Halaman

Selasa, 26 Februari 2013

Pasrah

Aku telah dipilih oleh musyawarah semalam supaya melibatkan diri dalam Unit Media pada pra PRU kali ini. Aku akur pada keputusan jamaah. Aku tahu mereka membuat keputusan itu berlandaskan minat aku yang suka menulis dan kekangan terhadap masa kerana menjaga iibu_suri. Juga kerana sikap aku yang lebih suka bekerja di barisan dalaman berbanding di barisan hadapan.

Aku dimaklumkan tarikh akhir pembubaran Parlimen ialah bulan April. Dan paling lewat ialah pada bulan Jun ( 2 bulan tambahan dari tarikh luput ). Sekarang kita memasuki bulan Mac. Tidak lama sangat lagi.

Dalam masa yang sama ibu_suri seperti menggigit kekuatan pembabitanku dalam kerja besar dan mencabar ini. Bila aku terlebih sikit menghadap komputer dan kurang beri perhatian kepadanya, dia akan mendengus dan membentak;

"Kalau macam ni, abang toksah pi mesyuarat tu la."

Memang kekadaang seperti mahu merampus juga. Arghhh... tak mahu susah susah lah. Rileks kat rumah tidur lagi bagus. Itu tak boleh, ini disungut.

Aku teringat kata-kata - isteri jangan terlalu mengongkong aktiviti suami. Jika terlalu dikongkong, suami akan mencari jalan keluar ikut pintu belakang. Aku setuju sangat dengan pendapat itu. Dan kekadang, syaitan itu menjentik-jentik perasaanku supaya berbuat begitu.

Tapi aku tahu, apa guna aku berdegar-degar bercakap tentang pengislahan masyarakat jikalau isteri sendiri pun tak terkampoi.

Aku pun tahu, seorang suami yang baik dengan isteri lebih Nabi sukai. Sabar dan buatlah mana yang terdaya, kan! Allah lebih tahu segala yang ada di dalam hatiku ini. Aku pasrah saja terhadap apa yang akan berlaku esok. Buat saja semampu boleh.

Ahad, 24 Februari 2013

Harmoninya Kehidupan!

Ada masa 10 minit untuk aku menulis sebelum bergegas ke lokasi mesyuarat. Ada taklimat dan pembahagian tugas untuk PRU13 yang bila-bila masa akan diumumkan oleh PM.

Sebenarnya pun, aku ini baru saja balik dari bawa ibu_suri jalan-jalan. Sepagian sebelum itu aku berada di Taman Pelangi untuk membantu AJK surau sana membuat bancian penduduk. Ini perlu untuk proses membuat permohonan menaiktaraf surau Taman Pelangi kepada masjid. Pengalamannya akan aku ceritakan nanti.

Apa yang penting ialah aku puas kerana disamping mejaga kebajikan ibu_suri, aku juga boleh membuat kerja amal yang aku percaya, labanya akan aku terima di akhirat nanti, jika Allah terima.

Sepatutnya, aku berterima kasih atas sikap ibu_suri yang kalau kena gaya pujuknya, tidak banyak kerenah untuk membenarkan aku aktif seperti ini. Terasa begitu harmoninya meniti kehidupan seperti ini! 

Jumaat, 22 Februari 2013

Jiwa Seni

Malam ini aku tidak ada modal tapi tangan tetap mahu menulis. Hati tiba-tiba terasa sayu dan asyik menghimbau hari-hari lepasku. Suka duka merintis jalan kehidupan sebagai hamba Tuhan!

Di kalangan adik beradik, hanya aku saja yang mewarisi kegemaran abah mendengar musik. Sudah tentu zaman abah ialah P Ramlee, A Ramlee dan L Ramlee. Aku pula paling meminati lagu-lagu puisi terutama Ebiet G Ade.

Justeru itu, kalau memandu, aku mesti memutarkan lagu. Kalau 4 jam perjalanan, 4 jam lah radio aku berbunyi. Bila jogging kat Tasik Mengkuang juga; dengan wajib memakai baju T Palestin; talipon bimbit aku juga aku pasang lagu. Hatta ibu_suri pun dan mangli dengan kerenah aku ini.

Tidak terkecuali blog aku. Walaupun ada beberapa rakan blog aku meminta untuk ditiadakan lagu kerana mengganggu pembacaan mereka, aku buat tak kisah. Bagi aku, aku merasa puas mendengar lagu-lagu yang beruntur positif. Ianya juga adalah terapi dalam kehidupanku ini. Aku tidak ada masaalah membaca sambil mendengar lagu malah bila tidur juga. Malah ada maklumbalas dari kawan lain yang membuka blogku semata-mata kerana mahu mendengar lagu saambil dia membuat kerja-kerja rumah. Aku mengalu-alukan teguran atau cadangan lagu dari kalian. Yang baik dan sesuai denga citarasaku, insyaAllah aku akan timbangkan.

Singingbox yang aku gunakan untuk menyimpan dan siarkan lagu-lagu di blog ini memang yang terbaik pernah aku guna setakat ini. Di dalamnya ada puluhan lagu dan ditambah setiap masa dan disiar secara rawak.

Sesekali fikir aku rasa beruntung kerana memiliki jiwa seni. Jiwa halus yang menilai sesuatu juga secara halus.

Muga Allah cucuri rahmatNya ke roh abahku; abah yang telah banyak membentuk diriku menjadi insan!

Rabu, 20 Februari 2013

Terima Kasih Atas Segalanya!

Apa yang terjadi tadi benar-benar memberi isyarat bahawa ibu_suri benr-benar memerlukan aku. Dan ini membuatkan aku semakin mengetatkan keikhlasan untuk terus menjaga ibu_suri semampu boleh hingga akhir hayat. Walau sepayah mana, walau sejemu mana, walau serenyah mana, aku akan teguhkan diri.

" I malu dekat you. I bagi susah you selalu."

"Tak apa. Memang dah jadi tanggungjawap abang jaga you. Sebab itu abang cuba jaga makan, riadah dan  tak mahu tension-tension sebab kalau abang sihat, abang boleh jaga you. Sikit-sikit abang nak buat kerja-kerja kebajikan dengan masyarakat sebab abang percaya kalau kita menolong orang, insyaAllah Tuhan akan tolong kita bila kita minta."

Sindrom yang menimpa ibu_suri membuatkan ibu_suri separuh sifatnya seperti keanak-anakan. Cara ketawa, minta perhatian, makan minum dan 'buang airnya' kekadang seperti anak-anak. Aku reda atas semua ini. Aku cuba tangani sebaiknya.

Jenuh juga mop lantai dapur tadi. Mujur juga lantai dapur. Kalau atas permaidani ruang tamu, memang pada. Mau cuti kerja aku siang nanti.

Memang tidak ada orang lain yang sanggup buat kerja ini. Tidak juga anak-anakku.

Dan alhamdulillah... aku selalu menyejukkan hati ibu_suri dengan menyuruhnya bersyukur kerana dia masih boleh berjalan ke bilik air walaupun tak sempat; masih boleh mandi dengan sendiri walaupun perlu dibantu berbanding mak aku yang terpaksa terkesut-kesut atau mak kepada kawanku yang terlantar saja di katil, tak boleh bercakap dengan jelas dan makan bersuap.

Tuhan... Terima kasih atas segalanya! 

Selasa, 19 Februari 2013

Panggilan

Pilihanraya dah dekat. Dimana-mana saja bilik gerakan dibuka semula. Bendera pun bukan main lagi berkibaran. Lepas Raya Cina, raya inilah yang dinanti oleh ramai orang yang mengambil berat soal masa depan negara.

Masa balik ke kampung Slim bebaru ni pun, bukan main lagi kibaran bendera. Di kampung pun rupanya sama hangat persis di kota.

Aku mendapat panggilan untuk hadir ke mesyuarat pasca pilihanraya. Mereka tahu aku suka menulis. Mereka tahu aku suka bekerja di belakang tabir berbanding barisan hadapan. Dan mereka juga tahu aku mempunyai kebebasan yang terbatas lewat kekangan menjaga ibu_suri. Jadinya, mereka minta aku membantu  mennyelenggara blog, facebook dan sistem emel wakil calun.

Semalam mesyuarat ke 2. Aku tak dapat datang lewat No...No...No... dari ibu_suri masih hangat. Jadi aku pendamkan dulu. 

Rehat sebentar seusai mengundi di PRK
Sepanjang hari ini aku teruskan usaha memujuk ibu_suri. Aku tahu sebenarnya ibu_suri bukan tidak beri aku berkecimpung dengan agenda kempen piliharaya. Malah dia sendiri dulu adalah aktivis di tamanku ini. Pada setiap piliharaya, dia adalah antara wanita barisan hadapan di pusat mengundi yang dipertanggungjawapkan. Cumanya, dia bimbang ditinggalkan seorang di rumah. Ahh...  takkanlah aku tega biarkan dia kesaorang. Tentu saja aku akan uruskan dia dahulu.

Tapi tak mengapa. Aku kenal isteri aku seperti juga dia kenal aku - suaminya. Aku tahu lambat laun dia akan izinkan. Cuma aku kena sabar dan bijak memujuk. 

Aku memang tidak sabar dan tidak mahu ketinggalan. Aku tidak sanggup nanti di cap sebagai cakap tak serupa bikin. Aku mahu menumpah keringat bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan dalam merealisasikan penegakkan kebenaran dan haq di bumi bertuahku ini!

Isnin, 18 Februari 2013

Lepaskan!

Cucuku - Marissa
Cucuku,
Sudah besar kau sekarang ya. Sudah pandai berjalan dan mencipta kata-kata. Sudah pandai memunggah hiasan di kabinet Opah. Tapi Opah hanya ketawa seraya berkata: Tak apa. Biarkan..biarkan...

Anakku,
Sudah dewasa kau sekarang. Sudah bijak memintal perbualan. Sudah ada keluarga sendiri. Sudah ada kapal dan sauh sendiri. Ayah sudah boleh lepas sebelah tangan. Sudah boleh melepas separuh dari lelah di dada. Sudah boleh ayah jadikan kawan. Jadikan tempat bergantung harapan.

Isteriku,
Lepaskan anakmu. Biarkan ia berenang mencari kehidupan di lautan. Kendali sendiri ombak dan taufan. Panjatkan saja doa di awan. Usah ingat dia masih hingusan. Masih tidak mahu lepaskan dari bcelah ketiakmu.

Aku,
Inilah masa terbaik untuk membuat 5S kehidupan sementara usia yang masih ada peruntukkan dari Tuhan!

Sabtu, 16 Februari 2013

No...No...No...

Nampaknya malam ini tak dapatlah nak hadir ke program Qiam oleh jamaah IKRAM Seberang Perai Tengah. SMS yang aku terima petang tadi terlalu singkat julatnya dengan masa terbaik untuk aku memberitahu ibu_suri.

Seperti biasa balik kerja, aku singgah beli makan. Kali ini teringin beli nasi campur di gerai Palestin Cafe, tak jauh dari simpang 3 taman. Selalunya beli sebungkus untuk ibu_suri sahaja tapi kali ini 2 sebab aku sendiri pun terasa lapar yang sesangat. Kari ikan temenong boreknya memang sedap.

Sampai di rumah, aku letakkan elok-elok nasi ke dalam pinggan kegemaran ibu_suri beserta minuman dan ubat.

"Makan dalam bilik saja." pinta ibu_suri. Walaupun aku tidak gemar tapi aku turut saja, Aku cuba membaca mood ibu_suri.

Sambil makan, aku beritahu hasrat aku hendak pergi malam ini atau paling tidak esok jam 4 pagi - 2 jam sebelum Subuh.

"I kata No... No... No... " jawap ibu_suri. Aku tahulah tu. Fahamlah tu. Semalam pun sebenarnya aku dah keluar untuk hadir ke Pejabat IKRAM di Seberang Jaya. Ada jaulah YDP ke daerah.

Tak mengapalah, bisik hatiku; Aku korban hari ini untuk hari-hari esok...

Jam 10.30 ibu_suri mahu aku bawa dia jalan-jalan. Dalam pemanduan aku teringat Angah beritahu aku semalam bahawa dia dah dapat rumah sewa dan bercadang untuk pindah awal bulan depan. Itu pun satu hal juga.... Tak tahu nak bagitau ibu_suri bagaimana!

Jumaat, 15 Februari 2013

Emosi

Aku perasan emosi ibu_suri beberapa minggu ini agak tegang. Setiap apa yag dia minta, jika tidak ditunaikan segera, nada suaranya akan menjadi tinggi. Dia akan mula mengira...1...2...3...

Isu paling sensitif ialah hal penjagaan cucunya - Marissa. Dia mahu aku bersetuju dengan kemahuannya untuk menjaga Marissa bila hari Sabtu dan Ahad. Bila Angah memberi pelbagai daleh untuk mengelak, aku tahu dia beransur naik darah.

Dia  mudah marah sekarang ini. Cuma, kemarahannya itu tidak meletup mungkin kerana kuasa ubat psikiatrik yang dia makan setiap hari mengawal paras gelora emosi. Aku, bila mengesan ketidakstabilan emosi ibu_suri, akan segera meninggalkan apa yang aku sedang perbuat sebaliknya menunaikan apa yang ibu_suri mahukan.

Bukan hanya isu Marissa, tetapi juga isu mahu makan apa yang dia suka, tidak benarkan aku menghadiri program IKRAM hatta untuk pergi riadah pada hujung minggu juga, kekadang terpaksa aku kuburkan semata mahu menjaga emosi ibu_suri.

Memang kekadang rasa tertekan akan tetapi pengalaman 5 tahun aku menjaganya selama ini banyak mengajar aku erti ketahanan dalam diri, sabar dan berlapang dada. Aku bercadang untuk berbincang dengan doktor psikiatrik bila giliran rawatan susulan April ini. 

Ntah sampai bila aku harus lalui semua ini.... Tuhan saja yang tahu. Terasa amat letih!

Khamis, 14 Februari 2013

Dilema Menulis

Aku baru saja unfriend pada 3 FB Group. Alasannya ialah aku bimbang akan sikap aku yang suka menulis secara jujur dan terus terang serta mudah menegur menyebabkan admin atau sahabat FB tersebut kurang senang.

Memang benar kata orang; mata pena lebih tajam dari mata pedang. Terlajak perahu boleh ditarik. Terlajak kata, terima sahaja padahnya.

Aku cuba untuk belajar menjadi orang yang bersikap profesional dalam perbualan dan penulisan akan tetapi rasanya masih juga tidak berjaya sepenuhnya.

Aku kerap menerima teguran dari pembaca blog aku ini pada beberapa entri, yang mungkin kurang menyenang mereka yang membaca. Kekadang, aku mendapat emel yang agak keras juga. Malah banyak kadangnya, tulisan aku yang dibaca oleh kawan-kawan sekerja menjadi bahan ketawa pula di meja makan waktu rehat.

Memang aku boleh tahan dengan ketawa mereka tapi aku selalu berfikir, kenapa mesti jadi begitu? Kelemahan ini mesti di perbaiki.

Dulu aku sebenarnya seorang pendiam tetapi gemar menulis. Dulu aku selalu bercita-cita untuk tidak mahu mengguris perasaan orang lain tetapi hari ini dengan tulisan, aku telah menghiris hati beberapa orang lain.

Adik aku sendiri pernah menegur aku tentang beberapa entri tapi aku tak ambil kisah. Bagi aku, sekali ianya tertulis, biarlah ia tersimpan sepertimana asal.

Aku masih perlu banyak belajar tentang tatasusila menulis. Menulis yang memberi manafaat. Bukannya yang menerbitkan hasad! Aduhhhhh....!

Selasa, 12 Februari 2013

Duhai Anak!

Aku baru saja selesai berbual dengan Angah yang menunggu waktu untuk mengambil Ayu dari tempat kerja. Seperti selalu, bila ada peluang, aku akan menasihatinya dalam pelbagai perkara berumahtangga. Aku tahu, dia dan Ayu juga ada sedikit sebanyak pergeseran pendapat.

Along memerhati tiket ETS
Tapi Angah aku tak risau sangat kerana aku tahu, Angah seorang yang agak matang dalam berfikir. Mungkin kerana dulu dia ramai kawan dan luas pergaulan. Tak macam Along.

Anak aku yang sorang ni bila sesekali fikir, risau juga. Dia macam aku... kategori slow and steady. Tapi kalau betul macam aku 100% kira ok juga. Takut nanti dia tak mampu nak terokai permasaalahan hidup yang semakin mencabar. Along ni seorang yang banyak memendam perasaan.

meninggalkan stesyen Slim River

Semasa balik kampung di Slim River semalam aku sempat menggunakan peluang menasihati CT supaya pandai-pandai membawa diri. Umur sudah mula mencecah 30 tapi jodoh masih belum ada. Tambah lagi, kesan dari kemalangan dulu membuat dia kekadang bersikap seperti kurang adab. Bagi orang yang tidak faham sejarah hidupnya mungkin menyangka negatif tapi hakikatnya tidak.

Aku beritahu CT bahawa aku ada berpesan pada Angah;

"Angah, kamu bertanggungjawap terhadap Along, Kakak dan Akhmal. Bila ayah dan ibu tiada nanti, kamu jagalah mereka baik-baik. Jika ada apa-apa masaalah mereka, kamu tangani sebaik mungkin."

Kalau nak kata itu sebagai amanat, memang. kalau nak kata ia sebagai wasiat, juga memang!

Ahad, 10 Februari 2013

Biografi Keluarga

Ntah kenapa tidak ada kemahuan untuk menulis dibeberapa hari ini. Sebaliknya aku lebih banyak mengisi masa di depan komputer mengaktifkan semula blog yang aku buat khas atas nama abah - SRI MERSING dan  FB pula atas nama mak - KELUARGAOPAH. Udah lama ianya dipetisejukkan.


Aku ingin menggunakan hayatku yang masih ada ini dengan merakamkan semua peristiwa yang masih ada di dalam memori aku yang semakin mengurang bytenya. Aku harap ianya akan menjadi sebuah biografi keluarga yang akan menjadi rujukan atau tatapan buat adik-adik dan generasiku akan datang.

Beruntung juga kerana aku sempat hidup di zaman ini. Zaman yang kita boleh menulis dan berkongsi dengan orang lain tanpa perlu ke syarikat penerbitan untuk menjadikan ia sebagai sebuah buku.

Agaknya, di zaman akan datang ntah macam mana bentuk bahan bacaan yang akan diinovasikan. mungkin tak perlu ada komputer atau talipon pintar. Baca melalui cermin mata khas agaknya.

Khamis, 7 Februari 2013

Kerana Tawaf

Perasaan amat gembira kerana apa yang dinanti sudah tiba. Sebuah jam tangan hitam jenama HIJRA hitam kini jadi milik aku.


Memang agak rimas bila dah bertahun-tahun tangan ini tidak digelangi dengan jam tetiba hari ini aku mengikatkannya di pergelangan. Bukan di sebelah kiri seperti kebiasaan orang tetapi sebaliknya di sebelah kanan. Pemakaian yang baik seeloknya berada di sebelah kanan, kan begitu sunnahnya?

Dah lah begitu, cara fikir juga kena ubah bila setiap kali hendak melihat waktu. Biasanya dari kiri ke kanan sekarang ini kena melihat dari kanan ke kiri. Sesekali rasa, seronok juga dengan cabaran minda yang baru ini.

Walaupun agak pelik bentuk dan saiz jam pada pandangan retro aku ini namun kerana rekabentuk yang mengikut konsep tawaf di Kaabah, aku cuba memecahkan tembok kejanggalan ini.

Harganya RM120. Kawan sekerja yang menjualnya. Dia sendiri pun membelinya secara atas talian dan sudah ramai kawan-kawan lain memakainya.

Kalau tidak kerana konsep tawafnya, mungkin aku masih bergantung pandang pada jam dinding atau jam di talipon bimbit!

Rabu, 6 Februari 2013

Durian Yang Ditebuk Tupai

Sempat berbual dengan seorang sahabat India semasa minum petang di kafetaria tempat kerja. Aku ajukan pandangan aku;

"Ramai kawan kita di sini, one by one sudah pencen. You also!"

"Yeah... sooner, all of us will be leaving. New comers take over our job."

"Kita sepatutnya menghargai kehidupan kita sekarang. Make it valuable!"

"Betul tu. Kita mesti hidup dengan happy. Jangan tension teruk-teruk. Takes easy dalam apa problem sekalipun."


Memang betul kata dia. Kalau ada masaalah kita anggap itu satu cabaran. Kalau ada yang kita tidak berkenan, kita jangan lihat pada yang tidak elok sebaliknya carilah apa yang baik dari dia.

Umpama buah durian yang ditebuk tupai. Sebenarnya, itulah durian yang terbaik. Kita kupas dan kita makanlah bahagian yang tidak rosak. Bahagian yag rosak kita buangkanlah.

Semasa usrah di Taman Pelangi tadi, aku tertarik dengan kata-kata bekas naqibku - Isa;

"Hidup kita di dunia pasti akan mengharungi pelbagai masaalah hidup. Kalau hidup kita sentiasa ok jer, tak ada apa-apa masaalah; ada yang tidak kena dengan  diri kita. Semaklah!"

Apapun, pergantungan diri kita terhadap Allah, jangan diabai...

Selasa, 5 Februari 2013

DASIM

Seseorang datang ke ofis aku petang tadi. Memang dah lama pun aku perasan dia ni seperti menanggung permasaalahan. Aku dah separuh abad hidup. Sekilas ikan di air boleh agak jantan betinanya!

"Macam mana nak mula ni." sambil garu kepala yang tunduk.

"Mulakan dari yang mudah." balasku.

Dia pun bercerita akan masaalah rumahtangganya. Mula-mula dia agak berahsia. Aku yang sikit sebanyak ada pengalaman  berdepan dengan orang-orang seperti ini cuba memancing kepercayaannya terhadap aku. Akhirnya dia akui bahawa masaalah rumahtangganya berpunca dari dia yang merasakan tidak mendapat 100% kepuasan nafkah batin dari isterinya. Maka dia bercadang mahu berkahwin satu lagi.

Perkara ke 2 katanya ialah sikap isterinya yang cepat berang. Punca yang kecil menjadi seperti terlalu besar. Nada suaranya selalu tinggi bila bercakap dengannya. Akhir-akhir ini isterinya mencabar supaya memukulnya jika dia berani. 

Aku beritahu dia bahawa perkara paling penting buat masa ini ialah SABAR. Juga berFIKIRAN WARAS. Juga bersikap TENANG.

















"Perempuan seumpama tulang rusuk yang bengkok. Maka luruskan ia dengan perlahan-lahan dan sabar. Mencari isteri  ke 2 mungkin boleh menyelesaikan masaalah nafkah batin akan tetapi belum tentu menyelesaikan semua permasaalahan hidup. Cubalah ikhtiar yang lain"

"Pandanglah anak-anak kamu. Pandanglah ibubapa dan ibubapa mertua kamu. Pandanglah masa depan keluarga kamu. Isteri selalunya berpandangan singkat. Sebab itulah tugas suami membimbingnya. Justeru itulah Allah tidak mengamanahkan lafaz cerai itu kepada isteri sebaliknya kepada suami."

Suasana di ofis sebenarnya tidak sesuai untuk sesi 'kaunseling' begini. Tapi setidak-tidaknya aku percaya dadanya akan terasa lega kerana dapat meluahkan apa yang berkemelut. 

"Kisah rumahtangga aku juga lebih kurang seperti kamu. Jika aku boleh pertahankan rumahtangga aku selama 28 tahun, kenapa tidak kamu. Yang penting ialah kamu - SUAMI! Suami yang hebat bukan yang pantas memukul isteri tetapi yang sabar dan teguh membentuk kerenah mereka."

Sebenarnya dia seorang lelaki yang baik. Tapi masih muda dalam mengendali rempahratus cabaran hidup. Aku sempat menasihatinya supaya berhati-hati dengan godaan syaitan yang bernama DASIM!

Isnin, 4 Februari 2013

Surau Menjadi Masjid

Pelan-pelan aku memujuk ibu_suri agar mengikut aku ke Taman Pelangi. Sahabatku, Isa menalipon aku  ketika otw balik kerja. Minta mengganti dia ke mesyuarat di sana. Dia ada kelas Bahasa Arab. Selepas itu dia ada satu urusan yang lain. 

Aku cuba menolak. Tapi jauh dalam hatiku tahu, ini satu tugasan dari jamaah yang perlu aku terima. Bagaimana aku nak meloloskan diri dari ibu_suri, aku tawakkal. Jika niat dan cara itu baik, aku percaya Allah akan beri jalan.

pengerusi mesyuarat yang cukup bersahaja...
Sesampai di sana mesyuarat dah berlansung hampir 3/4 agenda. Selepas memperkenalkan diri aku diberitahu bahawa mereka sedang merancang untuk menaiktaraf surau mereka kepada   masjid jamek.   Untuk itu, satu sesi bancian perlu diadakan ke atas seluruh penduduk Muslim  di Taman Pelangi. Di situ ada 16 blok. Setiap blok ada 5 tingkat. Setiap tingkat ada  8 buah rumah.  Hu... bayangkan  jerihnya  nak  turun naik lima tingkat untuk 16 blok. Justeru itu IKRAM menghulurkan tangan untuk membantu.

Nasib baik di sana ada kawan lamanya ketika sesama aktif dalam JIM dulu - Shaukiah Hanim. Adalah juga teman berbual. Aku tabik pada Shaukiah ini kerana dedikasinya pada kerja-kerja amal begitu tinggi sejak lama dulu.

Aku harap aku juga akan dapat menjadi begitu. Shaukiah baru saja kemalangan ketika menunggang motosikal ketika hendak pergi mengajar di kelas agama.

Aku khabarkan pada ibu_suri;

"Biasanya, kita akan kemalangan atau mati ketika mana kita sedang melakukan sesuatu yang menjadi amalan kita. Kalau kuat sembahyang, kita mati semsa sembahyang. Kalau kita selalu menunggang ke tempat kerja, kita kemalangan di sana. Macam Ustaz Taib Azamuddin - kena stroke semasa nak sembahyang Dhuha. Kenal Ustaz Taib Azamuddin?"

Ahad, 3 Februari 2013

Walimah Dayah & Que...2

Alhamdulillah, selesai dengan selamatnya majlis walimah anak perempuan blogger JH. Aku yang asalnya hanya selaku Timbalan Pengarah majlis akhirnya menjadi seperti Event Manager pula. Ke sana ke mari mengatur agenda majlis dan menampung mana-mana ruang kerja yang perlukan sokongan.

Mulanya dirancang, sebaik saja mempelai (sleng Penang sebut maplei), akan disertai dengan bunyian helikopter diikuti paluan kompang. Ntah dimana silapnya di bahagian konti, akhirnya aku bagi  signal teruskan saja dengan kompang.

Sebaik saja mempelai duduk untuk makn beradab, persembahan silat dimulakan. Aku dah berkali-kali berpesan pada JH semasa mesyuarat sebelum ini supaya jangan sekali-kali membuka langkah di gelanggang akan tetapi darah satria memang pantang dicabar.

Aku letakkan beberapa gambar aksi JH yang kalau ditempat kerjaku lebih dikenali dengan gelaran MASTER;

Dari kiri: blogger WN, JH (MASTER) dan aku


Bersalam dengan menantu memohon perkenan sebelum memulakan langkah.


Kunci mati

Rasanya inlah gambar aksi JH yang terbaik.
Semasa aku ke rumahnya yang beberapa langkah saja dari belakang rumahku untuk tapau nasi kenduri yang masih berbaki; aku bertanya kepada anak sulongnya:

"Mana abah?"

"Huh... Abah dah 'pengsan'...!"

Sabtu, 2 Februari 2013

Walimah Dayah & Que...1

Kalau dalam program A2G@Mydin aku dilantik sebagai Setiausaha, walimah anak blogger JH yakni Hidayah aku dilantik sebagai Timbalan Pengarah. Alasanya ialah kerana aku adalah jiran merangkap sahabat paling rapat. Keduanya kerana aku sudah ada pengalaman mengahwinkan Angah.

Makanya, aku uruskanlah seperti mana yang dimesyuaratkan sebelum ini. Kenduri anak JH ini istimewanya dirujuk dan dibincangkan oleh rakan-rakan Jamaah IKRAM. Ianya diharap akan menjadi satu role model kenduri yang diurus secara jamaie. Muga dengan cara begini keberkatan dari Allah melimpah ruah.

Agenda bermula dari persediaan makanan semasa majlis akad nikah siang tadi hinggalah kenduri pada siang nanti ditadbir oleh rakan-rakan seperjuangan. Maknanya, JH tak perlu susah payah membanting tulang 4 keratnya. Semua ditanggung beres oleh kesepakatan rakan-rakan.


Aku sebagai orang yang memegang amanah untuk memastikan majlis walimah Nurhidayah dan Quzzaimie berlansung dengan sempurna pening juga mengendalikan kerenah rakan-rakan yang berbagai. Tapi petua aku satu saja:

'Sabar dan tenang dalam apa saja situasi yang mendatang selama majlis kenduri ini berlansung. Jangan cepat melatah!'

Walaupun letih tapi dibaloikan dengan kepuasan!

Jumaat, 1 Februari 2013

Syukur Atas Segala

Sekejap saja bulan satu dah nak habis. Aura Tahun Baru dah mula tawar. Azam yang membara untuk perubahan diri tatkala menonton bunga-bunga api menerawang di bomentera semakin malap dan kemudiannya diterlupakan.

Buku Daie Sejuta Ummat tersimpan di laci. Sedikit sangat helaiannya yang diusik. Badan juga terasa berat memberi makna bahawa jisimnya seperti tidak luak walau se-gram.

Tapi yang ketara aku rasakan ialah kesungguhan untuk kembali bersama jamaah. Usrah, Qiamullail, Kempen Gaza dan ke Stadium adalah antara komitmen yang aku sendiri tidak tahu bagaimana ia terpancar. Alhamdulillah, syukur sesangat aku terhadap Tuhan atas ini. 

Aku guna laptop sebaik mungkin untuk kerja-kerja amal. Menggunakan Facebook sebaik mungkin untuk menyebarkan bahan-bahan bermanafaat. Dan bercadang mempunyai tablet sebagai e-book dengan hasrat untuk memuatkan memorinya dengan perisian Al Quran, Sahih Bukhari Muslim, Al Mathurat dan teks usrah. Makanya, tidak perlu lagi menggalas beg yang sarat dengan buku bila berpergian.


Dan tidak lupa, aku berbangga kerana disamping aku selain ibu_suri, ada seorang sahabat yang sentiasa ambil berat tentang aku dan kehidupanku. Syukur atas segalanya ini!