau terpaksa berjauhan dari rakan-rakan seperjuangan yang selama ini berganding bahu bersamamu. Tidak mengapalah kalau kau terpaksa melupakan masa-masa gembira bersama masyarakat dan mengubah haluan kompasmu 180 darjah ke belakang.


Demi mudah-mudahan masa peritmu hari ini Allah gantikan dengan kegembiraanmu kelak di alam yang kekal sana. Muga jika ditakdirkan pasangan kita itu mati dahulu kita tidak akan rasa terkilan. Sebaliknya puas kerana kita telah pun menjalankan kewajipan kita menjaganya setiap masa.


Peri Junjungan Besar kita satu ketika dahulu pada yang bergelar isteri, mudah. Selagimana engkau taat kepada Allah, Rasul, suami dan ibubapamu; Syurga akan melambai-lambai merinduimu.


Cuma aku ini yang bergelar suami, entahlah… Di kakiku masih terbelenggu dengan soalan-soalan cepu mas yang belum pasti dapat atau tidak aku berikan jawapannya yang tuntas!


Apapun, aku doakan agar Allah yang Maha Pengasih meringankan beban dan menguatkan semangatmu, F. Selagi kita masih boleh bernafas, selagi itu peluang kita untuk berbakti tetap luas.


Amin!

Isnin, 14 Disember 2009

Jambu Batu + Asam Boi

Seperti biasa, 2 minggu sekali aku ziarah Akhmal di STB, Taiping. Kudis-kudis di tangannya semakin merebak. Ini adalah serangan kedua. Serangan pertama berlaku semasa dia baru dihantar ke sini kira-kira 6 bulan lalu. Aku nasihatkan dia supaya jangan sekali-sekali meminjam pakaian orang lain. Selalu jemur bantal dan tilam.

Ibu_suri buat perangai pula. Tak mahu duduk di kerusi sebaliknya di atas meja. Dia makan dan minum begitu. Memberontak kerana aku tidak mahu usaha lebih sedikit agar Akhmal dapat pulang tatkala majlis pertunangan Angah nanti. Demi hal itu, aku diam.

"Ibu sakit kaki, u tau." terangnya pada Akhmal.

Aku beritahu Akhmal bahawa aku dah buat permohonan supaya dia dapat dibawa balik untuk 2 hari dengan risiko yang aku tanggung sendiri sempena majlis pertunangan Angah nanti. Sebenarnya aku telah diberitahu bahawa pihak STB memberi kebenaran namun aku simpan rahsia itu sendiriku. Tidak beritahu sesiapa hatta ibu_suri kerana aku belum mendapat kebenaran hitam putih. Tak berani aku. Mana tahu, tetiba saja pihak STB membatalkan kebenaran itu. Parah aku nanti nak beritahu ibu_suri yang tentunya akan naik angin seluruh badan. Hummm...

Sejak akhir-akhir ini kalau balik dari ziarah Akhmal, ibu_suri akan suruh aku memandu ikut jalan lama. Aku tak mau bantah banyak-banyak. Ikut sahaja dengan lapang dada. Buat apa nak tension kan? Aku ini pemandu kereta. Di tangan aku terletak keselamatan kami bersama. Dan untuk itu aku perlu sentiasa tenang dan tenteram serta segar.

Singgah menyinggah ini udah jadi kebiasaan ibu_suri. Di Lebuhraya, ibu_suri tak dapat berbuat begini. Lebuhraya, kan stereotype sahaja pemandangannya. Bagi dia boring la begitu. Tidak ada variasi bila pandangan mata dilemparkan keluar kereta...

Acapkali aku lalu di pekan Kamunting ini pasti akan melintasi gerai menjual air Jambu Batu + Asam Boi. Tiap kali aku ingin berhenti membeli, ibu_suri akan berkata;

"I tak mahu. Tak sedap. Pi terus.. Pi terus.."

Namun kali ini;

"U tak mahu tak apa. Abang yang nak minum." Lalu aku memberi isyarat memberhenti kereta.

Segelas 2 ringgit. Orait juga rasanya. Daripada meminum air sirap yang banyak pewarna, baiklah minum air jambu batu ini. Ada juga khasiatnya...

Bilamana masuk waktu Asar, aku singgah di Masjid Al Athar. Selalunya aku akan mencari masjid yang berlainan dari sebelum ini supaya aku dapat menikmati keindahan senibina dan susun atur serta 5S pelbagai masjid.

Masjid Al Athar ini terletak di Jalan Gula, utara Taiping. Biasa singgah di masjid ini lama dulu. Semasa lebuhraya PLUS belum dibina. Seronok solat di masjid ini. Tenang dan tenteram.

Akhirnya aku tiba di rumah menjelang waktu Maghrib. Letihnya, Tuhan sahaja yang tahu.

Malam itu aku tidur awal walaupun ibu-suri merengek-rengek ajak keluar lagi. Angah cuma menggelengkan kepala. agaknya...

Sabtu, 12 Disember 2009

Ilusi

Aku jarang mimpikan abah walaupun aku mau sangat begitu. Yang kerap ialah mimpikan mak. Seperti malam tadi. Walapun plotnya agak pelik tapi yang pasti aku mimpikan mak.

Aku berada di dalam satu program perkhemahan. Aku berbual dengan seorang perempuan. Kemudian perempuan itu minta izin pulang. Aku pun tak pasti kenapa, tiba-tiba aku teringat untuk mau minta maaf dari perempuan itu lalu aku cuba mencarinya. Tak berjumpa. Aku pun menaiki bas lalu turun di satu kawasan membeli belah. Seakan-akan di pekan kecil Tg Rambutan.

Aku terasa nak buang air kecil. Tercari-cari tandas. Sebaliknya yang aku ternampak ialah mak yang sedang berdiri menunggu bas.

Oleh kerana sudah tak tertahan lagi aku pergi sahaja di belakang ........ (maaf!). Namun baru aku perasan kain yang aku pakai rupanya terkoyak. Koyak besar. Kemudian aku bergegas keluar jumpa mak.

"Mak nak balik ke?"

"Ha..ah"

Kemudian seorang lelaki datang menyampuk. Aku dapat rasakan lelaki ni mesti ada niat jahat. Mak yang ada di depanku ini bukan mak diusia hari ini. tetapi mak ketika masih muda. Sekitar akhir 40an sama seperti umur aku. Rambut mak di potong pendek ala-ala afro. Memakai kemeja T dan berkain batik. Tampak masih lawa. Mak berdiri sambil menjinjing beg sedangkan mak aku sekarang lumpuh sebelah kiri.

"Mak tunggu sini sekejap. Saya nak beli kain. Kain yang saya pakai ni koyak." sambil berpusing menunjukkan kain aku yang terkoyak. "Mak, tunggu ya. Kita balik sama-sama."

Sambil berjalan ke arah kedai aku terfikir pula macammana aku boleh memakai kain dan bukannya seluar? Dan mana lebih baik; beli kain atau seluar sebagai menggantikan kain yang terkoyak?

Tak sempat memasuki kedai pakaian, tiba-tiba mata aku terbuka. Suasana dalam bilik aku sudah cerah. Bangun melihat jam, dah pukul 7.15 pagi. Dah lewat dari subuh rupanya...

Sambil berjalan ke bilik air, aku masih terkenang mimpi aku tadi. Kenapa aku bermimpikan mak. Dan kenapa mimpiku ialah wajah mak ketika seusia sama dengan aku sekarang ini.

Tapi aku akui, antara mak dengan abah aku lebih kepada mak. Mungkin kerana aku melihat sendiri macammana kegighan dan susahpayah mak menjaga kami 6 beradik ketika masih sekolah dan abah pula diserang skizofrenia.

Pun jauh di sudut hati kecil (yang tidak pandai menipu) ini aku akui masih belum mampu membalas segala jasa mak walau pun o.oooooooo1%. Sebaliknya hingga saat seusia ini aku masih menagih pertolongan dari mak. Pertolongan dari keberkatan dan kemustajaban doanya sebagai seorang ibu.

Bukankah sepatutnya aku yang mendoakan beliau? Doa dari anak yang soleh demi kesejahteraan beliau melalui hari-hari terakhir?

Malunya! Ada masa sat lagi insyaAllah aku akan talipon mak, bertanya khabar!


( sumber foto dari - http://shw.s42018.fotopages.com/20412525.html)

Khamis, 10 Disember 2009

Halal Brush

Sambil beriringan keluar dari surau lokasi kerja, aku sempat mengadu kepada R ( blogger Jendela Hatiku ).

"2-3 hari ni aku rasa letih dan tak bersemangat. Tak tau kenapa. Mungkin letih mengemas rumah hingga larut malam. Majlis pertunangan Angah makin dekat."

"Aku amalkan minum kopi Radix dan madu. Kau cubalah." R memberi saranan.

Bukan takada kopi Radix di rumah. Maupun madu. Tapi Angahlah yang rajin meminumnya. Aku tak berapa suka kerana manisnya tak serasi dengan citarasaku. Madu pula hanya tersepok di dalam peti ais. Jangan-jangan dah melebihi tarikh lupus.

"Atau kau cuba makan vitamin B Complex. Boleh minta kat klinik kita."

"Aku dah try makan B Complex tu. Nurse klinik kita bagi masa aku mengadu sering kebas-kebas tangan dan seram sejuk tak menentu. Tapi akhirnya aku berhenti makan sebab aku rasa kesan sampingannya membuatkan selera makan aku bertambah."

"Umur macam kita ni perlu jaga badan. Makan supplement adalah salah satu dari cara mendapat tenaga tambahan."

"Ya lah!" Sambil teringat pula sebotol kapsul Minyak Habbatus Sauda jenama Halagel yang masih tak berusik di atas meja. Ianya dihadiahkan oleh rakanku Abdul Wahab semasa ziarah dan bincang-bincang mengenai pelaburanku dalam Public Mutual beberapa minggu lepas.

Rasanya yang penting bukan semata apa jenis nutrisi yang kita makan tetapi setakatmana kita konsisten dengan pemakanan itu. Selalunya nutrisi seperti ini mengambil masa yang lama untuk menampakkan hasil. Seperti juga opah dan atuk kita yang sedari muda mengamalkan makan ulam atau patuh pada petua-petua.

Dalam perjalanan balik ke rumah, aku singgah di Pasaraya Jimat , pekan Penanti untuk membeli cat dan berus seperti yang dipesan oleh Angah. Kononnya dia nak bantu aku mengecat pintu pagar rumah. Kononya lah! Takut-takut nanti aku juga akhirnya yang menyudahkan kerja tu nanti.

Sambil belek-belek berus cat aku senyum sendiri.

Selasa, 8 Disember 2009

Team Building

Sewaktu masih memandu merentasi Jambatan Pulau Pinang untuk ke Hotel Park Royal di Batu Feringghi, otakku ligat berusaha mencari alasan. Sebenarnya aku berasa amat culas sekali untuk hadir ke program Team Building ini. Namun kerana ianya dianjurkan oleh majikan dan berstatus wajib, aku akur. Ada seorang kawanku memberi cadangan supaya pergi untuk separuh hari sahaja. Hmmm.... molek juga cadangan tu…

Jadi satu masalah pula bila hendak beritahu ibu_suri bahawa aku terpaksa pergi ke program ini. Disamping mempunyai masalah untuk bertutur dia juga mempunyai masalah untuk memahami apa yang dipercakapkan terutama kalau percakapan itu menggunakan perkataan yang tiada dalam kamus fikirannya.


“ Hari Sabtu Ahad orang lain cuti, u nak pergi kursus pulak. Kursus apa? I tak boleh ikut ke? “


“ Mana boleh. Ini kursus untuk orang lelaki je. “


“ Tak apalah. I duduk je tepi pantai tu. You pi la kursus. You pi kursus apa? ‘


“ BTN! “


“ Haa….. BTN? You tau Pakatan Rakyat semua boikot kursus tu, u nak pergi pulak. Awat… @#$%&* “


Alamak, tersilap la pulak! Tak teringat yang BTN menjadi isu hangat di media akhir-akhir ini. Nak bagi tahu Team Building nanti jenuh pulak nak terangkan apa dia Team Building tu. Malas pulak rasanya sebab nak menerangkan itu pula memerlukan kesabaran yang bukan sedikit dan tekniknya pula perlu betul.


“ You duduk kat rumah ajelah. Kemas rumah. Hari pertunangan Angah tak lama lagi ni. Kita apa pun tak buat lagi. “


“ Tau pun. Yang u tu gatai nak pi kursus buat apa. Tak boleh pi hari lain ke? “


Aku diam. Tak suka berdebat lagi. Bak kata adik ipar aku, “Sabo je ler, yop!”


Tapi bila hampir separuh program Team Building itu berlansung terasa serononk pula. Di suruh jadi ayam, main skipping, jadi orang buta dan spider web.

Hilang sekejap runsing fikiran tentang rumah dan masalah kerja. Dan paling berharga ialah falsafah dari semua permainan itu dihubungkaitkan dengan pengurusan pekerjaan. Malah dalam hidup.


Pelancong ramai yang menginap di hotel ini. Ada yang berkelubung hitam sekadar nampak biji mata jer hinggalah kepada Mat Saleh yang cuma pakai seluar dalam berjemur di bawah matahari. Nasib baiklah ibu_suri tak ikut sama. Kalau tak naya aku kena cubit kiri kanan, hik!hik!hik!


Walaupun program tamat jam 5.15 petang, tapi aku tidak terus pulang sebaliknya singgah di Masjid Terapung, Tanjung Tokong untuk solat dan merehatkan mata. Masjid yang tersergam indah ini pernah menyaksikan ombak tsunami menghempas pantai dan rumah di hadapannya.


Jumaat, 4 Disember 2009

Lelaki

Pernah aku terbaca. Seorang lelaki apabila melihat seorang wanita ibarat seorang pelukis melihat lukisannya. Pelukis, pabila melihat sesuatu lukisan bukan sekadar melihat warna dan corak yang tertera di kanvas semata. Pelukis juga akan membayangkan rupabentuk falsafah yang ada di sebalik lukisan itu.

Maka, seorang lelaki kalau melihat seorang wanita, dia bukan sahaja melihat wajah luaran wanita itu. Malah kalau wanita itu cantik lalu menarik pandangan matanya, lelaki itu juga akan membayangkan rupa bentuk kecantikan dalaman wanita itu. Errkss...

Agaknya, itulah salah satu sebab kenapa bila beratur atau berjalan, lelaki mesti jalan dahulu kemudian baru wanita ikuti di belakang.

Dan kalau di dalam susunan duduk para penonton di majlis islamik samada lelaki duduk di barisan hadapan atau duduk di kawasan sebelahan.

Kalau adalah susunan majlis yang barisan lelakinya duduk di belakang sepertimana susunan pelajar dalam kelas semasa aku bersekolah dahulu maka pengelola majlis itu tidak faham konsep majlis yang islamik. Pengelola itu terpengaruh dengan konsep ' ladies first '.

Namun yang selalu aku jumpa ialah semasa bercinta lelaki dan wanita jalan bersebelahan. Bersaingan sambil pimpin tangan. Akan tetapi bila sudah berkahwin isteri jalan dahulu, suami ikut dari belakang. Konon nak tengok anak. Dan yang lebih parah ialah suami jalan dulu. Isteri yang terkedek di belakang pimpin anak.

Aku perhatikan budaya begini jarang berlaku pada pasangan Cina. Kekadang tu, dah tua-tua pun jalan berpimpin tangan.

Romantiknya!

( catatan foto: Foto Mona Lisa ini di lukis oleh Leonardo Da Vinci, seorang pelukis Disleksia. Lukisan ini adalah diantara lukisan paling mahal di dunia. Mahalnya lukisan ini terletak pada senyumannya. Mona Lisa juga dikatakan mempunyai jari-jari tangan yang panjang. )

Selasa, 1 Disember 2009

Curi-curi Masa

Maaf, tidak ada ruang untuk menulis. Keadaan isteri tidak mengizinkan aku mutakhir ini. Terasa sedikit resah, aku 'curi-curi' masa di tempat kerja waktu rehat untuk ziarah blog kawan-kawan. Muga dapat menghiburkan sedikit jiwa ini.
Terjumpa pula entri-entri ini. Aku letakkan pautannya di sini untuk berkongsi dengan kalian, jika sudi.

1. Salah satu tulisan aku telah dipautkan ke blog ini. terasa bahagia dan kerdil.

Klik di SINI

2. Terasa syahdu bila membaca coretan sahabatku ini. Ianya menghimbau kenangan aku semasa masih muda dulu.

Klik di SINI

3. Terasa terharu bila membaca tulisan dari seorang anak yang mengalami sindrom Disleksia sama macam anak ke3ku.

Klik
di SINI.

Dan ini adalah klip video tentang keselamatan di tempat kerja.



Aku berdoa semuga Allah rahmati kehidupan kita hari ini dan hari esok