Halaman

Selasa, 30 April 2013

Anak Bulan Di Putra Jaya

Agak mengejutkan juga bila tiba-tiba majikanku mengisytiharkan hari Isnin 6/5/13 sebagai hari cuti. Bagi aku, ianya satu pertanda baik.

Segera aku memanjangkan emel tersebut kepada beberapa orang kawan dengan kata-kata:

" Ha.. ha... Satu pertanda baik, bulan hampir kelihatan di Putra Jaya. Pastinya selepas ini aku akan merindui Bersih dan bas Jelajah Merdeka!"

Aku pun baru perasan yang esok adalah cuti hari Buruh. Ralit menyiapkan kerja-kerja untuk IQA odit 8hb ini buat aku tak perasan waktu begitu pantas berlalu mendekati Hari Mengundi.

Cepat-cepat aku semak lokaliti pengundian. Tiba-tiba pecah ketawaku bila terbaca  - Saluran 2, SR Bayan Baru.

'Arghh.... Aku dah masuk dalam kategori saluran 2 rupanya...'

Lokaliti ibu_suri pula saluran 2 di SK Guar Perahu. Saluran 2 ini terletak di bawah berbanding tahun lalu dia terpaksa mendaki tangga untuk ke saluran 4.

Piliharaya 13 ini seolah-olah satu tazkirah pula pada aku supaya sedar akan kodinit aku sekarang!



Isnin, 29 April 2013

Andropos Seorang Lelaki


Hari ini aku memang betul-betul tidak ada form. Serba malas dan tak bersemangat. Aku pun tak tahu kenapa. Seperti tidak sabar menunggu umur 55 untuk bersara dan membuat kerja-kerja amal sahaja.

Mungkinkah ketumpulan mood ini disebabkan keletihan menjaga ibu_suri yang setiap ketika bergantung kepada aku? Atau kehambaran semangat ini kerana tekanan kerja yang berterusan sejak puluhan tahun dulu?

Atau mungkin juga kemandopan diri hari ini kerana amal ibadah yang stereotype tanpa ada penambahan kuantiti atau peningkatan kualiti?

Semalam aku beli sehelai baju semasa hadiri ceramah politik di Dataran Rakyat berhampiran Pusat ADUN Penanti. Kemeja yang dibuat dari kain pelikat itu berharga RM50 sepasang. 

Kenapa aku membeli baju itu kononnya  ialah mahu keluar dari kebiasaan hidup yang stereotype inilah. Ingin memakai baju yang berwarni; yang sebelum ini kegemaran aku ialah berbaju 1 warna yang malap. Kata Fadhilah Kamsah - pemakaian juga boleh menceriakan mood yang suram.

Ntahlah... tapi apa yang pasti, sejak umur meningkat dan anak sudah besar ini, aku mula merasa seperti ingin berfikir dan bersikap di  luar kotak. Ingin mencari keceriaan hidup, melakukan sesuatu yag dulu amat terbatas dan memiliki sesuatu yang dulu amat dikedekutkan.

Inikah yang dikatakan monopos...err... andropos seorang lelaki? 

Ahad, 28 April 2013

Berkocak Semula

Selalunya bila hujung bulan, selepas dapat gaji, aku akan ziarah Akhmal di Sungai Petani. Maklumlah... menziarahi dia ini tidak boleh dengan tangan kosong. Paling tidak RM100 mesti ada.

Dia nampaknya teruja untuk keluar awal atau parol. Katanya, mungkin bulan 8. sempatlah berHari Raya di rumah. Akan tetapi sebaliknya - aku, tiba-tiba dada diserbu resah. Resah bila mengenangkan ketenangan aku di rumah akan berkocak semula. Berkocak bukan kerana akan kembalinya Akhmal ke sisi tetapi pandangan jiran dan perangai lamanya itu yang dibimbangi akan berulang.

Otak aku mula berfikir ligat - apa yang perlu aku perbuat. Takkan membiar masa yang menentukan masa depan hidupnya?

"Kawan Akhmal ajak Akmal berniaga. " Ujar dia. Kawannya itu pun sebenarnya baru saja keluar dari sel sebulan lalu.

Aku tak terkata apa. Diam.

Beratnya tanggungjawap yang terletak di bahu seorang bapa ini rupanya. Anak ini walaupun se'busuk' mana baunya, mahu tidak mahu perlu diambil pedulikan.

Masih ada 4-5 bulan lagi. Masih ada ruang untuk berfikir walaupun tidak lama sebenarnya...




Sabtu, 27 April 2013

Hati Seorang Tua

Aku ziarah mertuaku di Taman Buah Pala tadi petang. Mereka berdua memang uzur. Acapkali mengeluh kerana ada diantara anak mereka yang lansung tidak menjenguk.

Udah nak Maghrib barulah abah melahirkan keinginannya nak membeli barang keperluan dapur. Katanya, dia lebih senang berpergian dengan aku sebab aku tidak banyak kerenah dan memahami sindromnya yang kerap buang air kecil.

Yelah... Aku sendiri pun kini sedang melalui zaman usia tuanya dulu. Pengalaman aku menjaga ibu_suri yang lebih  cerewet lagi bengkeng di tahun-tahun lalu telah banyak membentuk sikapku untuk memahami, bertolak ansur, mendahulukan kebajikan mereka berbanding diri kita, tenang dan take it easy dalam menangani kemahuan mereka.

Balik dari membeli barangan di kedai kegemaran abah di Tanjung, abah minta untuk singgah beli mee goreng mamak di lorong tepi pasar Jalan Jelutong. Sementara menunggu, ralit aku melihat mamak itu menggoreng mee. Aku kira, inilah baru dikatakatan rezeki hasil dari titik peluh sendiri. Penuh keberkatan dan halalan thoiyibban.


Jumaat, 26 April 2013

Daun Yang Gugur

Kawan aku yang sesama datang kerja tahun 1982 dulu, memanggil aku untuk menghadiri majlis hi-tea sempena hari terakhirnya bekerja hari ini. Dia akan bersara mulai 28 hb  ini.

Begitu pantas masa berlalu rupanya. Walaupun kami berlainan bangsa dan agama tapi makan, berbincang malah bergaduh bersama. Hari ini dia mendahului aku. Bulan depan pula akan ada seorang lagi geng surau  mendapat medical board dan akan meninggalkan kami juga.

Generasi baru semakin ramai mengisi jawatan-jawatan yang kami sandang dulu tapi kini kami tinggalkan atas nama kenaikan pangkat.

Yalah... Setiap daun lama akan gugur dan diganti dengan daun baru. Inilah fitrah alam. Sungguh tak sangka bahawa aku kini sudah menjangkau usia tua sepertimana dulu aku melihat mak dan abah aku tua.

Bila duduk di surau menanti waktu masuk, merenung diri dalam-dalam, timbul rasa gementar teringatkan ajal. Persis harta-harta yang aku kejar sebenarnya tidaj boleh berbuat apa-apa.. Alangkah manisnya masa-masa lalu walaupun ketika itu terasa pahit.


Khamis, 25 April 2013

Langkah Ke Masjid

Selepas solat Asar tadi, seperti biasa majlis taalim diadakan di belakang saf. Aku yang masbu', selesai sembahyang terus bersila mendengar. Bersama dalam majlis ilmu adalah lebih afdal berbanding zikir atau berdoa lepas sembahyang.

'Daripada Beraidah bin al-Hasib al-Aslami, Nabi s.a.w bersabda:

"Berilah khabar gembira kepada orang yang berjalan ke masjid di dalam kegelapan malam bahawa mereka akan mendapat cahaya pada hari Kiamat." (HR Abu Daud dan at-Tirmizi) 

Itulah ayat yang dibacakan. Yang tetiba menyentuh kalbu. Yang tetiba membuat aku menggelengkan kepalaku tanda aku perlu menyemak semula kelemahan di dalam amalku.

Yang juga membuatkan aku terasa ingin berkongsi dengan sekalian kamu!


Salonpas...2

Dah banyak hari ibu_suri mengadu sakit pinggang. Bagi aku, lumrah. Banyak sakitnya ibu_suri ini. Selalunya akan hilang begitu saja selepas beberapa hari. Atau beberapa minggu.

Bila dia bertanya; kenapa tidak bawanya ke klinik -  aku jawap;

"Abang dah boleh agak jawapan doktor. Sama macam dulu juga. Kena jaga makan dan senaman sebab obes... Akhirnya, doktor akan bagi minyak kayu putih tu lah untuk sapu."

Dia minta aku picit-picitkan pinggangnya sebelum aku pergi ke hot spot kebiasaanku. Aku perlu teruskan  kerja-kerja PRU.

Aku pun picit-picitlah. Pastinya picit itu atas rasa kebertanggungjawaban seorang suami. Aku tahu, bukan sangat picit itu yang dia tagih. Dia lebih mahukan rasa kepedulian seorang suami. Kepedulian itu pula akan lebih hangat jika  diberikan dengan sepenuh hati.

Kenapa tidak belikan Salonpas? Hmm... ya tak ya! Mungkin dengan sedikit usaha tambahan itu, ada kelegaan pada lenguh dan sakit pinggangnya.

Aku bergegas ke farmasi walaupun masa aku sudah lari banyak dari sasaran. Hujan malam yang renyai-renyai menuntut keterbukaan dan kesabaran yang bukan sedikit!

Ahad, 21 April 2013

Penamaan Calon Bayan Baru

Semalam, sepagian aku di menghadiri penamaan calon bagi Parlimen Bayan Baru. Bayan Baru di isi oleh 3 DUN - Batu Uban, Batu Maung dan Pantai Jerejak. Istimewakan... di celah 2 Batu ada 1 Pantai.


bermula dari sini...


Parlimen dan DUN kesemuanya dari PKR

Keluarga Hj Rashid - calon yang aku buat kerja untuk kemenangannya

berhimpun di hadapan SJKC Min Sin

antara kreativiti penyokong pelbagai bangsa

kekadang ujud kebersamaan yang tidak dirancang


sebab itu aku tak suka bergambar. siapa jurukamera nih?.  
aku nak 'saman'..


Boleh juga baca selanjutnya di sini...

Sabtu, 20 April 2013

Bangkok Tomyam

Mulanya aku bercadang untuk pergi ke An Nahdhoh, Kubang Semang malam ini. Ada himpunan memperkenalkan calon PRU, khabarnya.

Tapi rupanya, hari ini hari ulangtahun Ayu. Seperti selalunya, ibu_surilah yang ingat semua tarikh ini. Dan seperti biasa jugalah, ibu_suri beriya-iya benar hendak meraikannya.

Aku ikut saja walaupun Ayu berkali-kali menyatakan tak perlu susah-susah. Bagi aku keluarkan sedikit wang untuk menyempurnakan apa yang ibu_suri mahu itu tidak sesusah jika tidak memenuhinya. Lagipun sekarang ini baru aku memahami betapa perlunya makan bersama di lokasi yang lain dari selalunya untuk mengekal mood yang ceria dan segar dalam silaturrahim kekeluargaan.

Cucu cilik yang tak reti duduk sengap

Aku pulangkan kepada Angah untuk memilih lokasi. Dan dia memilih Bangkok Tomyam. Berbanding De Pauh Garden, Bangkok Tomyam kurang memuaskan perkhidmatan dan menu. Tapi Tomyam ayamnya memang sedap. Pedasnya.... dah kenyang baru terasa!

Jumaat, 19 April 2013

Prinsip

Hari ini tak semena-mena aku telah melanggar prinsip hidup yang memboikot McD dan KFC. Ini gara-gara melayani kehendak 2 orang.

Petang tadi seorang kawan berbangsa Cina mengajak aku keluar makan bersama. Kawan sekerja  yang telah pun bersara pada November tahun lalu. Aku membawanya ke Auto City. Katanya nak singgah makan di McD. Kami berborak hampir 2 jam di sana. Dia lebih banyak bercerita berbanding aku yang banyak mendengar.

"Sorry ya... I cakap banyak hari ini. Seronok dapat jumpa you. Lama kita tak sembang!"

"Its okay. Gentleman memang macam tu. Lebih banyak listen.." Jawapku sambil ketawa.

Bila malam pula, lepas melayan cucu, ibu_suri ajak keluar jalan-jalan ke arah Kepala Batas. Beberapa kali terjembong dengan kumpulan orang sedang memasang bendera. Kepala batas... pastinya bendera biru!

Sesampai di Bangunan Kailan, tiba-tiba ibu_suri minta aku belikannya KFC.

"Bukan boikot ke?.." soalku.

"Sesekali je.. Takpa kan.. bang! Abang baikk..."

Iyelah tu.. Masak dengan fe'el ibu_suri, aku pesan dinner plate Korean Spicy. Terlanjur dah membeli, teringin juga nak rasa perisa baru ayam KFC ni. Boleh tahan juga...

Muga-muga Allah ampuni kelemahanku ini. Sibuk menyuruh orang boikot produk bermotifkan Israel, aku sendiri yang terpaksa menelan ludah sendiri! 

Rabu, 17 April 2013

Kempen

Sekarang ini aku berada di Restoran Makbul, Seberang Jaya; hot spot aku bila inginkan ketenangan menulis di waktu malam. Aku habiskan banyak masa di sini untuk mengemaskini blog calon dari jamaah untuk PRU13.

Semakin dekat dengan PRU semakin menuntut masa untuk memantau blog calon. Justeru itu maaf kerana aku tidak punya masa untuk ziarah blog kalian. InsyaAllah, selepas 5hb nanti aku akan singgah dan komen blog kalian semua.  Tapi sudah pastinya, blog aku akan tetap aku cari masa untuk menulis.

Kempen semakin kotor sekarang ini. Dikhabarkan bahawa calon PRU yang kami dokongi sekarang ini akan terus diserang hendap oleh pihak sana. Mereka sudah menyediakan 100 lebih isu yang akan diletupkan mengikut jadualnya.

Aku tak sabar menanti sabtu ini - hari penamaan calon. Kalau di Permatang Pauh selalunya diadakan di padang Maktab Tuanku Bainon, Mengkuang.

Aku masih terbayang semasa penamaan calon sebelum ini. Masa itu DSAI tengah pekat dilabelkan sebagai peliwat. Aku lihat sendiri dengan mata kepala aku bagaimana teganya wanita sebelah sana membuat aksi lucah menunjuk punggung sang lelaki di hadapan kami. Lebih dasyat dibuat pula aksi meliwat itu antara lelaki dengan lelaki konon untuk provokasi di hadapan penyokong DSAI.

Klip video di letakkan di tangga masjid dengan harapan orang ramai akan mengambil dan menontonnya di rumah. Rumah aku sendiri diletakkan poster dan flyers gambar dan isu lucah.

Apapun aku tetap mematuhi dan mempercayai kempen secara bersih. Biarlah mereka melatah, kita jangan terikut. Kita berkempen di medan, berkempen secara positif dan fakta.

Maaf, kalau ada yang tersinggung. Aku jujur dalam hal-hal ini dan rindukan kempen yang sihat, segar dan ilmiah!

Jauh-jauh Bau wangi...

Memang lumrah. Kot  manapun, antara mertua dengan menantu perlu jaga tingkahlaku. Bak kata orang - ketika masih wangi inilah perlu dijaga. Kalau dah busuk, tak ada gunanya lagi.

Bila aku sms Angah untuk minta izin guna Viva hari Rabu dan Khamis ini ke tempat kerja, dia membalas;

"Kna jaga perhubungan time ok ni. nt Angah tgai keta di umah, ayh nek bla perlu supaya xterasa."

Sebenarnya aku nak guna Viva itu untuk menunaikan hajat bapa mertuaku yang mahu menemui kawan lamanya di Bukit Jambul. Berbanding kancil, menaiki Viva lebih selesa bagi orang tua seperti dia yang memerlukan ruang besar di kerusi depan. 

Sebagai seorang bapa dan bapa mertua aku tidak mahu sesuatu yang tidak elok terbit di celah perhubungan kami sekeluarga. Sebagai orang tua juga, aku dapat membaca yang tersirat di sebalik sms itu.

Justeru itu aku mengambil simpang yang selamat. Biarlah aku susah sedikit asalkan senang di masa hadapan. Aku teringat semasa aku masih baru dalam perkahwinan. Aku perasan, mak dan abah aku juga begitu berhati-hati bila bergaul dengan ibu_suri.

Sekarang ini tiba giliran aku. Jauh-jauh bau wangi. Bila dekat, hati-hati... jangan sampai berbau tahi!

Ahad, 14 April 2013

Bendera Oh Bendera

Tatkala menulis ini aku udah pun berada di kampung. Selepas sembahyang Subuh, ibu_suri yang memang sudah sedia mandi mengingatkan aku pada beg telekung dan ubatnya. Aku memaksa diri bersiap perlahan-lahan lalu menghidupkan enjin kereta.

Aku bawa kereta secara santai. Kereta Kancil aku itu memang tak boleh bawa laju. 80 k/j itu sudah dikira perlu kosentrasi.

Sebelum masuk ke kampung, aku singgah di Restoran Tasik Raban di belakang Stadium Perak. Beli sedikit laluk untuk makan bersama mak nanti. Seronok melihat lauk masakan Melayu yang pelbagai jenis. Aku ambil gulai lemak putih petola, ikan pekasam goreng dan sambal tempoyak. Sistem layan diri di sini agak mudah. Plastik bungkusan di sini tak sama macam di Penang. Memang sudah tersedia tali di mulut bungkusan. Senang nak mengikat.

Masuk saja ke gerbang kampung, aku sudah mula tak sedap hati. Bendera BN hampir menenggelamkan suasana kampung dan menimbulkan suasana 'perang' bendera. Kelihatan sebuah dua lori yang sarat dengan bendera tersadai di pinggir jalan dengan beberapa orang sedang menggantung.

"Patutlah depa boleh gantung bendera dengan cepat. Guna sistem vendor rupanya. Iyalah, depa banyak duit..." fikirku. Tak sama dengan pihak Pakatan rakyat yang semuanya kena keluar dari poket sendiri dan menggantung juga dengan peluh sendiri.

Aku teringat Akhmal semasa PRU12 dulu, dapat upah kerana tolong gantungkan bendera BN.

Seperti yang aku duga, ibu_suri tak renti-renti menyelar akan lambakan bendera warna biru tua itu. Aku berdoa panjang muga-muga selama aku berada di rumah mak nanti, tidak berlaku suasana yang tidak sihat.

Nampaknya aku kena balik awal ke Penanglah nanti. Itu lebih baik bagi kedua belah pihak. 

Sabtu, 13 April 2013

Tepu!

Selera aku hampir-hampir tumpul untuk menulis malam ini. Kecemusan aku menjaga ibu_suri buat semangat aku patah dan jiwa bungkam. Tulisan ini lebih kepada ikut gerak hati.

Cadangan nak balik kampung melihat adik baru bersalin secara pembedahan juga aku batalkan. Aku bimbang, sikap ibu_suri yang terlalu agresif terhadap demam politik sekarang ini akan turut mencacatkan hubungan baik kami dan adik beradik. Bicara ibu_suri mutakhir ini tajam. Dan bimbang jika keluargaku dikampung tidak memahami sindrom separa normal ibu_suri ini.

Bercampur dengan keresahan aku mengenang odit ISO yang akan datang, cermin kereta yang pecah kerana dirempuh kereta semalam serta kemaskini blog calun politik yang tak terhambat, jiwa aku menjadi seperti terapung ke udara. 

Aku curi masa menenangkan fikiran dengan menghadir diri ke kuliah Maghrib UAI di masjid. Berjalan ke masjid mengeluarkan peluh juga.

Pagi tadi pun aku juga kembali riadah di Tasik Mengkuang setelah tuang agak lama. Tujuannya sama, untuk melonggarkan tekanan fikiran.

Hingga masa aku menulis ini pun ibu_suri tak habis pot pet pot pet, mengkritik mak dan adikku yang menyokong kuat UMNO serta mencecer supaya Angah menghidupkan cukai jalan keretanya yang udah  tamat sejak sebulan lalu. Dia seperti tidak faham akan masaalah kewangan Angah sementara aku pula tak dapat nak membantu....

Maaf, otak aku benar-benar tepu. Mahu tidur saja. Tak pasti esok aku akan bangun pagi dan bertolak ke Ipoh... tengoklah gimana!

Jumaat, 12 April 2013

Alahai Kari Kepala Ikan

Antara gulai yang aku suka ialah kari kepala ikan. Acapkali ibu_suri tegur kegemaran aku ini;

"Tak elok amal makan kepala ikan ni, tau bang. Cepat jadi pelupa!"

Dalam hujan lebat balik dari hantar mak menunai umrah di lapangan terbang Pulau Pinang tadi, ibu_suri tiba-tiba mengusul untuk beli nasi kandar di Restoran Deen, Jelutong. Seperti yang di duga, memang sudah ada que panjang walaupun hujan lebat sejak sejam lalu.


Aku beli 2  bungkus nasi kosong dengan ayam untuk ibu_suri dan kepala ikan untuk aku sendiri. Angan-angan mula terpateri akan keenakan menyedut daging ikan di celahan tulang. Selesai bungkusan, aku masuk ke dalam kereta. Bau wangi masakan mamak Penang segera menerjah ke segenap penjuru.

"Itu bungkus apa?"

"Kepala ikan."

"Untuk I esok pagi ke?"

Argghhhh..... " Ha'ah...." Aku angguk sambil mengunci tali keledar.

Entah kenapa aku terlupa nak belikan lauk asing untuk ibu_suri makan pagi esok sebelum rutin memakan ubat psikiatriknya itu. Malas nak keluar semula berhujan untuk beli lauk yang lain, aku terpaksa kuburkan angan-angan yang terpateri tadi. 

Memang beginilah terkadang aku. Dek terlupa atau tersilap buat pesanan, aku terpaksa korbankan keinginan atau menelan sahaja kesilapan itu walaupun pahit!

Rabu, 10 April 2013

Burrpp....!


Berurut adalah sesuatu yang janggal bagi aku. Aku tidak tahan sakit bila di urut. Selalunya kalau ada sengal-sengal badan, aku biarkan ia baik sendiri. Nak bubuh minyak hangat pun aku tak biasa.

Masih ingat masa aku kecil dulu. Terjatuh dari pokok durian dan terseliuh bahu. Opah aku yang memang pandai mengurut, mengurut aku dan kemudiannya membalut lenganku dengan daun ini. Huu... Sakit tu usah cerita la. Dek sebab dia bernama Opah jadi aku hormati dia. Kalau tidak, mahu rasanya aku tumbuk Opah aku tu!

Berlainan dengan ibu_suri. Tadi dia meminta aku mengurut badannya yang sejak semalam asyik sengal. Selalunya, kesan dari urutan, si pesakit yang akan sendawa tanda angin keluar dari badan. Aku pula;

"Hisshh... abang ni. Orang lain yang kena urut, abang yang beriya-iya sendawa."

Agaknya, angin dari badan ibu_suri mengalir ke badan aku dan keluar burrppp...! Terasa lega...


Isnin, 8 April 2013

Lepak

Mesyuarat Sukses Team yang sepatutnya malam ini ditunda ke hari Rabu. Jadi, aku free malam ini. Aku ambil kesempatan untuk lay-park di Restoran Maqbul, Seberang Jaya; antara lokasi yang aku suka singgah bila ingin sendirian.

Laptop adalah temanku yang paling akrab mutakhir ini. Aku akan habiskan masa 2 jam di sini untuk membuat kerja-kerja PRU.

Menu kegemaranku bila di sini ialah secawan Penang White Coffee dan satu set roti bakar. Suasana di sini agak tenang tanpa ramai orang. 

Tinggal di rumah, ibu_suri sendirian. Meratus panjang sebelum aku keluar tadi kerana cucunya sudah 2 hari tidak datang ke rumah. InsyaAllah, 11.30 nanti aku akan balik. Pastinya kena bawa dia jalan-jalan seperti malam-malam selalunya.

Setelah berfikir panjang, aku merendah diri untuk ambil peduli dalam mengemaskini blog kesemua 3 dan mungkin 4 calun PRU dari jamaahku. Cuma untuk sebulan ini sahaja; tidaklah selama mana.

Isyak tadi ntah kenapa aku sujud panjang di akhir rakaat. Pinta pada Tuhan muga aku diberi ketabahan dan kesejahteraan dalam melalui likuan hidup yang masih berbaki ini!

InsyaAllah, Sabtu ini aku bercadang ziarah mak di kampung. Bila aku ajukan cadangan ini kepada ibu_suri, selamba sahaja jawapannya;

"Tengok keadaan!"


Infaq

Semalam, semalaman aku berjaga kerana menyiapkan blog calun Parlimen Balik Pulau - Hj Bakhtiar. Hanya masuk tidur seusai solat Subuh.

Fanpage

Alhamdulillah, siap sepenuhnya dan kini diperingkat kemaskini sehinggalah tamat PRU13. Blog calun DUN Pantai Jerejak kini diamanahkan kepada anaknya untuk kelansungan. 

Lebih tenang buat kerja di tengah malam sebab ibu_suri sedang tidur. Percaya atau tidak, udah 2 hari berturut-turut ibu_suri tidak boleh tidur walau sepicing. Bimbang juga aku akan paras darah tingginya yang mungkin akan naik. Justeru itu bila malam semalam dan siangnya ibu_suri seperti mengqada'kan tidur, aku biarkan.

Lagipun kalau dia jaga, aku takkan dapat tumpu pada penyiapan blog. Ada saja rengeknya. Ke bilik air hari ini saja agaknya dah 10 kali. Akulah yang kena bantu dia pimpin ke bilik air dan istinja'.

Hari ini juga giliran bersih dan kemas bilik. Bilik ini kalau tidak setiap minggu dikemas akan berhabuk. Ini tentu akan merencat keselesaan ibu-suri.

Hajat hati nak memasak untuk makan tengahari terbantut. Aku hanya terbangun dari tidur bila terdengar azan Zohor..

Ada satu lagi blog yang aku kena buat iaitu blog calun DUN Sungai Aceh, Nibong Tebal - Ustaz Fahmi. Hanya sekadar ini ahaja yang boleh aku infaqkan tenaga ke arah gerakkerja PRU. Aku tidak mampu seperti rakan lain yang 2 hari lalu berkampung di markas kerana menyiapkan bahan cetak dan ada yang membuat gerak gempur di kawasan kelabu.

Kepala aku dah mula rasa berdenyut. Aku nak pi tidur. Esok kena bangun pagi - kerja!

Ahad, 7 April 2013

Ragu-Ragu

Beberapa orang bertanyakan aku tentang keraguan mereka hendak memilih calun parti mereka terutama jika calun parti lawan adalah Melayu sementara calun parti mereka adalah Cina. Malah semasa beberapa PRU lepas adik aku sendiri menalipon aku bilamana di Ipoh, kedua-dua calun parti adalah Cina.

Sebenarnya ilmu berpilihanraya ini perlu dimengajikan juga. Jangan main ikut orang semberono. Kita mesti mempunyai pegangan kita sendiri dalam memilih calun yang akan mewakili kita di peringkat kepimpinan negara.

Disini aku letakkan 2 foto yang aku rasa boleh memandu pendirian kita dalam membuat keputussan siapa yang perlu kita pilih nanti. Selebihnya itu, banyakkanlah membaca.



Berhati-hatilah memilih barisan kepimpinan masa depan kita. Jangan pula ada yang mengambil sikap tidak mahu turun mengundi kerana 2-2 calun itu tidak secocok di hati. Sikap berlepas tangan itu adalah satu kesilapan besar!

Undi kita hari ini bukan untuk kita akan tetapi untuk masa depan anak cucu kita. Jangan zalimi mereka!

Sabtu, 6 April 2013

Talipon Oh Talipon

Talipon Samsung jenis flip aku ni memang dah lama bermasaalah. Asyik auto off saja hingga kekadang bila orang menalipon aku mereka ingatkan aku sengaja tak jawap.

Lepas tu aku guna talipon Akhmal. Talipon murah jenis lama, skrinnya kecil buatkan aku susah nak baca mesej yang diterima dek faktor usia.

Semalam aku pergilah ke Carefour, tinjau-tinjau talipon baru. Aku suka jenis slide atau keypad.  Namun begitu banyak talipon yang dipamirkan tak ada satu pun yang menepati 100% citarasa aku. Hampir 90% talipon yang tertera dalam kaca adalah jenis touch screen

Oleh kerana malam menghampiri 10.30 dan banyak gerai mula berkemas, aku buat keputusan cepat dengan memilih talipon Sony Ericsson model WT 13i ini.

Balik ke rumah, aku pun mula godek-godek sana sini. Hah.. semak perut aku dengan talipon baru ni. Bagi aku.. cukup renyah nak akses walaupun hanya untuk menghantar sms.

Aku mengadu pada Along. Along hanya ketawa. Agaknya, dia tahulah fe'el ayah dia ni!

"Ayah bagitau Along talipon macammana ayah mau. Along cari kat internet."

Hmmmhh... Respon anak-anak zaman la.. Zaman langit terbuka....! Persis respon aku dengan abah aku zaman 70an - zaman Sains dan teknologi  dulu...

Jumaat, 5 April 2013

Sami'na

Baru balik dari mesyuarat PRU di Sri Nibong, Pulau Pinang. Arghhh... naik tepu otak ni berfikir benda-benda yang rumit, berselirat, yang sebelum ini tidak pernah aku tempuh. 

Walaupun  tugas aku hanya untuk mengemaskini blog calun tapi pencarian bahan amat memeningkan. Capaian kepada bahan itu amat terbatas. Hendaknya pula ia dimestikan merangkumi citarasa pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa.

Calun PRU dari jamaahku adalah calun profesional dan beragama. Justeru itu aku gembira dan rasa berbesarhati dapat sesama menyumbang tenaga dalam memenangkannya.

Khabarnya pagi nanti Kerajaan Pulau Pinang akan umumkan pembubaran DUN. Malam pula DSAI akan mengumumkan senarai nama calun PR.

Calun Pantai Jerejak - Rashid Hasnon

Kepala mulai berdenyut. Selain tugasan mengemaskini blog beliau, khabarnya aku juga diarah oleh jamaah untuk membina dan mengemaskini 3 lagi blog calun PRU dari jamaah.

Itu aku serahkan kepada ketua team mediaku untuk membuat keputusan. Jika arahan itu dipersetujui oleh ketua media, aku akan sami'na wa'athoqna ( aku dengar dan aku taat ). Bagaimana nak kolaborasi dengan masa yang sedikit di waktu malam ditambah dengan kerenah ibu-suri, hanya Allah yang dapat membantu.

I just do my best. At least, I'll do something rather than nothing. Bak kata orang: walk the talk!

Khamis, 4 April 2013

Bubar

Riuh rakan-rakan sekerja bila dapat tahu parlimen sudah pun bubar. Aku ketawa saja bila bertanya; " Hang ngundi kat mana? "

Bila aku menjawap; Bayan Baru, mereka menyindir aku; " Apa raa.... Duduk kat Permatang Pauh awat mengundi tang ni? "

Aku pun tak tahu kenapa masih belum menukar tempat membuang undi. Macam sesi lepas, PRU kali ini aku akan ambil cuti. Aku memang dah mula berjimat cuti sejak beberapa bulan dulu lagi.

'Satu hari cuti sebelum mengundi. Sehari cuti selepas mengundi. Kalau menang, cuti tambah cuti sehari lagi agaknya... ' bisik hatiku!

baru lepas mengundi PRU 2008
Selalunya, pagi hari mengundi aku akan berkejar ke Bayan Baru dahulu; selesaikan tanggungjawap aku. Di rumah, aku suruh ibu_suri siap sedia. Bila aku balik, aku akan bawa ibu_suri menunaikan gilirannya pula. Selalunya, tempat membuang undi adalah di SR Guar Perahu. Harap-harap kali ini ibu_suri di tempatkan  saluran 1 atau 2. Tempat itu agak rendah sikit berbanding sebelum ini yang terpaksa memanjat tangga bukit.

Aku harap PRU ini berlansung dalam suasana harmoni tanpa kejadian negatif. Aku beritahu ibu_suri;

" Malam ini dan malam-malam seterusnya hinggalah selesai PRU, abang akan ada meeting selalu. 'You duduk rumah. Doa banyak-banyak supaya kita menang, ok!' "

Selasa, 2 April 2013

Mengantuk

Malam ini entah kenapa aku mengantuk awal. Baru 11.30 malam. Tapi masih belum masa untuk tidur bagi ibu_suri. Dari tadi dah menggelisah.




"Lepas Marissa balik nanti, kita keluar ok!"

Hari ini dah 2 hb 4. Duit saguhati OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat tentu dah masuk ke akaun BSN. Beriya-iya dia suruh keluarkan.

"Kalau lewat dari 5hb takut-takut JKM akan tarik balik." Begitu pesan pegawai JKM semasa mengesahkan permohonan ibu_suri itu diluluskan.

Dapat tahu dari facebook bahawa isteri Abil baru saja meninggal dunia. Muga roh Gee di rahmati Ilahi. mengenangkan aku masih punyai peluang menjaga kebajikan isteri, aku bawa ibu_suri bersiar-siar seperti selalunya!

Cuma malam ini hawa agak sejuk sikit berbanding malam-malam sebelumnya. Hujan baru saja sidang!

Mesyuarat Di Restoran

Mesyuarat minggu lepas

Rupanya mesyuarat Team Media malam ini di tunda ke hari Rabu. Aku tak perasan sms yang di terima siang tadi adalah pemberitahuan penundaan. Sikit punya jauh dan tergesa-gesa aku datang dari seberang ke Penang... aleh-aleh....toinggggg....

Aku termangu sekejap. Nak buat apa sekarang?... 

Aku teringat Ayam Tandori kat Restoran Subaidah. Hmmm... kenapa tidak aku lepak di situ sambil memesan satu set untuk ibu_suri di rumah? Sambil tunggu, sambil minum, boleh kemaskini blog calun Pantai Jerejak ini.

Tiba di sana, dari jauh aku digamit oleh rakan-rakan yang rupanya senasib dengan aku. Wah, bukan main rancak kami berbincang sambil minum. Sambil-sambil itu bincang tentang blog dan Facebook calun.

Not bad juga kalau buat meeting di restoran macam ni. Santai dan agendanya free flow!

Isnin, 1 April 2013

Mencecer

Sejak minggu lepas bukan main lagi banyaknya bendera biru terpasang di sepanjang jalan ke rumah. Aku tak kisah sangat kerana tahu itu adalah isyarat bahawa rakyat sudah tak sabar lagi hendak mengundi. Dan hak untuk meletak bendera adalah bebas bagi mana-mana individu  yang berjiwa merdeka.

Yang rimasnya ialah melayan kerenah ibu_suri. Mencecer panjang dan tajam bila terpandang warna biru bergantungan. Walaupun aku bagi idea supaya bila terlihat bendera hijau sebutlah 'subhanallah'; bila terlihat bendera biru sebutlah 'astaghfirullah' dia ingat sekejap saja. Lepas tu.....

"Paling tidak dapat juga pahala zikir." ujarku.

Tadi aku pergi ke kenduri di Permatang Pasir, Balik Pulau. Situ, lagilah banyak bendera biru. Berbanyak sabarlah aku memegang stereng. Kalau tidak mahu U-turn sebab lemas dengan mulut ibu_suri yang pok pek pok pek di sepanjang jalan. Naik bingit telinga. Bila begitu aku lebih banyak diam.


Ke Permatang Pasir itu kerana jemputan kenduri sempena mak mertua dan beberapa orang saudara yang akan berangkat menunaikan Umrah pada 11 April ini. Mereka ada ajak dan mahu sponsor ibu_suri untuk pergi bersama tapi ibu_suri menolak dengan alasan susah kalau aku tak pergi bersama. Siapa nak urus kebajikan dia nanti.

Memang aku ada rancangan untuk pergi. Cuma bila sesekali fikir, kalau bawa ibu_suri bersama, macam mana nak urus dia. Sedangkan di rumah yang segala keperluan selesa ada pun naik letih aku dibuatnya!