Halaman

Sabtu, 30 Ogos 2014

Longkang dan Tandas

Alhamdulillah... diizin Allah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan IKRAM dan guru-guru Tadika Amal Rintis tadi di SR Seri Impian menjayakan Sukan Tahunan TAR. Ingat nak jadi orang yang pertama sampai di lokasi rupanya guru-guru TAR lebih awal dan komited.

"Akhi jadi pengadil, boleh ya?" pinta seorang guru. Aku angguk saja walaupun aku tak biasa kerja di tengah padang. Selalunya samada setup sound system atau setup stage. Aku sebenarnya sedang cuba berkata boleh pada kerja-kerja dakwah.

Memang renyah dalam nak kawal budak-budak ni. Ada yang menangis, ada yang hepi satu macam jer, yang berlari kesana kemari dan yang tenggelam dalam dunia sendiri pun ada.

Aku sebenarnya ada ambil beberapa foto untuk dikongsi ke dalam blog ini tapi henfon yang baru beli ni aku tak pandai guna sangat. Alaa... bukan canggih mana pun. Murah je harganya - RM180 dan masih keypad style. Talipon lama, contact pin kat poket simkad dah patah. 

Aku cuba beramah mesra dengan ibu bapa yang hadir kebanyakannya aku kenal juga. Sesekali aku di singgit oleh kawan-kawan sebagai OKB. Ha.. ha.. itu sangka mereka sedangkan sebenarnya pampasan yang aku dapat itu kecil jumlah. Tak caya tanya ibu_suri yang juga mengeluh bila aku diasak untuk akhirnya memberitahu...

Aku yang last sekali balik bersama dengan mantan naqib aku.. Isa. Setelah aku pastikan tandas semua di cuci dengan bersih (rupanya ada lambakan muntah dalam sinki. Juga aku teringat kisah seorang prof yang meminta izin jawatnkuasa masjid untuk 'ambil kontrak' cuci tandas setiap hari. Bila ditanya kenapa, jawapnya ini saja caranya dia dapt mencuci riak di hatinya), aku kutip sampah di merata kawasan keliling dan akhiri dengan memastikan air tidak bertakung dalam longkang. Peliknya longkang ini di design airnya mengalir ke atas dan bukannya terus ke longkang besar.

Balik, terasa badan amat letih akan tetapi paksa diri untuk hadir kenduri rumah jiranku Rosnah (yang juga ex-Hitachi sesama kerja dengan aku tahun 80an dulu...). Kemudian bawa ibu_suri carikan Rosa T nya yang dah kehabisan. Kalau tak dibeli yang baru akan lagi letihlah aku mendengar pot... pet... nya nanti....


p/s:

Foto sukan TAR boleh lihat di sini

Jumaat, 29 Ogos 2014

Kanopi

Alhamdulillah, dapat juga hadir ke SR Seri Impian, setup kemudahan untuk sukan Tadika Amal Rintis esok.  Lewat datang sebab perlu bawa ibu_suri jalan-jalan dulu. Biasalah... dah tanggungjawap...

Aku sempat tolong pasang kanopi, 4 buah semuanya. Bukan tolong apapun... tolong sembang je.. Memasang kanopi ini tak semudah melihat tatkala ianya sudah tegak berdiri. Ianya memerlukan kemahiran dan kederat. Kalau orang tua yang bertahun-tahun dulu dok pegang papan kekcunci dan probe meter, tak usahlah gatal nak menolong. Menambah lambat dan menyusahkan saja. Silap haribulan, tercedera...


Bagusnya mereka ni, sebaik saja azan Maghrib berkumandang, terus berhenti kerja, bergegas ke masjid. Barulah rezeki ada barokah kan...

Apapun esok aku insyaAllah akan datang membantu perjalanan sukan ini. Sebenarnya aku bukan biasa atau minat sangat dengan sukan ni. Namun atas nama kerja sosial, aku cuba ikhlaskan diri.

Harap dapat berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan. Juga bermesra dengan ibubapa yang hadir. Aku percaya akan ada antara mereka bertanya tentang ibu_suri, guru yang pioneer di tadika ini.

Kesempatan

Jumaat pertama aku solat Jumaat di masjid taman aku ini sejak bersara. Berbeza solat Jumaat di Masjid Bayan Baru masa masih kerja sebelum ini - pantang duduk saja dalam saf asyik nak pejam mata.

Lepas solat, bersama kami buat solat jenazah. Al marhum tinggal di Lorong 43. Terasa kerap pula ada kematian di taman ini. Malam semalam pun aku diberitahu masa lepas solat Isyak, ada jemputan kenduri tahlil.


Lepas selesai solat ba'diyyah Jumaat, aku balik ke rumah berjalan kaki. Terasa tenang sebab tak perlu tergopoh gapah macam sebelum untuk bergegas ke tempat kerja. Sambil berjalan berfikir bahawa Allah sebenarnya masih memberikan aku kesempatan untuk hidup; untuk bersyukur dan untuk berbuat ibadah. Mempersiapkan diri dalam masa menanti giliran aku pula disembahyangkan sepertimana jenazah tadi. Aku masih diberi nasib baik oleh Tuhan bebas dari tekanan kerja.

Bersara tatkala kesihatan masih baik dan waras sedangkan ada rakanku yang lain menderita sakit buah pinggang, diabetis mahupun jantung. Syukurlah... dan berikanlah aku hidayahMu, Tuhan!

SY

Patah kaki pula aku hari ini sebab Vivaku tiada. Kakak ibu_suri pinjam semalam petang untuk pulangkan cucu ke rumah anaknya di Penang. 

Monyok saja ibu_suri sebab tak dapat jalan-jalan. Aku pula terpaksa menapak ke masjid. Memanglah setiap langkah Allah ganjarkan satu pahala tapi menjelang sampai ke masjid, berpeluh ketiak juga.

Pagi ini aku tak boleh nak ke kedai beli barangan memasak. Termangu juga memikirkan. Harap-harap Vivaku akan dikembalikan menjelang tengahari. Jika tidak, jenuhlah aku nanti memujuk ibu_suri.

Betul juga kata bos aku dulu... you are the person who hard to say no to other people. Mak aku juga pernah berkata yang sama... kita ni jenis keluarga yang susah nak kata tidak. Akhirnya kita terpaksa tanggung susah kerana orang lain.

Namun rasanya bukan 100% begitu pun. Ada situasi yang aku nekad untuk berkata tidak. Yang bila pembacaan naluri mengatakan perlu tegas demi keutuhan rumahtangga. Yang ini kalau aku tidak tegas, mahu jadi SY yang kedua....

Khamis, 28 Ogos 2014

Lupa

Sebenarnya dah acapkali ibu_suri bersuara akan lupa dia pada sesetengah bacaan dalam sembahyang walaupun puas aku ajar.

Doktor di Bukit Mertajam Specialist yang rawat ibu_suri masa awal kena stroke dulu pernah pesan supaya aku sabar mengajar dia perkataan-perkataan yang dia dah lupa. Macam ajar budak tadika, katanya.

Tadi ibu_suri bersungut kerana mutakhir ini aku asyik ulang alik ke masjid. Dia nak aku ajar dia bacaan dalam sembahyang.


Aku pun terfikir untuk buat satu sistem. Zohor dan Asar aku sembahyang dengan dia. Waktu lain aku berjamaah di masjid.

Nanti, aku akan baca kuat pada setiap bacaan supaya dia dapat dengar dan ikut. Walaupun sembahyang siang, membaca dengan kuat untuk pembelajaran tak mengapa.

"Macam mana ni? Banyak yang tak betul.." keluhnya seusai Zohor tadi.

"Tak apa... Pelan-pelan nanti ok lah tu...!"

Memang, dengan orang yang tak tetap emosi seperti ibu_suri ini aku kena bijak memujuk.

Rabu, 27 Ogos 2014

Tuhanku

Selesai Isyak di masjid, aku pandu kereta keluar taman ke arah pekan Penanti. Kemudian balik semula ke taman. Aku bawa perlahan sekitar 40~50km/jam. Aku pasang cd album religi Wali Band. 

Keputusan u-turn oleh ibu_suri tadi memang membuat aku cukup terkilan. Sebelum ini dia seolah mengizinkan aku pergi usrah yang memang rutin setiap malam Rabu tapi tidak tadi. Usrah malam ini di MegaMall, Perai - main boling. Ntah kenapa... Memang terkilan sungguh. Tapi boleh kata apa... nak lawan rasanya aku cuma akan untung sekejap sebaliknya akan rugi lama. Lagipun aku ni bukan orangnya yang suka marah-marah. Jadi...? Sabar sajalah...


Jadi bila setiap kali rasa tak tenteram, antara cara aku memujuk perasaan sendiri ialah dengan membawa kereta sambil  mendengar lagu. Selalunya cd album religi Wali Band adalah antara pilihan kegemaran. Terutama mendengar lagu Tuhanku, berulang kali. Adakalanya aku pasang suara cd player Vivaku itu kuat-kuat!

Abang...

Paling teruja bila dapat khabar aku akan bersara awal tentunya ibu_suri. Bak kata orang Perak... nyerongin memanjang.

Kekadang fikir, elok lagi kalau aku bekerja. Boleh juga melepas diri dari kekangan duduk di rumah dan selalu mendengar 'lagu'...

"Abang... you buat apa? - bila saja aku tiada di depan matanya dan senyap

Abang... I nak mandi - walaupun aku pesan beberapa kali tunggu dulu bila hari agak siang bilamana cuaca agak hangat sedikit, air tidaklah terlalu sejuk. Maklumlah memandikan orang 'besar', sekali dengan aku nanti basah.

Abang... I nak teh ais la... boleh? - walaupun sebelum aku berkali-kali menasihati dan dia angguk supaya kurangkan minum ais dan bersusu namun dia tak tahan 'daulat' bila saja lalu di sisi kedai Masjid Kubang Semang.

Abang... Mai lah sini, sembang dengan I. Asyik-asyik ngadap komputer!

Abang... esok pi mana? Pi Sungai Petani, ok? Pi Kelantan, ok?

Abang... Asyik-asyik pi masjid, IKRAM.. aje. Duduklah rumah!

Abang... Esok tak usah pi usrah, boleh? Bukan selalu, sesekali je."

Memang, kalau tak tinggi tahap sabar, dah lama aku 'lari malam'..he..he.. Akan tetapi sebab aku selalu ingat akan akad aku semasa dinikahkan oleh Tok Kadi dulu, aku masih bertahan hingga ke hari ini.

Orang lain yang melihatnya bila kami diziarahi atau sekalipun mak abah bila kami zaiarahi mereka akan merasakan bahawa ibu_suri ok, sihat dan tidak ada apa masaalahnya namun mereka tidak tahu yang aku di rumah itulah yang berhempas pulas menjaga dia. Kalau dia tak ok, aku takkan bawa dia berjumpa dengan orang atau kalau ada orang nak datang ke rumah aku akan minta mereka datang lain kali saja.

Memang dugaan dari Tuhan untuk yang satu ini bukan kepalang mencabar. Aku pernah tulis semua cabaran itu ke dalam blog aku sebelum ini sekitar 2008 namun sayangnya aku telah delete semua entri itu kerana terlalu menyayat hati bila ulang baca. 

Sehingga hari ini dan mungkin sehingga akhir hayat salah satu dari kami berdua, aku akan terus berhadapan dengan kepayahan dan kekangan dari dapat menikamti hidup yang bebas. Aku tidak akan dapat berbuat apa saja yang aku suka sebaliknya terpaksa selalu melihat angin ibu_suri malah kekadang seperti jatuh taraf aku sebagai suami bila terpaksa meminta izin dari dia kalau mahu ke mana-mana. Dan jika dia tidak benarkan aku terpaksa telan bengkak di hati. Malah di masa yang lain aku terpaksa banyak mengalah bila bertembung citarasa kami yang hampir 100% berbeda.

Memang benar pesan orang bahawa jika suami mendapat isteri yang ala-ala queen control samada akan berlaku perpisahan atau akan ada permainan lain di belakang. Pesanku kepada yang bernama isteri: jagalah ego suami jika mahu rumah tangga kekal bahagia.

Namun buat masa ini aku masih tidak begitu dan selalu berdoa muga terus setia menjaga dia dengan penuh ikhlas, sabar dan cekal. Aku tahu, dia diciptakan untukku demi menguji tahap kekuatan sabarku. Aku percaya, menjaga dia dengan baik bagai selayaknya seorang isteri adalah peluang yang Dia berikan untuk akhirat yang baik.

Justeru itu, Tuhan.... berilah aku kekuatan, kelapangan dan kedamaian yang berterusan!

Selasa, 26 Ogos 2014

Berjamaah

Rupanya semalam kuliah Maghrib oleh Tuan Guru Hj Salleh Musa. Dah sebulan lebih beliau tidak datang mengajar kerana Ramadhan, hari ini beliau baru mula. 

Beliau membaca 3-4 baris ayat saja dalam setiap kali kuliahnya. Namun kupasannya itu yang panjang. Memakan masa sejam lebih. Mantap dan berkesan. Pengajian ilmu Tauhidnya memang mendalam.

Berasa serononk sekarang ini kerana aku punyai cukup masa untuk ke kuliah mahupun berjamaah di masjid. Memang tak sama rasanya bersolat di masjid berbanding di rumah. Ketenangan dan kesyahduan yang tak dapat dikatakan. Walaupun kekadang ibu_suri merengek tapi sabarlah aku dalam mendepani kerenahnya itu. Aku percaya, aku buat perkara yang baik dengan niat yang baik.. Allah akan membantu.

Selain mengisi masa dengan masjid, aku selang sehari beriadah di Taman Tunku, Seberang Jaya. Memasak bila tengahari dan bawa ibu_suri jalan-jalan bila malam. Esok ada boling dengan rakan-rakan seusrah. Hujung minggu pula membantu Tadika Amal Rintis menjayakan program sukan. Tak sabar menanti semua itu.

Buat masa ini aku rileks dulu dari berfikir soal kerja.  Sebaliknya menyemak senarai tugas perlu selesai dan kewangan sekaligus mahu melunaskan mana-mana yang mesti terlebih dulu.

Kemas rumah, perbaiki mana-mana yang rosak dan tak berfungsi serta menziarahi saudara mara yang dah lama tak di sapa.

Aku berkira-kira untuk mencari kerja yang tak terikat dengan masa. Juga timbul keinginan untuk Umrah namun mungkin tahun depan. Settle hutang piutang dulu. Gaji Ogos belum dapat lagi ni walaupun dah 26 hb..he..he..

Sebenarnya aku ini dalam pasca membiasakan diri dengan alam persaraan. Atau kalau dalam istilah aku  masa kerja dulu... sedang calibrate diri sendiri!


Isnin, 25 Ogos 2014

Bihun

Hari ini adalah Isnin pertama aku berada dalam suasana tidak bekerja. Memang ada kelainannya. Aku harap dapat menyesuaikan diri.

Semalam, first time aku memasak bihun. Tak pernah sebelum ini. Aku beli perencah bihun goreng Adabi selain bawang, salad dan ikan bilis.

Ambil masa juga belek-belek jenama untuk pastikan ianya produk Muslim. Aku boleh agak nanti ibu_suri mesti tanya kenapa tak beli Cap kapal. Arrghh... nak layan tekak ke atau nak layan Halalan Toyyiban?

3/4 kuali juga kuantiti bihun tu bila dah siap masak. Sepertimana selalu, aku hidangkan di meja ibu_suri yang ralit menonton siaran MH17 yang kekadang aku rasa terlalu berlebih-lebihan seolah-olah di entertaimentkan. Makan berduaan bersama ibu_suri sekarang ini seperti sesuatu yang rutin kerana anak-anak semuanya dah ada kehidupan sendiri. Bila aku tanya:

"Macam mana rasanya abang masak?"

"Mmmmm.... boleh tahan. C+." Ha..ha.. aku tahu, gred itu cuma nak menyedapkan hati aku saja.

Aku sms Akhmal dan Angah dengan harapan mereka akan makan bihun yang aku tinggalkan untuk mereka rasai air tangan ayah mereka.

Sayangnya, bila malam aku balik dari ziarah rumah mertuaku, rutinku setiap hujung minggu, kuantiti bihun tidak berkurangan. Agaknya, bila anak-anaku baca sms aku, selera mereka seolah-olah tidak datang.

Ahad, 24 Ogos 2014

Dapat Pahala Sama

Walaupun sebenarnya aku masih kategorikan hari ini adalah hari cuti kerja sebagaimana selalunya sebelum ini, tapi aku juga dalam diam cuba menganggap yang sebenarnya aku dah mula masuk zaman 'pencen awal'. Maksudnya, aku udah tidak lagi bekerja.

Dan aku rasa aku boleh absorb suasana tidak bekerja ini. Aku tidak pula rasa boring malah sibuk yang seperti biasa. Dalam buku organiser warna maroon aku ini aku dah catitkan senarai panjang apa yang aku perlu buat samada untuk diri sendiri, untuk rumah, untuk anak-anak, untuk belanjawan, untuk ibu_suri dan untuk jamaah atau kerja sosial. Untuk jamaah dan sosial mungkin masih belum cukup panjang kerana ianya masih terbatas dengan birokrasi emosi ibu-suri. Namun aku berazam untuk seupaya aku meloloskan diri dengan memujuk beliau agar membenarkan aku terlibat.

Contohnya, program sukan Tadika Amal Rintis 29 dan 30hb ini. Tau macammana aku dapatkan green light dari ibu_suri yang sebelum itu mati-mati mengatakan NO..NO..NO.. bila aku 'minta izin' dari beliau?

Aku semalam pergi solat Maghrib di masjid taman aku ni. Kat masjid ni sejak jawatankuasa baru ambil aleh pentadbirannya dari jawatankuasa lama pada 2008, penuh dengan kuliah.

Tak sangka rupanya ustaz malam semalam ialah Ust Fawwaz. Selama ini aku menonton kuliahnya dalam YouTube.

Ustaz Fawwaz bagi tips untuk dapat pahala mudah dengan buat kerja kecil sahaja. Antara contonya ialah buang kotoran dari dalam dan kawasan masjid. Katanya lagi, paling beruntung ialah sapa-sapa yang jadi Tok Siak. Tok Siak kerjanya ialah memastikan masjid atau surau sentiasa bersih dan tersedia untuk kegunaan makmum.

Tumpang beruntung ialah isteri kepada Tok Siak. Isteri yang selalu mengingatkan suaminya akan tugas sebagai Tok Siak. Yang menggerakkan suaminya bangun awal Subuh dan sediakan makan minum agar suaminya dapat menjalankan tugas dengan baik.

"Abang nak aktif dengan kerja-kerja amal bukannya kerja yang tak baik. Abang harap dengan kerja-kerja amal dengan IKRAM, Aqsa Syarif atau masjid, usia abang selama mana pencen ini tidaklah berlalu dengan sia-sia. You pun nanti dapat pahala sama macam abang dapat kalau you reda dengan apa yang abang buat dan tak bising-bising..."

Tau-tau, bila aku bagitau tadi yang hujung minggu ni aku nak balik kampung tengok mak, ibu_suri peringatkan aku;

"Eh... Bukan ke you kata nak pi tolong buat persiapan untuk sukan tadika?"

Heh... heh... Sejuk hati aku mendengarnya!

Sabtu, 23 Ogos 2014

Semalam

1.

... 22hb Ogos 2014 adalah hari terakhir aku berada di Renesas. Rupanya dah 31.7 tahun aku bekerja. Semua liku dan senang susah aku lalui. Sementara masa terus melangkah cepat tanpa toleh meninggalkan semua itu menjadi kenangan dan pengalaman.

Beruntunglah juga aku kerana dirai secara besar-besaran 2 kali; sekali pada 8hb (sini) dan sekali lagi hari ini. Bukan main lagi Mr Gan (bos besar) puji aku sebagai seorang yang tak banyak cakap dan tak banyak melawan.... ye la tu...

Walaupun hari terakhir yang selalunya bagi pekerja lain akan menghabiskan masa dengan ronda berjumpa kawan-kawan untuk ucap pamit tapi aku masih lagi membuat t.t (tecnology transfer) pada yang akan mengambil-aleh tugas aku di ofis - Calibration Lab. Memang, masa yang ada untuk aku latih mereka tersangat suntuk. Ah... pandai-pandai depalah nak hidup selepas aku tak ada nanti... kan. 

Aku dulu pun, masa mula masuk Cal Lab tahun 2009, gitu juga. Mana reti sangat nak mulakan kerja kerana orang sebelum aku pun tinggalkan aku dengan tugasan baru itu tanpa latihan sepenuhnya. Merangkak dan bertatih sendirilah...

Aku bagitau kawan-kawan masa hi-tea semalam;

"Hari ni rasa ok lagi sebab masih dalam mood kerja. Tunggu laa... hari Isnin nanti, kot jadi macam ayam berak kapur..." sambil tersengih.

Tapi rasanya tidak begitu kot. Aku dapat bayangkan yang aku akan sesibuk yang sama. Cuma lapangannya saja berbeza.

Aku akan sibuk mengurus rumah yang memang 100% tanggungjawapnya terletak di bahu aku. Disamping, aku juga akan cuba kembali semula ke kancah dakwah dan kerja masyarakat perlahan-lahan hingga ke maksima kemampuan. Cemburu sangat aku ini pada kawan-kawan lain yang sudah jauh perjalanan mereka di landasan ini.

2. 

Aku singgah beli sebungkus tomyam ayam otw balik kerja di kedai tomyam yang baru buka bersebelahan Kedai Memandu Melati, Penanti. Sesampai rumah, aku lihat ibu_suri menunggu seperti selalunya di depan tv. Wajah dia muram dan tampak merah.

"I rasa sedih tengok citer MH17 ni..."

Fahamlah aku. Dulu pun, masa abah aku meninggal dunia tahun 2008, ibu_suri beriya-iya bercucuran airmata sedangkan aku dan adik beradik yang lain tidak pula begitu.

Kekadang sedih atau sensitifnya ibu_suri ini berlebihan dari yang sepatutnya. Itulah sebenarnya kesan dari sindrom psikiatrik yang dihidapi oleh ibu_suri yakni perasaan yang dia tidak boleh kawal. Kalau marah, terlalu marah dan kalau sedih akan terlalu sedih.

Itulah sebab doktor selalu berpesan supaya aku jangan gagal menjaga jadual makan ubat ibu_suri. Aku akan lebih risau jika ibu_suri kehabisan stok ubat psikiatrik berbanding ubat diabetis atau hipertensinya.

Selasa, 19 Ogos 2014

Oto Biografi

Kekadang aku berasa malas nak menulis hal-hal peribadi ke dalam blog ini kerana aku tahu ramai dari kenalan aku membacanya. Dan ada yang membawanya sekalipun sekadar untuk berseloroh ke kalangan rakan-rakan semasa bersama.

Tapi aku tidak pandai menulis melainkan pengalam sendiri. Lagipun aku memang suka merakam kisah hidup ke dalam bentuk tulisan atau dengan kata lain sebagai oto biografi.

Dulu masa di sekolah menengah, aku suka menulis dairi. Hampir setiap hari aku akan menulis segala peristiwa yang berlaku. Ada masa terluang aku akan ulang membacanya semula. Bila aku berhijrah ke KL untuk sambung belajar Di IKM, dairi aku itu entah ke mana perginya, aku pun tak tahu.

Dairi tak sama dengan blog. Dairi adalah hak peribadi yang boleh aku simpan sendiri tanpa orang lain dapat membacanya. Akan tetapi blog terletak di langit terbuka. Aku tak dapat menyoroknya dari dibaca oleh orang ramai hatta kawan-kawanku sendiri. 

Mujurlah anak-anak atau adik-adikku tidak minat membaca blog sekaligus tidak mengikuti apa yang aku selalu tulis ini.

Namun aku harap bila aku telah tiada nanti tergeraklah hati mereka untuk mengetahui apa yang telah aku tulis selama ini. Meraka akan dapat membaca apa yang telah aku lalui dan curahan perasaan aku selama ini.

Semua mereka tahu bahawa aku suka menulis dan mempunyai blog sendiri! 

Ahad, 17 Ogos 2014

Mengira Hujan Yang Turun

Semalam, hadiri program Lawatan JKP IKRAM Pusat di USM. Banyak info dan kupasan isu-isu hangat yang terkini dimaklumkan. Paling best, dapat berjumpa sahabat seperjuangan terutama Radzi - geng nasyid Al Muhajir. Tak ketinggalan Yusni - orang kuat Hidayah Centre Pulau Pinang

Foto ihsan Shazwani Amanullah

Aku berangan untuk apa yang diistilahkan sebagai fulltime dalam dakwah. Dakwah tak semestinya bermakna pergi ceramah atau buat program setiap masa. Memetik ucapan dari YDP IKRAM Pulau Pinang, Ir Jamaluddin bahawa dakwah terbaik ialah mencetus hidayah kepada seseorang.

Hidayah milik Allah. Sedangkan Nabi Nuh tidak dapat mengislamkan anak isterinya dan Nabi Muhammad tidak dapat mengilsamkan bapa saudaranya Abi Talib. Namun usaha ke arah itulah yang menjadi tugas kita sebagai khalifah. Usaha ke atas mencetuskan hidayah itu.

Mencetus hidayah boleh saja dilakukan dengan perbuatan, percakapan dan doa. Boleh saja dilakukan samada dengan jiran, dengan kawan atau kelompok masyarakat. Dakwah tak semestinya kepada yang belum Islam malah yang dah Islam pun kekadang perlukan hidayah. Hidayah untuk dia berubah dari melakukan perkara lagha kepada perkara berfaedah. Berhenti merokok, contohnya. Atau menasihatinya supaya melaksanakan sembahyang.

Errrr.... Agaknya, rancangan aku untuk fokus kepada memperbetulkan sikap Akhmal bilamana berhenti kerja nanti juga satu dakwah?

Ehemm... Boleh cakap ajelah ya sedangkan aku belum lagi berhenti kerja ni. Masih ada 1 minggu lagi. Jangan jadi macam kawan sekerja aku dah la. Khamis lepas aku talipon dia yang tinggal di Kulim;

"Apa khabar? Buat apa la ni?"

"Buat apa lagi. Tengah kira hujan turun ni..." jawapnya. Kebetulah hari itu hujan sepanjang hari.

Hmmm... Dalam maksudnya tu!

Sabtu, 16 Ogos 2014

Tabrakan

Lepas Jumaat, baru aku perasan ada miscall dari Angah. Vivanya tabrakan di Jalan Permatang Pauh. Kat lampu merah, katanya. Orang depan berhenti, dia terpaksa brek mengejut kemudian Hilux dari belakang tak sempat membrek lalu.....

"Ayah boleh balik ke? Angah ada kat Perodua ni. Terpaksa tinggal kereta. Nak kena buat laporan polis dan pi JPJ untuk dapatkan salinan lesen yang lama."

Aku terpaksa beritahu Angah yang aku tak boleh nak balik dengan mengambil cuti separuh hari sebab aku dalam proses berhenti kerja. Lagipun, aku carpool dengan JH. Akan jadi susah untuk balik tengahari.

Viva dia sebelum ini pun pernah dah kemalangan. Aku yang bawa masa tu kat Jambatan Pulau Pinang. Masa tengah Q,aku asyik melayan sms. Dalam sekelip mata rasanya aku melihat skrin talipon untuk menaip tiba-tiba terlanggar kereta Honda di depan. Bumper Honda itu kemek sikit di sisi sebaliknya kereta Viva Angah agak teruk kat bumper dan bonet. Kena dalam RM300 juga memperbaikinya.

Nasib baik juga ada Kancil aku yang akan mati roadtaxnya bulan depan. Selekeh Kancil itu, saat-saat begini ada juga gunanya.

"Angah rasa kita tak usah jualnlah Kancil tu, Ayah. Kita pakailah selagi boleh," beritahunya tadi. Iyalah tu... Dia tak tahu yang roadtax kancil tu akan mati bulan depan. Duit sapa yang akan keluar nanti....?

Tadi sebenarnya aku bawa ibu_suri dan Akhmal makan di MIA Ikan bakar, Permatang Pauh. Saja layan kerenah Akhmal yang selalunya susah sangat nak ikut makan bersama kami walau diajak beberapa kali. Terbang juga duit aku dalam RM40 saat-saat hujung bulan ini. 

pautan

Ntah apa kenanya, sejak dia balik dari ADK tempohari, bak kata ibu_suri;

"... asyik tidur, makan, tidur.... makan, tidur...."

Sesekali dalam hatiku berkata,.... itu lebih baik dari dia merapu dengan kawan-kawannya yang kemudiannya ntah aktiviti negatif apa yang dibuatnya pula!

Khamis, 14 Ogos 2014

Minggu Akhir

Akhmal terpaksa sekali lagi lapor diri ke ADK Bukit Mertajam, Isnin ini. Rabu lalu, Akhmal pergi juga dengan Angah setelah aku pujuk.

"Nasib baik hang pi. Kalau tidak, naya hang. ADK serah kes ni kat polis. Kalau kena tangkap mungkin kena penjara 3 tahun dengan 3 sebatan," cerita Angah pada aku mememberitahu Akhmal.

Aku rileks saja mendengar semua ini. Seolah-olah satu perkara yang biasa saja, tidak ada apa yang merisau atau menggembirakan.

Seminggu saja lagi aku akan berkhidmat dengan RENESAS. Semalam, pengganti aku datang melapor diri. Mulai tadi, aku dah start TT (technology transfer). Tapi aku dapat rasakan pengganti aku yang bernama David Teh ini agak slow penerimaannya. Sebaiknya, orang yang memegang tanggungjawap ini mestilah dari level engineer seperti aku. Bila ditaraf engineer, IQnya lebih mudah menerima silibus yang berkaitan dengan sistem yang berkait rapat dengan istilah ISO. Berbanding David Teh yang hanya seorang technician.

Sementelah pulak, David Teh ini menghidap masaalah buah pinggang yang kronik. Dia terpaksa menjalani dialisis setiap 3 kali seminggu.

"Mesin dialisis itulah I punya buah pinggang. Darah kena cuci dari toksik dan air. I tak boleh kencing sebab air dalam darah tak boleh di tapis." terangnya yang membuatkan aku agak terkejut juga.

"Bapa I pun meninggal sebab buah pinggang rosak. Awak tau, setiap pagi sarapannya ialah teh tarik dan roti canai kedai mamak. Kerja kuat tapi kurang minum air. I pun dulu habitnya macam tu. Bila dah tua ni saja baru selalu minum air banyak," terangku dengan sesekali terasa amat sayu jauh di sudut hati mengingatkan abah; seorang yang tak gemar bertelagah dan suka ketawa sorang-sorang.

Minggu depan aku akan mula mengemas meja dan menyita barang-barang peribadiku. Sesekali rasa tak sabar nak pamit dari syarikat tempat aku bekerja ini. Mau bebas dari beban kerja sekian lama.. 

Namun ada kadangnya terasa sayu pula kerana akan meninggalkan kawan-kawan yang 30 tahun bersama susah senang dalam pekerjaan. Minggu depan akan aku gunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk makan dan berbual dengan mereka. Justeru aku berazam untuk langsaikan puasa 6 ku jika boleh hingga Ahad ini. 

Selasa, 12 Ogos 2014

Surat

Ada satu surat tiba-tiba diunjukkan kepada aku oleh Akhmal sebaik saja memakir kereta depan rumah.

Surat dari ADK memaklumkan bahawa Akhmal gagal mematuhi arahan melapor diri ke pejabat ADK sejak 2012 dulu.

Aku garu kepala yang tak gatal. Bak kata Tuan Sadiq Segaraga.... bala apa pula nak datang nih!

"Akhmal tak mau pi. Tak pasal-pasal pulak nanti masuk dalam.."

"Kamu nak lari mana. Kalau tak pi nanti mungkin lagi tak elok jadinya," ujar ku sambil berlalu. Dengan Akhmal ni bukan boleh cakap terjal-terjal. Nanti anginnya naik seluruh badan akan tak elok suasana yang akan berlaku. Lagipun, hal-hal kritikal seperti ini boleh boleh sangat didengari oleh ibu_suri. Makin kusut nanti jadinya.

Sambil menyediakan juadah berbuka di dapur, aku berfikir nak buat macam mana. Depan ibu_suri, aku tak boleh tunjuk muka tak ceria. 

"Buka puasa dengan apa?" 

"Nasi Ayam Madu Tiga ( ibu_suri tak perasan agaknya...). Char Koey Teow pun ada. Beli kat Ayam Ory tadi," jawapku terus ke dapur menyusun juadah.


Aku memang suka makan secara hidang yang teratur, gitu. Bila semuanya lengkap di meja baru bersila untuk makan.

"Best...best..." sambil ibu_suri menegakkan kedua-dua ibu jarinya ke atas tanda orait. Sejuk juga hatiku melihatkan begitu.

Mungkin aku terpaksa suruh Angah pergi ke ADK esok jam 3 petang. Sapa lagi yang boleh aku harapkan. Aku tak dapat pergi sebab susah nak ambil cuti. Tarikh perberhentian kerja cuma tinggal 10 hari. Tak mahu menggangu proses itu.

Aku cuma menyediakan dokumen apa yang patut untuk menyokong alasan kenapa Akhmal tak dapat melaporkan diri pada tempoh itu. Ntahlah... Kalau ADK terima, selamatlah dia. Kalau tidak... makan tidur dan berak percuma lagilah dia!

Isnin, 11 Ogos 2014

Perginya Mak Cik Zah

Aku baru nak mula puasa 6 tatkala orang lain dah pun merayakan kejayaan mereka termasuk ibu_suri. Ah.. tak apalah. Puasa 6 kan ada di sepanjang 30 hari Syawal. Beberapa kali aku membelek taqwim Hijri untuk memastikan aku sebenarnya tidak tersilap jangkaan.

Aku mendapat panggilan talipon dari adik ipar - Yati menyatakan bahawa Mak Cik Zah, isteri kepada arwah Pak Cik Sahar yang dulunya pernah menjadi mandor di Ladang Teh Boh, Cameron Highlands telah menghembuskan nafasnya yang terakhir jam 7 pagi tadi. Innalillah!

Selalunya, dalam bab kematian adik beradik ini aku tak akan berfikir panjang dan segera balik untuk menziarahi jenazah. Akan tetapi untuk kali ini aku terpaksa beritahu Yati;

"Nampaknya Yop tak dapat nak pi ziarah. Yop tak boleh ambil cuti sebab tak mahu ganggu proses perberhentian kerja Yop yang tinggal 13 hari saja lagi ni."

Dan masaalah lainnya pula ialah... bagaimana aku nak beritahu ibu_suri yang pastinya akan terkesan dengan berita sedih seperti ini?

bagai yang di duga. selepas selesai berbuka puasa, sambil menonton Berita Utama tentang isu TSKI dan kerusi embinya itu, aku beritahu sepintas lalu tentang perginya Mak Cik Zah.

Spontan dia bertanya;

"Tak boleh ke abang ambil cuti; kita pi Bidor ziarah jenazah malam ni?"

ibu_suri bersama Mak Cik Zah yang bercermin mata 
sedang membungkus Teh Boh

Aku teringat waktu-waktu aku selalu juga pergi ke rumah beliau yang berbinaan kayu bercat hijau dan terletak di lereng bukit, tengah-tengah ladang teh. Masa itu Along, Angah dan CT masih kecil bermain-main dengan traktor dan itik angsa yang berkeliaran...

"Abang... jom jalan-jalan hiburkan hati I ni..." pinta ibu_suri sambil membilang 1..2..3.. sebagai isyarat yang permintaannya itu tidak boleh ditangguhkan. Aku tahu, itu maknanya dia sedang tenggelam dalam kesedihan!

Sabtu, 9 Ogos 2014

2 Minggu Tak lama...

Berlansung Majlis Keraian pada penerima MSS jam 4 petang tadi di bilik Mutiara 1. Ramai yang datang tapi tak ramai yang tampil berikan sepatah dua kata.

Kemudiannya, sedikit jamuan di kafetaria. Memang mesra dan saling meraikan. Bayangkanlah... setelah 30 tahun lebih aku makan gaji di RENESAS Semiconductor (M) Sdn Bhd ini persis satu kejutan bukan saja pada penerima MSS malah juga pada yang tidak menerima; tetiba akan kehilangan sebegitu ramai kawan-kawan lama dalam satu masa.

Blogger JH (baju putih/cokelat) selaku pengelola majlis

Aku diminta berikan ucapan

Jamuan... ramaikan!

Tapi aku masih ada 2 minggu lagi. Minggu depan aku akan clean up saki baki kerja. Minggu ke dua aku akan kemas barang-barang aku untuk di bawa balik. Segala sijil, nota, gambar dan format kerja akan aku salin ke cakera keras dan padamkan dari komputer di meja. 

2 minggu tak lama mana. Aku akan menjadi penganggur terhormat juga akhirnya...

Jumaat, 8 Ogos 2014

Alam Baru

Kawan sekerja yang akan melalui last day Jumaat ini dah mula pack barang. Aku yang di extend  2 minggu lagi hanya melempar senyum. Tak dapat nak bayangkan minggu depan; bagaimana agaknya suasana kerja dan makan di kantin tanpa geng-geng lama ini.

Aku bicarakan pada JH bahawa aku perlu menyediakan diri dari sekarang untuk berhadapan dengan dunia baru ini. Dunia yang akan sunyi dari gelak tawa otaai-otai dan kesibukan trafik pergi dan balik kerja.

Ramai bertanya; aku nak buat apa bila berhenti kerja nanti? Aku cuma jawap... belum ada apa-apa rancangan. Dalam pada itu ada juga offer dari seseorang yang sedang setup satu bisnes ala-ala bidang kerja aku sekarang ini - calibration. Kalau betul menjadi kenyataan, aku akan menjadi mobile staff  yang tidak terikat dengan punch card. Not bad, kan! Justeru aku akan pastikan segala sijil-sijil kursus calibration itu akan aku bawa pulang bersekali dengan nota-nota kursus. Paling berharga ialah sijil kursus ISO/IEC 17025.

Sudah tenunya beberapa hari pertama aku akan menilai perbelanjaan keseluruhanku berbanding pampasan yang akan aku terima. Tolak bahagi dharab semuanya. Aku bercadang untuk menyimpan sebahagian dari pendapatan aku itu ke dalam akaun LUTH yang aku kira akan selamat dari urusan zakat, tinggi pulangan keuntungan setiap tahun dan terjamin konsep halalan toyyibannya. Apa pendapat kalian?

Kemudian aku akan bawa ibu_suri berjalan-jalan menziarahi saudara mara yang jarang-jarang dapat aku temui. Itu mungkin untuk seminggu. Tak seperti orang lain yang aku dengar ada yang hendak pergi melancong ke tempat-tempat peranginan. Pada aku itu cuma menghabiskan duit tanpa mendapat apa-apa pulangan yang lebih mendatangkan keberkatan.

Umrah? Hum... itu perancangan bila mencapai umur 55 nanti!

Selepas itu aku akan mula memancing kerja yang sesuai dengan usia dan kemampuan. Alaaa... kerja-kerja biasa. Cuci pejabat ke atau kerja kat stesyen petrol. Kerja dengan Propel cuci tandas RnR pun ok juga...

"Betul ke ayah boleh buat kerja macam tu? Dah puluh tahun ayah kerja dalam ofis dan pegang pen serta screw driver je...?" soal Angah!

Khamis, 7 Ogos 2014

Puasa Syukur

Alhamdulillah, odit oleh SIRIM di ofis aku tadi berakhir dengan tanpa NCR. Begitu manis kesudahan odit ini hingga buatkan hatiku terasa lapang dan gembira kerana berjaya melaluinya. Ibarat perumpamaan: harimau mati meninggalkan belang, aku pergi meninggalkan nama yang baik.

Tapi tulah dia.... selepas cabaran menguruskan hal-hal puasa keluarga pada Ramadhan yang lalu, kemudian mengurus hal-hal Syawal pula disambung bertali arus dengan persiapan menghadapi odit. Tak cukup dengan stayback untuk sudahkan kerja pada hari-hari biasa aku datang pada hujung minggu. (Alangkah hebatnya kalau boleh buat begini juga dalam kerja-kerja dakwah, kan!)

Bos pula saban hari datang ke ofis untuk followup. Kekadang keluar dengan muka yang merah. 

Aku tetap ingat pada pesan mak bilamana berhadapan dengan masa-masa getir seperti ini. Pesan mak;

"Laluilah setiap hari yang susah itu satu demi satu dengan sabar dan doa. InsyaAllah, akan sampai satu masa kamu akan berjaya menempuhinya."

Masa-masa beginilah aku paling banyak berdoa dan berserah pada Tuhan. Solat Hajat dan bersendirian.

Semasa odit tadi seolah-olah Tuhan memakbulkan semuanya. Banyak dari aktiviti odit tadi seperti Allah yang dorongkan ianya lancar dan sempurna. 

Aku amat berterima kasih pada pasukan sokonganku seperti Junaidi, Mahadev, Ong WH (bos aku), Gan CH, Ong KS (QA), Xavier, Kamal, Ananda Raja dan Lim SC (PUR) yang banyak membantu dengan begitu positif. Maklumlah, aku ni bukan reti bercakap. Depa-depa nilah yang akan menjawap atau berhujah dengan oditor En Kamarul bila saja aku stuck dengan soalan-soalan perangkap.

Balik kerja dalam kereta tadi aku teringat nak lakukan puasa sehari tanda syukurku pada Allah, sebaik-baik tempat bergantung.

Lepas sudah satu galang. Kini aku boleh fokus kepada persiapan untuk dunia baruku.... dunia tanpa pekerjaan.

Khabarnya, esok akan ada Hi-Tea untuk penerima MSS seperti aku. Aku baru saja dapat talipon dari pihak HR yang memberitahu bahawa bos minta aku extend selama 2 minggu lagi untuk train pengganti aku.

Walaupun bila aku beritahu ibu_suri akan berita itu mukanya agak kurang senang, aku take it easy. Tak apalah, sabar sat... 2 minggu saja. Kesian juga kat depa yang tinggal terkontang kanting.

Selasa, 5 Ogos 2014

Otai Ba

Hari ini dah mula odit SIRIM selama 3 hari. Esok depa akan masuk kebilik aku belah petang. Lebih kurang 3 jam aku akan berdepan dengan soalan mereka. Ni rasa nak demam tak demam sama banyak. Dah berhari-hari aku balik lewat atau datang walaupun hari cuti. 

Walau macammana rasa tertekan atau letih, bila balik rumah tetap lepas itu bawa ibu_suri jalan-jalan. Harap lepas aku berhenti kerja sekitar seminggu dua lagi ini, aku akan rasa lega dan lapang dada.

Hari ini sorang kawan aku, last day. Gelaran popularnya.. Otai Ba. Nampak je kecik molek tapi isteri 2 tu be... Tapi dia seorang suami yang baik dan adil serta bertanggungjawap.

Otai Ba... tahun 70an...

Khabarnya aku diminta oleh bos untuk sambung kerja selama 2~3 minggu lagi sebab nak latih orang baru. Aku kesian juga lalu setuju tapi ibu_suri pula bising dan merungut. sabar ajelah... Dia mana tahu selok belok dan susahpayah kerja aku. Yang dia mahu ialah aku sentiasa ada di depan mata dia.

Namun, aku tahu masa akan terus berjalan dan masa aku untuk keluar dari segala beban kerja akan sampai juga. Malah masa aku tua dan kemudiannya ajal juga akan tiba.

Doakan aku agar odit aku esok berjalan dengan baik. Bos kata, kalau auditor jumpa kesilapan yang sama berulang kali ini, mungkin sijil ISO syarikat aku akan digantung. Fuhhhh... berat tu!

Oklah... stop kat sini. Bising bebenor ibu_suri ni sebab katnya aku lama sangat mengadap laptop. Dia mau aku bawa dia jalan-jalan....

Isnin, 4 Ogos 2014

Rosa T

Along baru saja balik semula ke Puchong Aku hantar ke Stesyen Keretapi Bukit Mertajam di Permatang Rawa tadi. 

Sebelum balik, dia sempat berpesan pada ibunya supaya jangan lupa menggunakan krim Rosa T pada 'jerawat' di muka yang nampaknya agak lain dari biasa. Aku tak kisah pun selama hari ini. Pada aku, biasalah jerawat..

"Tapi Along rasa ni jerawat lain macam je, ayah." ujar Along bilamana aku jawap, nanti aku rujuk kat doktor bila sampai masa ibu_suri kena pergi untuk rawatan susulan hipertensinya di Klinik Kubang Semang. 

Pun jauh dalam hati terasa sejuk. Rupanya, ada juga keprihatinan dari anak aku yang seorang ini akan perihal kesihatan ibunya.

Memang kita sebenarnya perlu pada sesaorang lain yang ambil berat tentang kita. Kita kekadang tidak perasan sesuatu yang tidak normal berlaku ke atas diri kita. Kita ingatkan itu perkara biasa sehinggalah ada orang memberitahu kita dan lagi hebatnya ialah dia cuba membantu kita dengan berbuat sesuatu.

Manalah aku tahu pasal Rosa T. 


"Ayah, agaknya pencuci muka Safi Rania Gold yang ibu pakai tu tak sesuai dengan kulit muka ibu. Ayah suruh ibu jangan guna la..."

"Aiii.... dah bertahun-tahun ibu guna pencuci muka tu. Takkan la ni tiba-tiba tak ok pulak!" ujarku sambil membelek tiub Rosa T, kut kut ianya produk dari Israel. Tak jumpa apa-apa.

Kesian juga kat ibu_suri. bila ditanya tadi, rupanya 'jerawat' iu menyakitkan.

Silap aku kerana selama ini tak pernah ambil tahu!

Ahad, 3 Ogos 2014

Alam Baru

Tidak lama sangat lagi. Selangkah demi selangkah hari dan hari ini bergerak meninggalkan peristiwa yang lama dan mendatangi ke peristiwa yang baru. Sekaligus aku perlu menyediakan diri dengan alam baru yang akan aku tempuh - alam tanpa kerja. Kekadang ada seronoknya. Kekadang ada rasa bimbang.

Aku sempat berbual dengan blogger KucingModen semasa makan tengahari di kafetaria tempat kerja tengahari semalam. Aku beritahu dia bahawa apabila aku tersedar yang aku sudah berada di usia ini, terasa terlalu cepat masa berlalu. Seperti tidak percaya bahawa aku telah pun menempuh gerbang pekerjaan ini selama 30 tahun.

Aku juga beritahu dia bahawa kerjabuat Allah yang telah diperuntukkan untuk aku rupanya sejajar dengan kemampuan aku memikulnya.

Aku merasakan bahawa liku-liku kehidupanku ini rupanya sesuai dengan kemampuan aku menanganinya. Allah itu maha mengetahui dan mengasihi hambaNya. Maka diberikannya aku susahpayah dalam hidup agar aku selalu tidak tersasar dari mengingatiNya.

Aku rasa beruntung mendapat isteri seperti ibu_suri yang walaupun sedikit keras tetapi seimbang dengan aku yang agak lembut. Punyai anak yang tidaklah ramai dan lelaki kesemuanya sesuai dengan kemampuan aku menjaga kebajikan meraka. Punyai rakan yang mengambil berat bila susah, dipertemukan dengan jamaah yang memudahkan aku memahami hakikat sebagai seorang daie dan yang paling penting masih diberi peluang untuk terus menghirup udara yang permai bagi melansungkan kehidupan, memperbetulkan landasan dan menyimpan bekalan.

Kini tiba masa untuk aku merubah pemikiranku sejajar dengan alam baru yang akan aku tempuh. Bayangkan, selama 30 tahun aku menjalani separuh dari setiap hariku dengan kerja tetiba masa-masa sibuk itu akan menjadi masa-masa kosong. Masa yang kalau aku tidak ganti dengan aktiviti akan membuat aku akan menjadi cepat sakit dan cepat nampak tua.

Aku tidak tahu apa rasanya alam baru ini. Pahit atau manis atau hambar.... atau menyeramkan!

Sabtu, 2 Ogos 2014

Merdeka

Tak tahu nak tulis apa. Cuma ikut gerak hati.

Minggu depan  Selasa akan mula odit SIRIM di tempat kerja. Herannya, aku agak relaks, tak seperti odit di tahun-tahun lepas; rasa nak demam, nak berhenti kerja semuanya ada. Mungkin agaknya sebab dah ada pengganti aku yangmana dia dipertanggungjawapkan untuk menjawap semua soalan auditor kelak.

Atau mungkin juga agaknya sebab aku dah terbahang dengan mood berhenti kerja sebaik saja odit ini selesai 7hb kelak. Umpama satu beban di bahu dah terhumban jauh ke tengah laut.

Tapi sebenarnya, Akhmal masih menjadi satu kemelut yang berlegar dalam dada. Aku perlu berusaha memperelokkan masa depannya. Macam mana... aku kena fikir. Dia sudah menjadi tanggungjawap aku. Allahlah yang merencanakan semua ini.

Along akan balik semula ke Puchong Ahad ini. Rumah aku sunyi semula. Tapi aku memang suka suasana rumah yang sunyi. Senang nak urus ibu_suri.

Aku bercadang, sebaik dapatlah uang pampasan dari perberhentian kerja aku nanti, antara perkara pertama yang nak aku perbuat ialah beli peti ais baru untuk mak. Kesian aku tengok peti ais mak yang ada sekarang. Kotor dan berbau. Tapi pun, sebenarnya bukan mak yang akan menikmati peti ais baru tu sebab mak lumpuh sebelah badan. Ia cuma memudahkan tugas adikku - Duyah yang diamanahkan menjaga mak menyelenggara barang-barang dapur.

Ntahlah, macam tak sabar rasanya nak tungguh 'Hari Merdeka'ku pada 8hb ini. Merdeka dari tekanan kerja tapi belum merdeka sepenuhnya dari permasaalahan hidup masa depan!