Halaman

Selasa, 23 Julai 2013

Doakan ibu_suri!


Masih mengadu sakit perut dan keluar masuk tandas. Aku pun tak tahu nak buat bagaimana bila setiap kali ibu_suri mengadu. 

"Dub** I pedih!" ujarnya yang mungkin di akibatkan oleh selalu dan terlalu meneran.

Kalau tidak kerana akan ada odit hari Isnin ini memang mau saja aku hantar ke hospital. Namun aku boleh agak, jika dirujuk ke sana kemungkinan besar ibu_suri akan diwadkan. Masaalahnya, jika ibu_suri di wad, aku perlu menjaganya 24 jam. Habis.... kerja-kerja aku menjelang odit?

Sakit perut berpanjangan yang diidapi oleh ibu_suri ini sebenarnya mengingatkan aku pada peristiwa lampau ketika mana awal-awal ibu_suri diserang stroke. 

Boleh baca di sini sebahagian dari rentetan peristiwa itu!

Doakan kesejahteraan ibu_suri. Bagi aku, cuma dialah teman yang aku ada sekarang ini samada elok walaupun tidak. Ketika mana anak-anak sudah besar dan tidak lagi selalu bersama kami, ibu_surilah teman yang menghibur hati ataupun sebaliknya!

Isnin, 22 Julai 2013

Biar Angin Itu Keluar

Selesai berbuka puasa dengan memakan 3 biji kurma dan beberapa teguk air kosong, ibu_suri bangun seraya mengajak aku bersembahyang Maghrib dulu. Aku yang sambil menunggu masuk waktu berbuka tadi, membuka laptop dan menonton video klip kisah Joe berpuasa, terpaksa pause dahulu lalu ke bilik membentang sejadah.

"Eh, you bukan kent** ke tadi...?"

"Laa....." keluhku sambil ketawa terkekeh-kekeh.

Dan bukan main lagi ketawa ialah ibu_suri yang sesekali kelihatannya seperti ketawa anak-anak kecil.

Sebenarnya, aku tadi bukan saja terkent** malah memang belum pun ambil air sembahyang. Apa punya turrr..

Balik dari kerja, terus sahaja ke dapur meletakkan kuih-muih yang aku beli ke dalam piring sambil membancuh kopi pra campuran jenama Agro Mas yang berasaskan Habbatus Sauda. Tidak lupa sekotak kurma dari Tunisia.

Sementara menunggu waktu masuk, aku membuka laptop sementara ibu_suri menonotn Upin Ipin. Masa itulah aku terkent**. 

"Hisshhh... you ni.@#$% " sergah ibu_suri sambil menutup hidung.

"Biaq pi angin tu keluar. Tak elok di tahan-tahan. Nanti dia pusing-pusing kat dalam perut macam you lagi leceh," merujuk pada ibu_suri yang 2-3 hari ini asyik mengadu sakit perut dan berulang ke tandas.

Ahad, 21 Julai 2013

Hujung Waktu Ini

Hari-hari berpuasa ini waktu luang bagi aku amat pendek. Terkocoh-kocoh dan terfikir-fikir.

Hujung waktu kerja aku mesti fikir apa menu yang perlu disedia dan di mana perlu aku beli untuk berbuka puasa kami berdua tatkala balik nanti. Malam pula selepas selesai sembahyang, perlu gegas pula membuka laptop dan mencari bahan, menyusun dan menulis untuk blog TKM 1 Pulau Pinang yangmana aku adalah author. Hingga kekadang, blog aku sendiri terabai.

Menjelang 12 malam tergesa-gesa pula ke gerai di Permatang Tok Elong untuk membeli juadah sahur. Kedai ini yang berhampiran gerai buah-buahan. Hanya dibuka pada tengah malam dan tutup selepas waktu sahur. Di hari-hari biasa dibuka hingga tengahari esoknya. Makanan yang dijual memang baru diangkat dari dapur. Panas, pelbagai menu dan sedap rasanya. 

Namun sepanjang Ramadhan ini hati aku tidak pula 100% gembira. Ia sering diserbu oleh keresahan menjelang odit SIRIM yang akan berlansung pada 29 Julai ini.

Kekadang makan atau bawa ibu_suri berjalan-jalan pun dengan rasa jiwa yang kosong dan ntah di mana.

Sesekali terfikir, ini baru nak menghadapi odit SIRIM. Agaknya bagaimanalah keadaan diri aku jika menghadapi tarikh aku dioditkan oleh Tuhan, jikalah ditakdirkan aku tahu akan tarikh akhirnya aku ini? 

Sesekali, rempah ratus keresahan ini di tokok pula dengan memikirkan nasib Akhmal - bilamana dia keluar nanti, Along - yang masih membujang dan Angah - yang nampaknya masih terumbang ambing kewanganya.

Isnin, 15 Julai 2013

Janji Jujur Sepi




Selalunya aku jarang menonton tv selain berita. Tapi bila tertonton suatu cerita yang menarik, aku akan tunggu hingga tamat.

Tadi semasa berbuka dengan ibu_suri, tv9 menyiarkan drama Jujur Janji Sepi. Plot drama itu memang memikat hati aku. Jarang ada drama yang jalan ceritanya begitu kreatif. 

Punyalah ralit hingga ibu_suri ajak solat terawih bersama aku menjawab... 

" Buat dululah. Nanti abang sembahyang lain.."

Terkinja-kinjalah setan kat atas kepala aku agaknya meraikan kemenangannya. Dan semakin dimenarikkannyalah cerita itu hingga pegun aku di depan tv tidak bergenjak.

Aku sempat menghadamkan kata-kata yang diujar oleh mak Vee;

"Dalam hidup ini kita kena hargai apa yang ada di hadapan kita."

Sayangnya, watak Vee tergantung membuatkan aku terfikir-fikir akan nasib watak itu. Kalau ada abah aku, mesti dia kata;

" Apa punya cerita ni. Tak tahu apa kesudahan. "

Maklumlah, cerita-cerita zaman abah aku banyak dipengaruhi filem Hindustan yang selalunya happy ending!

Ahad, 14 Julai 2013

Akan Tiba Giliranku


memakai cepiau logo 1 Malaysia menerima kunci rumah baru

Aku tidak pasti sejauhmana penerimaan pembacaku terhadap tulisan aku yang selalunya berkisar sekitar penceritaan aku dan ibu_suri sahaja. Kalau pun ada kisah yang di luar kotak,  hanya sesekali.

Tapi itulah realitinya kehidupan seharianku. Dan aku tidak reti menulis selain dari apa yang aku lalui setiap hari. Pengalaman dan pemerhatian aku sendiri tanpa ada unsur hipokrit.

Hari ini ibu_suri tidur panjang dari malam tadi hingga menjelang petang. Dan kesempatan masa-masa lengang itu aku guna untuk meng-update blog TKM1 yang terbengkalai sejak 2 hari lalu. Rasa bersalah pula kerana mengabaikan tanggungjawap yang diamanahkan. Apa pun, aku hanya manusia biasa. Cuba buat sedaya upaya.

Jam 4 petang, aku gerak ibu_suri bangun. Sepatutnya satu lagi tugasan perlu dilaksanakan - ziarah mertua di Taman Buah Pala. Aku tahu, mertuaku ini pasti tertunggu-tunggu kedatangan kami bagai selalunya di hujung minggu. Kasihan mereka kerana kini sudah terlalu tua; tidak terdaya untuk berjalan jauh dan kesepian walaupun tinggal di rumah besar 2 tingkat yang diperolehi percuma melalui usaha dari Kerajaan Negeri. Rumah itu khabar kini mencecah harga RM700 ribu. Setiap kali bila aku datang dan mencium tangannya tanda hormat, mertuaku akan sebik lantas mengalirkan airmata.

Aku amat memahami kesepian dan keresahannya dalam melalui hari-hari terakhir sebagai seorang insan kamil di bumi Tuhan ini. Walaupun dulunya dia seorang lelaki yang hebat (maklumlah.. bekas AC) hingga mampu membina syarikat sendiri yang beroperasi sebagai pemunggah barangan dari kapal ke lori pengangkutan namun lumrah alam... yang kuat tidak akan kekal. Lambat laun akan lemah dan memerlukan bantuan.

Mertuaku selalu memuji aku atas keselaluan menziarahinya dan kekadang membawanya berjalan-jalan memberi barangan keperluan tanpa banyak kerenah. Sebenarnya jauh di sudut hati kecilku memegang prinsip bahawa apa yang aku perbuat ini adalah kerana aku tahu satu hari nanti aku juga akan menjadi seperti mereka - tua dan lemah. Selama menjaga ibu_suri telah banyak melatih aku tentang sabar dan redha akan apa jua dugaan yang mendatang.

Akan tiba giliran aku pula untuk mengharapkan bantuan dari anak-anakku untuk menjaga kebajikan aku bila giliran tua dan lemah aku tiba. Usah sombonglah dengan kegagahan hari ini kerana ianya bukan hakmilik kekal!

Sabtu, 13 Julai 2013

Jangan Pergi Terawih

Aku balik kampung semalam untuk merasai berbuka dan bersahur dengan mak. Itupun setelah aku pujuk ibu_suri dengan janji balik dari kampung nanti akan terus pula ke Taman Buah Pala; berbuka pula bersama mak dan abahnya.

Dan aku pula mematuhi syarat dari ibu_suri bahawa kalau ingin tidur di rumah mak di kampung, aku mesti selalu berada di sisinya. Jangan pergi berterawih di masjid. Cukup di rumah saja.

"Nanti susah I nak pi tandas kalau you tak ada." terangnya. Aku diam. Dalam hati aku berfikir:

'Antara ziarah mak dengan berterawih di masjid; ziarah mak lebih utama. Solat terawaih di masjid hanya sunat.'

"Okay!'" jawapku pendek.

Bila masuk saja ke kereta hendak bertolak, baru aku hantar sms pada adikku yang ditugaskan menjaga mak di kampung. Begitulah selalunya aku; tidak boleh berjanji akan ke sesuatu tempat melainkan setelah sahih ibu_suri bersedia ke sana.

Memang pun, semalam ibu_suri tidak henti-henti berulang ke bilik air. Dan aku seperti biasa akan terpaksa membantunya untuk menjaga dari tergelincir dan membasuh, mengelap mana yang patut. Menggerutu juga hati ini tapi aku tahu bahawa ini adalah tanggungjawapku, mahu tidak mahu.

Malam tadi juga ibu_suri lansung tidak dapat memicing mata. Musim tidak boleh tidur sepanjang malam sudah datang. Aku faham. 

Maka selepas saja habis sahur, selepas aku mengemas singki dan membersih lantai rumah mak, aku minta izin untuk balik semula ke Penang. Aku perlu bertindak bijaksana dan mendahulukan kepentingan ibu_suri pula setelah semalam ibu_suri bertolak ansur untuk tidur di rmah mak.

Sebelum balik, aku sempat upload  bacaan Quran dari qari Mekah yang ada dalam laptopku ke dalam pendrive untuk mak dengar selalu melalui radio mini mak. Radio mini itulah teman mak ketika mak hendak tidur malam sejak pemergian abah mengadap Ilahi.

Aku memandu balik ke Penang dari Ipoh dengan pemanduan yang santai kira-kira 80~90km/jam. Selama 4 jam memandu di lebuhraya baru sampai ke rumah. Mujurlah aku tidak mengantuk dan rasa seronok memandu tanpa tekanan hendak cepat sampai ke Penang.

Sekarang ini.... ibu_suri sedang tidur dengan nyenyak. Dari dengkurnya aku tahu, tidurnya adalah sempurna!

Rabu, 10 Julai 2013

Ramadhan - Malam Pertama

Iftar hari pertama Ramadhan ini hanya berdua dengan ibu_suri sahaja. Sesekali fikir, lebih mudah begini. Aku hanya perlu fikir apa yang sesuai untuk juadah kami berdua sahaja. 

Lepas makan 3 biji kurma seperti sunnahnya, kami sembahyang Maghrib. Lepas itu kami sambung makan beberapa ketul kuith dan sebungkus bihun goreng kongsi berdua.

Minuman aku seperti selalunya, teh tarik Ali Cafe sementara ibu_suri aku bancuh kopi pra campur Habbatus sauda jenama Agro Mas.

Adikku yang cadangan awal nak datang dari Shah Alam untuk bermalam di sini mengubah jadualnya ke hari esok.

Habis Terawih kami berdua, aku bawa ibu_suri jalan-jalan ke pekan Kepala Batas sambil membeli lauk untuk sahur. Gerai berhampiran Public Bank itu memang antara lokasi makan malam kami. Harga makan di situ agak mahal juga.


"Kepala ikan ni berapa sat?" sambil menunjuk kepada saiz kepala ikan paling besar.

"RM15..."

Hu mak datok.... dah boleh kira sembelih ni... getus hatiku. Kalau kat kedai tepi Masjid Kubang Semang ni aku agak-agak sekitar RM5 ~ 6 sahaja.

Balik rumah, selesai basuh pinggan dan urus tempat tidur ibu_suri, aku mengadap komputer untuk update blog TKM1 dan blog aku ini.

Sesekali menjengah FB dan layan  video tazkirah UAI yang mencolek hati....

Selasa, 9 Julai 2013

Rahmat Tuhan

Adik aku yang tinggal di Shah Alam talipon tadi beritahu nak bermalam di rumah aku esok dan lusa. Ada kerja kat Juru, katanya.

Wah... kelam kelibut aku dibuatnya. Maklumlah... rumah aku ni jarang menerima tetamu bermalam. Jadinya, aku kena siapkan;

1. bilik tidur
2. baiki selak pintu bilik air yang kebetulan patah 2 hari lepas

Selesai makan malam, aku bagai lipas kudung menyalin cadar, sarung bantal dan mop lantai. Ganti selak pintu bilik mandi ala-ala McGyver gitu.

"Inilah rahmatnya bila ada tetamu datang ke rumah." Ujarku pada Angah yang tolong sama memasang cadar. Merungut-rungut aku kerana tampak sangat dia tak betah buat kerja-kerja mengemas begini.

Sesekali tercium bau Akhmal yang masih melekat pada bantal dan tilamnya. Bilik Akhmal ini memang dah lama tak di selenggara. Terbiar begitu saja sejak dia tiada.

"Selalunya kita tidak nampak sesuatu kebaikan di sebalik yang kita rasakan ianya beban atau ujian dari Tuhan. Kalau kita selalu melihat dari sudut positif insyaAllah kita akan nampak." terangku yang juga bertujuan untuk mendidik Angah sepintas lalu.

Sebenarnya jauh di sudut hatiku, aku gembira dengan kesudian adikku memilih untuk bermalam di rumahku  walaupun dia ada kemudahan bermalam di hotel atas tajaan syarikatnya - PharmaNiaga.

Adikku ini selalu bercakap tentang keberkatan dan rahmat Tuhan. Dia semasa mudanya adalah salah seorang anggota Tabligh.

Isnin, 8 Julai 2013

Puasa Penuh

Esok insyaAllah, akan berpuasa Ramadhan aku dan ibu_suri. Mungkin dari sudut persediaan juadah agak mudah kerana aku tidak perlu lagi memikirkan selera anak/menantu. Makan kami berdua ala kadar sahaja sudah memadai.

Aku singgah memberi barangan asas untuk juadah sahur tentunya, tadi otw balik makan. Akulah nanti yang akan mesti bangun sekitar 4.30 pagi. Memasak seringkas yang boleh untuk sahur. Kemudian sembahyang Subuh dan bersiap ke tempat kerja.

Untuk berbuka selalunya beli nasi bungkus dan sedikit kuih muih. Aku bercadang hendak membeli kurma yang dijual oleh sahabatku. Kurma keluaran Aqsa Syarif yangmana hasil jualannya adalah untuk tabung Palestin.

InsyaAllah juga, 25hb nanti surau tempat kerja akan buat majlis Berbuka Puasa di kantin. Aku selaku pengerusi surau sudah mula mengadakan mesyuarat secara atas talian dengan beberapa orang rakan. Pembahagian kerja akan dibuat dalam sehari dua lagi. Ini program tahunan. Jadi modulnya memang sudah ada.

Aku juga berharap Ramadhan kali ini aku dapat melaksanakan ibadah sebaik mungkin. Mungkin tidak dapat selalu ke masjid. Tinggalkan ibu_suri seorang diri di rumah mungkin agak susah juga.

Apapun, aku percaya. Seperti beberapa tahun yang lalu ibu_suri akan mendapat puasa penuh..he..he..


Ahad, 7 Julai 2013

Siakap Stim

Hari ini aku lebih banyak di rumah. Lebih banyak di dalam bilik. Lebih banyak di depan pc. Lebih banyak menulis dan brfikir. Lebih banyak bimbang.

2 hari lagi akan menjenguk Ramadhan. Bukan main beriya ibu_suri mengajak aku dan Angah sekeluarga untuk makan-makan. Tapi sebenarnya duit pun bukan ada sangat. Bulan ini banyak keluar kerana membayar bil dan langsaikan ar Rahnu. Untuk belanja iftar dan sahur dijangka perbelanjaan meningkat. Heran juga ya!

"Makan kat De Pauh Garden tu modal kena besaq, ayah.." ujar Angah bila dengar ibu_suri usulkan cadangan untuk makan bersama di situ. Dia tahu status terkini kocek aku.

Aku diam saja. Tapi hajat ibu_suri memang kena tunaikan. Itu adalah satu cara menjaga emosinya supaya selalu stabil. Pengalaman aku ketika peringkat awal sakitnya yang digelar bipolar disoder sudah cukup memberi amaran supaya ianya jangan dibiar berulang.

"Kita makan kat BM Tomyam di Perda jer, ayah!"

"Ada ikan siakap?"

"Ada.."

Itu sudah kira okay. Siakap masak stim limau. Aku pun gemar sebenarnya.

Tampak keriangan di wajah ibu_suri bila hajaat tertunai. Sekali dua dia bertanyakan aku ketika memandu pulang...

"Kenapa I ni hepi sangat? Nak mati ke?"

Huishhh.....

Sesampai di rumah, belum sempat buka pintu gelansar, ibu suri dah terkucil. Dan sepanjang jalan ke dapur dan ke bilik air....

Dengan sabar aku mengemop semua itu. Yang bukan baru se kali. Yang bukan baru kali ini....

Sabtu, 6 Julai 2013

Terjatuh



Kesibukan menyiapkan blog TKM1 mutakhir ini membuatkan aku tak banyak masa untuk menulis ke blog sendiri. 

Orang lain yang menatap mungkin berasa sekejap sahaja pembacaan mereka dan mampu mendapat gambaran aktiviti yang telah dilalui oleh TKM1 sepanjang hari. Akan tetapi aku yang terpaksa bersekang mata malah hingga terpaksa menahan sakit batang hidung akibat terlalu lamanya cermin mata terletak di depan kornia.

Mencari bahan, menyusun bahan mengikut waktu aktiviti dan menyusun ayat yang sesuai untuk dibaca oleh semua peringkat pembaca memerlukan masa, kesabaran dan ketelitian.

Mengalami hal ini buatkan aku terasa kagum dengan tugasan penulis berita maupun cereka. Daya imiginasi dan pengetahuan luas dalam ilmu bahasa amat penting. Bagaimana perasaan mereka bila tiba-tiba sahaja penat lelah mereka itu diperlekeh oleh sesetengah pembaca?

Hari ini seperti biasa, selang 2 minggu akan ziarah mak abah di Taman Buah Pala, Gelugor bersama kakak ipar dan Marissa yang dijaganya.

Kasihan Marissa sebab terjatuh dari tangga semasa bermain di rumah mak abah. Bukan main lagi ibu_suri toghek menegur kakak ipar yang sedikit alpa menjaga Marissa sebentar tadi.

Aku yang ada semasa itu hanya melihat saja Marissa tersembam ke muka tangga akibat tergelincir. Bagi aku ianya taklah serius sangat. Bagi aku biarlah sesekali Marissa merasai bagaimana sakitnya kalau terjatuh.

Bagi aku Marissa akan lebih cepat belajar erti hidup jika dia banyak menempuh kesusahan daripada terlalu banyak menikmati kesenangan.

Khamis, 4 Julai 2013

Antara 2 Kebersihan



Hari ini terasa lega sedikit jiwaku berada di ofis. Sudah mula mendapat rentak kerja yang tersusun dan terancang.

Seperti biasa, setelah membuka pintu ofis... setelah menekan punat penghawa dingin, aku mencapai tuala kecil dan membasahkannya di singki. Aku lap meja tulis, meja kerja dan atas kabinet. Itu adalah rutinku selang 2 hari sekali demi memastikan bilik aku sentiasa bersih, dilihat bersih dan berbau bersih.

Aku gantikan pewangi lama yang dah haus kepada pewangi baru. Mengeluarkan speaker yang aku bawa dari rumah untuk dipasang ke komputer atas meja tulisku. Dan bila aku memilih lagu dari senarai dalam hardisk dan memainkannya .... wow...!

Aku menulis senarai kerja yang aku sasarkan untuk diperbuat hari ini. Aku harap semua task yang telah aku senaraikan hari ini akan dapat aku selesaikan. Paling tidak pun, separuh darinya selesai, aku kira KPI aku tercapai. Setidak-tidaknya aku dapat ukur output kerjaku hari ini.

Memang kerap pelanggan aku yang datang berurusan dengan aku di ofis ini akan memuji akan kekemasan dan kebersihan bilik aku ini. Bagi aku ini tak mengherankan sebab bilik kecil memang mudah nak dijaga. Lagipun aku seorang saja yang ada di bilik ini.

Tapi sesekali bila aku memikirkan sebaliknya...

Rumah aku pun tak sebersih bilik aku ini. Justeru itu aku selalu rasa segan nak jemput kawan-kawan atau saudara mara datang rumah sebab keadaan rumahku yang semak dan semakin berdebu.

Alahai... Ramadhan semakin hampir. Ramai kawan-kawanku bercerita tentang kesibukan mereka melangir rumah. Aku cuma tekun menjaga kebersihan ofisku, keretaku dan bilik ibu_suri saja tetapi sebaliknya di ruang tamu, bilik air, dapur dan bilik-bilik lain. Bila anak sudah tak mandang, rumah kecil pun terasa luas dan tak mampu nak jaga semuanya. Aku kira, dalam konteks menjaga kebersihan secara syumul, aku masih gagal.

Waktu balik, aku tidak menutup punat penghawadingin seperti selalu kerana esok hari Jumaat. Hari yang istimewa  di antara hari-hari bekerja yang lain...

Rabu, 3 Julai 2013

Awan Putih Waktu Malam


Malam ini usrah agak lain dari selalunya. Bertemu di Restoran Nashmir sambil berbual santai tentang isu-isu semasa. Sesekali naqib mengeluarkan hujah yang boleh dikatakan sebagai tazkirah juga tatkala sesuatu permasaalahan ditimbulkan oleh antara kami.

Menjelang 11 malam, angin bertiup kencang.

"Tengok awan kat sana. Dah berwarna putih. Tak lama lagi hujan akan turun. Lebat ni!" terang kawanku yang juga Bendahari Surau Taman Pelangi, lokasi tetap usrah mingguan kami. Dia bekeja sebagai peniaga pasar malam di situ.

Baru aku tahu bagaimana nak menentukan hujan akan turun atau tidak dengan berpandukan warna awan di langit.

Setelah 2 jam di Nashmir, aku memandu pulang ke rumah. Singgah di kedai makan tepi Masjid Kubang Semang untuk membeli makanan Angah dan ibu_suri. Angah ni pun satu. Mentang-mentanglah ayah dia ni baik, asyik suruh ayah dia belikan makanan sahaja sedangkan dia sendiri pun sepatutnya boleh beli sendiri on the way balik kerja. Hai... lah.. anak!

Selepas hidangkan ke meja untuk ibu-suri aku bergegas membuka laptop untuk mencari bahan meng-update blog TKM1ku. Itu adalah tugasan khas harian yang telah diamanahkan oleh jamaah kepadaku.

Selalunya, hari Rabu begini, masaku terlalu pendek. Terkocoh-kocoh balik kerja, belikan makanan untuk ibu_suri, makan bersamanya, solat Maghrib kemudian bersiap untuk ke usrah. Jarak lokasi usrahku di Taman Pelangi itu adalah sekitar 45 minit menaiki Kancil dari rumah.

Kancil aku bukan elok sangat kondisinya. Tak boleh bawa laju lebih daripada 70km/jam. Dan aku pula mutakhir ini tidak boleh tidur lewat dari jam 1. Kalau lewat jawabnya esok akan rasa lemah dan mengantuk di tempat kerja. Tidak seperti dulu. Boleh berjaga hingga 2 - 3 pagi untuk beraktiviti atau menyudahkan kerja-kerja jamaah.


Selasa, 2 Julai 2013

Tak Sedap Badan



Ntah kenapa rasa tak seronok sahaja hari ini di tempat kerja. Bila aku teliti, mungkin ada 3 sebab utama. Antaranya, kerja-kerja untuk menghadapi odit TS yang masih belum selesai, gadaian Ar Rahn ibu_suri yang dah tamat tempoh matang serta kebaragkalian Akhmal akan keluar di sekitar bulan Ramadhan ini.

Waktu rehat pagi di lokasi kerja, aku cuba lelapkan mata sebentar di surau. Itu memang salah satu cara aku me-release ketegangan dalam diri bila ianya berada di kemuncak. Mengharaapkan keberkatan tidur di surau atau masjid akan dapat meringankan beban yang memberat dada.

Fikir punya fikir, akhirnya aku ambil keputusan untuk minta cuti separuh hari dari bos dengan alasan aku rasa tak sedap badan dan ingin rehat di rumah. Seperti biasa, bos aku akan balas emel aku dengan perkataan - Ok. Take care your health.

Nasib baiknya aku tidak carpool hari ini. Setelah selesai urusan aku dengan Ar Rahn ( cuma ini satu-satunya masaalah yang boleh diselesaikan sementara yang lain hanya masa yang menentukan ), aku balik ke rumah. Setelah selesai solat Asar, aku tidur di sebelah ibu-suri yang kali ini agak memahami keadaan diriku.

Sayangnya, bila ibu_suri bertanya... Awai you balik?

Aku cuma jawap... Saja amik cuti. Rasa tak sedap badan. ( Tanpa memberitahu bahawa yang tak sedap itu bukan sangat badan tapi hati nurani... )

Isnin, 1 Julai 2013

Bila Tiba Waktunya

Bila aku keluar saja tadi, terlihat sekumpulan jiran wanita sedang berbual di bawah pokok pelam sebelah rumah. Selalunya anak-anak remaja jiran yang berlonggok di situ.

Mulanya aku ingatkan mereka bercerita tentang kenakalan anak si anu atau si ani. Maklumlah, kat taman aku ni masaalah juvana dah menjadi satu trend menaik. Kes orang masuk rumah, mencuri dan sempat merogol anak gadis dalam bilik baru saja berlaku.

Rupanya telahan aku meleset bila salah seorang jiran menggamit aku.

"Tau ke si Zul dah 'pergi' dulu?"

"Tak..." sesekali seperti ada rasa termalu pada diri sendiri. Hal yang berlaku pada jiran pun tak tahu dek asyik terperap di rumah.

"Bila?"

"Baru pukul 8 tadi. Ini mak dia..." sambil menunjuk ke arah seorang mak cik yang duduk di batu. Baru sampai dari Johor, katanya. Sedang menunggu anaknya yang seorang lagi dari Kedah.

"Dia mati semasa masih dalam pembedahan jantung." terangnya.

Jiran aku ini nak kata lama sangat tu tidak juga... berpindah ke sini. Sesekali saja aku nampak dia balik atau keluar rumah menaiki Exora hitamnya. Bila sesekali terjembong itu, sekadar senyum atau angkat tangan saja.

Apa yang menyentuh perasaan aku ialah bila mak cik itu berkata;

"Mak cik yang tua ni dok sihat elok, dia yang masih muda mati dulu."

"Itulah ketentuan Allah..." ujarku pada ibu_suri bila dia juga terkesan dengan berita ini. 

Memang... berita-berita mati sebab sakit ini perlu hati-hati jika mahu disampaikan kepaa ibu-suri apatah lagi kematian itu adalah dari kalangan keluarganya sendiri. Dan hendaknya, punca kematian itu pula adalah sama seperti sakit yang juga dia sedang idapi...

Sikap Bertangguh

Aku terlambat bangun hari ini lansung ambil keputusan untuk bercuti sahaja.

Di luar pula hujan renyai-remyai menambah nyenyak tidurnya ibu_suri. Aku duduk di kerusi sambil memerhati hujan yang turun.

"Takkan nak cuti saja?" elus hatiku.

Teringat beberapa bil yang perlu aku selesaikan.

Bil TMnet yang berbulan-bulan tak bayar kerana beraleh ke Celcom broadband. Setiap kali datangnya bil akan tertulis SEGERA di ruang pembayaran.

Bil TNB juga dah dihantar menggunakan kertas berwarna kuning tanda talian akan dipotong jika lengai lagi untuk membayarnya. 

Bukan tak mahu bayar akan tetapi kerana asyik bertangguh. Untuk ke pejabat pos di waktu pejabat demi membuat pembayaran agak sukar. Along banyak kali menyuruh aku membayar secara atas talian. Cuma aku sahaja yang malas nak terokai pembayaran cara moden ini.

Bil Indah Water juga dah dikepilkan dengan nota peringatan.

"Elok kalau aku me-nyetel-kan bil-bil ini, hari ini. Mau 3-4 ratus juga duit aku terbang untuk semua ini."

Inilah akibatnya kalau kerja bertangguh.  Sikap aku yang aku harap tidak diwarisi oleh anak-anakku kelak!