Halaman

Isnin, 27 Mei 2013

Sabarlah... Along!

Makin besar Along ni, bisik hatiku bila melihat dia memasuki Steyen Keretapi Bukit Mertajam. Gaya jalan, makan dan raut muka memang mirip aku.

Along
Cuti Hari Wesak yang sama diraikan oleh Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang buatkan mudah untuk dia balik ke taman (tiada lagi istilah balik kampung).

Selama 3 hari itulah aku bawa dia balik ke rumah opahnya di Kampung Kepayang dan berjumpa mak toknya di Taman Buah Pala.

Malangnya, bila setiap kali dia ke rumah opah maupun ke rumah mak tok, dia pasti akan disogok dengan soalan;

"Hang bila lagi, Along? Tak dak marka lagi ka?"

Aku selalunya berbuat seperti tidak dengar. Malah memang tak mahu dengar. Aku tak sanggup berkongsi perasaannya bila diasak dengan soalan sama setiap kali balik. Walaupun wajahnya bersahaja tetapi   aku tahu dia sembunyikan di dalam hati. Along seorang yang penyimpan. Apa yang ada di dalam hatinya sukar digali. Tidak sama dengan Angah yang boleh dibaca dari raut wajahnya.

Aku kenal anak aku. Aku tahu sejauhmana perasaan dan persiapan dirinya dalam meniti umur 20an. Bagi aku, jika ditakdirkan ada jodohnya, adalah gerak dari Tuhan. Tidak boleh samakan dia dengan Angah.

Walaupun ladang tempat mereka ditumbuhkan itu sama, tapi mungkin musim dan bajanya berlainan. Ditakdirkan tumbesaran mereka itu sedikit berbeda.

Ahad, 26 Mei 2013

Pilihan Allah!

anak yang dibuaikan
Memang terasa letih benar aku pagi ini. Hari Jumaat seharian mengurus ibu_suri ke Klinik Kubang Semang dan JKM. Semalam, seharian memandu ke Ipoh dan menjadi 'orang tua' untuk meraikan tetamu yang datang ke kenduri doa selamat dan majlis naik buai anak saudaraku.

Berbual dengan salah seorang dari keluarga ipar di bawah khemah yang kipasnya berputar laju bagai nak terbang...

"Dr Mazlan kalah kat Permatang Pauh, ya!"

"Ya..."

"Dia bukankah anak tempatan?"

"Hmm.. Kalau ikut tulisan pada banner tu betul lah."

"DSAI orang situ ke?"

"Ya... Orang Cerok To Kun."

"Oooo... Dia selalu datang tengok orang Permatang Pauh ke?"

"Adaaa. Dia memang selalu buat lawatan ke kawasan dia."

"Tapi dalam paper kata dia jarang tengok kawasan dia.."

Aku mula mencium sesuatu.

"Aaa... Itu atas kertas saja. Kami orang sana, kamilah yang tahu.."

Betul bagai 'firasat'ku. Ternampak akhbar BH atas dashboard keretanya semasa mengiring dia dan keluarga ipar ke kereta tatkala hendak berangkat pulang!

Bagi aku politik adalah hak individu. Berbincang secara matang dan menerima kesilapan diri sendiri maupun kekuatan orang lain adalah sikap yang sepatutnya ada pada diri kita.

Dari apa yang aku perhati, keluarga iparku ini macam kelauraga aku juga;  ada warna hijau, ada warna biru tua dan ada warna biru muda. Persis keluarga aku juga. Namun, keutuhan institusi keluarga tetap kami jaga dan pertahan. Indah kan!

Keluarga tetap keluarga. Di dalam Syurga atau Neraka, Allah bukan menempatkan kita berdasarkan bangsa atau faham politik. Allah memilih kita berdasarkan iman dan taqwa!

Jumaat, 24 Mei 2013

Aduh... Honda City

Semalam:

Selesai merujuk ibu_suri kepada doktor pakar di Klinik Kubang Semang, aku ke Jabatan Kebajikan Masyarakat di Bukit Mertajam. Membuat permohonan untuk mendapatkan imbuhan RM100 tiap-tiap tahun bagi warga OKU yang diperuntukan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Petang, aku menghambat waktu ke Hospital Pulau Pinang untuk mengambil stok baru ubat Psikiarik ibu_suri. Cuba bodek ibu_suri agar singgah menjenguk mak abahnya di Taman Buah Pala; ibu_suri beria-ia tidak mahu. Nak balik tidur, katanya!

Jalan memang jem. Waktu orang balik kerja dicampur dengan esok cuti Wesak... Tapi aku dah biasa dengan keadaan ini yang saban petang aku tempuh. Sambil terhinggut-hinggut menekan pedal, aku keluarkan talipon dan cuba menaip sms. Kononnya nak bagitau adik ipar, aku tak jadi singgah. Tiba-tiba... GANG!..  abaang...tidur ke?

Aduhhh... Tercium Honda City rupanya...

"Maaf cik. Errr... tak apa. Ambil no talipon saya ni. Kalau ada apa-apa, call saya." Aku tahu, di tengah jambatan Pulau Pinang ini bukan boleh berhenti lama-lama. Jem satu bab. Datang polis trafik pulak nanti, lagi panjang cerita.

Hari ini:

Aku berbincang dengan Angah. Tak risau sangat pasal kos repair Viva yang kemek bonet dan bumper. Relaks le brader! Nak buat macammana... Cuma yang resahnya ialah kereta ini atas nama Ayu, menantu aku. Semestinya tak banyak sikit, hati menantu aku itu terhentak. Itu yang susah.

Lepas solat Jumaat tadi, suami kepada pemandu Honda City itu menalipon aku. Beliau tinggal di Mengkuang.

"Oo.. Saya tinggal kat Taman Guar Perahu! Tak apalah. Saya minta maaf bebanyak sebab memang silap saya. Ralit bawa kereta semalam. Saya bertanggungjawap atas kos repair. Berapa?" Tanya aku sambil garu-garu kepala yang tak gatal. Honda tu be!

Aku cuba berpegang kepada prinsip hidup bahawa kalau aku benar-benar salah, aku mesti terima hakikat itu dan mengakuinya serta bertanggungjawap walaupun pahit. Sikap ini aku belajar dari bos aku dulu di tempat kerja - Mr Chuah Teong Hong.

Nampaknya, duit klem dari incometax 2012 LHDN yang akan aku terima nanti, kepada Honda dan Viva lah cairnya. Agaknya ini adalah tazkirah dari Alla!. Adalah silapku kat mana-mana tu...

Khamis, 23 Mei 2013

Aktivisma Ini...

Jika ditanya apakah medan kecenderongan aku di dalam hidup; jawapannya ialah untuk aktif di dalam kegiatan kemasyarakatan.

Sebaik aku tiba di Pulau Pinang pada tahun 1982, bekerja di Hitachi Semiconductor (M) Bayan Lepas (kini dikenali sebagai Renesas), aku mula berjinak-jinak dengan kelas mingguan Dr Danial.

Kemudiannya aku berkenalan dengan usrah. Pada 1990, Jamaah Islah Malaysa (JIM) ditubuhkan dan aku melibatkan diri dengan unit Kelab Remaja sementara ibu_suri di Unit Kaunseling.

Bila JIM bergabung dengan beberapa NGO  lain untuk mengujudkan IKRAM, aku meneruskan aktivisma itu hingga kini.

Jika kalian tanya tentang impianku masa depan, jawapannya ialah... aku ingin terus berkecimpung dengan aktiviti kemasyarakatan bersama IKRAM.

Bila aku berbual dengan anak-anak muda, aku selalu berkata begini:



"Hidup ini terlalu rugi jika kita tidak melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan. Alangkah bahagianya jika di sepanjang kehidupan  kita ini, dapat kita isi dengan menolong orang lain!"

Rabu, 22 Mei 2013












Bila sesekali fikir, aku sepatutnya bersyukur atas apa yang telah berlaku terhadap ibu_suri. Ahmar yang menyerang, dimana akhirnya membuat ibu_suri terpaksa di rujuk ke Unit Psikiatrik, mempunyai hikmah di sebaliknya.

Dulu, ibu_suri sibuk mengajar di tadika. Petang pula membuat kelas tuisyen di rumah. Sembahyangnya.. culas. Disiplin memakan ubat hipertensi tidak diikuti.

Bila satu hari di hujung bulan 8, 2008... ibu_suri dimasukkan ke Bukit Mertajam Specialist Center (sekarang KPJ Hospital ) kerana sakit perut. Setelah 4 hari berada di wad, dengan pelbagai ragam ibu_suri yang menuntut kesabaranku yang bukan sedikit, dia dibolehkan keluar kerana sudah disahkan sihat.

Tapi takdir Allah menentukan semuanya, bangun pagi di hari ke 5, tiba-tiba doktor mengesahkan ibu_suri diserang Ahmar. Maka bermula episod gelap dalam hidupku. 

Selama 2 tahun aku terumbang ambing menahan segala pahit getir penuh sabar berhadapan dengan emosi ibu_suri yang kekadang murung di dalam bilik yang gelap; kekadang bengkeng seperti ayam baru menetas; kekadang ketawa sendirian bagaikan disampuk jembalang.

Satu hari pernah doktor berpesan kepada aku semasa membawanya berjumpa doktor pakar;

"Kamulah satu-satunya orang yang teramat penting untuk menjaga ibu_suri. Bukan anak-anak kamu, bukan mak bapa dia jauh sekali adik beradik. Kalau kamu gagal atau tinggalkan dia terkonteng-konteng, bukan mustahil dia akan menjadi seperti mana orang-orang yang kurang siuman di tepi jalan. Malah bukan mustahil dia akan berlari di sekeliling rumah kamu tanpa seurat benang."

Hikmahnya di sebalik semua itu, sekarang ini dia rajin bersembahyang. Rajin membaca Muqaddam walaupun merangkak-rangkak kerana kesan Ahmar yang merosakkan sebahagian saraf ingatannya. 

Malah bila aku melengah-lengahkan waktu, dia akan berkata...."Ai... tak sembahyang lagi ke?"

Dan sejak 2008 itulah aku mula berjinak-jinak dengan blog. Sayangnya, blog yang aku tulis di sepanjang 2008 yang penuh dengan kisah perih menjaga ibu_suri, aku padamkan kerana kononnya aku tidak mahu ingat lagi kisah gelap itu!

Aku buka blog baru yang ini pada 2009....

Selasa, 21 Mei 2013

Blog TKM1

Aku telah diminta oleh ketua unit media PRU13 bagi DUN N36 - Pantai Jerejak supaya meneruskan usaha mengemaskini blog Hj Rashid Hasnon yang kini dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang selepas kejayaannya menewaskan calon BN dengan majoriti 5 ribu bebaru ini.

Merasa bangga juga tatkala menerima tugasan besar ini. Kekadang seperti bermimpi bilamana kawan yang dulu sesama aktif dalam NGO, kini menduduki tangga tertinggi dalam pentadbiran Negeri.

Hj Rashid - berbaju Melayu

Kalau dulu aku bekerja untuk memenangkan dia sebagai ADUN, sekarang ini aku perlu bekerja untuk memastikan dia dapat menjaga amanah yang rakyat pikulkan ke atas bahunya. 

Untuk menang mungkin mudah tetapi untuk menjaga kemenangan itu yang payah. Untungnya Pulau Pinang kali ini ialah kerana mendapat Timbalan Ketua Menteri yang memang mempunyai latar belakang apa yang kami istilahkan sebagai protaz ( profesional ustaz ). Beliau bukan saja pernah menjawat jawatan sebagai pengurus di Syarikat ASE Electronics malah pernah menjadi YDP IKRAM Pulau Pinang.

Beliau selalu menjadi imam, memberi kuliah Maghrib dan  juga peminat sukan bola sepak. Boleh ikuti sebahagian dari catatan dalam Harakah di sini.

Muga aku dapat memberi khidmat terbaik buat sahabatku ini yang kini aku pula merasa segan dan berasa rendah diri bila bertemu dengannya. Khidmat terbaik di belakang tabir...

Isnin, 20 Mei 2013

PANAS

Semalam aku temani ibu_suri dan bapa mertua menghadiri Mesyuarat Agong Koperasi bertempat di KOMTAR.

Aku dah lama tak jejak kaki ke tingkat-tingkat di KOMTAR. Aku tak tahu sangat jalan yang terbaik untuk ke bilik mesyuarat. Aku hanya ikut panduan yang bapa mertua aku berikan.


Orang tualah katakan. Becok dia bercerita bahawa dia Sudah masak dengan lokasi di dalam KOMTAR. Kami naik lif yang bertentang dengan Jalan Penang. Kesian aku melihat bapa mertua ku terkengkang-kengkang berjalan dan ibu_suri pula tercungap-cungap menaiki dan menuruni tangga.

Perjalanan mesyuarat kali ini sungguh panas. Aku tahu ia adalah kesilapan memilih pengerusi mesyuarat yang tidak bijaksana dalam mengendali ahli yang kebanyakan 'mamak Penang' yang terkenal dengan mulut lantang dan kaki serbu. Hiruk pikuk suasana dalam mesyuarat hingga ada suara yang menyuruh pengerusi turun dan diganti orang lain.

Golongan muda di belakang hanya memerhati golongan tua bertelagah dan berdebat. Lebih-lebih lagi bila pembentangan Penyata Kewangan. Rata-rata ahli memberi amaran supaya Ahli Lembaga jangan sekali-kali songlap duit ahli. Aku diam saja sebab aku bukan ahli koperasi. 


'Inilah perangai mamak Penang', bisik hatiku. Jauh beza jika dibandingkan budaya bermesyuarat NGO yang selalu aku hadiri.

Lepas mesyuarat, masing-masing diberi elaun kehadiran RM150. Patutlah ramai yang hadir walaupun terpaksa bertongkat dan terkengkang. Beginilah sikap sesetengah orang kita. Kalaulah mesyuarat ini seperti mesyuarat NGO aku yang usahkan nak dapat elaun hadir mesyuarat; silap haribulan kena keluar duit poket pula untuk membayar kos makan dan sewa dewan.

Bapa mertua ada beritahu aku yang pernah satu ketika dulu panasnya mesyuarat koperasi ini hingga ke tahap baling kerusi!

Ahad, 19 Mei 2013

Hari Ibu

Aku lansung tak tahu bila Hari Ibu. Cuma yang sibuk benar minta belikan kek untuk raikan Hari Ibu bersama mak adalah ibu_suri.

Semalam aku, kakak ipar dan cucuku ke rumah mak bersama sebuah kek berbentuk love dan tertulis Selamat hari Ibu. Tak sangka pula, bila diletakkan di hadapan mak mertua dan kuminta dia memotongnya, dengan tangan terketar-ketar dia meletakkan pisau ke muka kek dengan ceria.

Aku dapat rasakan dia seperti berbesar hati dirai sedemikian rupa walaupun majlis itu tidak seberapa.

Mak mertua memotong kek

Kek buatan orang Islam

Mak mertua bersama ibu_suri

ibu_suri memegang cucunya Marissa, cicit kepada mak mertuaku

Pastinya majlis ini diadakan di rumah mak mertuaku. Nak tahu rumah mak mertuaku di mana? Boleh tengok di sini dan di sini. Nampakkan... bapa mertua aku begitu gah memakai topi  1 Malaysia tatkala menerima kunci dari KM. Bapaku adalah pesara polis ( zaman SC ).


Sabtu, 18 Mei 2013

Dakwah Empati

Selesai riadah di tasik Mengkuang, aku singgah minum pagi di Restoran Semarak. Sambil baca Harakah, jamah roti canai kosong dan secawan Radix. Dah lama tak datang sini. Layout kedai pun dah berubah.

"Tak nampak pak cik?" tanyaku pada yang sedang menebar roti canai; aku agak menantunya.

"Dia tak buat nasi waktu pagi dah. Buat belah petang pulak.. nasi dengan bawal goreng. Dia ada kat dalam. La ni buat kedai runcit." sambil menuding jari ke sebelah aku.

Aku pun masuk ke dalam. Walaupun tidak ada perancangan hendak membeli apa-apa barang keperluan, tapi kerana bercadang 'ingin berdakwah' aku masuk dan belek-belek tiap-tiap rak. Aku capai sebotol air mineral, 2 ekor ikan duri masin (ibu_suri suka makan kalau digoreng bersama bawang dan cabai kering) dan berus gigi.

Aku ke kaunter, salam dan bertanya khabar.

"Tak tahulah saya, bang. Tengah kalut. Sejak isteri dah tak ada, saya ke hulu ke hilir sorang-sorang. Baru ni anak saya yang tingkatan 3 tu eksiden. Patah kaki. Kita bukan larat sangat dah ni."

Aku mendengar ceritanya dengan simpati dan empati. Bagi aku siapa pun dia, demi sesama manusia, aku dapat merasakan kepayahannya itu.

Aku pun bercerita tentang kemelut kehidupanku (sedikit) dengan tujuan untuk berkongsi dan memberitahu bahawa bukan dia saja yang diberi ujian hebat oleh Tuhan. Aku minta dia bersabar dan reda.

"Sebenarnya, bila Tuahan beri kita ujian begini, kita makin dekat dengan Tuhan. Kalau kita selalu saja dalam senang, kita mungkin lupa Tuhan."

Sambil jabat salam untuk balik, aku sempat hadiahkan senyuman dan sentuhan badan.

Bagi aku, biar pun dia tidak sama 'bendera' tapi tanggungjawap aku untuk bersikap baik pada semua orang adalah kewajipan. Walaupun orang itu mungkin anti 'bendera'ku atau bukan seagama sekalipun; sikap baik dan matang kita muga-muga mejadi modal dakwah yang ampuh!

Jumaat, 17 Mei 2013

Cepat-cepatlah Bersara!

Hari ini aku seperti hilang semangat lebih-lebih lagi bila bos bagitau aku di beri NCR yang perlu di isi dengan 5 WHY. IQA odit baru ini dapat mengesan aku tidak melakukan vendor audit mengikut jadual.

Dan di masa yang sama tidak putus-putus customer aku datang ke ofis dengan pelbagai ragam. Ada yang menghantar perkakasan baru untuk di kalibrasi. Ada yang mengadu sistem kalibrasi tidak daoat di akses dari meja mereka. Dan tidak kurang yang datang sekadar untuk sembang-sembang politik.

Aku layan semua kerenah mereka dengan senyum walaupun hati terasa pahit. 

Pagi nanti aku perlu bawa ibu_suri ke Klinik Kubang Semang lagi untuk memantau paras tekanan darahnya. Pagi nanti juga akan ada customer audit dan aku perlu standby.

Kerap berlaku keadaan dimasa yang sama aku mengharungi 2~3 kemelut yang datang. Jika tidak kerana kekuatan dalaman sudah lama aku terjun dari Jambatan Pulau Pinang. 

Musim odit akan berpanjangan hingga ke bulan 8. Selepas itu aku terpaksa memikirkan pasal Akhmal yang dijangka keluar antara bulan 8 dan 10. Ini pun satu bab juga.

Bila-bila begini terasa aku mahu sangat cepat-cepat bersara!

Khamis, 16 Mei 2013

Idea

Aku ambil cuti semalam. Hantar ibu_suri ke Klinik kubang Semang untuk rutin pemeriksaan Hipertensi dan Diabetes.

"MasyaAllah, tekanan darah ibu tinggi sangat ni..!!" seru jururawat yang memeriksa. Dia terpaksa mencari cub yang lebih panjang kerana yang sedia ada tidak cukup untuk dililit ke lengan ibu_suri. Aku pun tetiba heran bagaimana dia boleh memanggil ibu_suri sebagai ibu. Hanya orang yang kenal rapat dengan ibu_suri saja yang selalunya menggelarkan ibu.

Diarah ke bilik rehat selama 1 jam dengan memakan sebiji pil. Tujuannya ialah untuk menurunkan tekanan darah. Kalau tidak juga turun, mungkin terpaksa dirujuk ke hospital, ujar doktor.

Dulu pun dah kena seperti itu sekali. Tahap diabetes ibu_suri memang selalunya ok. namun tidak dengan tekanan darah. Selalunya akan mendapat ceramah kelompok dari doktor. Yang terasa sakit batang hidung nanti -  aku lah - sebagai penjaga ibu_suri.

Bila balik, aku cuba berikir secara luar kotak - takkan nak biarkan macam ni selamanya? Tak ada cara lain
ke selain dari memakan ubat yang di saran doktor sejak bertahun-tahun  ini?

Ngeri bila terbayangkan gertakan doktor bahawa ibu_suri akan mudah menghadapi serangan stroke kali ke 2 yang selalunya lebih dasyat. Sedangkan kesan dari minor stroke begini yang hanya menuntut sekitar 50% dari masa dan tenaga aku menjaganya pun aku dah rasa jemu dan tepu inikan pula jikalau menuntut 100%.

Mungkin kalian ada idea. Janganlah idea yang besar-besar yang menuntut ratusan ringgit sebulan. Small ideas but practical... tak da ke?

Rabu, 15 Mei 2013

Tax


Ahad kelmarin adalah 12hb Mei - hari lahir aku. 

Aku sebenarnya tak kisah sangat bab-bab hari lahir ni. Sejak dari kecil lagi aku tak pernah diajar pun tentang adanya sambutan hari lahir. Keluarga susah katakan. 

Tapi budaya keluarga ibu_suri tidak pula begitu. Boleh dikatakan anak-anak saudaraku belah ibu_suri selalu mengadakan sambutan hari lahir. 

Tapi anak-anakku, tidak. Bagi aku semua hari adalah sama. 

Keistimewaan ibu_suri ialah dia ingat semua tarikh lahir ahli keluarganya, keluargaku malah kawan-kawan kami. 

Selepas menyambut hari lahir Marissa yang pertama, hari lahir Ayu, hari lahir Angah maka menjelang Ahad lepas 12 May, dia bertanya aku - nak sambutan yang bagaimana nanti di hari lahir abang? 

Aku senyum sahaja - ah.... tak payah la.

 "Tak... kena sambut la! Setahun sekali ajer." 

Sibuk dia beritahu Angah di mana nak sambut hari lahir ayahnya. 

"Kita buat kat pizza sajalah."

Kat Pizza Hut di Jusco, Bandar Perda memang ramai walaupun dah pertengahan bulan. Aku tak berapa suka ke Jusco kerana bagi aku tempat ini adalah tempat orang kaya-kaya. 

Aku tak makan banyak pun sebab sudah kenyang. Lagipun, bagi aku pizza di sini taklah sesedap mana. Cuma sekadar nak ambil hati ibu_suri dan Angah, aku makan ala kadarnya. Sambil makan aku belek-belek bil yang ada di meja. Cuba mencari, betul ke cukai GST sudah dikuatkuasakan seperti yang heboh di dalam fesbuk.












Tak salah lagi. Menjadikan jumlah semua tax adalah 16%. Maknanya, kalau harga makan aku tadi RM100, senang-senang kerajaan tax aku RM16.

Apa boleh buat. Dah terlepas peluang untuk hidup tanpa tax!

Selasa, 14 Mei 2013

Kayu Putih

Ntah kenapa ibu_suri hari ini asyik mengeluh dengan badannya yang terasa lemah.

"Tadi you makan nasi banyak agaknya," teka aku. "Sebab itu badan rasa lemah dan mengantuk."

Asyik berbaring di katil. Sesekali kedengaran keluar asuk nafasnya deras. Mengadu kaki dan lutunyanya yang sakit. Mengerang-ngerang bagai anak kecil. Aku sapukan minyak kayu putih di seratanya walaupun aku tahu kesan baiknya tak seberapa.

Kekadang, fikiran yang bukan-bukan menyelinap di otak. Aku selalu berdoa muga-muga kalau apapun yang akan berlaku aku akan tetap tabah dan gigih meneruskan kehidupan.

Aku sendiri pun sepatutnya menjaga diriku dan masa depan!

Ahad, 12 Mei 2013

Generasi Y

Jumaat lepas, aku didatangi oleh seorang QA manager di ofis. Sekali sekala memang dia akan singgah. Kami bercakap-cakap tentang musik dan odit. Namun kali ini topiknya ialah tentang politik. 

Panjang bualan kami berkisar tentang isu berbangkit selepas PRU13. Dia melahirkan rasa bimbang tentang apa yang sedang digembar gemburkan oleh media perihal tsunami Cina. Dia heran, kenapa api perkauman ditiupkan semula setelah berjuta-juta wang dilaburkan untuk projek 1Malaysia? 

Dia menceritakan bagaimana ibubapanya dulu didatangkan ke Malaysia oleh penjajah dari Cina. Kemudiannya bekerja keras untuk membiayai pendidikan dia dan adik-adiknya hingga ke IPT dengan wang sendiri. Maklumlah, peluang mereka untuk ke pusat pengajian agak terbatas. Di kalangan mereka, berkongsi untuk membina sekolah sendiri. 

Tampak wajahnya merah menahan rasa bersalah sambil meminta maaf pabila topik kami itu menyentuh perihal Hudud, hak-hak Bumiputera dan Negara Islam. 

Aku menjawab setiap patah persoalan itu berhati-hati. Aku tahu dia jujur dalam berhujah dan aku pula perlu jujur dalam memberikan jawapan tanpa emosi. Masa inilah aku kira saat terbaik memperlihatkan sikap aku - seorang Melayu Muslim yang positif, matang dan terbuka. Ini peluang untuk aku berdakwah, sebenarnya.

Aku ceritakan padanya tentang kenapa kes pembuangan bayi berlaku di kalangan masyarakat Melayu sedangkan di kalangan bangsa Cina juga bukan sikit kes mengandung sebelum berkahwin. Juga aku lahirkan pandangan aku tentang persepsi negatif kaum Cina terhadap hukum Islam adalah kerana kurangnya pengetahuan masyarakat Cina mengenai Islam dek kurangnya pendedahan oleh orang Islam sendiri sedangkan Islam itu adalah agama rahmat bukan saja untuk manusia di atas bumi ini malah kepada segalaa kehidupan di atas dunia ini.

 "Ohh.... Ya, sekarang baru I nampak. You are right!"

Aku juga menerangkan tentang minda generasi aku dan sebelum aku yang sebenarnya telah 55 tahun di momokkan oleh media dengan perspektif yang orthodoks. 

Aku katakan pada dia... jangan bimbang. Generasi baru yang menggantikan kita akan lebih terbuka minda.

Lihat saja semasa kempen PRU baru-baru ini. Tampak jelas gaya pemikiran generasi muda sudah jauh melangkau metos dan sastera lama. 

Aku tak perlu mengambil contoh jauh. Jamaah di surau tempat kerja aku sendiri boleh dilihat bahawa rata-ratanya adalah generasi muda. Mereka inilah diharap akan bekerja keras untuk PRU14. 

5 tahun akan datang, aku akan memasuki gerbang warga emas. Aku percaya, waktu itu hasrat untuk melihat negara yang bersih dan telus akan tertunai!

Sabtu, 11 Mei 2013

PadaMu Jua


Sewaktu aku mencari-cari lakaran untuk header baru blog, aku terjumpa sajak PADAMU JUASajak ini adalah antara sajak yang amat aku minati dan hafal bait-baitnya.

Sajak ini dikarang oleh Amir Hamzah, seorang penyair Indonesia yang telah menerbitkan majallah Pujaangga Baru pada 1933. Beliau mati sewaktu Revolusi Sosial Sumatera Timur di awal-awal tahun Kemerdekaan Indonesia.. Beliau kemudiannya di angkat menjadi Pahlawan Nasional Indonesia. 

Hebatnya penulis dahulu yang turut melibatkan diri dengan perjuangan menegakkan kebenaran dan kemerdekaan. Aku adalah antara yang terkesan dengan idealisma seperti itu. 


PADAMU JUA

Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padamu
Seperti dahulu

Kaulah kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu

Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa

Dimana engkau
Rupa tiada
Suara sayu
Hanya kata merangkai hati
Engkau cemburu
Engkau ganas
Mangsa aku ke dalam cakarmu
Bertukar tangkap dengan lepas

Nanar aku gila sasar
Sayang berulang padamu jua
Engkau pelik menarik ingin
Serupa dara di balik tirai

Kasihmu sunyi
menunggu seorang diri
Lalu waktu bukan giliranku
Mati hari - bukan kawanku.

Khamis, 9 Mei 2013

Black

Aku ingin kembali seperti biasa. Mengemaskan ofisku dan menyemak sistem kerja yang banyak terbengkalai. Odit pun dah selesai semalam dengan penemuan satu suggestion dari oditor. Ok lah tu. Oditor pun nak cari makan juga. Asalkan jangan dapat CAR, sudahlah!

Di rumah juga mulai esok aku akan mengemas. Sudah terlalu lama aku biarkan tak berkemas. Maklumlah, sejak ibu_suri di serang ahmar lansung mengalami mental disorder, aku seorang saja yang tinggal untuk mengendali rumah 4 bilik ini. Anak-anak semuanya dah tidak tinggal bersama. Kalau ada pun, semuanya lelaki... faham-faham ajelah...

Aku bercadang untuk mencari baju kemeja T warna hitam. Warna yang  pernah aku memarahi Angah kerana memakainya, dulu.

Masa itu di Tingkatan 4, SM Penanti. Dia selalu memakai baju dan seluar hitam. Mulanya aku tak kisah. Tapi bila tiba Hari Raya, menempah baju, dia minta ibu_suri jahitkan dari kain hitam juga. Aku mula bising.

Tidak lama selepas itu, Penyelia Petang sekolah memanggil aku. Dilambakkan di atas meja aksesori seperti cincin gambar tengkorak, gelang tangan, tali pinggang besi, penunjuk cahaya lampau unggu bersimbol tengkorak, sticker, t-shirt tulisan 'sodomizer' dan banyak lagi hasil spot check guru terhadap beg sekolah Angah.

Barulah aku tahu rupanya Angah terpengaruh dengan budaya Black Metal yang masa itu begitu merebak terutama di Sungai Petani.

Namun giliran aku memakai baju hitam esok bukan kerana Black Metal tetapi kerana Black Democracy.

Terima Kasih!


Tadi, aku bawa ibu_suri siar-siar di Seberang Jaya. Singgah disatu kedai serbanika untuk beli minyak masak. Hajat hati nak bertukar kepada minyak jagung tapi melihatkan harganya 3X lebih mahal, aku akhirnya aku  memilih minyak Seri Murni.

Di tepi aku ada pekerja kedai sedang menukar tanda harga pada beberapa jenis barang.

"Banyak juga harga barang yang naik!" serunya.

Aku senyum saja. Memang tak ada mood nak bercakap sebenarnya hari ini. Ceceran ibu_suri yang berbagai buat aku tidak bersemangat. Odit yang aku hadapi pagi tadi juga menyumbang kepada kegersangan semangat ini.

Apapun, dalam hatiku berbisik;

'Terima kasih rakyat Malaysia yang memilih kerajaan baru ini. Menolak tawaran tol mansuh dan harga minyak turun yang mana sekaligus dijangka akan menurunkan semua harga barangan maka terimalah teori harga barang akan terus naik.'



Isnin, 6 Mei 2013

Warkah Buat Anak Cucuku

Wahai anak dan cucuku, 





















Maafkan ayah kerana tidak dapat menghadiahkan untuk kamu;

1. Lebuhraya tanpa tol
2. Pengajian percuma
3. Turunkan harga kereta
4. Harga minyak turun
5. Caj elektrik lebih rendah

sempena Hari ulang tahun ayah yang ke 53 ini demi masa depan kamu. Namun sama-samalah kita berdoa muga-muga 5 tahun akan datang ayah masih sihat dan mampu meneruskan perjuangan ini!


Cukuplah Pulau Pinang Untukku!

Baru terasa keletihan yang teramat sangat. Kepala sakit-sakit ditambah pula ' hati yang perit'. Apapun, usaha telah dibuat, hakikat kemenangan keseluruhan belum lagi Allah izinkan, aku terima dengan hati terbuka dan jantan.

Aku masih boleh berbangga lewat kemenangan PR di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Buat masa ini cukuplah seorang satu negeri untuk terus dijadikan contoh negeri yang berintegriti, BersihHijau dan sayangi rakyat. Jatuhnya Kedah tidak sangat mengecewakan aku sebab sejak sedari awalnya aku sedikit marah dengan pergeseran pihak pentadbiran yang tidak mampu menyajikan kesatuan kepimpinan yang Islamik. Biarlah Allah berikan mereka tazkirah dengan kekalahan ini.

Bernasib baik kerana kerajaan Penang isytiharkan cuti bagi warganya hari ini. Boleh juga aku berihat panjang sementara kembali semula ke tempat kerja dan berhadapan dengan IQA odit Rabu nanti.

Aku dapat bayangkan bagaimana rakan-rakan sebelah sana akan berjumpa dengan aku kelak dengan wajah sinis. Aku akan tetap berdepan dengan mereka dengan senyum tawa namun hati ini tidak dapat bersembunyi dari  kata-kata: 

' Railah kemenangan kalian yang penuh tipu muslihat. Aku tetap berbangga dengan kekalahan ini yang aku raih dari titik peluh sendiri. '

Dan aku bersetuju sangat dengan kata-kata Tuan Guru:



Sabtu, 4 Mei 2013

Hari-hari Terakhir PRU13

Sepanjang pagi ini aku hanya duduk di depan laptop mengemaskini blog calon dari NGOku;

P53 - Muhammad Bakhtiar
          FanPage
N36 - Mohd rashid Hasnon
          FanPage
N35 - Mohd Tuah
           FanPage

Hari ini hari terakhir menjelang 12 tengahmalam dimana semua kempen mesti ditamatkan. Walaupun aku turut sama berkempen di medium siber ( atau kami panggil media online ) tapi masih terkilan sebab tidak berpeluang turun padang merayu undi seperti PRU12 yang lalu.


Cemburu dengan rakan baikku blogger JH yang bukan setakat menjadi Ketua Gerak Gempur dan Rayu Undi malah menjadi penceramah selingan dalam ceramah kelompok.

Tak mengapalah. Aku dengan keterbatasan aku dan dia dengan kelebihan dia. Yang penting, kami telah berusaha sedaya upaya, di ruang yang kami punya. Paling tidak, jika benarlah Allah takdirkan Pakatan Rakyat berjaya menjejak kaki ke PutraJaya, aku boleh menumpang bangga menjadi salah seorang pelakar sejarahnya.

Di saat-saat akhir pecutan ini, yang lebih utama ialah doa dan munajat agar Allah melindungi PRU ini dari muslihat kotor pihak lawan.

Aku sedang bersiap untuk ke Balik Pulau menghadiri ceramah mega dan malam ini akan ke Tapak Ekspo Seberang Jaya pula

Esok, jangan lupa - undi PR untuk Malaysia Baru!

Khamis, 2 Mei 2013

You Tidur Ke?

Aku balik kampung semalam. Ziarah mak yang baru jalani pembedahan menukar kanta mata. Aku pun tak berapa faham apa maksudnya itu. Adik aku yang bertanya, tak dapat nak aku beri jawapannya.

Dia sibuk bertukang menggantikan lantai rumah yang dah reput kepada baru. Rumah ini terbina sejak aku dilahirkan. Boleh bayangkan berapa tahun usianya.

Aku pula bila setiap kali balik kampung;

"Cuba kamu tengok lampu tu. Lambat bebenor nak menyalanya bila bukak suis!"

Bila mak cakap begitu, aku dah boleh agak punca masaalahnya. Maklumlah, itu memang bidang aku semasa belajar dan bekerja.

Bila aku belek lampu kalimatang yang dah separuh dari usia rumah ini, aku tahu ini masa untuk diganti baru. Dah berkarat sesangat.

Aku pun bergegas ke UO di Greentown Mall. Terkial-kial juga aku memakir kereta dan memasuki UO yang jarang sekali aku pergi. Akhirnya aku dapat mencari kalimantang (walaupun jenis pendek), connector, wire cutter dan test pen

Akhirnya siaplah kerjabuat aku itu dengan tenaga otai yang ada ini. Bukan main gembira lagi mak yang tentunya selepas ini lebih jelas pembacaan Qurannya.

Aku tahu, keletihan ini jika tidak di cover dengan tidur akan buatkan aku terhuyung hayang membawa kereta balik ke Penang.

Aku minta ibu_suri bersembang dengan aku supaya tidak mengantuk memandu. Tapi ntah bila masanya, tiba-tiba ibu-suri menepuk bahuku dan berteriak;

"Abangggggg.... you tidur ke?"

Dan aku spontan menekan brek. Astaghfirullah... Rupanya Viva aku hampir mencium bontot lori. Apalagi.... bergantang-gantanglah leteran ibu-suri di sepanjang jalan. Aku hanya diam membatu!