Halaman

Khamis, 30 Jun 2011

Masih Kepeningan...3

Sekiranya Allah hendak renggut nikmat yang kita miliki selama ini hanya dalam masa sedetik sahaja. Tidak susah bagi Dia. Cuma hanya dengan kata-kata - Kun, maka jadilah seperti kehendakNya.

Hari Sabtu lalu aku menghantar Kancilku ke Perodua untuk simple servicing. Itupun memakan kos RM160. Kemudian aku hantar pula ke kedai tayar Asia di Penanti. Perlu gantikan tayar hadapan yang sudah botak dan membuat penjajaran. Itu pula memakan RM240. Bermakna kesemua itu berjumlah RM500.

Ahad pagi aku pulang ke kampung bersama ibu_suri dengan hasrat menziarahi emak. Aku dapat rasakan memang mak menanti kepulangan kami berdua sejak majlis walimah Angah. Aku cuba untuk duduk lama dengan mak dan balik hanya selepas Maghrib ditunaikan.

Manalah tahu. Hanya tidak sampai 10km sahaja lagi untuk sampai ke rumah, tiba-tiba kemalangan. RM500 yang dikeluarkan untuk penyelenggaraan kereta itu sebelum itu lesap dalam masa kurang 48 jam. Digantikan pula dengan kos baikpulih akibat kemalangan yang mungkin mencecah RM10 ribu. Itupun jika pihak insuran Maybank ETIQA tidak mengisytiharkannya sebagai total loss.

Aku sepatutnya bersyukur. Kecederaan teruk hanya pada kereta yang boleh dibaikpulih. Kejadian ini juga membuatkan aku tersedar. Kembali membuat penjajaran terhadap laluan perjalanan hidup. Aku tahu, aku masih banyak dosa dengan Tuhan!

( Kalau pergi ke Perodua di Auto City, boleh lihat Kancil ibu_suri - PHF 1407 di parkir, sebelah kanan pintu masuk. Masih dalam proses kelulusan insuran. )

Rabu, 29 Jun 2011

Hati Oh Hati!

Mungkin menipu orang lain itu kita boleh. Yang ditipu mungkin tidak tahu dia tertipu. Tapi bolehkah hati kita menipu diri kita sendiri?

Aku selalu mengatakan pada anak maupun rakan-rakan bahawa hati besar boleh menipu dirinya tetapi tidak kepada hati kecil. Hati kecil selalunya akan membisikkan kata-kata yang benar kepada diri kita. Cumanya, keEGOan yang tebal menyebabkan diri kita tak mahu mengaku kebenaran kata-kata dari hati kecil. Hati besar kita mengatakan bahawa kita seorang yang open minded. Sedia ditegur dan menerima teguran. Akan tetapi apabila kita benar-benar di tegur, kita cuba menangkis setiap teguran itu dengan pelbagai nas. Sedangkan sebenarnya jauh di lubuk, hati kecil kita tidak menafikan teguran sahabat kita itu adalah benar.

Sejak Jun 12, blog baruku Hentian… siap dibina. Kononnya ingin keluar dari imej sedih-sedih kepada imej gembira. Ingin membuang perspektif  pembaca yang aku kira agak negatif terhadap aku di insan marhaen. Hati besar aku selalu rasa gembira dan berusaha keras mengelokkan profail blog Hentian... Akan tetapi…..ahhh!

Bila sendirian memandu, bila sendirian di ‘bilik termenung’ aku seperti dipanggil-panggil oleh blog lamaku insan marhaen. Aku seperti kehilangan rakan-rakan maya, seperti kehilangan catatan kenangan, seperti bersikap kacang melupakan kulit. Blog insan marhaen adalah tempat aku mencurahkan seluruh isihati bila di dalam kekecamukan dan keresahan. Namun bila keadaan sudah agak cerah dengan sinar matahari pagi, aku cuba meninggalkan ia begitu sahaja.

Rupanya aku lebih senang dengan blog insan marhaen. Dengan konsep penulisan aku sendiri. Tanpa ada hipokrasi dan egoistik. Aku harap rakan followerku yang dahulu akan datang follow blogku kembali disamping mendapat follower yang baru. Blog insan marhaen ini masih mempunyai konsep yang lama cuma alamat linknya sahaja yang baru untuk mengelakkan dari setiap entrinya terpapar di facebook aku yang membuatkan semua orang boleh membaca tanpa batas.

Selasa, 28 Jun 2011

Masih Kepeningan...2

Sekitar tubuh terutama bahagian kanan semakin terasa sengal. Terutama kepala yang berdenyut bak orang demam panas.

Tidak mengapa juga kalau begitu adalah aku. Tapi ibu_suri yang juga mengalaminya lebih aku bimbangi. Sudahlah dia memang separa normal ditambah dengan kesakitan yang sebegini. Dia kerap merasa pilu kerana Kancil yang dia beli melalui titikpeluhnya sebagai guru tadika dan tuisyen dahulu kini remuk. Agaknya seserius mana remuknya kereta itu begitulah remuknya hati ibu_suri. Cuma dia tak bisa meluahkankannya selain dari airmata. Aku membujuknya dengan menyuruhnya bersyukur kerana tubuh badan kami tidak seremuk Kancil itu. Malah masih boleh makan, berjalan dan mandi manda walaupun kekadang melelong juga.

Wira yang aku beli demi keluarga
Trauma kemalangan Ahad lalu membuatkan aku fobia bila memandu kereta Wira yang Angah pinjamkan pada aku. Biarlah Angah bawa motor sementara ni, katanya. Aku menjadi terlalu amat berhati-hati terutama bila melihat motor yang menyelit di celah aku.

Namun sesekali aku bimbang juga kerana isterinya -  Ayu dah mula loya-loya. Selalu aku menasihati supaya hati-hati membawa motor. Kalau tidak kerana ibu_suri yang mahu dibawa bersiar-siar di waktu malam, aku lebih rela duduk di rumah supaya Angah boleh menjemput Ayu pulang dari kerja dengan Wira.

Rapuhnya diri kita ini bak sebiji gelas. Jatuh sahaja ke lantai akan pecah berderai. Kereta kalau rosak ada spare part untuk diganti. Tapi kalau badan kita rosak? Begitu kata-kataku membujuk ibu_suri. Agaknya Tuhan 'masih pandang' pada kita. Justeru itu dia selalu uji kita supaya ingat padaNya!

Isnin, 27 Jun 2011

Masih Kepeningan

Masih pening-pening. Mujur juga Angah bijak suruh aku ambil MC. Boleh rehat disamping menjaga ibu_suri kalau-kalau emosinya terganggu. Bila dia bangun nanti kami berdua perlu pula ke Perodua Juru. Aku pun tak tahu apa yang patut dibuat. Selalunya bila dalam keadaan pengalaman masih kosong aku akan dengar nasihat dari yang 'pakar'.

Aku pernah juga mengalami keterukan begini semasa masih baru memegang lesen. Tapi itu bukan aku punya sebaliknya sewa dari orang lain. Aku cuma bayar denda kemudian urusan seterusnya tuan punya sewaan itu lah yang tanggung. Kali ini aku perlu hadapi sendiri. Yang lebih menambah kebimbangan, itu milik ibu_suri. Aku cuma membawa.

bahagian sisi pemandu rosak teruk.
Foto cuma hiasan
Aku pun tak perasan bagaimana boleh terjadi. Cepat sangat. Tau-tau berdentum dan enjin terus mati. Aku terpinga-pinga sekejap. Ramai orang berkerumun tiba-tiba. Nasib baiknya ibu_suri cool sahaja. Aku terus talipon Angah. Dialah yang banyak memberi arahan dan ingatan pada aku yang masih pening.

"Ayah, jangan peduli apa yang orang tarik kereta tu kata. Ayah call Perodua minta nasihat." nasihat Angah.

Tak lama kembalik Perodua pun sampai. Pemandu Cina yang keretanya tersenereh dengan Kancil aku pun dah hilang entah ke mana. Keretanya di tarik oleh kembalik Heap Bee. Dia tu mabuk agaknya, kata sesetengah orang ramai. Dok merepek dan berbau alkohol!

Aku cuba mententeramkan diri dan bersyukur kerana aku dan ibu_suri tercedera sedikit sahaja. Kata orang ramai itu lagi, titi Sungai Permatang Rawa di depan Taman Guru, Tanah Liat ini memang kawasan maut. Terlalu banyak kemalangan berlaku di sini.

Sabtu, 25 Jun 2011

Beri Laluan

Udah lah kelmarin aku terlewat setengah jam sampai ke lokasi kerja kerana senak perut sebelum sempat mandi. Semalam pula aku bangun lewat lagi dari sepatutnya. Mujur ibu_suri tidak meminta untuk memandikan dia. Agaknya dia faham yang aku akan bertambah kelewatan jika  permintaannya ditunaikan.

Lewat keluar dari rumah walaupun 5 minit akan menyebabkan aku terpaksa mengharungi kesesakan trafik yang bukan sedikit di pekan Penanti dan Jambatan Pulau Pinang. Dek bimbang akan lewat lagi untuk kali ke 2, aku memecut Kancilku di celah-celah ruang-ruang kosong di antara puluhan kenderaan.

Sebelum ini  aku selalunya akan memperleceh motor-motor kapcai yang sering menyelit di celah-celah kereta di depanku. Tak sayang nyawa, getus hatiku. Gunalah lorong kiri. Nanti kalau kena langgar kan naya!

Tapi rupanya paku dulang paku serpih. Pagi ini giliran aku pula sekejap memotong ke kiri dan kanan kerana mengejar jarum jam yang terus berputar menghampiri waktu

Sebaik saja melepasi Plaza Tol dan mula memasuki jambatan tiba-tiba minda aku terketuk. Ah, rupanya aku pun 2X5 dengan mereka yang menaiki kapcai itu.

Bukankah indah kalau kita berhemah, bersabar dan berlapang dada memberi ruang kepada yang memerlukan laluan? Kalau pun sampai awal cuma mungkin 5 atau 10 minit sahaja!

Foto Hiasan

Jumaat, 24 Jun 2011

C.A.T

Sambil memandu balik dari bawa ibu_suri makan tadi terbayang-bayang pula pada surat yang aku terima di petangnya. Bukan sangat kepala surat bercopkan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah itu puncanya. Akan tetapi moto di kaki surat itu yang tertulis;

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
CEKAP, AKAUNTABILITI, TELUS

Setahu aku motto Cekap, Akauntabiliti, Telus atau CAT itu adalah motto Kerajaan Negeri sekarang. Kepala surat pula tertera jata Kerajaan Persekutuan. Senang hati pula aku melihat fenomena ini.

Apa-apa pun, isi surat itu yang lebih menggembirakan kerana permohonan ibu_suri untuk mendapat kad OKU telah berjaya walaupun mulanya aku agak ragu-ragu kerana temuduga yang dilakukan oleh doktor pakar terhadap ibu_suri beberapa bulan lalu seperti sebaliknya. 

Mudahlah nanti ibu_suri menggunakan kemudahan parkir dan bilik air OKU di  Hentian lebuhraya, hospital atau di mana-mana yang sepatutnya. Layak untuk terima kemudahan, kenapa ego untuk tidak merebutnya!

Rabu, 22 Jun 2011

Sepatutnya Aku, Bukan Mak!

Selesai sudah sibuk dan tension dalam menyempurnakan tanggungjawap terakhirku sebagai bapa mengahwinkan anakku – Firdaus. Kemudian, perhatianku di fokuskan pula kepada audit dalaman (IQA) di tempat kerja.

Ditakdirkan Tuhan, kedua-dua ujian ini datang di masa yang hampir serentak. Nasib baik juga aku bijak menggunakan switch board di dalam otak aku ni. Bila di ofis, aku buka suis ofis dan tutup suis rumah. Bila di rumah pula, aku buka suis rumah dan tutup suis ofis. Jika tidak bijak begitu mau sawan aku dibuatnya dek tekanan yang bukan kepalang.

Sesambil itu aku sibuk pula mengemas rumah dan menghantar semula perlatan yang aku pinjam dari rakan dan saudara mara. Sibuk juga membayar saki baki bayaran sewaan dan barang belian serta upahan pada mereka yang berkenaan.

Tiba-tiba semalam, talipon aku bergetar. Terpandang sahaja nama emak aku terpapar di skrin talipon aku menggetus; Arghh… Terlupa pulak nak talipon mak!

Aku menekan punat warna hijau itu dengan penuh rasa bersalah.

“Apa kabo kamu?”

“Sihat mak?”

“Mak bukan apa. Saja je nalipon kamu. Kalau kamu sihat, tak pe le. Itu aje le ye. Assalamualaikum!”





Pendek aje cakap-cakap mak. Aku pun terkapa-kapa dalam rasa bersalahan. Sepatutnya aku menalipon mak dan bukan sebaliknya.

Selasa, 21 Jun 2011

Tiada Lagi...2

Begitu akrab perhubungan antara gusi dengan anggota tubuh yang lain. Bila ianya diserang bakteria hingga membengkak, kesakitan itu turut dirasai oleh gigi, oleh kepala dan seterusnya seluruh hari adalah hari yang serba tidak selesa oleh insan kamil yang bernama Aku.

Bagusnya kalau keakraban bagitu ujud dalam keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita. Aku cuba bayangkan betapa damai dan harmoninya jika pabila seorang dari kita susah, kita yang lain turut bersimpati dan menumpang rasa susah. Kalau seorang dari kita pula dikurnia senang dan gembira kita juga tumpang ketawa. Bak kata orang; cubit peha kiri peha kanan terasa juga. Hidup bak aur dengan tebing. Saling bahu membahu.

Dr Ameen memberi aku 2 jenis antibiotik dan satu jenis ubat tahan sakit untuk makan bila perlu sahaja. Ini kali ke 2 aku datang dalam masa 3 minggu.

Bak kata kawan sekerjaku Jo, Allah sudah ambil semula nikmat yang dia beri dari kita. Nikmat makan menggunakan gigi geraham tak akan sama dengan nikmat makan menggunakan gigi seri apatah lagi gigi taring. Baru aku terasa akan kehilangan nikmat itu adalah kekal!

Ahad, 19 Jun 2011

Senyum Tenteram!

Tengahari tadi aku bawa ibu_suri menziarahi anakku di sini. Secara dasarnya Akhmal ok cuma katanya boring. Aku cuma menasihatinya supaya bersabar. Sendiri cari, sendiri tanggung! Hik..Hik..!

Berbelanja rm50 buat beli keperluan itu dan ini dia selama seminggu. Aku hanya dibenarkan menandakan senarai keperluan yang sedia ditulis di atas lis yang disediakan mereka. Mereka akan dapatkan dari kedai... hmmm.. mungkin koperasi mereka, agaknya. InsyaAllah, kalau tak ada halangan minggu depan aku akan ziarah dia lagi. Dah jadi satu tanggungjawap sebagai bapa walaupun sekadar diangkat.

Seperti selalunya ibu_suri akan menangis. Gagang talipon yang dipegangnya hampir basah. Ya lah, ibu mana yang tidak sedih dan pilu melihat anak jadi begitu. Namun, Sebusuk-busuk daging, dicincang dimasak, dimamah jua.

Sepanjang jalan balik ibu_suri muram. Aku cuba memujuknya dengan nasihat dan jenaka. Aku ajak dia singgah makan di gerai tepi rel berkembar yang sedang dibina tidak jauh dari menara jam bandar Sungai Petani. Sedap juga masakan di situ. Ada cendol pulut pulak tu!

Malam pula aku bawa ibu_suri makan di Restoran  Kari Corner di Permatang Keling, Restoran ini menyediakan lauk pauk yang pelbagai. Aku suka dengan gulai lemak sayur fucuk dan cendawan butang.

Kah...Kah...Kah...Hampir 30 batu jauhnya dari rumah aku semata-mata untuk bawa ibu_suri makan malam. Bagi aku, asalkan emosi ibu_suri tenteram, itu sudah 1000 rahmat.

Orang lain tidak tahu ini. Aku seorang sahaja yang tahu. Hatta mungkin tidak juga pada anak aku yang baru di walimahkan itu!

Jumaat, 17 Jun 2011

Dugaan Hidup

Sudah separuh abad rupanya aku hidup di atas kulit bumi ini. Menghirup udara, makan dan minum dengan rezeki yang Allah beri. Tak sangka begitu lama juga Allah beri peluang kalau dikira mengikut angka. Tapi kalau dikira mengikut kesempatan macam baru semalam sahaja aku mengecapi zaman remaja. Macam baru semalam juga aku merasai zaman muda.

Memanglah, lain padang lain belalang. Lain orang lainlah ujian yang diterima. Tidak terkecuali diri aku. Usah singkap kisah semasa kecil kerana itu semua di bawah tanggungjawap mak dan abah.

Sekarang ini aku adalah ketua rumahtangga. Isteriku ditakdirkan menghidap sindrom Mood Dis-order sejak 2007 dan perlu di rujuk kepada pakar psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang setiap 3 bulan seperti hari ini. Anak cuma 3 orang dan kesemuanya lelaki. Sudah besar dan berdikari. Paling kecil mengalami sindrom Learning Disability yakni Disleksia yang hanya sempat aku kesan ketika dia belajar di Tahun 5 pada 2004.

Kesemua dugaan ini aku yakin Allah beri untuk melihat sejauhmana kekuatan, kesabaran dan ketahanan aku menghadapinya. Aku sedaya upaya mengharunginya walaupun kekadang terpaksa bertongkat dagu. Syukurlah kepada Allah kerana dikurniakan ujian yang sekadar termampu aku tanggung. Jika dibandingkan dengan mak aku semasa aku kecil dahulu rasanya dugaan yang mak aku terpaksa pikuli lebih berat. Jika aku ditempat mak belum tentu aku tahan memikulnya.

Aku menarik nafas panjang bila teringat perkataan Allah ini;

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (At – Taqaabun ayat 11)

Rabu, 15 Jun 2011

Corat-Coret Majlis Walimah Firdaus & Ayu...2



RM10 itu masih lagi terdampar di meja tepi katil ibu_suri. Tak berpeluang untuk memasukkannya ke dalam tabung masjid demi memanjangkan sedekah. InsyaAllah, Jumaat ini harapnya.

Tatkala kenduri berlansung ada seorang lelaki berketayap putih dan banyak giginya sudah tiada. Bila aku bertanya umurnya dia jawap:…. lebih seratus tahun! Aku mengangkat kening.

"Wah, kalau gitu awak ni lelaki paling tua di Malaysia!” balasku bersahaja. Firdaus beritahu kebanyakan orang memanggil lelaki ini Mat Salam. Mana tidaknya, kerja dia kalau berjumpa dengan orang asyik bersalam. Kemudian akan bertanya; tinggal di mana? Ooo… Saya kenal dengan si Anu tu… pernah tolong dia buat kerja.

Dia memang selalu berlegar di dewan Kondo Mutiara ini kalau mengikut kata guard. Bila saja ada kenduri dia akan tumpang makan dan tolong buat kerja.

Makannya bukan sekali. Sepanjang yang aku perasan, kenduri walimah Firdaus ini dah 3 kali. Tak kisahlah hatta 10 kali pun. Takkan luak sangat nasi kenduri Firadus ni. Cumanya aku kaget juga, badan sekurus ini boleh diisi dengan 3 pinggan penuh nasi!

Sedari kenduri bermula hinggalah ke saat akhir meja makan pengantin ditanggal dan dimuatkan ke lori, dia begitu rajin buat kerja.

“Saya buat kerja ini kerana Allah, bang!” Beberapa kali ayat itu diulang-ulanginya kepada aku.

"Tu, bungkus telor tu sapa bagi?” Tanyaku bila ternampak beg plastik merah yang dipegangnya.

"Tak tahu bang. Bebudak kat belakang tu bagi.”

Aku agak ini mesti geng katering Habuna Trading yang bagi sebab khabarnya dia rajin menolong mereka membasuh pinggan.

"Ada duit di dalam tu. Jaga elok-elok.” Pesanku sebagai peringatan.

Tanpa aku duga; ….Bang, saya sedekah duit ni kat abang!

"Eh, tak apalah. Kamu ambil duit ni buat beli ayaq. Orang bagi kat kamu.”

"Tak pa, bang. Saya sedekah kat abang.” Berkali-kali dia menyua duit itu dan berkali-kali pula aku cuba menolak. Namun akhirnya aku mengalah bila dia memasukkan duit itu sendiri ke dalam kocek baju batik kuning keemasan aku.

Esok paginya di rumah, Firdaus beritahu;...Ayah tahu tak. Duit RM10 semalam tu Mat Salam bagi kat abah Ayu!

"Laaa… Duit tu dia bagi kat ayah semalam. Duit mana pulak yang dia bagi pada bapa mertua Angah tu?”

Isnin, 13 Jun 2011

Corat-Coret Majlis Walimah Firdaus & Ayu

Semalam itu letih? Ya! Puas? Juga Ya! Ada juga yang bertanya: Perasaan? Yang ini aku jawap..... Bercampur-baur!

Ramai tetamu yang datang mengucap tahniah kerana mendapat menantu. Majlis juga nampak lancar, selesa dan teratur. 

Entahlah, aku pun rasa heran kerana boleh mengurus majlis walimah sebesar 1500 jemputan ini selancar ini sedangkan ini kali pertama. Apatah lagi majlis ini adalah jointventure dengan besanku sendiri. Pendekata -  2 in 1.

Kepada tetamu yang tertentu aku menjawap: ada 5 prinsip yang aku pegang kemas semasa merancang majlis ini;

1. Hadapi dengan tenang terhadap apa juga permasaalahan yang datang. Percayalah bahawa ini hanya ujian dari Allah yang ingin melihat sejauhmana kesabaran hambaNya.

2. Berfikir dan bertindak dengan realistik tindakan apa yang perlu dibuat untuk mengatasi permasalahan itu. Tindakan kena cepat dan tepat. Sebaiknya delegate tugasan kepada yang pakar dan ngam dengan kita. Beri kepercayaan kepada mereka dan jangan banyak komplen.

3. Berlapang dada terhadap semua komentar yang datang dan kepada sikap orang yang berurusan dengan kita. Jangan cepat melatah. Amalkan sikap CUSTOMER ALWAYS COMES FIRST kepada mereka yang membantu kita dan kepada tetamu yang hadir.

4. Berdoa dan pasrahlah kepada Allah. Pohon dariNya agar majlis berjalan dengan sempurna dan jika ada ujian yang mendatang hendaknya biarlah yang mampu untuk kita pikuli.

5. Selepas selesai majlis, ucap penghargaan kepada semua yang telah menolong kita. Pujilah hasil kerja mereka dan tunjukkanlah wajah yang manis walaupun mungkin ada diantara kata-kata mereka itu yang mengguris perasaan.

Alhamdulillah, majlis selesai juga dengan elok. Aku adalah yang paling awal tiba di dewan, juga yang paling akhir meninggalkan dewan. Aku beritahu kepada anakku Firdaus, KENDURI dah selesai. Kita tutup buku apa sahaja cerita negatif yang timbul semasa majlis berjalan. Kita buka buku baru yang perlu dilunaskan yakni.....KENDARA!

Jumaat, 10 Jun 2011

Tiada Lagi

Apalah sangat kita ini, sebenarnya. Nikmat yang ada di diri kita cuma pinjaman dari Allah jua. Semua ini perlu diredhakan jika sampai masa memulangkannya..




link
Sakit gigi ini sudah beberapa hari tapi aku buat tak kisah juga. Namun tak tertahankan lagi bila hendak minum air biasa pun, ngilunya bagai nak terkoyak. Aku agak karies gigi ini sudah mengorek hingga ke pulpa. Ah, akan kehilangan satu lagi gigi  geraham aku, agaknya.

Beginilah akibat kalau alpa dari menjaga gigi sebermula usia muda. Makan pula berkiblatkan citarasa. Ada imbuhan dari majikan untuk penyelenggaraan gigi tidak pula diambil peluang. Bukan malas tapi 'tak kose'.

Dr Ameen seperti tidak tahu ego aku ini tewas dengan jarum. Dibukanya pula penutup jarum di depan mataku. Panjang jarum itu. Aku cuba menekan pipi dan gusiku dengan lidah untuk memastikan pra-ubat kebas yang disembur tadi telah benar-benar menjalankan tugasannya. Hati memang bergantung kepada Yang Satu.

Lalu akhirnya.... erksss...... Aku memejam mata sambil tangan menggenggam kerusi dengan kemas. Daifnya aku ini kerana tidak dapat mempertahankan milikku yang amat berharga ini. Terlalu awal untuk aku kembalikan semula kepada Yang Empunya. Hilang sudah satu lagi nikmat dari diriku ini...

Khamis, 9 Jun 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!...3

Sewaktu berada di dalam kamar Mahkamah II, aku lihat ramainya waris yang hadir adalah kaum Melayu dan India. Kalau ada lain pun seorang Cina.

Pesalah yang berada di dalam kandang juga rata-ratanya Melayu dan India. Ada rakyat Vietnam, Indon dan mungkin Bangla. Ada seorang berbangsa Cina. Adakah ini petunjuk bahawa peratusan kes jenayah kini dipelopori oleh kaum Melayu dan India? Kes-kes pula sedari kesalahan trafik, kegagalan bayar hutang bank, dadah hinggalah kepada kes curi motor.

Duduk di kerusi ala tangga kambing ini amat melenguhkan. Nak bersilang kaki pun tak boleh. Nak tengok talipon bimbit pun bimbang akan dirampas jika ternampak oleh polis mahkamah.

Nak keluar atau masuk melalui pintu kena membongkok dulu ke arah Tuan Hakim tanda hormat. Yang memakai baju kot hitam ini aku agak rata-ratanya peguam. Aku dinasihatkan supaya jangan terpedaya dengan peguam yang menawarkan khidmat untuk pembelaan. Rupanya di sini pun ada peguam ala-ala ulat tiket di stesyen bas ekspress. Kalau boleh, aku katakan ianya adalah ulat kelas atasan!

Memang aku terasa kesaorang dan kesepian di sini. Lantas begitulah agaknya perasaan waris-waris yang terpaksa memikul tanggungjawap untuk ambil peduli terhadap apa yang berlaku kepada anak, suami atau saudaranya. Bagaimana agaknya kalau waris itu dari keluarga yang susah, tua atau sakit?

Kekadang aku rasa beruntung kerana di’anugerah’kan Tuhan berkesempatan melalui skrip yang mendebar dan menekan sukma ini. Plot kehidupan yang begini akan lebih mematangkan peribadi. Dan di saat inilah baru setiap pesalah itu akan mengenali siapa kawan atau saudaranya yang sebenar.

Akhmal di beri pilihan ikat jamin rm8k atau ditahan sementara menunggu tarikh perbicaraan 2 bulan dari sekarang!

Isnin, 6 Jun 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!...2

Kalau sudah lama berkahwin tetapi belum rezeki untuk mendapat anak mungkin boleh dikecualikan. Namun janganlah jika sebaliknya.

Aku selalunya berkata begitu pada rakan-rakan yang datang bertanyakan pandanganku akan hasrat mereka untuk beranak angkat. Mereka bertanya kerana mereka tahu aku ada.

"Fikirlah seribu kali. Menjaga anak angkat tanggungjawapnya berat. Ujiannya juga berat." Begitu nasihatku pada mereka.

Setelah bersalaman, aku duduk di kerusi menghadap Tuan Shuhaimi. Sibuk nampaknya dia sedang menyiapkan laporan kes Akhmal.

"Macammana encik menjaga anak encik?"

Foto Google
Aku terdiam mendengar soalan itu. Tak tahu nak jawap macam mana.

"Saya lihat encik ini seorang yang lembut. Saya hairan kenapa anak encik boleh jadi begini. Bukan anak encik seorang saja. Banyak kes-kes jenayah melibatkan anak angkat. Apa yang tak kena dengan anak angkat ini, saya pun tak faham. Nak katakan orang tua tak menjaga dengan baik, tidak. Macam encik, saya percaya dari cara encik, encik adalah bapa yang bertanggungjawap."

"Mungkin ini cara mereka menunjukkan rasa tidak puashati mereka atas apa yang berlaku. Mereka memberontak dengan cara yang negatif. Seolah-olah membalas dendam pada keadaan yang mereka tidak reda."

Untuk kesekian kalinya berada di IPD Perda itu kerana mahu diambil kenyataan bertulis.

Khamis, 2 Jun 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!

"Abang, macammana dengan Akhmal?"

Mata dan pangkal hidung ibu_suri merah menahan sebak. Aku peluk ibu_suri walaupun aku baru sahaja berwuduk tapi belum bersolat Subuh.

"Tak mengapa. Jika Allah masih sayangkan dia, Allah akan beri dia petunjuk. Abang pi kerja dulu ya!"

"Abang balik cepat ya. I rasa sunyi sungguh!"

Aku akui ibu mana yang tidak meruntun hatinya jika melihat anak sendiri bergari memasuki van polis. Tapi jika itu adalah hakikat hidup yang perlu ditempuhi, tempuhi sahajalah dengan tabah. Bagi aku yang hampir tegar dek biasa perlu lebih teguh sikap dan airmuka berbanding ibu_suri.

Di saat kenduri kahwin Angah semakin hampir, ofis aku akan menghadapi musim Internal Quality Audit (IQA) 2 hari selepas itu. Akhmal pula buat hal lagi.

Di lokasi kerja aku cuba berkeadaan ceria seperti biasa. Di dalam kereta, aku memasang radio sekuatnya. Selalunya, bila begini aku suka dengar lagu-lagu kumpulan Kembara, Sohaimi Mior Hassan dan Ebiet G Ade yang mempunyai banyak lirik-lirik yang positif dan memberi semangat. Waktu breaktime di ofis, aku curi masa untuk solat sunat dan tidur sekejap.

Aku cuba menyerap semua tekanan yang datang!