Halaman

Khamis, 28 Januari 2010

Kerantung Hatiku

Seperti biasa hujung minggu aku perlu memikirkan sesuatu. Sesuatu itu ialah..... kemana nak aku bawa ibu_suri jalan-jalan? Hummmhhh...

Masuk ke dalam kereta lalu menekan pedal minyak tanpa ada tujuan tertentu di tempurung kepala.

" Kita nak pi mana? " aku cuba mencungkil idea.

" Jalan ajelah... " Nada suara ibu_suri agak keras. Aku tahu, itu adalah isyarat emosinya kurang baik. Marah kerana aku selalu bertanya kemana hendak pergi bila setiap kali memasuki kereta.

" Kanan atau kiri? " Soalku lagi tatkala sampai di simpang T keluar Taman yang tidak jauh dari Pusat ADUN Penanti. Agak kurang selesa bila memandu tanpa destinasi yang jelas.

" Kanan.. " tegas bunyinya.

Aku yang dah biasa dengan iklim yang tegang seperti ini memandu dengan hati terbuka. Kiri, kanan, kiri, kanan.... Akhirnya aku tiba di sini.

Boleh teka di mana?

ibu_suri sedang posing. " Jangan bubuh dalam internet tau.... " pesannya. He..he..

Lepas makan laksa, makan ABC pulak. " Wow... tingginya ABC ni. Macam KOMTAR la... "

Emosi ibu_suri bertukar ceria bila dalam perjalanan balik. Berkali-kali dia mengingatkan aku supaya singgah solat.


Tertarik dengan beduk ini. Ia mengingatkan aku pada kerantung di masjid kampung aku dahulu. Setiap kali masuk waktu aku akan katuk kerantung itu dengan nada tertentu. Bunyi kerantung itu adalah bunyi kerinduan aku pada keindahan zaman anak-anak dahulu. Zaman yang kini sudah jauh meninggalkan aku.

Entah ada entah tidak kerantung tu lagi. Seperti entah ada atau tidak namaku di sanubari saudara maraku di sana...

Nilai seninya tinggi. Nilai memorinya juga tinggi. Jasanya luas. Tapi bila sampai satu ketika, ianya akan ditinggalkan di satu sudut yang sepi. Tidak berguna dan digunakan lagi.

Bunyi kerantung itu dahulu sama seperti bunyi kerantung hatiku, kini.

Isnin, 25 Januari 2010

Pelan-pelan Kayuh, Brader!

Aku terima sms dari adikku Napi. Itu setelah dia memaklumkan kepada aku bahawa ada sepucuk surat berdaftar dari pejabat peguam tiba di kampung. Aku katakan pada dia, tidak mengapa. Nanti aku semak di pejabat pos.

Kemudian tak lama, Napi sms lagi begini;

" Bismillah...saya tahu apa yang yop rasa sebab saya dah lalui masaalah ini.. Ada masalah yang kita kena selesaikan dan ada masalah, masa yang akan menyelesaikan... "

Memang betul kata adikku, Napi itu. Selama ini falsafah itulah yang aku pegang dalam mendepani semua permasaalahan hidupku ini. Ada masalah boleh aku tangani segera. Ada yang perlu aku minta bantuan orang lain. Ada yang tiada upaya aku berbuat apa-apa melainkan masa yang menentukannya.

Sambung Napi dalam smsnya. Dan inilah yang sesekali menggeletek hatiku. Namun kebenarannya itulah yang aku tak pasti.

"....kata bebudak rock kan yop.... pelan-pelan kayuh brader. Budak baik memang Tuhan suka uji. "

Entahlah!

Jumaat, 22 Januari 2010

Aduuuh!

Walaupun aku tampaknya ketawa bersama kengkawan
tapi sebenarnya hatiku duka mengenang masa depan.

Walaupun aku kelihatannya riuh bergebang dan usik mengusik
namun jauh di hatiku kerisauan mengusik.

Walaupun gayanya aku macam sibuk dengan tugasan
sebenarnya jiwaku hiruk pikuk dengan kekosongan.





















Aku ingin jadi burung
terbang di bomentera tanpa halangan
melihat seluruh dunia yang berbagai ragam.

Aku ingin jadi muazin
menyanyikan lagu azan dengan segala kesyaduan
saban waktu memanggil mereka datang bertemu Tuhan.

Aku ingin menjadi rerama
Hinggap kepelbagai kelopak bunga
Menghisap madu menyentuh stigma.

Aku ingin jadi muballigh
mengembara serata alam menyampai pesanan
mengutip mutiara di tengah lautan
menyiram kasih sayang di hati setiap insan.

Ooppss...... aduuuh!
kepalaku terhantuk ke meja
rupanya aku terlena di depan komputer
jam sudah pukul 5
masa untuk solat Asar di musolla
5.30 pulang ke rumah melayan nasib yang entah bagaimana…



Calibration Lab,
22 Januari 2010

Rabu, 20 Januari 2010

Isteriku

Isteriku,
aku lega kiranya kau ketawa
walaupun aku tahu tidak kemana lamanya
sesaat pun sudah cukup bermakna
bagiku, itulah kenikmatan yang sukar dicerita
hanya Allah sahaja yang memahaminya.

Isteriku,
aku tertekan bila ketidakstabilan emosimu melanda
dunia ini seperti hilang cahaya
harta seperti tiada harga
sesaat kulalui bagaikan mengharung rimbunan api layaknya
dayaku hanya pasrah pada yang Esa
tiada kutahu esok bagaimana
walau setapak melangkah seperti tiada tenaga.

Isteriku,
tatkala menatap wajahmu di peraduan
belasku segera mengelus rawan
bak melihat anak kecil yang tidur keletihan
tidak tahu apa-apa tentang dunia fana
kerana akalnya segentel cuma.

Bila kuberbaring di sisimu
aku hanya mengharapkan cahaya pagi yang syahdu
menyinari hari-hari hadapanku
yang entah bila akan ku temu.

Tiada siapa tahu pedih deritaku
cuma sedikit oleh anak-anakku
cuma sekelumit oleh adik beradikku
cuma seketeq oleh kawan-kawanku
hatta emakku
jauh sekali........ kau, isteriku!


Bayan Lepas,
20 Januari 2010


Khamis, 14 Januari 2010

Bidan Terjun

Terpaksa aku dibidan terjunkan untuk menyambut para tetamu yang datang ke majlis perkahwinan anak saudaraku, Eli.

" La.... Abah hang mana? "

" Abah depa hantaq pi hospital. Tadi abah jatuh kat dapoq. "

Terpempan sekejap.

" Ok..ok.. sat, pak cik bersiap. " lalu menekan butang tutup talipon.

Aku memang diajar tidak banyak soal kalau ada yang minta pertolongan. Apatah lagi dari adik-beradik.

Membuka almari baju, aku bagai tenggelam punca hendak memilih yang mana. Aku memang tidak punya baju yang banyak. 7 - 8 helai sudah mencukupi bagiku. Aku dilahirkan dari keluarga yang susah. Tidak banyak ragam.

" Senang bubuh duit dalam baju ni sebab banyak poket ", bisik hati kecilku sambil menyarung baju Melayu yang kutempah 6 tahun dahulu. Baju Melayu yang paling aku sayang. Warna maron.

Sebaik tiba di rumah pengantin, orang ramai mula datang. Aku belajar memaniskan muka dan menyapa penuh ramah pada saudara mara dan rakan taulan tuan rumah. Aku sebenarnya seorang yang pendiam tapi hari ini aku perlu keluar dari kotak kebiasaan itu. Sedari jam 12 tengahari hinggalah jam 6 petang aku mundar-mandir di situ. Soalan yang paling popular diajukan kepada aku ialah;

" Mana tuan rumah? "

Dan aku pun sampai naik kering tekak mendakap mesra belakang nmereka lalu menceritakan hal yang berlaku. Ah, kalau bolehlah, mau rasanya aku bagi risalah sahaja. Biar mereka baca sebab kenapa aku pula yang sambut mereka. Atau pasangkan pita rakaman supaya mereka dengar sendiri.

Mungkin ada hikmah juga di sebalik insiden ini. Aku sedikit sebanyak belajar menyambut dan meraikan para hadirin. InsyaAllah, kalau tiada aralnya, aku pula yang akan menjadi tuan rumah walimatulurus anak keduaku.

Aduh... punya ralit menyambut tetamu; entah berapa gelas air sirap aku minum. Entah berapa banyak pewarna yang terpaksa ditapis oleh ginjalku. Namun entah kenapa tidak terasa lapar hinggalah bilamana Maghrib menjelma.

Khabarnya, birasku itu mengalami 5 keretakan pada tulang rusuk akibat jatuh tadi. Harap-harap semua ini tidak berlaku pada diriku yang masih diperlukan oleh ibu_suri. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana sidiaku itu nanti kalau aku sakit apatah lagi jika tiada di dunia ini...

Selasa, 12 Januari 2010

Jika Aku Seekor Lipas

Entah kenapa. Bila baca artikel yang dikirim oleh kawanku melalui melgrup jebat_spt, ingatan aku mengimbau kisah masa sekolah menengah sekitar 70an dulu.

Aku selalu langgan Utusan Pelajar dan ruangan yang pertama sekali aku buka ialah Taman Sains. Pembimbingnya ialah Pak Matlob. Ada seorang penulis bernama Shahidan Mohd Noh (kini giat menulis novel kanak-kanak) telah menulis kisah lipas ini dalam bentuk persenofikasi (mengorangkan makhlok selain manusia).

Penulisannya yang begitu puitis dan membuai perasaan membuatkan timbul rasa kasihan terhadap nasib sang lipas. Dia terpaksa mencari makan di gobok-gobok buruk, tinggal di celah-celah almari yang gelap dan sering menjadi mangsa semburan racun serangga.

Ibu_suri kalau ternampak lipas dia akan buru sampai dapat. Kemudian dia akan memukul dengan pemukul lalat sambil @#$^&*&^*())*^$@#@.

Aku cuba bayangkan jika akulah lipas tu dan di katuk pula bertubi-tubi dengan pemukul atau paling parah disembur dengan racun, betapa siksanya aku. Sedangkan aku cuma ingin mencari sesuap rezeki.
Salahkah aku sedangkan itulah ketentuan Allah mengurniakan rezeki yang sebegitu terhadap aku?
Cubalah bayangkan kalau tiba-tiba ada seorang bota yang datang menyerbu sekumpulan manusia dengan marah sambil menyembur racun ( seperti para pendemo disembur air gas dari water canon ). Manusia pun bertempiaran lari sambil terbatuk-batuk dan memekup muka. Akhirnya tidak lama kemudian mati bergelimpangan kerana sesak nafas atau keracunan. Tidakkah itu tindakan yang kejam?
Dicatatkan bahawa lipas boleh hidup tanpa kepala selama 10 hari dan bernafas melalui kulit kepala hingga ke kulit kakinya. Tidakkah ini sesuatu yang hebat yang Allah kurniakan?

Sabtu, 9 Januari 2010

Catatan Hujung Minggu

2010 sebenarnya aku tanam azam untuk kurangkan berat badan sebanyak 3 kg. Ini adalah rentetan dari kejayaan azam seorang pendengar radio Sinar FM yang ditemubual oleh penyiar Kay E, Abang Jem dan Kril. Pendengar itu berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 5 kg pada 2009 dengan mengamalkan pemakanan yang baik dan senaman.

Mendengar celoteh 3 penyiar ini saban pagi adalah kebiasaan aku semasa memandu ke tempat kerja.

Empangan Mengkuang adalah lokasi paling dekat, paling nyaman dan paling jimat kos bagi aku. Samada pagi atau petang, aku akan ke sini untuk berjogging di trek kiri tepi tasik atau berjalan cepat memanjat bukit jika malas untuk berlari. Sebelum itu aku akan singgah membeli Harakah keluaran hari Jumaat di gerai di hadapan Balai Polis Kubang Semang, bersebelahan perhentian bas pekan Penanti.
Tapi tidak pula pagi ini. Aku ke belakang rumah mencuci longkang bersama ibu_suri. Beberapa hari tidak hujan menyebabkan longkang berbau busuk. Ada jiran yang mengubahsuai rumah dengan memintas sistem kumbahan air dari saliran dalam tanah sebelum ini ke longkang luar rumah. Akibatnya bau busuk berkeliaran di ruang udara dan yang menjadi mangsa keadaan adalah aku yang tinggal di corner house ini.

" Ini pun boleh kira riadah juga ni. Lagi untung sebab 2 dalam 1. Berpeluh dapat, Selenggaraan rumah pun dapat. "

Selalunya bila selesai riadah di Empangan Mengkuang, aku singgah di Masjid Jamek, Mengkuang untuk solat Dhuha dan membaca akhbar Harakah. Ketenangan masjid ini membuatkan aku rasa damai. Kekadang aku baring meluruskan tulang belakang selama setengah jam di kaki lima masjid ini.



Selepas sarapan di gerai depan bengkel bas Mat Motor di kepala simpang pasar malam Penanti, aku akan ke Caltex Seberang Jaya untuk cuci kereta. Aku memang suka cuci kereta di sini kerana dalam masa yang sama aku boleh pam tayar kereta dan periksa tahap minyak enjin dan air dalam radiator; tambah nilai kad Toch N Go dan juga membuat sedikit pengeluaran wang di ATM Maybank.



Aku pernah berbual dengan salah seorang pekerja di sini yang rata-ratanya dari Bangladesh dan Indonesia. Namanya Abdul Kalam. Tinggal di Dhakka. Bila ditanya samada seronok bekerja di sini dia menjuih mulut. Katanya gaji sikit sekitar RM600 sedangkan tempoh kerja adalah 12 jam.

Ehem... entahlah. Rezeki ini Allah yang berikan. Seperti dia, aku juga adalah perantau di negara sendiri. Aku merantau dari tanah kelahiranku Perak ke sini semenjak 28 tahun yang lalu.

Selalunya aku singgah beli lauk pauk untuk makan bersama ibu_suri sebelum terus balik ke rumah. Nasiblah... untung sabut, aku kena bebel kerana lambat balik. Untung batu, ibu_suri sambut aku dengan senyumnya yang keanak-anakan sambil bertanya;

" You beli water apa dekat I? Dahaganyaaaaa..... "

Aku selalu ingat pesan mak dan mak mertuaku sebelum ini;

" Jagalah dia baik-baik. Banyakkan sabar... "

Hummm.....


Diatas kiri adalah foto bukit jirat Cina yang kuambil dari arah simpang pasar malam Penanti. Terpikat dengan wajah bulan yang bercahaya menyinari malam yang hampir hitam.

Melihat bukit ini aku teringat gurauan sepupuku Abang Tan;

" Banyak bilik sewa kat sini ya! Bilik kosong pun banyak lagi ni... "

Sebelah kiri pula ialah foto sebuah kedai gunting rambut Anuar Ibrahim yang aku ambil di Jalan Permatang Pauh.

Sekadar untuk renungan...

Khamis, 7 Januari 2010

Harap Tidak Tersasar

Maaf kerana lama tidak menulis. Sekarang ini pun aku punya masa yang cukup pendek untuk menulis. Dan tidak tahu apa yang hendak ditulis pun. Aku biarkan sahaja tangan ini mengetuk biji-biji huruf papan kekunci.

Esok akan ada lawatan dari staf atasan NEC, Japan. Bulan April ini kalau mengikut pelan, syarikat tempat aku bekerja ini akan bergabung dengan NEC dan khabarnya akan ditukar nama ke REC ( mungkin Renesas Electronic Corp ).

Telah 28 tahun aku bekerja di sini, ini kali ke 2 penggabungan berlaku. Ya... sudah 28 tahun, bukan calang-calang tempoh masa. Kalau dikira mengikut umur seorang manusia, kini dia sudah pun berkahwin dan beranak pinak. Aku sendiri pun tidak menyangka aku boleh bertahan di syarikat ini sebegini lama walaupun semasa aku mula bekerja di sini dahulu ramai operator pengeluaran setempatku tidak yakin yang aku boleh bertahan lama.

Beberapa hari ini di kantin, sibuk berbual tentang isu kalimah Allah. Aku percaya kalian juga berhadapan dengan perkara yang sama. Selain isu enjin jet F5E yang hilang, isu perkahwinan Bung juga menjadi bahan ketawa dan gurau. Kasihan PM kita ya, otak terpaksa ligat berputar menangani isu ini. Bagi pembangkang, tetaplah membangkang. bagi yang atas pagar termangu tidak tahu punca. Bagi yang menyokong sesekali garu kepala tak tahu hendak menepisnya bagaimana.

Khabarnya Dr Danial, panel Halaqah di TV9 dan baru-baru ini menjadi panel Al Kuliyyah di TV3 akan membacakan khutbah di Masjid Hashim Yahya dengan tajuk: PENGGUNAAN KALIMAT ALLAH RIUH, MENGETEPIKAN ALLAH DALAM KEHIDUPAN DIAM. Wah... Kalau hendak diikutkan hati, mau aku bersolat Jumaat di sana. Mesti best pengisian dan kupasan dari insan yang lebih aku kenali sebagai DD ini.

Kalau kalian berkelapangan bolehlah hadiri kuliah beliau setiap hari Ahad jam 3 hingga 5 petang di surau Kompleks Sukan Batu Uban, Gelugor.. Aku sendiri sebenarnya sudah lama tidak ke sana. Lama sejak isteriku begini. Rindu sesangat dengan suasana seperti itu.

Atau boleh juga dengar kuliahnya di Surau An Nur.

Entahlah, muga bermanafaat penulisanku ala-ala bas ekpress ini. Harap bahasa dan isinya tidak tersasar seperti bas Sani Ekspress. Kasihan pada pemandunya yang pastinya tidak terfikir akan jadi begini. Dan malang pada pihak syarikat. Akibat nila setitik, rosak susu sebelanga.

Begitulah hidup. namun aku fikir, walau dibubarkan sekalipun syarikat itu, esok lusa kemalangan yang sama berlaku juga.

Hem...

Ahad, 3 Januari 2010

Foto Pertunangan

Serebram aku tumpul malam ini untuk menulis walaupun sebenarnya ada 2-3 bahan di dalam kepala. Hari ini memang entah kenapa aku malas betul.

Aku tiba-tiba teringat foto Angah yang baru diemelkan oleh adikku Mamat semalam. Aku paparkan sebahagiannya di sini untuk tatapan kalian.


Angah dengan hantaran 13 dulang ( 3 dulang tiada dalam gambar ). Kata orang tua, lelaki kena hantar jumlah dulang dalam ganjil. Pihak perempuan akan balas jumlah dulang dalam genap. Entahlah... aku ikut aje. janji beres!














Tunang Angah - Rohayu tanpa cermin mata.


















Ibu_suri sarungkan cincin ke jari manis Ayu sambil diperhatikan oleh kakaknya yang menjadi orang tengah pihak lelaki dalam majlis peminangan ini.
















Memohon restu ibu mertua.

" Hai...Pandai-pandailah kau sesuaikan diri di dalam keluarga kami kelak, ya Ayu! "

Nanti, kau jagalah pulak ibu_suri tu ya! Ayah dah 'letih' dah.... "












Mohon restu dari Opah pula. Opah duduk di luar rumah je sebab opah lebih selesa hirup angin luar di atas kerusi roda.
















Along memerhatikan Angah yang sedang membuka hantaran balas dari pihak perempuan.

Kata adikku Niza, mengusik, " Banyak harta rampasan perang kamu, ya Angah! ".

" Along punya bahagian tak de ke? Dah kira langkah bendul ni. Takkan tak da apa-apa sagu hati penawar duka lara... "









Alhamdulillah, secara keseluruhannya agenda berlansung seperti yang dijadualkan. ada pun sesikit titik bengik tu biasalah.

Doakan muga pertunangan mereka berkekalan hingga ke jinjang pelamin

Jumaat, 1 Januari 2010

Tahniah Buat Kita

Aku ingin menulis blog tepat pada jam 12 tengah malam, sebenarnya. Namun keadaan ibu_suri yang mutakhir ini cukup 'pantang' melihat aku berada di depan komputer buatkan aku hanya berbaring di sisinya yang sedang menonton tv. Dan tatkala dia menggerakkan aku;

" Abang... abang... Tahun baru! Tengok bunga api, cantiknya....."

Aku telah pun terlelap dan sengaja tidak mahu buka mata walaupun terjaga. Hairan aku, apalah yang digembirakan sangat dengan kedatangan Tahun Baru.

Di Penang ini sahaja tidak kurang dari 3 lokasi rasmi sambutan Tahun Baru. Di Queens Bay dan Auto City Juru ada konsert artis dari bangsa Cina. Di Tapak Pesta ada artis kumpulan May. Itu belum termasuk di lokasi tradisi seperti Persiaran Gurney dan Padang Kota Lama.

Bagi aku setiap kali Tahun Baru menjelang bermakna satu anak tangga lagi umurku meningkat. Bagi yang masih muda mungkin merasakan masih lagi jauh walaupun sebenarnya kita pun tidak tahu samada masih berpeluang melihat kalendar tahun hadapan. Namun bagi yang kini mencecah usia separuh abad tentunya jikalau mengikut lumrah alam, pelayaran hidup semakin menghampiri pelabuhan.

Lalu, 'semakin dekat' ini layak disambut dengan nyalaan bunga api dan teriakan kegembiraan?

Aku sempat berbual dengan seorang kawan baru Islam semalam di lokasi kerja.

" I selalu tengok emak I. I tahu dia selalu dalam keresahan. Resah dia adalah kerana mengenang hari tuanya yang semakin panjang dan hari berjumpa Tuhannya semakin pendek. I tahu dia takut. Sebab itu bila dia mengaji Quran, dia selalu menangis. I juga takut. Tapi I hairan kenapa orang lain gembira. "

Sebaik bangun subuh tadi aku baca sms dari seorang kawan Cina yang pernah aku ceritakan dulu di sini.

" Fren, Happy new year 2 u sn sugar price increase. I nw makan with my fren at sungai nibong. Nw time 2am. R u already sleep? "

Ya...tak..ya... Tahniah buat kita yang rupanya kelekaan menyambut Tahun Baru diambil kesempatan menaikkan harga gula oleh kerajaan sebanyak 20 sen. Bijak...bijak... Dan janji manis mereka;

" Kenaikan gula ini tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat... "

Slogan yang selalu aku dengar dan hampir muntah mendengarnya disetiapkali kenaikan harga barangan berlaku.

Esok dan seterusnya kita akan dapat saksikan kuih muih yang harganya 4o sen akan mengecut saiznya kerana 'kekurangan gula'...

" Ayah, Tesco semalam stok gula tak dak. Rak gula kosong... " beritahu Angah sebaik sahaja aku pulang dari menghantar Along balik semula ke KL di stesen keretapi BM malam tadi.

" Habis dijual ke atau peniaga sorok stok? ", ujiku.

" Entah lah ayah..... "

Begitulah Malaysiaku. Malam Jumaat penuh dengan pesta. Pagi Jumaat ini tong sampah akan dipenuhi k*n*m yang di bersihkan dari padang keramaian oleh pekerja Bandaraya. Pagi Jumaat juga akan mendengarkan kelohan rakyat marhaen tentang kehidupan yang semakin terhimpit sedikit demi sedikit.

Begitu selalunya yang akan berlaku seperti juga sebelum-sebelum ini!