Halaman

Khamis, 31 Oktober 2013

Ambil Bau Saja

Walaupun aku tak berapa pasti sejauhmana tahap kecergasanku untuk hadiri kursus ISO 197025 di Hotel Vistana, Bukit Jambul, aku gagahi juga memandu. Tidak pernah jejak kaki ke hotel ini, buat aku agak canggung. 

Kelas juga hotel ini. Bilik kursus aku ialah Room 2. Sampai saja, belum mula kursus, trainer - Ms Channal dah ajak kami makan pagi. Ahh... macam mana nak diet kalau begini? Makanan semuanya meransang nafsu. Manis-manis belaka.

Kursus mula 9 pagi. 10.30, tea break. 12.45 makan tengahari. Kepah, ayam goreng, sateh, sotong.... aku ambil bau saja. Petang, 3.30 tea break lagi. Sandwich cheese, cake aku jamah serba satu tak berani tambah.

Kursus ISO ini terlalu banyak terma-terma yang berbelit-belit. Hendaknya dalam Bahasa Inggeris pula. Sesekali seperti kelabu penglihatanku. Menguap ntah berapa kali. Nasib baik juga Ms Channal pandai buat lawak walaupun sesekali nampak macam lawak 'bodoh'. Aku beberapa kali terkena. Ini semua gara-gara bila sesi berkenalan, aku sebut akan hobiku - menulis dan dengar lagu.

"Wahh.. You are creative person..."

Satu perkara yang aku belajar dan boleh digunakan bila ada program perkhemahan atau bengkel ialah Blow blowing game ( lebih kurang gitulah namanya kot!). Ini adalah satu cara untuk memecahkan kumpulan yang ada supaya menjadi kumpulan baru yang lebih adil dan tidak berpuak.

Esok ada satu hari lagi kursus. Kali ini ianya lebih tough sebab khabarnya akan ada banyak nombor berbanding huruf. Calculation lah tu.... Huuuu.....

Rabu, 30 Oktober 2013

Rapuhnya Kehidupan

Esok aku ada kursus 2 hari di Hotel Vistana. Jumaat cuti ganti Deepavalli. Bermakna, dah seminggu aku tak menjenguk ofisku. Ntah jadi apa agaknya.

Aku tak tahu sampai mana kemampuanku untuk terus bekerja. Adakah mampu hingga ke umur 60 atau terpaksa berhenti rehat di pertengahannya.

Aku masih teringat kata-kata doktor yang memeriksa laporan kesihatanku pagi tadi di Klinik Utama, Bukit Mertajam;

"You just 53. Still early to have all these sickness. Just imagine. For next 20 years you have take all these  pills."

Pasrah sajalah. Walaupun dah terlambat tapi belum terlalu lewat untuk menjaga kesihatan dan menikmati kehidupan yang baik.

Aku terbayang wajah mak yang lumpuh sebelah badan. Adikku Niza yang mengalami kanser usus. Kakak ipar yang mengalami kanser payudara. Semua mereka sebenarnya berhadapan dengan dugaan yang lebih berat berbanding aku.

Juga, aku teringat abah. Setelah seminggu keluar dari hospital kerana kegagalan buah pinggang, abah pergi menemui Tuhan buat selamanya.

Begitu rapuhnya kehidupan yang bernama manusia ini!

Selasa, 29 Oktober 2013

Allah Lebih Tahu

"Teruk jadi orang sakit macam I, ya!" ujar ibu_suri tatkala aku membantunya bangun dari tenggongan. Selepas menarik flush, bantu pula dia keluar dari pintu bilik air. Ujar ibu_suri tadi itu tidak berbalas.

Aku tahu sukarnya ibu_suri menggunakan tandas tenggong namun untuk buatkan tandas duduk memerlukan kos agak tinggi. Anak-anakku tetap mahu tandas asal ini dikekalkan.

Sambil mengelap kawasan-kawasan basah di tubuh ibu_suri sekali lagi dia bersuara;

"You baik ya. Tak pernah merungut jaga I yang teruk macam ni..." Sekali lagi aku diam. Aku menarik nafas panjang. Apa yang boleh aku perkatakan lagi. Berhadapan dengan orang yangbermasaalah seperti ibu_suri ini memerlukan skill  membaca emosi, sikap diplomasi dan membujuk. Tak guna marah atau paksa. Takkan menelurkan apa-apa malah menambah kusut.

Alhamdulillah, tekanan darah ibu_suri menurun dari 200/100 kepada 150/90. Pada aku, itu bacaan yang normal bagi dia. Bacaan tekanan darah aku pula turun dari 160/100 kepada 130/90.

"You kalau tak mahu jaga makan tak mengapa. Abang akan jaga pemakanan abang." ujarku yang sebenarnya sedikit mengenen sambil secawan oat bercampur susu Omega itu aku hirup perlahan-lahan.

Menjaga pemakanan ibu_suri ini memang sulit. Sesulit menjaga emosi dan kehendaknya. Mungkin benar agaknya. Allah menjodohkan aku dengan ibu_suri kerana Allah tahu hanya insan yang tinggi sabarnya saja yang betah menjaga beliau!

Kalau Masuk Wad

Memang jadi teramat payah rasanya bila kedua suami isteri sakit serentak. Hendaknya seperti aku ini, dalam pada sakit kepala dan rasa tak stabil pergerakan badan, masih terpaksa uruskan keperluan ibu_suri dan menyejukkan rengekkannya.

Aku tidak boleh beritahu banyak akan apa yang aku rasa. Tak boleh bercerita secara jujur sangat juga. Akibatnya, ibu_suri akan terasa sedih dan emosinya pula terganggu. Ia benar-benar mengharapkan aku sihat dan boleh menjaga dia sebaiknya. Dan dia akan terasa bersalah bila aku sakit, dia tidak dapat pula menjaga aku sebaiknya.

Justeru itu aku perlu tunjukkan 'segar'ku pada dia. Apa saja yang dia mahu aku buatkan, aku akan kata ok dengan nada ceria.

Hari ini saja ntah berapa kali dia terkucil dan bertaburan sepanjang jalan ke bilik air. Aku dah naik tak kisah. Lantaklah... Aku cuci sekadar yang aku terdaya sahaja.

Malam ini dia mengadu sakit kepala dan tidak mahu makan. Bimbang pula aku sebab Dr Azlina pernah berpesan;

"Kalau terasa pening atau nak muntah, terus pergi hospital, ya!"

Esok ibu_suri akan membuat pemeriksaan tekanan darah. Bagaimana agaknya kalau pihak klinik memaksa ibu_suri masuk wad?

Isnin, 28 Oktober 2013

Tak Dengar Nasihat Isteri

Betul juga kata ibu_suri - doktor bagi cuti untuk rehat di rumah. Namun naluri untuk pergi ke Tasik Mengkuang beriadah melonjak-lonjak.

"Abang jalan-jalan santai jer.. Bukan jogging macam selalu tu.." ujarku sambil menyarung kemeja T warna oren logo JIM. Aku tetap mahu ke sana.

Trek yang aku lalui adalah trek panjang. Lengang tak ramai orang kerana hari ini adalah hari bekerja. Kalau ada pun ialah generasi The Baby Boom, macam aku nih. Suria mulai tinggi menikam kulit. Kepala aku mula berdenyut. Serba tak selesa rasanya.

Lengang
Selesai jalan-jalan santai aku ajak ibu_suri singgah makan di Restoran Santapan Utara, Seberang Jaya. Situ banyak lauk jenis ulam. Tengahari ini aku cuma masak nasi saja. Segan nak masak lauk.

Angah menalipon; "Kenapa ayah m/c hari ini?"

"Darah tinggi ayah naik."

"Hmm.... Ayah kena rehat di rumah. Tak boleh kena panas. Nanti sakit kepala."

Ha... Ha.. Memang kepala aku dah mula berdenyut ni.

"Betul kata you tadi. Patutnya abang rehat saja di rumah. Malam tadi pun abang tidur lewat dari jam 12 sebab tulis blog."

"Abang tulis apa...?

"Tak.. tak... baca blog jer... Hal-hal negara!" sambil hatiku terkekeh-kekeh....

Cuti Rehat 2 Hari

Aku terpaksa menelan hakikat bahawa aku juga sebenarnya menghidap hipertensi sepertimana ibu_suri.

Setelah 4 hari aku berasa pening yang walaupun ringan, aku nekad ambil keputusan untuk berjumpa doktor di Klinik Utama, Bukit Mertajam. Bila mengingatkan laporan kesihatan yang aku ambil bulan lalu ( sini ), aku sikit gementar. Namun aku cuba persiapkan minda bahawa apa juga nasihat doktor kali ini aku akan ikuti. Kesihatan aku lebih utama demi ibu_suri dan anak-anak.

"Saya bagi awak cuti rehat 2 hari. Awak makan ubat ini. Selasa nanti datang jumpa saya lagi. Awak kena puasa juga. Jangan lupa bawa laporan kesihatan itu, ya!" Lembut sahaja alunan suara doktor wanita India ini; membuatkan aku sedikit lega mendengarnya.

Nampaknya, aku perlu lebih gigih menjaga pemakanan, tidur serta senaman. Aku ingin nikmati masa-masa hidup yang masih ada ini sebaiknya.

Esok Angah akan ke Perodua. Muga-muga hasrat aku untuk memiliki kereta baru yang lebih mesra orang tua macam aku ini tercapai. 

Sesekali fikir, kenapalah Tuhan bagi aku 3 anak sahaja. Kalau ramai yang macam Angah dan Along kan best!

Ahad, 20 Oktober 2013

Uji Rashid Juga Dapat Nama...

Sambil riadah di Tasik Mengkuang, aku befikir-fikir mahu masak atau beli sahaja untuk lauk tengahari. 

Akhmal dan ibu_suri tentunya masih tidur. Tengah malam tadi tiba-tiba tidak ada letrik. Mereka mengeluh kepanasan sedangkan aku tetap juga zzzZZZZ hingga masuk Subuh.

Masak sendiri untuk keluarga lebih baik, kan? Akhirnya aku singgah untuk beli ikan. Goreng saja la nanti. Itu yang aku tahu pun.

Jemu juga. Asyik asyik ikan yang sama sahaja setiap hari... kembung, sardin... Nak beli ikan pelik-pelik, tak tahu pula nak masak macam mana.  

Aku pilih 4 ekor. Kerat 2 jadilah 8 ketul. Nampak banyak.

"Hmm.... ikan Uji Rashid...eerrrr...." ujar peniaga sambil merujuk kepada senarai harga. Aku tiba-tiba ketawa kecil. Ingatkan mak aku kat kampung aku je yang panggil ikan ini Uji Rashid.

Khamis, 17 Oktober 2013

Terlepas Dari Tidur Di Wad

"Macam mana ni? Tekanan darah awak tinggi sangat." ujar doktor Azlina tatkala membelek kad rawatan berwarna hijau. 

Kemudian menggulung kaf (maaf, tak tahu spelling yang betul) mengelilingi lengan ibu_suri yang menggeleber, Mulutnya kelihatan kumat kamit. Agaknya membaca doa lalu melekapkan bell ke atas nadi. 

"Kena masuk wad ni... 200!!"  Tinggi suara doktor. Geleng kepala, ibu_suri.


































Dr Azlina minta ibu_suri tandatangani kad laporan. Aku tahu, itu tandanya pihak klinik tidak bertanggungjawap jika berlaku sesuatu selepas ini. 

Otak di kepalaku ini ligat memikir apa yang perlu aku perbuat selepas ini. Bimbang... tapi sebaliknya pada  ibu_suri. Tersungging senyum kerana terlepas dari bahana tidur di wad. Sesuatu yang paling dia tidak mahu.

Isnin, 14 Oktober 2013

Pedas Hingga Ke Telinga...

Kalau Raya Puasa lepas, rendang yang aku masak berasaskan aroma daun limau purut; kali ini rendang aku berasaskan aroma daun kunyit. Tambah special, resipi dari Azie Kitchen ini, ada  cili padi.


Sayangnya, terlebih cili padi la pulak. Pedas hingga ke telinga. Nampaknya, kali ni kensellah hasrat nak kasi sikit kat besan. Malu dehh...


Bila ' aku col ayh aku dy tak akat...'

Terjumpa catatan ini dari dalam buku nota JKM Akhmal tatkala mengemas setor, kelmarin. 


































Kekadang fikir, memang susah nak selami perasaan halus anak-anakku ini!

Khamis, 10 Oktober 2013

Raya Oh Raya

Esok kerja lagi sehari
kemudian cuti 4 hari
cadang nak balik kampung awal 2 hari
sebab sejak anak dah besar ini lebih suka beraya di rumah sendiri.

Tapi nak balik kampung masih dalam dilema
Kancil ku seperti sudah sampai masa
untuk di lego ( lets go ) kerana kondisinya yang caca merba
tapi melihat hutangnya yang masih tak terkira
ringgit di poket pula tak cukup nak sara
buat aku tak terkata apa
luah mati mak, telan matilah bapa
cuma tunggu saja takdir Tuhan yang kan tiba.

Berkali-kali ibu_suri mengingatkan
rendang ayam dilupa jangan
nak cuba resepi lain, bukan lagi Dapur Tanpa Sempadan
tapi sesekali datang juga rasa bimbang
mutakhir ini bukan saja sakit tapi mati sebab dek ayam
ntahlah, sampai masanya aku fikirkan.

Kupon daging korban ada diberikan
ibu_suri kata biar Along yang masakkan
ntahlah Along, mau kah lagi dia buat kudapan
atau akhirnya ayah juga yang di dapur seharian.

Raya oh Raya...
Hadirmu di pertengahan purnama
buat aku tidur separuh lena!






Foto awal 80an




Isnin, 7 Oktober 2013

Imbuhan...

Aku perlu bawa ibu_suri jalan-jalan malam ini kerana esok aku ada usrah. Aku malas keluar sebenarnya. Tambahan pula, di luar sejuk akibat hujan seharian buat aku lagi culas.

Singgah di BSN untuk keluarkan RM150, duit imbuhan OKU ibu_suri. Kalau lewat dari 10hb, JKM akan tarik semula duit itu dari akaun. Silap haribulan, lansung tak dapat lagi di bulan seterusnya.

Mungkin tahun depan, ibu_suri akan layak menerima imbuhan tahunan RM100 dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula. 

Setiap tahun pula, selalunya bila hadir ke Mesyuarat Agung Koperasi Pelaut yang mana ibu_suri ada membuat pelaburan di dalamnya; akan dapat pula sekitar RM100.

Duit-duit itulah sebenarnya penghibur hati ibu_suri disetiap bulan dan setiap tahun. Hasrat hatinya, dengan simpanan yang ada ini akan dapat mencapai hajat untuk menunaikan Umrah atau Haji di satu hari nanti. Dia selalu bertanya - bila kita boleh pergi, bang? Aku hanya garu diam!

Dia mungkin tak tahu. Selain soal kewangan, aku juga selalu terfikir - bagaimanalah kalau kiranya benar-benar kami dapat pergi kelak? Keadaannya yang separa normal itu, bagaimana nak aku uruskan? Sedangkan dalam keadaan selesa di rumah lagi kan aku selalu mengeluh, inikan pula di tempat sukar dan merenyut dengan orang?

Foto hiasan:
Satu lagi Cafe unik - lokasi di Seberang Jaya

Ahad, 6 Oktober 2013

Terima Kasih Bloggers!

Pagi tadi. Aku bagai biasa, jogging di Tasik Mengkuang. Trek yang aku ambil jauhnya 4 km pergi balik. Sambil jogging sambil dengar nasyid dari talipon bimbit.

Aku sampai jam 9.30 - matahari dah tinggi. Ibu_suri menunggu di kereta sambil baca akhbar. Bagi aku, dia mahu ikut pun dah cukup bagus. Biar kulitnya yang putih melepak dibakar matahari pagi.

Berdasarkan dari pengalaman riadah yang lepas, bila aku pergi agak lewat, cuaca beransur panas. Urat saraf dan tisu kulit dah cukup regangan. Badan pula dah mula terasa ringan. Mudah untuk aku lebihkan berlari berbanding sebelum ini lebih banyak berjalan.

Makan tengahari pula aku semakin berhati-hati memilih pakej makanan. Banyakkan ulam dan berpada-pada memilih lauk.

Aku lebih suka beli ikan basah dan menggoreng sendiri di rumah. Memasak sendiri lebih afdal. Disamping kita boleh menjaga kandungan nutrisinya, masakan dari air tangan sendiri/isteri lebih barokah. Akan lebih mengeratkan kasih sayang sesama ahli keluarga.

Tapi sayangnya, kemampuan aku setakat goreng ikan jer... Itu pun dah dikira baguih bebenor le tu!

Masa makan petang tadi ntah kenapa tiba-tiba ibu_suri muntah. Tak biasa dia begitu. Aku harap tidak ada apa-apa yang serius berlaku.

Sengaja aku paksa ibu_suri tidur sebaik balik dari Tasik Mengkuang tengahari tadi. Jika terus-terusan biarkan dia berjaga akan beri kesan tidak baik terhadap hipertensinya.

Terima kasih buat sahabat bloggers atas nasihat yang diberikan sejak aku menulis tentang kondisi kesihatanku terkini!

Agaknya, kat sini paling sesuai untuk kita lepak
(Foto hiasan. Lokasi: Seberang Jaya)

Sabtu, 5 Oktober 2013

Di Sebalik Nasi Ayam Dan Milo...


Sambil menunggu Kancil diperiksa, 
makan nasi ayam kosong bersama milo


Semalaman tadi ibu_suri kembali tak dapat lelapkan mata. Pagi ini dia mengadu sakit kepala. Minta ubat. 

Aku berikan dulu sarapan; 2 keping roti whole grain berplanta dengan secawan teh. Terasa belas bila melihat raut muka dan erangnya seperti anak-anak kecil  menahan sakit.

Aku selimuti dia bila dah usai makannya. Aku harap dia akan tidur supaya bila bangunnya nanti sakit kepalanya hilang.

Kekadang memang dia begitu terutama bila datang musim tidak boleh tidurnya yang pernah mencapai 3 hari (36 jam). Aku tahu, hipertensinya tentu menjadi tinggi. 

Aku pernah minta pandangan kawanku seorang jururawat tentang bagaimana yang boleh aku perbuat bila melalui situasi seperti ini. Dia ada menyarankan sesuatu. Tapi buat masa ini aku belum sanggup berbuat seperti itu.

Aku kemas bilik ibu_suri seperti setiap hujung minggu. Bilik ibu_suri aku pastikan selalu dalam keadaan bersih dan dilihat bersih. Luar bilik semak tak apa. Aku pun bukan larat sangat nak kemas semuanya. 

Aku keluar jogging sekejap. Aku bertekad untuk menjaga kesihatanku yang perlahan-lahan terasa susut. 

Aku teringat Kancilku. Mekanik Perodua Seberang Jaya ada beritahu aku bila mengadu tentang timing enjin dan suhu selalu tinggi terutama bila berada dalam Q;

"Enjin kereta awak ni kena buat top overhaul.."

"Tapi kereta ni boleh dikira baru. Belum sampai 10 tahun. Hutang pun tak habis lagi. Takkan cepat sangat kena overhaul sedangkan saya selalu hantar servis kat sini."

"Ayah.." sela Angah pula bila balik rumah aku mengadu. 

"Mungkin kesan dari eksiden dulu. Body bergoyang, dashboard senget.... ayah perasan tak?"

Aku cuma terdiam mengiyakannya. Semakin semak rasa di dada. Kancil itulah yang selalu aku guna untuk bawa ibu_suri berjalan-jalan mententeramkan perasaanya. Takkanlah kancil itu pula bermasaalah...

Jumaat, 4 Oktober 2013

Tidak dapat Markah!

Akhirnya, aku ambil keputusan untuk tidak dapat hadir ke program mukhayyam oleh IKRAM walaupun aku tahu ianya berstatus WAJIB hadir. Ntahlah, bagi yang mengalami mungkin memahami kenapa aku ambil keputusan ini.

Dah berusaha membujuk ibu_suri agar melepaskan aku pergi tapi dia tetap berkata... NO! NO! NO!

"Bukan jauh sangat. kat Penang jer..."

Geleng kepala.

Disamping ianya adalah salah satu dari 7 wasilah tarbiyah yang wajib diikuti;

1. Usrah
2. Daurah
3. Nadwah
4. Rehlah
5. Katibah
6. Mukhayam
7. Muktamar


... menyertai mukhayyam juga akan dapat menemukan aku dengan sahabat-sahabat yang jarang berjumpa. Ya.. memang dah lama aku tak melihat wajah-wajah mereka. Lama sejak aku mula mengendurkan aktivismaku lewat fokus kepada ujian yang Allah turunkan ke atas diriku dengan rencatan kesihatan ibu_suri yang memerlukan perhatian 100% dari aku.

Bukan aku tak pernah pergi pun sebelum ini sebenarnya. Cuma kali ini ibu_suri agak kedekut berbanding sebelum ini membenarkan aku pergi setelah segala urusan penjagaanya aku atur terlebih dahulu. Aku dapat rasakan bahawa ibu_suri memerlukan aku sejak seminggu dua ini. 

Tak mengapalah. Aku perlu terima hakikat semua ini dengan sabar dan lapang dada. Aku harap, di lain program, aku berpeluang untuk hadir. Dan, aku berharap sahabat lain memahami situasiku walaupun mungkin jamaah tidak dapat memberi markah...



 Pulau SongSong, Kedah.. antara lokasi mukhayyam yang penuh cabaran!

Khamis, 3 Oktober 2013

OML...

Ultra Book

Nak menulis tapi Akhmal beriya-iya nak guna pc ini. PC aku jenis desktop

Kalau nak dikira, aku tak berapa selesa guna desktop sebaliknya lebih suka guna laptop. Sayangnya, laptop telah disimpan oleh Angah. Ini atas pengalaman laptop pertama yang aku beli dengan duit 50 tahun kerja telah di curi oleh sesaorang yang aku tahu. Maka Angah tak bagi lagi aku guna laptop ke 2 (ultra Book) yang aku beli kemudiannya. Dia tak percaya laptop itu akan bertahan lama di rumah selagi seseorang itu masih ada di sekeliling dengan sikap yang lama.

Terkilan juga aku kerana laptop sendiri ada tapi tak dapat guna. Dah 2 kali aku minta tapi Angah masih tak mahu pulangkan. Pendam saja terkilan itu di dada walaupun aku akui akan kebenaran pendapat Angah itu.

Oklah... Akhmal dah balik dari beli burger untuk ibu_suri. Walaupun burger itu tak bagus untuk orang macam ibu_suri tapi kemahuan makan ibu_suri ini kekadang tak tertahankan.

Aku stop dulu. Sempat update lagu dalam fail SoundClouds aku dah kira cukuplah. Lagu kenangan selama belajar di KL...

Oh My Laptop....!

Rabu, 2 Oktober 2013

Why Not!


Punya gelisahnya aku bila hingga tengahari, roadtax Kancil ibu_suri masih tak tiba dari Maybank Bagan ke Maybank Bayan Baru. Esok aku perlu berkenderaan sendiri ke tempat kerja sebab JH ada urusan lain. Esok pula ada odit oleh Denso. Aku kena standby.

Akhirnya setelah aku puas menalipon, jam 3.45 petang barulah dikatakan roadtax aku sampai di kaunter Maybank Bayan Baru. Hah... macam mana nak ambil ni? Takkan nak minta tolong JH keluar bawa aku mengambilnya sebab dalam waktu kerja?

Akhirnya aku talipon bos aku, minta izin balik awal. Bila bos kata ok saja, aku bingkas tutup lampu ofis, mengalih penanda open kepada close di pintu dan cepat-cepat keluar. dalam hati berkata;

"Bos aku ni walaupun Cina tapi baik sebenarnya."

Aku ambil keputusan tak mahu menyusah sesiapa. Aku berjalan kaki melawan arus kenderaan menaiki dan kemudiannya menuruni bukit hingga ke Jalan Tengah.

"Ini boleh dikira senaman juga ni," bisik hatiku. Aku teringat bahawa paling baik senaman ialah selama 20 minit sehari. Dan tak salah lagi, dari tempat kerja ke Maybank Bayan Baru, aku mengambil kira-kira 20 minit. Tercungap juga...

"Cepat encik sampai... " tegur staf bank bila saja aku menarik kerusi untuk duduk. Sejuk pendinginhawa seperti berlawan dengan hanagat di badanku. 'Damai' pula rasanya.

Aku teringat kata-kata Angah semalam bila aku beritahu keadaan terkini kesihatanku. Angah sarankan aku supaya berjogging awal pagi sebelum pergi kerja di keliling rumah. Aku pandang remeh idea dia itu.

Tapi hari ini aku tiba-tiba terasa ideanya itu not bad. Mungkin bukanlah jogging awal pagi sebelum pi kerja tapi cadangan untuk membeli Takasima macam blogger WN itu tidaklah perlu jika sebenarnya ada cara lain yang tidak membuatkan aku terkesima seperti senaman sendiri dalam rumah. Selepas solat Maghrib, lari setempat dalam rumah, main skipping (tak pandai) ke, buat senaman silat ke..... Yeah... why not?

Selasa, 1 Oktober 2013

Between This Two?


Aku dah beli oat yang dijual oleh Hospital Adventist di kafetaria, tempat kerja. Kalau tak sedap makan oat semata, mungkin kena bancuh dengan susu rendah lemak.

Di sebelah peket oat kafetaria tadi, aku ternampak biji-biji hitam persis biji sawi.

Aku tanya pada jurujual, sigadis India;

"Between this two, which one better?"

"Black seeds lebih baik dari oat." terangnya. Kawan aku menghinggut bahuku;

"Itulah Habbatus Sauda.. Yop. Makanan sunnah nabi."

He.. he.. aku saja test tu. Ternyata, memang mereka ada ilmu tentang apa yang terjual.

Tapi aku tahu ibu_suri tak akan makan cara begini. Tak sedap, katanya. Ntahlah...

Aku juga sedang berkira untuk membeli Habbatus Sauda ni. Blogger JH dah lama sarankan aku makan yang ini tapi aku yang lengah. 

Selain itu aku akan tambahkan lagi masa senaman mingguanku. Bagaimana nak tambah, aku tak tahu. nak beli set senaman macam WN supaya boleh buat di rumah hari-hari, belum mampu.

Terasa jeles bila baca status beliau pasal statistik kesihatan terkininya di sini.