Halaman

Jumaat, 28 Februari 2014

Masa

Tak ada idea nak tulis apa, malam ni. Ngantuk!

Esok nak balik kampung ziarah mak. Nak tanya mak, sedikit sebanyak tentang sejarah lalu kampung untuk dijadikan bahan dalam blog ke2ku -  Sri Mersing.

"Lain kali, kalau kita balik, hari pertama kita ziarah mak. hari kedua kita ziarah saudara kita yang lain-lain, ya!" ujarku pada ibu_suri.

Terasa masa begitu cepat datang membawa aku usia tua. Usia yang dulu aku cuma lihat pada emak dan abah.

Aku sebenarnya terasa amat longlai, letih memikir dan menjaga ibu_suri serta Akhmal!

Rabu, 26 Februari 2014

Perang

Kekadang terfikir, berat rasanya nak terus menulis di blog ini. Bimbang dengan isi tulisannya yang terlalu terus terang dalam bercerita tentang hal-hal peribadi. Ntah bagaimanalah nanti kalau anak-anak atau saudaraku membaca tulisan ini. Tentu mereka akan marah-marah atau sindir aku kerana menjaja masaalah hidup sendiri ke tatapan orang lain.

Lebih parah kalau ibu_suri yang membaca. I perang besar, you see!

Ada kalanya terfikir pula, buat blog lain lah. Yang konsepnya lain dari konsep sekarang. Yang lebih bersifat dakwah dan membina. Ha.. Ha.. nak membina macammana kalau aku sendiri banyak kadangnya, longlai bila dihempas badai.

Hurmm... Apa-apa pun, khabarnya Ahad ini ada program gotong royong perdana anjuran masjid di tamanku ini. Aku berazam untuk bersama mereka walaupun aku tahu, aku ini dah tak sekuat mana untuk menebas, mencangkul atau menyodok longkang. 

Kata wakil masjid semasa membuat pengumuman lepas Isya' tadi, taman aku ini adalah antara kawasan yang jumlah kes dengginya membimbangkan. Kira, gotong royong ini nanti macam isytihar perang dengan Aedes la nih!

"Kan kita nak balik kampung minggu ni?" soal ibu_suri bila aku menyatakan hajat aku untuk sertai.

"Kita balik hari Sabtu. Balik hari jer..."

Selasa, 25 Februari 2014

Menanti Selesai

Sudah 2 hari anak saudaraku lepak di rumah. Yang menjadi isu bukanlah lepak tapi dia itu perempuan. Nasib baiklah keperempuanannya itu boleh dikata dalam kategori tomboy. Namun aku masih tetap bimbang.

Justeru itu, bila malam tadi dia mahu tidur di rumah aku, aku pastikan dia tidur di bilik Angah.

"Bila tidur nanti, kunci bilik, ya.." pesanku beberapa kali.

Aku tahu bilik itu kurang baik ventilationnya. Ditambah pula dengan cuaca panas melampau sejak beberapa bulan ini. Tapi itu adalah yang terbaik.

Balik tadi, aku belikan laksa yang dijual oleh rakanku di belakang rumah. Laksa Pokok Pelam, adik kepada Laksa Pokok Janggus, Balik Pulau. Memang umph.. laksanya.

Aku cuma makan biskut cream crackers kegemaranku, cap ping pong. Sambil makan, aku cuba mengorek cerita tentang Akhmal dari sudut pandangan anak saudaraku itu. Hmm... Aku tahu, dia masih banyak berahsia.

Akhmal tiba-tiba masuk dari luar terus merebah kepala ke atas ribaku. Sudah lama dia tidak berbuat begitu. Aku mengusap kepalanya yang bersarongkan cepiau berwarna hijau..

"Ajaklah  ***  makan. Laksa ada kat atas dapur."

Aku teringat perbualan aku dengan anak saudaraku sebelum ini tadi;

"Ayah akan bersara lagi 6 tahun. Tapi rasanya, ayah tak larat nak kerja hinggga 2020. Ayah hanya menanti tanggungjawap ayah kepada Along dan Akhmal selesai sahaja. Terutama Akhmal, jika dia dah elok bekerja dan berkahwin, rasanya masa untuk ayah rehat sahaja."

Isnin, 24 Februari 2014

Tuan Guru Hj Salleh Musa


Sebelum ini pun, telah beberapa kali aku nyatakan pada ibu_suri bahawa aku kepingin untuk pergi ke kuliah Maghrib malam ini di masjid.

Balik kerja tadi aku, bergegas siapkan makan dan ubat untuk ibu_suri. Kemudian capai tuala untuk mandi dan bersiap. Aku tak mahu sampai lewat. Mahu duduk di dalam, saf paling terdekat.

Aku ada beritahu sahabat baikku JH akan kehadiran Tuan Guru dengan harapan JH juga akan hadir sama nanti. Tapi ntahlah, sebab JH ni sibuk selalu dengan aktiviti silat dan dakwah.

Kalau melihat dari gambar, aku bayangkan Tuan Guru ini besar ragam dan tegas orangnya. Namun bila hampir azan, beliau lalu tak jauh dari simpuhan aku, rupanya kecil saja. Tak jauh beza saiznya seperti TGNA. Tapi, yang dikatakan orang berilmu ini, melihat air mukanya saja terasa senang dan tenang hati ini.

Rupanya Tuan Guru akan mengajar di masjid ini pada setiap hari Isnin, minggu ke 4 setiap bulan. Wah, aku tak mahu lepaskan peluang keemasan ini.

"Kalau nak mengaji kena ada kitab," ujarnya. Satu set dijual dengan harga RM20. Ada kitab Bakuratul Amani, Tafsir Nurul Ihsan 1, buku tulis dan sebatang pen mata bola. Kira berbaloilah membelinya. Tapi mak tuan.... dah lah dalam tulisan jawi, gaya bahasa pulak zaman tok nenek kita dulu.

Terdetik dalam hatiku akan rasa terima kasih pada mak dan abah kerana menghantar aku mengaji masa kecil dulu. Dan terasa berapa beruntungnya aku di zaman sekolah rendah dahulu, pelajaran jawi amat ditekankan hingga aku mampu membaca novel dalam bahasa jawi di khutub khanah sekolah seperti Tenggelamnya Kapal Vanderwick, Di Bawah Lindungan Kaabah malah membaca novel Mengelilingi Dunia dalam 80 hari dan beberapa novel lagi yang aku dah lupa. Kasihan pula pada anak-anakku sekarang. Aku pasti, kalau mereka di tempat aku, alamatnya, depa simpan ajelah kitab tu dalam beg.

Hebatnya kupasan oleh Tuan Guru ini yang begitu mudah difahami dan ikuti. Beliau memulakan kuliah dengan menghuraikan Bismillah itu sahaja hampir 20 minit. Malam ini kami baru habis mengaji 6 baris ayat ( dua kitab ). Inilah baru pertama kali aku benar-benar mengalami sendiri apa yang dikatakan mengaji dengan Tuan Guru. Agaknya, beginilah ulama-ulama dulu mengaji dengan tok-tok guru sebelum mereka menjadi ulama seperti yang di depanku ini.

"Memang best mengaji tadi," terangku pada ibu_suri yang sebenarnya pada awal tadi tidak membenarkan aku pergi kerana mahu aku membawanya berjalan-jalan seperti selalu.

"Abang sempat berjabat dan mencium tangannya," tambahku.

"Kalau you dapat pergi mengaji sama dengan abang, tentu lagi best!"

Ahad, 23 Februari 2014

BRIM

Pagi ni, riadah Ahad di lokasi yang sama. Takdir Tuhan, berjumpa dengan Shaukiah Hanim, sahabat seperjuangan ibu_suri semasa sesama menjadi ko-kaunselor di bawah naungan Jamaah Islah Malasyia, Pulau Pinang.

Kini, Shaukiah Hanim giat mengajar di surau dan masjid sekitar Pulau Pinang. Suami beliau adalah rakan seusrahku di Surau Taman Pelangi.

Apa-apa pun, kita terokai lokasi riadah yang aku kunjungi setiap hujung minggu ini.

Pintu masuk

Trek yang bersih

Antara peralatan gym yang selamat dan  mesra-pengguna

Kiri untuk jogging, kanan untuk riding

Parkir yang luas

Koperat yang berkongsi pembinaan

Teman setia, menemani tanpa rungutan

Baru tahu, cat bike namanya...

Dan lagi, hari ini adalah hari ke 2, pendekatan reverse psychology aku terhadap Akhmal. Bukan mudah  nak ubah mindset, perasaan dan sikap aku ini, rupanya.

Antara yang aku lakukan ialah;

1. Bercakap dengan kawannya yang hendak keluar dari bilik secara baik.
"Kalau nak masuk rumah pak cik, lain kali masuk dari pintu depan, ya! Tak elok masuk dari belakang ni."

2. Aku lebih banyak meminta Akhmal membantu aku walaupun sebenarnya aku boleh buat semuanya dengan sempurna. 
- "Akhmal, tolong goreng ayam ni ya. Ayah nak sapu depan rumah."
- "Akhmal tolong tukar botol air dari dispenser tu ya. Ayah tak larat lah. Berat!"

3. "Malam Rabu ni, Akhmal ada apa-apa tak?"
 "Kenapa?"
 "Nak ajak Akhmal makan... Ikan bakar ke?"
 Diam...

Semasa solat Zohor tadi, aku berdoa lagi. Muga Allah lembutkan hati Akhmal dan berikan dia hidayah.

"Kata nak beli baju. Dah beli?"

"Belum lagi."

"Pi beli cepat. Duit tu bukan boleh bertahan lama. Takat sehari dua je!"

Itupun, jangan-jangan dah habis, ape.. Raya sakan dengan kengkawannya. Tapi, sejuk juga hati aku bila tetiba dia hulurkan 100 malam Sabtu lalu.

"Duit apa ni?"

"Untuk ayah la.."

"Mana kamu dapat?" Bertanya dengan penuh persoalan dan bimbang.

"BRIM. Akhmal check kat bank tadi. Rupanya dapat."

Owhhh... Patutlah ramai orang beratur kat ATM Agro Bank tadi, getus hatiku.

"Ehhh... ibu punya, tak de ke?"

"Ini you punyalah..," sambil menghulur not sekeping itu. Senyum simpul ibu_suri sebenarnya membuatkan malam itu seperti siang cerahnya...

Akhmal terkebil-kebil. Aku harap dia faham.

Sabtu, 22 Februari 2014

Reverse Psychology

Semasa sujud terakhir Ba'diyah Zohor tadi di masjid, aku berdoa panjang memohon agar Allah berikan aku kekuatan dan ketenangan dalam usaha aku memperbetulkan fasa hidup Akhmal. Mohon agar Allah berikan aku petunjuk dalam idea pendekatan terbaru yang aku terfikir semasa balik dari riadah tadi.

Aku ambil keputusan untuk riadah jalan kaki saja. Lutut kiri aku yang terasa sengal sejak beberapa hari ini seperti memberi signal bahawa aku perlu mengawal berat badan dan cara riadah.

Terasa amat puas beriadah kali ini. Seperti selalu, aku tinggalkan ibu_suri di kereta dengan akhbar tabloid edisi Jumaat. Parkir di sini teduh kerana rendang pokok yang masih kelihatan kehijauan.

"Kunci pintu kereta ni. Jangan bukak kecuali pada orang yang you kenal saja," pesanku. Maklumlah, walaupun tv selalu menguar-uar bahawa Malaysia ini negara yang aman akan tetapi di masa yang sama, macam-macam jenayah pelik berlaku tidak kira siang atau malam; depan mata atau belakang mata.

Aku berjalan kaki 5 pusingan, ikut jam dan lawan jam. Juga satu sesi riadah menggunakan peralatan gym yang ada di situ. Fikirku, kemudahan sebegini perlu diperbanyakkan jika kerajaan berhasrat menggalakkan rakyatnya beriadah.

Jujur aku katakan. Kalau dulu aku selalu mengelak daripada membawa ibu_suri bersamaku tapi ntah kenapa sekarang ini sebaliknya. Lepas riadah kami singgah makan di restoran Santapan Utara atau Anggerik Desa di Bandar Sunway.

Dan, semasa memandu balik ke rumah inilah serebrum aku asyik teringat akan Akhmal yang suka sangat membawa kawan-kawannya masuk ke bilik akhir-akhir ini. Ianya cukup merimaskan aku. Sekonyong-konyong, aku disapa oleh satu idea; kenapa aku tidak cuba pendekatan yang di luar kotak. Guna cara reverse psychology berbanding sebelum ini yang lebih kepada rasa marah, tidak peduli dan banyak diam ( ekspresi spontan aku tanda tak suka )?

Aku singgah beli ayam di pasar basah Penanti. Masak dengan tangan sendiri untuk makanan keluarga lebih baik, fikirku. Walaupun sekadar goreng ayam dan tanak nasi sementara gulai dan sayur aku beli, ianya lebih baik daripada tidak lansung. ( Arghh... ntah kenapa aku tetiba terasa amat rindu akan masakan dari air tangan ibu_suri yang sudah terlalu lama tidak aku rasai... ).

"Akhmal, tolong goreng ayam ni ya. Nanti bila dah siap, ajaklah kawan hang tu makan sama. Makan kat depan tv ni, jangan kat dalam bilik. Nanti bersemut.."

Usai mandi, aku menyarung baju Melayu warna merah bata (maroon), satu-satunya sut yang paling aku suka pakai kerana ia adalah baju Melayu terakhir yang dijahit oleh ibu_suri sebelum dia diserang ahmar.

Khamis, 20 Februari 2014

Ngantuk

Cutinya aku hari ini, seperti selalu, bawa ibu_suri ke Klinik Kubang Semang untuk rutin rawatan kesihatan.

""Aii... cergas saja ibu hari ini. Dah kurus ke?" tegur doktor Azlina sebaik saja ibu_suri menguak daun pintu dan duduk di sisi. Ke wajah aku, ibu_suri melemparkan pandangan sambil senyum teruja.

"Hmmm... Berat 124.9, tekanan 160/70... Ada rasa nak pitam ke?" soal doktor lagi yang jelas kurang puas hati dengan catatan di kad berwarna hijau.

Bagi aku bacaan itu dah kira banyak bagusnya berbanding sebelum ini. Aku pun tak pasti bagaimana dalam 2 temujanji ini, tahap BP ibu_suri boleh dikatakan baik berbanding temujanji sebelum ini yang mencecah 200. Ini pun aku kira akan lebih baik jika tidak kerana ibu_suri tidak cukup malah boleh dikatakan tidak tidur lansung selama 2 hari ini. Doktor mengangguk-ngangguk bila aku terangkan situasi itu.

Cepat saja perjumpaan kali ini. Jam 10 dah boleh ambil ubat. 2 bulan lagi akan datang semula ke sini.

"I nak balik. Ngantuk sesangat ni," ujar ibu_suri sebaik masuk ke kereta. Alhamdulillah, bisik hatiku. Selalunya, bila selesai saja ke klinik, ibu_suri mesti ajak aku bawa dia jalan-jalan. Maklumlah, dia tahu, aku ambil cuti penuh.  Selamatlah poket aku yang dah kegurunan ni!

Sambil memandu balik, aku mula menyenarai pendek, apa yang boleh aku buat sementelah ibu_suri tidur yang bermungkinan  berterusan hingga ke malam. Bersih meja komputer, gosok baju, vakum dalaman kereta, bersih porch, bersih dapur, basuh baju dan paling best, dapat berjamaah di masjid dan ...

Tapi, bila balik rumah dan melihat ramai kawan-kawan Akhmal di depan rumah, jiwa jadi semak semula. Tenang dan sabar sahajalah!

Rabu, 19 Februari 2014

Fitnah

Aku tetiba teransang bila membaca catatan ini di dinding FB aku siang tadi;


Ada juga aku terbaca secara sipi-sipi masa melayari blog politik siang tadi tapi taklah aku ambil kisah sangat sehinggalah malam ini. Mana mai citer ni, bisikku.

Aku yang beberapa hari ini di tempat kerja mahupun di kalangan kawan-kawan seusrah tidak pula mendengar perbualan atau polimik tentang soal ini. Tup! tup! orang dari negeri lain pula yang bercakap dengan andaian Khutbah Jumaat akan diharamkan di Pulau Pinang. Ini membuatkan aku ketawa sinis.

Bagi aku, sejak PR ambil alih pentadbiran negeri, masjid semakin meriah dengan program tazkirah dan ceramah. Kalau dulu, selalu aku dengar surau ini dikunci pintu pagar besarnya dan hanya dibuka bila masuk waktu sahaja, Sembarangan ustaz tidak dibenarkan memberi ceramah. Natijahnya aura masjid kian hambar.

Masih teringat bila kumpulan nasyidku dipanggil untuk membuat persembahan di salah sebuah masjid di Bayan Lepas. Selepas majlis, terdengar kritikan dari sebahagian ajk yang berasa canggung akan adanya program berlagu di dalam masjid. Yang menurut mereka tak pernah dibuat orang sebelum ini.

Bagi aku yang udah 30 tahun bermastautin di sini, berbanding pentadbiran kerajaan sebelum ini; hari ini boleh dilihat banyak program keagamaan di laksanakan daripada program lagha. Contoh terbaik, sambutan Tahun Baru yang menampilkan Sembang Santai UAI di Padang Bandaran Butterworth.

Tak perlu lihat jauh. masjid kat rumah aku ini saja sudah memadai sebagai kayu ukur bagaimana idealisma ajk lama berbanding ajk baru!

Berbalik pada isu Penang Haramkan Khutbah Jumaat. Pada aku, ianya satu fitnah yang berat. Yang memungkin sipemfitnah itu ( jika beragama Islam) lebih jelik sifatnya berbanding individu yang difitnah ini!

Isnin, 17 Februari 2014

Buang Yang Keruh

Dah terlalu biasa berdepan dengan jem setibanya di lampu trafik simpang USM-Sungai Dua, Batu Uban ni. Hari ini, semalam dan sebelum-sebelum ini pun macam nilah.

Hari ini, Isnin.  Masa-masa gini memang, aku dan JH tak akan lupa untuk memilih siaran radio Klasik Nasional kerana ada ruangan yang sama-sama kami minati, ADILA. Kisah yang dipapar hari ini memang menarik. Lagu iringan pula alunan suara P Ramlee dan Saloma  menghiasi tulisan seorang pengirim. 

Kebetulan pula di kanan kami terpampang mural P Ramlee yang sedang tersenyum memakai tarbus. Aku senyum sendirian. Teringat sejarah bagaimana tarbus diperkenalkan oleh Kamal Atartuk bagi menggantikan serban.


Betulah bak kata bait-bait lagu itu. Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih. Dalam kehidupan ini, jangan terlalu beremosi sangat sebaliknya gunakanlah akal yang panjang dan waras. Kalau ada kelemahan atau kesalahan, kecil-kecilkanlah. Lihatlah pada kebaikan atau kekuatan seseorang.

Terutama  dalam  hidup  berumahtangga,  suami  isteri  mesti ada sikap saling faham memahami, menghormati dan saling toleransi. 

Suami yang hebat ialah yang menghargai dan menghormati isteri. Isteri yang hebat pula ialah yang menjaga dan mengurus hal-hal suami.

Itulah yang aku rindukan sejak dari mula bergelar suami. Walaupun tidak tercapai hasrat itu 100% tapi aku kena akui, syukurlah dengan apa yang aku ada dan telah aku lalui.

Bukan Rezeki

Aku tahu, ibu_suri rasa hampa bila aku tak layan mahunya untuk jalan-jalan ke Sungai Petani. Itu antara destinasi kegemarannya bila hujung minggu. Kemudian makan ABC dan nasi tomyam di Tikam Batu.

Aku letih setelah menyapu luruhan daun kering depan rumah dan membuang tahi kucing yang memang suka berak. Kemarau gini semakin perghhh... baunya.

Kemudian membaiki pili cuci kereta yang memang dah lama aku tak ambil kisah kebocorannya. Memasak sambil kemas kabinet dapur yang berselerak.

"I nak makan KFC!" bentak ibu_suri bila saja aku terjaga. Aku, dalam mamun itu bangun dan ambil wuduk untuk sembahyang Isyak terlebih dulu.

"Sepatutnya kita boikot KFC ni. Depa ni penyumbang tegar pada dana Israel," ujarku perlahan sambil memutar stereng menelusuri jalan bawah bulatan Seberang Jaya. Bungkam seketika.

"Kita pi makan capati!" tetiba ibu_suri beri cadangan.

"Hmmm... ok juga. Malam-malam gini makan capati lebih menyihatkan dari makan ayam."

Tapi agaknya bukan rezeki kami untuk makan capati. Gerai mami kat depan astaka Jalan Tuna itu tutup pula. Mahu tak mahu, kena kona ke KFC sebelah Petronas juga. Nasib baik aku bukanlah selebrati macam UAI. Kalau tak mesti kena gossip kaw-kaw punya.

"Jangan bagitau Akhmal kita makan kat sini ya!"

Sabtu, 15 Februari 2014

Dah Jumpa!

Dah 2 minggu aku tak beriadah setelah Mengkuang Dam diisytihar tutup dari kunjungan awam awal bulan ini. Terasa semacam sesuatu keindahan, kenikmatan atau kebiasaan sudah hilang.

JH semalam ada meyarankan aku supaya pergi meninjau satu tempat di antara jalan menuju ke Sungai Dua tak jauh dari rumah aku ini. Dulu khabarnya memang ada pusat rekreasi di situ akan tetapi akibat tak dijaga dengan baik, ianya rosak.

Pagi tadi aku ajak ibu-suri pergi ke arah sana. Namun apa yang aku dapati tempat itu memang tempat rekreasi tapi lebih kepada menikmati keindahan alam hutan berpaya berbanding untuk riadah jogging. Hampa juga rasanya.


Aku ambil keputusan untuk cuba jengah trek jogging di pesisir Masjid Seberang Jaya. Puas juga aku putar-putar stereng  Viva aku ni  untuk cari  jalan masuk  yang  sesuai. Sesuai  dalam  ertikata, boleh parkir kereta dekat dengan trek dan selamat untuk tinggalkan ibu_suri sendirian menunggu.

Wah! Rupanya tempat ini not bad juga. Ada 3 pintu masuk yangmana satu darinya cukup selesa untuk meletakkan kereta. Malah ibu_suri boleh berjalan dan duduk di pondok yang disediakan sementara aku mudah berlari di trek yang bulat umpama trek stadium tetapi dilantaikan dengan simen. Lebih selesa ialah ianya dirimbuni oleh pokok-pokok hijau yang meneduhkan.

Rasanya, ini trek kedua terbaik selepas Mengkuang Dam. Kurangnya trek ini berbanding Mengkuang Dam ialah, di sini pemandangannya tidak lapang berbanding Mengkuang Dam yang memiliki tasik dan bukit.

Apapun, untuk setahun dua ini, trek tepi Masjid Seberang Jaya ini adalah pilihan yang terbaik!

Khamis, 13 Februari 2014

1000 Kali Lebih Berat!

Bagaimanalah agaknya perasaan kalian pabila anak tiba-tiba mengatakan bahawa ayah tak pernah sayang padanya?

Itulah yang ibu_suri beritahu aku semalam tatkala belum pun sempat aku buka pakaian kerja. Walaupun suara ibu-suri biasa-biasa saja nadanya tapi aku tahu hatinya hampa. Aku tahu kerana nadanya yang biasa-biasa itu dikawal oleh bahan perubatan yang dimakannya setiap 2 kali sehari selama 5 tahun itu.

Dan sudah tentu dia menanti pula respon aku yang selalunya mesti bijak menyejukkan emosinya;

"Takpalah... Dia tu kecik lagi. Bukannya tahu sangat apa yang dia cakap. Kita dah buat yang terbaik menjaga dia. Dan insyaAllah, kita akan terus jaga dia. Abang percaya, bila dia besar dan berakal nanti, dia akan tahu dan faham bagaimana sebenarnya kasih sayang kita ini.

Kita memang tak ada wang untuk penuhi setiap materialistik yang dia mahu. Tapi kita ada kepedulian dan ambil berat."

Sebab itulah bila kawan-kawan aku bertanyakan pendapat bagaimana jika mereka mengambil anak angkat; aku akan mengatakan... jangannn.... Bebanannya 1000 kali lebih berat dari menjaga anak sendiri!

Rabu, 12 Februari 2014

Makan Batu?

Sejak terbaca tentang bahaya amalan meminum kopi pra-campur, aku mula menekan brek kepada habit aku yang ini. Hatta minum kopi Radix juga akan aku kurangkan. Aku cuba beralih meminum teh O sepertimana kebiasaan keluarga aku masa masih kecil dulu. Kopi O, aku tak minat.

Hari ini aku lebih banyak lama pada sujud akhir sembahyangku. Fikiran aku dah buntu mengenang hari esok.


Namun, aku tetap yakin pada rahmat Tuhan. Persis kata P Ramlee, ulat dalam batu pun dapat makan. Tapi... takkan aku nak makan batu? Agak-agak lah!

Selasa, 11 Februari 2014

Mendesak

Bertubi-tubi ibu_suri meminta aku mengatakan 'iya' akan hasratnya mahu menjaga Marissa atau Qaisara atau kedua-duanya sekali pada hujung minggu. Dah letih dan tak tertepis dek aku. Itulah salah satu sikap ibu_suri yang aku tidak gemar sejak dari dulu lagi. Malah, sejak dia masih sihat. Suka mendesak.

Akhirnya, aku ini yang jenis malas nak bertekak dan tak suka didesak akhirnya mengalah dengan hati yang sengkak.

Sebenarnya aku kalau boleh tak mahu lagi renyah-renyah* menjaga budak kecil. Cukuplah zaman aku muda menjaga Along, Angah dan Akhmal. Pabila dah tua begini, aku mahu pencen dari serabut mendengar tangis budak atau kelam kabut membancuh susu.

Kononnya ibu_suri merasakan dia mampu menjaga anak kecil. Kononnya dia berhak menjaga cucunya ( yang aku tahu sebenarnya dia cemburu bilamana cucunya itu diberi kepada kakak iparnya oleh Angah untuk mengasuh bila mereka bekerja ). Walhal, dia sendiri perlu dibantu-urus oleh aku sendiri.

Tak tahulah apa akan jadi pada diriku jika benar akhirnya nanti Angah setuju untuk ibu_suri menjaga anak-anaknya. Hilanglah ketenangan aku di cuti hujung minggu. Hancurlah hasratku untuk rileks membuat kerja-kerja kegemaranku sebaliknya akan sibuk dan gelut dengan apa yang aku kira tiada beban batu digalas ini.


*renyah - kerja remeh-temeh

Isnin, 10 Februari 2014

Malu

2 hari hujung minggu ini aku lansung tak beriadah. Bila Tasik Mengkuang ditutup dari kunjungan orang ramai kerana projek naiktaraf takungan air, aku jadi buntu. Nak daki Bukit Mertajam, jauh dan jalan sibuk. Nak riadah di taman rekreasi tepi Masjid Seberang Jaya, kena lalui tol pula. Pergi dan balik RM3.20. Berat tu...

Aku banyak 'berlengkar' di rumah. Habis kuat pun kemas-kemas rumah yang tak ntah bila akan kekal kemas.

Layan kerenah ibu_suri, Akhmal dan Angah/Ayu di rumah juga semacam satu bebanan di dada. Terasa seperti sampai bilalah aku terpaksa pikul semua tanggungjawap ini sendirian.

Poket juga satu lagi masaalah. Bulan ini aku tewas awal. Belanjawan luar jangka cukup banyak  hingga buat aku terperosok ke sudut dinding. 

Kekadang seperti malu nak meminta dari Tuhan agar membantuku kerana bila aku senang, aku begitu mudah melupakan Dia!


Ahad, 9 Februari 2014

Pi Dulu... Ronda... Bye!

Fikiran celaru. Tak tahu apa nak ditulis.

Petang tadi tolong Angah pindah barang ke rumah barunya. Pada aku, lagi cepat dia duduk di rumah sendiri lagi baik. Jauh-jauh bau wangi, kata orang tua-tua.

Sekarang ini Akhmal entah merayap kemana. Dah jadi persis 'musang'. Siang tidur, malam menghilang. Aku cuma pasrah... harap-harap tak adalah panggilan dari balai.

Baca blog politik pun dah naik muak. Balik-balik cerita Azmin bergaduh dengan TS Khalid Ibrahim. Cerita ayam lagilah buat aku cuak. Apa punya insan... konon pembela kalimah!

Fikiran aku memang celaru. Bukan setakat 2-3 perkara itu. Tapi lebih....

Hem, bagaimana kalau start kereta dan pi ronda. Minum kopi kat kedai tepi Masjid Kubang Semang ke? Sambil ushar-ushar anak bertuah yang seorang itu.

Dengkur ibu_suri teratur bunyinya. Mata aku pun antara mengantuk dengan tidak. Siang ni aku pun tak kerja. So.... orait la kalau tidur lewat.

Bukan apa... rileks-rileks cari ketenteraman jiwa. Muga Allah beri aku kekuatan.

Orait.....

Bye!

Ahad, 2 Februari 2014

2014...

Sebenarnya aku mula menulis blog sejak 2008 yakni sebaik saja ibu_suri disahkan menghidap stroke dan seterusnya dirawat di unit Psikiatrik, Hospital Pulau Pinang. Fenomena baru dan asing yang terpaksa aku terokai membuatkan aku mencari satu medan untuk melampiaskan semua tekanan dan sesak di dada. Akhirnya, bloglah tempat aku menyandar lelah.

Masuk 2014 ini secara tak lansung dah masuk 6 tahun usia blog aku ini. Pelbagai pengalaman aku tempuhi hasil dari menulis blog. Bahan tulisan aku pernah menjadi bahan ketawa dan perlian oleh rakan-rakan sekerja. Ada diantara entrinya yang menceritakan hal kerja dan ada juga hal peribadi yang menjadi bola tanggung untuk bahan polemik sambil minum pagi di kantin.

Ada juga aku menerima persis ancaman lantaran tulisan aku yang tidak sealiran dengan sebahagian dari pembaca 'diam'ku. Hingga pernah seminggu aku semacam fobia dari memegang keybord. Bilamana terdengar saja bunyi kereta seperti berhenti di hadapan rumah jantung aku mula berdegup kencang. hati tertanya-tanya - polis kah itu?

Pernah juga aku diminta mendeletekan tulisan aku yang menceritakan tentang sakit seorang kawan. Sakit yang sama seperti ibu_suri hadapi. Aku tidak delete sebaliknya menyorok tulisan itu kerana aku rasa tulisan aku itu ada mesej yang hendak dibawa tetapi tidak menyebut dengan terang nama-nama yang terlibat.

Namun aku tak pernah delete semua komen keras itu. Bagi aku setiap blogger mesti bertanggungjawap atas apa yang ditulis. Mesti berani dihempas ombak jika berumah di tepi pantai. 

Rakan-rakan seangkatan aku sejak 2008 ramai yang dah meng'gantung pena' bila facebook yang lebih pantas dan mesra pengguna menempatkan diri dalam laman sosial. Namun aku yang lebih suka menulis secara berjela masih tetap kekal dengan blog yang bagi aku seumpama sebuah autobiografi diriku sendiri berbanding menulis ciput-ciput jika dalam facebook.

Hari ini aku mengambil keputusan untuk semak senarai semula bloglist yang terdapat di sisi blog. Hanya akan aku masukkan dalam senarai sisi blog kepada blog yang masih aktif dengan aku. Bukan apa. Aku cuma mahu berpijak di bumi nyata. Tak mahulah perasan sorang-sorang. Sangkakan ramai orang suka baca blog aku tapi sebenarnya ia adalah sebaliknya.

Aku tidaklah bercita-cita tinggi untuk mempopularkan blog aku ini kerana 'aku menulis bukan kerana nama'. Cuma untuk kepuasan diri. Jika kebetulan ada yang menyukai penulisanku ini ia merupakan satu bonus. Dan jika ada pula yang mendapat manafaat dari tulisan aku ini ia merupakan double bonus pula.

Buat rakan blogger samada yang diam atau yang rajin memberi komen; terima kasih atas semuanya. Muga 2014 dan seterusnya kita akan terus berblogging disamping blogwalking. Mulai esok aku akan senarai semula rakan-rakan blog aktifku yang amat aku kasihi dan hargai ini....

Aku adalah anak yang sulong

Apa-apa pun, layan sekejap gambar lama aku dan keluarga kampung. Tahunnya... aku tak ingat. Cuma yang pasti ialah zaman gambar hitam putih...

( gambar ini telah dihantar semula ke kedai gambar oleh abahku untuk dibubuh warna. Macam filem Hang Tuah versi hitam putih diwarnakan semula... )

Sabtu, 1 Februari 2014

Nasib baik

Hari ni ntah kenapa aku betul-betul hot dengan perangai ibu_suri. Mungkin agaknya dek keletihan riadah di Tasik Mengkuang kemudian tolong Angah bersih rumah buat aku jadi cepat hilang sabar.

Keadaan rumah pula yang berselerak buat aku makin lemas. Memang tak ada siapa yang akan mengemas rumah ini melain aku. Ada anak pun semua lelaki, tukang semak lagi ada la...

Along yang ada balik semalam pun asyik dengan komputer saja. Dia dah tak macam dulu - rajin memasak. Ingatkan bila aku beli ikan kemudian perap dengan garam kunyit selepas pesiang*, dia akan tolong goreng. Rupanya..... takkk....

Gaduh sungguh ibu_suri nak ambil juga baju yang ditempah pada Syada di Lorong 21. Nak  pakai untuk pergi kenduri. Hari ini kami ada 3 jemputan kenduri kahwin + 1 kenduri Aqiqah. Kesemuanya ibu_suri nak pergi. Jenuh makanlah kami nanti...

Oleh kerana terlalu tension dengan kerenah ibu_suri, aku lepaskan kepada Along... bla.... bla... bla... Nasib baik Along ada balik. Kalau tak.... bercakap sorang-soranglah aku dalam pancoq*... ha! ha! ha!....

pesiang - buang najis ikan dan bersihkan
pancoq - bilik air