Halaman

Isnin, 26 September 2011

Surga itu Mahal Harganya

Semalam aku hadiri Majlis Hari Raya anjuran IKRAM Negeri Pulau Pinang di Taman Kelasah, Seberang Jaya. Aku bawa bersama ibu_suri yang merupakan kali pertama penampilannya di khalayak sahabat-sahabat sejamaahnya dulu.

Agak lama juga ibu_suri duduk dan makan di meja barulah ada beberapa orang sahabatnya datang menyapa. Mereka seperti teragak-agak hendak bertanya khabar. Mungkin kerana mereka masih menyangka ibu_suri akan bertindak agresif jika tersilap sapa sepertimana ketika dia baru keluar dari hospital dulu. Dimasa itu dia pernah ‘meyerang’ beberapa guru tadika tempat dia mengajar kerana tidak sebulu. Dan lagi, bahasa yang ibu_suri gunakan ketika berbual kekadang kurang enak di dengar walaupun sebenarnya ibu_suri bukan berniat begitu.

Berita itulah yang mungkin tersebar dan akhirnya membuatkan ramai yang tidak berani menziarahnya di rumah. Akhirnya, tinggallah ibu_suri sepi tanpa ziarah dari kawan-kawan hingga dia pernah berkata bahawa dia telah dilupakan.

Antara yang datang dimajlis ini adalah ustaz Shuib dan  pelajar-pelajar USM Trans Krian. Aku tunjukkan kepada ibu_suri akan seorang anak ‘down sindrom’ yang tidak duduk diam; berjalan merata-rata sambil di kawal ibunya.

“I kenal tu. Itu anak si XXX. Masa I masuk hospital di Bagan Specialist dulu, maknya ada datang tengok I.” Terang ibu_suri.

Ibubapa kepada anak istimewa itu bukan sembarangan. Anak orang bijak dan berjawatan namun ujian dari Tuhan tidak mengenal taraf. Lagi hebat jawatan atau keilmuan sesaorang itu lagi besar dugaan yang akan diterimanya.

Yalah...Syurga itu mahal harganya. Ia bukan mudah dimasukki  seperti memasuki pawagam dengan hanya membeli tiket yang harganya cuma beberapa ringgit!

Jumaat, 23 September 2011

Kalau Mahu Nampak Muda

Maaf kerana lama tak singgah blog kalian. Talian Streamyx aku ‘masuk air’. Aku hanya sempat ‘curi-curi’ akses blog aku melalui talian  di ofis.

2-3 minggu lalu aku singgah di Kedai Muzik Siau, pekan Bukit Mertajam. Teringin sangat nak miliki CD Blues Gang. Bagi aku, lagu-lagu Blues Gang banyak mempunyai unsur-unsur positif.

Semasa asyik membelek CD, aku terdengar perbualan tauke kedai dengan seorang pelanggan yang baru masuk.

“Itu, lagu Hindustan lama-lama punya ada ka, taukeh?”

“Ada. Mau try ka?”

Maka berkumandanglah lagu yang aku agak dari filem Kati Patang.

“Wa…banyak syiok la dengar ini lagu Hindustan lama-lama punya.”

“Ya… la. Gua pun tau ini lagu …” Lalu taukeh kedai tu ikut menyanyi dengan bahasa Hindustan.

“Waa… Lu terel la. Lu ada tengok ka ini filem?”

“Ada… Itu jam saya sekolah.”

“Lu umur berapa?”

“56. Lu?”

“Waa… Gua ingat lu lagi muda sama gua. Gua baru 54. Tapi nampak macam lagi tua dari lu.”

“Gua hari-hari happy dengar lagu. Hidup ini aarr… hati mesti selalu happy, baru muka boleh nampak muda. Kalay selalu sedih saja arr…. Cepat tua!”

Betul juga, fikirku!

Rabu, 21 September 2011

Indahnya Bersama jamaah

Malam tadi aku hadiri usrah mingguan selepas tertangguh selama lebih sebulan Ramadhan. Terasa seronok kerana berada di dalam majlis ilmu yang pastinya mendapat keberkatan dari Allah dan dinaungi oleh sayap para malaikat.

Walaupun di awalnya aku agak ragu-ragu samada ibu_suri akan bising-bising kerana kerap keluar malam namun rupanya tidaklah dia merungut sangat. Itupun setelah aku selesaikan dulu urusan makan minumnya serta seperti selalunya mendengar cerita dan aduannya selama aku pergi bekerja di siang tadinya. Dan lagi, aku udah janji dengan ibu_suri untuk bawa dia jalan-jalan selepas selesai usrah.

Malam sebelumnya aku hadiri mesyuarat pertama JIM Seberang Perai Tengah. Selaku Setiausaha yang baru dilantik untuk sesi 2011/2013, aku perlu menghantar Laporan Tahunan ke JIM Pusat dan seterusnya ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Dah 90% siap. Cuma menunggu beberapa sentuhan terakhir.

Indahnya hidup berjamaah ini, rupanya. Setelah 4 tahun aku mempasifkan diriku dari aktiviti jamaah kini rasanya adalah masa yang terbaik untuk aku membuat come back. Bagi aku, teramat rugi jika seumur hidup kita tidak diikat dengan jamaah Islami dan di isi dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Aku percaya jika kita aktif dengan kerja amal, Allah akan bantu kita dalam menyelesaikan masalah peribadi kita. Dan aku percaya, melalui kerja amal kita yang ikhlas ini juga, Allah akan limpahkan Rahmat dan Rahimnya kepada kita dan keturunan kita.

Habis usrah, aku bawa ibu_suri bersiaran dengan Kancil yang baru saja diperbaharui cukai jalan. Terasa kekok dan serba tak kena dengan Kancil aku ni. Agaknya, masih fobia dengan sindrom kemalangan sebelum ini.

Isnin, 19 September 2011

Kerana Tak Endah

Sabtu lalu aku ke Perodua Juru. Kancil aku rupanya sudah pun siap di baikpulih. Mulanya aku tak berniat nak ambil pulang kerana tidak cukup wang. Aku perlukan kira-kira RM1 ribu jika mahu Kancil itu berada di jalanraya.

Pertamanya, aku kena banyar RM400 kepada ETIQA kerana insuran kereta itu atas nama ibu_suri sedangkan semasa kemalangan berlaku, akulah yang memandu. Nama aku tidak disenarai sebagai pengguna kedua. Makanya, aku perlu bayar denda. Sebenarnya aku maklum dah hal itu sebelum ini. Namun dek sikap buat tak endah, bila berlaku hal begini, inilah padahnya.

Keduanya, insuran kereta itu sendiri dah mati semasa ianya di baikpulih. Jadi, aku rileks la daripada memperbaharuinya. Bila tiba-tiba Perodua memberitahu kereta dah siap, baru kelam kabut nak fikir tentang duit untuk buat insuran dan cukai jalan.

Bila Angah tanya; …. Ayah ada duit ke nak ambil Kancil?; … aku cuma diam.

“Nanti Ibu tanya, awat tak bawak balik Kancil, nak jawap macam mana?”

Aku masih juga diam. Tepu pula otak ini memikirkan bagaimana.

Kebetulan, Perodua buat jamuan Hari Raya untuk pelanggannya. Sementara menunggu urusan dokumen oleh Redzuan, staf Perodua; aku, ibu_suri dan Angah menjamu selera. Sedap sungguh roti jala dengan kuah daging, antara menu yang ada di situ. 2 round aku mengadap.

Di situlah Angah berbisik.

“Ayah ambil la Kancil tu balik. Angah ada bawak duit.”

“Banyak duit Angah?”

“Gaji baru dapat kelmarin. Tambah sikit dengan gaji Ayu, cukupla. Tapi ayah kena bayar balik  25hb ni…hek...hek..”

Alahai…..adakalanya, anak aku yang seorang ini, penyejuk jiwa. Tetapi, kekadang yang bagi aku libang-libu pun, dia juga!

Rabu, 14 September 2011

Anak Bertuah

Banyak betul aralnya dengan anak aku yang seorang ini. Dahlah nak menyuruhnya membuat latihan membawa motor di Melati, Bukit Tengah itu macam pahat dengan penukul aje. Bila cukup tempoh jam latihan seperti yang ditetapkan JPJ dan layak untuk ambil ujian P, kemalangan pula.  Walaupun kali ini bukan salah dia, tetapi masalah tetap masalah.

Ikut katanya, kawan dia yang menunggang dan dia hanya membonceng. Tapi kawannya itu bersembang dengan sebuah motor lain yang bersaing dengannya. Bila dia memberi isyarat bahawa hati-hati kerana ada van di depannya kawannya itu masih ralit bersembang. Dan dalam sekelip mata… banggg!

Dia terjatuh dengan luka di lutut kanan. Di kejarkan ke hospital oleh anak saudara yang kebetulan lalu di situ. Lututnya terpaksa diberi beberapa jahitan.

Aku yang baru balik dari kerja hari itu masih tidak tahu menahu. Cuma berasa hairan bila tiba-tiba kawannya yang lain menunda motornya balik ke rumah ketika aku asyik meyapu sampah depan rumah.

“Ini motor Akhmal, pak cik!”

“Haik.. Akhmal mana?”

Terdiam.

“Errrr…. Akhmal kat hospital.” Kawannya yang lain memberitahu.

Laaaa…….Aku menggelengkan kepala. Buat hal lagi anak bertuah ni!

Isnin, 12 September 2011

Kembali ke Saf Kepimpinan

Logo JIM
Aku tak duga juga.  Perlantikan semula ke barisan kepimpinan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Seberang Perai Tengah sebagai Setiausaha memang dianggap mereka sesuai dengan aku lewat minat aku dalam penulisan sejak lama. Menolak tidak, gembira menerimanya juga tidak. Dek kerana pilihan sebulat suara oleh ahli mesyuarat, aku terima dengan pasrah walaupun aku tidak pasti respon ibu_suri kelak bagaimana.

Uhh... ibu_suri menjuih bibirnya bila saja aku beritahu khabar itu. Aku peluk ibu_suri sambil berkata;

"Okeyla... Bagi can abang join dengan depa. Lagipun tak lama. Sampai bulan 5 je. Lepas tu JIM akan dibubar dan semua ahli diserap masuk IKRAM. Kasi can la abang buat kerja yang abang minat....ya! Abang bukannya buat kerja tak elok! Dah makan?"

InsyaAllah, aku akan cuba sekadar termampu. Kemungkinan besar kerja-kerja paperwork aku tidak ada masalah. Cuma untuk aktif sepenuhnya dengan program mereka itu yang mungkin ada batasnya.

Apapun, aku selalu mengikut gerak hati jika fikiranku tidak dapat membuat penilaian atau mengambil keputusan jelas. Dalam hal ini, gerak hatiku mengatakan.... Why not cuba sedaya upaya. Namun tentunya, aku perlu selesaikan segala keperluan kebajikan ibu_suri dahulu. Jika itu sempurna insyaAllah rasanya aku tidak punya halangan besar untuk teribat dengan urusan kepimpinan JIM.

Dan aku sepatutnya tidak kesal dengan takdir ini. Seharusnya aku bersyukur dan pasrah kerana semua ini membuatkan aku kembali menilai kehambaaanku pada Tuhan!

Ahad, 11 September 2011

Rumah Terbuka

InsyaAllah, siang nanti akan berlansung Rumah Terbuka AidilFitri Malaysia di Sekolah Menengah Guar Perahu, tidak jauh dari lokasi rumah aku ni. Meriah sungguh persiapan mereka. Menurut kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim di sini - Rumah Terbuka Malaysia ini diadakan tanpa sebarang motif politik. Juga ketepikan sebarang prasangka perkauman. Datanglah beramai-ramai.

Tapi aku tak dapat pergi sebab perlu hadir ke Mesyuarat Agong Daerah, Jamaah Islah Malaysia cawangan Seberang Perai Tengah di pejabat IKRAM, Seberang Jaya. Dah lama aku tidak bertemu rakan-rakan seperjuangan semenjak aku menarik diri dari barisan kepimpinan dan mengendurkan keaktifan aku dalam aktiviti bersama mereka. Aku terpaksa beri 100% tumpuan kepada kebajikan ibu_suri.

Hmm.. Perlu keluar awal ni sebab dijangka 20 ribu orang akan hadir. Kalau keluar lewat, bimbang akan jem pula...

Pemidang yang mengalu-alukan para jemputan

Kelihatan petugas sedang menggantung banting.

Bendera yang siap di gantung di depan sekolah


                                               Foto ihsan dari sini.

Sabtu, 10 September 2011

Puasa 6

Seperti selalunya hujung minggu aku akan memandikan ibu_suri secara menyeluruh. Menyampukan rambutnya, memotong kuku dan membasuh telekungnya. Tampak wajah ceria ibu_suri bila terasa lega dan lapang dengan kebersihan yang ada.

  Hari ini puasa 6 nya adalah yang terakhir. Walaupun semalam terlajak dari sahur namun dia tetap mahu teruskan puasa. Aku tahu, dia menumpang semangat aku untuk berpuasa yang sebenarnya lebih mencabar berbanding puasa Ramadhan. Tapi sayangnya, dia tak tahu bahawa puasa 6 aku tamat semalam. Bukan aku tak nak bagitahu tapi aku tak tahu nak bagitahu dia macammana. Bila dia ternampak aku curi-curi minum air, dia pun bertanya;

"Abang tak puasa ka?" Dan aku pun perlu berterus-terang;

"Puasa abang dah cukup semalam."

"Alaaa....."

Hingga sekarang aku terpaksa menahan lapar kerana menghormatinya yang masih ingin meneruskan puasa.

Khamis, 8 September 2011

Ada Yang Belum Sudah

Hari ini
aku terfikir untuk kesekian kali
masih berpeluangkah agaknya
bernafas untuk sehari lagi.

Kelmarin
aku alpa lagi
hanya kerana perut dipulas angin
miss satu waktu solat subuh hari.

Esok
berpuasa lagi
walaupun sebenarnya berat bukan main
namun aku gagahi hati.

Mak
aku rindu kampung
kalau tidak kerana isteri dan anak-anak
sudah lama aku pulang ke gagang.

Abah
maafkan aku
kerana tidak sempat memeluk
dan mencium tubuh kecil abah.

Opah
entah kenapa hati rasa tersentuh
bila @dik bercerita tentang Asmah!

Rabu, 7 September 2011

Sebuah Persahabatan

Keadaan Kancil milik ibu_suri
Sejak sebulan ini aku selalu menumpang blogger JH untuk ke tempat kerja. Walaupun keluar lewat jam 7 namun sampai ke tempat kerja jam 8. Kira, awal juga. Kalau dengan Kancil ibu_suri dulu aku keluar jam 6.45 dan sampai hampir jam 8. Begitulah hebatnya kalau menaiki kereta berjenama dan mahal ini - Honda Accord. Tidak terasa lajunya dia menjalar di jalan raya. Tak terasa hinggutnya tatkala melanggar lopak atau bonggol.

Namun entah kenapa  aku tetap teringat Kancil yang masih di Perodua Juru. Lama sungguhnya rasanya kereta sekecil itu hendak di baikpulih. Dah masuk 2 bulan lebih. Khabarnya baru nak mula pembaikian. Agaknya kalau kereta besar, lagi lama kan? Ataupun terbalik kot. Kereta mahal lagi cepat berbanding kereta murah. Huuuh..

Apa-apa pun, terima kasih buat blogger JH yang sudah terlalu banyak menolong aku sejak dari kami mula berkawan sebelum kahwin lagi hinggalah kini anak kami sudah teruna trang tang tang!. Muga persahabatan ini berpanjangan...

Selasa, 6 September 2011

Rahsia Umur 100 Tahun


Semasa menunggu waktu Zohor masuk di surau tempat kerja, aku membelek-belek akhbar Sinar Harian yang entah haribulan berapa. Seperti selalunya aku suka membaca akhbar dari muka surat belakang. Aku terbaca berita tentang lelaki Punjabi ini yang masih cergas bersukan walaupun umurnya mencecah 100 tahun.

Kata-katanya ini lebih menarik pemerhatianku:

"Tetapi bagi saya, perkara utama untuk mendapat kecergasaan ini adalah sentiasa gembira, lakukan kebajikan, jaga kesihatan dan berfikiran positif."

"Jika ada sesuatu yang anda tidak boleh ubah dalam hidup ini mengapa perlu bimbang mengenainya. Bersyukurlah dengan apa yang ada dan jauhi diri dari orang yang berfikiran negatif!"

Klik foto ini untuk view lebih besar
  

Ahad, 4 September 2011

Check Mate!


Membebel saja ibu_suri 2-3 hari ini bila saja tv mengiklankan tentang DS Najib Tun Razak yang akan mai ke SM Guar Perahu, tak jauh dari tempat aku ni. Kepeduliannya tentang iklim politik negara masih hangat.

"Tak apalah. Dia nak buat 'open house' berjumpa rakyat dia." ujarku mententeramkan suasana.

Huuu..uhhhh... ibu_suri menggerutu lagi. Faham benar sensitiviti ibu_suri terhadap apa saja program parti di sekitar tempat kami. Maklumlah, masa ibu_suri sihat dulu dia memang aktif dengan kerja-kerja NGO dan kepartian. Bukan front line la... cuma belakang tabir aje.

Aku dan Angah tertawa dengan gelagat ibu_suri. Contoh ini aku lantunkan kepada Angah sebagai iktibar.

"Kita ni kan Angah, kalau hidup terlalu memikirkan benda-benda remeh hingga seolah-olah macam itu satu masalah besar akan membuatkan kita mudah dapat sakit dan cepat nampak tua! Sepatutnya kita kena tenang. Take it simple. Janganlah terima sesuatu masalah itu macamlah dah tak ada jalan keluar....check mate terus!"

Sabtu, 3 September 2011

Orang Yang Beruntung




Kebahagiaan semasa mereka masih kecil
Yang paling berharga dalam hidup ini adalah kebahagiaan. Kunci kepada kebahagiaan adalah ketenangan. Untuk tenang kita perlukan sikap berlapang dada dengan apa juga yang mendatang.

Berlapang dada bermakna menerima seadanya apa yang datang kepada kita. Untuk itu kita perlu melihat dari sudut yang positif dengan pandangan yang  positif. 

Untuk mendapat sudut yang positif kita perlu melatih diri supaya sentiasa menghormati orang lain. Untuk boleh menghormati orang lain kita perlu kepada sikap selalu merendah diri.

Orang yang merendah diri adalah orang yang selalunya melihat kelemahan diri berbanding gemar mencari kelemahan orang lain.

Adapun orang yang beruntung ialah mereka yang merenung kelemahan orang lain untuk memperbaiki dirinya.

Khamis, 1 September 2011

Harta

Esok aku akan kembali bekerja seperti biasa. Cadangnya tu, aku nak mula berpuasa 6. Dicampur kemudiannya dengan 5 hari bekerja minggu depan akan lengkaplah 6 hari. Mudah-mudahan Allah beri kekuatan untuk aku menyempurnakan usaha membina harta akhirat ini.

Sejak 2-3 hari ini mood ibu_suri bertukar. Dia akan berjaga melebihi 24 jam dan kemudian tidur pula boleh mencecah 12 jam. Seperti semalam dia bangun jam 9 pagi dan bersiap untuk balik kampung. Di kampung, meriah melayani kehadiran saudara mara yang lama tidak berjumpa. Rata-rata mereka mengatakan kepada aku bahawa ibu_suri tampak sihat. Aku tidak pula menafikan tetapi aku beritahu mereka bahawa aku lebih tahu sihat ibu_suri itu dari sudut yang mana.




Abah
Balik semula ke Penang jam 2 pagi. Dia tidak tidur sebaliknya aku terus lelap dengan mimpi yang merepek-repek. Tengahari dia minta aku belikan daging untuk dibuat rendang. Selepas makan dan solat Zohor, dia  baru terasa mengantuk dan tidur hingga sekarang. Aku jangka dia akan terus tidur hingga lewat pagi. Begitu pusingan karektornya yang terkini.

Di kampung semalam aku sempat berbincang dengan beberapa orang adik tentang masa depan mak dan rumah dimana kami dibesarkan ini. Semasa ada abah rumah ini sentiasa di selenggara dan kelihatan segar. Namun sejak abah sudah pergi mengadap Tuhan, jelas kelihatan rumah ini semakin kusam.

Benar juga kata orang, seorang abah boleh menjaga harta 10 ahli keluarganya. Tetapi 10 ahli keluarga itu belum tentu boleh menjaga  harta abah yang seorang.