Halaman

Jumaat, 29 Jun 2012

Persiapan

Jam 3 petang nanti aku akan bertolak untuk menghadiri program mukhayyam anjuran IKRAM Pulau Pinang. Kali ini aku tidak diberitahu dimana program ini dan apa yang perlu di bawa. Persis satu misi rahsia pula. Sami' na wa a tho' na saja. Berbekalkan pengalaman perkhemahan yang pernah aku lalui, aku bawa sekadar yang aku mampu. Pun sebenarnya aku belum buat apa-apa persiapan. Siang nantilah kot...

Cuma ada 2 pesanan dari urusetia yakni bawa jeket dan insect repellant. Lain macam bunyinya nih! Mungkinkah lokasi kali ini ada pacat? Arggghhhh....

Aku kerah Along untuk balik.

"Along ada temuduga Jumaat pagi. Petang baru boleh balik!"

Along pandai masak. Jadi jika dia balik sementara masih belum dapat kerja ni, bolehlah dia uruskan makan minum dan ubatan ibu_suri.

Sementara Akhmal aku suruh dia buat dressing sendiri ke atas luka di kakinya. Baik pula jururawat di Klinik 1Malaysia, Perda itu dengan memberikan beberapa pek kain kasa dan sebotol cecair pencuci luka.

Walaupun ibu_suri merengek merayu supaya aku tidak pergi tapi aku kuatkan semangat. Sebenarnya mukhayyam adalah salah satu program wajib jamaah yang mesti aku jalani selaku madu'. Proses pentarbiyahan sebegini adalah perlu bagi memperlengkapkan diri sebagai dai'e. Walaupun aku tidaklah sehebat mana tapi usaha itu perlu. Lantaran Allah tidak bertanya apakah kita telah berjaya menjadi dai'e tetapi akan bertanya apakah kita telah berusaha ke arah itu?

Link
Kemenangan Ikhanul Muslimun dalam pilihanraya Mesir bebaru ini menambah kuat azamku supaya komited dengan pentarbiayahn diri dan wala' kepada arahan jamaah.

Melihat kepada keperibadian Mohammed Morsi, presiden baru Mesir ini memberi satu macam inspirasi jua!


Khamis, 28 Jun 2012

Menghambat Masa Kosong

Tak berkesempatan kemaskini blog sejak entriku pada Isnin lepas. Sibuk dengan rutin harian yang menghambat masa-masa kosong dan tenaga picisan yang ada. Ditambah dengan cemburu ibu_suri yang bukan kepalang bila saja aku mula mahu menekan papan kekunci;

"Abang, you baca apa?" keras suaranya!

Balik kerja sekitar waktu azan Maghrib. Terkocoh-kocoh membuatkan minuman dan menghidang makanan untuk ibu_suri. Bila saja slot Berita Utama TV3 mulakan bicaranya, aku tahu itu masa aku kena pergi mandi. Seusai sembahyang aku akan mengambil pakaian dan tudung ibu_suri untuk bersiap membawa Akhmal ke Klinik 1 Malaysia, bandar Baru Perda untuk dressing.

Alhamdulillah, luka di kaki Akhmal semakin sembuh. Aku mensasarkan Akhmal tak perlu lagi berulang ke klinik sebaik saja Ramadhan tiba. Kalau tidak begitu lebih kalut aku dibuatnya. Bila luka kaki Akhmal sudah sembuh tumpuan hanya diberikan untuk pemulihan tulang jari kakinya yang patah sahaja. Kalian ada formula atau petua untuk mempercepatkan pemulihan tulang yang patah? Ada yang kata makan ikan haruan. Ada yang cadangkan minum susu DutchLady. Ntahlah!

Selesai ke klinik dan makan, dah pukul 10.30 malam. Waktu ini Marissa patutnya sudah ada di rumah bilamana diambil oleh mamanya dari rumah kakak ibu_suri yang mengasuh. Cepat-cepat ibu_suri mahu balik kerana mahu menimang cucu kesayangannya ini sebelum cucunya masuk tidur lebihkurang jam 11.30 malam.

Marissa sudah pandai ketawa

Sebaik saja Marissa tidur, ibu_suri akan ajak aku keluar siar-siar lagi yang ntah pukul berapa pula aku akan balik semula ke rumah.

Semalam adalah hari aku hadiri usrah di rumah naqibku di Taman Sutera Prima. Lewat aku sampai ke sana semata-mata kerana mahu selesaikan dulu tanggungjawapku terhadap Akhmal dan ibu_suri.

Beginilah seharianku. Hingga pernah sesekali bila aku terasa terlalu letih dek kekeringan masa santai, aku terkeluar kata pada anak-anakku;

"Boleh tumbang tengah jalan kalau begini selalunya keadaan ayah!"

Kalau tidak kerana rindu untuk menulis dan cintaku pada blogku ini, aku takkan mahu bercekang mata mengupdatekannya sekalipun udah lewat dinihari!

Jumaat ini aku perlu menghadiri Mukhayyam anjuran jamaahku. Aku sedang memikirkan bagaimana keperluan ibu_suri dan Akhmal dapat diuruskan semasa aku berpergian nanti.

Aku percaya, untuk kerja baik, Allah akan membantu!

Isnin, 25 Jun 2012

Selagi Hayat Ada

Ramai yang bertanya , bagaimana keadaan ibu_suri sekarang ini?

Kalau nak dibandingkan dengan 4 tahun dulu, memang hari ini kondisi ibu_suri adalah lebih baik. Maksud aku, kalau dulu dia cepat marah dan merampus kini lebih terkawal emosinya. Kini dia lebih ceria. Lebih mesra dengan keluarga dan jiran.

Ertinya, walaupun aku letih dan hampir jemu mengurus emosi dan kebajikan dirinya untuk 4 tahun lamanya namun keadaan sekarang ini 1000 kali lebih baik berbanding dulu yang begitu menekan perasaan aku. Bagi kalian yang pernah mengikuti tulisan-tulisan aku beberapa tahun dulu tentu maklum keadaan ibu_suri di tahun-tahun mula dia menghidap stroke yang kemudiannya bertukar menjadi bi-polar disorder.

Hospital Bukit Mertajam tahun 2010

Sekarang ini doktor mengesahkan beliau hanya menghidap mood disorder dan ubat-ubatan yang dia makan setiap 2 kali sehari ini nampaknya begitu berkesan mengawal struktur kimia dalam badannya sekaligus mengawal emsoinya agar selalu stabil.

Pada yang kurang biasa melihat karektor ibu_suri sekarang ini tentu rasa sedikit pelik. Jika hendak order makan, aku kena sabar bertanya apa yang dia mahu. Kekadang kesian bila melihatkan pelayan restoran menunggu lama sambil memegang pen dan kertas untuk mencatat.

Kekadang lain yang dia sebut lain pula yang dia mahu sebenarnya. Maka, aku terpaksa order sekali lagi dan yang dah terhidang aku memakannya walaupun dah kenyang. Itu belum bab nak memandikan beliau; jika mengalami masalah susah buang air besar atau tak boleh mengawal buang air kecil. Belum lagi cerita pasal setiap kali hendak keluar bersiar, aku kena pilih baju mana yang dia berkenan, makanan jenis apa yang sesuai dengan seleranya dan hendak beritahu yang bagaimana jika ada berita-berita sedih yang datang berkaitan dengan dirinya atau keluarga.

Apa-apa pun sebenarnya, untuk menjaga individu seperti ibu_suri ini memerlukan sabar, lapang dada dan ketenangan yang extra hebat. Doktor pernah beritahu bahawa penjagalah orang yang paling penting bagi pesakit seperti ibu_suri. Jika aku tidak menjaga ibu_suri sebaiknya, nauzubillah... doktor beritahu bahawa ibu_suri boleh menjadi seperti orang yang tidak siuman di tepi-tepi jalan itu.

Justeru, aku masih dan insyaAllah akan setia, tabah dan tidak berganjak dari terus menjaga dan bersama ibu_suri semata-mata kerana aku terikat dengan aqad yang aku lafazkan di hadapan Kadi di 27 tahun yang lalu. Aqad itulah janjiku dengan Tuhan untuk menjaganya selagi ada hayat.

Ahad, 24 Jun 2012

Aku HIV Positif

Sewaktu dalam perjalanan balik dari mengambil stok baru ubat psikiatrik untuk ibu_suri Khamis lepas, aku terpandang nombor plet kereta ini;


Ingatan aku segera sampai kepada blog Aku HIV Positif (AHP). Aku kurang ingat sejak bila aku mengikuti blog beliau tapi sejak pertemuan pertama itu aku memang tidak lepas peluang dari menziarahi beliau bila saja ada peluang.

Isinya memang berat dan aku selalunya tak mampu untuk membaca semua isi penulisan beliau namun atas nama sokongan moral, aku tetap beri komen semampu boleh.

Aku tabik pada usaha gigih beliau. Sekarang ini beliau giat menggembeling tenaga untuk mengaktifkan POSITIVE WARRIORS SUPPORTER GROUP. Bersama beliau adalah anaknya Anonymous One (AO) yang selalu membantunya dalam penulisan.

Kalian boleh ikuti tulisan beliau yang aku pautkan di ruang sisipan Blog Istimewa ini. Muga-muga usaha-usaha beliau menjadi pemangkin kepada kita yang masih sempurna kesihatan tubuh ini tetapi masih sikit dalam memberi sumbangan kepada beruntungan masyarakat.

Sabtu, 23 Jun 2012

Macam Ultraman

Beberapa kali terganggu solat Isya' bila ibu_suri tak henti-henti ketawa dan tidak boleh menahannya walaupun dia mencuba.

" Dah lah tu. Abang nak sembahyang ni, " lalu sekali lagi mengangkat takbir tetapi aku masih juga...kih! kih! kih!

" Kenapa abang selalunya tak angkat tangan masa rukuk? " tanya ibu_suri sebelum itu.

" Angkat tangan tu sunat saja kecuali masa Takbir sembahyang rakaat pertama, " terangku pada ibu_suri yang akhir-akhir ini kerap bertanya bila melihat sesuatu perbuatan dalam sembahyangku tidak seperti yang biasa dia lihat orang lain melakukannya.

" Di masa kita takbir pertama itulah perlunya niat kita jatuh ke dalam hati. Takbir pertama itulah pemisah antara dunia luar kita dengan dunia kita bertemu Allah, " terang ku lagi.

" Takbir yang lain, macam bila nak rukuk atau bangun dari rukuk tu cuma sunat saja. Nak buat ok. Tak mahu buat pun ok. Macam jamaaah Tabligh, depa tak takbir masa rukuk. Kita tak bolehlah kata depa tu tak betul. "

" Cara Takbir yang paling baik ialah angkat tangan separas bahu. Tapak tangan menghadap kiblat. Macam ni... " Aku menunjukkan kepada ibu_suri.

" Jangan angkat takbir macam ultraman pulak. " Aku pun menggayakan takbir dengan mengangkat tangan kemudian menyilangnya seperti Ultraman hendak melepaskan api dari sisi tangannya kepada raksaksa.

Di sinilah mulanya secara spontan ibu_suri ketawa terkekeh-kekeh dan tak boleh berhenti....

Aku sendiri pernah melihat ragam takbir mereka yang bersembahyang jamaah di masjid. Yang mengganggu konsentrasi aku juga hingga terkadang aku memejamkan mata supaya tidak hilang fokus...

Aku percaya, bukan ibu_suri saja yang akan ketawa. Kalian juga akan ketawa terbahak-bahak bila melihat video ini diminit ke 2...




sila off  butang LAGU MARHAEN

Jumaat, 22 Jun 2012

Kuih Bom

Stok ubat Psikiatrik untuk ibu_suri dah nak habis. Aku minta permisi dari bos di waktu rehat makan tengahari untuk pergi Hospital Besar Pulau Pinang. Itu yang bestnya kerja kat Renesas ni. Keluar 2-3 jam untuk urus hal-hal peribadi dibolehkan.

Parkir tak sesendat selalu. Sampai saja dah ada parkir kosong. Macam tak percaya pula.


Kat lobi hospital, seperti selalunya ada pameran kesihatan. Tapi aku tak perasan tema apa pula kali ni. Aku terus aje ke bilik Farmasi.


Beratur untuk ambil nombor giliran juga tak lama. Yang lama ialah menunggu ubat disediakan. 16 orang lagi tu... Ting! tong! nombor aku tak juga naik naik. Mengantuk pula rasanya.


walaupun tak ramai orang hari ni tapi masih ada macam-macam pesen orang yang datang. Yang ni, nak ambil ubat pun pakai seksi! Hu... tapi jangan cepat buat telahan. Pernah semasa bawa ibu_suri berjumpa doktor pakar, aku terjumpa perempuan yang lawa dan lebih seksi pakaiannya. Rupanya dia itu punyai sindrom macam ibu_suri juga.


Terasa nak buang air. Elok juga tu sementara menunggu. Balik nanti tak perlu singgah dah. Aku suka guna tandas mangkuk tapi tu dialah.... pintu tandas pun tak ada. Beginilah budaya vandalisma masyarakat kita.


Aku masih ingat pesan ibu_suri suruh beli kuih bom. Macam mana rupa kuih bom ni..jenuh aku fikirkan. Macam bom tangan ke? Atau macam bom meriam? Setahu aku tempat yang ada banyak kedai makan ada di tepi jalan depan hospital ni.


Aku agak di sini mungkin ada kuih bom. Ushar punya ushar... teringat aku dan ibu_suri pernah singgah beli kuih di sini. Tapi tak nampak pun kuih yang ala-ala bom!


Last-last aku beli yang ni. Aku memang dah biasa makan tengahari dengan kuih aje.


Dan tengok ni. Aku pesan kopi Radik tarik, dia bagi teh tarik. Apa punya turrr....



 "Abang, sori bang. Nak tukar ke?"

Aku bagi isyarat tangan yang bermaksud tak apa. Aku malas nak banyak ragam. Pada aku, kita ni biarlah hidup simple je. Tak perlu marah-marah. Tak perlu banyak kerenah. Teh tarik pun ok perr.... Cuma selalunya kalau minum di kedai aku suka beli minuman paket je sebab rasanya standard. Teh tarik atau kopi buatan kedai ni selalunya tak tentu rasa. Kekadang terlalu manis. Kekadang kelat. 

Semasa balik semula ke kereta, terpandang pula papan iklan ni. Senyum sendirian aku bila mula memahami kenapa ada beza harga sewanya.


Dah 2.30 petang. Aku perlu balik semula ke tempat kerja. OTW balik, tertanya-tanya pula dalam hati, bila masa bangunan di sebelah kanan KOMTAR ni ni siap dibina?


Itu maknanya aku dah lama tak ronda-ronda dalam Bandaraya George atau Georgetown ni. Bandaraya yang baru diisytihar oleh UNESCO sebagai bandaraya bersejarah.

Sesekali terdetik di hatiku; begitu kuat pengaruh peninggalan penjajah hinggakan nama bandaraya pun masih belum ditukar walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka. Ape cerrr.....?


Selasa, 19 Jun 2012

Bila Dah Ada I-Phone

Ntah kenapa aku tak berapa fit hari ini. Pergerakan rukuk dan sujudku semasa solat Dhuha terasa berat.

Bila masuk waktu Zohor, aku yang selalunya diminta mengimami saf-saf jamaah di surau tempat kerja terasa ingin menjadi makmum saja. Aku perhatikan generasi baru yang aku kira ramai yang berkebolehan untuk di kehadapankan. Aku pujuk Farid G. Dan tak banyak menolak pun dia lalu terus menjadi imam.

Aku terasa selesa di belakang. Berat tanggungjawap menjadi imam ni, sebenarnya. Sementelah aku yang sudah berumur hendak menjaga rentak makmum yang berbagai usia dan tenaga. Ada yang perlahan dan ada yang cepat.

Selesai Zohor aku bersalaman dengan Farid G.

" Tadi gambar yang hang hantar dalam emel tu hang ambil dari buku kat surau ke?"

"Ya..ya..."

klik pada imej untuk lebih jelas

"Hmmm... bagus artikel tu. Saya nak ambil bubuh dalam facebook atau blog saya, boleh ke?"

"Eh, silakan... Itu hak kita semua!"

"Inilah bagusnya ya bila ada i-phone yang canggih kameranya ni, ya! Boleh ambil gambar bila-bila masa saja dan hantar ke internet dan dan tu juga."

"Ha...la..."

"Baguslah gitu. Gunakan teknologi secara yang berfaedah. Jangan dok merapu jer..."

Melihat generasi baru yang semakin ramai di lokasi kerja aku memberi petunjuk bahawa akan semakin ramai generasi aku akan tamat tempoh bekerja. Melihat generasi baru ini juga mengingatkan aku pada anak-anakku yang sebenarnya segagan dengan mereka juga. Yang akan menggantikan aku untuk meneruskan kesinambungan perjuanganku hidup di dunia!

Yang lama akan pergi. Yang baru pula mengganti. Begitulah fitrah Alam!

Isnin, 18 Jun 2012

Anak Emas


Itu bukan cek milik aku tapi milik Dhiya Marissa, cucu kesayangan ibu_suri.

Kerajaan Pulau Pinang melalui projek Anak Emas telah menaikkan imbuhan dari RM100 sebelum ini kepada RM200 tahun ini bagi setiap anak yang lahir di tahun tersebut.

Untungkan jika mempunyai kerajaan yang begitu kreatif dalam memberi keselesaan hidup rakyat di bawahnya.

Ada satu lagi program untuk OKU imbuhan RM100 setahun. Semasa singgah di Pusat ADUN Penanti aku sempat bertanyakan hal ini.

"Encik kena bertanya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana imbuhan ini disalurkan melalui JKM."

"Saya selalu pergi JKM tapi depa tak pernah beritahu pun. Mereka cuma bagi bantuan bulanan persekutuan RM150 untuk ibu_suri sahaja. Untuk Akhmal hanya akan menerima RM300 jika dia bekerja. Kalau tak bekerja tak dapat apa."

"Cuba encik pergi bertanya sekali lagi. Jika mereka tak beri baru encik datang buat aduan di sini. Sepatutnya mereka bagi."

Rasa seperti ada yang tak kena!

Ahad, 17 Jun 2012

Lelaki Berbaju Putih

Melibatkan diri di dalam proses memulihkan sesuatu tempat dari gangguan makhluk halus adalah pengalaman tambahan dalam hidup aku. Walaupun sebelum ini aku pernah melihat 'bomoh' yang mengubat ibu_suri atau Akhmal menyeru atau bercakap-cakap dengan 'perantara' tetapi yang ini lain sikit.


Sebaik saja sampai ke muka pintu lokasi, bulu roma aku terus terpacak. Di celah-celah kolar baju dan tepi telinga aku juga bukan main lagi ianya tegak berdiri. Mulanya aku ingatkan aku nak demam. Atau mungkin kerana kesan dari tekanan kerja. Tapi kemudiannya aku akui ini berkemungkinan kerana ransangan semulajadi bila sistem dalam badan aku dapat mengesan kehadiran 'benda' itu di situ.

Sebelum ini ramai yang mengadu selalu mendengar suara perempuan menangis dari bilik ini. Ada pula yang melihat kelibat lelaki yang memakai kemeja putih. Jadinya, masing-masing takut hendak ke bilik ini. Paling terbaru ianya berlaku pada jam 8 pagi. Siang dah kiranya tu...!

Hampir sejam juga mereka yang kami panggil untuk memulihkan bilik ini melaksanakan tugas mereka. Sekejap-sekejap mereka azan dan iqamah. Sekejap-sekejap mereka baca ayat Qursi dan ntah ayat dari surah atau juzu' mana. Sesekali mendengus dengan kuat.

"Benda tu ada sepasang. Jantan ditingkat atas dan betina di tingkat bawah," jelas ustaz R. "Yang betina tu memang dah lama duduk di sini."

Sebaik tiba di rumah aku tidak terus masuk. Aku lepak-lepak dulu di luar. Petua orang tua-tua, patahkan dahan pokok bagi menandakan kita sudah sampai di rumah. Bimbang juga sebab aku bukan arif sangat dalam bab makhluk ghaib ni. Sementelah pula dalam rumahku ada cucu kecil. Malah ibu_suri juga bukan kuat semangat.

Aku terus capai tuala dan mandi sebersih-bersihnya. Aku ambil wudhu dan tak banyak berbual, terus tidur. Tak siapa di dalam rumah itu tahu kenapa aku balik lewat melainkan mereka menyangka aku perlu siapkan kerja sebab ada IQA odit pada esok hari!

Ahad, 10 Jun 2012

Rujuk Pakar

Sebenarnya entri semalam hampir mahu aku padamkan dari paparan blog sebab seperti terasa isinya keterlaluan. Bagaimanapun bila melihat respon yang boleh aku kira ramai, aku biarkan saja di situ.

Kekadang menulis ini jika terlalu mengikut emosi, begitulah jadinya. Bila dah tertulis dan dibaca oleh ramai orang, bukan seperti perahu terlajak yang boleh ditarik semula. Jika respon dari tulisan itu negatif, terpaksa menelan hakikat pedas dan payaunya.

Hari ini pun dek terlalu dipegu emosi letih, jemu dan tekanan, aku hampir menyebabkan Akhmal membentak rajuk. Rajuk yang aku kira bahaya jika dibiarkan meletup.

"Janganlah usik ibu tu. Ibu kan sakit gigi. Orang yang sakit gigi ni bukan boleh bising atau diganggu."

Tapi Akhmal tidak peduli. Diusiknya seperti dia mengusik anak menakannya yang kecil-kecil itu.

"Susah melayan 2 orang yang sakit seperti hangpa ni!" rungut aku.

"Arghhh... Akhmal kalau tak sakit, Akhmal buat sendirilah ayah. Akhmal tak harap orang lain lah..."

Aku terdiam seperti dipukul. Aku tahu aku tersilap walaupun mungkin niat aku tidak sebegitu. 

"Ayah cuma menyuarakan apa yang ada dalam hati ayah saja..."

Dan selepas itu aku stop. Akhmal pun bungkam. Cuma yang terdengar suara desit ibu_suri menahan sakit yang sebenarnya bukan sangat berkaitan dengan gigi tetapi gusi. Itu apa yang diberitahu oleh Dr Ameen yang apabila berjumpanya mesti di dahului dengan salam. Yang tahu akan latar belakang komplikasi ibu_suri. 

Doktor menyarankan aku merujuk ibu_suri kepada pakar gigi di klinik gigi kerajaan di Mak Mandin. Memang, jenis sakit-sakit yang dihidapi oleh ibu_suri ini hampir kesemuanya perlu dirujuk kepada doktor pakar.

Sabtu, 9 Jun 2012

Nak Balik Kampung Jumpa Mak!

Aku harap Ahad ini aku berjaya balik untuk melihat mak. Dah lama aku tak balik. Lebih-lebih lagi bila sibuk menguruskan Akhmal. Lebih-lebih lagi bila setiap kali aku ajukan harapan nak balik, ibu_suri kata...tak mau!

Aku nak balik tengok mak aje. Kemudian nak ziarah pusara abah. Aku nak balik secara santai, tak mahu ribu-ribut. Sekalipun balik untuk beberapa jam saja, dah cukup. Tak boleh lama-lama pun demi maslahat hubungan kekeluargaan.

Aku nak pinjam kereta Viva Angah. Angah kata...ok. Aku tak peduli samada duit cukup atau tidak. Aku percaya, jika niatku ikhlas untuk balik melihat wajah mak mesti Tuhan restui perjalanan pergi balikku. Dan Tuhan bantu aku di masa-masa ke hadapan.

Rumahku sekitar 1986
Aku dah lama tak jumpa mak di kampung walaupun mak pernah ziarah aku di rumah ini. Kekadang rasa seperti kacang pula. Nauzubillah!

Kalau sempat, aku nak singgah di Restoran Tasik Raban, di belakang Stadium Hoki Sultan Azlan Shah. Aku nak ajak Akhmal dan ibu_suri makan masakan kampung yang ada di situ.

Walaupun aku bimbang kut-kut la di sepanjang perjalanan pergi dan balik kampung nanti Akhmal dan ibu_suri akan 'bergaduh' dalam kereta, aku pasrah saja kerana aku balik ini dengan niat baik...jumpa mak. Akan sabar saja dengan kerenah mereka yang kekadang macam bebudak bawah umur.

Kerana aku percaya, bila menatap wajah mak, Tuhan akan beri rahmat kepada aku. Dan muga-muga apa yang berserabut di benakku ini akan terurai bila menatap wajah mak yang semakin kurus, semakin uzur dan semakin sunyi itu.

Tak perlu mengadu apa-apa kat mak. Cuma duduk diam dan dengar saja apa-apa saja yang mak nak kata. Walaupun sebenarnya aku teringin nak makan cucur kodok atau bihun masakan mak, aku akan pendamkan saja sebab aku tahu mak dah tak mampu nak berbuat begitu lagi.

 Uuuuu.... apalah yang aku merepek di subuh sepi'e nih!


Selasa, 5 Jun 2012

Tertidur Di Kerusi


Memang letih dan bosan menunggu yang kekadang berjam-jam. Tapi itulah hakikat yang terpaksa ditempuh. Selalu dia mengeluh.... 

"Ayah, lambat lagi ke. Lenguh kaki Akhmal ni!"

"Sabar aje la Akhmal. Nak buat macam mana. Bukan kita aje yang sakit."

Dia cuma letih dan bosan menunggu tetapi masih ada tempat untuk mengadu. Tetapi aku? Sendirian saja merenung bimbang dan menyerap rasa keresahan.

'Kalau dah tau letih, bosan dan sakit begini, lain kali naik lah motor tu laju-laju lagi, ya!' begitu bentak hatiku tapi tak terlontar ke telinga Akhmal. Tak tergamak.

Pendekata, hospital dan klinik seperti sudah menjadi sebahagian dari skrip kehidupanku sejak ibu_suri di hinggap mood disorder dan kini Akhmal yang perlu menerima rawatan orthopedik!

Tapi bila sesekali fikir, barangkali Tuhan tahu bahawa inilah tazkirah yang paling baik buat aku. Kalaulah aku dikelilingi dengan kemewahan kemungkinan besar aku akan lupa daratan.

Dek terlalu lama menunggu kekadang sempat aku tertidur di kerusi!

Isnin, 4 Jun 2012

Bahrulmazi

Tahu Bahrul Mazi? Aku pun hanya biasa dengar sejak mengikuti ceramah Ustaz Shamsuri satu ketika dulu. Dengar saja, tak pernah baca apatah lagi memiliki kitab itu.

Aku agak dari situlah ilham sipemilik ini menamakan bangunannya. Tentu sekali tuanpunya bangunan ini seorang yang hebat. 


Aku terserempak ketika balik dari kedai TM bersebelahan Restoran Kapitan, Bandar Perda. Wisma Bahrulmazi ini terletak di seberang jalan. Yang lebih menarik perhatianku ialah kata-kata yang tertulis di bawah papantanda;

"Kucari damai di Baitullah."

Sekali imbas macam sajak ciptaan Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa dia membawa konsep Islam Hadari di zamannya sebagai PM.

Sekarang ini aku semakin kerap melihat orang-orang Islam mampu menyewa bangunan besar seperti ini untuk perniagaan. Dan tak ketinggalan sesetengahnya membeli bangunan seluruh tingkat seperti Wisma Bahrulmazi ini. 

Di Pekan Penanti tak jauh dari rumahku juga begitu. Tak kiralah samada dia itu Melayu, Mamak atau Benggali Karpet asalkan Islam, aku tumpang berbangga!

Ahad, 3 Jun 2012

Dhuha

Selepas hantar Wira untuk servis, aku ke pekan Bukit Mertajam. Terasa ingin rileks sekejap sambil makan roti canai dan minum Radik di Restoran Nasi Kandar Popular. Dekat situ ada kedai cuci kereta. Boleh lah sesambil itu hantar kereta untuk cuci luar, dalam dan enjin.

Seperti kereta, hidup ini juga kena selalu di servis. Paling mustahak di servis ialah jiwa nurani. Jika jiwa kita kuat, insyaAllah jasad juga akan kuat. Jika jiwa kita pengecut, badan besar mana pun; tenaga segagah mana pun; duit setinggi gunung pun akan terjun bangunan juga jika jiwa terlalu tertekan.

Aku mutakhir ini kerap melakukan solat Dhuha. Aku percaya solat Dhuha mampu memberi ketenangan hati dan jiwa yang akhirnya akan dapat membina cara fikir yang baik dan tahan lasak. Solat Dhuha juga akan mampu mengubah cara hidup dan melapangkan rezeki dan lorong kehidupan.

ihsan dari facebooker  Rusli Hashim
Cumanya mutakhir ini pula aku jarang pergi riadah di tasik Mengkuang seperti selalu. Yalah... sejak kena hantar Akhmal ke klinik untuk dressing; masa santai aku menjadi pendek. Alhamdulillah, luka di kaki Akhmal semakin baik. Cuma tulang jarinya yang patah masih belum menampakkan perkembangan positif.

Kata Dr Hafiz Abdul Mayar di Kinik Ortho, Hospital Seberang Jaya; " Orang muda biasanya cepat sembuh luka mereka. Tapi lebih cepat sembuh jika tidak merokok. Awak merokok?"

Akhmal tersengih.

"Tulang yang patah memang lambat bercantum. Paling awal 6 bulan. Ada yang bertahun-tahun..."

Fuhh....!

Jumaat, 1 Jun 2012

Sebagai Lone Ranger

Dah sebulan Akhmal terdampar di rumah, tidak boleh berjalan kemana-mana melainkan ke klinik setiap pagi atau malam untuk dressing. Aku perasan, boringnya itu sudah mencecah tahap gaban.

Tapi ibu_suri lagi lama. Lebih 4 tahun sejak November 2007. Terperuk di rumah; tidak lagi aktif mengajar di tadika, aktiviti NGO bernama JIM dan dalam wadah politik semasa.

Tapi tentunya yang lebih hebat adalah aku yang terpaksa menjaga dan mengurus kesemua mereka. Makan minum, mandi tidur, tempat tidur dan pakai buang,   kemas rumah, rawatan hospital dan yang paling hebat ialah melayan emosi mereka yang kekadang ketidakstabilannya cukup menggegarkan kekuatan dan kesabaran seorang suami, seorang ayah hatta seorang lelaki.

Kini aku perasan, boring mereka berada di tahap gaban. Celik saja mata, ibu_suri akan bersuara... abang, boring la! Jom ronda....?

Hari ini aku cuti kerja kerana ganti hari cuti umum esok. Sepagian aku keluar dengan Wira menguruskan dressing kaki Akhmal. Balik rumah, sediakan makan, minum dan ubatnya. Kemudian aku keluar semula untuk hantar Wira untuk servis.

"Brek depan kereta ni kena tukar. Makan tak sama. mounting absorber juga elok tukar." Ujar mekanik Asia Tayar, pekan Penanti.

Selesai tiu aku ke Pekan BM untuk uruskan pembayaran hutang kawan dan bank in duit tunai yang bersepah-sepah dalam kocek, beg dan fail kotak. Tak dan nak susunatur dek kalut ke sana kemari.

kenangan dari sini
Sebelum solat Jumaat di Masjid Sheikh Abdul Kadir, Sungai Rambai; aku rileks kat Restoran Nasi Kandar Popular. Makan roti canai, minum kopi Radik sambil melayari internet dengan netbook kepunyaan Along yang dia dapat secara percuma semasa mendaftar Streamyx dulu. 

Patutlah TMnet boleh bagi free. Processor yang digunakannya adalah Intel Atom. Kata kawanku, Intel Atom ni ngarut sikit. Lembab!

Memang pun.... Harap-harap tindakan dan sikap aku tak lembab macam netbook Along ni. Sebagai Lone Ranger dalam rumah aku kena cekap, teguh dan kuat semangat..kan...kan...!