Halaman

Isnin, 30 September 2013

Hari Ini Masa Yang Terbaik!

Sebenarnya, keputusan dari Screening Test beberapa hari lalu mengesankan aku. Sejak hari itu emosi aku sikit terganggu. Terasa seperti hari-hari terakhirku semakain dekat.

Aku ceritakan kepada Angah tentang itu. Aku pesan kepadanya;

"Kalau ditakdirkan ayah tiada nanti, jagalah ibu dan Akhmal baik-baik." Angah cuma tersengih. Masih mentah lagi dia dalam memahami perasaan seorang tua seperti aku, fikirku.

Satu yang bagusnya kesan dari keputusan yang aku terima itu ialah mudah untuk aku tidak lagi mengambil minuman berpeket atau dari mesin dipenser seperti lazimnya setiap hari. Aku lebih banyak minum air kosong atau paling tidak teh o kurang gula atau teh o berperisa stevia. Makan pula ala kadar. Dulu, kawalan makan seperti ini bagai susah sangat untuk aku amalkan. Keputusan doktor itu seperti satu daya tolak yang memudahkan aku mengamalkannya. Sesekali fikir... pelik juga manusia ini. Terlalu dipengaruhi oleh emosi dan hati sebenarnya...

Aku jangka jika berterusan begini, aku akan mengalami sustan saiz badan dan sekaligus penurunan berat. Aku harap sasaran aku untuk mencapai berat sekitar 65 kg akan berhasil. Itu adalah berat yang diberitahu oleh doktor satu masa dulu semasa program Hari Kesihatan di tempat kerjaku. Berat yang ideal bagi seseorang yang berumur dan setinggi aku hari ini.

Apapun, aku harap keresahan aku bertolak dari hipotisis kesihatanku itu akan berlalu. Resah hanya akan menambah tekanan di dada. Bila aku tertekan, otot-otot di dada dan lenganku akan tersa sakit seperti di cucuk-cucuk.

Apa yang penting sekarang ialah aku mesti memanafaatkan sisa hidup yang masih ada dengan sekualiti dan sebaiknya. Hidup hanya sekali dan hari ini adalah masa yang terbaik untuk menikmatinya!

Foto hiasan: ibu_suri (berdiri kanan) ketika program lawatan 
hospital semasa dia menjadi ko-kaunselor UKnI - 1990an

Ahad, 29 September 2013

Alahai Mak...

Beregek itu dah awal sebenarnya. Begitu juga ibu_suri, pepagi dah mandi. Bila beg dah siap aku jenguk dalam bilik, laa.... ibu_suri tidur balik. Teratur dengkurnya.

Sebenarnya dah 3 hari ibu_suri tak boleh tidur. Malam tadilah baru kantuknya itu datang. Jadi selalunya, bila ibu_suri dah mula boleh tidur, aku biarkan. Hujan pula di luar.

Hinggalah hampir tengah hari, baru ibu_suri terjaga sendiri.

"Hah.... Dah 11 lebih... Tak balik kampung ke?"

Walaupun dah lewat dan hati ini berbolak balik untuk ke kampung atau tidak, aku terus saja membawa beg masuk ke kereta. Ntah berapa jam sangatlah aku boleh berada di kampung. Lepas Maghrib perlu balik semula ke Penang. Namun demi kerana mau ziarah mak, aku terus saja memandu tanpa mahu mengejar masa. Biarlah... relaks saja memandu.

Sampai di rumah, adik-adikku sedang sibuk memecah bilik air mak. Rupanya, mereka baru saja selesai membuat lantai papan di atas lantai simen di bilik mak. Mak gaduh sejuk bila duduk di lantai terutama malam atau bila hujan dan bila nak mengesot untuk ke bilik air. Aku pun perasan hal itu sebenarnya tapi tak terfikir pun supaya dibuat lantai kayu. Bagus juga idea depa ni, bisik hatiku.

Bengkang Kemboja - makan bersama mak...

Aku tak tolong sangat. Lebih kepada menjaga ibu_suri dan ziarah adikku Niza yang baru saja menjalani kimoterapi. Baru aku faham akan proses kimoterapi yang dibuat atas kes seperti Niza.

Seperti biasa, mak akan bertanya;

"Kamu tak cari lagi ke jodoh Along tu?"

Alahai mak..... Along tu, tak tahulah saya mane nak muat nyer... Kalau ada jodoh dia tu nanti, sampe ler kad kendughi nyer.....

Sabtu, 28 September 2013

Melainkan Kenangan!

Baru tadi aku pergi semula ke Kilinik Bersatu, Bukit Mertajam untuk mengambil keputusan Screening Test yang aku jalani sebulan lalu. Seperti yang aku tidak mahu, keputusannya menggusarkan.

Bila ibu_suri bertanya, aku cuma bagitau;

"Doktor suruh jaga makan..."

Aku tidak mahu menambah bimbang di hati ini dengan ceceran ibu_suri  jika dia mengetahui.  

Kami kemudiannya bersama kakak ipar, ke rumah Pak Long di Sungai Ara. Mak Long baru saja menghembuskan nafasnya yang terakhir tengahari semalam. Aku tak sempat ziarah. Pengkebumiannya di buat pada hari yang sama. Mak Long adalah kakak kepada mak ibu_suri.

Di sepanjang pemanduan, aku lebih banyak berfikir tentang diri sendiri. Apa yang aku perlu buat dan telah aku perbuat. Terasa berapa berharganya kehidupan yang masih ada ini. Terasa betapa aku perlu menikmati baki nafas ini dengan kualiti dan semaksima mungkin.

Aku teringat kata-kata seseorang;

"Tidak ada perkataan terlambat dalam agama."

Sambil memandu, aku melayan perasaan sendiri dengan lagu retro dari CD kompilasi The Mercy's, D'LLoyd, Favourites Group dan Koes Plus.

Ntah kenapa aku jadi rindu pada mak dan pada sahabat seperjuangan. Mujur aku masih ada mereka semua dan masih boleh berjumpa.

Benarlah kata orang..... 'Seorang tua itu tidak lagi memiliki apa-apa harta melainkan kenangan!'

Khamis, 26 September 2013

Perasan!

Masuk kali ini dah 2 orang mengatakan iras aku persis Zahid Hamidi. Argghhh... kat manalah agaknya persamaan itu?

Yang lagi menggaru-kepalakan aku ialah ke 2-2 mereka itu rakan sekerja berbangsa Cina. Setiap kali aku bertembung dengan mereka baik di lif atau di loker baju antistatik ( smock ), mereka akan menyakat aku;

" Hello Datuk Zahid... Ada bertanding ka kali ini?"

Semasa aku lepasan sekolah menengah dulu, ada jiran sekampung mengatakan aku macam Othman Hamzah. Setiap kali aku lalu depan rumah mereka dengan basikal untuk pegi kerja, mereka akan berkata;

"Haa... tu. Othman Hamzah lalu...."

Kata orang - Biar ditimpa perasaan asalkan jangan ditimpa perasan...!

Abangggg... I Love You!

Dapat gaji hari ini. Tapi 1/3 daripadanya awal-awal lagi akan terpaksa aku berikan kepada Along dan Angah kerana keperluan mereka yang perlu aku bantu. Aduhai...

Bulan ini cukai jalan Kancil ibu_suri dah mati. Kena perbaharui cepat-cepat sebelum ibu_suri perasan. Jika dia tahu nanti, lagi susah nak menjawap soalannya yang berubi-tubi datang.

Bulan ini juga akan datang Hari Raya haji. Duit lagi tu. Pastinya ibu_suri akan suruh masak rendang. Beli lemang. Beli kuih. 

Termenung aku memikirkan kekangan hidup ini yang sejak anak-anak aku kecil hinggalah mereka dah bekerja, masih juga tidak merasa kelapangan. Dimanalah silapnya aku ini!

Akhmal setiap hari paling RM15 duit poket, Banyak kadangn ya mencecah RM25. Anagh selalu bertanya kenapa duit ayah cepat surut. Aku cuma bagitahu dia bahawa kalau mulut ayah sorang yang nak disuap RM10 sehari pun dah cukup. Tapi ini, bukan mulut orang saja, mulut kereta, mulut tol, dan ntah apa mulut lagi juga perlu disuap.

Tapi kut manapun hidup perlu diteruskan. Segala kepayahan mesti dihadapi. Mahu tidak mahu aku kena terus berjalan dan fikir bagaimana untuk terus menyambung kehidupan.

Mungkin sebab terlalu banyak keresahan di dada ini membuatkan aku tertinggi suara sedikit bila merasakan ibu_suri terlalu banyak meminta itu dan ini. Kekadang terasa seperti setiap minit dia akan meminta aku, memanggil aku atau paling tidak berkata...

"Abanggg... I love you! "...

Yang mana aku mesti memalingkan muka melihat wajahnya dan membalas dengan kata-kata yang paling tidak...

"I love you too...!"

Bila suara aku meninggi, ibu_suri akan bertanya aku;

"Abang why you tinggikan suara sedangkan I cakap lembut-lembut dekat you?..."

Huuuuu....... Sesekali terasa amat rimasnya aku! Tu yang kekadang terasa seperti mahu pergi jauh-jauh untuk melupakan semua ini.

Minggu depan grup usrah aku akan mengadakan mukhayyam. Aku teringin nak pergi tapi bila aku ajukan pada ibu_suri tadi, awal-awal dia kata.... No! No! No!

Rabu, 25 September 2013

Aku Pun Lapar, Sebenarnya!


Dah jam 1 lebih rupanya. Terasa lapar. Singgah kat kedai makan tepi Masjid Kubang Semang. Makan nasi lemak dengan Radix tarik.

Sebenarnya, tadi aku pergi usrah di Surau Taman Pelangi seperti selalunya setiap Selasa. Usai usrah, aku singgah di Petronas Juru. Tiba-tiba talipon aku bergegar. Akhmal...

"Ayah, Akhmal kena tahan polis!"

Pulakk.......

Aku suruh dia relaks saja dan ikut arahan polis yang mahu bawa dia ke IPD Perda. Namun, semasa memandu, otak aku pulak tak rileks. Asyik berfikir kes apa pula siAkhmal kali ini.

Sesampai aku di IPD, ternampak tangan Akhmal bergari. Aku yang dah mangli dengan situasi begini cuba cool  dan pergi ke kaunter, bertanyakan duduk perkara sebenar. Akhmal baru saja menjalani urine test. Alhamdulillah... negatif.

Rupanya Akhmal ditahan di Alma. Masa itu polis sedang membuat rondaan. Ternampak Akhmal ini angkat motor. Haaahh... Memang tempah penyakit namanya.

Ada beberapa isu lagilah yang berlaku sebelum pegawai polis membuka gari di tangan Akhmal. Berkilat-kilat dan keras gari itu aku tengok.

"Dah makan?" tanyaku pada Akhmal sebaik saja keluar dari gerbang IPD. Geleng kepala.

Aku pun lapar sebenarnya. Lapar sedari hadiri usrah lagi tapi bertahan sebab ingatkan nak bawa ibu_suri makan sama sebaik balik nanti. Mana tau... tersadai pula kat sini!

Isnin, 23 September 2013

Terkena

Ahad baru ni, seperti selalunya aku ziarah mertua di Taman Buah Pala, Bukit Gelugor. Rupanya, memang dia tunggu aku datang. Dia nak pergi ke market Batu Lancang untuk beli barang dapur.

Kekadang kesian aku tengok abah mertua aku ni lewat 80 tahun umurnya. Terkengkang-kengkang berjalan kerana sakit kaki tapi tetap dia gagahi juga. Katanya nak beli ikan dan sayur untuk bekal seminggu. Maklumlah, kalau tidak mengharapkan anak-anak yang membawanya ke mana-mana, siapa lagi. 

Memang ramai orang mengenalinya di market. Tak kira Cina atau India, semuanya tertanya-tanya kenapa dah lama tak datang. Aku hanya membontoti dari belakang, memegang bungkusan ikan dan sayur yang dah dibeli. Kekadang membantunya memilih atau bertanyakan harga. 

Mertua aku ni bekas SC zaman orang putih dulu. Kemudian dia kerja kapal di dermaga pelabuhan Pulau Pinang. Kemudiannya baru dia buka syarikat sendiri - Ganu Jaya.

Selesai membeli, kami singgah di astaka tepi Stadium Bandaraya. Mak teringin nak makan capati. Sayangnya, gerai capati tak buka pula hari ini. Kesian juga pada mak yang mungkin terkilan.

Abah dan ibu_suri order ais kacang. Wow... se mangkuk RM4.50... boleh tahan juga harganya. Aku pula mulanya order mi kari tapi diberitahu dah habis. Aku order pula moi sup dan segelas jus karot ais. Sebaik saja pelayan Indon itu menghantar moi sup, aku metepuk dahi...


"Awat bang?...."

"Ini bukan moi sup! Tapi sup nasi,,,"

Ini kali ke-2 aku terkena. kali per-1 di gerai di astaka Masjid Seberang Jaya.

"Pi komplen la. Awat depa buat lagu tu."

Aku mengerling gambar moi sup yang terlekat di cermin meja gerai. Nampak memang cantik elok dan menyelera rupa moi supnya tapi bila datang yang sebenar... astaga...

"Tak payah la. Bukan salah depa. Salah abang tak tengok sample moi sup kat sini. Depa dah jual bertahun-tahun moi yang macam ni..."

Ahad, 22 September 2013

Kalau Aku Tak Ada Nanti...

Semalaman tadi ibu_suri tidak dapat tidur. Pagi tadi, aku ajak dia ikut aku ke Tasik Mengkuang. Dia tinggal di kereta sambil baca akhbar Harakah; aku pula berjalan keluarkan peluh di trek.

Setelah sarapan di Restoran Anggerik Desa, Seberang Jaya, kami balik rumah. Baru ibu_suri terasa mengantuk. Aku vakum dan mop dulu bilik kemudian baru aku urus dia untuk tidur. Aku tak mahu dia lawan kantuk kerana ini akan beri kesan negatif terhadap hipertensinya.

Aku kemudiannya kemas dapur. Kali ini aku buat major 5S. Semua alat dapur yang lansung tak diguna, aku asingkan ke stor atau buang saja. Sambil mencuci bilik air, aku teringat kata-kata mak semasa balik kampung bebaru ini;

"Rumah ni masa abah kamu ada dulu, dialah yang rajin memperbetulkan mana-mana yang tak elok. Sekarang ni bila dia dah tak ada, terbiar aje...." Aku diam sambil membelek papan dinding rumah yang usianya lebih tua dari usia aku. Aku agak dah mula makan dek bubok.

Perkara yang sama juga aku kira akan berlaku pada rumah aku sekarang ini. Boleh dikatakan rumah ini, akulah yang selenggara dari hujung pintu pagar depan hingga pintu pagar belakang. Bila aku tak ada nanti, mau busuk dan masai keadaan dalam rumah ini!

Bila ibu_suri bangun, petang, dia beria-ia ajak aku ke Pulau Sayak untuk makan mi udang. Mak ai... jauhnya nak makan mi udang. Bukannya tak ada yang dekat-dekat sini.. macam kat Titi Timbul!


Ada banyak restoran mi udang di sana. Kami pilih restoran milik Yaakob Hashim. Sepinggan yang biasa - RM8. Tapi sudah pasti aku pilih yang special untuk yang bernama isteri - RM12. Seperti biasa, aku akan kupaskan kulit udang untuk memudahkan ibu_suri memakannya. Aku tak makan sebaliknya minum saja. Perut masih terasa kenyang.

Kalau ikut iklannya, konon udang segar dari laut tapi nampak macam tak segar je!

Sabtu, 21 September 2013

Dialah Yang Terbaik.... Saat Ini!


Tidur awal tadi malam. Ajak ibu_suri pi jalan-jalan, dia tak mahu. Dah seminggu gitu. Lebih suka memerap di bilik dengan pendinginhawa. Tak heranlah kalau bil letrik saja mencecah RM150 sebulan. 

"You asyik duduk dalam bilik, tak elok untuk badan. Kulit tapak kaki you tu pecah-pecah sebab aircond tu sedut air dari kulit badan sampai ianya kering." tegurku merujuk pada keluhnya yang saban hari dek sakit kaki bila berjalan.

Semalam juga 4~5 kali dia berulang alik ke tandas hingga ada yang tak sempat lalu bertaburan di lantai. Ntah dimana silapnya makanan semalam. Aku menggenggam sabar dengan kemas dalam membersihkan 'diri'nya dan lantai. Sesambil itu aku teringat jikamana aku pula ditakdirkan Tuhan menjadi seperti dia, esok atau lusa... siapalah agaknya yang akan mampu menjaga aku seperti aku menjaga dia, hari ini? Isteriku, kaulah yang terbaik, kurnian Tuhan buatku.... saat ini!

p/s:
Aku nak bersiap pi riadah di Tasik Mengkuang. Sambil keluarkan peluh dan sedut udara segar, tenangkan jiwa dan muhasabah diri....JOM!....

Khamis, 19 September 2013

Mak...

Entahlah... Resah  hati ini tenggelam timbul sejak semalam dan masih belum reda. 

Balik kerja aku belikan nasi untuk ibu_suri. Berlaukkan sambal petai, ibu_suri seperti berselera.

"Buang angin.." ujarnya. Aku ketawa. Ketawa yang sengaja aku kekehkan.

Lepas makan nanti aku mahu mandi. Mandi seperti mandi wajib. Mandi sebersih-bersihnya. Mahu sembahyang. Mahu baca Quran. 

Kemudian ajak ibu_suri jalan-jalan. Kebetulan Angah tinggalkan Viva untuk aku guna sehari dua ini. Aku suka naik Vivanya sebab ada power stereng dan auto gear. Selesa.

Kalau ibu-suri tak mahu jalan-jalan, aku mahu tidur awal. Mahu keluar skejapp dari bimbang yang sebenarnya aku tidak boleh berbuat apa-apa untuk mengatasinya.

'Mak... Aku teringatkan kamu. Tapi aku tidak dapat balik untuk menatap wajahmu sehinggalah aku dapat gaji minggu depan...'

'Mertuaku, insyaAllah aku akan ziarahi kalian sepertimana selalunya aku di hujung minggu..'

Rabu, 18 September 2013

Tak ok Lagi?


Aku ntah kenapa cukup tidak ada mood hari ini. Di tempat kerja maupun setelah balik ke rumah. Terasa seperti mahu pergi jauh-jauh dan bersendirian merenung diri.

Akhmal ada di rumah. Aku agak dia dah tak pi kerja despatch itu. Sebaliknya, ikut kata dia, dia kerja di restoran belah malam. Restoran apa kerja belah malam saja? 

Semalam sepatutnya dia lapor diri di Parol, Kepala Batas jam 10 pagi tapi dia sampai jam 12 tengahari.

"Pegawai Parol tak marah?"

"Mau nya tak..."

"Dah nya merayap malam-malam,; Subuh baru balik. Mana taknya bangun ninggi hari.." rungutku.

Aku juga hairan melihatkan aksesori yang ada pada dia seperti kad prepaid, minyak wangi, krim rambut... mana dia dapat duit untuk beli semua ini. Takkan dengan duit kocek RM15 yang aku beri tiap hari cukup untuk semua ini?

2 hari sudah dia kena saman polis sebab pasang nombor plet motor bahagian belakang tak ikut spesifikasi yang dibenarkan oleh JPJ. Aku dah warning dia awal-awal lagi yang plet begitu salah tapi dia buat tak endah.
Terbang RM70. Bukan duit dia tapi duit ayah dia... 

Ntahlah si Akhmal ini. Tak ok lagi nampaknya!

Isnin, 16 September 2013

Cukuplah Dengan Doa

Berulangkali ibu_suri bertanya - kenapa tidak mahu balik kampung seperti yang dirancang sebelum ini?

"Kalau abang nak balik tapi I tak mau, abang merungut. Tapi bila I nak balik, abang pulak tak mau. Habis.... nak salah sapa?"

Aku diam saja. Tak perlu malah tak boleh memberitahu bahawa tidak mahu balik bukan sesaja tapi kerana tidak cukup kira-kira.

Cukuplah rasanya dengan aku mengangkat doa ke hadrat Tuhan muga proses kimoterapi yang akan dijalani oleh adikku di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh akan menghasilkan sesuatu yang positif. Malam nanti insyaAllah, aku akan menghantar satu sms untuk itu.

Niza bersama suami dan anak-anak - 2008

Aku pun tak tahu malah tak pernah lihat sendiri apa dan bagaimana kimoterapi itu dijalankan. Tapi ketumbuhan (yang tidak sampai hati untuk aku sebut sebagai kanser bilamana berbual dengan adikku Niza maupun ibu-suri) adalah penemuan kali ke 2 malah kini bukan setakat di usus tetapi juga hati, khabarnya...

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” - Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Ahad, 15 September 2013

Akok Dan Pulut Bangkok

Usai riadah di Tasik Mengkuang, aku bawa ibu_suri sarapan pagi di Restoran Santapan Utara, Seberang Jaya. Suka makan di sini sebab ada banyak variasi makanan. 

Seperti biasa ibu_suri lebih suka makan nasi berlauk sementara aku ambil karipap dan mencuba Akok serta pulut Bangkok. Sudah pasti,  pasangannya... secawan kopi Mahkota Dewa.
















Sejuk rasa hati memerhati ibu_suri makan dengan sempurna. Aku tahu itu bermakna kondisi emosi dan dirinya... ok.  Selalu ingat akan hadis ini dan berharap aku adalah diantaranya;

'Orang mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang mempunyai akhlak mulia, orang-orang yang terpilih antara kamu ialah mereka yang baik pergaulan serta hubungannya dengan isteri-isteri mereka.'
(HR: At Tirmidzi)

Sabtu, 14 September 2013

Penyejuk Suasana


Along

Along tak jadi balik hari ini kerana masaalah tiket bas walaupun sebenarnya dia dah booking  tetapi bas tak muncul di Pudu Sentral. Satu masalah pula nak terangkan pada ibu_suri kenapa Along tak dapat balik. Keterangan yang mesti logik untuk diterima oleh ibu_suri.

Aku pula tak jadi nak balik kampung untuk ziarah adikku Niza yang akan menjalani kimoterapi pada 17hb ini. Aku tak cukup budget untuk balik. Bila ditanya oleh ibu_suri kenapa, sekali lagi aku kena beri hujah yang boleh diterima oleh pemikiran separa normal ibu_suri ini. Mungkin ada unsur-unsur bercakap tidak benar di dalam hujah itu. Nak buat camna...

Akhmal pula seperti biasa, habis kerja barulah dia balik ke rumah. Aku tahu dia lapar jadi aku sediakan makanan untuk dia dan beri duit poket RM15 sehari. Lepas mandi dia akan menyiapkan beg dengan pakaian baru dan keluar semula untuk kembali  ke rumah sewa.

Di luar pengetahuan ibu_suri sebenarnya bahawa Akhmal kini lebih mau tinggal bersama kawannya di rumah sewa. Kalau ibu_suri tau mesti meratus panjang. Susah aku nak ceritakan kenapa aku biarkan Akhmal menetap di rumah sewa sedangkan rumah sendiri ada dan selesa. Jadi, bila ibu_suri bersoaljawap dengan Akhmal tentang kenapa dia menyiap beg dengan pakain baru, aku akan masuk campur dengan memberi jawapan yang terbaik.

Begitulah aku selalu di rumah ini. Selain tugas wajib sebagai bapa dan suami, aku juga mesti menjadi seperti air yang menyejukkan tekak, seperti kipas yang menyejukkan hangat badan dan seperti hujan yang menyejukkan tanah yang kepanasan.

Jumaat, 13 September 2013

Langkah Pertama

Akhmal semasa hadiri Kem Motivasi anjuran JKM 2011

Aku menerima panggilan dari sesaorang bertanya tentang perkembangan Akhmal terkini. Tak berapa jelas jawapannya bila aku tanya dari mana. Cuma aku agak ia dari tempat dimana Akhmal pernah di rujuk akibat kes dadah.

"Buat masa ini, apa yang saya perhatikan dia... hmmm... ok. Sekarang dah bekerja. Tapi esok lusa, tak tahulah macam mana. Tunggu dan lihat!" Begitu jawapanku.

Akhmal sekarang jarang berada di rumah. Dia lebih selesa tinggal bersama kawan-kawannya di rumah sewa - Alma. Aku, walaupun menyimpan seribu bimbang tapi biarkan saja. Dari satu sudut aku faham, kenapa. Kekadang fikir elok dia tinggal jauh dari rumah ini.

Gajinya boleh tahan juga.. RM1K ++. Berbanding kelulusannya yang lansung tiada itu, gaji ini boleh dikira cukup bagus.

Sebenarnya, di Pulau Pinang ini malah dimana saja aku percaya, pencarian kerja tidak ada masalah. Cuma mahu atau tidak saja. Cuma sikap kita positif atau negatif.

Sudah tentu doaku siang malam untuk dia. Aku harap dia telah menemui langkah pertama ke arah menjadi seorang bernama manusia!


Khamis, 12 September 2013

Pelam Dan Bunga Kertas

Rupanya di atas bumbung rumah aku dah penuh dengan daun kering yang luruh dari pokok pelam tepi rumah. 

Bila hujan lebat yang panjang gini, baru aku perasan. Rupanya air yang menimpa atap rumah tidak dapat mengalir turun ke cucur atap seperti mana fitrah. Sebaliknya telah melawan hukum graviti dengan naik ke atas lalu tumpah melalui siling  ke dalam rumah.

'Oo.. rupanya selama ini lantai sini basah sebab air dari atap inilah...' getus hatiku, baru perasan.

Aku pun menjengah bumbung rumah. Rupanya, dahan pokok pelam yang memang sedang lebat berbuah dan rimbun daunnya seperti berbaring rehat di atas zing. 

Aku tak pernah perasan hal ini. Tak pernah kisah dan ambil kisah. Bila balik kerja, terus masuk rumah. Keluar rumah terus masuk kereta. 

Aku hantar sms pada Angah:

'Ahad ni tolong ayah takek dahan pelam depan rumah kita, boleh tak?'

Nak buat seorang diri tak berani. Mana tau, kalau terjatuh nanti tak ada siapa yang membantu. Aku pun bukan kuat sangat. Nak memanjat tinggi-tinggi, gayat!

Pokok pelam depan rumah aku ini di tanam oleh arwah abah. Aku tak pernah ambil pusing pun pasal tumbesarannya. Tak pernah siram. Tak pernah baja. Ia berdikari tumbuh dan berbuah dengan lebat. Ramai jiran-jiran suka ambil buahnya untuk cicahan. Kata mereka buahnya sedap dan rapuh. Aku jarang makan pelam ini sebab tak suka benda-benda masam.

rumahku di kampung

Abah aku dulu bekerja sebagai tukang kebun. Kata orang, tangan abah sejuk. Setiap apa yang ditanam mudah tumbuh dan berbunga.

Abah, semasa aku kecil dulu suka tanam pokok bunga di keliling rumah. Hatta pokok bunga anggerik yang sukar untuk berbunga itu pun berwarna warni bergantungan pasunya di alang beranda. Paling banyak di rumah aku ketika itu ialah pokok bunga kertas. Kekadang tampak seperti bongsai gergasi.

Pernah satu ketika dulu, Majlis Bandaran Ipoh bercita-cita mahu jadikan Ipoh sebagai Bandar Bunga Kertas. Tapi... cita-cita itu seperti tidak kesampaian!

Hidup Ini Sebuah Pementasan

Kerja ofis memang menekan. Namun setiap pelanggan yang datang tetap aku layan dengan baik walaupun kekadang nak ke bilik air pun tak dan. Apatah lagi nak dapatkan masa tenang untuk berfikir...

Hujan lebat di luar. Sejuk pendinginhawa menikam hingga ke tulang. Aku tak ada jeket untuk dipakai. Sabar sajalah wallau sesekali terasa sengal di sendi jari dan lengan.

Aku teringat ibu_suri yang bersaorangan di rumah. Kasihan dia... bersaorangan dalam suasana langit suram dan basah sejak beberapa hari ini. Selalunya bila hujan lebat sangat akan ada bumbung rumah yang bocor sana-sini.

Tak sabar nak tunggu cuti hujung minggu ini - ada 3 hari. Aku nak habiskan masa dengan riadah pagi di Tasik Mengkuang dan kemas rumah. Mungkin juga akan datang sekejap ke ofis ini untuk selesaikan sebahagain dari kerja-kerja terbengkalai. Kalau tak buat gitu, akan semakin bertapoklah bebanan kerja.

Cadangan untuk balik ziarah adik yang akan menjalani kimoterapi kanser usus pada 17hb ini nampaknya terpaksa aku batalkan. Tak cukup budget. Along awal-awal lagi dah bagi signal. Dia juga kesempitan. Kena repair motor yang mengalami kekejangan enjin.

Sabar sahajalah. Hidup di dunia fana' memang begini lumrahnya. Persis sebuah pementasan...

Foto hiasan: Sebuah pementasan dalam program MAMA 
di mana aku adalah Stage Manager.

Selasa, 10 September 2013

Dalam Kenangan

Tak tahu nak tulis apa hari ni. Tak ada idea. Cuma yang aku perasan, hari ini aku terlebih makan. Perut rasa sendat. Rasa tak selesa. Terasa malu pula pabila menatap gambar-gambar lama di sini.


Demo Palestin bersama NGO Islam di hadapan 
Masjid Kapitan Keling, 2010

Sertai demo GMI 2009

Latihan di Jepun bersama blogger JH

Semasa sertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan

Sesi latihan silat Gayong bersama blogger WN

Bawa adik perempuan melawat Bukit Bendera

Tentu boleh agak mana satu yang bernama 'aku'. Dan..akhir sekali.... jeng...jeng...gambar paling klasik....

Baru kawen...

Comel tak..ibu_suri?.... Muga terhibur dan senyum-senyum sokmo.....!

Ahad, 8 September 2013

Atas Nama Pembangunan

Riadah kat Tasik Mengkuang bagai mencanduiku di setiap hujung minggu. Melempar pandangan jauh ke hutan dan bukit, saujana langit luas sambil menghirup udara yang masih dara bikin dadaku terasa lapang dari segala keserabutan. Menyeka peluh yang terbit di atas bibir dan dagu juga adalah satu kepuasan.

Mungkin akan ada orang berkata;...'Ai... kamu masih ada masa nak pi bersantai kat sana sedangkan kami gelut dengan aktiviti kemasyarakatan di sini..'

Ntahlah!  bagi aku sekarang ini, baki masa untuk hidup kian sedikit. Aku perlu nikmati dan isi sebaiknya.

Namun bila melihatkan di sebelah sana - bukit bukau ditarah dan hutan digondolkan oleh jentera atas nama pembangunan untuk keperluan masa hadapan, aku jadi gelisah juga. Saiz hutan ini semakin mengecil, Oksijen semakin nipis. Flora dan fauna kian pupus. Pandangan jadi semakin cangkat. 

Berapa inci lagikah yang tinggal lagi untuk diwariskan kepada cucu-cicitku lewat atas nama pembangunan yang tak tertahankan ini?

projek pembesaran Empangan Tasik Mengkuang

Sabtu, 7 September 2013

Meroyan

Bila dengar suara kalut-kalut di belakang, aku seperti mahu segera ambil tahu. Mungkin jiran ada masalah yang perlu ditolong. Aku biarkan ibu_suri masuk sendiri ke dalam rumah sementara aku mengunci kereta dan perlahan-lahan ke hujung lorong.

"Anak perempuan dia pegang pisau potong daging. Mak dia bimbang apa-apa akan terjadi. Dia pulak tak boleh dengar suara anak dia; dia nak humban ke luar rumah," terang abang Man.

Jiran yang lain beri cadangan supaya hubungi JPAM sebab kalangan kami tak siapa tega berdepan dengan situasi itu. Tak lama... seragam biru itu datang. Sekejap saja pisau itu dapat di rampas dari tangan.

Aku tetiba saja rasa amat memahami perasaan seorang emak dalam tanggungjawapnya menjaga anak yang menghidap sindrom meroyan. Sindrom yang agresifnya itu berlaku di luar jangka.

Semasa ibu_suri menghadapi sindrom bipolar disorder (sindrom selepas kemurungan), aku pernah mengalami situasi yang sama. Pernah ibu_suri membaling pisau kepada aku tetapi sempat mengelak. Kalau setakat membaling mug, pinggan dan sudu ini sudah biasa.. 

Maka.. terbit rasa syukur. Dan terasa betapa benarnya kata-kata bahawa jika kita sabar dan pasrah pada Tuhan, insyaAllah... dihujung nanti akan ada kebahagiaan. Aku bahagia sekarang bersama ibu_suri walaupun tidak se 100% dulu!

satu masa dimana ibu_suri taksub dengan kerropi. ratusan ringgitku
habis untuk  pelbagai jenis objek keroppi sedari kasut, tuala, jam,
selimut apatah lagi patung. 
( boleh baca sini, catatan blogger Bearcat yang ternampak aku bersama Keroppi.)

Khamis, 5 September 2013

Caj



Aku berpuasa sunat hari ini bersama ibu-suri. Usrah semalam memberi aku motivasi untuk cuba mengamalkan puasa sunat paling minima sehari dalam seminggu.

Usrah semalam juga aku diminta oleh naqib untuk bercerita sedikit tentang latar belakang permasaalahan yang aku harungi selama ini. Tentang ibu_suri. Tentang Akhmal. Tujuannya ialah sebagai iktibar dan pengetahuan sahabat usrah lain. 

Aku join usrah Surau Taman Pelangi ini boleh dikira baru juga. Ramai dari mereka tidak tahu kenapa aku kekadang lambat datang malah kerap juga tidak dapat hadir usrah. 

Usrah perlu padaku. Usrah umpama charger yang diperlukan untuk mengecaj talipon bimbitku kala bekalan kuasanya mulai lemah.

Selasa, 3 September 2013

Aku Hari Ini

Seperti biasa, masuk saja ofis aku akan ambil rough paper . Tulis apa yang aku perlu buat untuk hari ini. Setiap kali siap, aku akan gariskan tugasan itu tanda dah selesai dan berpindah pada task yang lain.

Biasanya bila pagi, sementara menunggu suhu dalam bilik stabil sekitar 25°C ±5°C, aku membaca emel. Kekadang ada emel dari bos, dari customer dan kekadang ci-cat dari kawan-kawan yang hari ini isunya banyak di sekitar kenaikan 20 sen harga petrol RON 95. 

Tapi hari ini juga aku seperti tenggelam punca dalam menyelesaikan tugasan yang dah tersenarai itu. Aku   lemas dalam kesibukan yang di luar jadual. Customer aku keluar masuk dengan berbagai fe'el dan permintaan. Talipon pula tak henti-henti berdering. Macam tak mahu aku duduk senang walau 5 minit.

Petang, aku ada meeting pasal NCR yang aku terima 2 minggu lepas semasa SIRIM odit. Tambah serabut kepala otak aku ni.

Akhirnya aku ambil keputusan ajak kawan aku turun minum petang di kafetaria. Ketawa-ketawa dengan kawan sekejap muga ianya dapat menutralkan emosiku.

Bila dah jam 5.30 petang; bila semua staf dah balik, aku kembali ke ofis. Biasanya bila begini, suasana agak tenang. Aku selesaikan tugasan yang ada di meja. Hantar emel dan dokumen pada bos.

Memang terlalu banyak kerja-kerja yang terbengkalai dalam sehari dua ini. Nampaknya aku kena datang kerja samada Sabtu atau Ahad ini. Jika tidak, TAT ( turn-around-time) aku akan melebihi target setting. Geraf KPI (Key-performance-Index) dalam laporan bulanan aku pada bos mesti tak cantik punya.

Bila keluar dari bangunan Renesas, rupanya hujan sedang mencurah. Aku degilkan hati lalu redah hujan ke kereta. Basah baju sambil memandu. Sabar membontoti jem. 

Sesampai di Jambatan Pulau Pinang, Akhmal menalipon... Ayah, lambat lagi balik ke? Ibu kata, ibu lapar. Akhmal pun lapar. Ayah beli nasi ayam kat kedai Pokok Durian tu, ya!

Hurmm... Esok aku cuti. Perlu bawa ibu_suri pergi buat rutin checkup di Klinik Kubang Semang. Check untuk hipertensi dan diabetisnya. Kalau sempat nak ziarah mertua di belah Penang sana!


'Klip video ini khusus untuk pembaca entri ini saja. 
Ia diambil pada Ogos 2008, tahun dimana ibu_suri 
disahkan menghidap sindrom kemurungan.'

Isnin, 2 September 2013

Bukan Terlalu Lambat


Semasa turun dari lif ofis untuk ke surau sembahyang Asar, aku sempat menegur seorang apek yang kerjanya mencuci mesin pengeluaran.

"Lu umur berapa sekarang?"

"56"

"Waa.. masih muda. Lagi sihat."

"Muda ka?"

"Ya la... Kalau umur 60 baru la tua. Warga emas."

Apek itu senyum. Rambutnya yang putih jatuh ke depan ala-ala David McCallum mengingatkan aku pada siri  The Man From UNCLE.

Aku kemudiannya memandang ke cermin luar. Langit mendung. Aku teringat pada umurku sendiri. Tak lama lagi aku akan menjejakkan kaki ke usia apek itu. Tak boleh lari ke mana. Masa itu akan tiba.

Aku teringat kata-kata bahawa: Semalam adalah sejarah. Hari ini adalah realiti. Esok belum pasti.

Walau apa pun kesilapan lalu yang telah berlaku, aku tidak akan dapat memperbetulkannya semula. Sebaliknya hari ini adalah peluang terbaik untuk aku tidak sia-siakan. Walaupun sudah terlambat tetapi bukanlah terlalu terlambat.

Masa yang banyak telah pun pergi. Masa yang sikit sahaja yang masih aku ada. Walaupun sesekali terasa beratnya langkah, sakitnya kepala atau berbalamnya pandangan mata... aku tidak ada pilihan lain melainkan terus juga berjalan. Apa juga bebanan aku tetap kena pikul.

Aku sebenarnya masih beruntung kerana mempunyai nafas dan kesempatan!

Ahad, 1 September 2013

Ikhtiar


Antara usaha lain aku dalam merawati ibu_suri serta Akhmal adalah dengan memasukkkan unsur-unsur perubatan rohani melalui minuman.

Sebenarnya, aku sudah lama dengar tentang khasiat  Rx Water. Hanya baru hari ini terfikir untuk mengamalkannya sebagai minuman harian ibu_suri. Air ini diberitakan baik untuk merawat diabetes dan hipertensi. Stoknya mudah di dapati samada di kedai makan Semarak tidak jauh dari Tasik Mengkuang atau kedai makan tepi Masjid Kubang Semang. Sebotol 0.5 liter cuma RM2. Alternatif yang lebih baik dari minuman jenama Cactus atau Spritzer itu, kan?

Untuk Akhmal pula aku belikan air syifa' yang banyak dijual di kedai Halalan Thoyibban seperti kat Kompleks Ayam Ory di Kubang Semang. Hat ni mahal sikit sebab ianya berasaskan konsep membeli sambil menderma. Botol kecil saja dah RM2. Aku akan campurkan ia ke dalam botol besar 5 gelen yang ada pada water dispenser di dapur aku. Cara begini lebih mudah daripada menyuruh Akhmal mengamalkan meminum sendirian. Juga akan diminum oleh semua ahli keluarga yang mudah-mudahan kesemua kami juga mendapat manafaat dari bacaan 30 juzuk ayat Al Quran oleh para Huffaz itu.

Ini antara beberapa ikhtiar yang aku  buat dalam usaha memperbaiki mutu kehidupan keluargaku. Walaupun ianya sekadar air biasa namun aku percaya bahawa bacaan atau sistem yang diasaskan dari Al Quran itu insyaAllah yang terbaik disamping doa dan sentuhan saikologi dari aku sendiri.