Halaman

Jumaat, 30 Disember 2011

Zikra Jumaat 2 - Sesuatu Yang Pasti

foto ihsan : abu syakirin

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya."  
- Surah Ali Imran : 185

Apabila berlakunya suatu kematian di hadapan kita, selalunya yang kita tangisi ialah giliran sahabat kita meninggalkan kita, bukan menangisi giliran kita yang semakin hampir selepas dia.

Khamis, 29 Disember 2011

Tidak Rugi Menjadi Orang Baik

ibu_suri dan angah

Aku menulis entri kali ini menggunakan netbook yang begitu cinoni berian dari Along. Dia dapat percuma semasa mendaftar talian streamyx tahun lalu. Dia juga belikan modem jenama D-link. Aku hanya daftar Celcom untuk dapatkan kad sim serta pakej langganan rm48 sebulan untuk 1gigabit ruang muaturun. Not bad, bisik hatiku.

Aku ambil cuti esok kerana menghantar ibu_suri ke Klinik Kubang Semang untuk rutin pemeriksaan hipertensi dan diabetisnya. Aku sedikit bimbang sebab aku menjangkakan berat badan ibu_suri sedikit naik. Tentu doktor akan membebel pada aku kerana gagal mengekalkan tahap kilogram ibu_suri.

Semasa sedang memandu balik dari makan malam tadi, ibu_suri tiba-tiba berkata;

"Abang ni baik sangat dekat ibu!"

Tak sangka juga kata-kata begitu boleh keluar dari mulutnya. Entahlah! Inilah aku dan aku tak reti untuk bersikap lebih dari begini.

Selasa, 27 Disember 2011

Kolonoskopik


Apa yang diidapi oleh Niza semalam di sini hanyalah bengkak di usus besar. Pemeriksaan cara kolonoskopik akhirnya menjawab teka teki punca Niza selalu muntah dan cirit birit hingga menyusutkan badannya dengan ketara.

Aku sampai ke Ipoh Specialist Centre jam 8 malam selepas singgah dulu di Hospital Tuanku Bainun untuk ziarah mak saudara yang terlantar selama 3 minggu di wad 1C akibat kencing manis. Tampak airmata Niza yang mengalir sewaktu berbual dengan aku. Tak pasti samada kerana terharu atau menahan sakit Anak remajanya yang  bernama Manis setia menjaga Niza sejak dari pagi.

Aku terus memberinya dorongan dengan memberitahu bahawa 3 perkara penting yang perlu dia jadikan obor dalam menghadapi situasi perit ini;

1. Menerima hakikat bahawa ini ujian dari Allah.
2. Sabarlah dengan ujian ini kerana mahu tidak mahu dia mesti hadapi.
3. Bersikap terbuka dengan apa yang diterima kerana dia masih beruntung berbanding orang lain yang lebih malang dari dia.

"Yop boleh cakap pada kamu begini sebab Yop dah lalui semua ini. Percayalah pada Yop, apa yang penting sekarang ialah kekuatan minda. Orang yang hebat ialah orang yang boleh lalui semua ini."

Selepas ziarah Niza, aku ke kampung ziarah mak. Adik-adik aku sepakat untuk membantu Niza membayar kos pemeriksaan di PSC yang dijangka mencecah RM2k. Dan Niza dinasihatkan untuk menjalani pembedahan di Hospital Besar Tuanku Bainun sahaja yang kosnya mungkin lebih rendah.

Isnin, 26 Disember 2011

Niza di ISC

Niza - berdiri di sebelah kiri mak

Malam tadi lagi adik perempuanku yang ke2 megirim sms bahawa dia berada di wad Ipoh Specialist Centre. Sebaik selesai  riadah di Tasek Mengkuang, aku singgah ke kedai penghawadingin untuk sevis. Menalipon suaminya - Din, baru aku tahu rupanya dia mengalami ketumbuhan dalam usus besar. Beberapa hari dia sakit perut dan apa yang dimakan akan keluar semula.

Niza adalah adik aku yang menjadi sandaran kuat untuk apa sahaja aktiviti dalam keluarga terutama bila kenduri kendara. Kerjayanya sebagai penjawat KEMAS dan aktif dalam UMNO membuatnya dikenali, bijak berinteraksi dan berketrampilan. Ada sikit-sikit mengikut jejak langkah mak aku yang juga semasa sihatnya dulu aktif dalam UMNO dan menjadi tempat rujukan jika ada masalah di kalangan jiran. 

Aku fikir, aku perlu balik untuk ziarah dia. Ini perlu sebagai sokongan moral kepada dia yang pasti terkapa-kapa dalam ruang yang tidak pernah terfikir olehnya untuk dilalui. Pasti dia terasa kesaorangan, bimbang dan tidak nampak destinasi. Aku tahu kerana aku pernah lalui itu semua.

Sampai di rumah, ibu_suri masih tidur. Untuk membangun dan memberitahunya akan hasrat untuk balik, satu hal pula. Sedari dulu Niza dan ibu_suri memang tidak serasi kerana berlainan bendera politik. Namun bagi aku, dalam keluarga mesti tidak ada sentimen perbezaan fahaman. Buang itu jauh-jauh. Dalam keluarga mesti mengutamakan pertalian darah. Berdosa jika melayan sensitiviti itu berbanding usaha menyatukan kekeluargaan.

Ahad, 25 Disember 2011

Kerana Aruhan

Foto oleh uruttradisional

Bila ibu_suri mengadu sakit perut, aku cuba mengurutnya perlahan-lahan. Begitulah selalunya. Kekadang sakit belikat. Kekadang sakit pinggang.  Kekadang sakit kaki dan lutut.

Agaknya benarlah kata orang, bila kita mengurut, angin yang ada pada orang yang kita urut akan berpindah kepada kita yang mengurut. Maka apa yang berlaku ialah kita akan banyak sendawa atau paling tidak akan putt...putt... kerana aruhan itu.

Akan ketawa terkekeh-kekehlah ibu_suri sambil mengipas hidung dengan tangan bila mendengar bunyi angin putt...putt. Ketawanya itu memberi pertanda bahawa emosinya stabil dan ceria.

Sebenarnya, urutan memerah tenaga dan kesabaran. Dicampur dengan letih jogging tadi pagi yang masih berbaki, aku banyak kali tersengguk menahan kantuk.

Cuti 3 hari sempena Hari Natal ini menggamit anak-anaku semua pulang bercuti dari perantauan. Kepulangan mereka itulah sebenarnya yang menjana kestabilan emosi ibu_suri. Dia memang amat menyayangi anak-anaknya walaupun terkadangkala mereka seperti tidak memahami.

Jumaat, 23 Disember 2011

Zikra Jumaat 1 - Kahfi


Daripada Umar; Nabi SAW telah bersabda:

“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit. Untuknya cahaya di hari Kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat” (HR. Ibnu Katsir)

Antara intipati untuk direnungi:

  1. Amalan membaca Surah Al Kahfi akan memberi kita kebaikan (cahaya) yang tidak ternilai di hari akhirat kelak.
  2. Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil kita diantara dua Jumaat.
Muga bermanafaat.

Khamis, 22 Disember 2011

Kerap Tewas

Berpuasa sunat hari ini. Tak sangka juga, aku mampu meneruskan sedang sebelum ini aku kerap tewas terutama bila melalui kafetaria di tempat kerja. Cuba nak menjadikan puasa sunat itu sebagai budaya amalan mingguan. Harap tidak tersentot di pertengahan perjalanan.

Inilah indahnya usrah. Usrah yang di naungi oleh jamaah mahu selalu melihat ibadah mad’unya mengingkat dari dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik. Lantaran itu bila setiap kali hadir usrah salah satu agendanya ialah bertanyakan;

- berapa muka surat Quran sudah di baca
- berapa hari Dhuha dilaksanakan?
- solat Tahajjud berapa kali minggu ini?

Bagi insan yang tidak tahan, akan futurlah dia. Namun bagi yang memang mahukan kebaikan bertambah dan meningkat kepada dirinya maka dia akan terus sabar dan istiqamah dengan usrahnya.

Mungkin akan ada orang berkata; kamu tidak ikhlas berpuasa kerana Allah sebaliknya terpaksa kerana usrah. Betul bagi mereka melihat dari luar. Tetapi bagi yang melakukannya seperti aku hari ini, aku sendiri tahu keikhjlasan aku berpuasa itu ditakah mana. Usrah hanyalah sebagai penolak. Selebihnya, Allahlah yang paling layak menentukan samada aku akan mendapat markah penuh atau sebaliknya.

Aku agak beruntung kerana sejak ibu_suri menghidap mood dis order ini, dia banyak memberi sokongan dengan turut sama berpuasa. Malah walau terlupa sahur sekalipun, dia tetap mahu meneruskannya.

Bagi aku, disamping kepayahan yang terpaksa aku tongkah dalam menjaga kesihatan ibu_suri terselit hikmahnya terutama dalam bab-bab ibadah fardhi ini. Solat dan puasanya memang jelas berbeza berbanding dulu. Dan aku menumpang semangat itu persislah di hari ini!

Rabu, 21 Disember 2011

Ucapan Yang Patut Diucapkan



Dalam memikul tanggungjawap untuk melaksanakan sesuatu program hingga berjaya memang akan terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan.

Itulah yang telah dan sedang aku alami. Program yang sedang aku rangka ini walaupun sebenarnya program kecil sahaja tetapi terpaksa berdepan dengan pelbagai kata yang jika nak diambil hati boleh merajuk panjang dibuatnya.

Manusia ini sebahagiannya memang berfe’el begitu. Bila tidak buat;  bertanya-tanya - kenapa tak dibuat. Bila rancang nak dibuat ditanya pula; kenapa tak dibedakkan tanggungjawap supaya nampak sebagai satu kerja jamaie. Namun bila hendak dibagi tugasan  berdasarkan pada kemahiran dan kemampuan, masing-masing menolak dengan pelbagai ketawadukkan. Maka terpaksalah diberi kepada orang yang tak berapa pandai tetapi sanggup memikul kerana tiada pilihan. Dan bila orang yang tak berapa pandai ini melaksanakan tindakan atau keputusan; hendaknya pula tindakan dan keputusan itu tidak memuaskan hati atau memang benar-benar silap, orang yang tak pandai itu di hujani dengan teguran dan perlian.

Jadi, aku yang melihat semua ini dari luar kotak; mengeleng kepala dan menarik nafas panjang. Dan kesemua apa yang aku perhatikan ini membuat aku berpendirian bahawa;

  1. Orang ang hebat ialah orang yang berani memikul tanggungjawap, melaksananya semampu boleh kemudian menyerahkan kepada Allah akan hasilnya.
  2. Orang yang hebat ialah orang yang tabah tanpa perlu melatah terhadap apa juga cabaran yang mendatanginya.
  3. Orang yang hebat ialah orang yang sanggup menerima kritikan dengan lapang dada, tidak mengganggap sipenegur sebagai musuh malah sebagai cermin kebaikan dan kritikan itu digunakan untuk memperbaiki mutu dirinya sendiri.
  4. Orang yang hebat ialah orang yang mahu memikul tanggungjawap semata-mata kerana Allah dikala orang lain beria-ia menolaknya  atas alasan yang menggambarkan ketawadukan mereka.
  5. Orang yang hebat ialah orang yang membuat kerja kerana Allah, mengharapkan keredaan Allah dan tidak berkecilhati walaupun usahanya tidak dihargai.

    Sepatutnya, orang seperti inilah yang patut kita berjabat tangan dan ucap JAZAKALLAH KHAIRAN KATHIRA!

Ahad, 18 Disember 2011

Malu Pada Taici

Baru balik dari riadah daki Bukit Tok Kun. Khabarnya, Mengkuang Dam dalam proses pembesaran. Justeru itu aku kaleh lokasi riadah selaluku ke sana.

Seperti selalunya aku buat regangan badan sebelum mendaki. Tak jauh dari aku, sekumpulan Cina sedang membuat senaman Taici. Ada juga beberapa orang Melayu ikut sama dari belakang berdasarkan tudung kepala yang dipakai. Senaman Taici setahu aku kombinasi pergerakan fizikal dan pernafasan.

Menaiki tangga ini untuk buat regangan di atas.  Foto ihsan di sini

Aku mulakan pendakian secara perlahan. Dah lama tak mendaki bukit ni. Teringat juga kawan-kawan yang selalu bersama mendaki dulu - blogger Jendela Hati (JH) dan Habuna Trading (HT). Tapi aku tahu, mereka sibuk. JH sibuk dengan Pameran Pedang Nabi Muhammad di Dewan Sri Zaleha, NAZA, Gurun berakhir hari ini. Berkali-kali dia mengajak aku bersama. Bukan tak mahu tapi sejak kesihatan ibu_suri begini agak terbatas aktivitiku ini. HT pula mungkin sibuk dengan kateringnya.

Sekerat saja pendakianku, aku turun semula sebab nak jaga juga kondisi lutut. Boleh dikatakan seperti selalu yang aku lihat, orang Cina lebih memonopoli tempat riadah begini berbanding Melayu. Hinggakan pendaki bangsa Cina ini ujudkan kumpulan hikers dan ada pos rehat mereka sendiri di sini. Riders juga nampaknya semakin ramai.

Sebaik saja aku turun, terdengar bunyi muzik yang aku sendiri tak faham muzik jenis apa. Ala-ala lagu crazy frog tu la.. Akan tetapi yang membuat aku hampir nak 'tutup muka' dengan kumpulan Taici tadi ialah rupanya muzik itu dari kumpulan senamrobik yang rata-ratanya 'mak budak' memakai tudung. Satu kumpulan ber t-shirt warna merah dan satu lagi warna oren. Terkinja-kinja mereka menari di kawasan lapang tanah tinggi. Makin ramai yang melihat, makin bersungguh-sungguh pula mereka meguak dada dan menggoyang punggung.

Aku berlalu saja dari situ dengan rasa malu pada bangsa sendiri. Aku singgah makan di gerai simpang Jalan Kolam dan singgah solat Dhuha di Masjid Ceruk Tok Kun. Di rumah, ibu_suri masih tidur...!

Rabu, 14 Disember 2011

Opah vs cucu

 

Mak talipon aku 2 hari sudah. Ceria suaranya bertanyakan khabar aku. Tentu saja aku jawap… sihat! Dan lagi, dia  bertanya betul ke hasrat Angah nak buat majlis naik buai anak dia di kampung?

"Elok juga kalau kita sekalikan dengan majlis kahwin Kida. Pagi tu anak Angah naik buai buat dengan marhaban, ya!”

Angah pernah bertanyakan pada aku sebelum ini dan aku terangkan pada dia;

“Aqiqah, cukur rambut dan beri nama yang baik-baik pada hari ke 7 itu sunnah. Naik buai ni cuma adat. Utamakan sunnah. Kemudian baru fikir pasal adat. Adat ini lebih kepada hendak bergembira disamping berhimpun sesama keluarga, itu jer...”

Tapi bila sesekali fikir bagus juga jika dapat menyemarakkan semula majlis naik buai dengan iringan marhaban. Bukannya sesuatu yang lagha'.

Dapat aku bayangkan betapa meriahnya nanti penyatuan majlis cicit mak yang sulong dengan walimah Kida, anak mak yang bongsu. Atau dengan kata lain, pagi majlis naik buai untuk cucu dan tengahari majlis naik pelamin untuk opah su.

Ayu - Isteri Angah, dijangka melahirkan anak sulong pada bulan 2. Kida pula dijangka melansungkan perkahwinan pada bulan 3.

Kalau arwah abah masih ada tentu lebih meriah. Abahlah nanti yang akan sibuk dengan kamera dan pasang sound system.

Ahad, 11 Disember 2011

Diri Kita


Semalam aku bawa ibu_suri bersiar-siar hingga pukul 3 pagi. Banyak etong pula ibu_suri malam ni. Boring... boring... itulah perkataan yang keluar dari mulutnya berkali-kali malah setiap hari dan mendengar itu aku jadi semak perut. 

Di sepanjang pemanduan itu aku melihat kemalangan kereta, pemandu memotong kenderaan serta lampu isyarat ikut suka hati. Aku nyaris-nyaris terbabas bila ibu_suri tiba-tiba menyilang tangan hendak menekan hon pada stereng yang aku sedang kawal. Geram sangat dia pada yang tiba-tiba menyalakan lampu high beam di belakang kami. Agaknya marah kerana kereta kami berkelajuan 50km/j sahaja berbanding Hiluxnya itu.

"Kenapa mesti hon pada dia. Biarlah dia potong kita. Dia nak terberak agaknya." respon aku begitu pada ibu_suri.

"Sebab itu I tak boleh bawak kereta, agaknya."

"Kalau you bawak kereta lagi tinggi darah you naik." jawapku. Erkksss.. Kekadang terasa macam terlepas cakap!

"Kita nak rasa seronok bawa kereta. Jadi kenapa perlu ada rasa marah dan geram. Jalan ini bukan kita sorang guna. Ada ribu-ribu orang di sini. Dan ada ribu-ribu ragam. Mereka juga ada hak macam kita. Jadi biarlah mereka dengan ragam mereka. Kita jaga pemanduan kita, sudah la.."

Aku singgah seperti selalunya di Esso membeli kudapan. Sambil berjalan masuk ke Tiger Mart, aku lihat sekumpulan anak remaja dengan basikal mini. Salah seorangnya berkayuh sambil mengangkat roda depan. Setengahnya sedang mengepam tayar basikal. Semuanya anak bangsa kita. Dah hampir jam 3 pagi. Apa ke halnya merayap tetengah malam ni!

Aku geleng kepala. Teringat artikel ini yang sempat aku baca. Mereka nampaknya sudah berjaya! Oppsss.... Anak-anak aku di mana sekarang ini?

Sabtu, 10 Disember 2011

Tidak Gagak Menjadi Merak


Kancil aku baru siap semalam sejak di tarik oleh penunda ke Perodua Seberang Jaya, Jumaat lalu. Lega rasanya kerana memandu kereta sendiri lebih baik dari kereta orang lain walaupun orang lain itu adalah anakku. Laih atau kecil, ia tetap bukan pinjam tetapi hak sendiri.

Sesekali bila hati tidak tenteram aku duduk di kerusi yang menghadap keluar rumah melalui cermin pintu gelansar. Aku renung semula ke dalam diri; jujur dan dalam. Sedar, aku punyai banyak kelemahan dan kelalaian dalam melaksanakan amanah dan perintah Tuhan. Sedangkan usia kian banyak gugur seperti juga daun-daun pelam yang tegak berdiri di hadapanku. Itu pokok yang ditanam oleh arwah abahku. Kata orang, kalau tangan yang sejuk menanamnya, biar tak berjaga, pokok itu masih akan tumbuh subur dan mendatangkan hasil.

Kemudiannya aku akan menarik nafas panjang dan dalam. Aku tahu, itu satu cara untuk melapangkan ruang dada dari segala kesesakan. Aku bina semula semangat dari puing kerana aku tahu perjalanan ini perlu diteruskan. Mereka yang berada di pundak tetap wajib aku  pikuli walaupun patah tongkat hilang suluhan.

Aku adalah aku seperti hari ini. Tidak akan gagak boleh menjadi merak. Tidak akan kucing boleh menjadi harimau.

Syukur atas apa yang ada. Redhailah atas apa yang telah berlaku. Esok tetap akan datang tanpa aku boleh duga apa yang akan ku temu.

Namun aku percaya, Tuhan Maha Saksama, Kasih dan Mendengar isihati hambaNya kerana Dia yang menjadikan aku dan Dialah juga yang mengharapkan aku tunduk patuh pada perintahNya.

Kancil yang baru saja aku cuci kelihatan bersih di pandangan mataku membuatkan aku terasa senang walaupun hakikatnya pemanduannya sudah tidak lagi stabil akibat kemalangan lalu.

Khamis, 8 Disember 2011

30 Tahun!

Renesas, Penang

Semalam di lokasi kerja, terasa ngantuk dan resah sangat. Tak tahu kenapa. Hingga ada yang perasan dan hantar sms bertanya kenapa?

Malam, aku bawa ibu_suri beli nasi lemak berhampiran Am Bank, Desa Murni, Sungai Dua. Sedap nasi lemaknya lebih-lebih lagi berlaukkan ikan masin. Bungkus dan singgah di Esso, makan dalam kereta. Dalam kereta memang sedia ada pinggan dan sudu serta air botol.

Kemudian aku bawa lagi ibu_suri jalan-jalan menelusuri Lebuhraya Utara Selatan keluar ke Bukit Mertajam. Singgah di Petronas Permatang Pauh beli Nesvita Oat yang kehabisan stok di rumah.

Aku teringat Akhmal yang sudah seminggu berada di Kota Kemuning, Shah Alam kerana menjalani kursus TBM. Dia talipon bertanya: betul ke siang tadi ada polis datang menangkap beberapa kawannya yang berjiran dengan rumahku kerana kes curi motor dan positif dadah? Entahlah. Aku pun tak tahu.

Aku rasa tidak bermaya mungkin kerana sudah berumur dan tidak segagah dulu. Hari ini genap 30 tahun  tempoh bertugas sahabat baikku -  blogger JH di Renesas Semiconductor, tempat kami sama-sama bekerja ini. Dia dihadiahkan Sijil Simpanan Premium BSN sejumlah RM1500.

Tahun depan giliran aku!

Rabu, 7 Disember 2011

Kalau Nak Hidup Lama

Foto salin dari blog Ain Fatihah di SINI

Buat lawak pula Perodua ni. Jumaat lalu Kancilku tersadai di Esso Jalan Baru kerana masalah radiator. Kereta tunda tarik Kancilku ke Perodua Seberang Jaya. Bila aku talipon esoknya, mekanik kata kereta aku tak ada masalah apa-apa. Bila aku kata air keluar dari kereta bagai hujan, baru mereka terkapa-kapa. Agaknya bila mereka start enjin kereta, enjin hidup seperti normal lalu mereka beranggapan kereta aku tiada masaalah apa-apa. Berapa lamalahlah agaknya enjin aku begitu dalam keadaan tanpa air di radiator. Bukannya nak talipon aku bertanya masaalah sebenar sebelum buat apa-apa pemeriksaan. Aku regular customer mereka dulu, kini dan selamanya sejak Kancil itu dibeli. Pastinya nombor talipon aku ada dalam sistem mereka.

Kemudian mereka beritahu, oleh kerana kereta aku baru saja kemalangan dan masih ada warranty, mereka saran aku rujuk masalah ini ke Perodua Juru. Aku pun dengan sabar menalipon Perodua Juru yang mana akhirnya bersetuju untuk tarik kereta aku dari Perodua Seberang Jaya.

Aleh-aleh bila aku talipon tadi, Perodua Juru kata mereka tak jadi tarik. Bila mereka hantar mekanik ke Perodua Seberang Jaya, mereka sahkan punca masaalah radiator ialah kipas yang tak berfungsi. Mekanik Perodua Seberang overlook. Mungin kerana kereta banyak dan hari itu pula hari Sabtu.

"Kemalangan dulu tu melibatkan sebelah kiri (pemandu) kereta sedangkan radiator berada di sebelah kanan."

Lagu tulah.. Kancil aku dah masuk hari ke 3 masih tak dibuat apa-apa. Akhirnya aku terpaksa pinjam Wira Angah untuk bawa cucu menakanku berkhitan di Klinik Shobri, Sungai Dua.

Sekali lagi, sabar ajelah sebab kalau marah-marah pun bukan boleh membantu apa-apa. Pada aku, kalau nak hidup lama dan bahagia; jangan terlalu berprasangka, sabar dan berlapang dadalah senantiasa!

Isnin, 5 Disember 2011

Bersama Bro Kamaruddin

Aku dapat tahu akan ada satu ceramah oleh Bro Kamaruddin Abdullah seperti yang di war-warkan. Aku mengenali beliau sejak diawal memeluk agama Islam. Dia seorang yang mudah mesra dan selalu senyum. Kegigihannya dalam dakwah amat dikagumi.

Pernah dia memberitahu bahawa sebahagian dari metadologi dakwahnya kepada belum Islam menggunakan surah Al Ikhlas. Hujah dari surah itu sudah dikira mampu mencerahkan kekeliruan terhadap kebenaran Islam terhadap mad’unya yang rata-rata adalah pelancong asing. Mentornya ialah pendakwah tersohor Ahmad Deedat.


Muga Allah turunkan jutaan Rahmat keatas sahabatku ini melorongi perjuangannya dan mendapat hasanah di dunia dan hasanah di akhirat. Pada yang lapang dan mampu bolehlah ke Surau An Nur sempena iftar sunat Hari Asyura, esok!

Sabda Nabi SAW dari Abu Qatadah ra, "Aku berdoa kepada Allah semoga puasa Asyura dapat mengampuni dosa setahun yang lalu". Riwayat Muslim.

Sabtu, 3 Disember 2011

Kerja Tuhan

Foto salin dari blog ini

Macam disetiap hari yang lalu, aku bawa ibu_suri pergi makan dan siar-siar lepas saja selesai solat Isya', semalam. Dapat panggilan dari Angah beritahu kenderaan jem teruk dari arah Seberang Jaya ke Lebuhraya Utara. Aku sesaja membawa ibu_suri balik melalui lebuhraya untuk meninjau. Memang benar sangkaan aku; ada kemalangan sekitar kawasan Sungai Dua.

Kemudian aku keluar ke arah Bukit Mertajam/Ipoh. Aku singgah di Esso sekadar untuk isi masa dengan rehat sebab terasa mengantuk. Tapi hati rasa tak sedap bila dengar bunyi lain macam dari enjin. Aku keluar dan terlihat air mencurah turun dari radiator ke  muka jalan. Aku tak perasan rupanya tadi meter suhu enjin dah melepasi takat merah.

Sementara menunggu Angah datang, aku menalipon Smart Assist Perodua. Hajat asal sekadar nak bertanya apa yang aku boleh buat. 

"Saya pun tak pasti, encik. Saya bukan mekanik. Nanti saya talipon  kereta tunda untuk tarik kereta encik."

Alhamdulillah. Tersangat Alhamdulillah sebenarnya kerana masalah di Kancil aku ni berlaku bukan di lebuhraya tadi sebaliknya di Esso, tempat yang lapang dan selamat. Aku pun tak tahu kenapa aku tiba-tiba saja nak rileks di sini. Itulah yang dinamakan kerja Tuhan. Tuhan tahu apa yang terbaik untuk hambaNya. 

Aku memandang ibu_suri yang wajah bersahaja masih duduk diam di kerusi sebelah stereng. Aku tak fikir ini kerana nasib baik aku tetapi lebih kepada simpati Tuhan terhadap ibu_suri.

Khamis, 1 Disember 2011

Tak ada dengar suara bisik-bisik lagi kan?


Entah kenapa terasa letih sangat selepas menguruskan rawatan susulan ibu_suri di Unit Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang, hari ini. Terkedang aku di atas katil yang akhirnya terlelap tanpa sebarang mimpi sedari jam 2 hingga 6. Sebaliknya kata ibu_suri, dia tak pula dapat nak picingkan mata. Cuma terkebil-kebil saja.

Doktor yang merawat ibu_suri kali ini doktor baru. Perempuan. Lembut orangnya. Respect aku kerana semua doktor di sini begitu mesra pelanggan walaupun aku tahu, merawat pesakit yang separa normal mau merampus dibuatnya kalau tak tahan sabar. Memang begitu agaknya mereka dilatih. Dan memang begitulah sepatutnya sikap seorang doktor jika mahu menjadi rakyat Minda Kelas Pertama. Malah sikap kita semua juga!

Selain ibu_suri ada 3 lagi meja dengan doktor dan pesakit yang lain. Maknanya, 4 pesakit dilayan sekaligus sedari jam 8.30 hingga 1 petang. Ramainya rakyat Malaysia yang mengidap Psikiatrik sekarang ini, ya!

Aku pasti doktor dapat mengukur tahap kesihatan ibu_suri dari air muka sebaik saja ibu_suri menguak pintu dan duduk di kerusi.  Justeru bila doktor itu bertanya sambil mencatat sesuatu di atas kad, soalan itu seperti telah menyediakan jawapannya;

"Tak ada dengar suara bisik-bisik lagi kan?"

"Ubat yang diberi ni memang dah dos yang paling minima yang kami beri." Terang doktor bila aku meminta pandangannya samada boleh dikurangkan biji-biji pil yang bermacam warna untuk di telan oleh ibu_suri 2X sehari. Tak dapat aku bayangkan bagaimana ginjal ibu_suri akan memproses pil-pil itu yang termasuk juga pil darah tinggi dan diabetis.

"Epillim tu kena makan sebab ia menyeimbangkan kandungan kimia dalam darah. Risperidon untuk menghindar suara bisik tu dan Sertraline untuk cegah kemurungan."

"Awak kena makan ubat kalau awak tak mahu kembali semula macam dulu (bipolar disorder). Awak memang beruntung kerana ada suami yang menjaga awak dan ambil berat tentang awak."

"Suami mithali..heh..heh.." Gurauku sambil mengurut belakang ibu_suri. Bibir ibu_suri terjuih keluar.... spontan!

Memimpin ibu_suri dari kereta berjumpa doktor dan ke Farmasi untuk ambil ubat memerlukan kesabaran dan lapang dada yang bukan sedikit juga.

"Jalan pelan-pelan la..." Getus ibu_suri supaya aku menurun gear 2 kepada gear 1. Berjalan macam kura-kura memang tak letih fizikal tapi letih mental.

Mak aii... Ramainya orang dalam bilik farmasi ni. 90% kerusi dah penuh. Berdiri memberi perkripsi dan ambil nombor giliran juga berbaris macam ular dipalu.

Kalau sekotak ubat Epilim yang ibu_suri ambil berharga RM26, bayangkan berapa jumlah wang sehari untuk kerajaan membeli ubat-ubatan dan beri percuma pada rakyat marhaen seperti ibu_suri. Ada yang datang membawa kotak bersaiz kertas A4 sebagai bekas membawa balik ubat.

Tak dapat aku bayangkan, makan ubat macam makan nasi, gayanya!