Halaman

Isnin, 30 April 2012

Dari Bilik Selesa Ke Jalan Raya...

Letih balik dari KL semalam belum habis lagi. Disambung dengan menjelajah blog dan FB untuk mendengar komen dan meneliti hujah dari kedua belah pihak tentang insiden-insiden yang berlaku.

Hanya tertawa dan senyum sendiri.

Esok mesti topik ini jadi topik besar semasa rehat di kafetaria tempat kerja. Kalau boleh aku tak mahu sangat beremosi. Bagi aku, yang hanya bercakap dari bilik selesa boleh bercakap apa saja. Tapi yang turun ke Dataran...opss... ke jalan raya, dialah lebih tahu akan jerih perihnya dalam menyatakan kebenaran.


Bagi yang ikhlas dan panjang wawasannya, ini satu pertanggungjawaban. Tapi kalau bagi mereka yang hanya nafsi-nafsi... biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya! Fikir sendirilah siapa dan kemana dirinya selama ini..

Isnin, 23 April 2012

Alahai, PTPTN........!

Di ketika tv sibuk bercakap tentang PTPTN, aku teringat pengajian Along dan Angah sebelum ini. Aku sms pada mereka tadi tentang pinjaman PTPTN yang mereka kena bayar bila kerjaya mereka agak selesa kelak.

Terkejut juga aku bila Along beritahu pinjaman PTPTN semasa Diploma di Kolej Islam Antarabangsa ( IIC ) adalah RM15K dan kena bayar RM18K.  Ijazah di Kuala Lumpur Metropolitan Universiti ( KLMU ) pula adalah RM48.5K dan berapa kena bayar masih belum tahu.

Angah yang tidak sempat menghabiskan pengajian di Politeknik Ungku Omar, Kulim pula masih perlu melunaskan pinjaman sekitar RM3.5K.

 Hurrmmm… Semasa aku belajar di sekolah rendah dulu, adik-adik aku mendapat biasiswa dari kerajaan atas nama sekolah luar Bandar. Semasa aku belajar di Institut Kemahiran MARA, Kuala Lumpur ( IKM ) pula bukan sekadar dapat belajar dengan percuma, dapat duit poket lagi sekitar RM200 sebulan.

Tak faham aku; dulu Negara kita tergolong dalam kategori negara membangun masih mampu memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya hingga ke peringkat universiti tapi sekarang bilamana misi ke WAWASAN 2020 semakin hampir anak aku yang baru tamat belajar dan masih terkial-kial mencari kerja sudah pun ada hutang di bahunya sekitar RM60K.

Adakah ini salah aku sebagai bapa yang tidak pernah bersedia untuk menyimpan demi kepentingan pembelajaran anak-anakku hingga sanggup membiarkan anak-anakku menanggung hutang yang berpanjangan…?

Aku balas sms Along dan Angah tadi;

"Jangan lupa simpan resit pembayaran PTPTN tu. Mana tahu kalau ada rezeki nanti kita boleh klem duit kita bayaran balik tu dari kerajaan baru yang lebih prihatin, insyaAllah!”

Aku menyimpan azam untuk membantu mereka membayar semula hutang pinjaman itu bila aku sudah berada dalam zon 'free finacial'. Terasa bersalah aku membiarkan mereka terjebak dalam hutang yang aku kira akan menjadi beban seumur hidup mereka!

Khamis, 19 April 2012

Akhbar Ini!

Rabu, 11 hb April lalu aku diberi oleh sesaorang akhbar ini secara percuma;


Sebelum aku bawa masuk ke rumah dan letak atas meja rehat ibu_suri, aku buang dulu pelekat itu sebab aku tahu ibu_suri amat alergik dengan nombor itu. Bukan apa, malas nak dengar omelan ibu_suri ke telinga aku ini nanti.


Tapi akhirnya akhbar itu terletak atas meja tidak lansung berselak. Bukan sebab tak mahu tapi kerana malas membaca. Aku lebih suka baca e-paper dan ibu_suri lebih suka menonton berita dari tv di hadapannya.

Mungkin kami berdua ini antara penyumbang tertinggi kepada peratusan rakyat Malaysia yang kurang membaca.

Dulu aku memang suka membaca akhbar, majallah dan buku tapi sejak terpaksa memakai cermin mata ini, aku jadi culas. Berjam-jam menghadap komputer di tempat kerja sudah cukup untuk membuatkan mata dan minda aku keletihan!

Selasa, 17 April 2012

Roti n Pizza

Aku dan Amir Bongsu

Ahad lalu aku sempat menyertai kursus pendek membuat Roti dan Pizza anjuran MUBIN dan Kolej Komuniti Kepala Batas. Walaupun keletihan kerana baru balik dari konvo Along di PICC Sabtu sebelumnya tapi atas nama pengorbanan seorang ayah, aku gagahi juga. Kenapa aku katakan pengorbanan seorang ayah? Pendaftaran asal sebenarnya atas nama Angah tapi last minute dia tak mahu pergi. Suruh Along ganti Along pun tak mahu pergi sedangkan yuran dibayar. So....?

Tapi berbaloi juga kursus itu. Dalam Facebook, aku beri tajuk ' Belajar untuk faham dan memahami '. Ya... baru aku faham bagaimana proses membuat roti yang selama ini aku selalu beli dari gerai EDEN di Hospital Besar Pulau Pinang tatkala bawa ibu_suri untuk rawatan.

Dan kalau bukan orang yang biasa ke dapur tentu rasa kekok nak uli tepung malah untuk mengenal bahan-bahan yang digunakan. Ada 5 kumpulan yang mana satu-satunya kumpulan lelaki adalah kumpulan aku. Dan kumpulan akulah yang selalu menjadi perhatian kerana riuh rendah dan kreativiti kami membuat bentuk roti.

Sempat bawa balik ke rumah hasil dari kerja tangan aku dan kawan-kawan. Waaa... paling berebut ialah ibu_suri!

Rupanya taklah susah sangat nak buat Pizza ni. Cuma kena ada skill dan kesabaran!


Boleh lihat foto lain di Facebook

Isnin, 16 April 2012

Menguak Pintu Perjalanan Hidup Yang Realiti!



Jumaat lalu, selepas solat Subuh, aku dan ibu_suri bertolak ke PICC untuk menghadiri Majlis Konvokesyen KLMUC Along. Menaiki VIVA auto Angah dan menggunakan GPS kawanku - Yusuf memang banyak membantu melancarkan perjalananku. Hujan dan beberapa kemalangan lori tidak sangat mengganggu kosentrasiku. Paling aku berhati-hati ialah menjaga emosi ibu_suri. 

Sesampai di PICC yang sekali pandang binaannya seperti sehelai daun itu, aku ushar dulu route yang mudah untuk dilalui oleh ibu_suri. Aku curi-curi memarkir kereta di tempat paling dekat dengan lobi. Huu... penggunaan eskalator yang bertingkat-tingkat untuk sampai ke aras atas membimbangkan aku juga kerana ibu_suri tidak boleh berjalan jauh dan berdiri lama.

Di dalam dewan itu juga aku memilih untuk duduk di kerusi paling atas supaya ibu_suri tidak perlu menuruni dan kemudiannya menaiki tangga, berpusu-pusu dengan ramai orang dan akan mudah jika mahu ke bilik air. Alhamdulillah, bilik air untuk OKU ada disediakan. Mengeluh para penyambut tetamu yang berusaha menguruskan kemudahan ibubapa graduan sebaik mungkin.

"Ramai yang minta duduk di tangga atas dan kerusi tepi," keluh mereka sesama sendiri.

Dah namanya ibubapa kepada anak yang rata-ratanya berumur 20an. Tentulah mereka ini sudah tua dan tak larat untuk turun naik tangga, bisik hatiku.

Memang perjalanan ini memerlukan kesabaran dan tolak ansur dan bukan sedikit. Sebelum ini aku tidak berminat pun untuk beli jambangan bunga sepertimana adatnya sebagai tanda ucapan tahniah dan kebanggaan ibubapa yang gembira atas kejayaan anaknya tapi kali ini ibu_suri beria-ia minta. Aku pilih jambangan yang murah tapi memberi makma tersendiri. Murah.....?!! RM35 be... untuk 3 kuntum bunga Ros yang mewakili Along,  Aku dan ibu_suri; sebuah patung Pooh yang kuningnya begitu menarik dan sebuah badge logo KLMUC. Tak sangka juga kerana rupanya kuntum ros itu adalah bunga hidup.

Teringin nak ambil gambar secara famili tapi Along tak setuju. Mahal, katanya. Untuk satu set berharga RM139. Geleng kepala aku kerana aku tahu untungnya itu berlipat kali ganda.

Aku memilih untuk bermalam di Hotel Amani, Bangi dengan kadar sewaan RM118 untuk 3 katil Kira ok lah tu. Aku memilih ini kerana ada kemudahan lif. Kedai makan juga banyak tapi rata-ratanya bagi aku agak mahal. Memang terasa mahal makan yang dijual direstoran sekarang ini termasuk juga di Penang, tempat aku sendiri. Sebab itu aku lebih suka memilih untuk makan di gerai-gerai kecil sahaja.

Aku harap selepas ini Along akan mencari kerja dan mula membina haluan kehidupannya sendiri. Umur sudah mencecah 26 tahun. Aku kira dia sepatutnya sudah bersedia untuk menguak pintu perjalanan hidup yang realiti!

Foto selanjut boleh lihat di Face Book.

Jumaat, 13 April 2012

Kenangan

Tok Ba - duduk tengah

Barangkali kalian tak perasan. Aku selalu bercerita tentang ibu-suri yang suka jika ditepuk belakangnya untuk lebih mudah tidur. Itu sebenarnya adalah kebiasaan ibu_suri semasa kecil. Cerita ibu_suri;

"Mak Tok I dulu selalu tepuk belakang I sampai la I terlena. Kalau tak tepuk I tak boleh tidur."

Dari satu sudut aku terfikir begitulah kasih dan pengorbanan seorang tua terhadap cucunya hingga sanggup bersekang mata asalkan cucunya selesa. Oleh kerana mak ibu_suri yang ketika itu tinggal di Kampung Buah Pala, Gelugur mempunyai ramai anak dan ditambah pula selalu uzur, ibu_suri dipelihara oleh Mak Toknya yang dimasa itu berkahwin kali ke2 dengan Tok Ba, seorang Pakistan.

Maka, bercerita semula saat-saat manis ibu_suri semasa masih anak-anak itu  barangkali akan dapat memberikannya sedikit kegembiraan. Maka aku selalunya mendengar sahaja walaupun tidak pernah mengalami zamannya itu. Zaman aku masih kecil dulu tidak sama seperti ibu_suri yang hidup berlatar belakangkan capati, susu Lactogen dan nasi kandar. Zaman aku pula diwarnai dengan pokok getah, air telaga, bijih timah, lombong dan ikan pelaga.

Aku bertemu ibu_suri semasa bekerja di Hitachi Semiconductor, Bayan Lepas pada 1983. Kemudian ibu_suri bertukar kerja di Intel Semiconductor ketika kami telahpun bertunang. Tatkala mengandungkan Angah, ibu_suri terlalu kuat alahnya hingga aku mengambil keputusan menyuruh dia berhenti kerja saja. Mulanya ibu_suri sedikit bimbang tapi kataku; rezeki kita tetap akan ada walaupun akan tinggal aku sahaja yang bekerja.

Kini Along dah pun mencecah 26 tahun. Angah pula sudah mempunyai anak. Cepatnya masa itu berlalu. 30 tahun seperti baru 30 hari.

Esok aku akan ke PutraJaya International Convention Center untuk menghadiri Majlis Konvo Along. Specialnya Along dari anak mahupun cucu Opah / Maktoknya ialah dia menjalani 2 kali konvo - Diploma dan Ijazah. Yang 'letih'nya ialah yang bernama AYAH!

Rabu, 11 April 2012

Reput Tulang

Aku memukul kompang-kanan bersama rakan-rakan MUHAJJIR ketika persembahan nasyid di salah satu seminar anjuran UNIT KAUNSELING ISLAH, JAMAAH ISLAH MALAYSIA yangmana ibu_suri adalah salah seorang ko-kaunselor. Blogger JH berdiri di belakang-kanan.

Seperti malam selalunya, ibu_suri tidak dapat memicing mata lalu meminta aku menyanyikan satu lagu untuknya di ketika jam berada di 2.30 pagi. Aku yang baru saja berada di katil seusai melayari blog untuk membaca berita terkini tanah air dan masih belum ada rasa kantuk, berbisik;

"Malu arrgghh.... orang lain dinihari macam ni bertahajjud tapi you suruh abang menyanyi pulak!"

"Tak pa la.... I tak boleh tidur ni. You tak apa la... sat lagi krohhh.. krohhh... la tu!"

Sambil menepuk belakang ibu_suri aku pun tak mahu banyak ragam, perlahan-lahan aku menyanyi. Lagu yang memang selalu aku nyanyikan semasa ibu_suri masih sihat dan aktif dulu apatah lagi tatkala seperti hari ini. Lagu yang liriknya itu sebenarnya tertuju pada diriku sendiri dan dia.

" Beginilah nasib diriku yang malang, Oh Tuhan!
  Tak boleh bersenang lenang
  Berihat sekejap isteri dah meradang
  Kerja berat takut reput tulang.

 ( ibu_suri ketawa....)

  Tidaklah boleh ku kenanglah kenang
  Oh airlah mata aii.. jatuh berlenang
  Karam di laut dapat ku renang
  Karam di hati nak bayar hutang

 ( ketawa lagi.... )

  Beginilah nasib diriku yang malang, Oh Tuhan!"

Diam....

" Err.. Nyanyi lagu Tidurlah Permaisuri lah pulak!"

"Tak boleh. Tu suara Jamal. Pitchnya tinggi sangat. Nanti blogger Jendela Hatiku kat belakang rumah tu tak boleh tidur pulak!"

Sambil menepuk belakang ibu_suri, aku teringat pada masa depan anak-anakku; Along, Angah dan Akhmal. Klip video temubual Dayangku Intan yang aku tonton di blog tadi masih terngiang-ngiang. Entah bila masanya aku terlena sedangkan ibu_suri aku percaya masih terkebil-kebil menyusuri hari yang semakin pagi!

Isnin, 9 April 2012

Seperti Pagi Yang Tiada Sarapan

Sebenarnya aku amat senang dengan blog aku ini dan yang ini. Bagi aku setiap hari jika tidak menatap blog aku ini seperti pagi yang tiada sarapan.

Biarlah apa orang lain nak kata; ini adalah hakikat yang ada dalam diriku sendiri. Meminati penulisan adalah sesuatu yang tumbuh sejak dari bangku sekolah menengah lagi. Lebih subur pabila abah menghadiahkan sebuah mesin taip sebaik sahaja aku mendapat keputusan 11 agregat dalam SRP 1975. Begitu bangganya abah bila dapat tahu karya bilisku selalu tersiar dalam majallah dan radio Ipoh masa itu.

Aku seorang yang pendiam. Tak punya ramai kawan. Jadinya, menulis akan membuatkan aku puas untuk meluahkan apa yang bermain dalam dada dan kepala. Kekadang, masa cikgu mengajar, ilhamku datang dan aku menulis di tepi buku nota. Masa aku berada di bilik air aku berdeklamasi dengan sendiriku.

Sekali lagi aku sayang blog aku ini yang walaupun tidak sehebat blog lain orang. Aku berterima kasih kepada dunia siber yang memberi ruang dan peluang untuk aku menulis dengan mudah dan menyimpannya (entah di mana) untuk di baca semula bila-bila teringin.

Menulis dan mendengar lagu adalah seiring dengan jiwa halusku yang mungkin mewarisi darah seni abahku. Tapi tidak seperti dulu, aku kini lebih gemar menulis dan mendengar lagu-lagu kemanusiaan dan keTuhanan.

Kekadang, aku juga membaca Quran dengan lagu aku sendiri. Yang mungkin tidak sedap taranumnya di telinga orang lain tapi cukuplah buat hiburan hati sendiri.

Ahad, 8 April 2012

Menjerit

Aku berharap sangat agar ujian yang selama ini aku hadapi tidak pula menimpa kepada anak-anakku, saudaramaraku malah sahabat handaiku. Ianya teramat berat. Belum tentu mereka mampu menerimanya sepertimana aku.

Bukan mudah untuk berkongsi hidup bersama seorang insan yang menghidap mood disorder (gangguan perasaan). Perlu ketinggian kesabaran, kebijaksanaan bertindak, teguh pendirian dan tegar menelan segala kata-kata yang pahit. Perlu kebal meneroka segala kejemuan aktiviti hidup yang stereotaip.

Jika tidak kerana aku memegang pada amanah yang aku terima setelah - ' aku terima nikahnya ....' belum tentu aku masih di sini.

Pernah aku katakan pada Angah; kalau orang lain menjadi seperti ayah mungkin ibu menjadi seperti mana yang kamu lihat bergelendangan di tepi-tepi jalan itu!

Sungguh! Aku buka merapek. Itu kata doktor Psikiatrik yang selang 3 bulan aku bawa ibu_suri untuk dirawat itu. Doktor itu sendiri berkata; Saya tabik dengan awak. Kalau orang lain bukan 4 tahun tetapi 4 minggu sahaja dia sudah lari. Tak tahan!

Ahhh.... ibu_suri yang sedari tadi merungut kenapa aku masih belum tidur seperti memberi warning dengan membilang 1..2..3... 

Aku perlu masuk tidur sebelum kiraan ke 4 walaupun sebenarnya aku masih mahu berada di depan pc ini. Walau hatiku terasa bebal lewat masa-masa privacyku sudah semakin tiada dek terkongkong namun aku masih mesti mengukir senyuman. Kekadang rasanya mahu saja aku menjerit!

Khamis, 5 April 2012

Terlebih Islamik

Beberapa hari lalu aku singgah di Masjid Syeikh Abdul Kader, Bukit Mertajam. Masjid ini memang antara masjid yang menjadi kegemaran aku untuk bersolat atau rehat setelah penat berurusan.

Terasa mahu buang air kecil, aku berjalan memasuki bilik air. Mungkin kerana masjid ini menjadi tumpuan ramai orang, bilik airnya tidaklah dapat aku kategorikan sebagai A. Mungkin D.

Semasa memilih selipar yang disediakan khas untuk memasuki tandas, keluar seorang pak cik dari salah satu tandas lain lalu;

"Assalamualaikum!" sambil tersenyum memperbetulkan kopiah. Manis wajahnya.

Aku jadi terpinga-pinga. Biaq betoi pak cik ni. Islamik terlebih pula sampaikan berada dalam tandas pun masih nak bagi salam!

Selasa, 3 April 2012

Sebelum ke PICC


Rutin rawatan susulan ibu_suri di Klinik Kesihatan Kubang Semang hari ini. Dr Azlina yang cukup Islamik dan baik terus memberi peransang supaya ibu_suri terus menjaga makan dan senaman demi kesihatan  lebih baik.

Berat: 121.8 kg ( sebelum: 122.7 kg) )
Gula: 8.5 ( tak berubah )
Tekanan Darah: 180/100 ( sebelum 190/120)

Lantaran tekanan darah tinggi masih tidak menyeronokkan hati doktor, dos untuk pil hipertensi ditambah.

Balik ke rumah, aku berbaring di katil. Ingin lupakan sebentar semua simpang-siur. Hujung kepala mula berdenyut walaupun ringan. Akhirnya terlelap.

Esok lusa perlu ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk mengambil stok baru ubat psikiatrik ibu_suri. Ini semua adalah persediaan untuk ibu_suri sebelum ke PICC 14 April ini.