Halaman

Selasa, 30 September 2014

Motivasi

Malam ini aku tak dapat tidur. Aku banyak habiskan masa membaca dan menulis di depan laptop.

Kekadang terfikir untuk memiliki sebuah laptop sendiri. Laptop sekarang adalah milik Along. Selalu berebut dengan Akhmal yang mutakhir ini suka bermain game mengunakan laptop ini.

Beberapa kali aku ulang tonton klip video ini. Ianya seakan memberi motivasi untuk aku terus menjaga ibu_suri selagi ada dayaupayaku.

Hmm... Nak pergi minum sekejap. Tak lama lagi azan Subuh....







Isnin, 29 September 2014

Masak


Dah tengahari ni tapi masih belum ada apa juadah untuk makan. Terasa malas sangat nak memasak walaupun ikan yang Angah bagi semalam dan sayur yang Yanti, anak saudara bagi 2 hari lepas dah dikeluarkan dari peti ais.

Akhmal dan ibu-suri baru saja tidur. Kesian juga kat ibu_suri kerana pintanya untuk keluar jalan-jalan aku buat tak dengar. Sebenarnya, aku pun dah jemu dan tak tahu kemana lagi nak bawa dia ronda.

Hmmmm.... Mungkin bagusnya kalau aku pi mandi dulu - bersihkan diri sebersih-bersihnya. Baru lancar otak untuk berfikir dan segar semangat untuk ke dapur.

Perut pun dah mula kruk...krak...kruk...krak... ni....

Skim Cepat Kaya


2 hari sudah, kuliah Maghrib oleh Ust Fawwaz di masjid kediamanku. Beliau sambung kupasan tentang 10 perbuatan yang mudah untuk mendapatkan ganjaran pahala.

Dalam penyampaian tu sempat UF sebut pasal Fadilat Solat Qabliyah Subuh. Kalau tak sempat jika bila kita sampai masjid, solat telah didirikan, boleh qada' solat tersebut. Menunjukkan betapa berharganya Qabliyyah subuh ini.

Patutlah berharga... ujarku pada ibu_suri semalam... Nak p solat Subuh cun-cun sebelum takbir pertama pun pun payah, tambah nak sampai awal untuk buat sunat...

Ahad, 28 September 2014

Dhuha


Alhamdulillah... ibu_suri sekarang sudah mula tahu solat Dhuha. Setiap kali ada di rumah, dia tak lupa untuk mendirikannya.

Ini juga atas kesabaran aku memujuk dan menunjukkanya cara paling sesuai paling mudah mengerjakannya. Ujarku, buat yang rukun sahaja pun sudah cukup. Selagi mana ianya ikhlas, tertib dan cermat, insyaAllah... solat itu akan diterima Tuhan.

Sejuk hatiku mendengarnya bila tanpa aku bertanya dia memberitahu bahawa dia sudah pun bersolat Dhuha semasa aku pergi riadah tadi.

Hik... Aku sebenarnya ambil kesempatan bilamana ibu_suri masih tidur, senyap-senyap capai kunci kereta. Hari ini sasaran aku untuk berjalan sejauh 6 pusingan berjaya. Bukan apa, jealous bila blogger JR beritahu dia selalu berjogging 6 km sehari.

Selesai riadah aku terus buat solat Dhuha di surau kompleks MPSP itu. Kemudian baru singgah minum di kedai tepi Masjid Kubang Semang, macam selalu...!

Sabtu, 27 September 2014

Gula Stevia



Semalam aku bawa ibu_suri jalan-jalan di Sungai Petani. Sana, ibu_suri suka singgah makan di kedai Tom Yam kat Tikam Batu. Selalunya ibu_suri order nasi paprik ayam. Tak lupa solat di masjid tak jauh dari Sekolah Islah, tempat Along belajar dulu. Macam biasa, ibu_suri sembahyang di dalam kereta.

Lansung pergi ke Hasani Book Store tengok-tengok buku dan cd. Kemudian ke Fatimah Bakery - beli maruku dan kuih kapal terbang. Aku suka jamu mata melihat barangan muslim yang tak pernah dilihat di mana-mana pasaraya biasa.

Aku tertarik dengan kotak gula stevia dan teh herba jenama Hemani yang ditulis sebagai berupaya mengawal kandungan gula dalam badan. Beli 1 set untuk mencuba.

Jumaat, 26 September 2014

Qurban


Jumaat tadi, diumumkan Sabtu malam ada mesyuarat tentang program Qurban di masjid. Ini kali pertama aku cuba untuk hadir selama bermustautin di sini. 

Sejak tidak lagi bekerja, aku mula dapat merasakan hubungan bermasyarakat. Berjamaah bersama, gotong royong, dengar kuliah dan hadir di jemputan majlis doa selamat. Macam masa aku kecil-kecil dulu di kampung.

Bila adik aku yang tinggal di Shah Alam menalipon tadi, aku beritahu bahawa aku mungkin tak balik kampung awal seperti Raya Haji sebelum ini. Walaupun aku tahu ini akan memberi sedikit kesan pada mak, tapi aku pun agak mak akan faham, kenapa. InsyaAllah... mak, aku akan balik juga bila semua dah selesai.  

Rabu, 24 September 2014

Lampu LED


Setiap kali aku mengadap laptop waktu malam, ibu_suri pasti akan mencecer kerana cerah lampu dan bising lagu membuatkan dia tidak boleh memicing mata. Sudahnya, aku terpaksa memendam rasa dan memaksa diri meraba-raba dalam samar cahaya skrin laptop untuk terus berblog tanpa hibur.

Petang tadi aku ke kedai komputer belakang Pacific Mall, Perai membeli lampu LED untuk laptop. Murah je... 5 ringgit.

Dan aku cari balik earphone yang diberi percuma bersekali dengan handset yang aku beli dulu. Alhamdulillah, boleh guna untuk laptop juga rupanya.

Hummm... beristerikan wanita seperti ibu_suri ini banyak mengajar aku erti sabar, berlapang dada dan bertindak secara win-win situation.

Jadi la ni... aku boleh menulis dengan selesa dan ibu_suri pun mendapat dengkuran yang aman. 

Selasa, 23 September 2014

Riadah Pagi


Bezanya dengan  Mengkuang Dam dan Taman Tunku -  kat sini kemudahan riadah lebih lengkap. Peralatan gym banyak didirikan. Istimewanya, ada Reflexology Path. Angahlah yang bagitau aku sebelum ini setelah dia bawa anak-anaknya mandi di kolam bersebelahan.

Ini hari kedua aku jogging di sini. Oleh kerana ibu_suri tak ikut sama, aku riadah sepuasnya hampir 1 jam. Sakit juga tapak kaki aku yang cuba memijak batu-batu kecil itu sekitar 2 pusingan. 

Yang lecehnya nak ke sini terpaksa lalui jalan yang sibuk dan banyak traffic light. Sesekali riadah, aku terganggu dengan salakan anjing dan deram kenderaan.

Isnin, 22 September 2014

Telekong



Sebelum ini susah juga nak pastikan ibu_suri tetap tunaikan solat sekalipun ketika jalan-jalan. Dia selalu mengqada'kannya di rumah.

Siang tadi aku selongkar almari pakaiannya dan terjumpa telekong yang masih baru tergantung. Jawap ibu_suri itu telekong hadiah orang balik dari Mekah. Tak pakai sebab tidak ada kain.

"Kenapa tak guna aje kain batik? Tak semestinya telekong putih mesti guna kain putih untuk tutup bahagian kaki."

Maghrib dan Isya' tadi kami singgah di Masjid Tuanku Abdul Rahman, Sungai Limau, Kulim. Aku parkir kereta mengikut lurus masjid menghadap Kiblat. Terus ibu_suri yang masih  ada wudhuk menunaikan solat secara duduk di dalam kereta menggunakan telekong dan kain batik yang aku khaskan untuk kereta. Kan senang!

Ahad, 21 September 2014

LIKE


Rasanya ini kali pertama komen aku mendapat LIKE yang banyak. Aku pun tak tahu sejauhmana benarnya pendapat aku itu atau sejauhmana fahamnya mereka yang LIKE akan maksud komen aku itu.

Apapun, sebenarnya aku menulis mengikut apa yang aku faham. Untuk ini aku amat berterima kasih kepada Allah kerana menemukan aku dengan jamaah yang banyak membimbing aku dalam tarbiyah, uslub dakwah dan berhikmah.

Renungan


Siang tadi aku dapat berita bahawa sahabatku dalam jamaah yang juga sahabat sekerja dulu telah kembali ke rahmatullah pada usia mungkin sekitar 50an seperti aku. Tak sempat nak hadir di pengkebumiannya. 

Aku juga tersilap kerana tidak teringat lansung untuk ziarah dia selama dia berada di hospital sedangkan aku memang pernah pergi ke HBPP kerana mengambil stok baru ubat ibu_suri.

Namun aku sempat ziarah jiranku yang baru saja mengalami kelumpuhan di sebelah kanan badan akibat stroke. Sebelum ini dia adalah peniaga kecil menjual roti sorai di Pasar Awam Penanti.

Sebaik selesai solat di masjid kediamanku Asar tadi, aku menyendiri di dalam kereta memikirkan diri sendiri dan keluarga. Kesemuanya kejadian itu menimbulkan kesedaran bahawa aku juga bila-bila masa boleh menjadi seperti mereka. Sedangkan senarai panjang tugasan masih banyak yang belum siap.

Pun, tidak ada apa yang perlu di kesalkan. Masa masih ada walaupun ianya semakin berkurangan. Aku akan terus lalui satu persatu, selesaikan satu persatu dan perbaiki juga... satu persatu.

Aku akan buat mana yang terdaya; akan pikul mana yang termampu dan akan selalu positif pada apa saja yang bakal mendatang.

Renung renung begitu lansung tak sedar yang aku tertidur di kereta hingga lebih setengah jam juga... adanya. Balik ke rumah... panjang lebar soalan dari ibu_suri!

Jumaat, 19 September 2014

Imam Solat Jenazah


2 hari sudah ada kematian di kediamanku. Che Cher yang tinggal di Lorong 18. Lepas solat Asar, sesama kami menyegerakan solat jenazah.

Selesai solat aku bergegas ke kereta. Ntah kenapa aku teringat sangat pada allahyarham adikku Niza (sini). Seperti ada rasa terkilan di hati kerana gagalnya di antara kami adik beradik lelaki menjadi imam menyembahyangkannya pada hari itu.

Aku sms pada semua adik-adikku begini:

'Yop harap lain kali jika ada sesiapa di antara kita atau mak kita meninggal dunia, harap kita dapat menjadi imam menyembahyangkannya...'

Aku menarik nafas panjang. Walaupun aku masih boleh dikatakan rasa puas kerana dapat menguruskan permandian, pengkafanan, dan pengkebumian adikku Niza dengan tangan kami adik beradik dan anak beranak dia namun sewaktu menyembahyangkannya kami hanya sekadar menjadi makmum.

Alangkah baik jika selepas ini kami maju setahap lagi dengan antara kami kedepan menjadi imam kepada solat jenazah antara kami nanti.

Ya... keberangkalian bolehnya itu bermulanya dari sekarang!

Khamis, 18 September 2014

Khabar Buat Ibu

Sambil memandu kereta, rutin bawa ibu_suri jalan-jalan tadi, aku pasang cd Alleycats 6. Dari satu selekoh ke satu selekoh menyusuri Jalan Permatang Nibong, dari satu lagu ke satu lagu menganjak, tetiba....

 "Abang ingat lagi tak lagu ni abang bagi kat Eda?"...


Ha... ha... memang dah tahu. Malah aku beli cd ini dari kedai Siau Music di BM pun kerana adanya lagu ini. Antara banyak lagu yang menjadi kenangan aku bersama ibu_suri dulu....


Walaupun bukan semua hasrat di dalam lirik lagu itu tercapai namun paling tidak aku telah membuktikan hingga setakat ini bahawa aku tetap menghormatinya sebagai isteri. Tidak pernah lagi aku berkasar dengannya jauh sekali meninggalkan dia dalam keadaan begini...

Muga Allah terus beri kekuatan padaku untuk menjaganya hingga ke akhir hayat aku atau ibu_suri.

Tidur dulu.... hik... 8 pagi sat lagi kena bawa ibu_suri ke klinik untuk berjumpa dengan Doktor Aslina di KK Kubang Semang.

Rabu, 17 September 2014

Pak Long

Tak tahu apa dah jadi dengan blog aku ni. Layoutnya berselerak. Tak boleh baca komen apatah lagi nak balas. Humm.. tak ngapalah... Senang-senang nanti aku belek-belek lah dia... 

Nak sambung citer yang aku tulis semalam di sini.

Jumaat yakni hari ke 3 selepas pemergian Niza. Tatkala aku memandu Viva aku balik dari solat Jumaat di Masjid Al Khairiah kampungku, aku terima sms dari adik iparku Yati memaklumkan bahawa bapa saudara ibu_suri pula meninggal dunia pada pagi itu. Pak Long adalah ipar kepada mak ibu_suri.

Berhenti kereta sekejap di pinggir jalan... berfikir. Nampaknya rancangan aku untuk balik esok terpaksa dibatalkan. Aku mesti segera balik walaupun peluang untuk melihat jenazah Pak Long memang tipis kerana kata Yati jenazah akan dikebumi selepas solat Asar hari itu juga.

Soalnya, bagaimana nak bagitau mak yang aku terpaksa bergegas balik? Tentunya yang masaalah bukan mak tapi ibu_suri yang memang lazimnya akan duduk di bilik mak setiap masa pasti akan mendengar pemberitahuan aku kelak.

"Tak pa, ayah... Ayah keluar dulu. Nanti bila Ayah dah keluar, Angah bagitau Opah..."

Orait juga cadangan tu, fikirku. Tapi ibu_suri tetap dapat mencium kelainan keputusan aku untuk balik dengan tergesa-gesa walaupun aku cuba ambil masa untuk mengemas beg dan berjumpa adik-adik serta anak-anak Niza meninggal pesan dan nasihat.

Setiap soalan ibu_suri semasa di kereta aku cuba elak dari menyentuh kenapa mesti balik awal. Aku cuma akan beritahu dia bila sudah sampai di Taiping.

"Ibu dah tahu ke ayah...?" bilamana aku menalipon Angah tatkala berada di Hentian Sungai Bakap untuk melonggarkan urat-urat paha.

"Haahh... No problem... ibu ok..." jawapku ringkas. Tak boleh cakap lebih-lebih. Bimbang nanti ibu_suri dengar dan.... tok..tek...tok..tek...

Sesampai saja di Sungai Ara, rumah Pak Long.. jam dah memasuki waktu maghrib. Tak ngapa sebab aku boleh jama' kat rumah mertua di Taman Buah Pala.

Memang berbeza dari sebelum-sebelum ini, ibu_suri agak cool. Agaknya ubat yang ibu makan setiap 2 kali sehari dan penjagaan emosinya buat ibu_suri mudah diurus walaupun dalam situasi airmata.

Sekalipun terasa amat letih dan sakit-sakit pada anak anjing kakiku yang mungkin akibat dari terlalu banyak berdiri dan berjalan semasa urus jenazah Niza, aku singgah juga di rumah mak. Namun... aduhh...

"Yati pergi KL. Ada kenduri kahwin. Mak dengan abah tinggal berdua aja...." keluh mak.

Aku faham. Itu maknanya tiada siapa yang akan urus atau teman mertua aku yang sudah tua mencecah umur 80an selama 3 hari.

Jika campur 3 hari itu nanti cukup seminggu aku akan abaikan rumah dan Akhmal. 

Ya... Akhmal yang masa aku kalut dengan jenazah Niza, jiran beritahu yang dia pula ditangkap oleh polis yang membuat tangkapan rambang kerana ada kes kecurian motor di taman aku.

Selasa, 16 September 2014

Belasungkawa



Adik Yop yang ke 5, Haniza akhirnya pergi jua menghadap Ilahi setelah bergelut dengan kanser selama beberapa tahun. Bila Yop dapat tahu dari suaminya Samsudin petang 8 hb bahawa Niza dah mula meluahkan apa yang dimakan, Yop nekad untuk cepat-cepat balik.

Yop cuma dapat ziarah Niza pada malam hari esoknya saja. Itupun amat susah nak dapat parkir dekat dengan bibir hospital. Yop nekad tinggalkan yong sendirian di kereta walaupun jauh.

Melihat keadaan Niza yang semakin kritikal; juga berpandukan firasat bahawa 'ia'nya tidak lama,Yop ambil keputusan di luar kebiasaan dengan bermalam di rumah mak walaupun tahu bahwa Yop akan berhadapan risiko menguruskan Yong. Tapi alhamdulillah, Yong pula begitu ok selama bermalam di rumah mak.

9 hb, setelah berbincang dengan Zan, sepupu Yop yang kebetulan jururawat berbaju biru di situ dan dengan doktor yang bertanggungjawap, Niza tidak akan dibuat CPR sebaliknya hanya akan di beri alat bantuan pernafasan.

Pernafasan Niza semakin sukar. Yop selaku anak paling sulong terpaksa memain peranan membuat keputusan dan mengurus suasana. Pengalaman Yop sebagai penyelia semasa kerja, ajk pertubuhan dan biasa menerima tekanan selama menjaga sakit Yong lebih 5 tahun digunakan sebaiknya. Semua adik beradik dan anak-anak Yop dikerah balik sesegera mungkin.

Mak pun terpaksa di bawa datang juga walaupun dalam kepayahan berkerusi roda. Tenang saja wajah mak menunjukkan kebersediaanya menerima apa juga kemungkinan. Yop meraba kaki Niza... sejuk. Perhatikan sebahagian anggota Niza yang dah 'jatuh'.

Pagi 10 hb kira-kira jam 10, Yop mendapat panggilan dari Duyah yang setia menjaga Niza, bahawa Yop diperlukan untuk membuat keputusan keadaan Niza di Hospital Raja Permaisuri Bainun yang di rasakan sudah 'tiada' lagi. 

Bergegas membawa 3 anak-anak Niza ke hospital. Yong pula Yop tinggalkan di rumah. Tak mahu fikir pasal Yong buat sementara sebaliknya fokus pada Niza. Yop cuba bersikap tenang dan berhati-hati. 

Sesampai di hospital, seperti yang Yop jangka, anak-anak Niza baru dapat merasai apa sebenarnya yang sedang dan bakal berlaku. Niza benar-benar sudah 'pergi'.

Hampir semua adik beradik Yop ada di hospital. Keputusan di buat supaya semua urusan mandi dan solat jenazah dibuat di hospital. Yop tugaskan Napi menguruskan soal korek liang dan bagi tahu Imam Lan sementara ipar yang berada di rumah dikerah menyiapkan ruang untuk jenazah diletakkan nanti.

Mamat adalah antara adik Yop yang begitu tekun tanpa bantah membuat apa saja yang Yop arah. Kesian juga Yop melihat dia.

Jenazah di bawa ke bangunan Forensik untuk dimandi, kafan dan disolatkan. Ini adalah pengalaman kali pertama Yop. Dan Yop perlu tunjukkan ketenangan, bersikap 'YES' dalam apa juga tugas yang dipikulkan. Pada Din Yop bagitau, jangan risau pasal duit dan semua urusan Yop yang akan buat. Din cuma perlu tandatangan dan rai sesiapa yang datang sahaja. Cuma Yop letakkan sikit tanggungjawap pada Alep selaku anak lelaki Niza yang sulong. Yop juga anak sulong seperti dia... justeru Yop tahu seberat mana tanggungjawap yang bakal dipikul oleh Alep.

Jam 1 jenazah di bawa balik ke rumah. Orang sudah ramai memenuhi setiap ruang laman. Sanak saudara mula datang. 

Ini pengalaman pertama menguruskan mayat. Baru terasa betapa 'jahil'nya Yop. Beberapa perkara Yop terlepas pandang dan tidak tahu nak buat apa bila disoal oleh adik-adik yang juga mungkin pertama kali. Sebelum ini kebanyakannya diurus oleh abah, mak atau saudara tapi kini kebanyakan mereka sudah tiada dan kamilah yang mau tidak mahu mengambil aleh tugasan.

Ramai orang minta jenazah disolatkan juga di masjid kampung walaupun sudah dilaksanakan di bilik mayat tadi. Imam Lan minta dikebumikan dalam pukul 2 walaupun pelan asal sekitar jam 4 petang. Aku tersepuk di kerusi rumah Duyah bila otak jadi buntu. 

Setelah meminta pandangan Pak Long dan abang Tan, akhirnya Yop beri lampu hijau untuk mayat diturunkan. Seperti lazimnya jenazah, Yop kuatkan diri berdiri di atas tangga rumah walaupun bab bercakap di depan public ni Yop memang tak pandai. Memberi ucapan terima kasih kepada hadirin dan meminta agar redha dan halalkan setiap kesalahan dan makan minum Niza semasa hayatnya dulu.

Setelah 3 kali dibacakan Fatihah, jenazah diarak ke masjid. Setelah disembahyangkan, dimasukkan ke liang dan ditalkinkan, 

Yop menghela nafas panjang. Yop dapat rasakan bahawa Yop masih beruntung dapat menghirup udara di dunia; sempat membuat persediaan sebelum menyusuli Niza dan abah ke alam barzakh.


Catatan ini adalah salinan dari catatan aku di blog keluargaku Sri Mersing.

Selasa, 9 September 2014

Hutangku!



Patutlah beberapa kali aku menalipon Niza, tak angkat. Rupanya dia semakin sakit dan kini diwadkan di Hospital Tuanku Bainun. Adikku yang ke 5 dalam ranking keluarga kami ini menghidap kanser usus. Menurut doktor dah berada di tahap 3.

Aku menalipon dia sebab nak langsaikan baki hutangku kepadanya dulu. Tau-tau bila talipon tak berjawap kemudian aku susuli dengan sms, suami dia yang jawap. Terpempan juga aku seketika. 

Perasaan kesal menyerbu benak. Sepatutnya hutang Nizalah yang mesti aku dahulukan penyelesaiannya, fikirku. Aduhhh... Kenapalah tak terfikir begitu. Apa yang akan terjadi pada aku jika ditakdirkan dia pergi dulu sebelum sempat aku melunaskan hutangku padanya? Uhh....

Haniza, satu-satunya adikku yang aktif dengan kerja kemasyarakatan di kampung persis mak kami dulu. Dia bekerja dengan KEMAS. 

Muga Allah ringankan sakitnya dan berikan yang terbaik untuk dia. Dan yang paling aku harapkan ialah... dia mengetahui hutangku telah dilangsaikan dan dia redha ke atas itu... aamiin....

Ustaz Mat Teh O


Selama ini aku cuma dengar namanya saja yang agak funny. Lepas Maghrib tadi barulah aku melihatnya dengan mata sendiri.

Selesai solat, diumum bahawa ada kuliah tentang Umrah. Otomatik, aku batalkan niat aku nak cunggit ke pekan Penanti untuk fotostat slip bank bayaran zakat dan beri pada Atan selaku wakil bagi pihak IKRAM. 

Terpaku juga mengikuti silibus Umrah ni. Dulu aku tak minat lansung nak dengar kuliah macam gini. Tapi ntah kenapa mutakhir ini hati aku terpaut. Rupanya tak semudah ABC..

Isnin, 8 September 2014

Selagi Boleh Makan



Baru balik dari ziarah mertua di Taman Buah Pala. Bukan main lagi abah beriya suruh aku beli kan martabak, capati serta kari ikan bawal.

"Kamu jangan bawak keluar duit. Nah, ambil duit aku ni. 10 ringgit habuan isi minyak."

Semenjak aku bersara ni abah seperti teramat simpati hingga tidak mahu aku keluar barang sesen pun beli makan. Abah memang tak berkira sangat pasal makan. Bagi dia, selagi boleh makan.... makan. Nanti kalau dah tak boleh makan, duit setinggi orang pun tak ada gunanya, kata abah.

Aku isi juga minyak kereta walaupun ibu_suri beriya-iya kata jangan ambil duit abah. Bagi aku lebih baik ikut cakap abah untuk ambil hati dia. Sebelum ini aku dah kerap sangat taici.

Macam selalu, aku beli kari ikan kat Restoran Deen di Jelutong walaupun terpaksa beratur panjang. Tak lupa beli mi goreng di lorong pasar tak jauh dari situ. Kira, sep la duit aku untuk makan malam sebab abah belanja...hik!

Ahad, 7 September 2014

Gotong Royong


Masjid Taman Guar Perahu

Sepada juga gotong royong kat masjid tadi pagi.  Gotong royong membuat palong untuk sembelihan qurban.

Mulanya buat parit. Lepas tu tolong bawa simen dengan kereta sorong ke tapak sembelih. Lepas tu, bila hari makin tinggi, masing-masing dah mula bersandar di kerusi sambil minum dan makan. Aku kasihan melihat 2-3 orang saja yang membancuh simen. Aku pun tolong sama. Fuhhh... sakit pinggang le kome...

Tangan melecet usah kata. Maklum la... bertahun-tahun kerja cuma pegang pen, probe dan keyboard. Pagi ini baru la terasa halal punya bantingan tulang empat kerat.

Tapi memang puas walaupun ganjarannya insyaAllah, harap-harap Allah bayar di akhirat nanti. Terasa rugi kerana aku tidak pun perbuat ini semua dari dulu. Dari aku muda-muda dulu...

Terasa beruntung sebab pengalaman dan pengetahuan semasa aktif dalam NGO dan usrah mengajar aku supaya membuat kerja hingga siap tanpa banyak berkira.

Malam sat lagi mesti tidur lena ni....

Belanjawan



Ramai kawan-kawan  menasihati supaya jangan lama sangat 'makan angin' sebaliknya cari apa-apa kerja selepas 3-4 hari bersara, Mulanya aku pun ingat macam tu.

Tetapi masuk hari ini dah 2 minggu aku rileks di rumah. Tak terasa pula boring malah siang terasa cepat bertukar malam. Ada saja kerja yang aku buat dan masih banyak yang belum siap. Disamping itu, senarai panjang belanjawan masih belum selesai. Aku terpaksa buat sikit-sikit sebab kekangan tertentu.

Apatah lagi bila semalam di TH, aku dapat tahu musim umrah bermula Disember nanti. Mungkinkah kalau gitu, aku akan hanya memikirkan pasal kerja pada tahun depan?

Sebenarnya... jika cermat mengurus belanjawan, insyaAllah, aku masih boleh hidup dengan pampasan yang ada untuk setahun lagi tanpa kerja.

Sabtu, 6 September 2014

Menu


Tengahari ni, aku tumis sayur air saja antara menu makan tengahari. Anak sedara aku yang bekerja di gerai jual barang basah tepi jalan depan astaka kerap bagi aku sayuran lebihan jualan. Alhamdulillah, takat nak makan sayur hijau.... no problem.

Lagi satu, dia kerap bagi buah naga. Pada ibu_suri, buah ini pelik. Aku beritahu bahawa buah ini banyak  khasiatnya. Baik untuk mata, buah pinggang dan kawal kolestrol. Kata orang, buah naga warna unggu lebih baik dari warna putih. Tak pernah lagilah terjumpa yang warna putih tu!

Untuk lauk dan kuah gulai, aku ingat nak beli saja kat kedai makan di astaka. Sekrang pun dah dekat 11 setengah. Cepat pergi cepat balik. Boleh siap-siap untuk Zohor di masjid pula. Pagi tadi miss la pulak....

Imbasan Naluri



Alhamdulillah, aku dah pun daftar nama di Tabung Haji semalam. Mudah-mudahan, aku sempat bawa ibu_suri bersama menatap wajah Kaabah pada 2074 nani... erkksss....

Percaya tak, aku daftar nama ibu_suri tanpa perlu dia ada di kaunter. 

"Isteri saya tak boleh nak berjalan ke sini sebab parkir kereta jauh..."

Ntah kenapa, memang ramai sangat orang semalam di TH Perda. Aku hampir putus asa nak terus mendaftar. Mujur, aku cuba juga tekan nombor giliran, rupanya untuk mendaftar akaun baru hanya Q untuk 3 orang saja lagi. Rezeki ibu_surilah tu...

Sempat bertanya pasal Umrah. Kaunter beri aku pamplet TH Travel. Tapi kena pergi rujuk kat ofisnya di TH Bagan. Uffss... setahu aku, naik ke ofis tu kena memanjat tangga la pulak. Sukar bagi ibu_suri...

Pun insyaAllah, aku cuba try dulu ushar ushar, minggu depan. Walaupun pengetahuan aku kosong pasal Haji dan Umrah ini; dada aku berdebar-debar memikirkannya dan hati ini berbolak balik antara mahu terus mengusahakan atau tangguh dulu.... ahhh....

Di masa-masa berada di persimpangan begini, aku selalunya diam seketika... mengimbas apa kata gerak hati...

Jumaat, 5 September 2014

Habbatus Sauda


Hari ini rasa beruntung sebab khatib dan imam Jumaat adalah Ustaz Badrul Amin (UBA). Memang tahu dah... mesti tak ngantuk punya.

Khutbahnya memang tak guna teks. Suaranya yang garau memang menyentuh. Apa lagi bila dia berzikir. Kupas isu erti kemerdekaan yang sebenarnya. Walaupun kupasan ini dah acapkali aku dengar tapi gaya yang dibawa oleh UBA memang idak menjemukan. 

Selesai sembahyang, UBA umum ada bawa jualan produk berasaskan Habbatus Sauda dari Maahad... err... lupa. Aku baru teringat rupanya aku dah lama tak amalkan pemakanan Habbatus Sauda. Ntah macammana boleh terencat pula amalan ini.

Aku terfikir, kenapa tidak aku tukar amalan gemar minum Alitea kepada minuman Habbatus Sauda? Walaupun pada dasarnya aku tahu habit meminum kopi segera ini tidak baik untuk kesihatan namun susah nak dibuang. Agaknya macam susahnya perokok nak berhenti merokok.

Aku beli sebungkus yang mengandungi 10 peket dengan harga RM14. Bila ibu_suri tahu, bising jugalah dia sebab katanya harga itu mahal. 

Hik!



Lampu Merah Depan masjid


Aku amat memahami gaya renungan dan bual ibu_suri. Dia ada sekelumit rasa irihati. 

Birasku sedang sibuk ubahsuai rumah, beli perabot baru, baikpulih dan cat kereta. Bebaru ini pula membawa seluruh keluarga dan menantu bercuti ke Langkawi. Fully sponsored. Maklumlah, rezeki umur 55.

Sedangkan aku tidak seperti itu. Sebaliknya mahu melangsai hutang, bayar zakat, sumbang sana sini dan menyimpan di TH.

Aku cuba memahamkan dia bahawa sebenarnya kita sudahpun ubahsuai rumah dulu. Kita dah jenuh berjalan ke Pantai Timur, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Taman Negara malah merata negeri semasa aktif dengan JIM. Memadailah....

Sekarang ini umur kita umpama 'rumah kata pi, kubur kata mai'. Kenapa masih memikikan hal-hal dunia, tidak sebaliknya bersiap untuk ke hari akhirat? Tak rasa malu kah dengan Allah kerana masih dengan hubbun dunya yang tidak pernah ada jalan mati?

Perasan tak, lampu merah (red beacon light) kat papan kenyataan depan Masjid Padang Ibu, kelmarin? Itu giliran dia. Giliran kita?

"Abang ni... Awat, suka I mati ke?"

Aku diam. Tahu. Tahu sesangat.

Aku ceritakan semula isi ceramah yang aku dengar kelmarin di sini

Itulah juga sebenarnya yang meransang dia beriya-iya menyuruh aku ke TH sepertimana catatanku di sini. Alhamdulillah!

Khamis, 4 September 2014

Ke TH





















Semalam, ibu_suri bertanya lagi;

"Kata nak buka akaun Tabung Haji. Bila?"

Diam.

"Bukalah cepat-cepat. Kita daftar dulu.."

Mendesak.

Memang aku ada beritahu ibu_suri yang sebahagian dari pampasan akan aku simpan di kedua-dua akaun Tabung Haji kami dengan niat mahu menunaikan Haji. Tapi hingga masa ini masih dok bertangguh.

Usrah tadi, naqib pula menasihatkan kami hal yang sama. Disamping kewajipan, ianya juga satu kesyahduan dan keseronokan yang tak dapat digambarkan. Terasa macam dia kata kat aku pulak!

Memandu balik, aku memikirkan hal ini. Aku bimbang juga. Kelekaan aku uruskan hal-hal lain daripada mengutamakan ke Tabung Haji pertanda tidak ada hidayah dari Allah untuk aku ke arah itu. Aduhai... bimbangnya aku!

Aku pun beritahu ibu_suri, esok kita pi Tabung Haji ya...

Tersungging senyuman ibu_suri! 

Kawan



Semalam Angah datang bersama Marissa. Macam selalu... selalu sejak aku dapat MSS ini...

"Ayah.. Macam mana dengan ayah punya plan.. on schedule ka..?"

Dan seterusnya...pot..pet...pot...pet.. menasihatkan aku... begitu dan begini.. Lagu yang dah hampir sama aku mendengarnya dari setiap orang yang aku jumpa sejak bersara ini.

Bila aku ke rumah mertua, bapa mertua aku pun tak henti-henti bercakap akan bawa aku balik kampung untuk tengok kerja kampung yang boleh di buat. Bila aku jumpa kawan-kawan, ada yang suruh simpan kat sini. Jangan percaya si anu. Jangan rehat lama sangat. Minta kerja kat sini.

Yelah... Silap aku juga. Bila depa tanya... Hang dah ada plan ke nak buat apa lepas ni? Aku jawap... belum ada.

Ada yang tanya... Hang nak buat apa dengan pampasan hang tu? Aku jawap.... tengok dulu!

Takkan aku nak bagitau semuanya apa yang ada dalam benak aku. Aku dah mula belajar dari pengalaman masa mula-mula dulu.

Dulu.. aku ni terlalu betul bendul bagitau apa yang rancang. Yang tak bestnya ada antaranya yang bukan saja menidakkan wawasan aku sebaliknya memperlecehkan hingga buat aku rasa luntur. 

Aku bimbang pada kebenaran kata-kata ini;

'Masa senang kita ramai kawan tapi bila susah kita akan kesaorangan'

Itulah juga yang aku ungkapkan kepada Angah semalam...

Isnin, 1 September 2014

Excell

Pengetahuan aku yang sesikit dalam penggunaan Excell masa kerja dulu rupanya berguna untuk merangka penggunaan pampasan MSS. Baru nampak betapa malangnya aku dek tidak ambil berat soal hutang. Tidak komited untuk lunaskan secepat mungkin sebelum usia mencecah 50.


Aku ambil keputusan untuk menyimpan di 3 lokasi berdasarkan fungsi;

LUTH - untuk simpanan kekal, Haji dan Umrah
BANK RAKYAT - untuk bekalan perbelanjaan selama 9 bulan akan datang
MAYBANK - untuk perbelanjaan sebulan

Aku harap dengan sistem ini aku boleh kawal simpan dan belanjaku. Seiringan itu aku perlu fikir bagaimana nak menjana pendapatan baru.

Aku lebih cenderong untuk memiliki kerja yang flexible hours. Ianya aku kira tidak akan mengikat aku dari membuat usaha-usaha dakwah.

"Abang nak kerja apa yang macam gitu?" soal ibu_suri.

"Err... jual tin-tin minuman ke, online bisnes ke...."

Yer..ke...? Aku meraba dagu yang kasar dek tunggul-tunggul janggut...