Halaman

Isnin, 30 Julai 2012

Air Mata Sheikh Yusuf Estes

Aku dengan sabar menonton klip video ini yang dikirim oleh rakan ke dalam fbku tadi. Tanpa aku sedari airmata aku menitis bersama titisan airmata Yusuf Estes di akhirnya.

Aku harap kalian tidak lepas peluang menontoninya juga. Setelah itu aku percaya kalian akan mendapat sedikit motivasi dan semangat untuk terus istiqamah memperbaiki diri dan juga membaiki masyarakat keliling kita.


sila off butang lagu

Juga kalian akan dapat merasakan bahawa sebenarnya kita ini masih terlalu kerdil iman, sedikit amal dan gersang dengan taqwa. Masih terlalu banyak bekalan hidup yang perlu kita kampoi sebelum kita nanti disembahyangkan di hadapan imam.

Dan yang lebih besar ialah tanggungjawap kita untuk menyebarkan Islam kepada mereka yang belum Islam  masih tergalas. Aku pasti sebahagian besar dari kita masih belum berani mengajak mreka kepada agama kita ini.

Muga-muga kita diberi kekuatan dan kesempatan untuk itu oleh Allah disamping sempat memperlengkapkan diri kita dengan amal ibadah. Dan berpeluang mengIslam setidaknya seorang di sepanjang kehidupan kita sebelum waktu itu tiba, ameen...!

Ahad, 29 Julai 2012

Ukhuwah

Walaupun dalam keadaan masih sakit pinggang, aku gagahi juga untuk pergi ke Tadika Amal Rintis (TAR) - tempat ibu_suri bertugas sebagai guru yang tak jauh dari rumah.

IKRAM Seberang Perai Tengah dengan kerja sama Islamic Relief membuat majlis iftar dan sumbangan untuk golongan yang memerlukan. Sebelum itu IKRAM membuat majlis yang sama di Taman Pelangi dan akan membuat majlis yang sama di lokasi-lokasi berlainan.

Aku seperti biasa, menyediakan alat siaraya, menyusun bangku dan mengemas meja. Itu ajelah yang aku tahu pun.

Tapi tak sangka pula dalam senarai 5 nama penerima itu termasuk juga nama ibu_suri. Sumbangan diberi atas kapasiti bekas guru TAR dan aktivis JIM yang kini tidak lagi dapat meneruskan tugas kerana uzur.

sumber

Sumbangan itu mungkin tak seberapa dari sudut material akan tetapi di sudut ukhuwah persahabatan dan persaudaraan, nikmatnya begitu besar dan susah hendak di gambarkan.

Aku rasa terharu namun yang lebih terharu adalah ibu_suri. Apabila aku balik dan memberitahunya hal itu, bukan main berseri-seri wajahnya. Beria-ia dia meminta aku menyampaikan salam dan terima kasih pada rakan-rakannya di tadika dan rakan JIM (yang kini bertukar kepada IKRAM).

Sabtu, 28 Julai 2012

Baru Tahu



"Jenama Samsung ni sebenarnya tak bagus sangat. Kurang sejuk dan alatgantinya mahal. Lain kali beli jenama York atau Acson." Jelas En Azmi sambil tangannya sibuk menanggalkan penghawadingin dari dinding.

"Saya beli melalui skim dari Court Mamoth. Masa tu isteri saya desak minta belikan aircond sedangkan saya tak cukup modal. Jadi, saya pilih harga yang termampu saja." terangku.

Setelah selesai servis, aku ubah susunatur katil, almari dan kabinet baju. Aku bentang tikar getah baru menggantikan permaidani yang pada pandangan aku tidak bagus kerana mengumpul habuk.
 
Bila dah siap, nampak sangat kegembiraan ibu_suri tatkala melihat bilik tidurnya berubah wajah dan suhu kembali sejuk. Sebelum ini dia kurang setuju dengan cadangan aku untuk membuat sedikit perubahan dalam bilik tapi aku berkeras kerana berpendapat bahawa dengan sedikit ubahsuai dalam bilik akan memberikan impak besar kepada mood sekaligus akan memotivasikan ibu-suri.

Tapi..hurm..sekarang ini baru aku tahu bagaimana rasnya sakit pinggang yang mak dan abah aku dulu pernah mengadu.

Jumaat, 27 Julai 2012

Hameediyah

Untuk sahur biasanya aku beli lauk siap-siap dari kedai. Tapi nak cari masakan Melayu yang masih fresh malam-malam begini agak susah nak jumpa. Jadinya, pilihan terakhir ialah membeli di restoran nasi kandar hingga terbit rasa jemu. Asyik-asyik kari...kari...

Semalam, ronda punya ronda, tup-tup ternampak Restoran Nasi Kandar Hameediyah bersebelahan SR Tok Kandu, Permatang Janggus. Baru buka agaknya. Cawangan Restoran Hameediyah yang terkenal di Tanjung.  Kalau tak silap tapak ini dulu adalah kedai makan yang popular dengan lauk kari itik.

sumber

Aku teringat masa aku masih bertunang dengan ibu_suri dulu. Kami dating  di Restoran Hameediyah kat Campbell Street, Tanjung. 

Kami pilih makan di tingkat 2. Mamak datang ambil pesanan. Bila dah siap di tulis, dia letak dalam raga dan raga itu diturunkan guna tali ke tingkat bawah. Bila dah siap, mamak kat bawah tu letak makanan dalam raga dan mamak kat tingkat 2 tarik ke atas dan hidangkan ke meja kami. Sempoi...

Sayangnya, ibu-suri datang dengan mak dia. Jadinya, aku makan pun rasa mengkelan!

Selasa, 24 Julai 2012

Gheba



Tak tahu nak catat apa untuk hari ini. Cuma yang dapat aku rasai ialah aku semakin letih dalam rutin harian menjaga ibu_suri.

Aku luahkan isihati ini kepada rakanku yang bertugas sebagai jururawat di klinik tempat kerja. Nasihatnya seperti nasihat orang lain juga... sabarlah, insyaAllah ada hikmahnya di sisi Tuhan.

Aku pun selalu berdoa begitu. Aku tidak mahu menjadi sebahagian dari golongan mereka yang tidak mahu bersyukur.

Seorang rakan secara berseloroh menyakat aku; cari sorang lagi la. kat sini ramai yang masih kosong.

Ye la tuh.... Gheba semua ni....

Ahad, 22 Julai 2012

Hidup

Apalah aku ni. Asyik-asyik tukar templat blog saja. Tengok orang lain punya paparan nampak elok sikit je, aku nak tiru sama.

Tapi tak mengapakan kalau meniru yang baik-baik. Itu menunjukkan bahawa blog kita ini hidup. Ada perkembangan kearah yang positif. Kalau blog sesaorang itu agak stereotaip saja, itu macam ada yang tak kena.

Hidup ini juga begitu. Kena selalu ada ubahsuai, tolak bahagi di sana sini. Barulah meriah.

Semalam aku ke Carrefour, Seberang Jaya. Dah lama tak ke sini. Mulanya ke toko buku Hasani. Konon nak cari cakerapadat lagu-lagu raya. Tak ada jual pulak. Asyik-asyik stok cakerapadat yang sama macam bulan-bulan lalu. Bacaan Quran yang terbaru pun tak ada.

Aku naik ke atas. Harap-harap dalam Carrefour ada dijual cakera padat lagu raya yang menarik. Jenuh juga mencari rak jualan cakerapadat. Dah berubah layout rak. Intai juga  cakerapadat Ebiet G Ade, penyanyi lagu-lagu puisi dan kemanusiaan kegemaranku. Ada tapi kebanyakannya lagu-lagu yang aku dah miliki.

kredit
Alih-alih ternampak buku ini bersusun-susun di meja. Aku ambil satu dan curi-curi baca. Satu waktu dulu aku memang suka membaca buku biografi orang-orang yang ternama. Aku pernah membaca buku tentang Tun Daim, Tan Sri P Ramlee, Wali 9, Imam Hasan Al Banna dan Tok Guru Nik Aziz. Membaca kisah hidup mereka ini memerlukan kekuatan fikiran dan kesabaran.

Sabtu, 21 Julai 2012

Kesian

Balik dari kerja tadi, aku singgah di Bazaar Ramadhan, Kubang Semang untuk beli ayam. Kali ini saiz ayam kecil-kecil sahaja. Aku ambil yang sudah siap potong. Sepinggan RM5.


Aku bagitahu Angah supaya balik kerja nanti pergi beli perkakasan untuk masak ayam berkicap dengan Ayu. Beria-ia sangat ibu_suri nak makan bila sahur nanti.

"Alamak... ayah. Nanti Angah talipon master chef Along. Tanya macammana cara nak masak..!|"

"Pulak...!"

Dalam hatiku berbisik;

'Kesian Ayu. Sejak dia jadi menantu aku, dia selalu kena memasak untuk kami. Kalau di rumah dia sendiri, tentu mak dia yang memasakkan untuknya.'

Sebab itu walau apapun yang dia masak untuk kami, aku selalu mengatakannya....sedap. Sememang pun, aku tak cerewet sangat pasal makan!

Malam Ramadhan Pertama

Seperti dijangka, jambatan Pulau Pinang sesak semalam. Mungkin rata-rata umat Islam mahu balik awal dengan niat yang sama seperti aku - berTerawih di masjid.

Sesampai di rumah aku terus mendekati ibu_suri;

"Sorry, tak sempat beli makanan. Abang masak maggie goreng aje la, ok?"

Angguk sambil mengorak senyum keanak-anakannya itu. Capai saja kuali dan rendam Maggie Tom Yam kegemaran kami berdua sejak akhir-akhir ini. Angah asyik menghadap laman Mudah.com di depan komputer.

"Angah, cepat angkat Akhmal jatuh motor," tiba-tiba anak buah aku tergesa-gesa datang.

Kaca cermin sisi motor berkecai di depan rumah. Akhmal sedang meraung memegang kakinya yang berbalut. 

"Tu lah... puas dah ayah pesan. Jangan naik motor. Kaki tu baru nak baik."

Aku ambil kunci Kancil. Ingatan aku terus saja ke hospital Seberang Jaya. Jiran-jiran sudah mula ramai datang. Anak saudara aku ni kalau dalam keadaan kelam kabut begini, mulut dia memang riuh.

"Angah jaga ibu di rumah. Ayah dengan Zam saja bawa Akhmal."

Sesampai di hospital, Akhmal terus di bawa ke bilik x-ray. Hampir terlupa aku yang sebenarnya perut aku juga lapar sejak dari jambatan Pulau Pinang lagi. Dan maggie yang aku goreng itu juga sebenarnya untuk aku makan sebelum bercadang ke masjid.

Sambil menunggu giliran x-ray, sayup-sayup terdengar imam membaca Fatihah dan di aminkan oleh makmum yang bergema suara harmoni mereka. Nampaknya, Terawih malam ini hanya sendirian dibilikku!

 
sakit dah kurang setelah disuntik sejarum oleh doktor

Jumaat, 20 Julai 2012

Masak Sendiri

Sejak motor dia dah diperbaiki, hampir setiap malam Akhmal balik jauh malam. Dengan kaki bersimen dan bertongkat itu, entah kemanalah dia melilau.

Aku memang bimbang. Bila kerap balik jauh malam begini berbagai perkara tidak elok boleh berlaku.

Dan rupanya, beberapa hari ini juga jiran-jiran mula bercakap tentang Akhmal. Rupanya 2 buah  rumah jiranku ada kesan-kesan pecah masuk. Cumanya ia gagal.

Dan seperti sebelum ini, nama Akhmal meniti dari bibir ke bibir mereka.

Aku dah letih dan tak kuasa lagi memberatkan otak untuk memikirkan perkara ini. Aku pasrah saja. Jika benar apa yang mereka persangkakan, lapur saja pada polis. Biar polis yang uruskan. Atau jika tidak benar sangkaan mereka itu, aku harap kebenaran muncul di hadapan mereka.

Aku lebih mahu fokus pada Ramadhan yang akan datang Sabtu ini. Asyik-asyik ibu_suri bertanya macammana dengan sahur dan berbuka puasa nanti. Aku hanya jawap, kita beli saja di Bazaar Ramadhan ala kadar. Dan sahur juga ala kadar.

"I mau kita masak sendiri." 

Entahlah... Aku dah malas potong bawang, pesiang ikan dan perah santan. Aku nak santai-santai jer...

kredit

Khamis, 19 Julai 2012

Anak Sungai Lagikan Berubah!

Along mula bekerja hari ini. Ntah apa nama tempat kerjanya, lupa pulak aku. Memang gitu aku ni. Kalau tidak mustahak, aku tak ambil berat untuk ingat akan sesuatu itu. Usahkan nama tempat kerja Along, kekadang lorong masuk ke rumah aku dari jalan besar pun boleh tersilap.

Masa aku mula kerja di Hitachi ( sekarang Renesas ) gaji cuma RM400 ++. Masa itu kerja cari orang. Tak macam sekarang, orang cari kerja. Aku menyewa rumah 2 tingkat bersama kawan-kawan di Solok Mahsuri 5, Bayan Baru. Tak lama duduk di rumah itu. Tak tahan sebab budaya kawan-kawan situ tak selari dengan naluri aku. Mereka selalu berparti dan bawa perempuan hingga ke dalam bilik. Aku akhirnya pindah.

Namun pepatah orang tua-tua memang benar - anak sungai lagi kan berubah. Inikan pula hati manusia.

Salah seorang dari kawan aku yang memang kaki perempuan di rumah sewa itu bebaru ini aku jumpa sudah menjadi Yang Di Pertua PAS di salah satu daerah di sekitar Kulim. Secara kebetulan aku pergi ke program ceramah di sana, aku ternampak pada skrin besar di hadapanku wajah dia sedang memberi ucapan alu-aluan.

Terkesima aku dibuatnya. Dia sudah jauh berhijrah. Tapi aku masih seperti aku yang dulu juga!

IKM - tempat aku studi tahun '80 ~ '82

Rabu, 18 Julai 2012

Ya Ramadhan!

Hari ini adalah usrah yang terakhir sebelum datang Ramadhan. 

"Ana harap sepanjang Ramadhan nanti kita semua akan berebut-rebut untuk membuat amal samada Terawih, Quran, Qiamullail dan bersedekah." pesan naqibku - Isa.

"Ana dah peruntukkan setiap hari akan bersedekah sejumlah wang. Biarpun sedikit tak mengapa. Yang penting ialah keikhlasan dan kesungguhan kita itu beramal." 

Aku dah mula membayangkan kepada ibu_suri bahawa Ramadhan kali ini aku mahu berTerawih di masjid. Tidak seperti beberapa tahun sebelum ini hanya berTerawih di rumah demi kerana tidak berani meninggalkannya sendirian di rumah.

Ramadhan kali ini juga aku membayangkan akan lebih sibuk kerana akan ada bersamaku berbuka dan bersahur adalah menantu dan cucu.

Juga Hari Raya kelak aku perlu utamakan berhari raya di rumah sini berbanding sebelum ini yang selalunya beraya di kampung.

Terasa benar bezanya menjadi bapa kepada anak yang masih kecil berbanding menjadi bapa kepada anak-anak yang sudah dewasa. Masih banyak yang perludijaga dan dikorbankan.


sekadar tazkirah

Selasa, 17 Julai 2012

Naik Lagi


Bila terasa susah untuk bangun dari sujud atau bertinggung aku tahu itu pertanda berat badan kembali naik. Pagi tadi aku sengaja timbang badanku. Yup...tak salah lagi.

Sejak selalu bawa ibu_suri siar-siar hingga larut malam dan di sana ada agenda makan minum; berat badan aku  menjadi tak keruan. Aku selalu merungut hal ini kepada ibu_suri. Tau apa katanya?

I tak suruh you makan. I selalu suruh you larang I makan tapi you biaq I makan jugak!”

Gedebusyy….. aku malas nak cakap lagi.

Tetapi kekadang terfikir juga;  kenapa mudah sangat menyalahkan orang lain apabila kita berhadapan dengan sesuatu permasaalahan?  Tidak kita lihat kelemahan diri kita sendiri lebih dulu yang mudah kalah dengan godaan. Hingga akhirnya kita hanyut dan lemas bersama keadaan sekeliling?

Biarlah ibu_suri yang makan kalau dilarang pun dia masih membentak mahu juga. Aku tengok sahaja sudahlah.

Ini tidak, aku juga sama tumbas menyuap ke mulut sendiri. Habih…?

Sabtu, 14 Julai 2012

Macam Abah Aku Juga

Foto 90an: ibu_suri cuba membungkus teh di kilang Teh Boh,
Cameron Highlands.

Aku tahu, semalam, semalaman dia tak dapat picing mata. Katanya, dia asyik tengok aku sahaja yang sedang sedap berdengkur. Dia usik pipi aku, geletek aku, aku tetap lena.

Aku tersedar bila azan sayup-sayup dari menara masjid. Terasa nak buang air, aku ke pancuran.

"Abang, kita sembahyang sama-sama, boleh?" Aku angguk.

"Ye..ye..." sambil bertepuk tangan. Aku sengeh aje. Masih ngantuk.

Selesai bagi salam dia menyambut tangan aku lalu menciumnya.

"Seronok dapat sembahyang dengan abang." ceria wajahnya.

"Sat lagi kita pi ronda, ok?"

"Laaa..... tidur dulu lah." sambil aku bomm.... Maklumlah, semalam lewat tidur.

"I tak mahu tidur lagi. Nak tunggu Marissa sat lagi."

Begitu sayang ibu_suri dengan cucunya ini. Kalau tak dapat lihat sehari, akulah yang akan jadi tempat dia merengek.

Pernah di satu malam;

"Abang, sat lagi lalu di Masjid Kubang Semang tu, you singgah sat ok. I nak solat dulu. Sat lagi boleh terus main dengan Marissa."

Kekadang aku dimarahinya bila lansung buat tak kisah pada Marissa sebaliknya terus masuk bilik dan tidur.

Sebenarnya, malah dengan anak menakan yang lain juga, aku hanya suka bermain bila mereka sudah boleh berjalan dan diajak berbual. Ketika tulang masih lembut begini aku cuma acah sesekali aje. 

Perangai aku ini tak ubah macam abah aku juga. Hanya suka pada budak-budak besar je!

Jumaat, 13 Julai 2012

Kenangan Bersama Sahabat


kiri: blogger Jendela Hatiku, berkemeja putih: blogger Warna Nostalgia. Aku - di sebelah kanan Dr Danial.

Sejak sibuk menghantar Akhmal ke klinik untuk proses cuci luka di kakinya itu, dah lama aku tidak pergi ke Tasik Mengkuang. Tapi sejak minggu lepas dan hari ini aku kembali semula ke sana. Walaupun dah 8.30 pagi; matahari pun dah mula tinggi, aku pergi juga dengan azam demi menjaga kesihatan.

Aku teringat satu artikel yang aku baca beberapa minggu lalu. Antaranya ialah sunnah menjaga kesihatan yakni;

1. Bangun sebelum Subuh
2. Tekun menjaga kesihatan
3. Jangan makan berlebihan
4. Banyakkan berjalan kaki

Seorang kawan lamaku menalipon semalam. Katanya, sekarang ini dia agak uzur. Lebih banyak duduk sahaja. Kawanku ini dulu seorang body builder.

Sambil berjalan dan sesekali berjogging itu fikiran aku melayang mengingatkan kenangan lama bersama beliau dan blogger Jendela Hatiku  menjalankan tugas menyediakan prasarana kuliah Dr Danial di surau Tapian Gelanggang Batu Uban, Gelugor, Pulau Pinang setiap hari Ahad jam 3 petang. Bertahun-tahun juga kami menjalankan tugas bersama tanpa ada imbuhan apa-apa pun.

Akan tetapi apabila ibu_suri di serang angin ahmar, aku pun mengundurkan diri dari memikul tugasan itu. Namun Dr Danial atau lebih mesra kami panggil DD masih terus istiqamah memberi kuliah. Aku kagum dengan kesungguhan beliau yang juga seperti kami - tanpa mengharapkan apa-apa imbuhan sebaliknya - lillahi Ta'ala!

Khamis, 12 Julai 2012

Teman Hidup Yang Aku Ada

Tak lama lagi nak menyambut bulan Ramadhan. Cepat sangat masa berlalu. Terasa seperti baru sangat aku sibuk-sibuk dengan buka puasa serta sahur. 

Melihat keadaan rumah yang berselerak lebih menambah semak dalam kepala. Hampir kesemua ini aku kena fikir sendirian. Ada anak pun tidak banyak membantu. Maklumlah, lelaki semuanya. Mereka dengan hal mereka. Menantu pun seperti masih takut-takut hendak mengemas rumah secara berlebihan walaupun sebenarnya hampir 2 tahun bersama. Aku faham itu kerana aku juga pernah mengalami perasaan yang sama.

Sedar tidak sedar rupanya sudah 5 tahun aku menjaga ibu_suri yang mengalami sindrom mood dis-order ini sejak puasa 2007. Huu.... Boleh tahan juga sabar dan setianya aku ini, ya! Kalau bukan calang-calang orang dah lama ca..alif...but!

terbaik atau tidak, dialah sahaja teman hidup yang aku ada

Tak dapat aku nafikan sesekali aku terrasa bangga dengan kekuatan dalaman yang aku ada hingga mampu bertahan dalam menjaga keutuhan keluarga. Bukan sedikit cabaran dan dugaan yang terpaksa aku rengkuh dalam mempertahan rumah tanggaku ini. Bukan sedikit...

Aku harap, apa yang telah aku perbuat dan lalui selama ini akan dijadikan pelajaran oleh anak-anakku. Dan sebahagian dari pengalaman ini ada aku catatkan ke dalam blog ini. Aku harap pula ianya bukan sekadar dibaca untuk suka-suka akan tetapi dapat pula mengesankan hati pembaca sekaligus menjadi panduan pula ke dalam hidup mereka.

Kehidupan ini mesti ditempuh samada mahu atau tidak mahu. Maka tempuhilah dengan penuh kekuatan jiwa yang positif. Kita adalah yang manusia  beragama. Tentunya pergantungan kita utuh hanya kepada Dia semata!

Best Jadi Penghulu

2 minggu lepas aku ada cerita pasal hendak pergi mukhayyam? Errrr... kat sini.

Hmmm... nak tahu? Di sana, aku dipilih menjadi mas'ul kumpulan. Kumpulan aku bernama Citra berdasarkan jenama kereta yang dinaiki. Bersama aku ada 3 lagi sahabat yang rata-ratanya muda 20an dari aku. Seorang darinya Cina Muslim.

Hari pertama kami bermalam di rumah sahabat di sana. Aku dilantik pula sebagai ketua keseluruhan peserta diberi gelaran Penghulu. Aku bertanggungjawap terhadap perlaksanaan atas sebarang arahan dari Kem Komandan.

Menjelang malam, kami terpaksa memasak sendiri. Pucuk paku yang dikutip dari tepi sungai berdekatan dijadikan ulam untuk dicecah bersama durian yang dikupas menjadi tempoyak campur sambal cabai burung.

Sambal

"Eh, mana boleh potong pucuk paku guna pisau."

"Kenapa?"

"Pantang. Nanti tersangkut kat tekak. Kena patahkan dengan jari je...!"

Nampak sangat mereka ni tak biasa dengan sayur kampung. Kemudian;

"Bukan tadi Kem Komandan kata pucuk paku tadi tu untuk celur aje."

"Ye lahh..."

Sambil melihat ke arah pucuk paku yang direndam ke dalam periuk dengan api gas stove yang besar.

"Ni bukan celur. Ni rebus namanya."

"Macam mana kalau nak celur?"

"Celur tu biasanya kita masak air hingga mengelegak. Kemudian ambil pucuk paku dan celup sekejap. Kalau masak air bersekali dengan pucuk paku macam ni, dah kira rebus namanya. Tak ummphhh... nak makan dengan tempoyak nanti."

makan bersama dalam talam

Best juga jadi Penghulu ni. Bukan apanya. Aku cuma perlu pantau saja. Kerja kasar semuanya dilakukan oleh  golongan muda yang begitu ringan tulang. 

Mereka pula begitu hormat terhadap aku sekaligus membuatkan aku juga menghormati dan senang dengan mereka walaupun ada di antara mereka sebenarnya bertaraf ustaz.

aku - berdiri 4 dari kiri ... lelaki retro!



Selasa, 10 Julai 2012

Sambil Minum Penang White Coffe

Hari ini, Selasa. Sepatutnya aku ada usrah. Tapi barangkali naqib aku sibuk;  usrah ditangguhkan.

Namun aku keluar juga seperti selalu. Beria-ia ibu_suri pesan supaya aku balik awal. Boring duduk di rumah, katanya. Dia mahu jalan-jalan seperti selalu walaupun dia tahu aku balik sat lagi pun tentunya dah pukul  12.

"No problem!" jawapku sambil mencubit pipi cucuku yang dah pandai meniarap. Samada letih atau sudah jauh malam, jika ibu-suri mahu dibawa berjalan-jalan, aku mesti tunaikan.  Demi menjaga emosi ibu_suri agar selalu stabil kepentingan diri dikesampingkan.

Adakah aku berbohong kepada ibu_suri malam ini kerana walaupun tiada usrah tapi aku masih juga keluar rumah? Errrrr..... terpulang pada tafsiran masing-masing. Agak-agak kalau aku katakan aku ini 'bohong sunat', boleh ke? Aku bukannya pergi tempat atau buat perkara yang tak elok.

Aku bawa notebook milik Along bersama broadband. Aku singgah di Restoran Makbul, Seberang Jaya; antara lokasi yang aku gemar lepak untuk merehatkan minda. Sebenarnya seharian ini mood aku agak lembab. Di ofis pun aku kurang aktif membuat kerja. Otak seperti dah tepu.

kredit  sini
  
Sambil minum Penang White Coffee kegemaranku bila ke sini, aku bermain dengan notebook sambil update lagu-lagu dalam pendrive keretaku.

Harap aku tidak lupa bila balik aku kena beli beras yang sudah kehabisan stok, teh tarik Old Town kegemaran ibu_suri mutakhir ini dan kacang Tong Garden sebagai bekalan dalam kereta bila mengantuk tatkala memandu.

Teringat selepas solat Asar ditempat kerja tadi, ada majlis Ta'alim oleh sahabat Tablighku. Antara peringatan yang diberi ialah tentang makna IHSAN;

Bila kita berbuat ibadah anggaplah seolah-olah kita sedang melihat Allah. Jika tidak mampu begitu, cukup sekadar kita merasakan seperti Allah melihat kita.

Renung-renungkan lah!

Isnin, 9 Julai 2012

Perjalanan Ini Teramat Panjang

Allah,

pautan


















Hadirkanlah kesabaran dan kelembutan
dalam menjaga kebajikan isteriku.

Berikanlah aku kekuatan jiwa dan mental
dalam mengurus tumbesaran anak-anakku.

Kurniakan kemahuan dan istiqamah
dalam usahaku menyempurnakan tanggungjawapku terhadapMu.

Adakan ruang dan peluang
untuk aku menyelit diri bersama jamaah IKRAM
menyumbang keringat membina masyarakat
kerjaya kebajikan yang aku minat.

Berilah aku ketenangan, lapang dada dan fikir yang positif
dalam mendepani segala dugaan yang datang
silih berganti seperti tidak mahu habis dan tidak akan habis.

Selagi jarum jam itu bergerak
selagi matahari itu terbit dan tenggelam
selagi angin mengalir dari kiri ke kanan
dan hujan turun dari langit ke bumi
Dugaan tetap jua datangnya.

Perjalanan ini rupanya teramat panjang dan perit
mahu tidak mahu aku kena bangkit dan terus menyusur takdir!

Ahad, 8 Julai 2012

Sejukkah Hati Tuhan?



Tatkala menguak daun pintu surau lokasi kerjaku; aku terpandang 2 anak muda ini sedang khusyuk menunaikan solat sunat Dhuha. Hatiku terasa sejuk memandangnya.

Namun dimanakah pula anak-anak mudaku sekarang ini?  Adakah apa yang sedang mereka lakukan sekarang ini menyejukkan hati Tuhan yang sedang memerhatikan?