Halaman

Selasa, 31 Januari 2012

Entah Bila...

Semenjak aku mendengar seorang demi seorang rakanku mendapat diabetis, darah tinggi dan kolestrol, aku membulatkan azam di tahun 2012 ini untuk tidak gagal beriadah bila-bila saja ada peluang.

Hari ini aku ambil cuti kerana tengahari nanti akan pergi ke rumah besan di Permatang Batu, Bukit Tengah untuk sesama meraikan majlis cukur rambut cucunda. Lalu pepagi ini aku sudah berada di Tasik Mengkuang untuk mengeluarkan peluh. Cantik sekali  matahari pagi yang sedang naik memanjat langit.

Selalunya insan seusia aku ini lebih baik mengamalkan jalan cepat berbanding jogging. Ia akan dapat mengelakkan kecederaan lutut disamping tidak mendera jantung dan paru-paruku dengan letih yang mendadak. Hari bekerja begini baru aku dapat lihat lebih ramai warga berumur berbanding anak-anak muda di sini. Aku juga sempat melihat 2 orang anak muda memakai kasut dan seluar sekolah walaupun berbaju pereman juga di sini. Ponteng?

selalu terserempak dengan Mini Coopers ini

Selesai jogging aku singgah makan roti canai telor dan kopi Kencang di sebuah warung kecil. Selalunya di Restoran Sri Semarak tapi hari ini tak buka. Sedap juga roti canainya. Huu.... memang kencang. Tambah menjejen peluhku ini. Dan aku singgah di Masjid Mengkuang untuk solat sunat Dhuha.

iklan lihat di sini

Begitu rutinku jika cuti. Benar kata orang, bila sudah berumur dan anak-anak sudah besar, kurang gelut di waktu pagi. Cuma yang sibuk hanya di hati!  

Maaflah, asyik-asyik cerita pasal Tasik Mengkuang je semenjak dua menjak ni... Aku dah letih sebenarnya, merengkuh tanggungjawap membesarkan anak dan tekanan kerja hampir 30 tahun. Mahu rehat dengan melakukan kerja-kerja ibadah yang aku suka pula. Tapi entah bila...

Ahad, 29 Januari 2012

Nasi Limuni

Trek yang panjang di Tasik Mengkuang. Foto salin dari sini

Hari ini usrah di Tasik Mengkuang. First time buat usrah secara outdoor. Selalunya usrah di adakan di rumah sahabat secara bergilir.

Sayangnya, cuma aku dan naqib saja yang hadir. Seorang lagi rakan sakit kepala. Seorang lagi tak dapat dihubungi. Jadi aku dan naqib ambil keputusan memilih morning walk di trek yang panjang. Sambil berjalan, bertanya khabar masing-masing. Dan selaku naqib tentunya beberapa tazkirah sempat diberikan.

Berpeluh juga dahi dan ketiak.. Bila matahari dah tinggi, naqib ajak makan dulu sebelum balik. Dia belikan nasi limuni. Aku jarang makan nasi macam ni. Sambil berbual aku sempat ceritakan perihal Akhmal semalam.

"Dia bertumbuk dengan Along. Terkejut juga ana dibuatnya. Tak sangka boleh terjadi insiden begitu dalam keluarga ana."

"Puncanya?"

"Motor. Akhmal nak pinjam motor Angah untuk keluar malam semalam tapi Along tak bagi. Ana pun faham kenapa Along tak bagi sebab Akhmal tunggang motor kasar. Boleh lingkup enjin dibuatnya."

"Motor Akhmal kenapa?"

"Katanya eksos dah keluar asap. Selalunya kalau macam tu, piston dah haus la, kan!"

"Apa plan enta untuk Akhmal ni?"

"Ingat nak sambung berubat cara kampung balik lah. Dulu stop sekejap sebab dah give up. Lagi pun bila dia pergi kerja kat Shah Alam tu dulu, ingatkan insyaAllah dah boleh ok.  Tapi rupanya tak. Banyak lagi kerja ana kena rengkuh."

Aku merenung jauh ke Hutan Simpan di hadapanku. Teringat lagi -  Akhmal seperti menyalahkan aku kerana menjadikan dia anak angkatnya. Dia membentak suruh aku hantarnya balik ke rumah mak sebenar dia di Setiawan. Luluh jantungku dibuatnya dengan sikap Akhmal ini. Tak tahu dimana silapku selama ini dalam mendidiknya.

Di depanku kelihatan remaja bermain badminton riang sesama mereka. Ini mengingatkan aku semasa bermain badminton dengan Akhmal di belakang rumahku lebih 10 tahun dulu.

Nasi limuni aku pun dah habis!

Jumaat, 27 Januari 2012

Zikra Jumaat 4 - Pertahan Keadilan

Tsunami - Peringatan yang semakin dilupakan

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّامِينَ بِالۡقِسۡطِ شُهَدَاء لِلّهِ وَلَوۡ عَلَي أَنفُسِكُمۡ أَوِ الۡوَالِدَيۡنِ وَالأَقۡرَبِينَ إِن يَكُنۡ غَنِيًّا أَوۡ فَقَيرًا فَاللّهُ أَوۡلَي بِهِمَا فَلاَ تَتَّبِعُوا۟ الۡهَوَي أَن تَعۡدِلُوا۟ وَإِن تَلۡوُوا۟ أَوۡ تُعۡرِضُوا۟ فَإِنَّ اللّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرًا
(An Nisa’ : 135)

'Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya.
Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.'

Khamis, 26 Januari 2012

Manisnya Menulis Blog




Menghadiri salah satu program tarbiyah IKRAM.
 
Bila sesekali fikir terasa amat manis bila usaha kita menulis blog mendapat respon baik dari follower. Malah yang lebih manis ialah bila pengalaman kita yang ditulis itu menjadi bahan rujukan atau panduan yang berguna pula pada mereka.

Inilah yang aku cita-citakan iaitu menjadi insan yang memberi dan bukan meminta. Kita memberi melalui apa yang kita mampu. Jika tiada harta, kita pasti ada perkataan. Perkataan itulah yang walaupun murah modalnya tapi mahal nilai timbal baliknya.

Selama aku menulis ini beberapa individu telah menghubungi aku meminta nasihat tentang permasaalahan mereka. Rupanya ramai juga yang berhadapan dengan ujian hidup yang seperti aku alami. Tak kira samaada ujian dalam menjaga isteri, menjaga anak maupun masaalah dalam diri.

Indahnya hidup ini jika kita dapat memberi bakti kepada orang lain. Aku tidak pernah menyangka bahawa menulis blog mampu memberi pulangan manis seperti ini. Namun itu yang aku percaya bahawa menulis tentang pengalaman diri sendiri mempunyai kesan lebih mendalam berbanding menyalin bahan orang lain.

Bukan semua orang suka dengan tulisan kita. Malah akan ada yang mencemuh atau memperli. Pernah aku alami bila tulisan aku di komen keras oleh anynomous hingga seminggu aku fobia menekan keyboard. Hinggakan bunyi kereta lalu dan membrek di depan rumah membuatkan jantung aku berdegup kencang.

Sebaliknya, pernah juga tulisan aku di salin dan emel ke serata rakan-rakanku di tempat kerja. Akhirnya ia menjadi buah mulut di kantin. Aku terpaksa teguh menahan malu maupun amarah.

Memang bukan semua orang boleh menulis. Bukan pula semua tulisan suka dibaca oleh semua orang. Kita perlu bertanggungjawap atas tulisan kita. Jangan baling batu sembunyi tangan.

Ada pula yang suka membuka blog aku kerana ada lagu. Sambil dengar lagu dari blog hang boleh juga buat kerja rumah, kata rakanku. Ha..ha.. Memang selain menulis aku juga meminati lagu; mewarisi darah seni arwah abahku agaknya.

Apa-apa pun, menulis tetap memberi kepuasan pada aku yang memang bercita-cita menjadi penulis besar tetapi tidak kesampaian.

Hatta menjadi penulis bilis pun dah kira beruntung. Mujur ada dunia blog. Kalau nak harap untuk menghasilkan buku atau novel agaknya; usahkan cium bau buku , melihat bayang buku pun belum tentu!

Rabu, 25 Januari 2012

Tali Pusat

Foto ihsan dari sini

Sengaja aku ajak Angah untuk bersamaku ke kantin hospital dengan alasan aku belum lagi makan. Aku arif benar. Bila kalut ke sana kemari - kedai, hospital dan rumah, makan dan mandi boleh terlupa.

Semasa makan itu aku sempat memberitahunya;

"TAHU ialah orang yang maklum tentang sesuatu perkara. PANDAI ialah orang yang selain tahu tetapi ahli dalam perkara itu. Orang yang BIJAK ialah yang menggunakan ilmu untuk kepentingan sesuatu. Akan tetapi orang yang BIJAKSANA ialah orang yang bijak menggunakan ilmu itu pada ketika dan orang yang sesuai untuk kepentingan jangka panjang."

"Jadi, ayah mahu kamu menjadi orang bijaksana. Jangan cepat melenting bila berdepan dengan orang yang datang memarahi kamu, yang komplen atau yang memberitahu sesuatu berita yang kurang baik. Tunjukkan sikap bertenang, siasat dari 2 belah pihak akan hujah mereka dan buat keputusan yang bijak serta win-win situastion."

Sebenarnya aku sedang merujuk kepada kemungkinan akan ada berbagai pandangan dan arahan dari keluarga mertuanya yang mungkin kurang biasa dengan cara aku mendidik dia. Maklumlah, bila masuk bab anak baru lahir dan isteri lepas bersalin ini, Melayu biasanya banyak dipengaruhi oleh budaya Hindu.

Contoh paling hampir ialah mengikat tali hitam ke pergelangan tangan anak. Dan yang baru aku dengar tadi ialah, tali pusat yang gugur itu perlu disimpan. Jika anak deman, rendam tali pusat itu dalam air dan bagi anak itu minum.

Nasib baik tak disuruh sapukan jelaga pelita minyak tanah ke dahi dan pipi anak atau simpan kacip pinang bawah bantal seperti aku masa kecil dulu!

Isnin, 23 Januari 2012

Di ambilNya Anak, Tinggalkan Isteri

Semasa menunggu Ayu di wad bersalin Hospital Seberang Jaya minggu lepas, aku sempat kenal dengan seorang Myamar. Dia juga sedang menunggu isterinya. Seorang diri saja dia.

Dia bekerja sebagai tukang menerap jubin lantai. Gajinya sekitar RM100 sehari. Taukehnya seorang Cina. Dan 8 tahun di bekerja di sini. Punyai sebuah kereta dan menyewa di Taman Cenderawasih, Perai. Fasih benar pertuturan Melayunya. Sebijik gaya cakap orang Balik Pulau.

Sedang asyik berbual itu tiba-tiba jururawat memanggil namanya. Agak lama juga mereka berbual. Dari jauh aku perasan, ada sesuatu yang tak kena dari raut wajah Myamar itu.

"Anak saya meninggal masa lahir." sambil menyeka air mata.

"Isteri?" tanyaku.

"Isteri ok. Tadi tu bincang dengan jururawat supaya hospital uruskan pengkebumian anak saya. Saya sebatang kara di sini. Mana tahu nak buat itu semua."

Aku menggosok-gosok belakangnya.

"Sabarlah. Tuhan itu Maha Mengetahui apa yang berlaku. Alhamdulillah isteri awak selamat. Jika ada rezeki nanti, insyaAllah akan dapat anak lain. Sebab itu Tuhan ambil anak kamu dan tinggalkan isteri itu untuk kamu cari zuriat baru."

"Kamu sebenarnya beruntung kerana anak yang meninggal semasa lahir, insyaAllah akan bulat-bulat masuk Syurga. Dia tunggu kamu di sana dan mudah-mudahan dengan syafaatnya dia akan berdoa untuk kamu dan isteri kamu."

Aku teringat adikku Mamat, juga kematian anak ketika baru lahir. Setahun selepas itu dia dikurniakan dengan anak yang kedua Aqeef namaya.

Keluarga Mamat

Ahad, 22 Januari 2012

Wajah Suci Seorang Hamba!


Lain-lain foto ada kat MukaBuku. Klik sini.

Sabtu, 21 Januari 2012

Abangnya Panggil

Foto salin dari blog Ummi Hanie

Alhamdulillah, Ayu selamat melahirkan seorang bayi perempuan jam 8 malam tadi. Putih kulitnya seperti Angah masa bayi dulu juga. Bibir tebal macam Angah juga. 

Jenuh juga aku dan ibu_suri menemani Angah sedari petang. Sekarang baru balik ke rumah. Letih... bukan sangat kerana turun naik tangga tapi kerana letih duduk dan berdiri menunggu dan menunggu.

"Ketaq tangan Angah masa nak Azankan dia." cerita Angah.

"Baguslah kalau ada rasa ketaq. Itu tanda positif bahawa Angah mula dapat merasai rasa tanggungjawap sebagai bapa. Kalau tak ada rasa ketaq ni, ayah rasa ada masaalah jiwa!" ujarku meredakan perasaannya yang pasti berbaur.

"Ayah, sat lagi tolong tanam uri, ya!"

"Tak. Itu tanggungjawap Angah juga sebagai bapa. Ayah cuma akan tunjukkan saja."

"Bukan susah. Cuma bersihkan dengan asam jawa dan garam. Kemudian balutkan dengan kain putih. Korek tanah dalam sikit. Kalau boleh tanam kat pangkal pokok supaya tidak dilangkah oleh pelalu-lalang.  Kemudian kambus. Tu jer..."

Aku teringat masa menanam uri Along dulu. Bapa mertua aku suruh carikan tempurung kelapa jantan dan paku. 

"Takut nanti kalau tak buat, malam-malam 'abang'nya panggil."

Sebenarnya uri atau placenta hanyalah organ dalam rahim yang membekalkan oksijen dan makanan pada janin. Ia juga adalah tempat buangan bahan kumuhan dan toksid.

Khamis, 19 Januari 2012

Boleh kan, Bang?


Foto salin dari ummihanie

Ayu akan dirujuk ke wad bersalin, Hospital Bukit Mertajam esok. Jika kesihatannya positif, doktor akan memasukkan ubat supaya dia boleh bersalin seberapa segera. Aku tak berapa arif proses ini sebab tidak pernah melaluinya. Pandai-pandai Angah la hatta itu adalah di bawah tanggungjawap dia sebagai suami sekaligus bakal bapa!

Malangnya di masa yang sama Angah pula menghadapi masalah dengan bos tempat kerja.

“Angah dah tak tahan la, ayah. Ingat, hujung bulan ni Angah nak cau…. Semalam, Angah bertegang leher dengan bos. Asyik nak cari salah Angah je. Mana boleh tahan…”

Ye lah…. Boss always right!

Angah aku kategorikan di dalam kumpulan orang yang mudah dapat kerja walaupun sijil tak setara mana. Dia pun memang punyai sikap tidak memilih.

“Angah nak berniaga, boleh ke ayah! Berniaga ayaq kacang soya. Angah dah check dalam internet. Boleh dapat supply dari Nasir Kacang Soya.”

Huuu…. Biaq betoi!

Yang paling tak sabar-sabar ialah ibu_suri.

“You jangan bagi orang lain jaga anak you nanti. Biaq ibu yang jaga. Duit upah orang jaga tu bagi kat ibu takpa. Boleh kan, bang?” sambil menoleh pada aku.

aku?………!!!!!???????!!!!!!?????%%%%%

Isnin, 16 Januari 2012

Tepuk Dada Tanya Iman

Foto salin dari:  haaretz

Ini hari ibu_suri berpuasa sunat. Memang kekadang mengagumkan juga. Berbanding sebelum ibu_suri mengidap Schizophrenia, kini dia lebih kuat beribadah. Kekadang aku rasa bersalah jika tidak kuat menyokongnya dari belakang. Tetapi kalau terlalu menyokongnya, aku pula yang letih kerana hampir semua pergerakkannya aku kena bantu.

Balik saja dari kerja aku terus bawa ibu_suri pergi makan. Restoran kegemarannya sekarang ini ialah di Kampung Koskam. Beli nasi bungkus dan singgah di Petronas Kepala Batas. Makan di dalam kereta memang habitnya. Pinggan, sudu, tisu memang sentiasa tersedia dalam Kancilku ini. Aku akan membantunya membasuh tangan, pastikan tulang diasingkan dari isi ikan serta siagakan minuman.

Selalunya akan ada seorang pakcik sebaya abah aku menjaja roti dan buah-buah kepada setiap pelanggan di Petronas sini termasuk aku. Tapi malam ini tak nampak pula dia. Teringin pulak nak beli roti kepala lutut yang sedap di makan bercicahkan kopi o kaw... 

Selesai makan, aku bawa ibu_suri ronda. Biasalah, selagi tidak bertemu jarum jam, ibu_suri takkan mahu balik.

Aku memandu ke Sungai Dua terus memasuki lebuhraya menghala ke Seberang Jaya. Jem lah pulak. Aku sabar saja. Jalan sedang dinaiktaraf. 3 lane akhirnya menjadi satu. 

Tiba-tiba aku terpandang kelibat sesaorang seperti sedang bersembahyang. Ya..satu fenomena yang ada berlaku tapi jarang dapat aku aku lihat. Dengan memakai baju keselamatan berwarna oren, pekerja itu sedang mengerjakan sembahyang di atas jalan raya yang baru selesai diturap. Bersahaja solatnya itu tanpa memperdulikan lalulintas. Ini membuatkan aku segera teringat akan Presiden Iran - Mahmoud Ahmadinejad yang juga kerap tersiar gambarnya di internet sedang bersembahyang di mana-mana saja tanpa protokol.

Bukanlah alasan lagi bagi sesiapa pun yang bergelar Muslim untuk tidak mahu bersembahyang hanya kerana keadaan kerja yang tidak kondusif. Sebenarnya, tepuk dada tanya selera.... ehh... tanya iman!

Ahad, 15 Januari 2012

Subuh Gajah

Foto ihsan dari ISMA

"Abang, bangun. Solat Subuh!" ibu_suri menggerak.

Aku membuka mata memerhatikan jam di talipon bimbit. Huishh... 7 lebih. Dah cerah rupanya. Sambil menggerutu  aku bingkas bangun untuk ke bilik air. 

Di bilik air, sambil membasuh muka aku berfikir - masih boleh buat solat Subuh ke ni? Atau niat Qada' je? 

Segera aku teringat semasa usrah dulu. Kami ada berbincang tentang kisah nabi yang balik dari peperangan. Kemudian bermalam di suatu tempat hingga terlajak waktu Subuh. Nabi bangun dan teruskan bersembahyang. Jadi, aku tetapkan hati untuk Subuh seperti biasa.

"Abang solat kat tepi I yer." pintanya yang memang masak dengan fe'el aku lebih gemar membentang sejadah di ruang tamu; di bawah kipas angin siling.

Aku mengiyakan saja walaupun kombinasi air sembahyang dengan belaian hembusan pendinginhawa, sejuknya menggigit tulang. Belum sempat mengangkat takbir;

"Abang, nanti you baca Quran dekat I ye. I nak dengar. Mak you selalu baca Quran lepas sembahyang."

"You baca sendiri kan lagi elok. Muqaddam pun takpa!"

"I dah tak boleh baca dah macam dulu!"

Hurrmmm... Aku faham. Usahkan Quran, kegemarannya dulu membaca majallah hatta sms pun dia seperti tidak mampu.

Sedari malam tadi sebenarnya ibu_suri tidak boleh memicingkan mata. Kaleh ke kanan kaleh ke kiri hingga terganggu tidurku. Bila dia lihat aku membuka mata, dia merayu minta bawakan dia siar-siar. Huu... Dah pukul 3-4 pagi. Tengah sedap menyarung gebar... Ada ke nak suruh pegang stereng kereta.

Aku mengangkat takbir. Nampaknya niatku untuk pergi jogging di Tasik Mengkuang selepas ini terpaksa dilupakan!

Jumaat, 13 Januari 2012

Zikra Jumaat 3 - Nikmat

فَإِذَا مَسَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ ضُرٌّ۬ دَعَانَا ثُمَّ إِذَا خَوَّلۡنَـٰهُ نِعۡمَةً۬ مِّنَّا قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُ ۥ عَلَىٰ عِلۡمِۭ‌ۚ بَلۡ هِىَ فِتۡنَةٌ۬ وَلَـٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ (٤٩

 Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, dia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah dia (dengan sombongnya): Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah dia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu)

Surah: Az Zumar

Khamis, 12 Januari 2012

Akar Ini...


"Kat surau kita ni bukannya tak ada orang-orang yang hebat. Ramai. Tapi depa semua tawadduk." getus aku pada rakan sebelah. 

Surau semakin penuh dengan jamaah yang ingin turut sama membacakan Yassin dan doa selamat. Tapi disebabkan tekong yang diharapkan untuk mengetuai majlis tidak dapat hadir, aku selaku pengerusi surau terpaksa mencari dan memujuk di antara beberapa orang lain yang aku kira layak untuk mengetuai bacaan.

Kalau nak dikirakan memang ramai yang lebih baik dari aku untuk menjadi imam sembahyang waktu, contohnya. Tapi bila diminta ke hadapan, tidak mahu. Oleh kerana tidak elok untuk saling tolak menolak diketika Iqamah telahpun dilaungkan, aku tawarkan diri sebagai imam. 

Begitu juga dengan majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat petang semalam, masing-masing menolak dari dilantik. Akhirnya rakan di sebelahku ini juga yang menerima permintaanku. Alhamdulillah, dengan kerendahan dirinya itu majlis berjalan dengan sempurna.

Dr Danial pernah memberitahu aku bahawa kekadang tawadduk kita ini tidak bertempat. Merendah diri tidak sesuai dengan suasana dan keadaan. Sepatutnya kita perlu rebut peluang seperti ini untuk belajar dan mempertingkatkan potensi diri. Tanpa berani kedepan, kita tidak akan dapat mengukur sejauhmana kemampuan kita atau di mana kelemahan kita yang perlu diperbaiki.

Aku pun sebenarnya kalau nak diikutkan hati, tidak mahu menjadi pengerusi surau sebab aku tahu yang aku ini tidak ada bakat sebagai pemimpin. Namun kerana tiada siapa mahu menjadi rotan, akar ini pun berguna jugalah agaknya.

Lagipun aku memegang prinsip bahawa hidup ini lebih bermakna jika kita banyak memberi dari meminta. Jika kita beria-ia dicalunkan, maka cubalah menunaikan amanah itu sebaiknya walaupun kita tahu pahit dan payau sedang menunggu di hadapan.

Hari ini kita membantu orang lain; mungkin esok lusa orang lain pula akan membantu. Kalau tidak kita tetapi terhadap anak cucu kita!

Selasa, 10 Januari 2012

Kematangan Hidup




Balik dari ziarah Ayu di Wad Bersalin, Hospital Bukit Mertajam semalam, aku ajak Angah singgah di Restoran Cahaya Al Amin untuk sedikit makan dan minum. Keadaan anak dalam kandungan Ayu,ok. Cuma gula dalam badan Ayu sahaja yang tinggi dan perlu penjagaan hospital.

Terasa seronok berbual dengan Angah yang aku kira sudah semakin matang sejak bakal menjadi bapa ini. Kami mudah bertukar pandangan dan saling menasihati dalam banyak perkara. Dan aku sedaya upaya cuba mewarisi segala pengalaman masa lampauku buat dia jadikan panduan eksplorasi hidupnya pula.

“Kenapa bagitau kat mak abah dia saja pasal Ayu masuk hospital dan tidak pada adik-adiknya?” Angah diam. Sebenarnya aku memang dah tahu kenapa.

“Lain kali, bab adik beradik ni jangan terlalu ikut sentimen. Ada benda kita boleh berbeza pendapat tapi ada masanya kita kena ketepikan ketidaksetujuan.”

“Ayah, bila ibu sakit dulu, yang mula-mula ayah bagitahu adalah mak dan abah ayah serta mak dan abah ibu. Kemudian ayah bagitahu pada semua adik-adik beradik ayah dan ibu. Mereka berhak tahu keadaan ibu kerana mereka adalah keluarga terdekat. Apa perasaan kamu kalau tiba-tiba tahu ayah sakit tetapi dari mulut orang lain?”

“Angah… Ayah nak kamu jadi orang yang dihormati oleh keluarga Ayu. Tak kiralah samada mereka itu sebulu atau tidak dengan kamu. Ya… Hari ini kamu tak suka dia. Tapi bukan mustahil esok lusa dialah orang yang akan tolong kamu.”

“Angah, jangan cari musuh sebaliknya cari kawan. Percayalah cakap Ayah. Hatta kalau orang itu benci pada kamu tetapi jangan kamu ambil hati sangat malah bersikap baik dan relakslah dengan dia. Percayalah cakap ayah ini; satu hati nanti dia akan salute kamu.”

“Ayah berani bercakap ini kerana ayah sudah tempuh ini semua. Tidak akan hilang bisa ular kalau pun terpaksa menyusur akar. Kalau boleh, kita berkawan dengan semua orang. Jangan cari lawan.”

Tapi, tatkala aku hendak membayar harga makanan, aku seluk kocek....arghhh…cuma ada 4 ringgit. Aku bagi signal supaya Angah bayarkan.

“Angah pun tinggal 10 ringgit ni jer ayah!!” sambil… hik..hik..hik!

Bukankah indah hidup ini kalau di antara kita ada sikap saling hormat menghormati dan faham memahami terutama antara anak dan ayah?

Isnin, 9 Januari 2012

Miscall

Seperti selalunya hujung minggu, aku ziarah mak dan abah mertua di Taman Buah Pala, Bukit Gelugor. Sesampai di sana, aku letak talipon bimbit dan kunci kereta di atas almari. Jam 8.30 malam, baru perasan rupanya ianya dalam off  mode ketika teringat untuk bertanya Angah samada Ayu akan datang tidur di rumah kami atau sebaliknya.

Bila on semula, bertali arus miscall masuk. Miscall paling awal jam 4.07 petang. Rupanya, Angah nak beritahu Ayu dikejarkan ke hospital. Bayi dalam kandungan yang dah lengkap 36 minggu di dapati tidak bergerak.

Aduh, kasihan Angah kerana terpaksa seorang bergelut menguruskan isterinya yang sarat sedangkan aku dan ibu_suri bersantai di rumah baru mertua.

Begitu pentingnya talipon yang siap siaga di saat-saat memerlukan begini. Sebenarnya aku pun tak tahu kenapa bateri talipon ini cepat kehabisan kuasa walaupun sebenarnya boleh dikira ia masih baru.

'......pssttt...... bagaimana dengan call (azan) dari Tuhan? Apatah lagi kalau ianya sudah menjadi miscall...'

Khamis, 5 Januari 2012

Saat INI Paling Berharga

Berpuasa sunat hari ini, aku. Jadinya, aku lebih banyak berada di surau bila saja waktu rehat kerja. Sendirian di surau menjadikan aku jauh berfikir. Berfikir tentang hakikat kebenaran lagu ini: Antara 2 Cinta - The Zikr

Seorang kawan yang aku kira baik dengan aku memberitahu semalam bahawa dia mempunyai hanya 300 hari sahaja lagi bekerja sebelum tiba era bersara November nanti. Mendengar itu aku tiba-tiba seperti terasa akan kehilangan sesuatu. Aku tiba-tiba terasa seperti masa-masa yang ada sekarang ini bersamanya menjadi amat berharga. Perlu diguna sebaiknya.

Aku pula dimasa yang sama teringat mak di kampung. Seperti itu juga merasa seperti alpa. Membiar masa berlalu tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk bersama mak. Bersama adik-adik. Bersama rakan-rakan dan masyarakat.

Terasa seperti terlalu rugi jika masa-masa aku atau masa-masa mereka yang masih ada ini tidak diguna sebaiknya untuk diisi dengan kebaikan; dengan kemesraan; dengan saling menolong dan berbuat kebajikan.

2012 hampir memasuki minggu ke 2. Tak lama Januari akan menginggalkan kita. Tidak lama juga 2012 akan berada di penghujungnya. Dan tidak lama, aku juga akan ikut bersara seperti kawan baik aku itu juga.

2 hari sebelum menjelangnya 2012, boss besar aku menegur dan bersalam dengan aku. Tak pernah dia berbuat begitu. Ujarnya -  Happy New Year, IM. You see aaarrr... time travel so fast. with just a .... (sambil memetik ibu jari ),  2011 gone!





Sebenarnya, SEMALAM sudah hilang. ESOK masih angan-angan. Hari INI pun belum tentu sempat kita habiskan. SAAT inilah sebenarnya yang paling berharga dan jangan disia-siakan!

Rabu, 4 Januari 2012

Ujian Untuk HambaNya

jangan cepat surender pada ujian

Hari-hari yang baru lalu adalah musim ujian yang bertimpa-timpa buat keluargaku di kampung.

Niza baru saja menjalani pembedahan bengkak di usus besar oleh doktor pakar Hospital Tuanku Bainun, Ipoh. Masih sakit, katanya semasa aku menalipon semalam. Rupanya, bukan satu bengkak yang ditemui. Sebaliknya ada lagi bengkak di usus kecil, ovari dan di hati. Gayat juga aku bila mengetahuinya. Entah dimana silapnya. Mungkin pemakanan?

Beberapa hari sebelum semalam, adik lelakiku pula kemalangan kereta. Dia menalipon aku nak buat bagaimana. Aku tahu dia dalam panik. Aku menyejukkan dia dengan memberi tips. Alhamdulillah, semalam katanya kereta dia sudah pun dihantar ke bengkel yang disaran oleh insurans Takaful Malaysia. Adik lelakiku ini adalah seorang Tabligh. Dia banyak membantu keluargaku dan keluarga adik-adikku yang lain.

Kemudian pula aku dapat tahu iparku yang tinggal di Lahat juga kemalangan. Motosikalnya dilanggar oleh sebuah kereta yang terbabas kerana mengelak motosikal lain yang ditunggang oleh seorang remaja. Iparku ini patah tulang bahunya dan mengalami 7 jahitan di kepala.

Aku berbisik kepada diriku sendiri bahawa inilah antara ujian yang perlu kita hadapi sesabar dan setenang mungkin. Lain orang lain bentuk ujiannya. Aku telah pun mengharungi ujian yang getir sebelum ini dan memperakui bahawa kekuatan dalam diri adalah tangkal paling penting. Usah diharap sangat pertolongan dari orang lain kecualilah Allah.

Ujian dari Allah adalah untuk meningkatkan taqwa hamba-hambaNya yang tabah. Aku bersyukur kerana aku boleh dikatakan mampu bertahan dengan ujian-ujian yang lepas. Harap adik-adikku juga begitu. Ameen….

Isnin, 2 Januari 2012

Erti Hidup Sendiri

Aku paparkan di sini foto-foto yang sempat dirakam oleh Akhmal semasa kursus pengoperasian TBM (Tune Boring Machine). Walaupun pada awalnya terlalu banyak kebimbangan dan tandatanya bermain dibenak tentang masa depan dia di Kota Kemuning, Shah Alam - tempat di mana kursus dia ini berlansung, namun aku merasakan perlu redhakan dia memilih jalan hidup sendiri jika itu baik untuk masa depannya. Tak mahu terjadi seperti Anakku Sazali. Dek kerana 'manja' yang berlebihan akhirnya ayah yang dipersalahkan.

Medan rezekinya mungkin tidak sama seperti Angah apatah lagi semacam Along. Namun jika itu ketentuan Ilahi, kenapa aku perlu kesal atau keluh kesah.

Foto-foto ini sedikit sebanyak menguatkan keyakinan aku akan halatuju masa hadapannya yang aku kira ok jika dia benar-benar mahu berubah. Secara kasar tangga gaji asasnya RM1200. Tak ke lumayan jika nak dibandingkan dia yang kerana Disleksianya itu terpaksa melalui Kelas Pendidikan Khas; tanpa apa-apa sijil malah tingkatan 1 pun tak pernah dia duduki?

Dr M merasmikan sesi kursus 6 bulan mereka

salah satu dari mesin latihan

belajar cara mengikat tali

mesin boring, agaknya!

satu lagi peralatan latihan

aparatus keselamatan

Cukup tak berkenan dengan rambut ala punk nih!

" Akhmal, ayah selalu mendoakan kejayaan dan kebahagiaan kamu. Bagi ayah, biar sepahit mana usaha ayah membesar dan memperbetulkan jalan hidup kamu, akan berbaloi jika dapat melihat sijil tamat latihan kamu. Biarlah ke hutan mana kamu akan ditempatkan kelak, ayah akan selalu mengharapkan yang terbaik buat kamu. Sekalipun jika kamu lupakan ayah bila kamu telah senang kelak, ayah tidak akan berkecil hati malah akan terus menerus mendoakan kamu! "

Ahad, 1 Januari 2012

Taufiq Dan Hidayah

ibu_suri ke Masjid Kristal - destinasi ibadah atau pelancungan?

Khutbah di Masjid Bayan Baru Jumaat lepas disampaikan oleh khatib undangan. Jarang Masjid Bayan Baru ini memberi peluang khatib lain berkhutbah. Justeru itulah agaknya, ramai jamaah yang tertidur kerana nada suara khatib yang mendatar, teks khutbah yang stereotype dan isu yang dilontarkan tidak kontemporari.

Tertarik dengan isi ucapan yang sempat aku catat ke dalam talipon bimbit aku. Kita ini, ujar khatib itu, perlu bersyukur dengan 2 nikmat yang Allah berikan pada kita. Itulah nikmat Taufiq dan Hidayah. Taufiq bermaksud keupayaan kita berbuat sesuatu. Hidayah bermaksud petunjuk yang Allah campakkan ke dalam hati kita. Ada orang yang Allah beri Taufiq tetapi dia tidak pun berbuat amal kebaikan. Ada orang yang mempunyai Hidayah tetapi tak mampu bergerak untuk membuat amal.

Aku kongsikan isi khutbah itu dengan ibu_suri dengan hasrat dia juga akan mendapat manafaatnya. Muga-muga, dengan input sebegini akan menjadi penolak kepada semangatnya untuk lebih positif dalam  menerokai dunia separa normalnya ini.

Dengan nada cuba mengusik, aku memberi cadangan;

"Ha.... apa kata kalau cucu kita itu lelaki kita suruh Angah namakan Taufiq. Kemudian jika lahir cucu kedua dan perempuan kita namakan Hidayah?"........ Diam!