Halaman

Jumaat, 30 Ogos 2013

Hargailah

Menonton video ini melalui fb sahabatku buat aku mengakui betapa ianya benar. Buat aku semakin menghargai yang bernama seorang isteri. Buat aku berasa perlunya aku menjaga dia, menghormati dia, menerima seadanya kelemahan dia, ikhlas menjaga kebajikannya dan ikhlas berdoa agar dia terus bersamaku mengemudi kehidupan ini sehingga waktu masing-masing tiba.

Susah aku memandikan dia setiap pagi sebelum pergi kerja, membasuh lantai dan karpet bila setiap kali dia tidak sempat ke bilik air untuk mem'buang'kannya, mendengar melodinya yang kuat hingga aku terpaksa menutup telinga dengan bantal atau pindah beradu di ruang tamu, diam diri menahan malu bila dia marah di depan khlayak, dengar dengan sabar bila dia membebel, menahan marah di dada bila dia mula berprasangka yang bukan-bukan, berhabisan wang untuk memenuhi apa yang dia mahukan, menenangkan dia dengan kata-kata manis bila dia tidak tenteram dan memastikan makan minum dan ubatannya sentiasa ada dengan sempurna.


Menonton video ini buat aku menghargai; dia masih ada di sisiku di saat hujan petang ini masih belum reda. Menonton video ini buat aku berkata: bertuahnya aku kerana dikurniakan seorang isteri yang seadanya seperti dia!

Khamis, 29 Ogos 2013

PJK

Aku tumpang berbangga dengan penganugerahan pingat PJK kepada sahabatku JH oleh TYT Gabenor Pulau Pinang hari ini. Setimpal dengan kerja-kerja  kemasyarakatan yang telah dibuatnya selama ini samada melalui NGO IKRAM mahupun Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong (PSSPGM).


bersama isteri

bersama TKM1 dan rakan-rakan

Muga dengan pengurniaan darjah kebesaran ini akan menyuntik semangat lebih tinggi ke arah usaha mengislahkan masyarakat bersama Islam.

Apapun, minggu depan kita carpool pi kerja macam biasa. Harap-harap dapat tengok macam mana ke rupanya pingat itu. 

Rabu, 28 Ogos 2013

Pengorbanan Ayah...3

Pukul 4 pagi semalam, orang mengetuk pintu rumah. 2 orang. Lama juga berbual. Jiran. Kawan-kawan Akhmal juga. Seorang tu polis bantuan. Sebelum jadi polis dia pun macam Akhmal. Dicekup kerana memiliki sebekas syabu. Anak sungai lagikan berubah, kan!

"Kami kesian tengok pak cik. Tu yang kami nak tolong." dan bla..bla..

Aku kemudiannya ke bank. Tak tahu ada ke mesin ATM yang beroperasi subuh sepi'e begini. RM800 dimahukan untuk tebus semula barang yang telah dijual kepada seseorang. Tapi Akhmal tidak dapat satu sen pun sebaliknya duit itu lesap ke poket kawan lain.

Aku benarkan ibu_suri untuk ikut kerana aku perlukan sokongan moral dari seseorang. Dalam kereta, aku terpaksa ceritakan hal yang sebenarnya. Dah tak boleh berselindung lagi. Alhamdulillah, ibu_suri mendengarnya dengan positif. Inilah 'kebijaksanaan' aku sebenarnya. Tahu bila perlu menyorok dan bila boleh berterus terang mengenai berita yang tidak baik untuk di dengar oleh ibu_suri. Maklumlah, dah 30 tahun hidup bersama. Masak.

Aku panggil Angah datang membantu. Memang kesian juga pada dia terpaksa bersekang mata. Tapi siapa lagi nak kuharapkan selain dia yang punyai tenaga muda.

RM800 bukannya sedikit untuk aku hambor begitu saja pada orang. Terpaksa taruh kepercayaan.

"Inilah sebenarnya pengorbanan seorang ayah yang banyak anak tidak nampak. Kamu dulu pun lebih kurang begini juga. Airmata ibu pernah menitis ke pinggan nasi gara-gara kamu lari dari rumah. Sekarang kamu dah besar panjang. Ayah terpaksa berdepan dengan kerenah Akhmal pula."

Di sembahyang Subuh, aku bersujud panjang. Terima kasih kepada Tuhan kerana membuka sikit jalan untuk Akhmal tidak disabitkan dengan kesalahan ini. Tak pasti jalan ini akan sampai ke mana.


Selasa, 27 Ogos 2013

Hujan Belum Reda...2

Di tempat kerja, fikiran aku agak terganggu dengan dugaan yang aku depani sekarang ini. Akhmal terlibat dengan kes jenayah yang baru serta saman dari mahkamah Butterworth. Jatuh ditimpa tangga. 

Sementara menanti waktu Zohor masuk, aku tidur di surau. Selesai itu, minum secawan kopi bersama rakan sekerja di kantin dalam 15 minit. Kemudian masuk semula ke lokasi kerja. 

Aku termenung mengadap komputer. Otak serabut.

Aku buka lagu ini  - InsyaAllah, Lawka Bainana, Waiting For Your Call , Open Your Eyes  yang memang ada dalam desktopku . 

Mendengarnya dengan pandangan kosong  ke arah monitor.Aku tarik nafas panjang-panjang dan dalam-dalam.  Belum reda juga hujan petang ini....

Isnin, 26 Ogos 2013

Sujud Terakhir...1

Buat hal lagi kamu ni, Akhmal.  Malah lebih menyedihkan, ketika ini kamu masih dalam parol.

Bukan kamu saja yang sekarang ini hidup dalam ketakutan dan serba payah malah ayah sendiri terjerumus dalam keresahan yang tak keruan. Takut dan  kosong. Mujur juga Angah ada menjadi teman.

Juga, resah untuk berdepan dengan ibu_suri  ini.  Bagaimana perkataan yang  elok boleh ayah  susun kan untuk memberitahu semua ini kepada dia tanpa membuatnya menjuraikan airmata?  

Letih ayah ini, Akhmal. Letih... Terlalu letih kerana ianya seperti tak berkesudahan. Seperti sia-sia segala usaha ayah selama ini hendak memperbetulkan jalan kamu.

Cuma masih ada Tuhan tempat ayah  mengadu dan bergantung  harap  Itupun,  sesekali persis  kesaorangan sahaja  rasa ayah dalam mengemudi sampan di tengah lautan yang kekadang tenang dan kekadang ganas ini.

Dalam sujud terakhir ayah berdoa pada Tuhan muga kamu dan ayah diperuntukkan jalan yang lurus dan damai!

Ahad, 25 Ogos 2013

Fardhu 'Ain


Tidak banyak yang aku perbuat di cuti hujung minggu ini. Sekadar kemas dapur, masak tengahari dan bersihkan luar rumah. Harap-harap sebentar lagi aku boleh bersihkan kamar ibu_suri di samping bersama pergi ziarah ibu_suri di Taman Buah Pala.

Masa balik dari riadah di Tasik Mengkuang tadi aku singgah minum di kedai makan Semarak seperti selalu. Lokasinya berdepan dengan tapak projek baru pembesaran Tasik Mengkuang yang kontraktor utamanya adalah Syarikat China International Water & Electric Corp. Pekena kopi radix ori dan sekeping roti canai.

Teringat minyak masak di rumah dah habis. Perlu beli demi kemudahan Akhmal memasak tengahari esok di kedai runcit yang berkembar. Sambil bayar aku ambil kesempatan bertanya khabar kepada peruncit yang aku percaya bapa mertua kepada penebar roti canai.

Bercerita pasal kesihatan lansung melarat pasal anak remaja dan masalah sosial yang membarahi masyarat Melayu. Dia mengakui bahawa kelemahan masyarakat Melayu dalam ekonomi bukan disebabkan oleh kejayaan bangsa Cina tetapi kerana kelemahan kita sendiri. Contohnya; bangsa Cina bangun awal pagi untuk memulakan perniagaan sedangkan bangsa Melayu...?

Akhirnya rawit hingga ke sistem pemerintahan negara kita yang satu-satunya kita masih miliki sepenuhnya. Di sini benarlah telahanku bahawa peruncit ini bernaung di bawah bendera warna apa. Tapi tak mengapa kerana aku bukan sangat berbangga dengan warna bendera. Aku lebih bersikap pemikiran jamaah yang aku ditarbiyah selama ini.

Sebenarnya dakwah bukan mengira warna kulit dan warna bendera. Dakwah kekadang perlu dalam kelompok bangsa kita sendiri apatah lagi di luarnya. Dakwah bukan kerja kifayah akan tetapi kerja 'ain. Dakwah kekadang tidak perlu dengan ceramah di pentas tetapi lebih berkesan melalui cara kita berbual dan mendekati  sesorang semasa melayan pelanggan. Pun, melihatkan cara pemakaian peruncit itu, aku menggeleng kepala.

Tapi satu perkara - Akhmal tidak balik sejak semalam! Bimbang...

Sabtu, 24 Ogos 2013

Abang Kan Ada!


Cuti hujung minggu memang selalu aku nantikan untuk beriadah di Tasik Mengkuang. Bagi aku bila riadah berjalan di tepian tasik bersuasanakan hutan dan bukit dapat melonggarkan keserabutan fikiran setelah seminggu bekerja. 

Sambil berjalan aku kekadang bercakap sendirian tentang kelemahan diri yang perlu diperbetulkan. Berpeluang berfikir tentang mereka di Palestin, Syria atau Mesir. Aku juga kekadang bercakap sendirian dengan 'ibu_suri'; dengan 'Akhmal'; dengan 'Along' atau dengan 'Angah'. Bercakap begitu lebih mengesankan kerana aku boleh luahkan semuanya tanpa hijab kepada mereka. Luahan itu sikit sebanyak melegakan dada walaupun sebenarnya mereka tidak mendengar. Hari ni tak dapat nak pakai baju T Palestin sebab baru basuh malam tadi.

Balik, aku singgah market Penanti. Akhmal bertanya semalam samada aku memasak tengahari ini atau tidak. Check kat ATM, gaji tak masuk lagi. Parah sungguh aku bulan ini bahana perbelanjaan untuk Raya. Along, Angah atau Akhmal - kalau pun tahu susah aku ini tak sama seperti mana aku yang merasai. Jauh sekali ibu_suri - tak pernah aku beritahu susah yang ini.

Aku cuci dapur, basuh pinggan mangkuk, kemas meja dan kabinet. Terasa sakit kaki juga dek berdiri lama. Sesekali ibu_suri memanggil aku bertanyakan makanan dah siap ke belum. Lapar, katanya.

Sesekali juga dia panggil aku dan berkata.. sori abang! I tak dpat tolong you buat kerja. Kenapa dengan I ni, ya? Aku hanya menjawap... Tak ngapa. Abang kan ada!... lalu kemudian sengaja alih topik - Nak abang mandikan, tak?

Hari Sabtu biasanya memandikan ibu_suri persis orang mandi wajib. Akan syampu rambut, basuhkan keseluruhan badannya dengan sempurna. Menukar tuala, vakum dan mop bilik tidurnya. Hati aku terasa senang bila semua itu dapat aku buat sebaiknya.

Hemm... kalau petang ini gaji masih belum masuk, nampaknya aku terpaksa taici jika ibu_suri ajak aku ziarah mak abahnya di Taman Buah Pala sepertimana selalunya setiap hujung minggu. Aku pasrah saja!

Jumaat, 23 Ogos 2013

Bukan Marah... Nasehattt!


Akhmal dah mula bekerja atas rekomen dari pegawai parol Kepala Batas. Kedai pembuat perabut somewhere kat Penanti, katanya. Tak tahu berapa lama dia boleh bertahan. Tapi paling tidak, buat masa ini aku tidaklah risau sangat akan aktiviti tidak keruannya lagi. Siang bekerja, bila malam dia letih maka akan berehat saja di rumah.

Bersama dia ada F yang ikut bekerja seperti dia. F adalah kawannya semasa berada di Tunas Bakti, Taiping dulu. Dia baru saja tamat tahanan. Dan bila keluar dia mencari Akhmal. Mulanya aku agak gusar juga. Tapi setelah beberapa hari aku memerhati kelakuannya, tidaklah senakal yang aku sangka. Dan nampaknya, berbanding kawan-kawan Akhmal yang lain, aku lebih suka dia berkawan dengan F. Sejak sehari dua ini dia lebih banyak masa dengan Akhmal di rumah malah tumpang tidur di sini supaya mudah bersama bekerja. Dia tidak berkenderaan.

Mengikut kata Akhmal; F di masukkan ke Tunas Bakti atas permintaan mak dia yang sudah tidak boleh mengawal perangai F yang sering keluar malam. Bila aku dapat tahu yang mak F telah bercerai dengan suaminya maka fahamlah aku kenapa F jadi begitu. Semasa aku terlibat dengan Kelab Remaja JIM dan ibu_suri pula terlibat dengan Unit Kaunseling Islah dulu, aku memang selalu diperlihatkan dengan kes-kes keluarga yang pincang. F mungkin satu di antara ramai mangsa kerencatan sosial ini.

Apapun aku berdoa muga ini adalah titik tolak untuk Akhmal berubah. Semalam aku sempat bercakap dengan Akhmal sambil membasuh pinggan mangkuk yang berlunggok di singki dan merunguti Akhmal kerana  lansung tidak tolong membasuh;

"Kamu dah hampir 20 tahun. Bukan kecil lagi tu. Sepatutnya kamu dah punyai hidup seperti orang lain, Ada kerja. Ada arah tuju. Ayah tak mahu marah-marah kamu kerana kamu sebaliknya boleh berfikir sendiri.."

Tapi bukan Akhmal saja, Angah pun sama. Mug minuman sendiri pun.... penyegan. Nak kata sikap lelaki macam itu aku rasa salah sebab aku dulu rajin kemas rumah dan jaga adik-adik!

Rabu, 21 Ogos 2013

Problem Free



Aku kembali hadir usrah setelah sebulan lebih ditangguh kerana Ramadhan dan Raya. Walaupun boleh dikira jauh juga jarak dari rumah ke lokasi usrah di Surau Taman Pelangi, Juru namun aku berlapang dada untuk selalu pergi. Walaupun kerap juga ibu_suri merungut, aku sabar mendengar dan memujuk untuk boleh pergi. 

Malam ini naqib aku pesan supaya aku memulakannya liqa' sebab dia akan hadir lewat kerana ada kelas Bahasa Arab. Alahai... 

Aku cadang nak keluar awal sebab Viva dah diambil semula oleh Angah. Kancil aku ni tak boleh pandu laju sangat hatta 70 km/jam pun dah terhinggut-hinggut macam orang menari ala Hawai. Sabar ajelah, kan!

Di usia begini aku cuba untuk menjadi seorang yang tenang jiwa dan ringkas cara hidupnya. Aku harap cita-cita aku untuk punyai  financial free menjelang umur 55 akan tercapai.

Malah kalau boleh nak problem free, ameen...

Selasa, 20 Ogos 2013

ADILA


Memang benar seperti catatan blogger JH di sini. Dalam perjalanan balik sendirian dari kerja tadi pun aku tak lepas peluang memasang radio Klasik FM mendengar ADILA yang bersiaran dari 5.30 petang. 3 coretan dari penghantar akan dibacakan dengan setiap coretan diiringi dengan 3 lagu.

Catatan beserta lagu iringan itu menghiburkan di samping coretan mereka yang menghimbau kenangan. Taklah boring sangat sambil menghadap trafik jem yang bagaikan tak ada jalan penyelesaian di Pulau Pinang ni.

Seperti masa aku mula bergiat di alam penulisan dulu sekitar 70an, aku juga rajin menghantar karya ke Radio Ipoh dan beberapa kali tersiar. Abah aku bukan main bangga lagi bila nama anaknya disebut oleh juruhebah sedangkan pada aku itu cuma ikan bilis sahaja.

Jadi, teringin pula aku mengulangi nostalgia itu. Menghantar karya bilisku ke ADILA yang kalau bernasib baik akan tersiar. Bolehlah aku syok sendiri..he..he..

Sambung Puasa


Aku akan sambung semula puasa 6 untuk hari yang ke5. Sorang sajalah nampaknya sahur nanti sebab ibu_suri dah pun selesai dan beRaya Ahad lepas.

Kerja nanti aku akan memandu bersaorangan sebab JH akan bertugas di RSK. Mungkin kesempatan esok boleh aku ambil untuk ke pasaraya Sunshine untuk membeli sedikit keperluan alatulis.

Beberapa hari ini aku rasa badan agak lemah. Tak tahu kenapa. Makan lebih sikit rasa macam nak termuntah. Tapi kebajikan ibu_suri tetap kena diurus tanpa gagal. Walau sakit atau resah bagaimana sekalipun aku mesti tunjuk muka manis dan senyum di depannya. Tidak dapat berkongsi dengan sesiapa.

Begitu juga hasil dari pemeriksaan kesihatan yang aku jalani kelmarin di Klinik Bersatu. Pemerhatian doktor yang mengatakan aku ada sedikit tanda-tanda darah tinggi itu sedikit menggusarkan. Namun aku tidak dapat berkongsi dengan sesiapa sebaliknya memendam sendiri.

Tak mengapa. Yang penting ialah berusaha menjaga kesihatan secara konsisten disamping terus beramal. Kok manapun, kita bukannya akan menongkat langit ini selamanya!

Isnin, 19 Ogos 2013

Kerja Belakang Tabir


Hadir ke Mesyuarat Team Media di Pejabat IKRAM semalam. Walaupun panggilan di buat secara mengejut tapi demi jamaah aku hadir tanpa sebarang rungutan. Itulah hasil tarbiah oleh jamaah selama ini. Tidak akan bersungut demi untuk kerja-kerja dakwah.

Aku diminta untuk membina website IKRAM Pulau Pinang. Pengetahuan aku tentamg pembinaan web adalah kosong sebenarnya tapi aku sahut cabaran ini Maknanya, selain tanggunjawap kemaskini blog TKM1, ini tugasan baru.

"Kerja-kerja kita ni kebanyakan kerja belakang tabir. Tak ramai yang tahu." terang Cikgu Ismail, ketua Team Media.

Selain itu team kami juga sedang membangunkan web tv. Ia dikendali oleh Shahidan, rakan yang memang mahir bahagian video editing. Memang seronok bekerja dengan team ini sebab masing-masing begitu humble dan selalu berpransangka baik sekalipun rata-rata mereka berusia muda.

Walaupun aku tahu aku tak punya banyak masa untuk mengendali web IKRAM dan blog TKM1 namun aku akan try sebaik mungkin. Siapa yang pernah ceburi sahaja yang merasai betapa nikmatnya bekerja secara ikhlas untuk dakwah di bawah NGO yang kita senangi!

Ahad, 18 Ogos 2013

Islam Itu Pelindung



Ke Tasik Mengkuang tadi - riadah hujung minggu. Hari ini sepatutnya ada program baraan oleh sahabat IKRAM. InsyaAllah, cuba hadir. Apapun, lepas update blog ini, aku perlu memasak dan baiki paip singki lebih dulu.

Di Tasik Mengkuang tadi aku temui satu pandangan yang cukup cantik. Seorang pak cik yang menaiki sebuah kereta Mercedes sedang cuba membuka palang sekatan yang melintang di tengah jalan. Tak pasti kenapa pakcik itu bawa kereta sampai ke atas sedangkan itu di larang.

Seorang lelaki Cina dari kumpulan berbasikal kemudiannya datang mahu menolong menurunkan semula palang yang telah diangkat oleh pak cik tadi. Beriya-iya pakcik itu mengucap terima kasih.

Aku teringat semalam; semasa pergi ke Klinik Bersatu untuk pemeriksaan kesihatan, seorang lelaki Cina tergesa masuk ke dalam klinik dan bertanyakan kerusi roda pada staf di kaunter. Segera aku faham bahawa mesti dia perlu mengambil ahli keluarganya yang kurang upaya. Aku bangun membantu bukakan pintu kaca klinik yang memangnya berat. Rupanya dia membawa seorang yang cukup tua ( mungkin ibunya ) yang kelihatan seperti mahu muntah. Meleleh air liurnya ke mulut dan baju.

Cina itu bertanyakan tisu pada staf kaunter tapi mereka menggeleng kepala. Aku mengesyorkan supaya beli saja di 7E yang berdekatan. Dalam hati teringat pada tuala kecil yang sentiasa ada dalam keretaku untuk keguaan ibu_suri. Worst come to worst aku ingat bagi dia tuala tu saja.

Cantik kan pandangan ini? Situasi dimana walaupun berlainan bangsa dan agama tetapi sikap bantu membantu itu tidak mengenali perbedaan ras?

Aku teringat catatan JR di sini tentang bagaimana pendemonstran Islam memagar diri untuk melindungi gereja Kristian daripada di masuki dan dirosakkan oleh tentera Mesir yang kejam. Juga tindakan oleh pihak opposisi negara kita.  Bukankah Islam itu agama yang mendamai dan mensejahterakan seluruh alam?

Sabtu, 17 Ogos 2013

Debaran




Aku melangkah keluar dari Klinik Bersatu dengan ada debaran di dada. Seminggu lagi datang ambil result, beritahu staf klinik. Ah, macam tunggu keputusan SPM la pulak!

Doktor yang memeriksa aku tadi memang peramah. Malah sesekali aku terasa macam apek mana la pulak di depan aku ni. Sori aaa... ini borang saya kena isi semua, terangnya bila perasan yang banyak soalan aku kena jawap. Aku angguk saja kerana memahami keadaan itu.

Sampel air kencing dan ketinggian dah diambil tadi. Timbangan berat aku berkurangan 2 kg dari sebelum ini. Sebab puasa agaknya, bisik hatiku. Lengan aku digelong dengan cuff untuk pemeriksaan darah tinggi. Aku berdoa panjang... akan tetapi kata-kata doktor menggusarkan juga;

"Awak ada darah tinggi sikit."

Arrgghhh... Pasal tu la aku malas nak pi check ni. Elok-elok aku senang hati sekarang dah sebaliknya. Doktor hanya ketawa bila aku kata begitu.

Nampaknya aku kena serius menjaga kesihatan. Tu belum lagi tahu result gula dan kolestrol. Harap kalau pun ada janganlah di tahap perlu selalu makan ubat. Cukuplah dengan menjaga jadual makan ubat ibu_suri.

Namun sesekali fikir, ada eloknya membuat pemeriksaan begini. Setidak-tidaknya aku berjaga-jaga lebih awal akan kesihatanku!

Jumaat, 16 Ogos 2013

Hari Esok

renung masa depan

Esok aku bercadang akan ke Tasik Mengkuang. Sejak Ramadhan aku bercuti dari riadah di sana. Aku perlu terus istiqamah dalam menjaga kesihatan badan. Saki baki umur yang ada ini semestinya aku tidak persiakan. Sebaliknya isi ia dengan sebaik-baik aktiviti.

Aku beruntung kerana memiliki pemikiran yang selalu positif, sabar dan berlapang dada. Buat masa ini juga aku masih berasa sihat tanpa penyakit-penyakit besar yang ada. Ada sesikit terpaksa memikul masalah anak dan isteri, itu aku kira adalah lumrah hidup yang bernama insan. Tanpa permasaalahan hidup pun tak boleh juga, kan. Nanti kita mudah lupa pada Tuhan!

Lepas riadah aku akan ke Klinik Bersatu di pekan BM. Aku ada kupon yang mana boleh membuat pemeriksaan doktor untuk melihat keadaan kesihatan terkini. Kupon itu diberi oleh SOCSO kepada pencarum yang melepasi umur 40 tahun. Sesekali terbit juga bimbang, mana tau keputusan dari pemeriksaan itu aku kelak mengatakan bahawa aku ada kolestrol yang tinggi macam adik aku bebaru ini.

Petang esok pula aku bercadang nak perbaiki paip singki rumah. Kena rongkah design paip itu sebab menyukarkan sikit untuk membasuh pinggan mangkuk selama ini. Air basuhan selalu memercik ke lantai membuatkan ia selalu basah.

Sepatutnya aku bersyukur dengan apa yang telah Allah anugerahkan kepada kehidupanku hari ini. Ingin aku katakan bahawa ini semua adalah atas kasih sayang Tuhan.

Namun sebenarnya, ada satu lagi cita-citaku yang lebih besar yang selalu aku harap berkesempatan melakukakannya. Aku ingin kembali aktif dalam organisasi IKRAM dan menjadi pengunjung masjid yang konsisten!

Khamis, 15 Ogos 2013

Thank You Allah!


Aku bertolak ke HBPP dari rumah jam 9 lebih. Walaupun aku tahu tak sempat sampai ke sana tepat waktu appoinment, aku bawa kereta secara santai. Lori begitu banyak memasuki Jambatan Pulau Pinang.

"Depa ni baru boleh dibenarkan masuk. Pasai tu banyak sungguh.." Terangku yang memang tahu sangat bahawa di waktu puncak sehingga jam 9 lori-lori tidak dibenarkan memasuki jambatan untuk mengelakkan kesesakan trafik.

Parkir memang penuh. Aku sudah biasa dan selalu mengatakan pada diriku bahawa.. insyAllah, kalau sabar menunggu, parkir akan ada. Dan memang tepat pun jangkaanku. Dalam beberapa minit saja, ada satu kereta mahu keluar dan aku sabar menunggu untuk masuk walaupun hon mula kedengaran di belakangku.

Bawa ibu_suri berjalan dan menaiki tangga ke Unit Psikiatrik satu hal juga. Selangkah demi selangkah dan setangga demi setangga ibu_suri bergerak.. perlahan dan sesekali duduk dulu di kerusi kerana kepenatan membawa badan yang obes.

Menunggu nombor giliran juga tak lama. Selalunya 30 ~ 40 nombor tapi hari ini tepat 10 nombor. Sementara menunggu aku terfikir-fikir kenapa unit ini di beri nama Unit Psikiatrik dan Kesihatan Mental. Apa beza antara 2 itu?

Doktor memanggil nama ibu_suri dan memasuki pintu bilik yang lain dari pintu bilik yang biasa kami masuk.

"Kenapa masuk bilik ini?" Tanya ku yang menyangka mungkin ibu_suri akan diperiksa oleh doktor yang lebih pakar dari doktor sebelum ini.

"Bilik sana tak cukup ruang. Tambah meja baru," jawap doktor perempuan Cina yang agak peramah.

Wah! Semakin ramai orang yang menghidap masaalah mental ni agaknya, bisik hatiku.

"Macam keadaan puan sekarang?" soal doktor sambil mengalih pandangan ke arah aku juga. Aku menemukan ibu_jari dengan jari telunjuk membentuk huruf O tanda OK.

"Thanks a lot to the God." ujarku selamba. Dalam keadaan tertentu aku menggunakan bahasa Inggeris untuk mengelakkan daripada ibu_suri pun tahu. Kelihatan doktor itu menganggukkan kepalanya sambil membelek kad laporan perubatan ibu_suri.

Doktor menyarankan agar rutin temujanji di perpanjangkan dari 4 bulan kepada 6 bulan bila melihat rekod emosi ibu_suri agak stabil semenjak 2-3 tahun ini. Udah tentu yang gembira mendengarnya ialah aku.

Di farmasi, seperti yang aku jangka, penuh dengan pelbagai jenis manusia yang menunggu giliran ambil ubat.

"No need to keep this card anymore. You can just use this prescription only," terang pegawai farmasi sambil menyimpan kad merah ke dalam kotak khas. Kad merah itu khusus untuk rekod pengambilan ubat terkawal. 

Hari ini sebenarnya ibu_suri meneruskan puasa 6 nya sedangkan aku tidak. Aku laksana puasa 6 di hari bekerja sahaja sementara ibu_suri berazam untuk menamatkannya hingga hari Sabtu. Demi menghormati dia, aku menahan lapar hingga balik ke rumah!

Rabu, 14 Ogos 2013

Kesabaran Seorang Mak

Mak menyuap Ayu  di majlis pertunangan Angah

Aku ambil cuti esok. Bawa ibu_suri pergi ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan susulan di Unit Psikiatrik. Selang 4 bulan aku perlu bawa dia berjumpa doktor. Biasalah kalau dah ke hospital kerajaan ni, tak tentu tempoh masa rawatannya. Lebih banyak menunggu dari berjumpa doktor.

Lepas jumpa doktor kena pi ke Unit Farmasi untuk ambil ubat. Satu penungguan lagi. Selalunya aku akan baca Harakah untuk isi masa menunggu. Kalau terlupa beli, boleh tertidur di kerusi.

Dah lebih 5 tahun rutin aku begini. Sesekali fikir memang terasa jemu. Tapi bila 2 kali fikir, ini dah menjadi tanggungjawapku. Kalau tidak aku yang memikulnya, siapa lagi.

Mujur juga Tuhan jadikan aku sesabar ini. Secekal ini. Kalaulah aku ini jenis panas baran atau jenis tak mahu memikul beban, kemungkinan kebajikan ibu_suri terabai. Maka, apa yang akan berlaku tak boleh dibayangkan.

Aku bersyukur kerana mewarisi kecekalan dan sabar mak. Aku selalu bayangkan bagaimana mak begitu sabar menjaga abah yang semasa aku masih bersekolah rendah telah menghidap Schizophrenia. Lebih hebat mak aku ini ialah mampu menjaga abah dan anak-anaknya 6 orang. Dan aku hari ini seolah-olahnya mengulangi sejarah lama hidup mak!

Justeru itu, bila balik kampung Raya bebaru ini, aku memeluk mak sambil berbisik ke telinga mak meminta ampun dan maaf kerana tidak mampu menjaga sepenuhnya mak yang kini lumpuh sebelah kiri badan.

Bila aku bersaorangan di kereta, aku terbayangkan wajah mak yang jarang menunjukkan riak sedih atau  keluh kesah dalam menjalani hari-hari kosong dan tidak berwarna. Dari pagi hingga ke petang dan masuk ke malam, mak hanya duduk di tilam tanpa boleh bergerak jauh keluar rumah.

Aku selalu berdoa pada Allah agar mak dan abah akan diampunkan dosa dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh di akhirat kelak!

Selasa, 13 Ogos 2013

Kerja



Akhmal dah mula mengeluh. Kawan-kawan yang sebayanya cuma boleh berjumpa bila waktu malam. Siang, kebanyakan mereka pergi bekerja. Akhmal dah jadi macam ayam berak kapur di rumah. 

"Jemulah ayah... Nak cari kerja pun tak tahu macam mana..." ujarnya semalam.

"Pergilah tanya kat kedai pam minyak ke, kedai makan ke macam kerja kat kedai nasi Ayam Pokok Durian tu!" jawapku.

"Dulu ayah rasa seronok tengok hang dah kerja elok-elok kat KFC pekan BM tapi tu la... Macam kata opah kat ayah dulu... berak atas pinggan makan sendiri. Elok-elok kerja goreng ayam kat situ; dapat uniform elok-elok; gaji pun ok, hang buat hal.." aku mungungkit cerita lama. 

Memang berbuku rasa ralat di hatiku ini bila terkenang kerenah Akhmal masa itu. Bukan saja dia mencuri kupon KFC malah dalam kes lain dia berani mengelentong SB yang kononnya dia tahu siapa mencuri motor yang hilang malam itu.

"Pegawai Parol kata 19hb ni dia nak bawa Akhmal pi jumpa sorang tokeh perabut. Kedai dia ada 4 kerja kosong. Akhmal tunggu yang tu la..." terang Akhmal.

Aku tak terkata apa. Secara jujurnya aku percaya Akhmal sudah mula merasai bahawa dia perlu bekerja untuk menyara hidup sendiri. Dia pun aku percaya dah mula terasa terpinggir berbanding kawan-kawan  lain yang dah bekerja. Kini dia pun berasakan perlu bekerja..

Aku pun berharap dan berdoa begitu. Kalau dia sudah bekerja, rasanya sebahagian dari perangainya yang bermasalah itu akan hilang dengan sendirinya. Dan hatiku juga akan berasa lega sedikit.

Isnin, 12 Ogos 2013

Terharu



Terharu rasa hati bila tiba-tiba dapat mesej dari Along;

'Dah transfer rm500'

Di luar jangkaan ini buat aku rasa bersalah pula kerana aku tahu ini mesti dari duit simpanan gajinya yang aku kira dia simpan untuk kelak membeli sesuatu setelah cukup.

Pagi tadi aku sms pada Along dan Angah mengadu bahawa aku hampir keputusan duit dek berbelanja Raya lepas sedangkan gaji ada sekitar 13 hari lagi. Selain untuk menunai permintaan ibu_suri yang mahukan itu dan ini; juga kerana berbelanja untuk keperluan Akhmal yang tak kuduga bebas awal.

Pangkal tahun ini Along kirim RM1000 bila aku beritahu bahawa Angah tiada duit untuk memperbaharui cukai jalan Vivanya. Sikit pun dia tidak merungut selepas itu meminta untuk dibayar semula.

Anak-anakku ini mempunyai kelebihan mereka tersendiri dalam melayani aku selaku orang tua mereka. Angah mungkin tidak banyak menolong melalui wang tetapi melalui kudratnya. Along pula disebabkan jauh, dia banyak menolong secara kewangan. Dan aku percaya dan selalu beritahu ibu_suri bahawa bukan mustahil pula Akhmal satu nanti yang akan menjaga kami berdua bila dah tua dan tak berdaya untuk bekerja.

Terima kasihlah Along, Angah dan mungkin kelak... Akhmal. Hanya perkataan itu saja yang dapat ayah ucapkan!

Tinggal Sehari 2



Along dah balik semula ke Gombak - naik keretapi di Stesyen Bukit Mertajam. Kembali aku tinggal ber3 dengan Akhmal dan ibu_suri. Raya dah tamat. Rutin hidup biasa kini bermula.

Esok kerja. Esok juga aku dan ibu_suri akan mula berpuasa 6. Tak tahu nak makan sahur apa. Kemungkinan besar makan roti dan minum kopi sahaja.

Akhmal seperti biasa akan pergi lapor diri di Pejabat Parol, Kepala Batas. Setiap minggu akan begitu hinggalah pertengahan bulan 10. Lama tu. Aku harap dia konsisten begitu. Kalau ngelat, polis akan cari. Bila dapat tangkap akan masuk semula ke 'dalam'. Setiap kali lapor diri, urine test akan dibuat. Bagus juga begitu. Setidak-tidaknya, hingga bulan 10 ini dia berpantang dengan 'najis' itu.

Khabarnya, Pejabat Parol akan merekomenkan dia pada satu kedai perabot. Kalau lulus, dia akan diambil bekerja. Nasihatku - Akhmal kerja sahaja dulu. Paling tidak masa Akhmal akan terisi dan ada gaji di hujung bulan. Sekadar lepas duit prepaid dan minyak motor, pada ayah dah cukup bagus la tu. Kalau dah lama sikit kerja. ayah boleh rekomen kat Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya Akhmal diberi imbuhan OKU RM300 sebulan tu, ujarku lagi. Kalau rasa tak ok dengan kerja tu nanti, berhenti elok-elok. 

Minggu depan aku start kena fikir pasal rawatan susulan ibu_suri dengan Klinik Kesihatan Kubang Semang untuk darah tinggi dan Hospital Besar Penang untuk Psikiatrik. Akhmal pun kena dirujuk semula ke Unit Orthopedik mengenai jari kakinya yang patah dulu masih tidak pulih sepenuhnya. Nak minta di x-ray sekali lagi. Ada kemungkinan kena potong, agak aku saja. 

Along pula asyik mengadu sakit perut. Dah lama masaalah perutnya begitu. Mungkinkah gastrik, pernah aku tanya dia. Ada... jawapnya. tapi hari ini mungkin salah makan.

Cuti tinggal sehari 2 saja lagi. Tak pasti nak susun bagaimana untuk mereka.

Ahad, 11 Ogos 2013

Sendiri Masak


Bila aku jengah ke pasar basah, penjaja dah mula mengemas jualan mereka. Aku belek jam tangan. Patut pun.. Dah hampir jam 1.

Aku cuba lalu depan kedai makan. Masih belum buka. Aduhai... Anak-anak dan ibu_suri pasti bertanya; kita makan apa hari ini, ayah?

Aku memberhentikan kereta di bahu jalan, bawah teduhan pokok sambil berfikir.

'Agaknya Tuhan mahu aku memasak sendiri untuk makan tengahari ini. Lagipun dah jemu makan lauk di kedai. Sementelah cuti, kenapa tidak masak sendiri. Tapi nak masak apa? Nak beli ikan, market dah tutup. Kedai yang biasa ada jual ikan tak buka pula.'

Aku belek duit di dalam poket. Huu... Gaji bulan depan lambat lagi ni. Tak tahu rezekiku untuk esok dan lusa. Raya kali ini memang banyak duit yang keluar. Tak tahu kemana mengalirnya...

Aku terfikir... dah lama tak makan lauk sardin. Di gerai sana nampaknya ada orang jual bayam. Tambah dengan goreng telur mata kerbau campur kicap.. rasanya ok lah untuk 4 orang makan termasuk aku. Hem... Aku memang tak banyak cerewet pasal makan. Apa yang ada di depan, aku hadap saja. Maklumlah, aku membesar dalam keluarga susah. Pernah masa kecil dulu keluarga aku makan nasi berlaukkan sup maggie saja.

Anak dan ibu_suri masih tidur. Keletihan balik lewat pagi buat mereka masih tidak bangun walaupun dah tengahari. 

Aku pun merancang bahan apa yang perlu dimayang, basuh dan kacau. Susun elok-elok atas meja supaya mudah bila memasak nanti.

Satu demi satu lauk pauk aku siapkan. Meja makan penuh dengan serba mak nenek bahan-bahan memasak. Tumis bayam, tumis sardin, telur dadar dan telur mata kerbau aku perbuat satu persatu. Kemudian aku hidangkan elok-elok ke atas meja makan. Sebaik saja siap... jeng..jeng... jeng...

Along, Akhmal dan ibu_suri pun keluar bangun. Huu... macam tau-tau saja makanan dah siap!

Kesempatan

pautan

Seperti yang aku tulis semalam, aku ziarah mertua  di Kampung Batu 3, Jalan Pahang, Tapah.

"Kamu ni dari Ipoh ke?" tanya kakak ipar yang sulong sebaik kami sampai.

"Tak. Dari Penang," jawap ibu_suri. "Semalam kami dah balik Ipoh."

"Laaa... Kenapa tak terus datang sini aje semalam? Ni.. Pi Ipoh. Lepas tu balik Penang. Kemudian mai pulak Tapah. Buang duit hangpa!"

Bila ibu_suri menceritakan sebab kenapa kami seperti berbuat 2 kali ulangalik yang tampak seperti tidak well organise, kakak ipar aku itu terdiam.... faham.

Aku ambil kesempatan di waktu Asar dan Maghrib bersembahyang di Masjid Al Mukmin. Masjid yang aku agak baru dibina menggantikan masjid lama Kampung Batu 3. Rasa seronok dan damai bila dapat bersembahyang di masjid baru yang berbumbung tinggi, lapang dan serba moden. Aku habiskan lebih masa di sini bersembahyang jama', sunat, zikir dan membaca Quran.

Aku kira ramai orang luar tumpang bersembahyang di sini merujuk kepada biji-biji kereta dan wajah-wajah yang canggung. Agaknya, mereka menghabiskan cuti Raya di Cameron Highlands, bisik hatiku. Seingat aku, selama aku berkahwin dan mempunyai anak, aku lebih senang mengisi kesempatan berHari Raya dengan menemui sanak saudara serta rakan taulan berbanding memenuhi tempat-tempat peranginan yang di hari lain masih boleh.

Apapun, memandu balik semula ke Utara selepas selesai Maghrib memang mengujakan. Aku bernasib baik kerana perjalananku melawan arus kenderaan. Melihatkan laluan trafik ke Selatan yang sesak berkilo-kilo meter, aku bersyukur kerana ditakdirkan bekerja dan tinggal di Penang; bukan di Kuala Lumpur.

Sabtu, 10 Ogos 2013

Gerak Hati



Dah 3-4 hari aku amalkan minum Jus Tok Guru. Aku dapat rasakan kesan positif ke atas diriku. Cergas dan mudah bangun untuk bersembahyang Subuh.

Hari ini Raya ke 3. Ikut plan asal aku sepatutnya ke Kampung Batu 3, Jalan Pahang, Tapah - beraya dengan mertua. Tapi situasi semalam buat aku rasa resah jika meninggalkan Akhmal di rumah sendirian.. seharian lagi untuk hari ini.

Namun kalau tidak pergi adalah tidak adil bagi ibu_suri yang rela mendahului berRaya ke rumah mak aku di Kampung Kepayang, Ipoh, semalam. 

Akhmal... Tapah.. Akhmal.. Tapah... berlegar-legar dalam benak.

Hurmmm... Mungkin pergi mandi dan sembahyang Dhuha terlebih dahulu adalah yang terbaik untuk aku sekarang ini. Kemudian berdoa di sujud terakhir. Gerak hati selepas bangun dari sejadah itu yang aku ikuti.

Selalunya bila otak ini sudah tepu dari membuat keputusan terbaik; membuat keputusan berlandaskan gerak hati selepas berdoa dalam sujud terakhir sembahyang banyak membantu. Aku percaya bahawa gerak hati  sebegini adalah petunjuk dari Tuhan!

Maafkan Saya, Mak!



Baru balik dari Ipoh beRaya dengan mak. Sanak saudara memang ramai yang datang. Semuanya kerana nak ziarah mak. Kalau mak dah tiada kelak, ntah mereka mahu datang ramai-ramai seperti ini ntah tidak!

Aku kerling airmuka ibu_suri. Janji awalnya selepas usai sembahyang Maghrib kami akan balik semula ke Penang. Tapi tetamu yang datang bertali arus buatkan aku selaku anak sulong mahu tidak mahu menunggu untuk melayani mereka. Namun aku kira ibu_suri masih bermoodkan okay. Memang dia suka pada anak-anak kecil. Dan yang datang itu antaranya adalah anak saudara generasi baru yang masing-masing menggendong anak-anak kecil.

Seperti selalu aku mandi dulu sebelum memandu balik agar rasa selesa. Aku peluk mak yang kini hanya boleh duduk sahaja sambil berbisik;

"Mak... maafkan saya kerana tak dapat menjaga mak sebaiknya..." dan aku stop di situ sambil menahan sebak. Aku tidak mahu mak tahu apa yang bermain di benakku walaupun mak mungkin dapat menelah sebenarnya.

Aku meletakkan prinsip bahawa balik ini aku mahu memandu secara santai walaupun di dalam fikiran aku tertanya-tanya bagaimana keadaan Akhmal selama kami tiada. Dia bawa kawan-kawan masuk ke rumah dan berbuat yang tidak aku gemari kah? Atau dia melilau merata tempat dengan kawa-kawan yang tak keruan? Semuanya bersimpang siur tanpa siapa pun tahu jauh sekali mak aku!

"Kamu tak tidur sini ke?" Tanya mak.

"Tak..." jawabku pendek. Aku tahu itu jawapan yang agak menghampakan mak. Dan aku terus mengunci mulut dari bercerita apa-apa pun.

Sesampai saja aku di rumah, aku lihat ramai kawan-kawan Akhmal berkerumun depan pintu pagar. Ada di antara mereka itu yang tidak menyenangkan matahatiku memandang.

Jumaat, 9 Ogos 2013

Ibu Di Sisi Allah


Ini, hari ke 2 Raya. Bagai sekejap saja semuanya berakhir, bila sesekali fikir. Masa seperti tidak akan menunggu malah terus saja berlalu. Kalau kita lalai, tinggallah kita di  dalam kerugian.

Khutbah ke 2 di sembahyang Aidil Fitri semalam benar-benar meninggalkan kesan ke jiwa ini. Malah, Along juga merasakan begitu. Khatib menyentuh bab menderhakai ibu. Begitu tinggi taraf ibu di sisi Allah, 3 kali selepas bapa. Kenapa? Faktor paling utama ialah kerana ibu itulah yang bersakit-sakitan melahirkan kita. Tersangat betullah itu. Aku pun, bila dibayang-bayangkan, syukur kerana menjadi bapa. Tak sanggup rasanya bertarung hingga ke tahap itu. Apatah lagi seperti kawan aku yang mempunyai anak 10, tak terbayang bagaimana agaknya isteri dia berhadapan dengan kesakitan yang bersempadankan hidup atau mati.

Sekejap lagi aku akan balik beRaya di kampung. Cadangnya tu, otw ke rumah mak aku nak singgah ke pusara abah. Kata khatib itu lagi, roh arwah selalu menanti-nanti doa dari anak-anaknya. Jika dia mendapat doa dari anaknya yang baik, doa itu akan melapangkan roh di alam barzakh. Bayangkan jika selalu roh-roh itu mendapat doa dari anaknya, tentulah roh itu akan selalu berasa lapang di dalam sana, kan?

Akhmal, dek kerana kekangan parolnya itu, aku tinggalkan saja di rumah. Aku dah sediakan siap-siap bancuhan air oren dalam talam bersama gelas dan kuih raya atas meja. Mudah nanti dia menjamu kawan-kawannya jika ada yang datang beRaya sepeninggalan kami nanti.

Semalam, semasa ziarah mertua yang tinggal bersebelahan dengan kilang rempah Allagapa di Bukit Tengah, sempat berbincang dengan Angah untuk tolong jenguk-jenguk Akhmal di rumah sementara kami tiada.

Setakat hari ini apa yang aku peratikan, Akmal masih akur dengan arahan aku supaya selalu berada di rumah antara 7 malam dan 7 pagi; jangan membawa kawan ke dalam bilik dan kalau merokok mesti di luar rumah.

Entah kenapa, aku paling tidak suka dengan bau asap rokok. Beruntung ibu_suri mendapat suami seperti aku yang bukan perokok kan.. kan........ he... he...

Khamis, 8 Ogos 2013

BeRaya



Heran juga, Raya kali ini tidak ada anak-anak kecil datang beraya bagai selalu. Tak ramai pun yang berduyun lalu depan rumah bagai selalu.

Agaknya, generasi baru ni dah terdidik tidak mahu meminta-minta macam generasi anak-anakku masa kecil dulu, agaknya; getus hatiku. Cuma kawan-kawan Akhmal sahaja yang ramai juga datang.

Lepas Zohor nanti aku akan ke Bukit Tengah untuk beRaya di rumah besan. Giliran rumah Ayu, raya Angah tahun ini. Elok kalau bergilir-gilir beraya ni, nasihatku pada Akhmal bila saja dia baru kahwin dulu. Dengan penggiliran yang adil dan komited aku percaya keharmonian rumahtangga akan terjaga. Sama seperti amalan aku dan ibu_suri selama ini.

Esok, insyaAllah, aku akan ke Ipoh; beraya rumah mak di kampung lansung pi ziarah pusara abah. Untuk ke Tapah yang secara kebetulan mertua balik beraya di rumah pusakanya di Kampung Batu 3, Jalan Pahang, Tapah tak pasti bagaimana.

Rasa boring seperti terpancar di wajah ibu_suri. Aku dapat baca itu. Agaknya terperap saja di rumah agak mencemuskan.

Tak seperti dia masih sihat dulu, boleh dikatakan, kami akan berbaraan ke rumah adik-beradik dan kawan-kawan sedari pagi hingga ke malam. Habis di Penang, kami akan ke Ipoh, Kampar, Tapah dan lansung ke Setiawan - rumah mak Akhmal.

Namun sejak ibu_suri berkeadaan begini, raya kami lebih bayak di rumah menanti kunjungan anak saudara dan mungkin sikit-sikit sahabat handai yang masih ingat pada kami!

Rabu, 7 Ogos 2013

Lemang Pak Teh


"Ayah... Boleh buat bisnes, rendang ayah ni.!" ujar Akhmal yang belum sempat aku baca doa berbuka puasa sudah ngap... seketul ayam rendang aku.

Aku yang sibuk meletak periuk nasi dan lemang yang baru saja aku beli dari gerai Lemang Pak Teh di Tikam Batu terkocoh-kocoh duduk dan membacakan doa. 

Memang ramai sangat orang beratur membeli lemang Pak Teh tadi. Hinggakan terpaksa diupah pasukan RELA untuk menjaga lalu lintas. Bahang api yang membakar deretan sepanjang 6 meter barisan lemang dan tersusun 4 baris sudah cukup memberitahu bahawa lemang Pak Teh ini amat terkenal. Sanggup aku memandu sejauh itu dan beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan lemangnya yang insyaAllah, confirm masak elok dan sedap.

"Abang rasa dalam banyak kali abang masak rendang, kali ini rasa paling puas," beritahuku pada ibu_suri semasa memandu balik dari Tikam Batu.

"Abang rasa puas sebab abang dapat rasakan resipi kali ini bukan resipi hentam keromo macam tahun-tahun dulu.." terangku sambil ketawa.

"Boleh la kita bagi kat besan kita, ya!"

"Ha.. ha.. boleh sokmo. Tadi abang beli lebih sebatang lemang tadi. Ingat nak bagi kat besan juga bersekali dengan rendang tu nanti."

Tersenyum panjang aku bila melihat Akhmal terkial-kial hendak membelah buluh lemang. Jarang dia mahu menolong dengan sendiri begini. Lapar le tu...

"Buluh lemang ni bukan macam buluh lemang yang Tok Amri buat dulu. Yang tok buat dulu memang dari buluh lemang betul. Buluh tu nipis, senang nak belah. Buluh yang ini agaknya buluh pagar. Keras sikit. Kena belah dari bontotnya..." sambil aku menterbalikkan lemang itu dan membelah.

Heran juga aku sebab suasana sepanjang jalan pulang, orang ramai membeli dan penggerai yang hendak balik memunggah gerai mereka ke dalam kenderaan seperti dah pasti akan Raya esok sedangkan Pemegang Mohor Besar Raja-Raja belum lagi buat pengumuman yang selalunya selepas berita tv.

Rendang Ayam



Sedang masak rendang ayam. Sambil-sambil tu intai-intai blog aku ni.

Tak tahulah akan jadi macam mana rendang aku ni yang seratus peratus aku salin dari blog Dapur Tanpa Sempadan. Aku pilih resipi dari sini kerana aku lihat ramuannya agak simple dan mudah diperolehi di kedai. Dia tunjukkan satu demi satu kumpulan ramuan dan cara memasak.

Rupanya bukan mudah juga memasak ikut resipi ni. Namun berbekalkan pengetahuan aku menonton program-program masakan seperti Cef Haliza, aku sediakan dulu semua kumpulan bahan dan minta ibu_suri mayang siap-siap apa yang perlu dan aturkan atas meja, baru mula memanas minyak. Bersilat juga aku dari kuali ke pc untuk memastikan setiap langkah memasak ini aku buat dengan betul

Masaalahnya, resipi DTS ini berdasarkan seekor ayam sedangkan ibu_suri mahu aku buatkan untuk 2 ekor ayam. So, apa yang aku putuskan ialah untuk kira secara mematik tambahan sukatan ramuan.

Hemm... Bau macam ok. Tapi kenapa masih tak kering-kering kuahnyanya ni? Satu kesilapan aku rasanya ialah terlebih sukatan santan. Dah nya beli santan terlebih. Maklumlah, DTS guna sukatan cawan sedangkan kedai jual guna sukatan gram.

"Macam mana ni? Santan ada lagi speket ni?"

"Boh ajelah bang. Kuah banyak takpa..."

Nampaknya berbuka puasa nanti tak payah beli lauk. Makan nasi dengan rendang ini dah kira cukup best.

"Alamak... Macamana nak tahu cukup masin ke idak ni?"

Aku teringat konsep merasa dengan lidah jika berpuasa. Aku cuba tapi tak dapat nak nilai samada cukup masin atau tidak.

"Berbuka nanti kita rasa la bang. Kalau tak cukup masin kita panaskan balik la..."

Aku rasa inilah rendang paling best pernah aku masak berbanding Raya sebelum-sebelum ini. Best sebab aku memasak dengan sistem dan rujukan yang tersusun walaupun belum tahu rasanya bagaimana nanti.

Specialnya hasil rendang yang aku buat berbanding rendang oleh DTS ialah... rendang aku ni berkuah sedangkan rendang DTS sebaliknya! Hentam sajalah Labiii...!!!

Selasa, 6 Ogos 2013

Plan Z


Aku masih tidak nampak perancangan bagaimana nak balik kampung ziarah mak Raya ini. Kekangan lewat parol yang dikena ke atas Akhmal sedikit menyulitkan. Acapkali ibu_suri ulang tanya buat aku rimas.

Aku dah lama tak ziarah kubur abah. Tadi bila dengar klip video UAI pasal ziarah kubur pagi Raya buat aku rasa bersalah terhadap abah. Sepatutnya bila aku lalu saja di sisi Masjid Al Khairiah, aku wajib singgah tengok pusara abah. Baca fatihah dan ambil iktibar atas kepastian bahawa satu hari nanti aku akan susuli jejak langkah abah.

Kalau ikut kalendar dan kebiasan hampir saban tahun, Khamis adalah 1 Syawal. Along akan balik esok. Aku ada sarankan supaya naik kapal terbang sahaja kerana cepat tempoh perjalanannya tapi  dia gemar memilih keretapi berbanding bas ekspress apatah lagi flight.

Mertua aku juga ntah kenapa Raya kali ni nak sangat beRaya di Kampung Batu 3, Tapah sedangkan anak cucunya pasti ramai yang mahu ziarah dia sekarang ini di Taman Buah Pala, Penang.

Ya lah... Itu kampung warisannya. Aku faham. Perasaan orang tua ini lain sedikit. Pada diri mereka tidak apa yang tinggal melainkan kenangan lama yang menjadi kawan. Dan kenangan yang lebih syahdu, lebih mekar ialah kenangan tatkala bersama dengan ibubapa ketika masih kecil di Kampung Batu 3 itu.

"Ziarah mak waktu Raya ni mesti. Mak abah mesti tertunggu-tunggu kita datang jenguk mereka. Worst come to worst... kita terpaksa tinggalkan Akhmal di rumah sendirian. Pagi Raya ke 2 kita lari sekejap ke kampung abang. Petang tu kita balik semula ke rumah. Esoknya kita lari pi tengok abah di Tapah pulak." ujarku pada ibu_suri yang terkedip-kedip matanya mendongak memandang aku yang berdiri di sisinya memegang sudip kerana sedang menggoreng ikan.

Memang tinggi kosnya tapi itu plan Z yang aku ada jika plan A,B,C dan .. buntu. Tentang Akhmal yang  akan ditinggalkan sekejap itu, tawakkal pada Allah!

Petang Ini


RM300 sekejap saja surut bila membeli ramuan di pasar basah Penanti untuk buat rendang dan ke pasaraya Billion untuk beli Ali Tea kegemaranku dan sehelai seluar Akhmal serta pewangi bilik Glade untuk bilik ibu_suri.

"Hari ni kita masak sendiri la, ya. Jemu asyik makan lauk beli saja. Goreng ikan, tumis kangkong dan buat telur mata kerbau.... ok jugak tu!" saranku pada ibu_suri yang kemudiannya tersenyum lebar tanda setuju.

Sasaran aku petang ini ialah untuk mengemas anjung dan ruang tamu. Kelmarin aku dah sapu sawang, cuci kipas dan basuh langsir. Petang ini nak mop lantai dan screen out mana-mana barang yang tak perlu. Selalunya, Raya beginilah kesempatan aku ambil untuk buat major cleaning. Pendekata, setahun sekali..he..he..

Memang beginilah aku dari dulu lagi hatta masa ibu_suri masih sihat. Aku akan kemas rumah sementara ibu_suri sibuk menyudahkan tempahan baju dari pelanggan. Rumah aku memang ada mesin jahit tepi dan mesin jahit biasa. Manik, benang, zip dan ntah apa-apa lagi itu kini tersimpan berdebu dalam rak; ibu_suri tidak betah lagi membelek apatah lagi memegangnya. Tunggu masa saja untuk di buang; mungkin di beberapa tahun akan datang.

Tadi baru saja pesiang ikan dan sayur kangkung. Jam 6 nanti aku akan mula memasak. Buat masa ini, aku kena laksanakan projek kemas rumah dulu. Ada masa 2 jam lagi. Hah... kena pantas!

Esok insyaAllah, puasa terakhir Ramadhan kali ini. kalau ikut kalendar, puasa kali ini cuma 29 hari. Sesekali, terbit rasa sayu kerana akan kehilangan suasana Ramadhan yang hening dan sibuk ini.

Isnin, 5 Ogos 2013

Putih


Aku ambil keputusan untuk bercuti mulai esok. Rumah ini terlalu banyak yang perlu dikemaskan. Dari hujung dapur ke hujung pintu pagar.

Akhmal aku suruh dia mengecat dinding luar rumah. Bukan sangat kerana mahu rumah aku ini dicat tetapi lebih kepada mau dia mengisikan masa menganggurnya itu dengan sesuatu yang lebih baik dari tidur atau lepak bersama kawan-kawannya yang aku bimbang akan membawa kepada aktiviti tidak sihat. 

Justeru tidak mahu fikir susah-susah warna apa yang cantik, aku pilih warna putih saja. Bila Angah dapat tahu, dia seperti memerli;

"Apalah ayah... warna putih je.."

Sebenarnya dimasa memikirkan warna cat apa yang elok dipilih aku teringat pada satu masjid yang pernah aku singgah bersembahyang semasa bawa ibu_suri jalan-jalan di Trengganu. Aku harap ini bukan tanda-tanda aku akan dipanggil Allah seperti mana yang diceritakan oleh waris mangsa kemalangan seisi kereta bebaru ini bahawa sikap anaknya yang memakai serba putih untuk ke masjid agak menghairankan ibubapanya.

Nak balik berHari Raya di kampung adalah satu keputusan yang bermasaalah untuk difikir. Permohonan aku untuk mendapatkan pelepasan parol Akhmal tidak berjaya kerana tempoh permohonan yang aku buat dah suntuk. Akhmal tidak boleh keluar selain kawasan SPT dan SPU sahaja. Malam pula dia kena berada di rumah dari 7 hingga ke 7 esok paginya. Takkan aku nak tinggalkan saja dia berseorangan di rumah sementara aku berseronok ke Ipoh menjenguk mak dan ke Tapah menjenguk mertua?

Hampir setiap kali ibu_suri akan merengek bertanya macam mana nak buat. Jawapan aku cuma.. nantilah bincang dengan Angah sedangkan sebenarnya otak aku sendiripun buntu.

Apa-apa pun, perancangan aku... esok kemas rumah. Lusa ibu_suri mau sangat aku buatkan rendang ayam; menu Raya hampir setiap tahun kami. Tak tahulah apa rasanya rendang ayam aku tu kelak. Aku bukan reti memasak sangat. Hentam keromo saja.

Sesekali bila mendengar ceramah di radio tatkala memandu, aku seperti dikenen-kenen oleh ustaz yang menyarankan supaya di malam-malam terakhir yang penuh maghfirah ini kita sepatutnya kurangkan hal-hal dunia dan lebihkan qiamullail di masjid. Allahu Akbar...!

Ahad, 4 Ogos 2013

ODP

Hari ini baru dapat jenguk blog. Rindu...

Permohonan Akhmal untuk mendapat parol telah diterima. Julai 25, aku di suruh ke Pejabat Parol di Bangunan Zakat, Bandar Baru Bertam. Leto juga mencari akhirnya memegang pepatah 'malu bertanya sesatlah jalan', aku temui pintu Pejabat Parol.

Setelah tandatangan beberapa dokumen, Akhmal aku bawa balik dengan jaminan;


1. Tidak boleh keluar dari rumah antara 7 malam hingga 7 pagi

2. Tidak boleh berada di luar dari kawasan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah selama dalam  perintah parol.

Uh, mendengarkan 2 perintah ini sahaja aku sudah dapat merasakan beratnya peraturan ini berbanding lebih baik Akhmal terus berada di dalam. Tahu sangat aku, tempoh 2 bulan hingga pertengahan Oktober baru perintah ini digugurkan, bukanlah satu empoh perjalanan yang mudah.

Angah, bila dapat tahu sahaja Akhmal mendapat kebenaran balik ke rumah dan berpeluanglah berRamadhan dan Syawal bersama keluarga, teruslah dia;

"Ayah, Angah nak ambik laptop ayah tu simpan kat rumah Angah. Nanti ghaib pulak macam laptop ayah yang ayah beli dulu."

Aku tak terkata apa kerana aku tahu dan faham kenapa dan mengapa Angah berbuat begitu. Berbanding Along, Angah ini sedikit tegas dan mengambil berat kebajikan ayah dan ibunya.

Sejak itulah kenapa aku tidak dapat lagi menulis samada blog aku hatta blog TKM1. Setiap kali masuk ke bilik ibu_suri dan memandang meja di mana laptop aku selalunya berada tetapi kini sudah kosong, aku dipilin kerinduan.

Malam ini, ntah bagaimana.. godek-godek desktop lama yang kata Along hard disknya dah rosak dan balik raya nanti baru dia nak repair, tiba-tiba boleh pula connect dengan internet.

Sekarang ini, tentunya yang paling gembira walaupun berstatus ODP adalah Akmal. 2 kali gembira adalah ibu_suri. Namun aku.... kedamaian mengurus hidup berdua sahaja dengan ibu_suri selama ini mulai berkocak....  Apapun, sabar, doa dan pasrah adalah yang terbaik!