Halaman

Rabu, 31 Mac 2010

Esok, Cuti Lagi...

Dulu, cuti kerja aku banyak dihabiskan untuk membawa anak ke klinik bila mereka tidak sihat atau uruskan hal-hal persekolahan mereka. Kini, anak-anak aku sudah besar dan ada yang akan kahwin tidak lama lagi.

Pun, cuti aku tetap juga jadi sasaran. Tak pernah pun dapat menyimpannya banyak-banyak hingga hujung tahun seperti sesetengah rakanku. Kali ini cuti aku dihabiskan untuk menguruskan rawatan kesihatan ibu_suri.

Semalam, aku cuti lagi. Aku bawa ibu_suri ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan susulan di unit 104 Neurologi. Biasalah kalau urusan hospital ni. Menunggu lebih lama dari dirawat. Habis tunggu giliran doktor tunggu pula giliran ambil ubat.

Semasa menunggu inilah yang merimaskan aku. Pantang ada jiran di sebelah kerusi, ibu_suri akan menemubual mereka. Yang tak sanggupnya ialah dia temubual hingga ke tahap;

"Dalam politik u sokong siapa?"

Atau lebih hebat ialah;

"Jangan ikut perangai U***O. Depa tu bla... bla... bla..."

Semalam, aku sempat ambil foto ini dan rakam video itu.

"Cina tu kena penyakit kaki gajah ke?"

"Bukanlah. Sakit untut. Itu pun u tak tau.."

"Ooooo...."



"Sayang... Siapa nama u?"

Tetap mengetuk kepalanya dengan tangan.

"Nama dia Imran." Jawap abangnya. Wah, nama Melayu tapi abang-abangnya nampak macam bangsa Cina.

" Berapa umurnya?"

"35 tahun!"

"Ohhhh... Tinggal di mana?"

"AIr Itam. Jalan Seratus."

"Ooo.. Kampung Melayu ya. Macam mana boleh jadi macam ni?"

"Entahlah. Sejak kecil jadi macam ni!"

Hmmm... Kalau lagi lama aku duduk di hospital ini, lagi gayat aku dibuatnya. Silap haribulan aku pula yang sakit.

Tapi.. itulah... esok aku ambil cuti lagi. Kali ini bawa ibu_suri ke Klinik Kesihatan Kubang Semang. Allah itu maha Adil dan Maha Penyayang. Diberikan ibu_suri penyakit tetapi aku pula buat masa ini, alhamdulillah, masih sihat.

Harapnya aku terus sihat supaya dapat menjaga ibu_suri sebaiknya. Risau aku kekadang itu bila sesekali memikikan apalah akan terjadi pada ibu_suri kiranya aku pula yang sakit dan tidak boleh bangkit...


p/s: maaf, klip video terbalik. tak perasan...

Ahad, 28 Mac 2010

Ilusi

Sabtu lalu aku pergi ke Perodua Seberang Jaya untuk service Kancil ibu_suri. Kancil ini memang hampir setiap bulan mencapai 5000km.
Balik dari service Kancil aku singgah cuci kereta di Car Wash pekan Penanti. Lama sangat tunggu giliran, aku tinggalkan kunci pada taukeh untuk pergi makan. Sambil berjalan itu terfikir juga;
"Isyy.. Kalau dibuatnya bawak lari Kancil ibu_suri ni, baru padan muka aku!"

Tapi aku kena percayalah pada taukeh ini. Dia pun cari makan macam aku juga.

Seperti biasa bila aku genggam 3 jari tengah dan tegakkan ibu jari serta kelingking sambil mengipasnya, anak taukeh kedai kopi di simpang 3 pasar malam Penanti itu memang tahu apa yang aku minta. Tidak lama, secawan Ali Cafe tarik tersedia di depanku. Aku capai sebungkus bihun.

Namun entah kenapa sambil menggarfu itu hati aku tiba-tiba menjadi sayu. Sudah lebih 3 tahun aku tidak menikmati masakan dari air tangan ibu_suri. Selalunya kalau ibu_suri memasak bihun goreng aku boleh habiskan semangkuk besar. Dan aku rasanya, tidak pernah mengatakan masakan bihun goreng ibu_suri itu tidak sedap. Kalau tawar pun aku akan angkat ibu jari tanda best bila ibu_suri;

"Sedap ke bang?"

Arakian, sambil berilusi itu ternampak seorang tua berbongkok udang sedang berjalan. Sebelum ini pun pernah jumpa dia. Mak cik itu yang berjalan aku pula yang letih melihatnya.

  • Mak Cik bertudung putih berbaju biru berjalan menungkah arus kenderaan.

  • Mak Cik itu duduk di depan kedai YTS. Berihat sekejap agaknya.

  • Mak Cik itu berjalan semula selepas hilang penat.
Aku pun percaya satu hari nanti aku juga akan menjadi seperti Mak Cik itu. Ataupun setidaknya aku akan jadi seperti abahku yang kini bersemadi di sisi Masjid Al Khairiah di kampung.

Takkan hidup menungkat langit ya tak? Masalahnya, sudah cukup bersediakah aku?

Khamis, 25 Mac 2010

Sana Sini... Tax!

"Tak tengok ke peti surat?" Itu soalan yang biasa ibu_suri lontarkan menjelang Berita Utama TV3. Aku hanya mengangkat surat dengan tangan kiri sambil tangan kanan menghirup teh tarik Super Power yang baru aku beli tadi di Pasaraya Jimat, Penanti.


"Surat IncomeTax ke ayah?"

Aku angguk.

"Hidup kita ni Angah, tak kan lepas dari tax. Berlapis-lapis taxnya. Gaji belum sampai ke tangan kita dah kena tax. Duit tu kita guna untuk beli kereta. Kereta tu sebelum sampai kat tangan kita, Kastam tax pulak. Dapat kereta tu, sebelum kita boleh pandu kena bayar tax jalan raya. Pandu untuk pergi kerja kena bayar Tol jambatan. Tax la tu. Singgah beli teh ni kat Jimat pun, pengilangnya kena Tax. Jadi kos tax tu taukeh tu caj kat sapa kalau tak kita. Serba serbi tax. Sapa yang nak kena bayar tu kalau tak sipembeli macam kita. Punya banyak Tax hinggakan kita tak perasan yang seluruh hidup kita penuh dengan tax."

"Awat, u marah kat sapa?"

"Dak. Kat diri sendiri." Aku mengendurkan nada suara kerana tahu sasaran soalan ibu_suri itu pada siapa. Lebih-lebih lagi bila berita TV asyik ulang siaran tentang persidangan Dewan Parlimen isu MP Bebas.

Beberapa tahun lalu gaji aku tidak dikenakan Tax kerana anak-anak aku masih belajar. Akan tetapi sejak tahun lepas, LHDN mula mengintai gaji aku. Lebih tanggungan susah. Kurang tanggungan pun susah. Aduhhh... Bilalah nak rasa tak susah.

Tiba-tiba aku teringat zakat. Terlupa pulak aku nak declare potongan zakat gaji untuk tahun ini. Isshhh....

"Jangan lupa...Kat akhirat nanti u kena tunjuk resit tax jugak, tau..."

Ah, pandai-pandai je ibu_suri nih. Perli la tuh!

Selasa, 23 Mac 2010

Rutin

Aku menjinjing nasi ayam yang dibeli dari kedai Pokok Durian depan SM Guar Perahu. Sebaik menolak daun pintu, kelihatan ibu_suri berbaring di hadapan tv. Ruang tamu samar-samar kerana senja baru berlabuh. Seperti selalu hatiku diserbu bimbang. Suasana begini kurang menyenangkan.

"Assalamualaikum..." sambil meletakkan akhbar Sinar Harian menanti respon dari ibu_suri dengan jantung berdegup kencang di dada.

"Datuk Sulaiman Daud meninggal..."

"Ye ke....Errr.. Tan Sri Dr Sulaiman agaknya...?"

"Umur dia 77 tahun!"

Aku melemparkan stokin ke dalam baldi. Melihatkan pakaian kotor menimbun di dalam baldi aku terus menuang sesudu serbuk sabun ke dalam mesin basuh dan menekan punat. Tanpa banyak soal, mesin basuh jenama Sharp yang berusia 3 tahun itu memulakan tugas yang hanya satu-satunya ia tahu - membasuh.

Entah kenapa hatiku bimbang sahaja sejak dari tadi. Aku memerhatikan singki, pinggan dan cawan masih belum berbasuh sejak malam tadi. Aku lihat pula meja makan. Semak dengan kertas, topi keledar anakku dan cawan susu.

"Abang! Ambil air basuh tangan..."

Beginilah aku saban hari. Siang dan malam berlalu dengan rutin yang sama. Sambil meletakkan mangkuk air basuh tangan dan segelas air ke sisi ibu_suri, aku memerhatikan Angah yang asyik bercit-cat dengan komputer.

Jam hampir pukul 8 malam. Aku capai tuala dan masuk ke bilik mandi. Sambil mencalit ubat gigi Herbal jenama HPA, aku tiba-tiba terbayangkan saat-saat abah berada di Hospital Bainun, Ipoh kerana mengidap sakit buah pinggang. Seminggu selepas abah keluar dari hospital, abah menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa aku bersamanya.


  • Abah menyara hidup kami sekeluarga dengan mengambil upah memotong rumput halaman rumah orang setelah pencen dari bekerja di Majlis Perbandaran Ipoh.
"Abah, doakanlah kesejahteraan dan ketenteraman anakmu di dunia ini sepertimana aku selalu doakan kesejahteraan dan ketenteramanmu di alam barzakh sana!"
Aku jadi teringat bahawa aku sendiri pernah 2 kali dimasukkan ke wad kerana menghidap batu karang.

Isnin, 22 Mac 2010

Mak Cik Norma

Esok aku akan semula bekerja. Seperti ada sesuatu yang memotivasikan aku untuk memulakan kerja esok dengan sebaik-baik perancangan. Motif aku untuk mencapai KPI - zero pending harap aku dapat kekalkan. Tidak ada kerja tertunggak akan lebih mententeramkan hatiku dalam melihat masalah-masalah yang lain pula.

Sejak bertemu dengan pakar psikiatrik 2 minggu lepas dan memakan dos penuh 200mg pil Carbomazipne, emosi ibu_suri agak stabil. Tidak pasti berapa lama situasi ini bertahan. Aku amat fobia kalau tiba-tiba ibu_suri bertanya soalan jika kami agak lama pakum di dalam kereta. Soalan-soalan yang terpacul selalunya susah untuk aku mencari jawapan.

Siang tadi seharian keluar rumah. Selepas menghadiri majlis kenduri kawin anak jiran dekat rumah, aku bersama ibu_suri dan Angah pergi ke kenduri perkahwinan anak Mak Cik Norma yang pernah menjaga Along dan Angah masa kecil dulu. Ketika itu aku menyewa di Kampung Jawa, Bayan Baru.

  • Angah, mempelai dan ibu_suri

  • Oyah, ibu_suri dan Mak Cik Norma

Kini sudah 20 tahun berlalu. Angah sudah besar. Mak Cik Norma juga sudah kelihatan tua.

Dari Mak Cik Norma ini juga ibu_suri belajar masak nasi tomato. Belajar memasak memang ibu_suri cepat dapat. Capati dan acar buah adalah antara kemahiran memasak ibu_suri. Tapi, semua itu hanya tinggal sebagai memori.

Kami lebih banyak makan di luar kini...

Sabtu, 20 Mac 2010

Dalam hatiku, siapalah yang tahu!

" Ingat lagi tak hari annivesary kita? " tiba-tiba ibu_suri melontarkan soalan cepu mas kepada aku yang sedang asyik membelek akhbar Harakah.

Aku seperti selalu terkial-kial menjawap. Manalah aku ingat ini semua. Subjek sejarah semasa aku di sekolah menengah dulu cuma cukup-cukup makan je.

" Tengok ayah u. Tak ingat le tu. Semuaaaaanya tak ingat. Bulan ni la.... " Adunya kepada Angah yang sedang minum kopi Radix kegemarannya. Aku terkekek-kekek ketawa yang dibuat-buat.

Ya tak ya. Cepat sungguh masa berlalu. Tup!tup! Sudah 25 tahun usia perkahwinan kami. Suku abad kami boleh bertahan melayari kehidupan yang penuh pancaroba.

Bermula dari sejak bertunang. Aku diterjah dengan berbagai tuduhan. Aku ini ahli PAS la! ( dulu kalau sebut sahaja PAS kira ekstrim la tu! ). Main kayu tiga dengan perempuan lain la.

  • ibu_suri bergambar dengan kereta lama sultan semasa pergi melawat Muzium Terengganu.


Tapi aku masih ingat kata-kataku pada isteriku ketika itu.

" Abang tak pandai nak pujuk rayu. Tak pandai nak berkata I love you. Tak pandai nak bagi hadiah sempoi-sempoi. Tapi lihatlah satu hari nanti. Abang setia isteri pada abang yang satu ini. Kesetiaan ini sahaja yang abang ada. " Aku meletakkan janji itu ke telinga ibu_suri.

" Ingat lagi tak apa yang abang pernah kata dulu. Sekarang u boleh lihat buktinya. "

" Ala.. kalau I mati nanti u kahwin lain la tuh.... "

Aku dan Angah sama-sama ketawa. Tetapi di dalam hatiku..... siapalah yang tahu!

Selasa, 16 Mac 2010

Tersentot

Sambungan dari entri lepas tentang kunjungan ke Kuala Terengganu Febuari lalu. Sempat kami singgah di Taman Tamddun Islam (TTI). Aku teringin sangat untuk melihat Masjid Kristal yang menjadi kontroversi sedikit masa lalu.


Bukan main teruja ibu_suri. Tidak sabar-sabar lagi dia untuk pergi bersembahyang Jama' Zohor dan Asar.

" Abang, nak ambik wudhu' kat mana ni? "

Tapi aku sendiri, bila melihat terlalu ramai orang mundar-mandir keluar masuk, menjadi seperti kurang selesa. Ada yang berposing mengambil gambar. Anak-anak kecil berlari-lari ke sana kemari. Cuma yang tua atau separuh umur sahaja yang nampaknya beria-ia menjinjing telekong untuk bersembahyang. Seperti masjid ini didirikan untuk pelancungan semata, bukan untuk keperluan jamaah setempat.


Hasrat mula aku untuk bersembahyang sama seperti hasrat ibu-suri tiba-tiba tersentot. Bila aku melangkah masuk ke ruang solat, terasa angin sejuk memasukki celah kaki seluar. Hebatnya Masjid Kristal, pendingin udaranya berada di bawah lantai masjid. Namun kehebatan itu hanya mampu membuatkan aku mendirikan sembahyang Tahyatul Masjid sahaja. Tawar hatiku untuk meneruskan dengan sembahyang yang lainnya.

Masjid Kristal memang hebat di pandangan mata. Namun entah kenapa tidak di hatiku.

Ahad, 14 Mac 2010

Foto Kandid

Ingin berkongsi beberapa foto yang diambil semasa berkunjung ke Kuala Terengganu dan Kota Bharu awal Febuari lalu demi memenuhi permintaan ibu_suri.

  • Tak sangka. Petah juga mak cik ni bercakap orang putih dengan ibu_suri semasa adegan tawar menawar untuk beli telekong. IM berdiri jauh-jauh sebab dah tak sanggup melihat insiden begini.

  • Larangan membawa durian masuk ke dalam bilik salah satu hotel di Kota Bharu. Tak ada pula larangan membawa rokok atau membawa awek bukan mahram!

  • Salah satu restoran yang kami singgah semasa dalam perjalanan balik.

  • Kedai Mini Hadhari di Jerteh

  • Entahlah, nak baca macam mana!

  • Tak lepas peluang untuk posing bila saja ada objek alkataki nih!

Selasa, 9 Mac 2010

Panas Dunia

Sambil doktor memeriksa dada dan belakang ibu_suri menggunakan stethoscopes, sempat dia memberi nasihat supaya ibu_suri selalu melakukan senaman demi menjaga kesihatan.

" Sekarang ini cuaca panas yang luar biasa. Pagi sahaja pun suhunya dah mencecah 30 darjah. Tak bagus untuk aktiviti luaran. Ibu buat senaman dalam rumah sahaja, ok? Ibu ada alat senaman dalam rumah? Basikal yang tak ada roda tu ke? "

Aku senyum sendirian bila ibu_suri memandang wajah aku. Kami sama-sama mengerti. Bukan tidak ada semua itu. Cumanya mahu atau tidak mahu sahaja menggunakannya.

Lagi pesan doktor;

" Ibu rajin makan buah ya. Kalau boleh makan begitu sahaja. Jangan buat jus sebab bila kita buat jus gula buah itu akan serap terlalu cepat ke dalam darah. Ini kurang bagus terutama bagi mereka yang mengidap kencing manis. "

Memang cuaca amat panas. Bandar Taiping yang dikatakan mempunyai hujan paling panjang di Malaysia pun mutakhir ini jarang hujan. Tidak seperti sebelum ini bilamana aku menziarahi anakku di STB selalunya akan balik di bawah hujan.

Ini baru panas di dunia. Baru panas yang jarak mataharinya masih berjuta-juta batu dari bumi. Entah bagaimana agaknya panas di Padang Mahsyar. Yang dikatakan matahari cuma sejengkal dari kepala.


Aku teringat abah yang kini berada di alam barzakh. Entah bagaimana panas abah di dalam sana. sedangkan aku hendak mandi sebelum solat Subuh pun terasa air kolah seperti separuh masak.

Tuhan... terasa amat kerdilnya diri ini di hadapanMu. Terasa gentarnya aku bila mengenangkan amalku yang teramat sedikit. Udahlah sedikit, compang camping pula.

Ahad, 7 Mac 2010

Up To You!

" Dalam perjalanan ziarah anak di STB, aku singgah di RnR Gunung Semanggol untuk sembahyang Zuhur.

" I boleh solat err.... Ja...mak.... ke? " soal ibu_suri tersekat-sekat kesan dari mild stroke yang dihadapi.

" Jamak Qasar? "

" Haah... ya.. " sambil mengangguk sedikit keanak-anakan.

Aku lebih suka memilih solat Zuhur yang biasa akan tetapi untuk kondisi ibu_suri aku yakin solat Jamak Qasar lebih baik dari nanti dia tidak bersembahyang lansung samada kerana ketidakselesaan bermusafir ataupun pertukaran mood. Jarak antara Penang dan Taiping membolehkan kedua-dua jenis solat ini.

" I nak pi toilet dulu ke atau nak solat dulu? "

" Up to you! "

" You tolong bawakan beg solat I ye... "

" Ok. No problem... " Jawapan balas yang selalu aku ujarkan.

Kekadang perlu bijak menggunakan ruksah dalam hal-hal ibadah ini. Allah yang menciptakan kita. Dia tahu dimana kelemahan dan kelebihan kita. Lalu dia menciptakan jalan yang mudah dan sukar untuk kita pilih.

  • anak kecil di surau RnR Gunung Semanggol

Jumaat, 5 Mac 2010

Pelik

Foto ini dikirim oleh seorang kawanku melalui emel. Kalian perasan tak apa yang peliknya dengan papan tanda ini?

1. Patutkah kesucian tanah perkuburan ini juga dibaurkan dengan aroma politik?

2. Siapakah penyumbang itu?

3. Apakah makna perkataan 'sumbangan' itu dan relevannya di sini?

Aku teringat kata-kata dari kawanku - seorang doktor dan juga pakar motivasi:

" Kita bukan sahaja perlu mengaji, malah kena mengkaji... "

Muga ini menjadi iktibar buat diri kita. Berbuat sesuatu itu hendaklah dengan berfikir terlebih dahulu!

Rabu, 3 Mac 2010

Ubat Jiwa

Bukan mudah untuk mempunyai kesabaran yang teguh dan luhur di dalam jiwa. Ianya perlu dipupuk sejak dari awal. Disiram dengan hati yang bersih dari prasangka buruk, sikap yang terbuka dengan kritikan, menerima seadanya sikap negatif orang lain di keliling kita dan menerima dugaan yang menimpa dengan reda.

Sabar adalah ubat bagi jiwa. Boleh menstabilkan tekanan darah, boleh menenangkan jiwa, boleh membuatkan kita berfikir lebih waras, mampu memberi cahaya di wajah dan bisa menjadi tempat berteduh untuk orang lain.
Tidak rugi kalau kita memberi laluan kepada orang lain yang mahu cepat di jalan raya. Atau mendengar dahulu pandangan orang lain walaupun ianya bercanggah dengan pandangan kita sendiri. Atau juga menjauhkan diri dari orang yang mahu bergaduh dengan kita.

Teman kepada sabar ialah sembahyang dan doa. Teman kepada sabar mungkin juga pen dan kertas. Mungkin juga lagu-lagu nasihat.

Tapi sabar perlu bertempat. Jangan pula sampai sabar terhadap orang lain yang sedang menghina agama kita. Itu dayus namanya....!