Halaman

Jumaat, 28 Mac 2014

Sahabat

Semalam, JH mula bekerja setelah m/c sejak Isnin. Ketara benar pergerakannya yang perlahan. Belas berkerumun di hati. Sekalipun aku memang dikurniai Allah dengan sahabat baik disetiap fasa kehidupanku, akan tetapi sahabatku yang satu ini adalah yang terbaik dari yang baik itu.

Benar. Bila aku fikir-fikirkan kembali, setiap fasa kehidupanku, aku dikurniakanNya dengan seorang sahabat baik.

Semasa sekolah rendah, sahabat baikku bernama Yusuf Itam. Seorang anak yang (agaknya) sudah ketiadaan ibu bapa. Dijaga oleh kakanya yang garang. Yusuf Itam boleh aku katakan dipandang rendah oleh kawan-kawan lain ( malah guru sekolah ) kerana kulitnya yang hitam. Tetapi kerana dipandang rendah dan kulitnya yang hitam itulah aku menjadi sahabatnya... dan kami cukup baik. Dari Yusuf Itam aku hampir tahu kebanyakan lagu Hindustan!

Menginjak ke sekolah nenengah rendah di Sekolah Anderson ( 1973 ), aku diberiNya pula kawan baik bernama Roslan. Tinggal di Kampung Tengku Hussein Lama. Baiknya aku dengan dia hingga kenal seluruh ahli keluarganya. Selalu ke rumahnya bila hujung minggu dengan berbasikal. Hem.. Punyalah baik hingga satu hari hari maknya pernah meminta aku mengambil salah seorang dari anak perempuannya sebagai calon isteri. Haaa.. Manalah aku sanggup beristerikan adik kepada kawan baikku!

Bila berpindah ke SM Raja Chulan untuk ke tingkatan 4 ( 1976 ), aku mendapat 3 sahabat baik sekaligus. Kami buat grup studi dan kami beri nama JASS. J adalah anak kepada pemilik cafe di Stesyen Keretapi Ipoh. S khabarnya sekarang ini menjadi guru. Dan S yang satu lagi adalah pelajar Melayu tunggal yang mendapat A dalam semua subjek masa SPM tahun itu. Kini menjadi doktor.

Masa ini, dikampung, aku berkawan baik dengan Ja'a. Rumahnya tak jauh dari sungai yang membelah kampungku - Sungai Kinta. Dia selalu datang ke rumah dan bincang-bincang tentang pelajaran dan hal-hal kampung.

Masa itu, SPM kalau gred 3 memang susah nak sambung belajar. Kalau gred 2, boleh pergi ke politeknik. Atau paling tidak kalau gred 4 pun boleh mengulang atau sambung belajar ke sekolah vokesyenal. Akhirnya, aku mengadu nasib untuk memasuki Institut Kemahiran MARA, Kuala Lumpur ( 1980 ). Di sini, aku berjumpa dengan Aziz Jaafar, yang di akhir tempoh 2 tahun pembelajaran, dia dinobatkan oleh IKMKL sebagai pelatih terbaik jurusan Elektronik RTV. Kami satu kelas tapi berlainan bilik di asrama. Dari dia aku kenal musik Blues dan Reggae. Dia tinggal di belakang SR Sungai Rambai, Melaka.

Bila aku mula bekerja di Hitachi, aku mengikuti kelas mingguan Dr Danial yang masa itu di Tapak Pesta. Aku mula diintip oleh jamaah yang aku anggotai sekarang ini. Aku mengikuti grup pendaki dan selepas berjaya mendaki Gunung Tahan inilah aku mula akrab dengan JH. Kami sama-sama menubuhkan kumpulan Nasyid Al Muhajjir, sama-sama menjadi murid Seni Silat Pusaka Gayong, menubuhkan Kelab adventure RINTIS, menerbitkan risalah bernama Jendela Hati untuk edaran umum sebagai salah satu usaha dakwah dan di tempat kerja kami sama-sama giat dengan kebajikan pekerja Muslim atas nama JK Surau. 

JH adalah sahabat yang memang terbaik kerana dia sentiasa berada di sisiku ketika susah dan senang terutama saat-saat genting aku tatkala ibu_suri jatuh sakit sekitar 2008 ~ 2010.

Begitu salasilah sahabatku yang kata orang berbeza dari yang bernama kawan!

Rabu, 26 Mac 2014

JH

JH - baju hitam cermin mata

Aku dan Kak Maimon singgah jenguk JH dalam perjalanan balik kerja. Dah 2 hari JH cuti sakit.

"Hari Sabtu baru ni, masa nak bangun dari katil tiba-tiba saya rasa bilik berpusing. Katil semacam bangun berdiri depan mata," JH memulakan cerita bila aku tanya bagaimana dia boleh terjatuh.

"Along kebetulan balik dari kerja malam terus bawa ke klinik. Rupanya bp dan gula naik."

Terang JH lagi, bila doktor tanya ada tak berasa pandangan gelap ketika mula terjadi itu, JH angguk.

"Awak hampir di serang stroke," ulas doktor itu.

Gayat aku mendengar perkataan stroke itu. macam dekat saja dengan aku.

Hari Sabtu itu aku sebenarnya berada di Trengganu hadiri kenduri saudara ibu_suri. Hari Isnin sebelum Subuh baru sampai ke rumah. Siangnya, aku seharian uruskan perbaharui lesen memandu Akhmal kemudian ke LHDN, isi borang incometax. Aku lansung tak tahu apa yang dah berlaku pada JH walaupun rumah kami cuma bertemu dapur saja. Macammana pulak aku boleh tak tahu apa yang telah berlaku kepadanya?

Sebak rasa dadaku bila dapat tahu JH begitu hanya pada pagi Selasa otw pergi kerja. JH bukan sekadar sahabat malah lebih akrab dari itu. Dialah yang banyak ambil berat tentang susahpayah aku terutama masa-masa aku tertekan dalam menghadapi suasana haru biru tika ibu_suri baru di serang stroke

Alhamdulillah, nampaknya JH sedikit sihat. Aku akan selalu doakan kesejahteraanmu, sahabatku. Nampaknya, susuk badanmu sedikit susut.

Selasa, 18 Mac 2014

Sepagi Di Kafetaria

Badan terasa kurang sihat, hari ini. Bertagak-tagak nak pergi kerja atau ambil mc. Namun, bila kenangkan kerja yang pastinya banyak menunggu sebab semalam dah bercuti, aku gagahkan juga.

Dan memang tak salah terkaan aku. Mencurah-curah kerja itu datang. Namun aku sabar juga melayan pelanggan. Aku tak dapat nak capai KPI aku hari ini, zero backlog. Terpaksa tinggalkan 9 equipment untuk disambungbuat pada hari esok.

Memang ramai kawan aku suruh aku minta dari bos, pembantu. Aku dah beritahu pun. Dah 3 kali. Tapi standardlah jawapan bos.

'Tak ambil orang baru sebab polisi majikan sekarang ini nak save budget.'

Tapi kekadang, kerja sorang-sorang ni lagi senang. Aku boleh design kerja aku sendiri tiap hari tanpa perlu fikirkankan kerja untuk orang bawahan. Pengalaman aku menjadi supervisor dengan 5~6 orang bawahan sekitar tahun 90an dulu, sakit kepala juga.

Audit ISO tak lama lagi. Sekitar bulan puasa. Aku perlu bersiap siaga dari sekarang. Kalau tak nanti, demam tak kebah lah jawapnya.

Seperti biasa, topik hangat di kantin ialah tentang kehilangan MH370. Tenggelam isu KajangMove. Isu anak muda mati kerana overdose juga seperti tak menarik perhatian kafetarian.

Aku... masih tak dapat menahan gelihati dengan skesta bomoh zam alakazam. Bongkak sungguh dia, ujarku pada rakan-rakan. Malanglah bagi anak murid beliau. Tak semena-mena dapat tempias sindiran murbawan...

Isnin, 17 Mac 2014

Belanja PFC?

Hari ini, seharian aku uruskan perkara-perkara berkaitan Akhmal. Perbaharui kad pengenalannya di JPN, Kepala Batas. Dulu, kat sini cepat urusannya sebab tak ramai orang tetapi tidak hari ini. Jenuh tunggu juga.

"Macam mana boleh selalu hilang ni?" tegur pegawai JPN. Sekaligus, aku tunjukkan kad OKU Akhmal dengan harapan denda akan diabaikan. Kalau nak diikutkan undang-undang, ini dah hilang kali ke 2 dan akan dikenakan denda RM200.

"Betul ke hilang atau kena ragut?" Soalan itu buat aku menjawap dengan soalan juga; apa bezanya kalau diragut atau hilang?

"Kalau kena ragut, tak perlu bayar denda sebab ianya dikategorikan sebagai teraniaya. Kalau hilang kena denda sebab ianya dikatakan cuai."

Aku angguk. Fahamlah aku.

Selesai di JPN, aku ke pejabat pos pula nak perbaharui cukai jalan motor. Dari satu pejabat ke satu pos. Ramai dan lama menunggu. Satu pelanggan aku kira hampir 15 minit. Akhirnya baru aku diberitahu, bila dah di kaunter;

"Encik, hari ini seharian talian tak stabil. Tak tahu kenapa?" Huu..... Tak terkata apa aku...

Ke sana, kemari menyelesaikan hal-hal lain juga aku perasan, menjadikan Akhmal dan ibu_suri tidak selesa dalam kereta. Sok sek sok seknya itu aku faham benar.

Kepala aku dah mula berdenyut. Mata pun terasa terlalu berat. Persis mahu demam, rasanya.

Balik rumah, aku terus ke katil. Aku tak peduli perihal rumah nak jadi apa. Sabtu, Ahad dan hari ini memang aku tak buat pun 5S rumah. Berselerak sana sini. Terasa aku sorang saja yang mengemas rumah sedangkan yang lain jadi tukang semak. Kekadang ada rasa merajuk.

Tapi tak sempat 5~10 minit berbaring,

"Abang, bukan you janji nak belanja PFC (Penaga Fried chicken) ka malam ni?"

Ahad, 16 Mac 2014

Erti Kehidupan

Buat beberapa hari ini, keletihan buat aku tumpul idea untuk menulis blog. Letih riadah, letih layan ibu_suri dan letih memikirkan hal Akhmal. Hari ini pun, aku paksakan diriku tercatuk di depan komputer. Terasa banyak kisah hidup aku terbengkalai, tak dirakam.

Semalam, dompet dan taliponnya tercicir ntah di mana. Esok terpaksa ambil cuti untuk perbaharui cukai jalan motor, buat k/p baru dan lesen beliau. Pertengahan bulan pulak tu...

Hari ini, sepagian aku di Pejabat IKRAM, Seberang Jaya menghadiri daurah. Penat juga otak ini memproses pengisian yang aku kira berat. 3 topik yang dibentang ialah Qawaid Dakwah, Tarbiyyah Rabbaniah dan idealisma.


Walaupun kebanyakan yang hadir itu rata-ratanya generasi muda mahasiswa, namun aku cekalkan hati untuk duduk sama rendah di kalangan mereka. Aku harus terima hakikat bahawa aku terpaksa lalui semula semua proses tarbiyah IKRAM ini sedari mula. Aku banyak tertinggal kerana menumpukan 100% perhatianku pada ibu_suri sejak 2008, tahun ibu_suri di serang Ahmar.


Tidak mengapalah. Kenyataan tetap kenyataan. Dan itu bukan alasan untuk aku tidak lagi berkecimpong di medan dakwah. Ini adalah medan yang aku gelumangi sejak mula menjejak kaki di Pulau Pinang. Gelanggang yang banyak mengajar aku akan erti hidup dan kehidupan.

Okeylah, nak mandi dan sembahyang. InsyaAllah, ke Sungai Petani pula, belanja ibu_suri makan ais kacang kat Pokok Asam, tak jauh dari sekolah Along dulu. Hujan renyai-renyai saja nampaknya, di luar. Syukur!

Selasa, 11 Mac 2014

Sampul Putih

Sebenarnya, aku baru 2 tahun bekerja di Hitachi ( selepas itu bertukar nama kepada Renesas ) masa itu. Masih malu-malu. Masih takut-takut dengan operator yang 95% adalah perempuan.

Satu hari, semasa aku hendak keluar makan pagi di kantin, tiba-tiba seorang rakanku yang sedang menolak troli bertentangan laluan, menahan aku.

"IM, ada marka bagi surat ni kat hang," ujarnya sambil menghulur sekeping sampul warna putih," cun lah dia. Kulit putih."

Aku sambut sampul surat itu. Aku simpan dalam kocek jeket kerja warna kelabu. Tertanya-tanya dalam hati.

Bila ada luang masa, aku baca surat itu. Mau berkawan dengan aku. Aku termangu buat beberapa hari. Tak tahu nak buat apa dengan surat itu.

Itulah surat dari ibu_suri, yang pertama kepada aku.

Ahad, 9 Mac 2014

Mi Kari Fiona Kitchen

Baru saja balik dari kampung. Hasrat utama selain ziarah mak ialah ziarah Wan Biah ( kematian adik iparnya, Wah ) dan Kak Ani ( kematian abangnya, Ji ). Belasungkawa buat mereka. Kedua-dua keluarga ini adalah keluarga yang pernah bersama-sama dengan keluargaku ketika susah dulu.

Kesian melihatkan ibu_suri kepanasan berada di rumah mak ( panas hari ini di rumah mak memang luar biasa dari selalunya ), buat aku ambil keputusan balik awal. Kali ini mak agak faham bila aku  beritahu nak balik awal, seusai sembahyang Zuhur ( selalunya aku balik seusai sembahyang Maghrib ).

Tapi aku tahu, sekalipun balik awal dari rumah mak, ibu_suri takkan mahu sampai rumah selagi jam tak bertemu jodoh ( 12 tengah malam ). Jadinya, aku bawa kereta dengan cukup santai, 70 ~ 80km/jam saja. Alhamdulillah, aku tak pula rasa mengantuk. 

Singgah RnR Sungai Perak, beli buah dan ais bandung untuk ibu_suri. Kemudian aku singgah di RnR Gunung Semanggul, makan mi kari kat Fiona Kitchen sementara ibu_suri memerap di kereta. Malas nak keluar, katanya.

Sekarang ini harganya RM3.50

Aku memang penggemar mi kari. Sekarang ini, aku memang tak akan lepas untuk peluang singgah di sini setiap kali melalui lebuhraya Ipoh ke Penang. Nak kata best sangat tu tidak. Nak kata tak best juga tidak. Just nice! Kira oklah untuk layan keinginan sebab tempat lain tak ada yang sebest ini, rasanya.

Dah banyak kali ibu_suri merengek untuk dibawa meninjau JK2PP Kali ini aku tunaikan. Nak tahu apa komen aku...

"Jemulah bawa kereta kat jambatan ni. Panjang sangat."


Sabtu, 8 Mac 2014

Perasaanku

Esok, aku bercadang nak balik kampung walaupun minggu lepas aku baru saja balik. Ziarah mak mungkin antaranya tapi yang lebih mengujakan ialah bila terima berita kematian jiran. Sekaligus kawan semasa keluargaku susah sekitar tahun 60an dulu. Semalam kematian Wah. Tadi, kematian Li pula.

Adikku, Niza, sms semasa aku berada di rumah mertua. Rupanya, mertuaku tidak tahu menahu berita tentang pesawat MAS yang hilang. Hmmhh... Kalau gitu, berita DSAI kena penjara lagi la depa tak tahu, bisik hatiku. Tak salahkan mereka. Walaupun ada tv besar dengan siaran Astro, keinginan tua mereka bukan lagi ke situ. Mereka lebih banyak duduk di sejadah atau mungkin berbaring kerana apa lagi yang mereka boleh buat lantaran tenaga yang semakin tidak kuat.

Mengenangkan itulah, aku selalu ingatkan ibu_suri supaya kerap ziarah mereka walaupun sekadar duduk-duduk dan berbual sahaja.

Aku sendiri kalau ikutkan malas nak memandu jauh kerana letih beriadah di taman riadah Seberang Jaya  tadi pagi. Aku rasa lebih kepada mahu baring dan tidur. Terasa benar, sejak menapak ke umur 'pencen' ini, aku cepat letih dan sakit-sakit badan selepas memerah keringat dan tenaga. Bukan banyak pun, pusing-pusing trek aje.


Duduk di rumah mertua, untuk isi masa, aku belek-belek koleksi syilingku. Selain blog, aku kira, inilah antara beberapa hobi yang akan menemani masa-masa dan perasaan-perasaanku bersama umur yang semakin sikit bakinya ini. Biarlah orang kata aku ni macam dah tak ada kerja lain nak buat... biarlah. Mereka manalah faham isihatiku!

Sebenarnya, hari ini aku teramat 'marah' dengan ibu_suri. Tapi 'marah'ku hanya dapat aku luahkan dengan bercakap-cakap kepada stereng kereta sahaja. Bila ibu-suri tanya.. abang cakap apa? Aku cuma jawap... tak ada apa... sambil memesong ke topik lain.

Mana tak marah dan bebal kalau sikit-sikit..abang... Sikit-sikit...abang. Silap-silap haribulan, boleh lari malam!

Rabu, 5 Mac 2014

Hanya Kenangan


Bilamana aku balik kampung, perkara yang selalu aku tak lupa buat ialah mengunci jam randik ( baca sini ) yang tergantung di dinding bilik mak. Bagi aku, ini adalah salah satu dari beberapa unsur yang pernah bersama aku di sepanjang perjalanan hidup lalu.

Tak tahu kenapa, sejak akhir-akhir ini aku seperti mahu menyimpan dan menjaga  tinggalan abah yang bersamanya ada kenangan. Aku belek-belek laci mak. Aku berjumpa dengan lesen motor abah tahun 2008. Jumpa kamera Nikon abah yang aku kira dia beli selepas kamera jenis pandang dari atas.

Aku juga secara perlahan-lahan mula mengembalikan hobi lamaku menyimpan setem, duit syiling dan keratan artikel. Cuma yang mungkin aku tidak teruskan ialah mengumpul lencana. Minat ini timbul semula sejak aku tahu yang anak saudaraku - Mien Hanz yang sekarang ini pengumpul syiling tegar.

Sekarang ini aku memang dah mula membeli album, baca sikit-sikit artikel tentang hobi dan mula memikirkan bagaimana nak menyelenggara hobiku ini.

Tadi pagi aku beli album gambar saiz 3R.  Punyalah susah nak dapat sebab kebanyakan album yang dijual rata-ratanya bersaiz  4R. 

Benarlah kata orang; di usia muda, kita miliki cita-cita. Di usia tua, kita hanya miliki kenangan.

Selasa, 4 Mac 2014

JK2PP?


Balik kerja hari ini terasa perjalanan lancar. Tak seperti semalam, jambatan terlalu sendat dengan kenderaan - bumper to bumper. Ada yang kata, akibat dari insiden lori rosak sebelum itu.

Sampai rumah, ibu_suri mencebik bibir. Aku dah dapat membaca emosinya. Secara otomatis juga, aku perlu menyediakan diri.

"Boooring la.....tak tau nak buat apa ni.."

"You beli makan apa?"

Aku hanya diam. Kekadang, memang susah nak diterangkan kenapa adakalanya aku tidak beli apa-apa makan pun bila balik. Maklumlah, pergi kerja menumpang secara carpool, takkan nak singgah menyinggah pula.

"Tak pa. Lepas Isyak nanti kita keluar ya!" Balasku terus ke dapur membasuh pinggan, buang sampah dan memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh.

"Kita minum kopi dan makan biskut dulu la, ok. Sat lagi kita makan lain," sambil meletakkan talam di meja dan duduk di sisi sambil menekan punat  saluran tv.

Dan otak terus berfikir... kemana nak bawa ibu_suri malam ni ya? 

Melihat pada keboringan ibu_suri yang agak menekan, aku mesti bawa ke suatu tempat yang mampu menghibur jiwanya?