Halaman

Isnin, 31 Mei 2010

Pertanda Hidup Tak Lama

Aku sempat melihat semua ini. Dan aku kira ini mungkin satu pertanda yang boleh diambil kira. Dan boleh juga tidak!

Aku masih ingat semasa pergi menziarahi Mak Cikkepada ibu_suri yang baru sahaja keluar hospital di Sungai Ara. Umurnya sekitar 50an. Mengadu Mak Cik ini kepada kami;

"Aku ni teringin sangat nak minum ayaq tin. Depa tak bagi. Depa tak kesian kat aku."

"Kami bukan tak mau bagi Cik. Dia baru balik dari hospital. Ayaq tin tu gula dia tinggi. Tak elok untuk kesihatan Mak."

Sesekali fikit logik juga alasan yang diberikan oleh anak Mak Cik tu, kan! Ditakdirkan Tuhan, selang seminggu Mak Cik itu meninggal dunia.

Ziarah kedua ialah Mak Ngah aku sendiri yang terlantar di Hospital Besar Ipoh. Sebaik sahaja aku dapat berita Mak Ngah dimasukkan ke hospital, aku terus ajak ibu_suri balik kampung menziarahinya. Entah kenapa aku rasa bimbang kalau-kalau tidak 'sempat'.

Mak Ngah aku pulak mengidam hendak makan epal.

"Mak tu mana boleh makan benda manis ni. Doktor tak kasi." Terang Tin, anak lelakinya yang paling bongsu.

"Bukan aku minta banyak. Sepotong aje ha..."

"Sepotong ke sebiji ke tak boleh mak. Gula tetap gula."

Kalian tahu apa yang berlaku? Sebaik sahaja aku selesai ziarah, balik semula ke Pulau Pinang. Tapi belum sempat masuk ke dalam rumah aku mendapat panggilan Mak Ngah sudah pergi menghadap Tuhan. Bergegas pula aku dan ibu_suri balik semula ke Ipoh walaupun sudah dinihari.

Lantas bila ditakdirkan abah aku pula dimasukkan ke Hospital Tuanku Bainun, Ipoh akibat kegagalan buah pinggnag. Tanpa fikir panjang aku terus balik ke kampung. Sesampai di katil, abah sedang duduk. Muka abah berisi. Tembam!

"Abah macam mana?"

"Isyy... Aku tak de ape. Tak lama lagi boleh balik le. Deme ni ha... aku ndak benor minum teh. Tak dibagi dik deme."

Serta merta kenangan aku kepada semua peristiwa di atas menerpa benak.

"Nurse, Abah saya hendak minum teh tarik. Tak boleh ke saya bagi sikit."

"Sikit boleh. Biarlah, buat lepas gian dia tu.."

Pantas aku menalipon adik aku, Mamat.

"Mamat, kalau kamu datang tengok abah nanti belikan teh tarik kat kedai yang selalu Abah pegi tu. Tapi buat setengah cawan je. Abah ndak sangat minum teh tarik."

"Abah mana boleh minum teh tarik, Yop."

"Takpe. Abah tu dah tua. Bukan masa dia untuk pantang itu ini. Ini arahan Yop. Kamu beli je.."

Dan bila seminggu selepas Abah dibenarkan balik ke rumah, berita bahawa Abah juga pergi menyahut gilirannya mengadap Tuhan, aku tidak menyimpan rasa terkilan!
  • Abah walaupun kekampungan namun aku tetap menghormatinya!

Sabtu, 29 Mei 2010

Selagi Jarum Jam Tidak Bertemu

Akhir-akhir ini hampir saban malam Angah melatu aku dengan soalan: Bila lagi, ayah?

Aku cukup rimas. Anak aku yang seorang ini memang begitu sikapnya. Kalau hendak sesuatu itu akan diugunnya kita selagi tak dapat.

"Hang dah ambil kursus ke belum?"

"Belum!"

"Habis, takkan nak tunggu ayah pi carikan tempat kursus...." Sedikit @#$%^%$

"Dak la.... Angah tak nampak tarikh kahwinnya, jadi angah pun tak tahu nak start bila."

"Habis, semua nak tunggu ayah start baru hang nak start?"


Entahlah, hilang sabar pula aku dengan dia malam ni. Manalah fikiran aku serabut dengan soalan ibu_suri bertanyakan status bekas rumah sewaan mantan TKM1, Firdaus. Dia berangan-angan hendak buka tadika. Pantang lalu sahaja di situ dia akan bertanya aku dan mula bercerita tentang perancangannya untuk membuat banting, lanskap dan bentuk kerusi meja yang bakal menghiasi tadikanya itu.

Namun sebenarnya aku tahu bukan Angah sengaja bersikap begitu. Pastinya dia diomel oleh tunangnya. Dan tunangnya pula udah tak sanggup mendengar usikan atau sindiran dari saudara-maranya yang setiap kali bertandang ke rumahnya bertanya; Bila lagi kamu ni nak kahwin. Asyik berkepit je?

Huh! Anak kecil pun susah. Dah besar pun susah. Jangan pula bila dah kahwin pun masih memberi susah pada ibu dan ayah.

Sebenarnya aku keletihan kerana sedari pagi aku mengemas rumah. Jam 12 tengahri aku terpaksa pergi mengedar flyers WACANA HARI PEKERJA anjuran Kesatuan Ikatan Anak-Anak Perak yang mana aku adalah salah seorang AJK ke serata masjid di Kulim. Balik pula terpaksa membersih bilik tidur ibu_suri. 6 petang perlu keluar bawa ibu_suri makan dan bersiar-siar kerana duduk di rumah hangat, katanya. Biasalah ibu_suri; selagi jarum jam tidak bertemu di tengah malam, dia tidak mahu balik. Pendekata, malam ini Angah silap haribulan!

Sesekali teringat pula antara aku dengan emak dan abah. Agaknya beginilah yang mereka pernah tanggung ketika aku hendak kahwin dan sudah kahwin dahulu.

Rabu, 26 Mei 2010

Protes

Aku teringat semasa masih kecil sekitar 60an. Kehidupan yang susah. Kehidupan yang mana duit 1 sen masih boleh membeli seplastik air Lemonate atau ais kepal dari kedai Cina buat melepas dahaga ketika dalam perjalanan balik dari sekolah.

Satu hari, masa makan tengahari, entah kenapa aku tidak puas hati dengan masakan emak hari itu. Lauk yang dihidang amat tidak menyelerakan. Aku protes. Pinggan yang berisi nasi aku terbalikkan. Boikot. Tidak mahu makan. Lalu bertaburanlah nasi serta lauk itu di atas lantai. Aku tidak pula ingat atau mungkin tidak nampak bagaimana air muka emak ketika itu.

Bila sesekali aku teringat peristiwa itu di hari ini aku geleng kepala sendirian. Jauh di benakku aku terfikir kenapa aku sanggup berbuat begitu sedangkan aku tahu emak dan abah bukan mudah mencari rezeki. Hidup kami amat susah. Emak menoreh getah di sebelah pagi dan melanda bijih timah di sebelah petang sementara abah pula masih dalam rawatan schizrophenia.

Untuk mendapatkan duit buat membayar yuran peperiksaan pun terpaksa mencari botol-botol dan tin-tin buruk di belakang rumah lalu menjualkannya di kedai Cina. Entahlah...!


  • masih ada rupanya insan seperti ini di dunia yang serba maju dan bertamaddun hari ini.

Isnin, 24 Mei 2010

Permata Hijrah

Pantang ada sebarang iklan yang menarik terbaca di akhbar atau terpampang tv. Bingkas ibu_suri mencuit aku.

"Abang, ni... Permata Hijrah ada di TESCO, Sg Petani. Kita pi ya. Mata I ni... dah makin kelabu ni. Dah tak berapa nampak."

Sungai Petani... kira oklah. Dekatnya udah macam ulang-alek ke Bukit Mertajam sahaja.

"Peringkat umur kita ni memang gitu. Dah semakin kabur. Tuhan mula ambil nikmat mata kita tu sikit-sikit."

"Kita pi periksa apa salahnya."

Akhirnya aku tiba di Tesco yang aku sendiri tidak pernah sampai dan putar-putar juga mencari jalan masuk. Kelihatan setiap kerusi sudah ada orang duduk untuk didemokan yang kebanyakannya adalah golongan veteren.


"Mak Cik Ada darah tinggi ke?"

Aku angguk dan beri isyarat tangan tanpa pengetahuan ibu_suri bahawa tahap darah tinggi ibu_suri pernah mencecah 250 bawah 140.

"Kalau gitu makcik guna spray sahajalah ya. Dan nanti saya urut dengan tangan. Pak Cik nak cuba ke? Nah, pakai cermin mata ni ya."

Aku pun memakai cermin mata warna biru tua. Rasa segan juga. Maklumlah, perasan orang ramai tengok aku sebagai model. Dah rasa macam angkasawan je. Hensem ke tak aku ni?

Secara otomatik cermin mata itu bergetar dan mengurut keliling mataku.

"Bagaimana pak cik, rasa segar tak?"

Ya.. Memang rasa kepuasan. segar dan ringan mataku.

"Tapi mata I tak cerah pun. Masih kena pakai spec bila membaca." gerutu ibu_suri. Aku kuit lengan ibu_suri. Nampak kekampungan pula kata-kata itu.

"Bukan la la ni boleh baik. Kena buat rawatan macam ni selalu. Mungkin sebulan, 2 bulan atau setahun baru ok," terangku.

"Ya..betul kata pak cik tu. Itupun ikut tahap penerimaan badan."

"Oooo.. ingatkan mai-mai sini boleh baik dah.."

Aku minta pamplet dan terbaca laman sesawang Permata Hijrah di sini.

Jika hendak beli produk mengikut tahap kerabunan aku ( >100 ) berharga RM119.00

Boleh tahan juga ya....

Sabtu, 22 Mei 2010

Biar Bertongkat Siku

Aku agak terkesan dengan komen dari iBu gUru dalam entri ini. Memang aku amat terbeban dengan apa yang telah dan sedang menimpa diriku. Dugaan dari Allah ini bagiku amat berat untuk kutanggung.

Sebermula dari khabar bahawa anak ke3ku disahkan menghidap Disleksia, salah satu kategori Masalah Pembelajaran ( LD ) pada 2004. Sejak itu aku mula mengesani sikap anakku yang nakal dan mula terlibat dengan kes juvana akibat pengaruh persekitaran. Belum sempat aku dapat menarik nafas lega, ibu_suri pula diserang mild stroke pada 2007 dan depression. Maka aku terpaksa menanggung 2 permasalahan sekaligus..... seorang diri.


  • ibu_suri di hutan Gunung Panjang, Gopeng, Perak

Pun segala kegusaran di dalam hatiku jarang dapat dikesan oleh rakan-rakan. Aku selalu cuba menyoroknya dari terpancar di wajah. Aku selalu ketawa dan berbual seperti biasa dengan kawan-kawan. Aku percaya kepada kata-kata SMILE IS THE BEST MEDICINE.

InsyaAllah, hari ini dan hari-hari seterusnya aku masih dan tetap akan tabah menjaga anak-anakku dan ibu_suri yang aku tahu jauh di dalam hatinya amat mengharapkan aku selalu berada di sisi menemaninya. Sebusuk-busuk daging, kucicah, kumakan jua. Biar bertongkat siku aku tetap bergerak ke hadapan.

Selalu, bila dalam keadaan stabil ibu_suri berkata;

"I kasihan tengok u susah-susah jaga I. Bila I nak sihat macam dulu?"

"I beruntung dapat u. U baik dengan I. Tak pernah jentik I walaupun sekali. I saja yang selalu cubit u."

Ketika sujud dalam sembahyang aku selalu berdoa muga Allah beri aku kesempatan untuk hidup dan menjaga anak serta ibu_suri hingga sempurna disamping memberi kesempatan untukku bertaubat dan menebus segala dosa.

Dan insyaAllah, aku akan cuba untuk tidak mengeluh dan kesah terhadap apa yang terpaksa aku tanggung. Aku akan cuba untuk menyusun semula kehidupanku ini dengan cara dan kemampuanku sendiri. Aku tahu tiada siapa yang dapat membantu dirku melainkan diriku sendiri.

Terima kasih kepada semua rakan bloggers yang selalu memberi komen peransang maupun kritkan yang aku terima sebagai membina. Terimalah aku sebagai aku ini adanya. Aku hanya insan marhaen, ciptaan Allah jua...

Rabu, 19 Mei 2010

Pantun Ntah Apa-Apa!

Semalam aku ke Seberang Jaya,
Makan roti canai di Nasi Kandar Hidayah,
Melihat ibu_suri ketawa ceria,
Bagaikan hidup ini tiada yang payah.

Seperti biasa malam masih muda,
Ibu_suri suruh bawa pi ronda,
Sedangkan hatiku tertanya-tanya,
Sampai bilakah ribut kan reda.

Bawa kereta melelong-lelong,
Badan dah letih otak dah tepu,
Kepada Allah kuminta tolong,
Agar terus tabah menuruni liku.

Rabu, 12 Mei 2010

Happy Birthday!

"Happy birthday, bang. Selamat panjang umur dan dimurah rezeki"

Syahdu sahaja bisikan ibu_suri sebaik sahaja aku meletakkan kepala ke bantal. TQ, bisikku sedangkan hati berbolak-balik antara keikhlasan dan kepenatan. Mengintai di celah kesamaran, jam di dinding tepat 12.00 tengah malam.

Selang 4 minit aku mendapat sms juga mengucapkan SHJ dari seorang kawan berbangsa Cina. Siap dengan madah pujangga.

Jam 8.51 di ofis, sms yang sama aku terima dari sahabat baikku Zulkarnain Ahmad. Dan kesemua ini memang tidak aku sangka. Hingga membuatkan aku membalas dengan kata-kata;

'Ibarat bulan jatuh ke riba. Terharu n tidak terduga!'

Di celah-celah kesibukan orang bicara tentang Hari Ibu. Dan hari ini deejay Sinar.FM sibuk berbual tentang Hari Jururawat masih ada insan ingat akan hari lahirku yang aku sendiri selalu tidak ingat, tidak terfikir untuk merai atau di raikan.



  • susahnya mengarahkan 'sibuta' mencari yang baik-baik dan meninggalkan yang buruk-buruk.

    Namun sebenarnya jauh di lubuk hatiku aku mengingatkan diriku bahawa sebenarnya bukan hari lahirku yang patut kuingatkan. Sepatutnya aku perlu ingati hari kematianku yang pasti.

    Aku meneliti umurku. Sebenarnya sudah jauh aku tinggalkan perut ibuku. Dan semakin hampir pula aku dengan perut bumi...
  • Sabtu, 8 Mei 2010

    Sabo Je Le!

    Malam ini dan beberapa malam lalu suhu dalam rumah hangat. Hangat begini buatkan ibu_suri rimas berada dalam rumah. Lebih rimas bila sepanjang hari ini dia rasa mengantuk. Aku agak mungkin kesan sampingan dari ubat baru yang doktor beri kelmarin.

    "Jom bawa I pi jalan-jalan!"

    Sambil memandu aku mula berfikir nak bawa dia kemana. Udah habis modal kalau nak dikira untuk bawa ibu_suri bersiar-siar.

    "Kita pi makan Yong Tao Fu kat RnR Sugai Dua, nak?"

    Angguk.

    "You rasa beban ke jaga I ni?" Tetiba soalan itu terpacul tatkala aku asyik melihat kereta di belakang yang memberi lampu tinggi. Mungkin marah kerana aku membawa kereta di bawah paras 60km/jam.

    "Tidak. Malah itu tanggungjawab abang." Tidak pasti jawapan itu jujur atau tidak.

    "Tuhan itu Maha Adil. Dia jadikan tiap sesuatu itu berpasangan. U sakit tetapi abang sihat. Jadi abang boleh jaga U."

    "Memang lumrah hidup ini umur kita akan menjadi semakin tua. Bila tua kita mula akan merasai sakit. Mujur U sakit yang masih boleh berjalan. Boleh membaca. Berselera untuk makan. Lihat mak abang, diserang ahmar hingga lumpuh sebelah kiri badan. Itu pun kira ok. Emak kawan abang, lumpuh seluruh badan."

    "I tahu I susahkan you.." Dan ibu_suri sebek lalu mengalir airmata.

    "It is ok. Yang penting U jangan marah-marahkan abang tak tentu punca. Dengar nasihat abang. Faham masalah abang."

    Angguk.

    Tapi entah bila angguknya itu benar-benar angguk. Entah esok, entah malam ini dia akan buat hal semula.

    Sabo je le......Tak gitu, Yop!

    Rabu, 5 Mei 2010

    Drastik

    Aku baru selesai solat Istikharah. Memohon petunjuk dari Allah apa yang perlu aku buat untuk menyelesaikan kemelut yang aku depani ini.

    Esok aku akan menemui doktor pakar psikiatrik yang merawat ibu_suri sebelum ini di Hospital Besar Pulau Pinang. Aku pergi sendirian tanpa ibu_suri supaya mudah perbincangan. Aku ingin meminta pandangannya sebagai seorang pakar yang pastinya telah merawat pelbagai kes serupa ini selama karier kedoktorannya. Jika sekiranyalah aku terpaksa mengambil satu tindakan yang drastik mungkin aku akan lakukan walaupun mungkin akan berhadapan dngan pelbagai risiko terutama dari keluarga.

    Aku harap kalian doakan yang terbaik buat diriku dan keluarga.

    Sedari tadi aku mula terasa sakit dada. Aku harap aku tidak mengidap apa-apa.

    Aku tidak mampu menulis panjang kerana fikiran aku agak kacau. Mungkin benar komen dari Anak Murid Hang Tuah; aku banyak berdosa pada Tuhan.

    Maaf!

    Isnin, 3 Mei 2010

    Seribu tahun Lagi!

    Tuhan!

    Entah kenapa terlalu semak dada kurasakan hari ini. Fikiranku berkecamuk dengan pelbagai persoalan yang tidak terungkai. Yang kekadang persoalan yang tidak sepatutnya menjadi soalan. Sampaikan bilakah resahku ini menghantui. Aku tidak nampak jalan penghujung. Semuanya samar dilitupi kabus.

    Tuhan!

    Apakah begini suratan akhirnya hidupku. Meniti hujung usia dengan keserabutan. Tiada ketenangan. Tiada kelapangan.
    Aku terasa amat sendirian walaupun di tengah manusia ramai. Aku terasa kemurungan walaupun di tengah hilai tawa rakan taulan.

    Kekadang aku cemburu bila melihat mereka gembira dengan keluarga. Ketawa dengan rakan. Penuh dengan aktiviti harian sedangkan aku dengan dunia yang sempit ini. Yang pakum ini. Yang pegun ini.

    Tuhan!

    Maafkan aku. Berikanlah kesempatan untuk aku hidup dan merasai nikmat kehidupan. Aku kepingin untuk berjalan di jalanmu yang lurus, yang penuh keberkatan, penuh ketenangan dan penuh kelapangan.

    Tuhan!

    Izinkan aku merasai damai. Merasai udara yang segar.

    Izinkan aku untuk hidup seribu tahun lagi!