Halaman

Ahad, 31 Mac 2013

Hadiah Bersempena

Aku tak ingat sebab tak pernah ambil pusing. Namun tidak pada ibu_suri. 

"Hari ini Anniversary kita yang ke 27. You nak beli apa untuk I?"

Toinggg... Gheba apa pula nak mai ni. Aku rimas bab nak bagi hadiah bersempena ni. Tak reti. Citarasa aku dengan ibu_suri tak pernah sama. 

"Kita pi makan ajelah. Pi tempat special sikit."

Aku ambil kesempatan guna nama Angah untuk cover cadangan yang kurang digenari ibu_suri ni.

Tajam bibir ibu_suri menjuih bila dengar cadangan untuk makan di De Pauh Garden saja. Kalau begitu maknanya setuju ibu_suri cuma 70%. Kira orait la tu...

Sabtu, 30 Mac 2013

Keinsafan

Koleksi keset nasyid keluaran Pustaka Salam ini mengingatkan aku pada masa-masa aku baru kenal usrah dan jamaah sekitar awal 80an. Masa tu aku baru setahun dua bekerja di HITACHI, Bayan Lepas. Kuliah mingguan Dr Danial adalah tempat aku menghabiskan masa hujung minggu.

Aku mula beraleh dari mendengar lagu-lagu biasa kepada lagu-lagu nasyid. Seiring dengan keluaran album nasyid dari Pustaka Salam ini muncul album nasyid keluaran OVA Production. Yang akhirnya melahirkan kumpulan NadaMurni. Nama NadaMurni dikatakan diilhamkan oleh penerbit RTM masa itu.

Masa-masa ini jugalah aku bertemu dengan ibu_suri; cucu tiri seorang bangsa Pakistan. Anak kepada Mak Abah yang berketurunan  Rawa. Ada bau-bau bacang dengan Yusuf Rawa, agaknya..he..he..

Jumaat, 29 Mac 2013

Wajah Tanpa Senyum

Kalau nak dikutkan, memang terasa letih. Lepas sembahyang Maghrib aku berbaring di katil sementara ibu_suri masih terus menonton berita tv. Nak terus tidur memang tidak boleh. Angin ibu_suri akan naik.

Jam 10 selalunya Angah akan singgah sebelum balik ke rumahnya dari kerja. Dia akan bawa Marissa bermain sekejap  dengan ibu_suri. Kalau tak buat begitu, bergantang-gantang nanti rungut ibu_suri sebab rindunya pada cucu kesayangan tidak kesampaian.

Jam 11, ibu_suri minta aku bawanya berjalan-jalan. Malam ini kami ronda di Bandar Seberang Jaya tanpa tujuan. Jam 12.30 barulah dia bagi signal boleh balik. Lalu di kampung Pelet, ibu_suri minta aku belikan koey teow goreng di kedai makan Samba N. 

Seingat aku kedai Samba N ini beroperasi sejak aku mula pindah ke sini lagi. Maknanya kurang lebih dah 20 tahun berniaga. Masakannya memang sedap walaupun gerainya agak tersorok dan malap. Cumanya, dia berwajah tanpa senyum. Agaknya, memang dah semulajadi Tuhan menjadikannya begitu.

Namun bertuahnya dia kerana memiliki seorang isteri yang boleh dikira cantik juga. Paling penting, rajin membantuya berniaga!

Khamis, 28 Mac 2013

Caj

Tadi usrah dihadiri juga oleh beberapa sahabat Indon. Kami mengupas tajuk Sifat-Sifat Orang yang Hidup Untuk Islam dari teks tulisan Fathi Yakan - APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM. Rupanya, sahabat Indon ini bukan calang-calang ilmu agama mereka.

Ada 5 ciri-ciri yang digariskan;

1. Menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar beretorik sahaja.
2. Mengambil atau berbuat sesuatu yang mendatang maslahat kepada masyarakat Islam.
3. Berasa izzah dengan kebenaran agama Islam yang kita anuti.
4. Masuk ke dalam jamaah dan bergerak bersama jamaah ke arah memurnikan Islam ke dalam masyarakat.

Aku dapat merasakan betapa lazatnya diskusi kami sepanjang sesi usrah. Bila melangkah keluar dari Surau Taman Pelangi, aku bak sebuah bateri yang sudah lemah kuasanya mendapat caj yang baru. Itulah fungsi usrah yang sebenarnya. Setiap minggu sepatutnya mendapat caj baru sebagi bekalan tambahan dalam meneruskan kehidupan yang penuh mehnah dan dugaan.

Bagai selalunya, dalam perjalanan balik aku singgah di Petronas Hentian Sungai Juru. Disamping isi petrol, aku singgah membeli roti dan kacang buat bekalan semasa pemanduan. Aku perlu ambil 'angin' sebentar dulu sebelum balik supaya dapat melapangkan fikiran sejenak sebelum kembali memikul tugasan berhadapan dengan ibu_suri.

Biasanya ibu_suri akan minta dibawa bersiar walaupun jam sudah melepasi angka 12. Selepas selesai memenuhi kemahuan ibu_suri, aku akan mengadap laptop pula. Menulis entri baru dan kemudiannya mengemaskini blog calun PRU Pantai Jerejak.

Begitulah aku.... selalu!

Rabu, 27 Mac 2013

Tebus

Aku terima surat dari Tetuan Afif & Asrul. Mewakili Akhmal dalam kes kemalangan motor di Guar Petai tahun lalu hingga menyebabkan jari kaki Akhmal patah. Keras bunyi suratnya:

'JANGAN MENANDATANGANI SEBARANG DOKUMEN DARIPADA MANA-MANA PIHAK BERHUBUNG KES KEMALANGAN TUAN TERSEBUT TANPA KEBENARAN PIHAK KAMI.'

Aku tak biasa dengan kerja tebus insuran ini. Selama ini aku ingatkan kalau kemalangan kenderaan, hanya tebus insuran untuk baiki kenderaan je. Rupanya dengan 'putar belit' bijak pandai peguam seperti ini, boleh juga tebus kos rawatan, keederaan, kerugian tiada gaji kerana terpaksa duduk di rumah dan pelbagai kos lagi. Malah dalam kes Akhmal, oleh kerana motor yang dia langgar dulu itu tidak ada cukai jalan, penebusan dibuat kepada motor yang melanggar Akhmal dari belakang. Busuk-busuk kalau ikut kata runner yang urus insuran ini, Akhmal boleh dapat dalam lingkungan RM5000. 

Bukan main panjang angan-angan Akhmal bila dapat tahu itu. Hingga aku terpaksa bagitau dia - jangan harap sangat pada guruh di langit. Hujan belum tentu akan turun!

Ntahlah dunia ini. Kekadang penuh misteri yang tidak terjawap. Undang-undang yang kita sendiri buat, kita sendiri yang langgar.

Apatah lagi undang-undang Tuhan!

Selasa, 26 Mac 2013

Ayam Tandori

Selesai mesyuarat kali ke 4, team media pra-PRU13 di Taman Pekaka tadi. Tugas aku mengujudkan blog  milik calun Pulau Betong telah pun siap dan akan diserahkan kepada pic berkenaan esok untuk kemaskini seterusnya. Selepas ini aku perlu siapkan blog milik calun Telok Bahang. Target date ialah Rabu ini. Sempat ke? Try my best!


Esok dan hari seterusnya aku diarahkan untuk selalu kemas kini blog calun Pantai Jerejak yang diamanahkan kepada aku sepenuhnya. Mesyuarat tadi yang juga dihadiri oleh wakil media dari Sungai Petani (ziarah sambil belajar) memberi aku banyak input baru tentang konsep blog dan batas-batas penulisan. Laman web mantan presiden ke-2 Jamaah Islah Malaysia (kini  ADUN Hulu Kelang) dijadikan sebagai asas rujukan. Menulis blog bagi pihak ahli politik ni tak sama macam buat blog sendiri sebenarnya. Kena tahu sentimen calun dan kebenaran fakta yang akan ditulis. Bimbang nanti tulisan blog itu akan memakan diri sendiri.

Apapun, tidur jauh malam seperti akan menjadi kebiasaan. Semakin dekat dengan PRU akan semakin ligat team media kami membuat kerja. Blogger JH pula ditugaskan sebagi ketua gerak gempur. Aku angkat tangan bila dia mengajak aku untuk masuk ke team ini. Terus terang aku katakan, bukan bidang aku!

Sebagai buah tangan kepada ibu_suri kerana sudi ditinggalkan sendirian sementara aku bermesyuarat, aku belikan dia roti nan serta ayam tandori di Restoran Subaidah untuk makan bersama. Ayamnya memang sedap.

Aku agak dalam seminggu dua ini Parlimen akan dibubarkan. Aku agak ajelah..hik!

Ahad, 24 Mac 2013

Kerat Saja

Seperti yang aku tulis di sini, alhamdulillah, Akhmal baik-baik saja di 'dalam' sana. Bila aku tanya justeru baru perasan dia memakai unifom merah dan bukan ungu seperti mana OKT yang pernah aku lihat di berita tv;

"Baju ungu untuk yang kena tahan reman."

"Ooo... kira hang ni senior la ye!" Akhmal hanya tersengih.

"Bagaimana keadaan kaki?"

Dia mengangkat dan meletak ke meja. "Rimas lah ayah. Bila berjalan tak selesa. Kalau kerat bagi putus pun takpa la dari sakit macam ni!"

Aku angguk. Memang itu yang aku fikir bila worst come to worst. Cuma aku tak bersuara sahaja hinggalah hari ini dia menyatakan begitu.

Selepas mengisi borang belian barang keperluan untuk sebulan mendatang, kami balik. Masa melawat 45 minit aku guna cuma beberapa minit sahaja dan selebihnya oleh Along, Angah dan ibu_suri.

Dari jauh aku curi perhati gelagatnya yang berjalan dan menguak daun pintu untuk memasuk sel semula. Berjalan kaki ayam dengan terhincut-hincut. Hati ini disayat sayu dan belas. Uffsss.....

Masa Depan


Boleh ziarah Akhmal selepas 20hb ke atas disetiap bulan. Kebiasaannya, hanya aku dan ibu_suri saja yang pergi. Hinggakan aku pun dah kontang idea nak berbual apa dengan Akhmal bila setiap kali memegang gagang intercom.

Namun kali ini Angah dan Along akan ikut sama. Itupun setelah banyak kali ibu_suri desak. Kononnya Akhmal nak sangat berjumpa abang-abangnya dan juga Marissa. Bagi aku, ini sesuatu yang baik untuk Akhmal. Dapat juga aku 'rehat' dari berinteraksi dengan Akhmal. Biarlah abang-abangnya pula yang memain peranan.

Oh ya, aku perlu belikan baju putih seperti yang dia pesan bulan dulu. Juga beberapa majallah untuk dia baca dalam mengisi masa kosong di dalam sana. Mulanya ragu-ragu juga aku bila dia pesan hantar majallah. Setahu aku dia bukan suka membaca disebabkan sindrom Disleksianya itu. Tapi kenapa tidak aku belikan? Kalau pun mungkin hanya sehelai dua pun sudah memadai untuk dia mengasah semula minda yang terkurung di sana. Atau mungkin juga dia nak kongsikan dengan rakan-rakan selnya. Aku belikan majallah Ujang yang aku kira elok sedikit berbanding majallah Gila-Gila dan juga Mastika. 

Kalau tak ada apa aral lain, bulan 10 nanti dia akan dibebaskan. Aku tak tahu apa yang akan berlaku selepas itu. Aku pun buntu memikirkan ke mana harus aku petakan masa depannya. Cuma aku percaya, Allah Maha adil dan luas rezeki terhadap sekalian hambaNya!

Sabtu, 23 Mac 2013

Gendang Gendut

Sabtu adalah rutin biasa aku memandi, menyampu dan memotong kuku ibu_suri. Seperti biasalah juga aku akan lenjun. Selesai mandi, aku lap badannya dan carikan pakaian yang dia mahu pakai. Dan akan sediakan makan pagi dan ubat. Nyampang sempat ibu_suri ke bilik air. Jika tidak, kena mop karpet pula. 

Satu tabiat mutakhir yang aku kurang gemar ialah mahu makan di dalam bilik.

" Tak elok asyik makan dalam bilik. Kita makan di luar la sambil tengok tv. " pujukku. Tapi dia geleng kepala.

Mood ibu-suri yang ceria memudahkan sedikit kerjabuat aku menyelenggaranya. Selesai membasuh, aku mengadap komputer semula menyambung kerja membina blog ke 2 calun PRU.

" Abanggg.... Mai sini sat! " sambil mendepangkan tangan.

Aku bangun kerana tahu bahawa dia minta dipeluk. Sambil menghayun badan dengan erat, aku menyanyi lagu yang memang selalu aku dendangkan bila melihat dia 'gembira';

'Gendang gendut tali kecapi
 kenyang perut suka hati

Gendang gendut tali kecapi
Marissa dah datang suka hati.

Gendang gendut tali kecapi
Along dah balik suka hati.

Gendang gendut tali kecapi
Abang cuti sukalah hati.

Gendang gendut tali kecapi
Esok pi tengok Akhmal sukalah hati.'

Sambil itu terfikir aku bahawa ketenangan dan kegembiraan itu kekadang bukan datangnya dari duit yang bertimbun atau pujian yang menggunung. Ia datang dengan izin Allah yang mungkin melalui hanya dengan kehadiran anak yang balik dari perantauan.

Dan aku pun rasa gembira bila melihat dia gembira. Besarnya nikmat Tuhan. Itu sudah lebih dari cukup, rasanya.

Khamis, 21 Mac 2013

Terima Kasih, Blog!


Blog,

Maafkan aku kerana selalu mengadu keluh dan resahku saban waktu. Bagi aku, serabut yang bersarang di dada ini mahu tidak mahu mesti aku lampiaskan. Dan kepada kamulah semua itu aku tongsampahkan. Jika tidak begitu aku bimbang, aku akan jadi tegang. Atau paling aku tidak mahu akan menjadi gila.

Maafkan aku sekali lagi kerana selalu memetik butang-butang komputer tidak kira siang atau tengah malam. Justeru resah yang bersawang di dadaku ini juga tidak keruan jadual hadirnya. Sesukahati ia bertandang. Dan bila bertandang itu, jantungku akan berdebar-debar. Atau perasaanku jadi tak menentu. 

Kau tahu, selain menulis kepadamu; bila setiap kali resah itu bertamu, aku juga akan menarik nafas dalam dan menghembusnya sekuat hatiku. Bila begitu, sedikit sebanyak akan terasa lapang rongga dada. 

Kekadang juga bila resah datang bersekali dengan jemu dan buntu, aku ambil tuala. Di bilik mandi aku akan mencuci gigi, muka, rambut dan akhirnya seluruh tubuhku sepuasnya. Aku akan mandi semahunya. Aku akan menyarung pakaian yang paling aku suka dan sembahyang dengan sujud yang lama. Kemudian tidur di atas sejadah itu. 

Jika lebih meresahkan, aku akan ambil cuti tanpa pengetahuan ibu_suri dan memandu ke mana-mana RnR. Duduk di sana bersana komputer riba dan senaskah Harakah. Aku baca.. menulis.. sembahyang. Dan baca lagi…menulis dan sembahyang lagi hinggalah waktu petang. Akhirnya kembali ke rumah dengan harapan aku dapat kembali menatap wajah ibu_suri dengan dada yang telah pun lapang. 

Aku sebenarnya sayang akan isteriku walaupun sejarah perkahwinan kami kelabu. Aku sayangkan isteriku kerana Allah walaupun sebenarnya dia bukanlah seorang isteri yang aku harap dan angankan. 

Banyak perkara tentang hati dan perasaan yang tidak siapa tahu kenapa aku menerima luahan cinta isteriku dulu. Tidak siapa tahu apa sebenarnya yang ada dalam dadaku bila aku menyatakan pada mak bahawa aku ingin meminang kekasihku. Tidak siapa tahu kecuali Tuhan bahawa aku telah mengecewakan beberapa lagi wanita yang sebenarnya mengharapkan aku; yang sebenarnya lebih baik dari ibu-suri. 

Aku tidak reti untuk melihat kekecewaan hatinya yang menangis dan menangis di gagang talipon bila memberitahunya bahawa aku belum bersedia untuk bercinta. Dan kerana aku tidak tahu untuk menghampakan akhirnya aku menerima cintanya itu walaupun hati sebenarnya hambar. Dan kerana aku bukanlah lelaki yang pandai membelai dan memanjakan wanita maka rumahtangga kami selalu bergolak. Namun kerana prinsip hidupku: berkahwin biar sekali. Beristeri biar satu…. Aku pertahankan masjid yang kubina ini atas nama Allah.

Blog,

Terima kasih kerana engkau begitu setia bersamaku bila resah dan sunyi. Yang walau kekadang aku kekeringan ilham untuk menulis, memandang kamu pun sudah banyak melegakan jiwaku. 

Sekali lagi terima kasih. Agaknya, bila aku sudah tiada lagi di dunia ini, akan tinggallah kamu tanpa siapa lagi akan mengolek kamu! Doakan aku agar sentiasa tabah dalam hidup, setia menjaga ibu_suri dan sentiasa melangkah lurus di atas jalan Allah! 

Justeru aku lelaki biasa; yang entah apa-apa dan tidak pandai dalam apa-apa tapi masih mahu meneruskan hidup. Cita-citaku sekarang ini adalah ingin terus menjaga ibu_suri disamping terus menabur bakti kepada masyarakat melalui jamaah yang aku ada ini.

p/s: catatan ini terlalu peribadi. Tetapi aku tega menulisnya untuk koleksi biografi diri. Harap baca dan tamat di sini sahaja. Jangan kasi tau sama ibu_suri, ya...

Selasa, 19 Mac 2013

Penghargaan

Baru balik dari mesyuarat mingguan team media. Sepanjang jalan aku lihat semakin meriah pondok-pondok gerakan parti dengan kibaran bendera. Seperti dah siap siaga menanti semboyan dibunyikan.

Tak sangka, usaha aku membina dan menyelenggara blog (insyaAllah) bakal calun PRU13 mendapat penghargaan dari rakan team media. Akhirnya, mereka meminta aku tolong buatkan juga blog untuk 2 lagi bakal calun.

"Buat tu ok tapi nak kemaskini dan selenggara itu kena bagi orang lain lah. Satu blog yang saya jaga ini pun boleh tahan juga bersekang mata setiap malam!" jawapku.

Aku diperingatkan supaya membuat backup untuk blog bakal calun PRU aku ini. 

"Bukan mustahil akan kena hack..." kata mereka.

Betul juga tu. Tapi macamana nak buat backup? Aku garu kepala. teringat akan blog Warna-Nostalgia yang pernah kena hack oleh seorang lelaki dari Afrika. Berhari-hari juga aku dan blogger WN memecah kepala mencari jalan mendapatkannya semula.

Terasa puas kerana dapat memberi sumbangan secara lansung dalam memenangkan bakal calun PRU dari jamaah aku sendiri.

Aku masih ingat pesan dari pemantau team media;

"Walau apapun usaha kita, dasar kerjabuat kita mesti dijaga yakni berakhlak, bercakap atau menulis berdasarkan fakta yang sahih dan menjaga amal ibadah. Biarlah jika ditakdirkan kita kalah bertanding tetapi tidak kalah dalam menjaga akhlak yang baik."

Aku hargai pengorbanan ibu_suri yang sedia ditinggalkan sendirian di rumah. Kemudiannya setia menanti aku balik.

Sudah semestinya, bila aku balik saja di rumah, aku kena luangkan masaku pula untuk menyelia keperluan ibu_suri.

Ahad, 17 Mac 2013

Makan Cekam




Sejak 2 hari ini ibu_suri mengadu sakit pada hujung jari manis tangan kirinya. Mulanya aku buat biasa saja dengan anggapan bahawa ia akan baik sendiri. 

Namun, tatkala balik dari kerja tadi; ibu_suri yang sudah siap sedia menunggu aku di katil bilik, mengadu dengan menunjuk jarinya - mula membengkak.

"Kena duri kut?"

"Tak!"

"Kena selumbaq le tu.."

"Dak.."

Aku ambil cermin mata dan membelek jari ibu sekali lagi.

"Makan cekam ni. Tu la.. abang selalu pesan. kalau potong kuku, potong cara lurus; jangan potong sampai ke tepi dan dalam. Jari you bukan macam jari abang; kuku tumbuh menjang di atas kulit. You punya kuku letak bawah dari kulit. Jadi bila yang baru tumbuh ia akan tikam kulit tu."

sumber
"Abang nak talipon sapa?" Bila ibu-suri melihat aku tercari-cari talipon bimbit yang ntah dimana aku letak tadi.

"Talipon Yanti minta carikan inai."

Itu ajelah yang aku tahu. Tahu sebab pernah lihat mak berbuat begitu semasa kami kecil dulu.

"Rasa berdenyut-denyut la, bang!" ujar ibu_suri sebaik saja selesai Yanti (anak saudara yang tinggal selang beberapa rumah) membubuh inai; bukan sahaja pada jari yang sakit tetapi kesemua lima jari tangan kiri ibu-suri.

"Tu maknanya proses perubatan sedang berlaku. Nak sembahyang macam manalah agaknya  nanti ni?" Soal ku...

"Wudhu' I masih ada lagi. I tak kisah..." senyum menguntum di bibir ibu_suri. Maknanya...orait le tu...


Sabtu, 16 Mac 2013

Emosi

Dua tiga minggu ini aku kerap tidur lewat. Banyak habiskan masa di depan komputer riba. Membaca dan menulis blog, mencari bahan untuk blog calun PRU, membaca FB dan juga melayan kemahuan ibu_suri yang mahu mendengar ceramah politik dari YouTube

Kekerapan memperdengarkan ceramah politik untuk ibu_suri mulanya memudahkan aku untuk membuat kerja-kerja di komputer tapi lama kelamaan aku dapat merasakan kesan negatif pula. Pengaruh dari ucapan-ucapan ahli politik menukarkan emosi ibu_suri kepada lebih agresif. 

Malah hingga ke sayu tahap dia berkata:

"I tak mahu balik kampung jumpa mak you sehinggalah habis pilihanraya. mak you UMNO. I tak mahu nanti tercakap apa-apa yang tak baik denga dia. You dengar tak?" 

Apa yang boleh aku katakan melainkan angguk kerana aku memang dapat rasakan itu akan berlaku. Susah juga melayani emosi orang yang separa normal ni. Kalau tak cukup sabar dan berpandangan jauh, berbagai perkara negatif boleh berlaku. 

PM ni pun, ntah bila lah nak umum pilihanraya. Lagi lama ditanguh, lagi letih aku dibuat oleh ibu_suri.

Khamis, 14 Mac 2013

Kuatkan Jiwaku, Allah!

Minggu ini aku tak dapat kemana pun. Hajat nak pergi ke bilik gerakan Team Media untuk buat kerja-kerja PRU pun tak dapat. Nak pergi ke program usrah gabungan juga tak dapat. Sejak Angah sekeluarga berpindah ke rumah baru, banyak sangat etongnya ibu_suri ni.

Along pun seperti dah lama tak balik. Tak  balik satu hal. Talipon pun tidak. Aku  macam abah aku juga, tak kisah sangat sebab aku  tahu, dia ok saja di sana.  Cuma ibu_suri  yang asyik  merengek bertanyakan Along, kenapa dah lama tak balik.  Sebenarnya, Along  ni  macam  aku  jugalah  agaknya . tak  reti  nak  bertalipon sangat. seperti tak tahu nak sembang apa.


Sekalipun  nak mengadap komputer dan cari idea nak update blog calun PRU pun tak senang aku dibuatnya. Sekejap-sekejap...abang. Sekejap=sekejap.... abang. Ada saja yang dia minta aku buat. dan jika tak dibuat secepatnya, selagi itulah dia akan abang....abang... dan kalau tak buat juga dia akan membilang...satu...dua....tiiii......


Kekadang, bila terlalu rimas, bosan atau geram, aku lompat ke katil dan pejam mata. Kekadang, bila terdengar suara Marissa datang pun aku buat tak tahu.


Ntahlah, muga Allah akan terus kuatkan jiwaragaku dalam meneruskan pertanggungjawaban menjaga ibu_suri. Aku tahu, hanya aku saja yang mampu menjaganya... Tidak Along, tidak Angah... jauh sekali Akhmal!

Rabu, 13 Mac 2013

Anak Kecil Main Api!

Bukan kerana tak ada idea. Bukan kerana malas. Tapi kerana hati tidak tenteram sari dua ini. Semalam, kawan hantar satu klip video. Aku convert dan pautkan di lagu latarbelakang blog ini. Dengar dan fikirkan sendiri.

Sesekali dengar lagu ini, naik juga semangat keMelayuan. Tapi banyak kali aku berfikir, beginikah budaya yang diterapkan ke dalam jiwa bangsa kita? Tapi ini mungkin lebih baik dari lagu cinta yang melimpah ruah di  pasaran. Hebatnya lagu dalam membentuk arca pemikiran kita.

Tadi juga terjumpa klip video ini melalui FB kawan. Alangkah hebatnya anak ini jika dia juga anak kita!

Sila OFF lagu latar

Selasa, 12 Mac 2013

Siqah

Baru balik dari mesyuarat pra PRU13. Ini adalah kali pertama aku terlibat secara lansung dalam gerakerja kempen. Sebelum ini aku cuma tolong secara ringan saja.

Aku diamanahkan menulis blog dan mengeluarkan entri sebanyak 2 kali sehari. Tak tahu sejauhmana aku mampu. Peringkat pertama ini lebih kepada memperkenalkan bakal calun tetapi bukan atas tiket ADUN sebab parlimen belum lagi dibubar.

Pengalaman ini terlalu baru bagi aku. Perasaan bimbang dan mahu bercampur baur. Maklumlah, kami sedang bertempur dengan pihak yang mempunyai pelbagai pengalaman, kuasa dan prasarana hebat. Namun aku berpegang pada prinsip bahawa ini adalah arahan jamaah dan mesti siqah terhadapnya.

Selepas ini aku mungkin akan lebih sibuk untuk mencari bahan bagi mengemaskini blog calun. Aku perlu kreatif dan cergas. Seronok pula kerana dapat bekerja dengan anak-anak muda lepasan USM. Cergas tetapi tetap menjaga amal ibadah. 

Aku harap blog aku sendiri tidak terpinggir. Mungkin aku terpaksa memikirkan untuk membeli talipon pintar bagi menggantikan talipon cokia' aku ni supaya maklumat lebih cepat sampai dan dproses. Tapi, talipon jenis ini selalunya mahal.

Tadi masing-masing menunjukkan talipon mereka yang mempunyai kemudahan WhatsApp dan terbaru Vchat. Nampaknya tertinggal jauh aku nih!

Sabtu, 9 Mac 2013

Pindah

Aku talipon Angah; " Bila nak mula tidur kat rumah baru?"..... Diam.

"Bolehlah mula sekarang sebab ayah cuti 3 hari. Nanti bila ayah kerja balik, Angah duduk balik sini. Hujung minggu depan boleh tidur sana balik. Pelan-pelan keluar dari rumah ni taklah nanti ibu terasa sangat hang takda." saranku.

Semalam, ibu_suri tertanya-tanya bila Angah beria-ia mengemas pakaian Marissa.

"Alaaa.... Takkan nak tidur sana. Sunyilah ibuuu..."


"Takpa la dia nak tidur rumah dia sendiri. Sari dua ni jer... Nanti Isnin Ayu cuti, Marissa duduk rumah kita balik lah!" Aku menyampuk.

Sebek wajah ibu_suri. Tapi aku tahu, mahu tidak mahu Angah mesti belajar hidup sendiri. Sebelum terlambat, aku tidak mahu antara Ayu dan Angah ada perselisihan semata-mata kerana orang ketiga yakni aku dan ibu_suri. 

Hal ini bukan mustahil. Justeru itu aku merasakan lebih baik Angah duduk di rumah  sendiri.  Kata  orang,  bila  jauh  bau   wangi.  Kalau  dekat  bahu   tahi.
Pada ibu_suri bukan sangat berpisah dengan Angah atau Ayu tetapi lebih kepada cucunya. Tapi tak mengapa, aku tau benar. lambat laun ibu_suri akan menerima hakikat ini. Tugas akulah sebagai suami memberi dia faham, memujuk dan mengisi kekosongan. Tugas aku juga sebagai Ayah menunjukkan cara dan jalan pada Angah untuk menerokai kehidupan masa depan yang bagi dia terlalu baru dan janggal.

Dan kami pula akan kembali semula sepertimana kami baru kahwin dulu. Bezanya, dulu kami muda sekarang kami sudah tua!

Jumaat, 8 Mac 2013

Macam Siput

Seminggu ini talian internet aku terlalu menyiput. Nak buka FB pun siksa... terkedek-kedek!

Aku bukanlah pandai sangat bab-bab internet ni. Sekadar tahu permukaan ilmunya saja. Lainlah kalau macam Along. Bukan takat perisian lembut, perisian keras pun dia tahu. Komputer meja aku tu ada saja yang tak kena bila dia balik. Kelebek sana, kerobek sini. Selagi dia ada di rumah, terbongkanglah segala tali perut dan urat saraf komputer tu. Kata Along, komponen komputer nanti taklah terlalu panas sebab edaran angin lebih banyak.

Itu juga sebabnya kenapa dia larang aku membatalkan langganan Streamyx bila aku beraleh ke Celcom. Kalau muaturun guna Celcom... lambat, ujar Along.

teringat pulak masakan mak!
ihsan: Izzah Muffin Lover
Yelah tu! Aku memikirkan pasal bil. Sapa yang akan bayar sampai 2 jenis jalurlebar kalau tidak..... ayahhhhh jugak!

Aku teringat pesan Along bilamana talian Celcom aku kena sekat dulu, Along suruh aku hubungi careline center dan buat penyambungan sementara. Jadi, kali ini aku percaya, masaalah talian yang macam siput ni pun mungkin boleh diatasi. Macam mana? Aku pun talipon Celcom.

"Encik punya kapasiti data muaturun dah melebihi kuota 1.5G. Bila gitu, talian encik memang akan lambat. Kalau encik mahu, saya tambah kuota tapi kena caj 1G sebanyak RM15."

Ooooo... Betula. Akhir-akhir ini aku memang banyak memuaturun lagu dan klip video. Sejak Along install Internet Download Manager (IDM) aku jadi asyik.

Oklah untuk tambahan kuota 1G lagi. Aku perlu sudahkan tugasan aku membina blog calun PRUku menjelang mesyuarat Team Media Isnin ni.

Huu... rupanya, bila dah dapat tambahan 1G, baru aku rasa betapa lajunya dunia siber. Buat apa nak susah-susah menyiput. Aku akan ke Celcom untuk tambah kuota G!

Rabu, 6 Mac 2013

Fendi

Berita tentang Fendi terlibat dengan kemalangan lori langgar lari rupanya memberi impak negatif pada ibu_suri. Seharian ibu_suri berwajah tanpa seri.

Fendi adalah satu-satunya kawan Akhmal yang aku kira ambil berat perihal Akhmal. Semasa Akhmal di mahkamah atau di hospital, Fendilah yang rajin melawat. Walaupun Akhmal kekadang bersikap kasar, Fendi tidak ambil hati lama.

Diberitahu, Fendi kemalangan semasa bekerja menghantar barang dengan motor hari Jumaat sudah. Dia segera dikebumikan di Kampung Pelet, tak jauh dari kediaman aku ini.

bagai anak kecil
Memang ibu_suri benar-benar murung. Walaupun aku cuba berbuat 'lawak bodoh' semasa membawa dia bersiar-siar seperti selalunya selepas balik kerja tadi, dia tetap membatu di sebelahku.

"Abang seronok ya?" getusnya.

"Yelah... Kalau abang pun sedih macam you, dunia ni jadi sedihlah. Tak ceria. Apa yang kita boleh buat jika Allah sudah pun memanggil dia. Kita doakan saja muga dia sejahtera di alam barzakh."

"Nak bagitau Akhmal macam mana?"

"Yang itu kita fikir kemudian. La ni, kita pi bank dulu; masukkan duit sumbangan untuk tabungan gerakkerja PRU."

Wajah ibu_suri masih suram. Aku tahu, balik nanti dan melihat wajah Marissa - cucunya, suram itu akan beralih. Fendi memang kerap datang ke rumah semasa Akhmal masih ada. Malah tidur dan makan bersama. Tidak heranlah kalau sedikit sebanyak, pemergian Fendi memberi kesan terhadap emosi ibu_suri yang memang dah sedia maklum; kekadang seperti anak kecil...

Selasa, 5 Mac 2013

Tidur Yang Pendek

Baru balik dari mesyuarat gerakerja PRU. Sekalipun peristiwa berdarah di Sabah menurunkan sedikit kepanasan suhu piliharaya, namun kerja perlu diteruskan.

Seperti yang diduga, aku ditugaskan untuk menyelenggara medium blog. Akan ada seminggu sekali secara tetapnya mesyuarat pemantauan kerja. Alhamdulillah, walaupun ibu_suri masih tetap dengan ragamnya namun secara keseluruhan dia menyokong aktivisma aku ini. Makanya, aku kena kuat semangat untuk terus bangun dan bergerak. Sabar dan selalu memandang kehidupan secara positif.

Masa tidur yang pendek memang sudah menjadi kelaziman. Sama seperti sahabatku blogger JH yang diarahkan mengetuai unit gerak gempur. Itu berasaskan kepada kecengelannya dan kemantapan ilmu persilatan yang dia ada.

Subhanallah
Kalah menang adat pertandingan. Allah tidak tanya - apakah kamu telah berjaya sebaliknya Allah bertanya - adakah kamu telah berusaha.

Aku yakin, aku berada di pihak yang benar. Aku yakin Allah akan bersama dengan orang-orang yang ikhlas dalam perjuangan. Tidak semesti nya setiap usaha itu akan berjaya. Tidak semestinya juga setiap kegagalan itu tanda Allah tidak hargai usaha kita. Kekadang, kegagalan itu lebih baik berbanding kejayaan yang mungkin akan melalaikan.

Selepas ini aku mungkin sibuk dengan blog calun DUN yang aku dokongi. Namun aku juga berharap agar blog aku tidak pula terabai. Ntah kenapa 3-4 hari ini internet aku cukup lembab macam siput - haiwan jenis moluska itu. Dan buat julung-julung kali juga, 2-3 hari ini aku cukup cuak untuk menonton berita TV!

Sabtu, 2 Mac 2013

Balik Kampung

Aku baru saja balik dari kampung. Sempat bersembahyang Jumaat di Masjid baru Al Khairiah. Tidak ada rasa apa-apa yang istimewa melainkan sekadar ianya hanya sebuah masjid yang baru.

Masjid Al Khairiah
Aku menghabiskan banyak masa di bilik mak dan dapur. Berbual dengan mak sambil melayan kerenah ibu_suri. Maklumlah, mahu memastikan hubungan baik antara mak mertua dan menantu, bukan senang juga. Masing-masing adalah   penghidap srtoke. Kesan stroke pada mak ialah lumpuh sebelah kiri badan sementara ibu_suri mengalami kerosakan di sebahagian saraf otak hinggakan terpaksa menjalani rawatan di unit Psikiatrik. Pesakit stroke biasanya mengalami ketidakseimbangan emosi.

Ini musim Pilihan Raya. Satu suasana yang sangat sensitif kerana masing-masing ini berlainan bendera. Kenapa aku berusaha balik awal ke kampung ialah kerana mahu mengelak dari terpaksa balik ketika demam Pilihan raya berlansung. Lagilah kritikal.

Aku balik selepas selesai sembahyang Maghrib dan jama' Isyak. Mak dan adik-adik bagai terkejut bila aku balik hari saja; tidak tidur di rumah. Aku memberi alasan untuk melihat Akhmal di Sungai Petani. Mak sebenarnya tidak tahu Akhmal sudah hampir setengah tahun di sana. Sengaja aku tidak beritahu!