Halaman

Jumaat, 29 April 2011

Sabar

Maaf jika aku tidak kelihatan singgah membaca sekaligus memberi komen di blog kalian.Aku sibuk yang bukan sedikit dalam membuat persediaan untuk Majlis Akad Nikah Angah pada hari Ahad ini di Masjid Permatang Batu jam 10 pagi. Kalau ada yang ingin turut sama boleh jugaklah!

Tetapi di celah-celah kesibukan itu rutin kebajikan ibu_suri tetap kena dijaga. Bagi aku ibu_suri seperti anak kecil yang kalau makan, mandi dan pakainya sempurna maka kuranglah ragamnya. Senanglah kerja-kerja lain hendak diteruskan. Sesekali bila melihat senyum dan mendengar tawa ibu_suri rasa belas menjadi semakin dalam. Aku tahu ibu_suri percaya dan mengharapkan 100% pada perhatian dan kejujuranku menjaganya. Akupun tidak sampai hati mensia-siakan harapan itu malah selalu berdoa muga Allah tetapkan hati dan perjalananku bersamanya. Biarlah betapa susah, betapa jemu, betapa tertekannya aku dalam rutin menjaga kebajikan dan ragam ibu_suri, aku akan tetap sabar dan ikhlas menjaganya. Muga-muga!

Namun semalam di celah-celah kesibukan ini aku terima panggilan talipon dari Angah. Lalu semalam, semalaman aku berada di IPD Perda. Sekali lagi menerjah ke sana yang entah untuk keberapa kalinya dan entah sampai bila...Huh!

"Ayah, Zam tengah belajar macam mana nak jadi sabar dan tenang macam ayah.." ujar anak saudaraku yang juga memanggil aku dengan gelaran 'ayah' sewaktu memandu balik dari IPD Perda.

Namun dalam sibuk, blog tetap di update 2 hari sekali lantaran menulis umpama minum pagi yang tidak boleh aku tidakkan!

Rabu, 27 April 2011

Satu-satunya Kes Di Dunia

Di dalam sujud terakhir solat Dhuha, aku sempat berdoa untuk kesejahteraan buat sahabat sekerja ku Azimi yang diberitakan akan menjalani pembedahan di HBPP hari ini. Beliau mengalami ketumbuhan di jantung; satu-satunya kes yang ditemui di Malaysia malah khabarnya di dunia. Ini diperakui oleh doktor pakar di IJN.

Harapannya untuk berjaya adalah 20% ke 80%. Aku umpamakan seperti sesaorang itu sedang berjalan untuk melalui satu pintu yang dia tahu malaikatul maut sedang menunggu di situ. Cuma dia tidak pasti adakah waktu itu gilirannya.

Lagi khabarnya, beliau terpaksa mempertaruhkan masa depannya walaupun berkemungkinan hanya 20% harapannya untuk berjaya. Ibarat luah mati emak di telan mati bapa. Kalau tidak dibuang ketumbuhan itu besar kemungkinan dia akan diserang stroke yang lebih hebat.

Senario sakitnya bermula apabila satu hari pandangan dia tiba-tiba kabur. Dia dikejarkan ke klinik dan kemudiannya ke hospital dimana akhirnya dia disahkan di serang minor stroke yang menjadikan penglihatannya kabur.

Sahabatku ini adalah seorang yang baik. Aku amat mengharapkan Allah memberikan yang terbaik buatnya.

Dan aku berharap keluarganya akan terus bersabar dan tenang menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku.

Ameen!…..

Selasa, 26 April 2011

Bihun Goreng Kampung

Ahad lalu aku balik kampung. Tujuannya untuk mengambil set hantaran perkahwinan Angah yang aku minta adik-adik aku buatkan. Daya kreativiti ibu_suri sudah tumpul. Kalau tidak, selalunya dialah yang buatkan hantaran untuk adik-adiknya dahulu.

Foto Hiasan
Terasa letih memandu. Mengantuk. Kerap berhenti membasuh muka serta melonggarkan urat sarat. Mungkin kerana sebelum bertolak aku sempat beriadah di Tasik Mengkuang. Pepagi lagi aku terima sms dari blogger JH mengajak aku join sama berPATT. Aku tanpa fikir panjang bergegas ke sana dengan harapan dapat berjumpa sahabat yang lama tak ketemu.

Di kampung, adikku Duyah yang ditugaskan oleh keluargaku untuk menjaga kebajikan mak yang lumpuh sebelah badan, sempat memasak bihun goreng.

“Bihun goreng kampung ni, Yop. Mesti sedap punya.”

Dan ya.. memang sedap. Persis yang pernah mak masakkan untuk kami semasa kecil dahulu. Besar mata ibu_suri bila melihatkan aku tambah..satu senduk..satu senduk..hingga tegak belakang badanku menahan kekenyangan. Perencahnya simple sahaja. Taugeh dan sambal ikan bilis. Duyah senyum panjang melihat aku berselera makan bihun yang digorengnya. Seronok tengok Yop makan, ujarnya.

“Tau tak satu-satunya jenis sayur yang kita makan dari daun hingga ke akarnya?” Geleng kepala.

“Taugeh ni la…” terangku.

Aku teringat seorang kawanku yang cerewet dengan taugeh. Sanggup dia asingkan satu demi satu taugeh itu dari kelompok mee di dalam pinggannya semata-mata kerana dia pantang. Angin, katanya. Hmmm… muda-muda lagi dah ada pantang!

Sabtu, 23 April 2011

Langit Tidak Jadi Hujan Petir

Semalam, aku ajak ibu_suri makan malam di gerai nasi kandar bersebelahan Public Bank dan Hong Leong Bank di Kepala Batas. Siangnya  aku cuma jamah roti dan kuih sahaja. Terasa lapar sungguh.

Seperti biasa aku dahulukan ibu_suri memilih lauk. Dan seperti biasa juga, ibu_suri lambat untuk memikirkan lauk apa yang dia mahu makan. Kesian si 'aci' itu menunggu dengan senduk di tangan kanan dan pinggan nasi di tangan kiri agak lama. Dipilihnya telor dan sotong. Dah habis pikiaq la tu, bisik hatiku.

Lalu aku memimpin ibu_suri ke meja makan di bawah payung. Aku dapat rasakan langit agak muram. Senang nanti kalaulah tup..tup.. hujan turun tak perlu lari mencari tempat teduh, fikirku. Setelah aku meminta aci ambilkan lauk seperti yang dipesan oleh ibu_suri  beserta sudu dan tisu, aku letakkan di hadapan ibu_suri. Sekali lagi, untuk order minuman, ibu_suri berfikir agak lama untuk 'nak minum apa?'

Setelah selesai aku memilih makanan aku sendiri aku duduk di kerusi sebelah ibu_suri. Tiba-tiba;

"Tengok you ambilkan lauk apa?" Mata ibu_suri terbeliak tajam menerjah jantungku.

Arrgggghh..... macammana boleh terambil limpa dan sotong nih!

Serta merta aku minta sorry dari ibu_suri. Huh! Bimbang sungguh kalau-kalau dia naik angin di tengah orang ramai ini seperti yang pernah aku lalui di zaman ibu mengalami bi-polar disorder tahap 1.

Aku perhatikan sekali lagi wajah ibu_suri. Aku  pegang tangannya dengan lembut sambil cuba membaca riak air muka dan mendalami jiwanya. Aku cuba aleh ke topik lain.

"Jangan sebut perkataan telor tu kuat-kuat. Nanti orang ingat apa pulak?" Dan ibu_suri ketawa terkekeh-kekeh. Ingat blue la tuh. Fuhh... Lega rasa di dalam dada. Langit yang tadinya kujangka akan ada hujan dan petir seperti bergemerlapan dengan bintang-bintang!

Tak dapat kubayangkan jika betul-betul 'hujan dan petir' berlaku tadi...

Khamis, 21 April 2011

Terima Kasih!

Aku melabuhkan tulang belakang ke kerusi panjang. Balik dari rumah mak di Air Itam sejam lalu selepas selesai menghadiri temuduga dengan doktor pakar di GH untuk permohonan kad OKU untuk ibu_suri.

Mata terpaku ke siling rumah yang sawangnya baru sahaja aku bersihkan semalam. Majlis akad nikah Angah insyaAllah - Ahad: 1 Mei 2011. Kurang lebih 10 hari sahaja lagi. Rumah? Hurrmmm...

Sebenarnya aku ingin berterima kasih pada sahabat serta adik beradik yang banyak menolong aku. Tak kiralah samada di sudut wang ringgit, tenaga hatta nasihat. Masing-masing begitu prihatin ingin membantu. Walaupun dadaku semakin kuat gelombangnya tapi aku buat biasa sahaja. Senyum dan ketawa hingga ada yang menyangka aku begitu gembira hendak menyambut menantu. Sebenarnya mereka tidak tahu aku sedang menyorok resah di sebalik senyum dan tawaku itu. Pendekata, siapa yang pernah melalui, fahamlah bagaimana perasaan aku di saat-saat kritikal begini.

Aku ambil positif pada setiap yang datang kepadaku bertanya khabar dan mencadangkan pelbagai idea untuk majlis perkahwinan Angah. Ada yang bagi idea A dan yang lain pula bagi idea B untuk hal yang sama. Aku angguk saja. Malah ada yang nampak seperti marah-marah bila kelihatannya aku seperti tidak mempraktikkan saranan mereka.

Wajah Tenang Abdul Rahman Sudais
Aku harap sangat Along akan balik awal untuk membantu aku touch up mana-mana yang patut di dalam rumah. Sebenarnya, tenaga dan pemikiranku sudah ditahap tepu. Mana tah lagi nak melayani rutin aktiviti ibu_suri yang 100% mesti diipenuhi.  

"Abang, pi la mandi. Dah dekat pukul 9 ni. Bawa I pi ronda..."

Walaupun terasa amat berat untuk mengangkat badan, aku capai juga tuala. Aku tiba-tiba teringat pada Abdul Rahman Sudais, Imam Besar Masjidil Haram yang mungkin masih memberi kuliah Maghrib di Institut Ibnu Qayyim. Betapa seronoknya kalau berada di sana sekarang ini.

Apa-apa pun, terima kasih pada blogger JH yang selalu mengingatkan aku pada solat sunat Dhuha!

Selasa, 19 April 2011

Mengembek Lagi

Aku mengembek beberapa kali. Entah kenapa, aku terasa sangat jauh hati. Mungkin agaknya kerana aku sudah dirasakan tidak boleh dimanafaat menyebabkan aku disinggit dengan begitu pedih sekali.

Foto Hiasan cuma
Aku mengembek. Entah untuk beberapa kali. Aku seperti merasakan, gerombolanku di sana memandang diriku persis makhlok yang asing. Benarkah namaku sudah dipadam dari senarai gerombolan itu? Atau aku sahaja yang perasan seperti diasingkan?

Aku mengembek lagi. Aku tahu, sudah hampir 4 tahun aku mengasingkan diri dari kelompok kambing-kambing itu. Tapi bukanlah sengaja. Aku keluar padang kerana aku perlu menjaga ibu kambing yang patah jiwanya. Rencat warasnya. Selama 2 tahun aku bergelut dengan resah dan keluh. Kemudiannya barulah aku dapat menerima rentak tari hidup yang asing itu. Hari ini aku cuba untuk menelusuri jalan lama. Aku cuba jengah padang lama. Aku cuba beri senyum percuma.

Sayangnya.. Aku disinggit atas kesilapan yang aku kira bukan sangat seberapa. Malah aku jadi hairan dengan fenomena yang tak kuduga.

Aku mengembek lagi untuk entah ke berapa kalinya. Aku hanyalah kambing yang terkeluar dari kelompoknya kerana terpaksa menerima takdir Ilahi. Yang kini cuba hendak kembali memasuki gerombolan di tengah padang tetapi tidak menjadi.

Tidak mengapalah...duhai! Biarlah aku sendirian dahulu membujuk hati. Esok-esok, aku cuba menjengah lagi dan memberi senyum manis seekor kambing.

Dikesementaraan ini, biarlah aku hanya mengembek di sini…….di dalam hati!

Ahad, 17 April 2011

Tak Boleh Tidur

Hari ini dan semalam sedikit letih kerana mengemas rumah. Mujur Angah ringan tulang untuk menolong cat bilik dan pangkas pokok bunga. Lagipun, ini semua kan untuk meraikan hari Raja Seharinya...

Semalaman ibu_suri tidak boleh lelap mata. Hanya pukul 10 pagi tadi baru dia lena. Aku biarkan hingga dia terjaga sendiri jam 5 petang. Memang begitu pusingan tidur ibu_suri. Tak tentu waktu pejamnya. Cuma yang aku perasan masanya berubah sedari kalau dulu jam 1 pagi kemudian 3 pagi kemudiannya 5 pagi. 

Kekadang aku berseloroh;

"Boleh pinjamkan ke rasa tak mengantuk you tu? Esok abang cuti, bolehlah main komputer sampai pagi.."

"You nak main komputer tu? Tak mahu tidoq. Jagaaa.... nanti I baling komputer tu.."

Foto Hiasan
Aku pernah juga sekali dua tak boleh pincing mata hingga lewat pagi. Bila gitu, aku akan buat berbagai kerja rumah - seterika baju, kemas meja dan buku atau lainnya yang tidak membisingkan. Buat kerja rumah malam-malam ni best juga. Tenang dan tenteram. Lebih best kalau hujan malam.

Entah kenapa sejak akhir ini tv  kerap sangat siar filem hantu di lewat malam. Tak macam masa aku sekolah dulu, tv banyak siar rencana atau cerita bersiri.

Entahlah, tv sekarang ini makin banyak karut marutnya. Habis, nak salahkan ibu-bapa kerana tidak mengawal waktu menonton anak-anak mereka...

Jumaat, 15 April 2011

Blogger JH

Semalam, aku terasa kesaorangan di tempat kerja. Blogger JH yang juga sahabat akrab aku selama bekerja di sini pergi ke RSK (Kulim, Kedah) kerana setup Training Centre (LADA) yang baru. Ada desas desus bertiup, jika perkembangan LADA di sana positif, dia mungkin akan terus di transfer ke sana. Bermakna aku akan tinggal kesaorangan di RSM (Penang).

bersama menyertai demo GMI
Selalunya kalau di tempat kerja, kami pasti akan makan bersama di kantin. Malah kekadang curi-curi keluar break sebelum solat Asar di surau. Kami banyak berkongsi cerita hal-hal peribadi, keluarga dan pertubuhan. Kekadang aku menasihatinya. Kekadang dia menasihati aku pula. 

Kalau benar dia akan di transfer ke RSK bermakna aku akan tinggal kesaorangan di RSM. Walaupun ramai kawan-kawan lain tapi takkan sama dengan JH. Rakan yang selalu menolong aku ketika susah dan tumpang gembira bila senang. Rakan yang sesama jatuh bangun dalam pertubuhan, sesama berusrah, sesama bernasyid, sesama bersilat dan sesama ke Gunung Tahan. Malah pernah kami di gelar saudara kembar.

Aku harap persahabatan kami ini akan terus kekal jika pun benar kami tidak akan bersama di RSM lagi.

Semasa memandu  balik dari kerja semalam terasa sayu mendengar lagu ini dari mp3 kereta. Memang benar, kita cuma akan terasa kehilangan bila sesuatu itu sudah tidak ada di tangan.

The Zikr - Antara 2 Cinta

Powered by mp3skull.com

Rabu, 13 April 2011

Kekok

Barangkali ada benar kata-kata blogger JH beberapa hari lalu di surau tempat kerja.

"IM sejak dua menjak ni asyik senyum memanjang"

Aku ingatkan dia kenen aku pasal dapat surat kenaikan pangkat awal April lalu.

ibu_suri dan bakal menantu
"Maklum le nak dapat menantu." sampuk kawanku sorang lagi.

Ohoo... kesitu rupanya!

"Tapi dia pun kekok juga tu nak dapat menantu perempuan. Dalam rumah dia mana ada perempuan melainkan ibu_suri je...."

Betul juga tu. Selama ni dalam rumah ku semuanya anak lelaki. Kalau tak pakai baju atau nak ke bilik air, aku tak kisah sangat sebab semua kami kaum sejenis. Tapi tak lama lagi aku akan dapat menantu perempuan.

Hurmm... nampaknya aku kena buat sikit adjustment dalam kebiasaan hidup seharianku kelak. Dan lagi, aku perlu belajar mempunyai sikap sebagai bapa mertua dan besan. Aduhai... hidup ini tak lepas dari pelbagai ujian. Lepas satu....satu....

Ahad, 10 April 2011

Songkok Tinggi

Aku selalu menemani ibu_suri ke Mesyuarat Agong Koperasi Pelaut Pulau Pinang yang selalunya di adakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Ramai ahlinya yang datang. Lebih seratus ahli. Kebanyakannya tua-tua belaka. Ada yang bertongkat. Ada yang berjalan terkengkang. Dari jauh pun sanggup datang. Hebat mesyuarat mereka. Terutama ketika agenda belanjawan dibentangkan.

Tadi pagi, aku sendiri hadiri Mesyuarat Agong Bank Persatuan di Institut Kemahiran Belia Negara ( IKBN ). Gitu juga, ramai orang yang datang. 500 lebih. Mak cik tua pun datang. Dengan anak cucu. Gitu juga. Belanjawan adalah agenda utama yang hangat. Mana tak nya... juta-juta RM be...

Tapi tak sama fenomena yang aku sendiri lalui semasa mesyuarat NGO yang aku sendiri menjadi AJK utama satu ketika dulu. Nak dapatkan korum minima 20 orang pun susah. Jenuh keloi!

Namun kenapa situasi begitu berlaku mudah saja jawapannya.....$$$$$....

Di kedua-dua mesyuarat di atas, setiap ahli yang hadir akan dapat wang poket sebaik sahaja mesyuarat tamat. Sebaliknya mesyuarat NGO ini usahkan nak dapat duit poket, kena buat sumbangan lagi ada la...

p/s:...Jika selama ini di dalam blog politik aku selalu terbaca tentang gerombolan songkok tinggi, di mesyuarat Agong Bank Persatuan tadi aku berpeluang terserempak dengan seseorang yang bersongkok tinggi. Senyum sendirian aku mengenangkan ini....

Sabtu, 9 April 2011

Pagi ini...

Selalunya di pagi hujung minggu aku akan membuat roadtour  ke semua blog yang link  dengan di side bar  IM. Pagi selalunya ibu_suri masih tidur kerana dia hanya rasa mengantuk sekitar 3 atau 4 pagi..

Tapi kali ini aku minta maaflah. Tak larat rasanya nak mengadap komputer terlalu lama. Cuma sempat singgah di sekitar 10 blog terkini. Mata mula terasa letih. Sementelah, kerja pun hampir  70% dari waktunya menghadap komputer juga.

Semalam ibu_suri beria-ia suruh aku belikan ayam dan itu...ini.. Dia minta aku masak paprik.

" I ajar la you  masak. " bila dia perasan aku cuba mengelak. Bukan apa, dah lama tak pergi pasar Penanti. Terasa culas. Ala.. kita pi makan kat kedai kegemaran you di Sekolah Islah, Tikam Batu tu aje lah ye...., begitu nanti aku bagi alasan kalau ibu_suri bangun dan bising-bising kat aku bila dia bangun nanti, agaknya!

Trek kegemaran
Sebenarnya, fikiran aku masih bersimpang-siur dengan persiapan majlis akad nikah Angah yang cuma beberapa minggu sahaja lagi ini. Tak sedar masa berlalu begitu cepat. Rupanya dah setahun lebih Angah bertunang.

Mungkin juga tak larat aku ini kerana kesan pergi exercise  di Tasik Mengkuang, semalam. Semalam aku cuti kerja. Jadi ambil peluang .. bukan jogging  pun. Cuma berjalan cepat di trek kegemaran aku di sana.

Dah berumur macam aku ni, berjalan jauh sikit aje, letihnya berhari-hari. Belum lagi bila bergelar warga emas nih!

Rabu, 6 April 2011

Ampunkan Aku, Tuhan!

Benar-benar terperosok
ke satu sudut
yang aku rasa seperti tidak boleh lagi ke mana-mana
melainkan pasrah dengan nasib hari esok.

Puas sudah aku menadah tangan ke langit
namun seperti pintu langit enggan terbuka
atau mungkin doaku
lansung tidak terangkat ke sisiNya.


Adakah kerana terlalu banyak dosa
hingga menghijap sekalian bomantera
yang akhirnya membuatkan Dia
tidak nampak keresahanku yang melanda dada.

Ini bukan ombak laut biasa
bukan juga ombak samudera
ini ombak tsunami namanya
yang paling hebat melanda dada
selama aku bergelar manusia.

Tuhan,
tiadakah lagi ruang untuk aku bergerak?
menghela nafas yang panjang
memandang harapan yang menguak.

Tuhan,
masih adakah sudi Kau ampunkan aku
berikan kekuatan
untuk bangun merengkuh perjalanan berkabus?

Aku tidak punya sesiapa melainkan Kamu
paling tidak,
izinkan aku menangis dan tertidur di ribaMu!

Isnin, 4 April 2011

Mana Minuman?

Membaca tulisan Citarasa Rinduan di sini membuat aku terkenang episod makan malam bersama ibu_suri di Restoran Abang E Capati, Kulim.

Semalam aku singgah dengan tujuan untuk makan yang ringan-ringan sahaja. Aku pesan roti  arab sementara ibu_suri pula roti capati. Minum pula Milo O suam dan aku seperti biasanya di sini pesan Gano tarik.

Tunggu punya tunggu tak juga sampai. Ramai orang ni, ujarku pada ibu_suri yang mula gelisah. Bimbang juga aku kalau-kalau ibu_suri melenting di tengah khalayak ni. Kacau nanti.

Beberapa kali ingatkan pekerja restoran yang nampaknya memang cukup kalut. Entah dari mana datangnya orang seramai ini hari ini. Tak seperti selalu yang agak tenang.

Hem, roti dah sampai. Tapi air masih tak ada. Tak sabar menunggu, kami kunyah perlahan-lahan roti itu. Satu suap, satu suap.... air masih tak sampai. Selalunya di mana-mana restoran pun kami pergi, air sampai dulu, tapi kali ini tidak.

Akhirnya, bila melihatkan pekerja lalu membawa dulang penuh minuman aku capai satu gelas untuk ibu_suri. Jangan banyak ragam; minum je, tegasku pada ibu_suri.

You tak ada minuman?

Tak apa!

Sampai ke sudah minuman itu tak datang. Akhirnya aku pergi ke kaunter, membayar bil. Bila di beritahu bahawa makan untuk 2 orang tapi minuman cuma satu, tidak pula mereka minta maaf kerana kelemahan layanan.

Aku buat muka biasa sahaja bila ibu_suri merungut di sepanjang jalan balik ke rumah. Takkan aku nak simbah minyak pula di ketika api sedang marak, kan! Aku katakan pada ibu_suri, kita perlu berlapang dada. Mereka tu sebenarnya ada masaalah pekerja buat minuman, agaknya. Entahlah, lain kali ibu_suri mahu atau tidak makan lagi di situ!

Sabtu, 2 April 2011

Tidur Rumah Kawan

Sewaktu makan pagi di kantin lokasi kerja, aku sempat diberitahu oleh rakan tentang anaknya yang mula pandai tidur di rumah kawan. Aku amat memahami kebimbangannya kerana insiden itu pernah  aku lewati lama sebelum ini.

"Anak ini kalau masih kecil letih badan kita kerana nak hambat dia berlari dan memanjat ke sana ke mari. Bila dah umur belasan tahun pula letih jiwa raga kerana risau akan arah jalan kehidupannya. Bila dah dewasa letih fikiran pula kerana nak menguruskan kedewasaannya pula."

Foto hiasan Google
Ujarku lagi, "anak ini kalau dah mula balik lewat selepas 8 malam, selalu membeli gula-gula Hacks, masuk bilik, kunci pintu atau sering tidur di rumah kawan.... ada sesuatu yang perlu kita khuatiri."

Pada pandangan aku makan malam bersama adalah aktiviti paling minima perlu ada dalam  setiap komponen keluarga. Paling baiknya, hidangan itu dimasak dan disediakan oleh ibunya sendiri.

"Cuba kita fikir, makanan yang paling kita gemari ialah makanan yang emak kita masak dulu. Dan cuba bayangkan zaman ini; bagi keluarga yang selalu makan di kedai.... kenangan apa yang anak mereka boleh bawa ke masa dewasa mereka kalau ditanya tentang makanan yang paling mereka suka?"

Sebenarnya, kata-kataku pada kawanku itu adalah pengalaman yang aku sendiri lalui dalam kehidupanku; bukan retorik atau puisi yang puitis!