Halaman

Rabu, 30 November 2011

Ingin lahirkan Satu Lagi Blog?

Perbualan aku dengan blogger Jendela Hati semasa makan di kafetaria tempat kerja semalam mengujakan aku untuk membina satu lagi blog baru. Sekarang ini aku ada 3 blog sendiri;

1. insan marhaen - catatan peristiwa benar dalam hidupku untuk tatapan generasiku.


2. sri mersing - tulisan semula kenangan aku semasa kecil di kampung.


3. hujan petang - koleksi puisiku serta puisi-puisi yang aku minati.


Blog baru yang aku rancang ini dibina dengan tujuan lebih kepada menyampaikan mesej dakwah. Isinya akan berkisar kepada unsur-unsur agama, ilmiah dan maklumat yang bermanafaat kepada yang membaca. Sudah pastinya setiap artikel atau bahan yang ditulis nanti akan berdasarkan dari sumber yang sahih, insyaAllah.

Aku harap kesemua blog aku ini nanti akan mendapat followernya tersendiri walaupun mungkin tak semeriah blog insan marhaen yang meraikan jubli gangsanya hujung tahun ini.

Nama blog baru ini belum ada lagi di kepala. Buat masa ini sedang mikir-mikir konsep keseluruhan blog - rangkabina dan gaya isiya yang bagaimana.

Mungkin akan ada yang berkata, banyak sungguh masa IM hingga boleh tumpu pada banyak blog. Hi..hi.. aku memang suka menulis sejak dari dulu. Nak hasilkan buku tak mampu. Hasilkan blog pun kira dah banyak syukur. Kalau mahu seribu daya. Kalau dah cinta, semua indah belaka. Bukanlah pandai menyusun kata, hanya sekadar berkongsi idea pada yang tak jemu membaca.

Lagipun tidak indah hidup ini kalau tidak turut sama memberi sumbangan kerdil untuk bersama rakan dakwah membangunkan agama. Nak berceramah tak pandai. nak ke sana ke sini beraktiviti tidak ada kelonggaran. Dengan sedikit pengetahuan di alam maya intai-intai peluang menulis seadanya di celah-celah  masa menjaga ibu_suri.

Semua ini kalau pun tidak sebesar jihad para sahabat nabi yang syahid di jalan Allah, cukuplah jika umpama burung ababil melontar batu kepada tentera Abrahah. ataupun sekerdil burung pipit menitiskan air ke dalam unggun api yang membakar Nabi Ibrahim!

Berdoa kepada Allah muga usaha kecil ini diiringin keikhlasan dan direstui Allah!

Isnin, 28 November 2011

Pergilah!

Akhmal semasa hadir di Kem Motivasi anjuran JKM

Bukanlah nak berkira sangat dengan duit. Lagipun dia bukan lagi kuanggap sebagai anak angkat malah seperti anak sendiri. Cuma aku bimbang jika diberi duit terlalu banyak kepada dia takut tiris di tengah jalan. Maklumlah, akal separuh masak.

"Kata nak pergi KL tapi ayah tak tengok hang bersiap apa-apa pun!"

"Nak siap apa. Beg pun tak ada. Rambut nak gunting, selipar, tiket bas nak beli pun tak ada duit!"

Hurmm... Rasa bersalah pula sebab baru bertanya. Memang perangai dia kalau bab begini tak mahu bincang hati ke hati awal-awal dengan aku. Ikut baran dia saja merampus tak tentu pasal jika hajatnya aku tak penuhi 100%.

Aku menalipon Along... berapa tiket bas ke KL?

"Dalam RM34. Kenapa? Akhmal jadi pi kerja kat KL?" Aku meng-ha kan saja.

"Habis, sementara nak dapat elaun?"

"Hmm.. ayah kena support dia le. Macam ayah kena support hang sekarang ni?" Terdiam Along.

Dah memang begini hakikatnya. Mau tidak mau aku terpaksa mengeluarkan duit saku yang bukan sedikit untuk membantu mereka berdua memulakan hidup baru.

Aku berdoa muga pemergian Akhmal ke KL untuk membina hidup baru akan benar-benar menjadi, tidak seperti sebelum ini. Dia akan mengikuti kursus selama 6 bulan dengan Syarikat Wet Trade sebagai TBM (Turn Boring Machine) dan akan diberi elaun RM500 sebulan serta tempat tinggal. Sekalipun aku kurang yakin dengan kemampuannya mengurus diri dan bermuayashah dengan rakan-rakannya, aku perlu berani biarkan ia berdikari di tempat orang. Dia anak lelaki.

Jika berjaya, dia akan bekerja membuat terowong MRT antara Sungai Buluh dan Kajang. Doa ayah selalu menyertai!

Ahad, 27 November 2011

Hijrah Juga Ni, Ya!


Aku berazam untuk menukar kebiasaan meminum Ali Tea Tarik kepada minuman yang lebih islamik. Kalau nak kata hijrah minuman pun bolehlah juga, ya!

Aku singgah ke HPA Jalan Ciku semalam untuk membeli Radix merah. Malangnya,  tiada stok. Kecewa juga aku dengan HPA ni. Memanjang je tak ada stok. Bukan itu saja malah minyak rambut Tea Tree dan Radix bijirin juga. Esok baru sampai, kata juru kaunter. Kut ya sampai..., getus hatiku.

Yang ada cuma Kopi Radix DIET . Kopi ini menggunakan daun Stevia bagi menggantikan gula. Baik untuk mereka yang bermasalah dengan kesihatan seperti kadar gula tinggi dalam darah, gout, tekanan darah tidak normal, gastrik dan obesiti.   Aku beli dan cuba sebungkus tadi. Ok juga. Boleh ganti ia sebagai minuman rutin. Aku bercadang nak beli kopi Tok Guru juga tapi tak tahu ada jual di mana.

Di rumah aku ni memang ada macam-macam yang segera. Maklum le, suami yang perlu hidup secara layan diri. Lagipun, anak semuanya dah besar. Mereka sendiri pun jarang ada di rumah. Bak kata pelawak Maidin dalam lagu humornya -  kini kami tinggal berdua...yahoooo....

Hari ini ada kenduri kahwin oleh jiran di belakang rumah. Jiranku ini juga membuat dan menjual maruku jenama Bonda secara sederhana. Besar juga kendurinya ini kalau diukur dari bentuk dan jumlah khemah. Anak tunggal katakan. Tapi ibu_suri masih tidur. Tak tahu dia akan bangun pukul berapa sebab semalaman tadi dia tak dapat picingkan mata.

Sabtu, 26 November 2011

Sabarlah Dan Teruskan Dakwah Yang Hikmah!



Susahnya membesarkan anak yang separuh masak dalam hidup. Masa kecil bolehlah kita marah atau rotan. Masa kecil bolehlah kita denda jangan keluar rumah atau tak bagi duit poket selama seminggu. Bila dah remaja begini, akal dan kaki mereka udah panjang!

Syukur juga kehadrat Allah lantaran kurniaannya kepadaku hanya 3 anak yang lelaki. Kalaulah ada perempuan, lagi letih aku dibuatnya.

Namun begitu ibarat daging. Walaupun tidak elok; dicincang, dimasak dimakan juga. Apa pun yang ditakdirkan berlaku perlu ditelan walaupun tersekat-sekat dikerongkong.

Aku percaya, dengan kesabaran dan pendekatan profesional sebagai seorang bapa dan seorang tua, lambat laun mereka akan masak juga.

Kalau dengan anak orang lain kita boleh buat program dakwah dengan senyum manis penuh hikmah kenapa tidak dengan anak-anak kita? Kalau dengan orang lain kita boleh berkata; aku tetap sabar walau aku di kata dan dihina, kenapa tidak dengan anak kita? Kalau dengan orang lain kita boleh berhabis duit dengan alasan hendak menolong atas nama ukhuwwah filllah, kenapa tidak dengan anak kita?

Aku teringat perbualan aku dengan seorang kawan yang pernah aku tulis di blog ini. Kawanku yang kaki kugiran, kaki botol dan kaki judi selalu datang ke ofisku bercerita tentang sikap dia yang mahu berubah dan mahu tinggalkan semua itu tapi masih belum mampu 100%.  Katanya:

“Aku dengar semalam ceramah dalam tv. Ustaz tu gasak AJK masjid sebab tak pandai nak dekati orang-orang macam aku ni. Kalau orang macam aku ni kononnya datang masjid sebab nak bertaubat, AJK masjid tu pandang atas bawah macam tak percaya. Hendaknya lepas tu ada pulak barang masjid hilang.”

Lagi;

“Patutnya, ustaz dalam tv tu cakap, AJK masjid ni kena berbaik dengan orang-orang macam aku ni. Rapatkan diri. Nasihat elok-elok. Sembang elok-elok.”

Dan lagi;

“Nabi pun tak macam depa. Walaupun kena baling dengan taik; dengan batu tapi Nabi tetap berdoa yang baik-baik untuk umatnya.”

Hurmm…. Sebenarnya banyak kerja kita untuk mengislahkan masyarakat. Tapi selalu pula kita terlupa. Kita sibuk dengan dakwah di luar rumah tapi terlupa yang di dalam rumah. Kita sibuk melihat kelemahan orang tetapi terlupa kelemahan diri. Kita asyik masyuk dengan kehebatan kita sendiri hingga tidak menyedari bahawa kita sebenarnya sedang dalam ujub.

Aku selalu memanjatkan doa, begini:

'Ya Allah, pandanglah aku dengan senyum. Tunjuklah aku jalanMu yang lurus. Lembut dan tenangkan hati ini menerima ujianMu. Berilah aku kekuatan dan iltizam dalam melaksanakan amal ibadah terhadapMu!’

Khamis, 24 November 2011

Berfikir Dan Berdoa

Seluruh hari iniku di selubungi resah sebenarnya. Aku cuba mengekang ia dari mengganggu prestasi kerja dengan tidur sebentar di waktu rehat tengahari. 2 perkara yang berlaku sekaligus mengocak ketenangan.

Akhmal semalam telah ‘melarikan’ Kancil bersama kawannya entah kemana. Bijak sungguh dia mengesan kunci penduaku yang tersimpan dalam laci. Aku agak, jauh juga perjalanan mereka kerana tangki minyak hampir kering dengan kuantiti sebelum ini sekitar RM20.

Bukan main lagi ibu_suri mengadu padaku tiap saat. Aku hanya mendengar kerana tidak tahu nak berkata apa dan tidak mahu ianya menjadi lebih kusut.

“Itu Kancil I. Dia tak minta izin pun nak guna?” berkali-kali ibu_suri menggerutu.

Pagi ini pula aku di datangi emel dari seorang kawan. Soalnya; kenapa aku tidak dapat memahami hatinya? Aku pun tiba-tiba jadi pakum. Tak faham dan tidak tahu apa nak dijawap. Sekali lagi dia mengirim emel dan sekali lagi aku buntu.

“I respect you as a friend and try to be honest and be good to you. Up to you to judge me!”

Begitu saja yang mampu aku jawapkan kerana jika lebih dari itu aku bimbang akan tambah mengeruhkan suasana. Memang aku tahu, susah untuk mengekalkan persahabatan yang baik kerana sekira ianya retak, derainya bagai kaca. Sukar untuk dicantum balik.

Sepanjang hari ini kawanku itu tidak lagi ngobrol melalui emel seperti selalunya dan itu pertanda mungkin dia benar-benar tersinggung atau marah.


Dan aku? Berfikir dan berdoa sahaja sepanjang hari ini. Begitu lumrah laut. Bukan selalunya tenang… Aku tahu, faham dan cukup berpengalaman dengan hakikat itu!

Rabu, 23 November 2011

Alahai Quran!


Semalam, otw balik kerja aku singgah ke Hasani Book Store di Carefour, Seberang Jaya. Aku beli Al- Quran harga RM53 dengan terjemahan khusus untuk teks usrah mingguanku sekaligus untuk bacaan harian. Al Quran yang sebelum ini aku guna dah tak selesa untuk dibaca. Tulisan yang kecil dan bertindih-tindih membuatkan pembacaanku tersangkut-sangkut. Maklumlah, mata dah semakin rabun.

Sampai rumah lepas Maghrib membuatkan ibu_suri bertanya keras; Pergi mana lambat balik?

Aku sengih saja lalu lontar soalan lain; Dah makan?

“Ha… Ha… nak kona la tu!”

Malam, bila ibu_suri melihat aku mengeluarkan Al-Quran dari beg plastik dan menjinjing masuk ke dalam bilik untuk solat Isya’, dia bertanya;  Tu, Quran baru ke?

“Ya..”

“Bila you beli?”

“Tengahari tadi.”

You keluar tengahari?”

“Ha….”

“Beli kat mana?”

“Bayan Baru” sambil teringat semula bahawa sebenarnya aku ke sana hanya membeli card reader untuk micro SD talipon bimbitku. Kedai komputer mana ada jual Al_Quran.

Sambil tilawah, otakku asyik memikirkan jawapanku pada ibu_suri tadi. Tuhan…. Maafkan aku!

Isnin, 21 November 2011

Katak Itulah Aku!

Senang pabila melihat matahari pagi
Ada seekor katak. Warnanya hijau. Terlompat-lompat mencari tempat berteduh. Hujan yang lebat membuatnya kesejukan yang teramat.

Ada sehelai daun. Semuat dia berlindung. Agak jauh darinya. Terlompat-lompat lagi dia di celah banir dan pokok renek. Tercungap-cungap juga dia. Akhirnya sampai juga.

Itupun bila angin bertiup, tempias juga dia. Ketar lagi tubuhnya. Tidak mengapa kerana dia tahu hujan tidak akan turun selamanya. Sebentar lagi akan cerahlah langit. Akan keluarlah sinar matahari. Akan keringlah air lopak di bumi.

Hanya ia perlu berhati-hati. Berdoa agar tiada ular yang terserempak mencari rezeki.

Katak itu sebenarnya Aku. Yang sedang mengembara di bumi Tuhan yang fana ini!

Ahad, 20 November 2011

Diari

Seraya meletakkan kepala di bantal semalam, aku memasang niat agar dapat bangun tunaikan Qiam. Sambil melayan bualan ibu_suri yang mutakhir ini agak insomnia, aku berdoa muga Allah kejutkan aku nanti. Berqiamullail adalah salah satu dari amalan yang akan dipantau oleh naqib usrahku. Tapi rupanya, nafsu tidurku lebih kuat mengikat aku. Walaupun dah terjaga, aku ...bummm... semula.

Petang nanti aku perlu hadiri Mesyuarat Perhimpunan Nasional JIM Pulau Pinang yang berlansung di USM TransKrian. Aku adalah di antara 9 orang perwakilan dari JIM Seberang Perai Tengah. Tinggallah ibu_suri seorang nampaknya di rumah. Beria-ia dia suruh masakkan nasi lemak dengan sambal tumis. Entah sempat entah tidak.

Memang hidup ini begitu banyak dugaannya. Lain padang lain belalang. Lain orang lainlah bentuk dugaan itu. Dugaan bagi orang yang melihat melalui kacamata positif akan menjadikan dia lebih cekal untuk terus bergerak ke hadapan. Namun sebaliknya bagi yang melihatnya secara negatif.

Aku bersyukur kerana kondisi emosi ibu_suri sekarang ini agak reda sedikit berbanding dulu yang begitu agresif. Mood Disorder yang dihidapi ibu_suri sekarang ini memberi sedikit ruang aku bersama dengan sahabat seperjuangan dan berkecimpung dalam aktiviti jamaah walaupun sekadar dengan sebelah kaki.

Salah satu usaha JIM dalam menangani masaalah remaja dengan mengujudkan RS

Aku sebenarnya rindu untuk berada dalam suasana dakwah dan ukhuwwah. Lantaran itu aku ingin pergi awal dan jika berkesempatan ingin juga turut serta dengan program Sanggar Kerja IKRAM Pulau Pinang.

Apa-apa pun, memasak dulu untuk ibu_suri. Sedap atau tidak kami berdua aje yang merasai. Muga-muga Angah akan datang sekejap lagi menemani ibu_suri sepeninggalan aku berMPN.

Dan muga tengah malam ini, aku mampu bangun untuk mengisi diari!

Sabtu, 19 November 2011

Terowong

Foto ihsan dari SINI


Susah juga untuk membuat keputusan ini. Perlu banyak pertimbangan yang mencakupi seluruh sudut. Paling hebatnya ialah untuk mengenepikan kepentingan diri sendiri dan mengutamakan kepentingan masa depan Akhmal disamping menjaga emosi  ibu_suri.

Akhmal memberitahu bahawa dia hendak pergi ke KL. Kawan yang juga jiran mengajaknya sama untuk menerima tawaran bekerja dengan satu syarikat besar yang melaksanakan projek membuat terowong untuk landasan keretapi berkembar. 6 bulan pertama perlu menghadiri kursus. Kemudiannya akan ditempat dimana-mana lokasi yang perlu untuk bekerja. 

Buat terowong - pastinya di dalam hutan banat. Kursus - pastinya memerlukan kekuatan daya fikir yang mana Akhmal sebagai penghidap sindrom Disleksia besar keberangkaliannya mengalamai kesukaran. Kebajikan diri - bolehkah dia urus sendiri berbanding usia yang masih belasan ditambah pula dengan sikap nya yang sedikit baran dan suka mengikut perasaan? Tidakkah nanti dia terpengaruh dengan suasana negatif?

Lagi satu perkara ialah bagaimana perasaan ibu_suri? Semalam sahaja bila aku memberi 'hin' bahawa Akhmal akan pergi ke KL, airmata sudah lebat turun ke pipi. Memujuknya supaya sabar dan reda satu hal pula. Kemudiannya, siapa yang akan menemani ibu_suri sepeninggalan aku bekerja. Rengeknya itulah yang melemaskan.

Semua ini berputar ligat di dalam benakku. Hari Isnin ini dia akan pergi. Aku pula yang perlu memikirkan persiapan yang patut dia ada - kad bank supaya mudah aku kirim wang jika perlu, bertanyakan kepada JKM tentang bagaimana dengan program Khidmat Masyarakat dan Pemantauan, meninjau akan betulkah kursus dan pekerjaan yang dikatakannya itu ada atau sekadar retorik?

Aku lebih banyak berfikir sendiri. Tidak ada teman kedua untuk berkongsi. Sebaliknya ibu_suri hanya bertanya, mengeluh, mencebik bibir dan akhirnya....... menangis.

Dulu, aku mudah cair dengan airmatanya tapi kini aku sudah belajar untuk menyeka airmata itu dengan bujukan. 

Biarlah Akhmal cuba hidup sendiri. Jika di situlah terowong rezekinya pasti Allah ada untuk memerhati. Jika dia gagal, pasti akan kembali ke rumah dimana dia dibesarkan ini.

Dia mungkin tidak tahu aku amat menyayanginya walau dia sekadar anak angkat; tidak mengapa. Lantaran itulah dia seperti mahu hidup sendiri dan lari dari kongkongan keluarga. Biasalahkan, remaja yang sedang mencari identiti diri. Bila dah jumpa nanti, pasti dia akan mengerti perasaan ayahnya ini...!

Khamis, 17 November 2011

Ada Hikmah Di sebalik, Rupanya!

Bangsal tempat kami tidur dalam hujan. Pak Long - berkain pelikat tanpa baju.

Masih mahu berkongsi cerita tentang Mukhayyamku di Pulau Songsong. Sebenarnya, selain Pulau Songsong, berhampiran itu ada juga Pulau Telor, Pulau Bidan dan Pulau Bunting. Pulau Bunting semasa Kedah di bawah kerajaan BN, sedang dirancang pembinaan jambatan dari tanah besar ke pulau. Namun sebaik saja kerajaan PR ambil aleh, projek itu dikhabarkan telah dibekukan.

Kami yang seramai 40 orang telah diangkut sebanyak 2 kali oleh bot. Satu trip dibayar sebanyak RM250. Aku ditrip yang pertama. Menerjah laut selama hampir 45 minit terasa menjemukan juga. Maklumlah malam, apa yang boleh diperhati melainkan lampu dan gelap.

Belum sempat kesemua khemah di dirikan.....ruummmm..... hujan turun mencurah-curah. Terus kami di arah ke bangsal berhampiran yang akhirnya aku dan rakan-rakan tidur di situ berselimutkan kilat sambar menyambar dan tempias hujan berselang seli dengan gigitan nyamuk.

Esok pagi, sibuk mereka bercerita bahawa ujian kami yang pertama yakni ribut memang mencabarkan. Ada yang seolah-olah menggambarkan bahawa hujan lebat itu seperti merencatkan sedikit kegembiraan malam pertama kami di sini.

Namun di hari ketiga; aku tiba-tiba mengakui akan kata-kata Pak Long; penjaga pulau yang tinggal di rumah yang mana kami tumpang bilik air dan telaganya untuk mandi dan ambil wudhuk.

"Pak Long, kami nak beransur balik dulu. Terima kasih kerana bagi kami guna telaga dan bilik air. Maafkan kami kalau ada yang terlebih kurang. Maklumlah, kawan-kawan saya tu ramai yang masih muda dan baru dengan kami."

"Tak pa... aihhh......Biasa le tu. Mujur malam tu hujan lebat. Penuh tangki-tangki ni dengan air hujan dan dapat kamu semua guna. Kalau tak hujan lebat, susah juga kamu."

Inilah yang dikatakan bahawa: di sebalik kesusahan yang Allah berikan, ada hikmah sebenarnya. Aku harap, sebaik sahaja kami balik pada hari itu, hujan lebat akan turun semula buat memenuhi kembali takungan air yang kuantitinya aku anggar melebihi beberapa kolah untuk kegunaan kumpulan lain yang pasti akan datang sepertimana kami.

Pak Long tentu tak kisah kerana sudah biasa dengan hujan dan ribut di laut!

Rabu, 16 November 2011

Sepanjang Pantai Songsong

Aku titipkan beberapa foto yang diambil semasa Mukhayyam MATA '11 anjuran IKRAM Pulau Pinang di Pulau Songsong, Yan , Kedah pada Nov 11 ~ 13 bebaru ini. Cukup santun, penuh ukhuwwah dan begitu mendamaikan.

baru turun dari bot jam 11 malam

melangkah ke tapak perkhemahan
ditugaskan membina khemah
tak sempat semua khemah didirikan ribut telah turun.
hebatnya ciptaan Tuhan ini
aku tak minat lansung menjala maupun memancing
ice breaking - cari pasangan yang sama hobi
menyediakan lampu untuk war game
gotong royong siapkan makan tengahari
sesekali terkenang ibu_suri di rumah.
jeket keselamatan
ada 4 ekor kibas memang dipelihara di sini
pantai tempat xtvt water confident
kedamaian yang sukar dinukilkan
kecilnya hambaMu di pantai ini
moto IKRAM
aku bersama sahabat otai
Pulau Bunting
aku bersama blogger JH

Tuhan, berilah aku peluang di celah-celah hambatan-hambatanku sebagai seorang hambaMU untuk bersama mereka lagi di pertemuan-pertemuan yang baru; yang begitu indah; begitu tulus dan penuh kasih sayang!

Jumaat, 11 November 2011

Pulau Kelonsong a.k.a Pulau Songsong

Foto ihsan dari sini

InsyaAllah. aku akan pergi ke Pulau Kelonsong malam ini. Aku menyertai perkhemahan yang di atur oleh jamaahku sebagai sebahagian dari uslub tarbiyah. Walaupun ada sedikit keraguan terhadap keupayaan aku bercamping kerana sudah lebih 4 tahun aku tinggalkan namun aku sami'na waatho'na sahaja. Aku menaruh percaya pada perancangan urusetia yang tentunya mengambil kira faktor saikologi dan fizikal para peserta.

Disamping aku mula sibuk membuat persiapan untuk ke sana, aku juga sibuk membuat persediaan untuk ahli keluarga yang akan aku tinggalkan selama 3 hari 2 malam ini. Pastinya ibu_suri; ubat dan urusan makan mandinya aku serahkan pada Along. Aku kerah Along supaya balik untuk 2 hari ini walaupun sebenarnya dia baru saja balik ke Kuala Lumpur selepas Raya Haji lalu kerana menghadiri temuduga Celcom dan juga mendaftar untuk kursus IT anjuran MEDEC.

Aku juga membersihkan bilik ibu_suri, mengemas rumah, membersihkan bilik air dan bilik mandi. Juga aku tidak lupa berpesan kepada Angah supaya bersedia untuk membawa ibu_suri bersiar jika dia perlu.

Mungkin tidak seperti peserta lain, aku perlu lebih dulu menyelenggara keperluan keluarga sebelum keperluan diriku sendiri. Sepanjang semalam dan hari ini ibu_suri asyik merintih kerana akan kesaorangan tanpa aku menguruskannya.

"Abang urus tak sama dengan anak-anak urus" ujarnya. Aku pasrah sahaja.

Muga-muga tiada apa-apa yang tidak baik berlaku terhadap ibu_suri selama aku di sana. Aku tidak mahu pemergian aku mengikuti program Jamaah seperti ini menjadi fitnah pula.

Rabu, 9 November 2011

Baru Setuju Nak Makan Oat

Foto ihsan di sini
Bermula pagi ini ibu_suri bersetuju mengamalkan pemakanan Oat sebagai sarapan sebelum mengambil ubat hariannya. Bukan mudah memujuk ibu_suri untuk ini yang katanya tak sedap sehinggalah bila dia sendiri melihat jarum timbang mencanak naik melepasi paras berat badan selalunya beberapa hari lalu.

Sekadar mengharapkan ibu_suri bersenam dan menjaga makan tak menjadi sebenarnya. Manalah berkesannya kalau setakat berjalan beberapa meter atau menggerakkan badan ke kiri kanan. Hendak berjogging hingga berpeluh lebih banyak mudarat dari manafaat kepada sendi dan otot ibu_suri. Jauh sekali menyuruh dia mengawal pemakanan kerana ibu_suri jatuh ke dalam kategori bernafsu makan jika dalam keadaan susah hati.

Disamping kuharap fungsi oat yang boleh menyerap lemak yang terkumpul dalam badan, kandungan seratnya yang tinggi juga akan mengatasi masalah susah buang air besar. Kesian melihat ibu_suri yang terpaksa lama berada di bilik air kerana masaalah ini. Hingga menyebabkan aku terpaksa membantunya yang takkan ada orang lain yang sanggup hatta anak aku sekalipun.

Hasrat aku untuk memberi ibu_suri meminum susu kambing Hi-Goat sebelum ini masih terbantut. Otak aku masih berkisar dalam keraguan atas 2 kerana;

  1. Harga sekotak Hi-Goat > RM30 bagi aku agak mahal jika mahu konsisten mengamalkannya.
  2. Tidak berapa pasti bagi yang mempunyai masalah kesihatan kompleks seperti ibu_suri akan kesan negatif yang mungkin dialami dalam jangka masa panjang.
Aku dapat tahu, oat baik jika di makan 2 kali sehari. Perkara kedua yang perlu aku buat ialah menukar susu yang dia suka sekarang ini kepada susu rendah lemak. Itupun khabarnya, harga boleh tahan….

Isnin, 7 November 2011

Alahai Rendang Ayamku!

Foto salin dari sini
Sekali lagi, Raya ini ibu_suri beriya-iya suruh aku masak rendang. Dalam kemalasan, aku gagahi juga membeli perkakasan membuat rendang. Kebanyakannya aku beli dari kedai mamak tak jauh dari restoran ABC, Taman Pauh Indah. Memang hampir semuanya ada di situ,; sedari santan, kerisik hinggalah ke daun kunyit.

Ayam 2 ekor. Maklumlah - Along, Angah dan Ayu tentu akan beraya bersama kami. Aku ambil saiz yang paling berat - 2 ekor RM13 dijual di gerai tepi Jalan Permatang Rawa. Aku pejam mata je. Tak mahu rasa gelisah duit yang keluar hampir RM100 ringgit di hari itu dek  membeli itu dan ini.

Selesai membeli jam 8 malam, aku pun bergegas menyuruh Along membersihkan ayam. Untuk mengupas kulit bawang, halia dan lengkuas, aku biarkan ibu_suri yang melakukan kerana kerja itu boleh dibuatnya sambil duduk.

Aku mengambil kuali yang diperbuat dari keluli kononnya boleh memasak walau dengan hanya menggunakan sebatang lilin yang tersimpan berhabuk di kabinet. Blend semua ramuan yang perlu lalu.... cerauuu.... aku masukkan ke kuali. Masukkan ayam dan santan sambil menyudip. Tiba-tiba .... plup!... api terpadam! Aikk...

"Kantoilah kita Along. Gas habislah.." sambil aku memutar punat penghidup api berkali-kali. Aku bingkas mengeluarkan tong gas dan tergesa-gesa ke kedai di Astaka. Jam hampir ke pukul 10 malam. 

Huhh...Aku bernasib baik kerana walaupun kedai dah 90% ditutup pintunya, taukeh kedai sudi memberi aku tong gas yang baru. Aku pun bergegas balik ke rumah dan memasang kepala gas ke kepala tong gas. Buka saja punat kepala gas, tiba-tiba.... psstttttt... bau gas bocor dari kepala tong gas. Alamak... Apa hal pulak ni?

"Macam mana Along? Rasanya samada tong atau kepala gas ni ada masalah. Kedai dah tutup."

"Kita kan ada portable gas beli masa kita selalu camping dulu, ayah!"

Hmm... ya tak ya juga. Lalu akhirnya berjaya juga aku dan Along memasak rendang yang akhirnya menghabiskan 2 tin gas. 

Tiba-tiba Angah menalipon dari rumah mertuanya... Ayah, bagitau Along suruh siap-siap cepat sikit. Esok lepas sembahyang Raya, Angah nanti ambik Along dan terus balik rumah Opah di kampung.

Habis, rendang ayam ni sapa nak perabis?

Jumaat, 4 November 2011

Lemang Di hari Ulang Tahun!

Itu foto aku dan ibu_suri selepas beberapa hari perkahwinan kami. Kiranya, masa ini kami masih di dalam percutian Bulan Madu.

Sebenarnya aku dan ibu_suri kenal di tempat kerja yang sama – Hitachi Semiconductor, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Aku sebagai juruteknik di bahagian pengeluaran Memory IC (Litar Bersepadu Memori). Sementara ibu_suri sebagai operator pengeluaran di bahagian IC Assembly. Aku tak pernah kenal siapa pun ibu_suri sebenarnya. Maklumlah, aku ni pemalu sikit. Jalan pun tunduk ke bawah je. Sampaikan operator lain selalu peril aku – awat… cari duit jatuh ke?

 Jadi, dipendekkan cerita, yang menekel aku ni ibu_surilah!

Banyak juga cabaran yang aku terima semasa aku bersama ibu_suri. Aku ni tak pandai nak dating-dating. Tak tahu nak ambil hati perempuan. Jadi ibu_suri selalu merajuk. Cakap dalam talipon pun macam cakap dengan dinding jer…. Selalu ibu_suri bersungut begitu.

Aku juga pernah di gossip dengan perempuan lain hinggakan ibu_suri datang marah-marah dan menangis ke rumah sewa aku yang ketika itu di Solok Mahsuri 5, Bayan Baru. Pernah juga aku dikatakan sudah berkahwin dan isteri aku sedang sarat mengandung. Seingat aku yang aku pernah bawa berjalan melihat-lihat Pulau Pinang itu adalah adik perempuan aku yang kebetulan ada temuduga kerja di sini.

Abah ibu_suri adalah berketurunan Rawa dan ada rumah pusaka di Kampung Batu 3, Jalan Cameron Highland. Kira, ada bau-bau bacang dengan Yusuf Rawa lah! Antara keluarga abah ibu_suri ada yang memiliki saka turun temurun dari datuk nenek mereka. Pernah ibu_suri diminta untuk menerima saka ini tapi aku dengan keras membantah.

Datuk tiri ibu_suri pula berbangsa Pakistan. Mak ibu_suri berketurunan Megat. Anak-anak aku ketika baru lahir pernah diminta untuk dikekalkan nama Megat, aku sekali lagi dengan keras tidak mahu.

Begitu serba sedikit latar belakang ibu_suri. Aku ceritakan ini kerana ntah kenapa perasaan aku berasa sentimental pula pepagi ini lebih-lebih lagi setelah mendengar lagu Khabar Buat Ibu nyanyian Alleycats dari radio kereta blogger JH semasa datang kerja tadi. Bila mengingatkan perjalanan hidup kami selama 26 tahun yang lalu, baru aku akui bahawa sebenarnya aku ini seorang yang setia kepada yang satu.

Hari ini Hari Ulang Tahun ibu_suri!

Malam semalam, selepas selesai mendengar ceramah DSAI di Dataran Rakyat, ADUN Penanti; aku bawa ibu_suri siar-siar seperti  selalunya. Aku tanya ibu_suri nak aku belikan kek tak?

"Tak mahu. I nak u belikan lemang dengan serunding!”

Khamis, 3 November 2011

DIRGAHAYU

Blogger JH ( berbaju kuning ) sedang menyelenggara alat siaraya
Dia pernah bertanyakan aku; apa makna perkataan BELASUNGKAWA. Aku jawap: err… lebih kurang maknanya macam TAKZIAH lah! Tapi TAKZIAH kita ucap kepada si polan yang ditimpa musibah samada kematian, kemalangan atau ujian dari Tuhan.

Di sini aku bukanlah nak ucapkan kepada beliau perkataan BELASUNGKAWA sebaliknya nak ucapkan yang lebih menggembirakan dari itu yakni DIRGAHAYU. Kan hari ini ulangtahun beliau. Aku pun tak perasan tapi ibu_suri yang peringat aku semalam. Bab tarikh lahir sahabat dan adik beradik ni ibu_suri memang ingat sungguh. Malah kekadang aku sendiri terpana bila dia ucapkan SELAMAT HARI LAHIR, BANG… sedangkan aku sendiri tak teringat lansung!

Sahabat aku yang menyambut Hari Ulangtahun nya hari ini tentunya lebih gembira kerana ganjaran yang diterima hari ini adalah ganjaran paling besar. Apa ganjarannya itu kena tanya beliau lah. Cumanya; disamping ucapan, aku juga ingin berterima kasih yang teramat kepadanya kerana beliau adalah seorang sahabat yang terlalu banyak menolong aku. Kerap aku nukilkan namanya di entri blog atas kesiapsiagaannya menolong aku bilamana saja aku perlu. Jika tidak mampu membantu aku di sudut kewangan, dia akan memberi nasihat atau paling minima dia sudi mendengar.

Sesekali aku terasa kerdil juga bila berada di sisinya. Beliau sebenarnya bukanlah calang-calang orang kerana beliau adalah orang penting dalam IKRAM, orang penting dalam JIM, orang penting dalam Silat Gayong dan orang penting dalam keluarganya juga.

Apa-apa pun sahabatku, aku banyak terhutang budi kepadamu. Dan hari ini pun aku merasakan untuk sebuah kek hari jadi tidak berbaloi berbanding entri ini yang aku tulis khusus buatmu – RUSLI BIN HJ HASHIM!

Aku berdoa semuga kau tetap teguh di jalan dakwah, tetap teguh menjadi anak soleh yang mendoakan mak dan abahmu dan tetap teguh menjadi sahabatku di dunia dan muga-muga di akhirat juga. Dan terus komited berdakwah melalui blogmu - JENDELA HATI.

Tiada siapa yang dapat membalas segala kebaikanmu pada aku melainkan Allah jua!

DIRGAHAYU!

Rabu, 2 November 2011

Jurutera Kehidupan

Kad OKU ibu_suri
Sewaktu sedang kalut melayan customer di ofis semalam, tiba-tiba aku menerima panggilan talipon dari Jabatan Kebajikan Masyarakat;

"Encik -  suami kepada ibu_suri? Permohonan ibu_suri untuk mendapat skim bantuan bulanan dari JKM telah diluluskan. Boleh bawa dia datang ke pejabat saya untuk ambil borang, esok? Kemudian bawa dia untuk buatkan buku Bank Simpanan Nasional."

Sebagai seorang jurutera, aku dilatih untuk membuat keputusan dengan segera di saat-saat yang genting dan memerlukan. Bagi aku saat ini agak genting juga kerana dalam masa otakku fokus melayani customer, cuti pun tinggal amat sedikit dan nak Raya pulak tu, aku terpaksa bawa ibu_suri ke JKM esok dan tidak boleh hari lain kerana masa dah suntuk dan dikesementaraan peruntukan bantuan bulanan itu masih ada.

Aku pun menghantar emel kepada boss memberitahu mahu mengambil cuti separuh hari - petang. Pagi datang kerja, tengahari boleh balik dan urus ibu_suri hingga selesai.

Mana tau, di hujung waktu kerja pula, tiba-tiba seorang lagi staf JKM menalipon;

"Anak encik, Akhmal diminta hadir ke JKM jam 8 pgi esok untuk buat program Khidmat Masyarakat".

Arrghhhh.... Akhirnya, pagi ini aku tukar keputusan untuk mengambil cuti penuh. Hantar Akhmal ke JKM kemudian selia ibu_suri untuk urusan skim bantuan OKU.

Alang-alang dah cuti sepenuh hari aku akan selesaikan juga keperluan lain yang tertunggak. Ke Agro Bank (urusan? Rahsia!...), bayar bil TNB, Streamyx dan Amber Water!

Selain dari jurutera di ofis, aku juga sebenarnya jurutera di rumah. Di akhirat, ntah bagaimana. 

Apapun, syukur aku kepada Tuhan kerana doaku di sujud terakhir beberapa solat yang lalu seperti dimakbulkan. Aku berdoa muga-muga hati ibu_suri lembut hati  dan sudi mendengar sekaligus menerima cadanganku yang dijangka bukan saja dia akan enggan malah akan memarahi dan mengungkit kesemua kisah-kisah lalu kami. Alhamdulillah!

Hari Raya? Haaarrggghhh..... cuti yang kerajaan isytihar sahajalah nampaknya!

Selasa, 1 November 2011

Siakap 1 Rasa

Foto ihsan dari sini
Semalam beria-ia Angah suruh aku belikan ikan Siakap. Ayu nak masak ikan Siakap 3 rasa, katanya. 

"Wah... tengok menantu you. Rupanya Ayu sengaja low profile kat you konon tak pandai masak. Hari ni dia nak masak sendiri. Mesti best punya," ujarku pada ibu_suri.

"Jangan Ayah... Ini first time Ayu nak masak. Resipi ambil dari internet. Entah apa rasanya."

Aku pun ke pasar basah Penanti. Entah berapalah harga sekor ikan Siakap ni. Seingat aku, beberapa minggu lalu aku bawa ibu_suri makan ikan Siakap bakar di Restoran Gelas Besar, Permatang Janggus. Seekor saja dah RM18.

Aku pilih 2 ekor. Agak-agak sebesar tapak tangan Ayu. Tak ada pun yang lebih besar dari itu.

"8 ringgit!"

Haa... Kalau macam tu aku ambil 3 ekor! Baru RM13.

Balik saja ke rumah,  aku lihat Angah sedang memotong serai. Ketawa besar aku bila melihat cara dia memegang dan memotong serai.

"Awat potong besar-besar. Dekat 1 cm. Potong nipis-nipis macam ni..." Aku menunjuk cara memegang dan menyukat hirisan serai dengan jari. Bagaimanapun aku bangga kerana Angah mahu menolong isterinya di dapur. Pada aku ini adalah sikap suami yang terpuji. Dan Angah cuma ada separuh sahaja dari sikap ini.

Berbanding aku, Ayu agak senyap memasak di dapur. Kalau aku, siap dengan bunyi ketuk kuali dan lagaan pinggan mangkuk. Lelaki, katakan...

Lepas Zohor juga baru siap sarapan tengahari. Bukan main berselera ibu_suri memakan. 3 ekor ikan Siakap... langsai dengan sekali hadap!

"Macammana, Ayah? Sedap tak?"

"Sedapppp......." jawapku yang memang tak banyak ragam tentang apa yang dihidang walaupun sebenarnya kuah ikan 3 rasa yang Ayu masak ini sebenarnya cuma ada 1 rasa dan agak kurang garam!