Halaman

Khamis, 29 November 2012

Episod Keroppi


Di perjalanan balik dari kerja tadi, aku ternampak sebuah MyVi berwarna putih. Di tingkapnya tergantung sebuah patung Keroppi. Ingatan aku segera menghimbau fasa ibu_suri sakit 3 tahun lalu. 

Fasa pertama adalah sebaik keluar dari Bukit Mertajam Specialist Centre. Dia mengalami kemurungan. Tidak mahu bercampur dengan orang lain. Pintu dan tingkap selalu ditutup. Kasut di bawa masuk ke dalam rumah supaya orang menyangka dia tiada. Kemana pun dia tidak mahu pergi hatta ziarah mak yang sakit sekalipun.

Fasa ke dua ialah obses dengan karektor Keroppi. Tak pernah terlintas di fikiranku pun sebelum ini. Kemana saja kami pergi pasti dia akan mencari objek katak hijau. Mesti beli tak kira berapa harganya. Apa yang tak ada di rumah masa itu. Berpluh-puluh jenis sedari patung kecil, tuala, selimut, selipar, jam meja, sarung kotak tisu malah pintu gelansar rumah aku pun penuh dengan pelekat karektor katak hijau dan kekal hingga hari ini.

Di masa itu, kancil aku usah katalah... penuh dengan patung katak bergantungan. Aku menebal muka bila memandu di jalan raya.Yang memerhati - ada yang senyum sinis dan ada yang berwajah memahami.

Justeru itu, janganlah mencebik mulut bila melihat seekor atak hijau mengucap 'Hi!' di setiap kali membuka blog aku. Itu adalah kenangan aku sebenarnya. Kekadang bila menonton rancangan tv - OBES, aku senyum pahit sendirian terkenang episod masa lampau.

Punyalah merenyut katak-katak bergantungan di keliling tingkap pada katak hijau masa itu hingga mendapat liputan entri istimewa dari blogger BEARCAT di sini!

Rabu, 28 November 2012

Harga Sebuah Hadiah

Dia sedar itu dan pernah meminta aku untuk mengajarnya membaca Al Quran. Serba salah juga aku dibuatnya. Aku pun bukan pandai sangat. 

Kata orang, kalau kita ingin memberi kerana Allah, berilah dari sesuatu yang kita sayang.

Rutin aturcara di dalam usrah, selepas tazkirah oleh naqib selalunya kami akan membaca tiap seorang 5 potong ayat. Ada yang tergagap, ada yang lancar.

Di antara kami ada seorang sahabat yang sejarah hidupnya selalu berpindah randah hingga membuatkan dia tidak berpeluang belajar membaca Al Quran. Makanya, bila gilirannya membaca biasanya dimaafkan.

Setelah tamat usrahku semalam, aku menghampirinya lalu bertanya;

"Enta ada Quran terjemahan?"

"Tak ada. Quran yang biasa tu adalah kat rumah."

"Ni, saya hadiahkan pada enta. Kalau pun tak dapat baca ayat Quran, enta masih boleh baca terjemahannya."

Ceria wajahnya seperti tidak percaya. Aku pun tumpang rasa puas walaupun sebenarnya aku amat sayang pada Quran itu yang aku beli dari Hasani Book Store dengan harga RM85; harga paling mahal pernah aku beli bagi sebuah buku apatah lagi Al Quran.

Berbanding dia yang kurang harta tapi kaya budi dan rendah diri, aku masih boleh membeli yang baru. Paling tidak bila dapat bonus nanti!

Selasa, 27 November 2012

Solat 7 waktu

Semasa usrah di rumah naqibku kat Taman Sutera, Seberang Jaya tadi, dia menunjukkan sebuah buku yang dibelinya ketika berjaulah di Riau. Tajuknya ialah Rahsia 7 Waktu Solat karya Ahda Bina A. Memang menarik kupasan penulis tentang rahsia solat 7 waktu. Kalian tahu apa solat-solat itu?

Beliau juga menerangkan kelebihan solat Subuh dan Isya'. Aku salin petikan dari laman sesawang ini buat panduan bersama:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda;

'Sekiranya mereka mengetahui tantang kelebihan sembahyang Isya' dan Subuh, nescaya mereka akan menunaikan kedua-duanya (secara berjamaah), walaupun terpaksa datang secara merangkak.' HR: Bukhari dan Muslim.

Aku memberi respon dalam mengupas tajuk itu. Aku petik artikel dari dalam akhbar tabloid yang menyatakan bahawa jika kita melihat jamaah solat Subuh sama ramainya dengan solat Jumaat, maka itu pertanda Islam akan menang.

Tapi terus terang aku katakan; aku sendiri masih berat untuk semua itu. Hinggakan ibu_suri menempelak aku yang baring keletihan di katil sebelum ke usrah tadi;

"Hai.. kata nak sembahyang kat masjid tadi!"

Isnin, 26 November 2012

Koay Teow Kerang

Gerai Koay Teow Kerang yang terletak di simpang 3 antara Jalan Permatang Rawa ke Bangunan AEON/JUSCO adalah antara lokasi yang kami suka singgah. Makan di tempat terbuka seperti itu sesekali mendamaikan juga.

Walaupun malam-malam begini tak elok makan berat tetapi untuk memenuhi mahu seorang isteri yang bersindrom seperti ibu_suri kekadang aku terpaksa pasrah. Lebih baik dari dia tak tahu apa yang hendak dimakan dimana akhirnya aku terpaksa menghabiskan masa dengan pusing sana sini mencari gerai yang dia bersetuju.

Teringat pesan Nabi riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah;

'Engkau beri makan isterimu bila engkau makan dan engkau beri pakaian bila engkau berpakaian. Jangan engkau pukul wajah dan jangan engkau jelekkan dan jangan engkau boikot kecuali di dalam rumah.'

Justeru itu aku tetap sabar, cuba memahami dan menerima seadanya dia. Aku tahu bukan sengaja dia mahu jadi begini. Ini adalah ketentuan Allah. Dan sewajar aku dan dia bersyukur kerana dia masih boleh makan dan minum tanpa perlu disuapi.

Dan rasanya, sejak aku berkahwin hingga hari ini, tidak pernah aku menjentiknya walau sekali. Apatah lagi menjeleknya di depan ramai orang. Sememangnya aku pun tak reti begitu!

Ahad, 25 November 2012

Komunikasi

Agaknya tersingguhlah Angah. Jumaat lepas aku sms mengajak untuk pergi ziarah Akhmal hari ini. Tapi bila semalam ibu_suri merengek sakan hendak pergi juga sebab amat rindu, aku pun pergi juga tanpa beritahu Angah. Tup! tup! Pagi ini Angah dan Ayu ambil cuti. Kononnya nak pergi bersama aku tengok Akhmal. Tersandar dia di dinding bila sebaliknya dia melihat kami pula bersiap untuk ke majlis kenduri kahwin.

"Ayah janji macam mana?"

"Hang tak balas sms ayah. Jadi ayah assume hang tak nak pergi la."

"Angah call ayah. Ayah tak jawap pun!"

Aku terdiam. Diam kerana tak mahu pecah lubang bahawa talipon aku  dah takada di tangan. Tak pasti samada tertinggal di laci meja ofis;  di surau atau dah terjatuh. Tak mahu itu kerana dah naik segan. Asyik-asyik tertinggal di tandas, rosak atau paling sadis... Akhmal ambil dengan selamba dan jual pada kawannya!

Masuk kali ini ntah 10 atau 20 talipon dah aku beli. Sebut aja jenis apa. Dari 3310, arcatel, motorolla atau jenis flip maupun slaid.. Lantaran itulah aku ni tak boleh miliki talipon mahal. Harga bawah RM300 selalunya!

Kalau sebab aku tak beritahu dia akan pertukaran perancangan ziarah Akhmal dia nak marah, aku terima ajelah. Nak buat camna. Silapnya ialah komunikasi. Bukan sesaja tak mahu bagitau.

Dan jika sebab aku tak beritahu dia lebih awal hingga bazir cutinya hari ini, aku boleh kata apa. Cuti aku pun sebelum ini banyak dihabiskan untuk dia, tidak aku bersungut pun!

Sabtu, 24 November 2012

Fikir Kemudian

Aku ziarah Akhmal di Penjara Sungai Petani tadi. Khabar dia, baik-baik saja. Aku minta dia tunjukkan kakinya yang masih belum sembuh sepenuhnya sejak kemalangan dulu. Kulit jarinya sudah nampak kemerahan. Nampak ok. Cuma sesekali rasa sengal itu biasalah bagi sesiapa pun yang pernah cedera di tulang.

"Kata ibu, ada polis datang minggu lepas bertanya kenapa kamu tak datang lapor diri di balai. Kamu ada kes apa pula sebelum ni?"

Berbalam juga otak aku ni mengenang kekerapan dia keluar masuk balai.

"Agaknya kes urin dulu tu? Kan tarikh Akmal kena naik mahkamah masa tu Akhmal baru je accident?" Gitu pulak....

"Aduhh... Jangan-jangan lepas keluar dari sini nanti Akhmal kena masuk balik, apa?" Getusnya.

Bertubi-tubi ibu_suri menyoal aku kes apa pula itu. Kekadang memang ibu_suri susah nak faham bila ada berita yang berbelit sikit. Justeru itu aku selalu pesan pada sesiapa pun; jika ada sebarang berita kurang enak jangan terus beritahu ibu_suri. Biar aku tapis dulu. Bukan mau sorok tapi kelak yang letihnya aku yang terpaksa menerangkan.

"Akhmal suruh jual motor dia dan duit itu simpan untuk bayar wang jaminan kalaulah dia ditangkap semula nanti" beritahu ibu_suri. Aku membatu saja. Bab itu aku fikir kemudianlah. 

Jumaat, 23 November 2012

Al Zalzalah

Hampir seluruh masjid telah di arah meletakkan Palestin sebagai tajuk utama khutbah Jumaat. Ada juga yang menyusuli dengan bacaan Qunut Nazilah semasa dirakaat kedua solat Jumaat.

Aku berjamaah di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bayan Baru hari ini. Khatib membacakan surah Al Zalzalah di permulaan khutbah. Surah ini mengingatkan aku semasa mula-mula berjinak dengan kumpulan nasyid Al Muhajjir. Aku yang mendeklamasikan sajak itu semasa membuat persembahan di Tapian Gelanggang Batu Uban sebelum kuliah Dr Danial bermula; Ahad jam 3 petang.

Jika diamati surah itu menceritakan bagaimana seluruh isi bumi akan dikeluarkan dan apa yang ada di atas bumi akan berterbangan seperti kapas di udara bila saja kiamat datang. Bagi yang merenung tentu terasa amat gerun jika bila berada di dalam suasana itu.

Sebenarnya kalau kita analisa pun, usah kata kiamat. Esok lusa, kalau kita ditakdirkan mati pun, siksaan kubur yang menanti lebih dasyat daripada yang kita pernah alami di dunia.

Abah aku menemui Ilahi pada 2008. Baru-baru ini kawan aku juga pergi meninggalkan anak dan isteri buat selamanya. Bukan mustahil selepas itu giliran aku sedangkan persiapan untuk menemui Tuhan masih 0.00000 peratus.

Sempatkah aku menebus segala dosa lalu kita dalam masa yang pendek ini?

Khamis, 22 November 2012

Pak Din


Kesinambungan dari catatan aku di sini, tika aku sedang asyik mencicah carikan roti canai ke dalam kuah dan kemudian ke dalam mulut, ibu_suri menegur sesaorang. Bila aku kaleh ke belakang, rupanya Pak Din.

Seperti biasa, Pak Din yang berseluar pendek, singlet dan memakai topi BN, tersengih lalu duduk di sebelah aku. 

"Tak jogging hari ni?" tanya ibu_suri.

"Sat lagi." sambil Pak Din menggamit ke arah mamak mengisyarat pesanan Nescafe O.

"Eh, hujan renyai ni pun jogging juga. Tahan badan ya!" soalku.

"Ahh.. dah biasa." jawap Pak Din bernada bangga. Bangga seorang tua; macam bangga abahku bercerita tentang kejayaan anak-anaknya pada kawan-kawan.

Pak Din memang sering ke Restoran Nasi Kandar Popular ni. Boleh kata macam rumah ke 2 agaknya. Pak Din walaupun sudah berumur 72 tahun tapi tampak masih sihat dan power.

"Baru ni Penang Bridge Marathon, tak join ke?"

"Tak pi. Itu Kerajaan Penang buat. Pak Din insured dengan kerajaan pusat. Nanti kalau jadi apa-apa masa jogging tu, susah nak klem."

Aku angguk. Sampai tara tu persepsi masyarakat marhaen ini.

Ikut kata Pak Din, dia ada simpanan RM200 ribu dalam ASB. Dan setiap bulan anak-anaknya beri RM100 seorang seramai 7 orang.

Satu pesan Pak Din yang aku ingat hingga sekarang bila bercakap soal sambung kerja jika ada tawaran selepas 55 tahun;

"Kalau kerja tu tak ada tekanan, enjoy, tak apalah terus kerja. Tapi kalau kerja tu banyak tekanan, elok berhenti dan cari kerja lain. Umur dah tua-tua gini eloknya kita buat kerja yang kita suka dan santai saja. Buat apa nak sakit jiwa. Kalau masa muda dulu, ok la!"

Kalau ikutkan dari kad nama yang Pak Din tunjukkan pada ibu_suri, Pak Din boleh uruskan pinjaman pada sesiapa yang mahu buat pinjaman melalui bank. Kira, broker la, tak gitu?

Aku doakan agar Allah kurniakan kehidupan yang penuh keberkatan pada Pak Din dan isteri. Sesekali fikir, kesian pada Pak Din dengan cara hidup yang begini!

Rabu, 21 November 2012

Rumah Sendiri

Simpang masuk ke Taman tempat aku tinggal

Aku dapat rasakan bahawa Angah perlu segera mencari rumahnya sendiri tak kira sewa atau beli. Walaupun ini agak sedikit kontra dengan kehendak ibu-suri namun aku rasa sementara hubungan kekeluargaan antara kami dan menantu masih intim, Angah perlu bertindak memiliki hidup sendiri. Kata orang, jauh-jauh bau wangi; dekat-dekat bau tahi.

Aku sendiri pun sebaik saja mendirikan rumahtangga dengan ibu_suri, mak selalu berpesan supaya segera hidup berdikari. Hingga mak aku tega sediakan aku beberapa peralatan dapur seperti talam, pinggan dan cawan sebagai bekal asas bila memiliki kehidupan sendiri. 

Mak aku lebih arif akan konflik hidup bersama mertua. Aku sebagai anak yang sulong pernah melihat airmata mak mengalir kerana menahan hati dengan sikap opah yang mungkin tak sebulu dalam beberapa perkara dengan mak.

Aku sendiripun mutakhir ini dapat merasakan bahawa menantu aku bagai ada yang kurang selesa bila berada di rumah. Maklumlah, dia seorang berkerjaya. Bila balik tentu letih. Sebolehnya mahu bermain dengan anaknya sendirian. 

Tapi ibu_suri seperti yang aku ceritakan sebelum ini; bukan tidak memahami tetapi lebih merasakan bahawa dia juga mahu bermain dengan cucu yang hanya dapat dia lihat bila malam hari sahaja. Siangnya, dia akan bersaorangan di rumah dan cucu berada di bawah seliaan pengasuh.

Sikap dan ragam ibu_suri hanya aku sahaja yang faham dan tahan untuk menanganinya selama 5 tahun ini. Barangkali tidak pada menantuku yang masih muda dan sedang belajar realiti hidup. Aku tidak salahkan dia, tidak juga ibu-suri. Begini adalah kehendak Tuhan dan lumrah alam.

Tapi ntah dimana aralnya, banyak rumah dah Angah tanya, kebanyakannya cuma hendak jual. Kalaupun ada yang nak bagi sewa, harga sewaan atau lokasinya tidak sesuai. Angah cuma mampu membayar sekitar RM300 sebulan dan lokasi rumah lebihkurang hampir dengan rumah pengasuh.

Aku berdoa muga di kesementaraan Angah masih mengintai rumah sendiri, hubungan menantu dan kami tetap baik. Dan pastinya akul adalah pemain utama dalam gelanggang ini!

Selasa, 20 November 2012

Roti Canai Bulat-Bulat

Semalam, aku ajak ibu_suri makan kat Restoran Nasi Kandar Popular di pekan BM. Dah lama tak pekena roti canai konon nak jaga kesihatan. Bagi aku, roti canai kat sini sedap.

"Roti canai 2 biji . Bulat-bulat, tak mahu potong." seruku pada mamak yang memang sudah arif dengan kehendak aku.

"Ali cafe tarik satu. Kecil punya, haa...."

Bila aku tanya ibu_suri nak makan apa, ibu_suri geleng kepala. Heran juga aku. Takkan tak mahu makan. Aku order tosai dan teh tarik. Paling tidak tosai lebih baik berbanding roti canai kerana dimasak tanpa minyak.

Pelik juga kan, kalau anak orang Penang yang dulunya pantang sebut nasi kandar mesti pilihan nombor wahid. Namun sejak mengalami stroke lansung mengidap mood disorder dah tak minat lagi nasi kandar. Malah kekadang seperti bercerai talak 3 lagaknya.

Justeru itu acapkali bila kami keluar makan, kami selalu singgah kat restoran tomyam saja. Namun bila dah selalu sangat, cemuih juga. Bukan tak ada kedai Melayu yang jual nasi ala kampung tapi jauh dan tak banyak.

Makan di Restoran EMKAY KLASIK

Nak tahu, kat sini ada satu restoran di Pokok Sena - EMKAY KLASIK namanya. Konsep hiasan kedainya adalah karya P Ramlee. Dan pelanggan juga dihiburkan dengan alunan lagu-lagu P Ramlee.

Di Sngai Dua, ada kedai yang menjual sateh dan koay teow kerang berkonsepkan hiasan dinding potret L Ramlee bersama Orkes Teruna Ria. Aku agak... agak ajelah, yang membakar sateh itu mungkin bekas ahli Orkes Teruna Ria itu.

Kalaulah abah aku masih ada dan aku bawa dia ke sini untuk makan-makan, mungkin gembiranya dia sambil mengimbau kenangan lamanya...

Beza Pandangan

Berehat sebentar selepas membuang undi 2008 yakni beberapa
 bulan selepas di serang  minor stroke

Kelansungan dari tulisanku kelmarin di sini, aku ambil keputusan untuk ambil cuti semalam. Aku perhatikan ngerang ibu_suri masih ada akibat sakit gigi maka aku berkeputusan untuk merujuk semula ke Klinik Ameen., Seberang Jaya.

Dan seperti yang aku jangka, pagi ini Dr Ameen memang bertugas. Aku percaya kepada pengalaman dan kepakaran Dr Ameen untuk memberi aku sedikit kepastian.

"Gusi dia tak ada apa yang abnormal. Cuma luka sedikit itu biasa. Saya akan beri antibiotik yang kuat sikit. Tak ada apa. Jangan risau."

"Pasal baki tunggul gigi yang masih ada di dalam itu pun tak mengapa. Ianya akan timbul sendiri secara biologi."

"Berapa lama?" Tanyaku.

"Dalam 3 - 4 tahun akan datang. Its alright. Jangan risau yang tu." Aku mengangkat kening. Kata doktor yang mencabut gigi ibu_suri itu hari  1 -2 bulan. Macam mana ada percanggahan pandangan sesama doktor ni?

RM10 jugalah harga antibiotik dan pain killer yang perlu aku dapatkan mengikut saranan dr Ameen. Memang aku pun percaya bahawa dalam kes ibu_suri yang menghidap berbagai komplikasi penyakit ini, sakitnya memang memakan masa untuk sembuh. Dan untuk memastikan sakitnya itu cepat sembuh, emosi ibu_suri perlu dijaga dengan baik dulu. Dan untuk memahamkan dia kenapa sakit giginya lambat baik seperti orang lain, aku menggunakan pelbagai cara menerang, memberi contoh dan meyakinkan dia bahawa sakit giginya itu adalah normal.

Hujan lebat sepanjang hari mengiringi aku yang terpaksa melayani kemahuan ibu_suri;

"Hari ni kan you cuti. Bawalah I jalan-jalan jauh sikit. Pi Alor Setar ke.... Nak makan laksa."

Aku tarik nafas panjang. Hanya aku saja yang faham kerenah ibu_suri ni dan hanya aku saja yang rasanya cukup sabar menjaganya.

Semasa menyusuri jalan memasuki lebuhraya Utara Selatan, aku terpandang seorang yang tidak siuman berdiri tepi jalan memerhati kenderaan lalu lalang sambil bercakap sorang-sorang. Aku teringat pesan doktor Psikiatrik yang pernah merawat ibu_suri dulu;

"Kalau awak tak jaga ubatan dan diri isteri awak dengan baik, bukan mustahil dia akan bergelendangan di keliling pekan tanpa seurat benang di badan!"

Ahad, 18 November 2012

Pizza



Semalam Along belanja makan Domino's pizza. Kebetulan dia dapat kupon diskaun. Katanya: dia cuma perlu bayar 20 ringgit je untuk dapat sepapan kupon.

Aku memang tak pernah makan pizza Domino ni. Pernah sekali dulu makan kat Pizza Hut. Tu pun, lepas ibu_suri bising-bising kata harganya mahal, lansung tak jeru dah. Kalau pun teringin, beli Zan's Pizza kat Pasar Tani setiap hari Rabu depan taman. Tapi yang selalunya, masa ibu_suri masih ok dulu, dia buat sendiri. Sedap atau tidak, dari air tangan isteri sendiri, untuk kami sekeluarga kira ok la...

Mulanya aku enggan nak beri ibu_suri makan sebab dia baru saja cabut gigi petang sebelumnya. Tapi.. ibu_suri ni kalau bab makan, tak boleh ditahan-tahan. Kalau dah dia suka, sakit-sakit pun di kunyah juga. Sementara ubat tahan sakit masih berfungsi, ok la.

Sekarang ini dah masuk hari ke 2, ibu_suri masih mengadu sakit gigi. Kebetulan semalam, masa doktor gigi menggoyangkan gigi geraham itu, aku terdengar bunyi - kuk!.. Haa.. sahih lah, satu dari kaki gigi ibu_suri patah.

"Tak apa. Dalaam sebulan 2 nanti baki gigi yang ada dalam gusi itu akan timbul. Masa tu nanti awak datang ke sini. Saya akan cabut."

Dalam tak berapa konfiden dengan kenyataan doktor muda itu, aku bawa balik ibu_suri terus ke rumah. Aku dapat rasakan akan ada masalah selepas ini. Maklumlah, nak jaga ibu_suri yang punyai sindrom mood disorder ni bukan semudah yang dilihat.

Apa pun, 2 keping saiz 12" dan sekeping saiz 9" memang berbaloi juga untuk kami 5 orang. Tapi, yang sebenarnya, aku masih lagi terasa lapar sebab 3 potong yang aku makan itu tidak cukup kenyang. Aku ingatkan orang di belakang.

Cuma aku terfikir juga: Domino ni dari asal dari negara mana? Itali? Amerika? Ataupun Israel? Arghh....

Jumaat, 16 November 2012

De Pauh Garden

Semalam, Angah ajak makan di Restoran De Pauh Garden yang terletak kat Permatang Pauh sempena meraikan ulang tahun Angah yang ke 25. 

Dulu, di umur ini aku baru saja berkahwin dengan ibu_suri sedangkan di umur ini Angah sudah pun ada seorang anak.

Along, entah bila akan datang jodohnya...

Marissa dan ibu_suri

Along

 "Yang tak ada," keluh ibu_suri, "cuma Akhmal saja..." Haaa.... Dah mula la tu...!


Angah dan Ayu

Ayu dan Marissa

Sesekali bila melihatkan makanan yang berlambak di meja, teringat Palestin yang sedang di serang oleh Israel. Sayangnya, aku tak dapat bersama rakan-rakanku di Perhimpunan #save Gaza di SINI. Namun aku percaya, Allah akan memelihara mereka. Palestin adalah ujian Allah kepada kita - umat Islam sebenarnya!

Khamis, 15 November 2012

Along Yang Pendiam



Malam tadi Along balik dari Batu Caves sempena cuti 1434H. Aku ambil dia yang menaiki bas ekspres dan turun di Penang Sentral.

"Bagaimana kerja?"

"Ok!" Pendek saja jawapannya. Along memang berat mulut. Tak macam Angah.

"Sakit perut lagi?" Diam.

"Ayah ada sembang dengan kawan ayah yang ada kes macam kamu juga - resdung. Dia nasihatkan pantang makan ayam. Dan selalu bersihkan hidung." Diam...

Memang susah nak gali isihati Along. Pendiam macam aku dulu juga. Kena bijak membacanya dari riak air muka, keluhan dan sikap terkini. Susah juga hati aku memikirkan anak aku yang seorang ini. Disamping resdung dia juga kerap mengadu sakit perut. Angin, katanya. Mungkinkah gastrik? Kata Along, doktor syak ada batu dalam pangkerias. Nasihatnya supaya menjalani ujian imbasan.

Kebetulan klinik ofisku ada menawarkan pakej pemeriksaan darah dengan diskaun. Aku ambil satu kupon untuk Along. Sabtu ini kami akan pergi ke Pathlab Bukit Mertajam.

Pagi tadi aku memenuhi rutin riadah di Tasek Mengkuang bila cuti. Selain untuk menjaga kesihatan, aku juga berharap kebiasaan aku begini akan menjadi ikutan oleh anak-anakku. Sayangnya, tidak ada seorang pun yang menontohi aku...

Selasa, 13 November 2012

Pandan

Aku menulis ini sambil menunggu nasi yang ditanak itu masak. Harum daun pandan yang aku bubuh bersama ke dalam periuk begitu semerbak menandakan tidak lama lagi nasi itu boleh dikarih.

pokok pandan di belakang rumah
Petua mencampurkan daun pandan ke dalam tanakan nasi ini diajar oleh mak semasa aku remaja dulu. Bila hari ini aku terokai khasiatnya melalui laman sesawang seperti di sini, baru aku tahu rupanya...wow... Ciptaan Tuhan yang satu ini amat hebat!

Seusai riadah di Tasik Mengkuang bersama blogger JH tadi, aku singgah solat Dhuha di Masjid Jamek Kg Mengkuang. Lansung singgah di Pasar Mini Sri Penanti membeli ikan duri masin untuk digoreng. Beriya-iya ibu_suri meminta aku menyediakannya bersama menu tengahari ini. 

Sebelum di goreng aku rendam dulu supaya dagingnya lembut dan masinnya berkurang. Cabai kering dan bawang sudah siap dimayang menunggu goreng saja. Bila di taburkan ke atas ikan duri masin nanti tentu menambah  gecar.

Sebagai aksesori tambahan aku beli telur jenis Omega 3 untuk dibuat masak dadar. Aku dan Along memang gemar makan telur dadar tapi tidak Angah yang lebih gemar masak ala mata kerbau. Walaupun telur Omega 3 ini harganya mahal sikit tapi demi kesihatan.. kenapa tidak.. kan? Kata Puan Maimon - staf di klinik ofisku: Omega 3 baik untuk jantung. Berbanding ikan kecil seperti kembung yang hanya mengandungi protin; ikan bersaiz besar seperti tenggiri banyak mengandungi Omega 3.

Bila sudah siap memasak nanti barulah aku pergi mandi dan solat Zohor. Dengkur ibu_suri yang teratur alunnya terdengar dari bilik, menandakan ibu_suri baru dapat memicing mata setelah semalaman tidak dapat tidur. Nampaknya, aku kena makan dululah sebab perut dah mula berkeriut nih!

Ahad, 11 November 2012

18 Orang

Aku telalu malas nak berjumpa Akhmal di Penjara Sungai Petani sebenarnya. Tapi hati seorang ibu tetap mahu tatap wajah anak yang walaupun telah banyak mengecewakan hatinya. Dipaksanya aku bersiap untuk pergi.

Bercakap melalui intercom dan memandang hanya melalui dinding kaca sudah cukup untuk membuatkan seorang ibu menjuraikan airmata.

"Kenapa hang nampak kurus? Makan tak sedap ke?"

Alhamdulillahnya ialah tempoh 12 bulan yang dijatuhkan ke atas Akhmal menjadi 6 bulan saja setelah ditolak tempoh tahanan reman dan tahanan selepas itu.

"Berapa ramai kamu dalam satu sel?"

"18 orang!" Aku mengangkat kening. Ingatkan masa aku belajar dulu dalam satu bilik ada 6 orang sudah kira ramai.

"Macam-macam jenis orang ada. Orang tua dan muda dari Akhmal pun ada. Yang duduk kat rumah kita pun ada sini. Macam-macam kes ada. Kes bunuh orang pun ada." Terang Akhmal bila aku korek-korek situasi di dalam.

"Ada dapat 'barang' di dalam?"

"Tak ada. Akmal pun dan lama tak hisap rokok. Dah berhenti dah. Tidur pun atas simen."

Apa-apa pun, terbang juga RM100 dari kocek aku untuk membeli barang-barang keperluannya. Selepas ini aku cuma boleh datang sebulan sekali saja berbanding sebelum ini, seminggu sekali.

Sabtu, 10 November 2012

Samak?

Aku masih terbayang huyung hayang anjing yang berlari ke arah hutan. Kuat juga bunyi hentakan kepalanya ke sisi bumper Kancil aku.

Segera aku membrek kereta ke bahu jalan. Keluar dan meninjau-ninjau kelibat dia yang berlari ke arah belukar kebun getah. Tidak kelihatan. CT dan Ema keluar dari kereta Suria lagi sambil membelek bahagian hadapan  Kancil yang lain.

" Kesian anjing tu! "

" Biaq pi lah, ayah. Apa yang kita boleh buat pun kalau kita nampak dia. " balas Ema yang memang membahasakan aku 'ayah' sepertimana anak saudaraku yang lain juga.

Kemek bumper itu memang kemudiannya mengganggu pusingan tayar ketika membelok ke kiri. Namun dalam hujan lebat untuk balik ke Penang setelah  menghadiri walimatulurus anak saudara ibu_suri di Taman Sri Kampar, Perak kemudian singgah ke rumah pusaka abah ibu_suri di Batu 3, Jalan Pahang itu apa sangat yang boleh diperbetulkan.

tak berpeluang singgah sini
" Tak ada apa aihh.... Nantilah abang rujuk kat Perodua nanti. " ujarku pada ibu_suri yang sudah mula ngelabah dan risau tak menentu. 

Aku memang dah nampak anjing itu melintas jalan di depanku. Sepatutnya aku memperlahankan kereta dan menjangka kemungkinan anjing itu berpatah balik adalah besar. Tapi disebabkan ralit melayan talipon di telinga kiri makanya fokus aku ke jalan raya terganggu. Sudahnya.....

GANGGGG..... tidak sempat menyetopkan kereta lalu ... grrrroong... seperti anjing itu berada di bawah lantai kereta aku dan .... kenggg...kenggg... bunyinya sambil berlari mendaki bukit dan hilang di dalam belukar kebun getah.

" Abang, kena samaklah kereta ni balik nanti ya? ". Hmmmm.... Ya tak ya...... Aku tak pasti!

Jumaat, 9 November 2012

Rai Persaraan

Ini adalah hari terakhir dia bekerja. Tentang dia aku pernah ceritakan di sini. Aku ajak dia makan dan berbual bersama untuk kesekian kalinya selepas balik kerja. Aku pilih lokasi kafe yang pernah kami pergi sebelum ini - belakang USM.

Seperti selalunya aku lebih banyak mendengar dia berceloteh tentang hari-hari terakhirnya. Kisah-kisah lama kami sesekali buat kami ketawa. Sempat dia tunjukkan foto lamanya ketika baru bekerja sekitar umur belasan tahun. Maknanya, dia sudah melalui alam pekerjaan selama >30 tahun. Ditunjukkan juga foto dia bersama keluarga melancung ke Eropah seperti Kelab Bola Sepak Manchester United, meluncur salji dan juga ke Venice - bandar atas air. 

Sebenarnya dia mengharapkan agar majikan menyambung perkhidmatannya di bahagian yang sama tapi bosnya tidak fight untuk itu. Sebaliknya bos bahagian QA yang membuat tawaran.

" I tak mahulah pergi tempat baru. Tua-tua macam ni kena belajar benda baru pulak. Lagi pun itu bahagian x-ray. Not good for health. "

Aku banyak memberikan nasihat agar dia terus menjaga kesihatan. Sebenarnya, walaupun dia dah diumur persaraan, raut wajahnya tidak menampakkan usia begitu. 

" Kalau you kurus sikit tentu you lebih cute. " usikku yang memang mengakui amalannya memakai kosmetik Avon telah mengekal kemudaan wajahnya. Namun kedut kulit di tangan dan kakinya sesekali terserlah, tidak dapat disorok. 

Hampir sejam juga makan dan bual kami itu. Aku terus menasihatinya supaya yang paling utama ialah mengisi masa-masa yang masih ada dengan berbuat charity menjaga suami sebaiknya. Paling utama lalui positif dalam hidup dan ceria selalu.

" Now you only have husband. Your son and daughter already have their own life. Believe me, wether is good or worst, your husband is your life partner. He is only gold that you have. Not is the good time to take care him."

Di perjalanan balik, aku teringat giliran aku 2.5 tahun lagi. Kesesakan di jambatan buat aku terfikir bilamana giliran aku tiba aku akan menumpukan perhatian apada penjagaan ibu_suri, menjaga anak dan cucuk disamping berbual kerja-kerja kebajikan bersama jamaah IKRAM.

Hujung Minggu

perkhemahan grup usrah di pulau songsong
Ada kenduri di rumah mak saudara ibu_suri Sabtu ini di Kampar. Sebab kenduri saudara itu juga ya... aku berat untuk pergi. Tapi yang lebih beratnya ialah kerana mahu bawa ibu_suri jalan-jalan jauh sikit dari kebiasaan.

Oleh itu walaupun dengan hanya menaiki Kancil aku yang tidak berapa stabil bagi perjalanan jauh ini, aku kentalkan juga semangat untuk pergi sekalipun kelajuan maksima yang aku boleh pecut hanya sekitar 80km/jam. Aku harap aku tidak mengantuk  ketika pemanduan.

Kakak ipar nak ikut pergi sama. CT pun nak ikut. api aku bagitau ibu_suri bahawa maaf... kita tak boleh tumpangkan mereka. Kancil ini kuotanya untuk berdua kami saja. Aku tak pasti kakak ipar atau CT itu tahu dan faham.

Hari Ahad juga ada kenduri. Hari Ahad juga mau tidak mau aku mesti bawa ibu_suri berjumpa Akhmal. Seminggu ini ibu_suri asyik meratus kerana rindukan Akhmal. Sementara sikap aku yang bersahaja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku membuatkan ibu_suri selalu menyoal aku; you tak rindu ke dengan Akhmal? Aku lebih banyak diam saja...

Hidup yang ujiannya sambung menyambung ini buatkan aku terpaksa berfikir dan lalui satu persatu. Aku tak mampu nak harung kesemua sekaligus.   

Beberapa hari ini pun aku rasa reputasi aku tidak memberansangkan. Aku lebih banyak lepak dari membuat kerja-kerja rumah. Lebih banyak mengeluh dari berbuat sesuatu. Kaki aku masih sakit-sakit dan sukar untuk duduk antara dua sujud.

Renyah menjaga ibu_suri yang terlalu banyak etong dan remeh-temeh ini buat aku kekadang rasa jemu dan seperti mahu bawa diri jauh-jauh untuk menyendiri beberapa ketika.

Khamis, 8 November 2012

CiliFM

Syeh Korma,











Sebenarnya aku dah lama tahu pasal adanya radio-maya CiliFM ni. Tapi bukan sebab malas nak ikuti. Cuma tak kose je nak melayarinya. Lebih mudah dengar lagu dari blog sendiri.

Tapi tadi bila kamu seperti desak aku supaya cuba juga mendengar dan kamu tunjukajar aku bagaimana nak membuat permintaan lagu melalui wall FBnya, aku jadi teruja. Kebetulan tadi segmen permintaan untuk lagu-lagu loghat negeri. Nak minta lagu loghat Pulau Pinang, aku tak dapat nak ingat tajuknya secara spontan. Jadi aku minta DJ Hokage Kazakage Ranger Puteh memutar lagu Bior Pape Ase begaye alunan penyanyi Raisudin Hamzah. Hi, ralit juga mendengarnya.

Tiba-tiba aku rasa syok pula dengan radio ni. terasa dekat dengan aku kerana celotehnya yang santai dan berulangkali menyebut nama aku walaupun telor sebutannya agak sedikit tidak sempurna.

Kesian juga aku bila berulang kali dj itu memberitahu bahawa operasi CiliFM bermodalkan sumbangan darorang ramai. Hatta, dj yang bertugas adalah secara sukarela tanpa imbuhan. Besar sekali pengorbanan mereka demi keinginan untuk berbakti kepada masyarakat bertunjangkan semangat dan kemahiran apa yang mereka ada.

Syeh Korma,


Aku tidak akan terkejut jika satu hari nanti ada khabar yang membeitahu mereka telah pun ditahan oleh penguasa kerana kepedasan cili yang mereka hidangkan setiap hari di alamaya serba luas ini. Tapi bak kata peribahasa:

Kalau takut dilambung ombak, 
Jangan berumah di tepi pantai.

CiliFM telah membuktikan kerjabuat mereka dalam menyampaikan berita secara telus sambil menghibur masyarakat dengan cekal dan konsisten. Kita bagaimana? Takkan nak duduk di depan komputer riba dan membaca tenang usaha dan kejayaan orang lain saja?

Apa kemahiran yang kita ada, apa ruang yang kita punya, gunakan sebaiknya sebelum Izrael berada di hujung kepala. Paling tidak, menggunakan FB bukan sekadar bercerita tentang menu apa yang kita sarapan pagi ini tetapi kata-kata baik yang boleh dimanafaatkan oleh diri kita dan orang lain juga.

Syeh Korma,

Apapun, dalam hidup bermasyarakat ini, senjata yang paling utama perlu ada ialah sikap dan penampilan kita sendiri. Orang tidak nampak warna apa yang ada di dalam hati kita tetapi dari baju yang kita pakai, orang lain boleh agak kategori mana kita ini.

Maaf. Dah jauh malam. Berkali-kali ibu_suri suruh tidur sebab esok kena bangun pepagi untuk mandikan dia. 

Wassalam!

Isnin, 5 November 2012

Dates Cider

Aku dapat tahu dari teman akrabku - blogger Jendela Hatiku, bahawa klinik panel ada menyediakan kupon untuk Pakej Ujian Kesihatan sempena Health Screening Campaign

Mulanya teragak-agak juga aku untuk mengambil peluang baik ini. Peluang mendapatkan subsidi rawatan yang bernilai RM270 cuma dengan harga RM75. Pulak tu, bukan saja aku malah sekeluarga aku boleh menikmati subsidi ini.


Sebenarnya aku malas bercampur takut untuk membuat pemeriksaan menyeluruh demi melihat tahap kesihatanku. Tapi sejak dua menjak ini, bila melihatkan seorang demi seorang kawanku didapati mengalami sakit itu dan ini, aku jadi sedikit gusar. 

Mutakhir ini pun aku kaki aku mula terasa sakit. Badan mula terasa berat. Takkan nak salahkan ibu_suri pula yang selalu mengajak aku makan bilamana membawanya bersiar-siar walau lewat malam?

Sudah 2 minggu aku mengamal minum Date Cider. Kata kawanku ianya baik untuk memecah lemak dalam badan. Aku juga mula mengurangkan gula malah juga susu ke dalam minuman. Aku cuba mengaleh kepada karet suam bila minum di kafetaria atau kedai. 

Aku harap usaha sebegini sedikit sebanyak boleh membantu mengekalkan tahap kesihatanku. Mungkin juga buat sekalian...

Ahad, 4 November 2012

Kek

Seharian ibu_suri berkeadaan sugul. Hajatnya untuk menjenguk Akhmal di Penjara Sungai Petani tidak kesampaian. Sengaja aku tidak mahu bawa dia ke sana minggu ini. Aku dapat agak situasi akan lebih emosional sebab Akhmal baru saja dijatuhkan hukuman Jumaat lepas. Biarlah tunggu seseminggu lagi baru bawa ibu_suri ke sana.

Aku teringat hari ini Hari Lahir dia. Aku minta Angah belikan kek.

"Beli kat Secret Recipe. Agak-agak saiz yang cukup untuk kita makan 4 orang." 

"Mahal ayah!"

"Tak ngapa. Ayah bayar nanti. Tapi ingat, jangan beli perasa cokelat. Vanila atau strawberi..ok!"


Memanglah dulu aku bukan reti bab-bab sambut Hari Lahir ni. Mak dan abahku orang susah di kampung. Hidup semuat  pakai dan secukup makan hari-hari saja. Ada lebih pun untuk bayar yuran sekolah.

Tapi sejak ibu_suri menghidap mood disorder ini, membeli kek sempena Hari lahir seperti satu kemestian. Berat 1 kg dengan harga RM35 beli dari Nash Donuts, Perda, aku kira berbaloi juga. Aku tahu, bukan sangat kek yang mahal itu yang diharapkan oleh ibu_suri. Penghargaan dan kemeriahan dari anak dan cucu itu yang dihajatinya. Bagi aku pula, keceriaan yang terbit dari wajah ibu_suri itulah penyejuk segala lelahan menjaganya.

Berus Gigi

Usai riadah di Tasik Mengkuang, aku bersolat Dhuha di surau Petronas Tanah Liat. Lansung aku mengepam tayar dan memeriksa tahap minyak enjin dan air radiator. Memang begitu selalunya rutin aku hujung minggu. Sasaran aku ialah Kancil aku ini mesti selalu tip top untuk kemana saja pada setiap masa. Maklumlah, menjaga ibu_suri ini antaranya ialah kena selalu bawa dia bersiar.

Aku teringat pinta ibu_suri bahawa berus giginya perlu diganti. Gemar ibu_suri pada jenis berus gigi memang yang ini saja - Morning kiss Deluxe.  Tanpa membawa cermin mata aku masuk ke Mesra Mart dan membelek berus gigi jenis lembut. Susahnya nak memastikan mana satu yang perlu dipilih buatkan aku sedikit geram.

'Apa punya tur la pekerja sini. Pi buboh label harga tang perkataan ni buat apa. Kan susah pelanggan nak tahu jenis lembut ke atau keras.'


Terpaksa aku menyelak sedikit label yang dilekat hampir dengan kepala berus gigi untuk membaca tahap keras berus gigi itu yang terletak di belakang.

Dikaunter, aku melahirkan rungutan aku kepada staf dengan niat supaya dia tahu permasaalahan dari sudut pelanggan bila membelek barangan yang berlabel sebegini.

"Ahh... pak cik boleh tengok kat belakang. Lagi besar tulisan dia pak cik boleh baca."


Laa... tersengih ajelah jawapnya aku ini. Betul juga. Tulah.. cuma guna satu arah pemikiran je tanpa cuba berfikiran secara luar kotak. 

"Oo... terima kasih.  Pak cik belajar satu ilmu baru hari ini," ujarku sambil senyum. Nasib baik aku cakap baik-baik dengan mereka tadi.

Tapi, tatkala menguak pintu cermin Mesra Mart yang berat itu aku masih berfikiran bahawa sepatutnya staf yang bertanggungjawap melabel dan menyusun berus gigi itu perlu melihat dari sudut mesra pengguna. Tak heranlah kalau aku lihat tadi kedudukan berus itu bercampur aduk berbanding sebelum ini yang rapi disusun oleh staf itu mengikut barisan warna.

Sabtu, 3 November 2012

Airmata


Semalam, tepat seperti yang kujangka, majestrit menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula dari tarikh ditangkap. Aku nampak riak kehampaan di wajah Akhmal. Aku sendiri yang mulanya mempersiapkan diri untuk bersahaja dalam menerima apa saja keputusan mahkamah ini akhirnya tidak dapat menyembunyikan kesayuan seorang ayah.

Menuruni tangga mahkamah, otakku ligat menyusun ayat yang bagaimana berita ini akan aku sampaikan kepada ibu_suri yang sabar menunggu di ground floor. Sengaja aku tidak mahu ibu_suri memasuki bilik mahkamah dan mendengar keputusan mahkamah secara lansung kerana kesan itu lebih memilukan.

"You duduk kat sini saja. Tangga nak naik atas tu tinggi. Nanti you sakit lutut pula. Susah nanti," Begitu akalku memujuknya.

Namun di dalam kereta, kepiluan hati seorang ibu tidak terbendung. Airmata ibu_suri tumpah juga.  Merah mukanya menahan sebak.

"Tak mengapa. Mungkin itu lebih baik bagi dia. Kalau dia bebas pun mungkin dia akan ulang perangai lama. Setahun tak lama mana," pujukku.

Aku tahu dalam keadaan begini aku tak boleh biarkan ibu_suri sendirian di rumah. Lepas sembahyang Jumaat aku perlu bawa dia berjalan-jalan. Teringat Kancil aku yang sudah tiba masanya untuk dibuat premium service. Petang ini adalah waktu terbaik.

Seperti selalunya, akulah yang perlu menampilkan wajah dan mood selamba dan ceria untuk membantu mengujudkan suasana emosi ibu_suri yang stabil.

Jumaat, 2 November 2012

Pelanduk


Ada rasa gentar jauh di hatiku, sebenarnya. Bukan sangat sewaktu akan mendengar keputusan majestrit yang aku jangka adalah negatif. Sememang 0.11 gram Syabu itu ada di tangannya sewaktu polis menahannya untuk siasatan di kawasan rumahku. 

Aku tak sanggup melihat bagaimana riak kehampaan yang akan memancar dari wajah Akhmal. Dan pastinya sebek dan airmata yang akan terbit dari wajah ibu_suri.

Namun dalam semua situasi ini, akulah yang mesti menerimanya dengan cekal. Ini bukanlah kali pertama Akhmal dihadap ke muka pengadilan dan dijatuhkan hukuman. Dia pernah di hantar ke Pusat Tahan Air Hitam dan ke Sekolah Tunas Bakti, Taiping.

Aku pernah berkali-kali memberitahu Akhmal bahawa apa yang berlaku ke atas dirinya ini bukan salah orang lain tapi diri sendiri yang cari. Namun dia tidak pernah serik. Baiknya cuma sebulan namun selepas itu dia ulang semula sikap tidak eloknya itu. Aku juga pernah mengingatkan dia bahawa 'pelanduk selalu melupakan jerat'.

Apapun, doaku cuma: jika Allah berkata - bebas itu baik buat dia, alhamdulillah. Jika penjara itu pula baik buat dia, aku terima seadanya.