Halaman

Jumaat, 31 Januari 2014

Dengkur Abang!

Alhamdulillah, semalam - semuanya berlansung seperti yang dirancang. Agaknya berkat doa masa solat Subuh, berkat tenang dan sabar juga berkat doa dari rakan blog, mungkin.

Bayar bil - rupanya tak perlu tunggu kaunter dibuka jam 9 sebaliknya boleh guna mesin pembayar.

Di HPP - tak ramai orang sebagaimana sebelum ini. Parking mudah dan dekat, nombor giliran juga cepat.

pemeriksaan asas sebelum jumpa pakar
Lengang

Servis Viva - Sempat berpatah balik ke Perodua Seberang Jaya. Manis senyuman staf Perodua sambut kehadiran aku dan ibu_suri.  Alhamdulillah, ada bungkusan terakhir nasi lemak untuk pelanggan Perodua. Aku berikan pada ibu_suri yang kelaparan sejak pagi tadi. Aku beralah memakan biskut saja walaupun sebenarnya perut aku pun dah mula terasa pedih.

Ziarah mertua - balik mandi dulu, sembahyang Zohor baru berpatah balik ke Penang untuk ziarah mertua. Aku gagahi juga ke sana bilamana ibu_suri bagitahu bahawa dia dah berjanji dengan mak minggu lepas. Naya kalau tak pergi. Mak pasti tertunggu-tunggu.

Lepas bawa abah pergi ke Tanjung untuk selesaikan urusannya, kami pekena ABC kat astaka belakang Stadium Bandaraya. Dah lama tak makan ABC.

bapa mertua

Balik semula ke rumah abah; tunai solat Asar. Aku tidur sekejap beralas sejadah. Kata ibu_suri - kuatnya dengkur abang! Tapi abah kata: biaq la dia tidoq sekejap. Letih kot!

Bila bangun tatkala terdengar azan Maghrib, Along talipon beritahu - dia dah ada di Tapah, otw balik Penang. Yang paling gembira tentulah ibu_suri. Aku..... biasa saja. 

Yang pastinya, malam aku ada usrah dan esoknya ada Qiamullail di Surau Taman Pelangi, Juru. Adanya Along di rumah mungkin memudahkan aku menghadiri kedua-dua program ini...

Khamis, 30 Januari 2014

Pakai Yang Terbaik, Esok!

Tadi pagi, pi kerja jem sebaik saja masuk jambatan. Ada pelanggaran antara kereta Viva dan Kelisa. Aku kata pada  JH yang memandu -  itu kemalangan 2 beradik ( Perodua ). 

Balik pun jem juga. Mulalah terasa amat jemu saban hari membontoti kenderaan di jambatan. Kalaulah ditakdirkan patahlah tiang jambatan dek beratnya kenderaan yang melaluinya, pastilah ianya satu sejarah hitam bagi Malaysia.

Nasib baik jugalah, ruangan ADILA kali ni lagunya best-best belaka. Paling best lagu Cok-Cok Kendong oleh Kugiran The Nite Walkers. Lagu tu popular sekitar tahun 70an, agak akulah. Aku cuma tahu permainan injit-injit semut tapi main cok-cok kendong aku tak berapa tahu.

Esok akan bercuti 4 hari. Aku harap apa yang aku rancang akan dapat dilaksana sebaiknya. Walaupun fikiran aku ini serabut dengan masaalah satu demi satu bermula dari sedikit selisih faham antara ibu_suri dengan Ayu, keadaan Akhmal yang masih ting..tong.. sana sini serta Angah yang ambil sikap mudah saja terhadap pekerjaannya serta soalan mak yang bertalu-talu pasal Along yang masih tidak ketemu jodoh, aku cuba take it easy.

Esok sebenarnya ibu_suri kena pergi ke HBPP untuk rutin pemeriksaan di Unit Psikiatrik ( bukan ke Klinik Kubang seperti entri sebelum ini. ) Sebelum itu aku perlu ke TNB untuk selesaikan surat kuning yang baru aku terima tadi. Selesai urusan di HBPP aku perlu one two som antara ziarah mertua atau pergi servis Viva untuk ke 5000km. Arghh... esok saja fikir.

Apapun, tadi bila ibu_suri minta bawa dia jumpa cucunya di Bukit Tengah, aku berdaleh. Bagi aku biarlah malam ini kami tak ganggu Angah sekeluarga. Bagi sejuk dulu perasaan mereka. Aku tahu ibu_suri kecewa dengan keputusan aku ini. Bila dia bentak-bentak suruh aku cuci bilik, aku ikut saja. 

Tak perasan, rupanya dalam sibuk-sibuk aku kemas bilik... ibu_suri ketiduran... nyenyak. Ufss... aku harap esok aku dapat bangun sepagi yang boleh dan merealisasikan apa yang direncana dalam kalendar di diariku.

Aku akan mandi bersih-bersih esok, pakai pakaian yang terbaik dan memandu kereta dengan perasaan yang cool dan berazam untuk make this weekend as happiest moment!

Rabu, 29 Januari 2014

Apa Nak Jadi

Ntah kenapa beberapa orang rakan sekerja berminat sangat nak tahu apa agenda aku sepanjang cuti 4 hari mulai khamis ini? Jawapku:

'Pagi Khamis aku akan hantar ibu_suri buat pemerikaan darah di klinik Kubang Semang. Kemudian hantar Viva untuk servis 5000km. Petang aku akan ke rumah mertua untuk bawa beliau ke galeri ArtTag di Tanjung. Nak repair cenderamata kapal layar yang diterimanya semasa aktif dalam MKJR dulu. 

Hari Jumaat pagi, riadah di Tasik Mengkuang. Lepas sembahyang Jumaat nak cuci rumah baru Angah. 

Hari Sabtu, pagi akan riadah lagi. Petang akan bentang tikar dan kemas-kemas rumah Angah. Aku memang betul-betul push Angah untuk segera pindah dari rumah aku sekarang ini. Aku dah nampak bunga-bunga yang tidak elok kembangnya jika lagi lama mereka inap di rumah aku yang bernama mertua. Malamnya aku akan ke Dewan Kondominium Perda - tengok-tengok persiapan kenduri anak besanku.

Hari Ahad aku akan hadir kenduri besanku di Perda. Memang aku amat menjaga hubungan baik sesama besan ini. '

Bila menelusuri agenda aku sepanjang 4 hari ini, tidak ada pula agenda untuk jamaah. Aduhh... terasa aku semakin futur dari agenda dakwah. 

Ya... sejak ibu_suri diserang stroke pada 2008, istiqamah aku terhadap jalan dakwah menjunam. Walaupun aku kepingin sangat untuk bingkas kembali tetapi masih tertatih-tatih, terangkak-rangkak.

Huishhhh.... Apalah nak jadi dengan aku ini!

Isnin, 27 Januari 2014

Rumah Baru Yang Second Hand

Sebenarnya Angah dah pun membeli rumah yang letaknya tak jauh dari rumah aku ini. Rumah second hand yang harga bukanlah macam harga kereta yang second hand sebaliknya mencecah 2 kali ganda harga asal. Ramai orang kata harga itu mahal tapi aku beritahu Angah;

"Kalau orang Cina, dia tak pandang harga rumah tetapi dia pandang pada hartanah. Syukurlah kerana kamu dapat beli rumah pada usia muda. Ada orang yang masih menyewa walaupun dah berderet-deret anak mereka."

Pening juga nak memperbetulkan rumah yang kondisi pendawaian dan pipingnya berselirat. Siling yang berlubang disamping cat dalaman yang berwarna gelap. Dari sini aku boleh agak sipemilik dulu bukanlah tahu 5S. Main tukang sesuka hati.

Bila Angah mengadu itu dan ini, aku cuba mententeramkannya. Aku tahu, dia agak tertekan dengan simpanan wang yang kontang tetapi perlu membuat pembaikian sebelum berpindah.

Ayu pula aku boleh nampak sudah mulai rimas samada duduk di rumah aku selaku mertua mahupun rumah maknya sendiri. Iyalah.... kecik kecik rumah sendiri lebih baik berbanding duduk di rumah yang bukan milik.

Aku beritahu Angah bahawa dia perlu buat pelan perpindahan. Usah fikir yang besar-besar kerana belum mampu. Fikir yang apa termampu buat di masa terdekat dan usahakan perlahan-lahan.

Sebagaimana dia sedang memulakan perjalanan hidup yang tidak tahu apa yang akan berlaku di hadapan, begitu juga aku dulu. 

Sebenarnya dia baru masuk gear satu. Bebeza dengan aku yang dah hampir nak sampai ke garisan penamat. Jauh lagi perjalanannya dan banyak lagi lurah dan bukit yang perlu diterokainya.  

Ahad, 26 Januari 2014

Rendang Tok

Aku menemani besanku ke majlis akad nikah dan kenduri kahwin anaknya (adik Ayu) di Taman Sri Sayang, Pengkalan Barat, Lahat, Ipoh. 

Jodohnya dengan orang Minang. Bila sesama mereka bercakap memang aku tak faham. Dialeknya memang asing. Mereka mempunyai persatuan mereka sendiri. Kenduri ini dibuat secara gotong royong sesama mereka. Begitu kuat ikatan persaudaraan mereka!

Aku berpesan pada besan aku; jika nak pergi makan kenduri di Perak, mesti jangan lewat dari pukul 3. Kalau lebih dari pukul 3, alamat makan kat atas rumah.. bersila dengan pengantin yang dah bertukar memakai sarong pelikat.

Aku amat jarang menjadi ahli rombongan pengantin. Istimewanya menjadi ahli rombongan ialah dapat makan di meja khas. Lauk pauk masakan mereka memang sedap. Sudah tentu kalau di Perak, rendang memang terbaik. ala-ala rendang tok. Disamping itu ada juga dihidangkan tumisan ubi kemili. Sedap... memang sedap. 

Sayangnya, oleh kerana aku memang terpaksa 24 jam berkepit dengan ibu_suri, aku tak teringat pun nak ambil gambar. Cucu aku pula tiba-tiba saja meragam serba tak kena. 

Gambar di bawah ini aku ambil dari FB maplei... ( mempelai )

Bentara Lelaki - semuanya veteran

Bentara perempuan bersama mempelai

Kagum juga bila melihatkan ponu ( mempelai perempuan ) tinggi lampai. Rupa-rupanya, adik dia lagi tinggi. Kalau dah jodohkan...

Khamis, 23 Januari 2014

Pasrah

Tak tahu bagaimana esok. Walau poket kosong aku perlu pergi mengiringi besanku ke Lahat, Perak lewat majlis akad nikah anaknya. Aku pasrah saja pada Tuhan. Aku percaya, akan adalah mana-mana rezeki dari pintu-pintu yang tak aku ketahui untukku dan ibu_suri.

Tadi juga, aku pergi usrah dengan separuh semangat. Ada ahli baru dalam usrahku. Dia adalah seorang staf yang bekerja di pejabat TKM1. Aku kenal dia melalui FB saja. Tapi tak pasti dia kenal aku sejauhmana. Aku tak cakap banyak. Semasa sesi taaruf pun, aku perkenal diri aku secara asas sahaja.

Akhmal banyak tidur sejak aku balik dari kerja tadi. Kasihan pula nak aku tinggalkan dia seorang diri di rumah. Anak yang sedang sakit gigi seperti dia tentunya perlukan perhatian ayah dan ibunya di sisi walaupun sebenarnya dia sudah dewasa dari segi umur.

Esok juga sepatutnya aku kena hadiri Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat oleh surau tempat kerja. Aku selaku pengerusi surau sepatutnya hadir sama tapi sebaliknya aku bercuti. Tentu kawan-kawan sekerja akan membising. Tapi nak buat macammana. Aku harap mereka yang telah aku berikan tugas akan menjalankan majlis tersebut seperti yang disasar. Ada beberapa operator telah ternampak lembaga di kawasan kerja mereka. Dan lebih serius, mingu lepas seorang pekerja telah kerasukan. Punca dari situlah kemudiannya pihak HR beriya-iya minta aku uruskan satu majlis bacaan Yasin diadakan.

Walau apapun, aku tak mahu beratkan pemikiran dengan sesuatu yang tak tercapai oleh kemampuan. Aku fikir dan buat sekadar apa yang boleh dan ada di depan mata. Selebihnya, aku serah pada Tuhan. 

Harap Allah selamatkan perjalananku ini...

Esok Ajelah!

Tak sempat salin baju kerja, tergesa-gesa sembahyang maghrib. Kemudian terus bawa Akhmal ke Klinik Gigi Ameen, Seberang Jaya. Tutup jam 9 malam.

"Ini first time dia sakit gigi" ujarku pada doktor sementara Akhmalberbaring di kerusi yang penuh dengan lampu dan cermin.

"Gigi dia tak rosak apa-apa. Saya agak gigi bongsunya nak tumbuh. Itu yang sebabkan dia rasa sakit."

Doktor Ameen hanya bertugas hingga jam 6 petang. Malam adalah doktor Cina. Masih muda. ramah dan baik gayanya. Fasih berbahasa Melayu.

Penerangan doktor itu nampaknya sikit sebanyak seperti melegakan sakit Akhmal. Baru tampak cerah wajahnya. Seharian dia cuma berbaring. Serba tak kena, katanya.

Sampai di rumah, baru 2~3 minit duduk di kerusi, ibu_suri bising pula ajak ke Uptown, Bandar Perda. nak beli pin untuk tudung. 

"Esok ajelah pergi."

"Tak mahu. Malam ni jugak. Esok dah nak pi Ipoh."

Aku tarik nafas panjang. Bangun ambil kunci kereta dan boommm... memegang stereng.

Bukan senang juga aku nak pilih pin untuk tudung yang serasi dengan citarasa ibu_suri. Suruh dia cari sendiri tak mahu. Berhimpit-himpit aku dengan pelanggan lain yang semuanya perempuan. Muda-muda pula tu. 

"Ala... awat you tak beli yang besaq sikit?'

Aku mula la hangin. 'Suruh cari sendiri tak mahu. Bila kita cari, ada je yang tak berkenan.'

Sampai balik rumah jam 12. Berlalu ke bilik mandi, aku jeling ke singki dapur.... pinggan dan cawan penuh tak berbasuh.

Arrghhhh..... esok ajelah!

Ahad, 19 Januari 2014

Heran

Benarlah jika timbul istilah membusuk dari kepala ke usus.

Itulah yang aku alami, lihat dan rasai sendiri bilamana terkejut dari tidur jam 5 pagi oleh bunyi talipon. Akhmal ditahan oleh petugas keselamatan taman kerana disyaki bersekongkol dengan pencuri motor lantaran terjumpanya pemutar sekeru jenis T di raga motor.

Setelah di bawa ke Balai untuk dibuat laporan, kemudian dibawa ke IPD untuk ujian air kencing yang kemudiannya...

"Ayah, ..... heran?"

Ya... aku juga rasa begitu.

Ntahlah.... Rasanya sebagai ahli masyarakat yang rindukan persekitaran yang harmoni dan negara yang berkualiti taraf sosial dan gaya hidup, terlalu banyak yang perlu diperbetulkan. 

Setakat slogan yang bombastik; akan tidak ada rasa malu oleh murbawan mengekek. Jika beginilah selamanya, takkan kemana-mana, kita....

Sabtu, 18 Januari 2014

Antara Pelamin Dan Mural

Tadi pagi aku sebenarnya cukup malas nak ke Tasik Mengkuang. Tapi paksakan diri juga demi azam untuk konsisten beriadah. Kesihatan perlu dijaga. Adanya ibu_suri ikut bersama buatkan riadahku hari ini tidaklah sesantai selalu.

Tengahari bergegas pula untuk menghadiri majlis walimah anak TKM1 - Mohd Rashid Hasnon di Tapak Pesta. Jenuh juga memujuk dan menyabarkan ibu_suri yang agak sukar berjalan masuk ke dewan sebab agak jauh dari parkir. 

Bukan kepalang cerianya ibu_suri dapat ketemu rakan-rakan lamanya. Lebih-lebih lagi melihatkan anak-anak TKM1 yang dulunya 'hingusan' namun kini sudah dewasa belaka.

"Seronok dapat jumpa Kak Zah ( isteri TKM1 ). I panggil dia Kak Zah je. Terlupa yang sepatutnya kena panggil dia Datin.... Errr... sapa nama penuh dia? Lupa pulak!"

"Nor Azizah Haron!"

"Haa... Apalah I ni. Itu pun dah lupa..." sambil menepuk-nepuk dahi.

Aku cuma tengok dari jauh saja TKM1 yang sibuk melayan VIP walaupun teringin sangat bersalam dengannya mengucap tahniah. Jauh sekali nak bergambar dengan dia..

Memang selalunya bila pergi kenduri, aku ambil satu pinggan je...
ibu_suri makan dulu dan selebihnya aku habiskan. Begitu lebih mudah!

pelamin kosong kerana mempelai keluar tunaikan solat Zohor

TKM1 bersama ibunya.
Mafla Palestin adalah tema mereka,

mempelai bersama TYT dan isteri.
Selesai itu aku ke rumah mertua di Taman Buah Pala - rutin mingguan menziarahi mereka. Mertua aku beria-ria mengajak aku ke Tanjung ( istilah untuk Bandaraya George Town). Ke kedai cenderahati nak baik pulih hadiah kapal layar yang sedikit rosak.

Menyusuri lorong-lorong di Tanjung aku sempat melihat ramainya pelancong yang datang ntah dari negara mana. Banyak bangunan baru didirikan dan yang punyai nilai sejarah lama dibaikpulih. Inilah kali pertama aku melihat mural yang cukup popular diperkatakan di FB maupun laman sesawang.

Bapa mertua belanja makan di astaka belakang Stadium Bandaraya

Mural yang lokasinya menyedihkan tapi mampu menarik minat pelancung 

Aku rasa puas kerana dapat merai mertuaku. Itupun cukup bulan ini dia minta aku temani dia bergunting rambut di kedai kebiasaanya di Jalan Datuk Keramat; sedangkan kat rumah dia pun bukan tak ada kedai guntung rambut. 

Itulah hati seorang tua yang kita perlu dan kena faham malah menghormatinya. Bukan mustahil kitapun satu hari nanti akan seperti itu juga!

Khamis, 16 Januari 2014

Ikut Saja...

Minggu ini aku cuma masuk kerja 2 hari. Hari lainnya aku ambil cuti atau diberi cuti. Walaupun kerja banyak tertunggak tapi aku ambil sikap relaks saja. Tak mahu fikir yang susah-susah.

Akhmal, katanya tadi, kena pergi ADK - rutin bulanannya untuk selama 2 tahun. Aku tak pasti sejauhmana perkembangannya semasa melapor diri di sana. Tak mahu cemas-cemas memikirkannya. Kalau ada permasaalahan aku percaya dia akan memberitahu aku. Selagimana tiada maklumbalas dari dia aku kira oklah semuanya tu... Dia bukan budak kecil lagi.

Hari ini aku ikut saja mahunya ibu_suri. Makan apa, kemana nak jenjalan... aku ikut saja.

Malam ini tak ada usrah. Naqib masih di KL. So, malam ini aku free.

Esok, Angah minta aku tanam tali pusat anaknya yang baru gugur semalam. Bersekali dengan rambut anaknya yang dicukur bebaru ini selepas diambil berat timbangannya. 

Rabu, 15 Januari 2014

Langgar Pantang

Aku ambil emergency leave hari ini. Bawa ibu_suri buat pemeriksaan fundus di Klinik Kesihatan Seberang Jaya. 

Mulanya aku pun tak tahu apa ke bendanya fundus tu. Rupanya pemeriksaan mata. Agaknya penghidap diabetis memang kena periksa mata secara berkala.

Semasa aku tunggu mata ibu_suri diperiksa, aku terbaca satu kenyataan di dinding bilik. Rupanya, diabetis adalah salah satu punca sesaorang boleh diserang stroke.

Aku masih ingat semasa ibu_suri berulang alik ke klinik bila kekadang sakit kepala, Dr Hashimah yang dimasa itu merawat ibu_suri ( Dr Hashimah adalah kawan baik ibu_suri juga di dalam NGO ) ada mengingatkan ibu_suri supaya jaga-jaga terhadap kandungan gula dalam badan.

"Tahap gula awak dalam badan agak membimbangkan juga. Buat masa ni masih paras ok. Tapi kena jaga-jaga. Jangan sampai ada gula dalam darah."

Tapi ibu_suri memang jenis lengai*. Bila sakit rajin makan ubat. Bila terasa dah sihat mula culas. Akibatnya.... macam hari inilah!

Melihat kenyataan itu di dinding aku pula ikut bimbang. Bimbang dengan diri sendiri. Ntah tahap manalah gula yang ada dalam badanku ini. Semenjak 2 menjak ni, aku dah mula dah tak tahan daulat. Banyak kalinya melanggar pantang pemakanan...


*lengai - alpa

Selasa, 14 Januari 2014

Street Dakwah

Tercatuk di kaki lima Summit, Bukit Mertajam tatkala jam dah hampir 9 pagi. Sesekali ada rasa gementar sebab tak pernah join program Street Dakwah ini. Pernah aku dengar mereka membuat kursus asas tapi tak berminat nak hadir. Cuma ntah kenapa bila semalam blogger JH bertanya;

"Esok hang nak join silat Gayong berarak di Padang Kota?"

"Jauh sangat kot. Susah nak tinggalkan ibu_suri di rumah sendirian."

"Hang masih ada simpan selepang dulu?"

"Ada. Selepang dan tali pinggang. Cuma baju hitam je dah lusuh."

"Tak pun, join lah IKRAM buat Street Dakwah di Summit."

Hmmm... betul juga. Koodinatornya ialah Roesli. Aku memang senang bekerja dengan Roes. Dia seorang yang hebat bagiku di dalam kerja-kerja dakwah.

Ramai yang hadir. 50 orang lebih. Rata-ratanya tenaga muda. Seronok melihatkan komitmen mereka.

Di bahagi kepada 5 kumpulan, aku dan 3 orang lagi berjalan di kawasan sekitar bangunan MARA. Kembara dakwah di jalanan ini mengajar aku beberapa teknik untuk approach apa yang disebut mad'u. 

1. Kena cari individu yang bukan kalut nak membeli atau berurusan. Cari yang sedang duduk menanti pelanggan atau seseorang.

2. Memahami mereka. Jika bangsa Cina, ucapkan selamat pagi atau Gong Xi Fa Cai.

3. Berbual dulu tentang apa yang relevan dengan beliau seperti barang yang dijual.

4. Perlahan-lahan masukkan isu apa yang nak kita bawa yakni memahamkan apa itu Islam dan Rasul yang diraikan hari lahirnya ini.

5. Jangan terpengaruh dengan isu sensitif terkini. Tinggalkan kalau agak kontrovesi.

taklimat program

mad'u Tionghua

mad'u India

Ianya satu pengalaman yang berguna. Namun sebenarnya, jujur aku katakan aku kurang selesa bekerja secara hemoih orang untuk 'jaja' sesuatu. Sama juga aku tidak suka join MLM bilamana ibu_suri dulu aktif dengan CNI. Aku tak pandai bercakap. Lebih suka terlibat dengan program perkhemahan atau mengurus program pentas.

Justeru itu aku salute dengan mereka seperti Roesli dan juga seorang lagi sahabatku yang lebih aku mesra dipanggil Bro Kamaruddin. Bakat mereka begitu versatile

Isnin, 13 Januari 2014

SPA-Qs

"Ayah, nanti nak minta tanamkan rambut Qaisara.." pinta Angah. 

Sulit juga nak mencari tempat sesuai untuk menanam uri atau rambut cucu aku ini di sini. Maklumlah, keliling rumah aku mana ada tanah gambut yang boleh dikorek. Semuanya samada tar atau simen.

Masih ingat penyanyi Haslina Kamsan? Kini dia dah buka apa yang diistilah sebagai SPA-Qs atas nama Lina Kamsan, tak jauh dari jalan masuk ke taman aku ini. Kat sinilah Angah menghantar Qaisara bercukur rambut. Boleh tahan juga harganya... RM40. Ayu juga melanggan set bersalin di sini. 

pautan
Letih juga melayan kerenah ibu_suri yang saban hari mau ke Bukit Tengah - melihat cucunnya. Bukan apa, walaupun itu bukan rumah orang lain tetapi besannya, tak eloklah selalu sangat mengganggu privacy mereka. Inilah yang kekadang susah juga untuk aku memahamkan ibu_suri ini.

Esok cuti 12 Rabiul Awal. Aku teringin benar untuk bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuanganku di Summit, Bukit Mertajam dalam program Street Dakwah. Sekarang ini street dakwah sudah menjadi seperti satu trend baru metadologi dakwah. 

Aku ikut sahaja kehendak ibu_suri malam ini untuk melihat cucunya dan kemudian bawanya jalan-jalan hingga ke tengah malam asalkan saja dia benarkan aku ke Summit esok. Ok la bodek yang macam tu...kan!

Ahad, 12 Januari 2014

Zaitun

Aku dah stop amalan makan oat bran sebaliknya mulai amal memakan softgel minyak zaitun. Aku tertarik cara ini untuk menjaga tahap kolestrol jahat (LDL) dalam badan sejak berdiskusi dengan rakan sekerja - seorang DDM (Deputy Department Manager).

Lagipun, bila masuk bungkusan ke 2 yang aku beli, aku mula rasa jemu dan muak. Aku tahu cara ini takkan kekal lama. Aku lebih suka cara kapsul atau pil. Alhamdulillah, aku jumpa ini.

Aku juga belikan untuk ibu_suri kerana ia bagus untuk individu yang obes. 

Amalan memakan Habbatus Sauda juga masih aku teruskan untuk botol yang ada sekarang tapi tak pasti akan diteruskan atau tidak. Aku ni bukan gemar sangat memakan bermacam-macan jenis pil atau kapsul ni. Aku lebih cenderong kepada kaedah menjaga pemakanan secara asal yakni apa yang kita makan sehari-hari.

Apapun, aku semakin merasakan bahawa melangkah ke tahun 2014 ini (walaupun aku pun tak galak sangat menyambutnya bebaru ini) terasa tubuh semakin tidak kuat. 

Hakikat bahawa kematian semakin hampir dan mesti akan ditempuh tidak dapat dinafikan. Hatta, bersedia saja dari segi material dan mental.

Tok Ba dan abah dah bertahun-tahun pergi menghadap Ilahi. Ntah bagaimana agaknya keadaan mereka di sana. Kekadang nakal juga otak ini bila merasakan - kalaulah mereka boleh balik sekejap berjumpa aku dan bercerita perihal pengalaman mereka di sana..... tentunya lepas itu aku tak mahu pergi ke mana-mana lagi selain iktikaf di masjid semata!

Khamis, 9 Januari 2014

Pancit Lagi.... Dan Lagi....

Katanya, motor pancit. Aku dah berkali-kali suruh dia tukar tayar luar sebab dah botak. Bahaya jika menunggang laju lebih-lebih lagi bila hujan. Hari ini, terlanjur pancit, aku belikan tayar baru - RM55 ringgit. Mahal dari tayar biasa sebab kata mekanik, ini rim saiz 18. Biasanya motor cub guna rim 17.

'Nak ke mana pulak ni?' soal ku bila dah siap tukar tayar, dia mandi dan berwangi-wangi. Aku tahu, itu maknanya langkah dia panjang.

'Nak pi Sungai Petani' ujarnya dengan perangai kelam kabutnya macam selalu. Moodnya happy saja.

'Ayah, boleh minta duit sikit?'

'Pagi tadi kan dah bagi RM15?' Itu memang duit poketnya setiap hari aku bagi.

'Habis beli makan dan beli tiub tayar pancit tadi.'

Aku selok kocek dan bagi not RM20. Nak pergi SP tak pasti cukupkah dengan duit kaler oren nan sekeping itu. Brumm.. brumm.. renggg.... dia berlalu pergi meninggalkan kecamuk.

Aku tergesa-gesa menggosok baju untuk kerja esok. Kemudian capai tuala untuk mandi. Perlu segera siap sebab jam dah hampir ke waktu Isyak. Ada usrah sekejap lagi. Aku ingat nak bawa ibu_suri pergi sama. Kesian dia tinggal sendirian di rumah. Sendirian tunggu aku dalam kereta tepi surau Taman Pelangi mungkin lebih baik.

Belum sempat masuk ke kereta selepas selesai uruskan ibu_suri yang tiba-tiba ke 'sungai besar', talipon aku berringtone.

'Ayah, motor pancit lagi. Ada kat RnR Sungai Dua ni!'

Arrggghhh... ada saja budak sorang ni. 

Terpaksa pula aku carikan tiub baru. Dah 9 lebih malam. Kedai sana dah tutup. Kedai sini, tiub jenis 18 tu dah habis stok. Sabar saja....

Akhirnya dapat juga di kedai Cina pekan Penanti. Satu tiub harganya RM10. Bimbang takut pancit lagi, beli 2 set. Perhati jam Hijra kat tangan, dah 10 lebih. 

Aku segera memandu ke arah Seberang Jaya. Perlu isi petrol dulu. Tangki tinggal 2 bar. Lepas tu pergi tandas. Talipon naqib, Cerita yang ringkas sebab kenapa. Aku jangka tak sempat nak hadir usrah malam ni.

'Tak apa kalau anta tak sempat datang. Cuma minggu depan ana nak bagi assignment kat anta. Cari bahan. Tajuk - Syariat Dalam Islam.' Hu...huuu....

Sampai di Stesyen Shell, RnR Sungai Dua. Tetiba panas pula hati bila lihat dia rileks saja berbaring atas motor. RnR ini memang kegemaran anak-anak remaja lepak. Couple sana, couple sini. Aku cukup tak gemar ke sini.

'Hati-hati ke SP tu. Jangan bawa laju-laju. Tayar belakang tu baru lagi. Keras getahnya. Kalau tak hati-hati boleh tergelincir,' pesanku. Dengan dia ni bukan boleh membebel terlalu sangat. Nanti hanginnya naik satu badan.

Bila aku kira-kira... malam ni saja aku dah habiskan hampir RM100 untuk melayan kerenah dia saja. Dan paling malang.... aku terpaksa ponteng usrah.

Akhmal! Akhmal! Kalau bila dah besar nanti kau lupa susah payah ayah selama ini, ntahlah.....

Ahad, 5 Januari 2014

Ke Johor ...Akhir

Sambung semula cerita jaulah ke Johor.

Tiba di exit Skudai jam agaknya 7.30 pagi.  Setelah sarapan pagi di rumah saudara abah yang aku pun tak pasti rumah pangsa di mana, kami menuju ke rumah inap Mutiara Rini.

Aku dan ibu_suri bernasib baik kerana diberi bilik bawah yang dekat dengan dapur. Walaupun tanpa pendinginhawa, tapi just nice kerana mudah untuk ibu_suri ke bilik air dan ke dapur. Sayangnya, ada nyamuk la pulak walaupun taklah ramai...



Rumah inap ini memang selesa. Sewanya cuma RM350 untuk 2 hari. Murah tu. 

Khabarnya, kat Penang sekaki persegi rumah berharga RM600. Rumah mertua aku tu saja pun harga semasa dah mencecah RM700 ribu. Jadi, kalau rumah semacam rumah inap yang ini kalau di Penang mau berharga RM1juta.

Pagi esoknya, anak menakan keluar jalan-jalan tengok bandar Skudai. Khabarnya mereka juga pergi ke pasar Karat. Mulanya aku tak faham kenapa di panggil Pasar Karat. Mungkin sinonim dengan Rope Walk kat Penang atau Memory Lane kat Ipoh, Perak. 

Aku malas nak pergi mana-mana sebab ibu_suri dah mula mengadu sakit lutut sebab terlalu banyak berjalan dan turun naik bas. Aku biarkan dia tidur sahaja di katil. Tak mahu ganggu lenanya, aku cuma berbaring di lantai.

Boring juga duduk saja tanpa boleh buat apa-apa. Baca akhbar pun dah khatam semuanya. Rugi tak bawa laptop.


Esok paginya jam 5 aku dah terjaga dan tak boleh tidur. Selepas selesai solat tahjjud dan zikir aku kelitin sana sini dalam rumah membelek barang perhiasan berupa koleksi botol dan cawan. Akhirnya aku ambil keputusan untuk keluar jogging keliling taman. Jogging pakai selipar saja. Sapa nak ambil kisah. Macam-macam bentuk ubahsuai rumah dan feel manusia aku jumpa.



Tengaharinya, kami ke majlis perkahwinan adik beradik mertuaku itu. Ringkas saja pelamin dan majlis keramaian itu tapi meriah. Lokasinya di ground floor - tempat parkir kenderaan rumah pangsa tempat mereka tinggal itu. 

Yang bestnya, majlis dihiasi dengan band mereka sendiri yang mana penyanyi dan DJ adalah di kalangan adik beradik mereka. Bolehlah aku katakan bahawa orang-orang Johor yang berketurunan Rawa ini mesra dan menghargai antara satu sama lain.

Walimatul urus ini, sesuatu yang istimewa aku jumpa ialah ada lontong. Mungkin biasalah pada orang Johor tapi pada aku inilah masanya aku nak rasa bagaimana agaknya sedap itu jika dibuat oleh orang Johor sendiri. Huu... memang angkat ibu jari beb!




Dan paling istimewa, yang selama ini aku cuma dengar orang bercerita melalui facebook sahaja ialah burger bakar. Sebab ini majlis kenduri kahwin je... kalau tak mahu aku beratur kali ke 2 untuk order burger bakar ke 2.... dan mungkin ke 3.

Biasalah, kalau nak jumpa adik beradik ni kata orang, time kendurilah. Mertua aku bukan main lagi gembira hingga sebek dan tangis bila dapat menatap wajah adik beradik yang mungkin agaknya bertahun-tahun berpisah. Aleh-aleh bertemu tatkala rambut dan putih dan kederat dah mula goyah.

Aku pandang semua itu dengan penuh insaf!

Sabtu, 4 Januari 2014

Di Perodua... Pagi ini

Hantar Viva Angah ke Perodua untuk penyelenggaraan 40 000km. Mertuanya nak pinjam untuk urus akad nikah abang iparnya di Ipoh.

Sambil menunggu, aku ambil peluang beriadah. Berjalan sesekali berlari di bibir jalan walaupun matahari dah naik melebihi galah buatkan badan cepat peluh dan segar. Cumanya, asap dari lori dan kereta agak tidak menyelesakan.

Kakitangan Perodua ni bagai kenal sangat dengan aku. Sejak beli Kancil tahun 2006 lagi, aku dah selalu ulang alik ke sini. Bila aku lambat hantar mereka akan tanya. Bila aku hantar kereta Viva, mereka juga akan tanya.. beli kereta baru?

Kakitangan di sini juga aku boleh tahu mana yang dah tiada, mana yang baru bertugas. Bermacam-macam cenderahati juga aku pernah dapat. Hari ini, aku dapat syampu kereta dan tikar plastik habuan guna untuk perkelahan.

Aku suka dengan perkhidmatan mesra di sini. Kerana kemesraan itulah juga buatkan aku memilih Viva pula menggantikan Kancilku yang dah mula buat hal.

Aku pernah berkata pada blogger JH bahawa memang benarlah sabda nabi:

'Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu: isteri yang solehah, rumah yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.' (HR Ibnu Hibban)

Pinggir Perodua ini ada gerai makan. Walaupun Perodua menyediakan minum dan makan percuma, aku lebih gemar minum di gerai ini. Minum dan baca akhbar.

Sayangnya, aku terlupa beli Harakah semalam. Bila dicari hari ini... dah soldout. Terpaksa berpuashati dengan membaca Harian Metro percuma kat sini saja walaupun sebenarnya tak gemar dengan sajian berita oleh akhbar seperti ini. Intisariya tak ada lain... bunuh, perkosaan, rompakan.

Jumaat, 3 Januari 2014

Seorang Perempuan

Petang semalam, jam 4 lebih, Angah menalipon.

"Ayah... Ayu masuk bilik pembedahan. Tunggu giliran..."

"Bukan ke doktor kata 10hb?"

"Ntah.. dari pagi tadi dok sakit. Angah terus bawak pi hospital. Doktor terus suruh masuk wad."

Balik kerja aku bergegas ajak ibu_suri susuli Angah di hospital. Walaupun berjalan dari parkir ke bilik wad yang berada di tingkat 2 adalah terlalu bermasaalah untuk ibu_suri, aku tetap perlu sabar membimbingnya berjalan.

Hinggalah larut malam, giliran Ayu masih belum tiba. Agaknya doktor mendahulukan kes-kes yang lebih cemas, pujukku pada Angah yang sedari tengahari tidak lansung mengisi perut.

"Macam nilah abang dulu tunggu you kat wad masa melahirkan Along. Berjam-jam kat luar. Ketit dek nyamuk. Dengan tak makan dan kesejukan." ujarku pada ibu_suri bila terkenangkan Along yang dilahirkan 2 bulan lebih awal dari jangkaan doktor.

Sedang resah dan cemus menunggu, tiba-tiba jururawat menolak katil dengan anak kecil di dalam. Entah bila masanya cucu ke 2 ku ini keluar dari 'tingkap' untuk melihat dunia?


Comel tak? Perempuan juga nampaknya rezeki kami kali ini.

Alhamdulillah. Asalkan semuanya selamat....

Rabu, 1 Januari 2014

Muhasabah

Hari ini terasa cukup tenteram lay-park di kedai makan sisi Masjid Kubang Semang selepas selesai riadah di Tasik Mengkuang. Harakah edisi Isnin, baru hari ini sempat aku telaah sambil meneguk secawan Radix dan jamah secucuk cucur bawang kegemaran.


Sebelum itu, usai Dhuha di masjid, aku sempat muhasabah diri sendiri. Mengimbas peristiwa semalam dan menghimbau masa hadapan. Memugar sikap dan semangat aku untuk memperbetulkan mana-mana perbuatan yang telah tersilap dan merancang mana-mana permasaalahan yang perlukan penyelesaian.

Pernah aku dengar orang berkata - waktu paling baik bermuhasabah ini ialah di ketika masih di sejadah. Di masa itu hati kita lembut. Nurani kita akan bercakap benar tentang kelemahan diri sendiri.

Antara waktu yang paling baik untuk berdoa pula ialah ketika dalam sujud terakhir. Untuk itu, yang paling utama doaku ialah kesihatan yang baik untuk diriku agar dapat terus menjaga kebajikan ibu_suri sebaiknya. Dan memohon Allah mengurniakan taufik dan hidayah dan jalan yang lapang buat ibu_suri dan anak-anakku.