Halaman

Isnin, 28 Mei 2012

Tuhan Itu Memang Maha Mengetahui!

Sebelum ini aku perasan wajah jururawat agak keruh bila aku sampai bersama Akhmal untuk dressing luka kakinya setengah jam sebelum klinik ditutup. Aku faham tetapi itu dah kira paling cepat aku boleh datang. 

Sampai rumah dari tempat kerja dah 7 malam. Layan ibu_suri makan dan kemas meja makan Akhmal, cuci bekas air kencingnya, beri ubat untuk mereka berdua dah jam 8. Aku mandi dan sembahyang Maghrib dah jam 8.30 malam. Terkejar-kejar membawa kereta melalui jalan Permatang Nibong yang macam ular dipalu. Jadinya, aku sampai ke klinik, waktu itulah.

Hari ini aku bertekad untuk ligan waktu lebih awal. 

kredit: an-nisa'
"Kalau sampai awal macam ni bolehlah saya cuci luka kaki Akhmal ni lebih teliti dan bersih. Kalau datang macam kelmarin,  saya cuma cuci ala kadar ajelah!"

Jari kaki Akhmal walaupun sudah mula nampak kemerahan akan tetapi bengkaknya semakin besar dan berkilat. Hati aku tak berasa sedap. tapi aku tak tunjukkan riak itu pada Akhmal.

"Siang malam saya berdoa supaya kaki dia boleh sembuh elok," terangku pada jururawat yang asyik membelek celah jari kaki Akmal yang mula terkoyak kulit.

Rabu nanti Akhmal terpaksa dirujuk semula ke klinik Ortho di Hospital Seberang Jaya. Kira, cuti tahun aku habis dengan membawa dia atau ibu_suri ke klinik atau hospital ajelah. 

Selasa esok aku diarahkan bertugas Night Duty di tempat kerja. Untuk itu, pagi Rabu aku diberi off separuh hari. Aku tambah dengan cuti separuh hari (petang), maka bolehlah aku bawa Akhmal ke unit Ortho. Tuhan itu memang Maha Mengetahui tentang aku yang memang ketandusan cuti. Dia rancang sebegitu rupa supaya kurang sikit beban otak aku ini memikirkan.

Tau-tau ajelah kalau berurusan dengan jabatan kerajaan nih. Boleh tertidur lena di kerusi dek lama menunggu!

Syukur Sahajalah!

Baru balik dari membawa ibu_suri dan Akhmal bersiar-siar. Kali ini aku bawa mereka ke Kulim dalam hujan lebat. Singgah makan di restoran kari kepala ikan tak jauh dari stesyen Shell. Bernyanyi riang ibu_suri di dalam kereta. Sesekali 'bergaduh' dengan Akhmal yang asyik memegang kakinya yang bersimen. "Lenguh!" rungutnya.

kredit
Terima kasih pada Angah yang sudi membantu aku menyelesaikan sebahagian dari masalah kewanganku walaupun tak seberapa. Pernah aku beritahu blogger JH bahawa alangkah baiknya kalau aku punyai lebih ramai anak daripada sekadar 3 orang ini (aku dulu bercita-cita punyai anak seramai 5 orang). Namun balas JH; "Kalau ada ramai pun tapi menyemak kepala; lebih baiklah yang sikit ini. Tuhan itu lebih tahu apa yang baik untuk kita," pujuk JH.

Ya tak ya! Seperti tidak mahu bersyukur dan redha dengan apa yang Tuhan anugerahkan pada aku ini!

Ahad, 27 Mei 2012

Sahabatku - Abu Zorief

Apabila pemikiran terlalu tertumpu kepada Akhmal dan ibu_suri; di celah-celah itu pula menyelit tekanan kerja dan krisis kewangan yang kekadang seperti tiada belas kasihan; nafsu aku untuk mengadap blog seperti  tumpul. Walaupun aku ada banyak cerita untuk diceritakan tetapi seperti tiada ayat yang memuaskan dapat aku garap untuk dijadikan entri. Begitulah kira-kiranya aku mutakhir ini...

AbuZorief
Tadi, sewaktu aku menghadiri MSI (Usrah Gabungan IKRAM), aku bertemu dengan blogger AbuZorief yang baru pulang dari UK. Bersih wajahnya menunjukkan ketenangan hati dan kehidupannya. Berbual dengan beliau buat aku seperti mendapat suntikan untuk terus komited dengan blog. Blog AbuZorief memang berat isinya. Selalunya aku membaca sepintas lalu; tak mampu menghadam isinya yang terlalu ilmiah. 

AbuZorief bercadang untuk menerbitkan tulisan-tulisann dari blognya menjadi buku. Dia mengajak aku bersama  ke arah itu. Aku berminat tapi lebih cenderong kepada kompilasi penulisan bersama  sahabat-sahabat lain sebab aku tak mampu untuk menerbitkan buku secara solo yang pastinya memerlukan terlalu banyak masa, penumpuan dan kajian. Letih!

Bersama beliau aku ada mengujudkan satu BlogList untuk rakan-rakan blogger JIM (Jamaah Islah Malaysia Pulau Pinang). Oleh kerana JIM telah di transform menjadi IKRAM aku bercadang untuk meng-transform bloglist itu juga.Tak pasti samada pihak kepimpinan IKRAM sekarang memberi keizianan atau tidak.

Apapun, aku tahu kehidupan ini mesti ditempuh. Biar betapa jemu dan berat sekali bebanan ini,tetap aku pikul. Aku percaya Allah sentiasa memandang aku selagimana aku selalu mengingatinya!

Ahad, 20 Mei 2012

Di Hurung Semut

Dari semalam aku bercadang untuk pergi kerja demi menghabiskan tugasan yang terbengkalai tapi nampaknya tak jadilah. Akhmal tiba-tiba tadi mengadu hujung jari kakinya yang tercedera itu di hurung semut. 

Sebelum ini pun begitu juga. Semalam saja aku punggah semua tilam dan bantalnya. Basuh dan jemur. Lap katil dan vakum lantai serta karpet. Hari ini semut itu hurung lagi.

Aku teringat pesan Angah beberapa hari lalu supaya meletakkan kaki katil ke dalam bekas berisi air. Hari ini, itulah kerja yang aku buat. Sesekali kedengaran batuk ibu_suri yang berkali-kali. Ajak ke hospital, ibu_suri tak mahu. Takut kena tahan di wad, katanya.

Selang seli dalam menjaga Angah dan ibu_suri aku sempat curi-curi masa membaca blog. Aku amat menunggu berita tentang ceramah Ustaz Azhar Idrus di Padang Kota Lama malam tadi. Kalau di Gurun, Kedah malam sebelum itu dianggar kira-kira 30 ribu yang hadir; di sini aku agak jumlahnya lebihkurang sama..

Aku sendirpun kalau berkesempatan ingin pergi dengar sama. Tapi aku lebih diperlukan di rumah ini. Di sisi mereka ini. Cukuplah sekadar menonton beberapa klip video yang dimuatnaik ke YouTube seperti di sini dan berita bergambar yang dimuatnaik ke blog antaranya di sini


Aku harap suasana ini akan dapat menjawap tanggapan dari beberapa orang rakan sekerjaku yang semasa tiba Di PRU 12 lalu, DAP menang mutlak di Pulau Pinang dan layak menerajui kepimpinan Kerajaan Negeri;  mereka datang berjumpa aku di kafetaria dengan menepuk meja;

" Haa... puas hati hangpa!! Cina kapiaq dah perintah tempat kita. Alamat la sikit hari di surau kita, azan pun tak boleh. Silap haribulan, dengan kita-kita pun hancur!"

Sebenarnya dalam hidup ini yang perlu kuat dan hebat adalah pemikiran kita. Jangan terlalu sangat ikut emosi dan cakap-cakap orang. Berfikir dengan realistik dan terbuka. Pendekata, jangan biarkan minda kita usang  dengan emosi hingga di hurung semut!

Sabtu, 19 Mei 2012

Bila Ianya Datang Bertimpa-timpa...

Rupanya dah seminggu aku tidak menulis. Jarang aku begini malah tidak sepatutnya begini. 

Ini semua kerana kekalutan aku dalam mengurus kondisi kesihatan ibu_suri yang agak merimaskan juga. Demam dan batuknya yang panjang membuatkan aku tenggelam punca.

Abang di sana.... Ayah di sini.... Huu... Seperti setiap saat tak ada rehat. Jemu!

Aku selalu berdoa muga anak-anakku dan rakan-rakanku tidak mengalami rencam kehidupan seperti apa yang aku alami sekarang ini. 

jari kaki akhmal di tanamkan dawai sokongan
Akhmal perlu dihantar setiap hari ke klinik 1M untuk dressing pada jam 8. Balik kerja jam 7. Sempat sediakan makanan untuk ibu_suri dan menemani selama sejam saja. 

Saat-saat kalut begini datang pula musim odit di tempat kerja. Menambahkan stress yang ada. Hingga ke satu tahap, aku menghantar sms kepada adik-adik melampiaskan sesak di dada ini. 

Ada satu respon sms dari @dikku yang tinggal di Shah Alam. Cantik dan sejuk kata-katanya ini.

"Saya nak berkongsi dengan Yop usaha saya bila menghadapi sesuatu masaalah yang bertimpa-timpa.

1. Saya akan bersedekah setiap hari. x banyak. seringgit dua.

2. Memberi salam banyak-banyak pada yang kenal atau x kenal dengan harapan balasan salam mereka akan mempermudahkan kita kerana saya bersangka baik yang menjawap salam tu lebih makbul dari saya walaupun zahirnya nampak x semenggah.

3. Talipon mak. dengan mendengar suara mak semacam satu tenaga ajaib yang memberi kekuatan kepada saya walaupun bila mak tanya, kamu ada masaalah ke? Saya jawap, x de. semua ok.

4. Bagi nasihat kat sesiapa je walaupun sepatah dua. Walaupun kepada Bangla di stesyen petrol."

Aku balas sms @dik;

"Tk. Panjang pulak sembang mak dengan Yop kali ni."

@dik aku balas semula sms;

"Ada ucap Selamat Hari Ibu kat mak?"

Aduhh.....

Ahad, 13 Mei 2012

Semalam Dan Hari Ini

Semalam adalah hari ulangtahunku yang ke 52. Bertalu-talu ucapan tahniah dari rakan-rakan Facebok dan sms. Malah hingga ada yang beria-ia mahu belanja aku makan demi meraikan. Terima kasih buat semua. Daun keladi adalah hamparannya. Rahmat Tuhan adalah payungnya. Ukhuwwah Fillah adalah pengikat di antaranya.

Walaupun selama hidup ini tidak henti-henti dilambung badai namun aku masih tetap berumah di tepi  pantai. Itu sahajalah rumah yang ku ada. Itu sahajalah kesempatan dan peluang yang disediakan untuk aku mengisinya.

Kehidupan ini memang payah bagi orang yang kecil jiwanya. Kehidupan ini memang payah pada orang yang belum pernah tempuh susah.

Kekadang aku berfikir bahawa lebih baik begini kerana ianya membuatkan aku lebih selalu mengingati Tuhan dan menganalisa diri sendiri. Agaknya kalau aku dilahirkan dalam hidup yang serba senang, aku akan lupa diri dan lupa Tuhan.

Sesungguhnya, Tuhan itu tahu apa yang terbaik untuk diriku. Dan setiap perjalanan hidup ini umpama soalan-soalan peperiksaan yang jika betullah jawapannya akan diberi markah 100%.

Aku selalu teringat akan mimpi mak yang pernah mak ceritakan padaku semasa aku baru kahwin dulu. Terang mak bahawa dia ada bermimpi berada di tepi laut. Di sisinya ada seorang anaknya. Tetapi di tengah laut ada seorang anaknya lagi yang sedang terkapai-kapai hampir kelemasan.

Lama selepas itu aku beritahu mak bahawa mungkin anak mak  yang di tengah laut itu sebenarnya aku!

Sabtu, 12 Mei 2012

Sayangi Isteri!


Demam pula ibu_suri, semalam. Aku bertagak-tagak samada mahu ambil cuti atau tidak. Akan tetapi cuti yang ada aku perlu jimat. Ke hadapan ini, aku dapat rasakan bahawa cuti amat diperlukan.

Lalu, aku tinggalkan saja ibu_suri di rumah setelah aku beri dia ubat demam. Ubat Hipertensi, Diabetis dan Mood Disordernya aku skip dulu. Malam sat lagi baru aku beri.

Dapat aku rasakan betapa pentingnya memastikan kesihatan ibu_suri dijaga dengan sebaiknya. Jangan sekali-kali dia menghidap sakit yang baru kerana itu akan menambah lagi beban penjagaan ibu_suri.

Dari semalam ibu_suri tidak mahu makan. Dia asyik menyuruh aku memicit-micit badan dan kepalanya.

Sekejap-sekejap Akhmal memanggil aku kerana mengadu sakit kaki. Memang, bila malam sakit kaki Akhmal lebih membisa berbanding siang.

Tak jerap tidur aku di buatnya. Aku berbaring diantara ibu_suri dan Akhmal supaya nanti bila Akhmal atau ibu_suri memanggil, aku boleh dengar. Hampir setiap jam aku terjaga.

Beginilah pentingnya kita berusaha menjaga kesihatan ahli keluarga kita terutama isteri, teman yang kita pernah berjanji di hadapan Tok Kadi akan menjaganya sepertimana haknya sebagai isteri.

Kekadang aku hairan apabila mendengar atau melihat para suami sanggup memukul dan atau paling tidak memperlecehkan isteri di hadapan kawan-kawannya.

Mereka terlupa sebab mereka masih sihat dan mampu ke sana ke mari. Mereka terlupa yang apabila mereka sakit nanti, isteri itulah yang akan menjaga dan menemaninya disetiap inci waktu.

Kawan-kawan….? Hanya datang bila mereka punya waktu lapang!

Selasa, 8 Mei 2012

Di Sana Abang, Di Sini Ayah...


Akhmal discharge dari Hospital Seberang Jaya, semalam. Akibat keletihan menjaganya siang malam di Wad 3 sementara ibu_suri aku biarkan sendirian di rumah; kaki aku yang mula pulih dari sakit akibat banyak berjalan dan berlari di Perhimpunan BERSIH lalu kembali sakit hari ini.

Di wad juga sebenarnya aku tidak berpeluang untuk duduk lama. Wad begitu sendat dengan katil dan pelawat yang datang bila waktu bermula. Berbagai jenis kecederaan yang ada tapi kebanyakan akibat kemalangan motor dan rata-ratanya adalah generasi muda.

Jadinya, bila selesai sediakan katil untuk Akhmal berbaring di ruang tamu, Mandi serta berbincang dengan wakil insuran, aku lelap di dalam bilik hingga melepasi azan Isyak. Begitu nikmatnya rezeki tidur anugerah Allah bagi mereka yang berfikir!

Hari ini bermulalah tanggungjawap aku untuk menjaga bukan sahaja keperluan ibu_suri malah juga keperluan Akhmal yang kini terpaksa bertongkat. Terasa seperti 2 tangan dan 2 kaki ini tidak cukup. Disana….abang!….; di sini….. ayah!

Aku mengambil sedikit masa untuk set kan minda aku bahawa sekarang aku mempunyai 2 orang yang perlu ditangani kebajikan mereka. Dan tanggungjawap ini tidak boleh  diharap untuk berkongsi sekalipun 50% bersama Angah jauh sekali Along. Aku perlu pikul sendiri. Perlu kuatkan semangat untuk hadapi sendirian.

Aku berdoa muga Allah beri aku kekuatan luaran dan dalaman kerana aku tahu; Akhmal dan ibu_suri memerlukan kepedulian dari aku tanpa pilihan lain.

Sebelum pergi kerja aku kena pastikan ibu_suri mandi dan makan ubat; Akhmal pula disediakan ubat pagi, petang dan malamnya. Sediakan bekas untuk kemudahan Akhmal buang air bila tiba masanya. Sediakan makan pagi dan minuman di meja. Bila balik kerja, kena belikan mereka makanan, selia semua yang bersepah di meja mahupun singki. Seterusnya......

Ini tugas aku sebagai suami dan ayah. Jangan mengharap sangat huluran tangan dari sesiapa. Muga bila begitu minda ini aku setkan, aku tidak akan merasa kecewa dan mampu melakukan semua itu dengan ikhlas!

Sabtu, 5 Mei 2012

Akhmal.....Akhmal.....!!!

Akhmal dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya malam Khamis 3 Mei lalu. Baru 20 minit sebelum itu dia jumpa aku minta RM5 untuk beli minyak motor. 20 minit selepas itu, tatkala aku baru saja menekan keypad talipon untuk ingatkan dia supaya pagi esok bangun awal untuk aku bawa ke Hospital Bukit Mertajam membuat medical checkup atas arahan JKM; tak sempat menghabis ayat, call masuk;

"Ini bapa Akhmal? Err.... Pak cik, Akhmal accident."

"Bagaimana keadaan dia sekarang?"

"Kaki dia patah."

"Kalau macam tu panggil ambulan."

Hurmm...

"Kenapa dengan Akhmal, bang?" soal ibu_suri.

"Biasa la dia tu.... jatuh motor!"

"Teruk ke dia?"

"Tak tahu. Ni la abang nak pi tengok."

"I ikut sama." sambil bangun dari katil.

"Tak usah dulu. Biar abang pi tengok. Nanti kot lama sangat di sana, you juga yang susah. Abang akan panggil Angah tengok sama. Tak ada apa kot. Doa yang baik-baik saja untuk dia."

"Ala... Apa salahnya I pi tengok dia. Tak pa, I duduk dalam kereta je."

"Ye la tu.. Sat gi you nak terber.... la, nak terken... la. Susah nanti. Kat situ mana ada toilet. Kat bendang. Malam pula tu. Pacat pun ada agaknya...."

"You makan ubat ni dulu. Kalau ada apa-apa nanti, abang balik ambil you di rumah."

Dan... tadi baru selesai pembedahan kecil di jari kakinya yang patah. Calar-calar dan luka di badannya mula memberi kesan sakit. Dan kesan hempasan ke jalan mula memberi rasa lenguh dan kebas. 

Motor?....hmmmm... Tak dan tengok. Masih ada di bengkel Bagan Ajam. Itu aku biarkan Angah yang urus. Lagipun dia ada pengalaman semasa menguruskan kes CT beberapa bulan lalu.

Akhmal.....Akhmal.....!!!

Selasa, 1 Mei 2012

Tanpa Nama


Dalam-banyak entri yang telah aku muatkan ke dalam blog bilis aku ini, posting Alahai PTPTN mendapat respon paling ramai dari Tanpa Nama. Kegembiraan pertama aku bila merasai suasana begini ialah entri aku kali ini berjaya menarik komen yang sedikit kontra. Yang mengemukakan identiti diri selalunya memberi pandangan berpihak pada entri dan yang bersembunyi di sebalik Tanpa Nama selalunya memiliki pandangan yang agak opposisi tetapi masih cuba menulis tanpa pengaruh emosi. 

Aku menanti suasana begini sebenarnya. Aku menghormati pandangan orang lain disamping berharap orang lain juga menghormati pandangan aku. Dengan wacana begini kita akan dapat mengembangluaskan lagi skop pemikiran kita.

Sebelum ini bukan tidak ada entriku yang diterjah secara negatif oleh Tanpa Nama. Malah pernah satu masa itu kerana keras terjahannya membuat aku fobia untuk mengetuk papan kekunci selama seminggu. Beberapa orang kawan memberi cadangan apabila aku melahirkan perasaan aku itu; Hang delete ajelah komen dia.

"Tidak," jawapku, "Aku seboleh-bolehnya tidak mahu memadam apa saja jenis komen terhadap tulisan aku kecuali yang menempek iklan merapu. Aku memegang prinsip adab-adab berblogging yakni kita perlu bertanggungjawap atas apa yang  kita tulis. Mendengar apa saja komen balas dari pembaca dan seboleh-bolehnya menjawap secara rasional dan fakta jika mampu. Kalau tak mampu, diam lebih baik!"

Tapi itu sebenarnya bergantung juga setahap mana kekuatan mental dan rohani seseorang penulis juga. Pada aku yang dah biasa disindir depan orang ramai, dimarah oleh boss, berdepan dengan SB dan mahkamah malah di sembur dengan gas pemedih mata; mempunyai sedikit kekuatan dalaman untuk mengharungi itu semua.

Yang penting ialah hati kita ikhlas, terbuka dan kuat pergantungan pada Allah. Alah... sikit je. Baru takat di komen secara kontra takkan nak melatah, betul dak?