Halaman

Jumaat, 31 Oktober 2014

Kawan Lama


Tak sangka, berjumpa dengan kawan lama, Mejar Zaidi dengan keluarganya semasa bawa ibu_suri makan di PFC (Penaga Fried Chicken) malam tadi. Dia menegur aku ketika aku sedang membasuh tangan di singki.

Tapi aku tak banyak cakap sangat selain bertanya khabar dan bertukar nombor talipon. Zaidi seorang yang serius sementara aku pula seorang yang tak banyak cakap. Eloklah tu... Nak tanya lebih-lebih tentang kes dia pun tak sesuai rasanya sebab suasana public.

Ayam goreng kat PFC ini pada aku sama standard dengan KFC. Sos cilinya juga sedap. Jenama Al Hikmah. Harga... berpatutan.

Lokasinya kat Pongsu Seribu. Berdepan dengan Taman Orkid menghala Kepala Batas. 

Balik Kampung


Semasa otw pi masjid untuk solat Subuh, dapat sms dari adik suruh balik tengok-tengok mak. Serta merta hati aku tidak tenteram.

Dari semalam dah rancang nak tengok mertua di Taman Buah Pala sebenarnya. Sekaligus bawa abah pi solat Jumaat kat Masjid At Taqwa, Taman Saadon. Itu akan menjadi rutin tambahanku setiap minggu nampaknya atas permintaan mak mertua. Rasanya untuk kali ini, kena kensel.

Namun masaalah lain pula ialah ibu_suri semalaman tadi tak boleh tidur. Aku agak dia akan mengantuk nanti. Harap emosinya stabil.

Hati aku sebenarnya tidak selesa dengan ke dua-dua suasana ini. Tapi jauh di hati aku berkata... balik kampung itu mesti kerana hari ini adalah hari yang terbaik. Esok terpaksa bawa Akhmal hadir di mahkamah. Kemudian perlu semak dengan kes tuntutan insuran kemalangan Akhmal di pejabat peguam kat Taman Selat.

Selebihnya, aku serah kepada Allah.

Rabu, 29 Oktober 2014

Masjid Abdullah Fahim


Otak aku dah tepu memikirkan kemana lagi nak bawa ibu-suri jalan-jalan tadi. Sudahnya, aku pandu naik ke lebuhraya Sungai Dua. 

Parkir sebentar kat tepi lebuhraya tak jauh dari plaza tol sambil makan karipap gergasi yang aku beli di gerai tepi masjid Kubang Semang tadi. Sesekali memandang cermin belakang... takut ada polis peronda. Dulu dah kena saman sekali...

Pemandangan kapal yang berlabuh di tengah laut memang indah dan mendamaikan jiwa.

"Keluar dari Kubang Semang kena tol. Dari Seberang Jaya nak masuk ke Bagan kena tol. Kat sini pun kena tol.... Habislah duit pampasan berhenti kerja aku dengan benda-benda remeh macam ni jer..." sungut hati kecilku bila melalui lorong Smart Tag.

Jam dah hampir 6.45 petang. Teringat nak terus ke Kepala Batas untuk sembahyang di masjid baru - Masjid Abdullah Fahim.

Aku memang dah lama terpikat dengan masjid ini kerana warna biru kubahnya memang menawan. Dengar khabar, masjid ini ada lif untuk ke tingkat 2.

Sesampai saja aku di sana, azan berkumandang. Aku uruskan dulu arah parkir kereta supaya menghadap kiblat. Selesai memakaikan telekong ibu_suri, aku mendaki tangga masjid. Imam dah mula mengangkat takbir. Dari suara imam aku dapat agak, ini adalah imam muda. Mungkin pelajar tahfiz di masjid ini, tekaanku.

Mencari bilik air punyalah pusing-pusing. Maklumlah, masjid ini besar dan aku pula kurang arif maksud papan tanda arah bilik air. Selesai wudhu, solat dah masuk ke rakaat 3.

Aku dapat tahu masjid ini dibolehgunakan pada Oktober 2012. Maknanya genap 2 tahunlah usia masjid ni. Masjid ini dinamakan Masjid Abdullah Fahim mengambil sempena nama datok kepada mantan PM kita - Abdullah bin Hj Ahmad Badawi. Boleh layari sini untuk gambar menarik.

Kalau exit Kepala Batas dari lebuhraya PLUS ke Utara, kona kiri... terus memandu hingga jumpa kubah biru. Kalau sampai waktu petang, boleh bawa anak-anak berehat di Vision Park.

Isnin, 27 Oktober 2014

Viral


Sesampai di rumah dari kuliah Ustaz Rambo semalam, ibu_suri memanggil perlahan ke dalam bilik.

"Akhmal mengamuk tadi. Tak tau pasai apa. Dia tumbuk pintu dum..dum..dum...!"

"Tak ngapa. Sat lagi ok lah tu..." balasku sambil mengorak senyum dengan harapan akan melegakan perasaan ibu_suri yang aku tahu dalam seribu persoalan. 

Masa kenduri oleh biras aku, Mael tadi pun aku dah perasan. Bila balik ke rumah, Akhmal dengan aweknya ada di laman. Airmuka dan suara mereka aku tahu dalam selisih faham. 

Kemudiannya aku dapat tahu, Akhmal menampar pipi aweknya. Boleh agak bagaimana barannya perangai Akhmal, kan?

Pagi ini giliran menyampu rambut ibu_suri yang bangun awal pula untuk mandi. Dingin cebukkan air dek hujan seharian semalam buat aku juga turut kesejukan. Pagi ini senyum ibu_suri begitu manis.

Berdua mereka inilah antara yang masih menjadi viral dalam timeline hidupku. Sesekali fikir, tanpa mereka berdua, suramlah wall rumah ini...

Teringat mi Duha yang aku beli minggu lepas masih tersimpan. Selesai mandi nanti, aku nak gorengkan mi untuk ibu_suri sebelum rutinnya memakan ubat. Nak try mi buatan Muslim pula, boleh celen mi megi tak....

Ustaz Rambo


Kuliah Maghrib di masjid kediamanku tadi, Ustaz Sobri Arsyad tidak dapat hadir. Dia digantikan dengan Ustaz Rambo. 

Aku pun first time dengar dan tengok ustaz ni. Orangnya muda dan tinggi lampai. Seronok hati aku melihat golongan muda hebat semacam ini.

Penyampaiannya cukup jelas, bertenaga dan semasa. Persembahannya jelas. Kot mana pun penceritaannya, merewang sana sini, dia akan kembali kepada isi asal kuliahnya.

Tadi dia bercakap tentang 3 jenis bumi bila menerima turunnya hujan. Satu - bumi yang menyerap hujan dan sebahagian air hujan itu diberikan semula kepada tumbuhan untuk hidup. Dari hasil tumbuhan itu pula dimanafaatkan oleh manusia. 

Dua - bumi yang tidak menyerap hujan sebaliknya menakung air untuk kegunaan manusia.

Ketiga ialah bumi yang menyerap semata..

Begitulah perumpamaan kepada kita yang hadir kuliah. Ada yang mendengar dan mengamalkan untuk dirinya. Ada yang mendengar, amal dan kemudiannya menyampaikan pula pada orang lain. Ada yang amal pun tidak, menyampai pun tidak.

Pendekata, Ustaz Rambo mau kami yang datang kuliah tadi supaya berhijrah dari yang baik kepada lebih baik.

Kalau nak tonton salah satu kuliah beliau kat sini.

InsyaAllah esok tiba giliran kuliah oleh Tuan Guru Haji Salleh Musa. Kuliah beliau selalunya pada hari Selasa minggu terakhir setiap bulan.

Ahad, 26 Oktober 2014

Lata Mangeshkar

Biasalah.... kalau dah kawen dengan anak Pulau Pinang. Nak kata anak mami tu tidak juga. Cumanya disebabkan suami kedua kepada tok nek ibu_suri orang Punjab (Pakistan) maka sikit sebanyak  aura Hindustan tu tetap ada. Aku sempat bersama Tok Ba dan dia selalu bagitahu bahawa lirik lagu hindustan begitu sedap, indah dan mengasyikkan serta mempunyai makna yang dalam.

Tokba banyak mengajar ibu_suri bahasa Urdu yakni bahasa yang banyak digunakan dalam lagu-lagu Hindustan. Sayangnya, sejak ibu_suri berkeadaan sekarang ini, dia dah banyak lupa bahasa Urdu.

Aku pun tau juga sesikit bahasa makna lirik lagu Hindustan ni. Belajar dari kawanku masa sekolah rendah dulu. Kawan aku tu memang kaki lagu Hindustan. Aku selalu pinjam piring hitam dari dia untuk dengar melalui radiogram di rumah. Masa tu piring hitam dalam bentuk EP. Rasanya semua tu pun cetak rompak...

Masa bawa ibu_suri jalan-jalan ke Kepala batas tadi, dia suruh aku pasang radio. Katanya, jemu.. asyik-asyik dengar cd lagu tu juga.... Aku pun tak mahu bising-bising, Layan je dengan lapang dada. Nasib kurang baik, masa nak balik jam 10, juruhebah Radio Mutiara kata sat lagi ada ruangan Boly Boly selama 1 jam. Pakailah.... kena sambung kembara aku ni sampai Boly Boly habis.

Aku tanya ibu_suri... biasa dengar tak Lata mangeskar nyanyi lagu Melayu? Ha.. ha.. ibu_suri macam tak caya. Nin dia....


Kemudian aku perdengarkan pada ibu_suri penyanyi Melayu yang mirip suara Lata Mangeskar. Terkekeh ibu_suri ketawa macam tak percaya. Cuba cari lagu P Ramlie duet dengan Lata Mangeshkar tapi tak jumpa pula. Agaknya kalau didengar, lagi konfius ibu_suri ...hik!



Sabtu, 25 Oktober 2014

Keikhlasan

Walaupun sebenarnya ada yang ingin aku tuliskan tentang petang semalam tapi ntah kenapa aku ingin lebih dulu berkongsi klip video yang amat menyentuh perasaan halusku ini.

Ianya tentang keikhlasan, pekerti mulia dan kemurahan hati. Aku harap aku akan dapat menjadi sebahagian dari mereka ini. Begitu juga harapanku terhadap anak-anakku.... Terhadap cucu-cucuku...

Alangkah indahnya hidup ini jika semua kita seperti ini tak kira bangsa maupun agama.


Khamis, 23 Oktober 2014

3 Ringgit


Aku memakir Vivaku hampir dengan petak Angin dan Air, Petronas Seberang Jaya. Aku buka bungkusan nasi yang dibeli dari Restoran Al Nur tadi. Harum bau kari buat ibu_suri senyum lebar. Makan dalam kereta dah semacam rutin bila bawa ibu_suri jalan-jalan seperti ini. Dan aku sabar menunggu ibu_suri menyuap nasi.

"Tuk..tuk.." Terkejut aku. Ketukan di tingkap kereta malam-malam yang sunyi begini memang perlu dibimbangkan. Wajah seorang anak belasan tahun terpacul dari luar. Aku tekan punat tingkap otomatik ke bawah setelah yakin ianya tiada apa-apa.

"Pak cik... Boleh bagi 2 ringgit? Nak isi minyak motor." Sambil menuding ke arah motor terletak tak jauh di selimuti samar lampu.

"Tadi ada mintak kat kereta lain tapi depa tak bagi. Depa takut saya ni menipu agaknya."

"Kenapa dengan motor kamu?" Sengaja menyelidik. Nak korek dalam sikit sejauhmana jujurnya anak ini meminta pertolongan. Keraguan tetap menyelubungi hati. Aku cuba mengusap dengan prasangka baik.

"Kami kerja cari tin. Nak balik Ampang Jajar. Minyak dah nak habis."

Ego aku serta-merta turun merudum. Waktu malam yang semua orang sedang berehat dengan keseronokan kota, ada insan yang terpaksa mencari rezeki mengutip bahan buangan untuk ditukar semula menjadi rezeki yang tidak berapa sen.

"Nanti...nanti, adik ya. Bagilah bang... kesian dia..." keloi ibu_suri. Aku mengeluarkan not biru 3 keping dari kocek. Susahnya dengan sikap ibu_suri ini macam nilah. Kalut. Tak dan nak congak...

Beriya-iya anak itu mengucap terima kasih dan berlalu. Aku tekan semula punat tingkap ke atas dan ibu_suri teruskan suapan.

"Kita sedap makan nasi kandar sedang depa ntah makan ntah tidak...." ujarku sambil memerhati anak itu mendapatkan seseorang yang tersandar di dinding tak jauh dari motor. Bila seseorang itu bangun, aku perasan dia seorang bapa. Belas benar di hati ini.

Aku melihat sibapa itu menuntun motornya ke arah pam minyak. Kemudian dia berjalan ke arah kaunter. Aku tanpa fikir panjang membuka pintu dan mengekorinya.

"Cukup ke 3 ringgit untuk isi penuh tangki motor?" tanyaku yang dah lama tak naik motor, tak boleh nak agak berapa harga untuk setangki penuh Honda Cup. Di kepala, bermain-main dengan kenaikan harga minyak... opsss.. penurunan subsidi minyak yang dikatakan untuk kepentingan negara.

"Cukuplah..." jawapnya teragak-agak seperti orang dalam serba salah. Aku merenung wajah sibapa dengan ikhlas dan belas. Terasa diri ini terlalu banyak keberuntungan berbanding sibapa ini. Ingatan aku segera mengimbau wajah abah. Sosok tubuh sibapa yang kecil dan kekampungan ini persis sosok tubuh abah. Aku hulur 2 ringgit lagi kemudian terus masuki Mesra Mart. 

Aku dapat melihat jiwa kesabaran dan kejujuran di wajah sibapa. Dan jiwa yang baik di wajah remaja belasan tahun itu. Aku memerhati mereka dari jauh hingga usai mereka mengisi petrol dan berlalu.

Tiba-tiba menyelinap rasa syukurku pada Tuhan kerana menghadiahkan peluang keemasan ini. Peluang untuk berbuat bakti yang sebenarnya bukan sekadar untuk bapa dan anak itu akan tetapi lebihnya untuk aku sendiri. Sepanjang pemanduan itu hati aku berasa cukup damai membawa ibu_suri berjalan dan mendengar ceramah di tapak Ekspo hingga jam lebih 12 tengah malam.

Rabu, 22 Oktober 2014

Gerak Hati


Aku pandang keliling. Terasa semangat ini teramat down. Aku lebih banyak tidur. Berkali-kali, berulang pagi, petang dan malam soalan yang sama  oleh ibu_suri menancap gegendang telinga.

"Kata nak balik kampung. Bila?"

Aku bungkam. Tak terkeluar apa perkataan pun dari peti suara. Ianya bagai tersekat di kerongkong.

Angah pun tadi bertanya. Soalan yang sama.

"Ibu kata ayah nak balik kampung?"

"Ntah. Tak ada gerak hati untuk balik," terus mengaleh ke topik perbualan yang lain.

Kenapa? Aku pun henjut bahu... tak ada jawapan!.

Masa memandu aku terbayang wajah kurus mak. Sesekali mak mengelap air liur yang meleleh di sudut kiri bibir bila banyak bercakap. Cakap mak walau kemanapun akan akhirnya kona menyebut nama abah.

Aku tahu sejarah hidup mak dengan abah. Kalau pun tidak semua tapi sebahagiannya... ya!

Aku anak sulong. Aku pernah tengok mak menangis kerana keperitan hidup semasa abah menghidap skizofrenia. Jiran-jiran ada yang simpati, Tak kurang yang mengejek.

Mak pernah cerita bagaimana deritanya dia selaku menantu tatkala sebumbung dengan opah ketika baru kahwin. Kerana itulah mak beriya-iya minta abah buatkan rumah sendiri hatta buruk... kata mak.

Bila harga getah jatuh dan sungai Kinta mula tercemar dengan sisa buangan kilang di Tasek, mak menukar sumber rezeki dari menoreh getah dan melanda bijih timah kepada mencuci kain di rumah taukeh Cina di Taman Ipoh. Taukeh Cina itu boleh dikatakan semuanya baik dan simpati dengan mak. Mereka percaya dan sayang pada mak sebab mak seorang yang amanah dalam kerjanya.

Aku masih ingat semasa di SM Anderson, mesti berpakaian baju dan seluar panjang warna putih. Mak takada duit nak belikan aku seluar panjang putih yang baru. Taukeh Cina itulah yang bagi pada mak. Dan seluar yang sehelai itulah, mak alter hingga sesuai untuk aku memakainya. Dan yang sehelai itulah aku pakai hingga entah sampai bila... aku pun tak ingat.

Aku berazam untuk balik dalam minggu ini juga. Mungkin kekadang gerak hati tak boleh sangat dijadikan nas untuk bertindak. Perlu diimbangi dengan deria akal juga.

Aku harap siang esok aku berpeluang basuh kereta. Malamnya, hadir usrah. Lusa, aku bolehlah balik jumpa mak. Aku perlu siap siaga berlapang dada dengan ragam ibu_suri yang orang lain tidak akan nampak melainkan aku sahaja kerana aku selalunya menutup ia dari dilihat oleh orang lain.

Kecuali mak yang aku tahu, walaupun aku cuba selindung, mak tetap akan dapat membacanya sebab maklah yang melahirkan aku. Mak yang membesarkan aku dengan susahpayahnya. Tentu saja, gerak hati mak lebih tajam dari aku!

Isnin, 20 Oktober 2014

Fasa Hidup


"Kamu beruntung kerana masih ada ayah yang boleh backup kamu bila kamu tak cukup duit. Yang boleh mendengar luahan hati kamu bila kamu ada masalah dengan kerja atau keluarga kamu."

Angah diam. Aku masih meneruskan basuhan pinggan di singki kemudian menerapkan ia di rak.

"Ayah dulu, kad kreditlah yang backup ayah. Sebab itu, sampai kamu dah besar ayah masih bergelut nak settle dia. Kamu jangan sekali-kali ambik kad kredit. Dia ni along siber paling lintah darat."

"Bila ada masalah, ayah mengadu kat Tuhan saja. Atau paling tidak ayah bercakap sorang-sorang dalam kereta.... dalam tandas.. Nak mengadu kat mak, ayah tak sampai hati..."

"Ayah faham. Kamu sekarang ini sedang lalui fasa-fasa hidup yang susah.  Sabarlah. InsyaAllah, sampai masa nanti kamu akan rasa senang. Ayah layak nasihatkan kamu macam ni sebab ayah dah lalui semua itu sebelum kamu."

Aku beraleh pula kepada kuali. Aku balikkan ikan bawal yang diberi oleh Yanti - anak saudaraku kelmarin. Terlupa nak cepat-cepat pesiang dan simpan ke dalam fridge buatkan ianya sedikit berbau.

"Mau tak mau, hidup ini perlu diteruskan. Kamu masih beruntung sebab masih ada ayah yang boleh bantu kamu. Sebab itu ayah suruh kamu tinggalkan rokok dan bersembahyanglah. Kalau kamu tak ingat Tuhan, bagaimana Tuhan nak ingat kamu?" 

Ahad, 19 Oktober 2014

Segan


Melihatkan agak ketara kemurungan ibu_suri, usai solat Asar semalam, aku ajak ibu_suri ziarah orang tuanya di Taman Buah Pala. Renyai hujan sepanjang hari buatkan aku malas sekali nak keluar. Akhirnya sabar jugalah mengesot di Jambatan Pulau Pinang yang  di waktu begini memang jem.

Aku biarkan ibu_suri di sana sehinggalah dia sendiri memberi signal untuk balik ketika jam hampir 11 malam. Di rumah, tiada siapa melainkan abah dan mak. Jadi, akulah yang ke dapur menyediakan makan minum ibu_suri. 

Hampir tak mahu tunaikan solat Maghrib kerana segan nak ke pancoq untuk wudhu. Berat badannya yang memayahkan untuk bergerak. Tapi akhirnya dia mahu juga setelah aku pujuk;

"Jam 8 nanti ambil wudhu dan solat Maghrib. Tak lama lepas tu Isya' masuk, teruslah sambung."

Formula ini aku kutip dari cara mak aku di kampung. Mak yang lumpuh sebelah badan memang sukar untuk kerap ambil wudhu' di bilik air. Apa yang dia buat ialah tunaikan Zohor dihujung waktu dan sambung Asar di awal waktu dengan satu wudhu'. Bagi aku itu ruksah buat mereka.

Sabtu, 18 Oktober 2014

Any Idea?


Aku semakin bimbang dengan tahap kesihatan ibu_suri. Berat badannya semakin bertambah. Kira, pusingan jarum penimbang di Unit Psikiatrik tu berputar semula ke angka 0 la.... 

Berjalan dari foyer HBPP ke tingkat 2 kelmarin itupun sudah cukup menyakit dan memenatkan dia. Menambah bimbang aku, kalau-kalau dia terjatuh sewaktu menaiki dan menuruni tangga.

Kawal diet? Dah cuba. Kalau budak kecil bolehlah aku sergah sergah atau paksa. Exercise? Juga dah cuba. Sebaliknya, dek berat badan, ianya hanya menambah dera kepada lutut, pinggang dan pinggul. 

Susahnya dengan ibu_suri ini ialah kerana sindrom separa normalnya itu. Larang lebih lebih sangat nanti dia merajuk atau 'naik angin'. Cukup cukuplah dengan apa yang telah aku lalui semasa ibu_suri di era kemurungan dan bipolar disorder  5 tahun dulu.

Any idea luar kotak?

Jumaat, 17 Oktober 2014

Mimpi Mak


Buat kesekian kalinya, malam tadi aku mimpikan mak lagi. Latar belakang suasana rumah adalah sekitar hujung 60an. 

Macam kami sekeluarga sedang sibuk dengan persiapan kenduri kahwin. Herannya, kenduri kahwin itu akan di adakan di rumah mak saudara di Kampung Tasek. Mak saudara itu aku panggil Mak Nyah.

Dan lagi.. yang jenuh aku fikir sebaik saja tersedar dari tidur bila jam dah pukul 8 pagi ialah... siapa yang kahwin sedangkan aku dan adik masih kecil?

Apa pun, walau mungkin pendapat yang mengatakan bahwa jika kita mimpikan sesaorang maka elok jika kita ziarah dia itu tidak benar seperti sini, namun aku rasa sampai masanya untuk aku balik kampung tengok mak. Esok atau lusa.... mungkin.

Sementelah mak pun mutakhir ni seperti mengalami sindrom lupa dan bercakap atau bertanya sesuatu berulangkali.

Seperti yang pernah aku tulis di sini, aku jarang sekali mimpikan abah tetapi sebaliknya selalu mimpikan mak!

Rabu, 15 Oktober 2014

Teh Ais Kosong


Usai riadah kat Taman Tunku, Seberang Jaya pagi tadi, aku singgah sarapan di Restoran Santapan Utara, Seberang Jaya...lokasi kegemaran. 

Bawa ibu_suri ke tempat makan di sini masalahnya ialah sukar mendapatkan restoran yang lantainya sama aras dengan jalan. Terpaksa ibu_suri melangkah naik, mengangkat badannya yang berat sementara aku membantu. Fobia jatuh kat Restoran Makbul minggu lalu masih ada. Sakitnya terasa sampai sekarang.

Ketika makan, seorang pelanggan Cina datang memesan minuman.

"Kasi gua teh ais kosong..."

"Sori kawan. Apa itu teh ais kosong?.."tanya taukeh restoran... mesra.

"Lu tak jual ka teh ais kosong?"

"Tuan cari minuman stail KL punya. Sini mana ada..."

Akhirnya, aku lihat pembuat minuman membawa teh o panas. Aku agak mungkin dia pesan teh o kurang manis, sama macam kawannya sorang lagi.

Habis aku dan ibu_suri makan, aku ke kaunter untuk membayar.

"Apa yang dia minta tadi..."

"Teh ais kosong.. Teh ais yang dicampur dengan susu cair; bukan susu pekat macam kami selalu dok buat."

"Susu cair ni kurang manis. Kat KL biasa la teh macam ni. Kat tempat kita mana ada...." terang taukeh kedai lagi.

Oooo... Ini kes nak jaga kesihatan la ni... Boleh apply kat ibu-suri agaknya. Tapi nak cari kat mana kedai makan yang ada menu macam ni di sini?

Selasa, 14 Oktober 2014

Kerana Maxis


Dah sampai rumah semalam baru perasan rupanya topup maxis yang tertera kat resit yang aku pegang itu ialah 60 ringgit.

"Biaq pi ayah. Salah Bangla tu la. Pasai apa dia tak check elok-elok..." celah Akhmal. Dia tentunya seronok sakan sebab tak pernah-pernah aku bagi topup sebanyak itu. Aku diam je. Tak guna bertekak. Anak aku yang sorang ni bukan reti erti susah orang dan dosa memakan rezeki tanpa restu empunya. Masuk pula campur tangan ibu_suri, akan lebih meruncing keadaan.

Jadinya, tadi aku senyap-senyap singgah semula kat Petron Jalan Baru, Perai. Buat-buat nak isi petrol supaya ibu_suri tak perasan.

Tampak sangat rasa terharu Rashid, siBangla tu... (agaknya lah... aku pun tak tanya dari mana asal dia tadi..). Mungkin dia tak menyangka. Beriya-iya dia nak beri aku sebotol Yogurt Marigold, Tanda terima kasih la tu... walau beberapa kali aku menolak kerana tak mahu ada sindrom termakan budi antara kami. Aku faham. Dah tentu bos dia akan potong gajinya. 50 ringgit pada Bangla tu aku percaya... banyak!

Aku memang selalu ke situ bila bawa ibu_suri jalan-jalan. Kekadang, kalau tak kerana petrol pun, aku singgah beli ais krim dan makan dalam kereta.

Isnin, 13 Oktober 2014

Musim Sejuk Syria


Ngo IKRAM yang aku sertai sekarang sedang membuat kempen kutipan dana. Nak cerita lebih-lebih aku tak reti. Boleh klik perincian di sini.

Tapi sebenarnya aku pun belum buat sumbangan lagi. Nak contact SUK IKRAM Seberang Perai Tengah dulu untuk tanya beberapa perkara.

Bagi aku dari menyalur sumbangan kepada mereka yang aku tak tahu latar belakang seperti yang selalu aku lihat di AEON Big, Seberang Jaya (konon kutip untuk Gaza), aku lebih yakin menyumbang melalui NGO aku sendiri.

Err... Aku taklah kata mereka itu tak ikhlas malah mungkin mereka itu mewakili mana-mana NGO. Cumanya... berhati-hati. Aku sendiripun satu masa dulu pernah membuat kutipan di pasar-pasar malam untuk Gaza bersama rakan-rakan IKRAM seperti kat sini.

Kita tak akan miskin semata bersedekah kepada yang memerlukan... begitu yang pernah aku baca dalam fb...

Ahad, 12 Oktober 2014

Jaga Malam


Entah kenapa, mutakhir ini aku lebih suka berjaga malam. Rasa tenteram dan tenang. Boleh buat apa yang aku suka tanpa gangguan. Lagi selesa bila dengar dengkur ibu_suri yang teratur...

Apa yang aku suka tu bukanlah apa sangat. Sekadar buka laptop atau buka tv atau dengar lagu-lagu dari cd. Kekadang aku keluar ke kedai tepi masjid Kubang Semang yang buka 24 jam. Minum sambil baca Harakah.

Masa inilah aku akan dapat lihat anak-anak muda menderum deram dengan kapcai mereka tak peduli lampu merah malah ada antaranya yang menunggang melawan arus jalan dan mengangkat motor ala grand prix. Semak dada dibuatnya bila teringatkan Akhmal yang mungkin juga begitu.

Hmm... dah kedengaran tahrim di masjid. Aku nak mandi dulu untuk berjamaah di masjid. Tak tahu la.... pagi nanti boleh pergi beriadah atau ponteng lagi!

Sabtu, 11 Oktober 2014

Makan


Sepanjang hari memerap di rumah saja. Ponteng riadah. Jiwa agak malap semalap cuaca di luar. Akhmal mengadu sakit gigi sejak semalam. Ajak pergi ke klinik dia tak mahu. Aku tahu.. dia takut jarum. Sejak zaman bersunat lagi..

Tapi tengahari ini tetap kena masak. Berkali-kali ibu_suri asyik bersungut... jom keluar makan. Ah... mereka semua bukannya tahu perasaan aku hari ini agak negatif. Kejemuan mengguliti rutin hidup yang sama sejak bertahun seperti tak tertanggungkan..

Bukan mudah menjaga emosi mereka. Bukan mudah menjaga kehendak mereka berdua yang berbeza sesama mereka dan sesama aku juga. Akhirnya, aku terpaksa mengorbankan perasaanku sendiri demi mereka.

Aku buka peti ais. Keluarkan taugeh, ikan masin dan beberapa telor. Masak yang ini sajalah, bisik hatiku. Kekadang masak cincai lagi sedap dari beli di kedai dengan harga belasan ringgit.

Ikan gelama masin memang kegemaran aku dan ibu_suri. Aku buang dulu najisnya dan basuh lama untuk kurangkan masin. Sesekali aku terfikir, ada sesetengah orang yang menggoreng ikan masin tanpa membuang najis lebih dulu. Nak jaga bentuk ikan atau malas nak memprosesnya?

Usai makan nanti aku nak vakum dan mop seluruh lantai rumah. Kemudian tukar sarung kusyen raya kepada sarung lama. Lepas basuh, simpan hingga raya tahun depan pula..ngeee....

Jumaat, 10 Oktober 2014

Bajet


Beberapa hari ini menyaksikan bagaimana media eletronik menjaja harapan rakyat marhaen terhadap Bajet 2015. Disusuli temubual dengan pakar-pakar ekonomi negara yang ada antaranya terlebih kipas hingga meloyakan tekak.

Bijak mereka ini, kan? Kurangkan subsidi minyak untuk kononnya mengurangkan beban negara. Kemudian, dalam bajet nanti diumumkan pelbagai bantuan dan isentif untuk meringankan beban rakyat terhadap kos sara hidup yang semakin meningkat. 

Esok, media eletronik akan jaja pula respon rakyat dari Bajet 2015 yang telah diumumkan. Sekali lagi, pakar-pakar ekonomi akan diambil pandangan.

Kekadang terasa seperti kita runtuhkan sesuatu bangunan. Kemudian. kita bangunkan semula bangunan yang sama di tapak yang sama.

Khamis, 9 Oktober 2014

Gerhana Bulan



Serius aku katakan bahawa semalam adalah kali pertama aku solat sunat gerhana bulan di saentaro umur hidup. Hem... jangan ada yang menjuih bibir pula...

Namun rasa puas kerana dapat bersentuh bahu, bersama di dalam saf di masjd kediamanku. Mendengar khutbah dengan tekun kemudian tidak lama, solat Isyak pula. 

Sayangnya... aku tak berkesempatan melihat gerhana bulan itu sendiri... Ntah macammana rupanya secara real di depan mata; antara beberapa kejadian ciptaan Allah yang Maha Hebat ini...

Selasa, 7 Oktober 2014

Jatuh



Kesian juga melihatkan ibu_suri mula mengerang kesakitan di katil. Sebabnya ialah terjatuh semasa melangkah turun dari tebing lantai restoran ke jalan parkir kereta.

Aku cepat-cepat menampan kepala ibu_suri yang seperti akan terhempas ke bonet kereta. Sekalian lelaki yang sedang duduk minum spontan bangun, cuba menolong. Untuk membangunkan ibu_suri bukan calang-calang berat untuk aku seorang mampu kendalikan.

Aku pun silap. Silap banyak. Sepatutnya aku dah lama tahu bahawa makan di Restoran Makbul Seberang Jaya itu tidak sesuai bagi ibu_suri. Tapi dek kerana kedai makan lain susah nak parkir kereta sebab hari bekerja; situ yang kosong, maka aku pujuk juga ibu_suri.

Uh.. lain kali aku tak bawa dah ibu_suri makan di situ melainkan jika tangga yang disediakan itu dah diubahsuai sesuai dengan keperluan OKU seperti ibu_suri. 

Aku segera teringat pesan doktor yang merawat ibu_suri di BM Specialist Center dulu. Jaga-jaga... jangan jatuh. Stroke kali ke 2 akan lebih derita.

Isnin, 6 Oktober 2014

Alahai Pisau...


Alhamdulillah, selesai qurban pagi tadi. Ala... tolong gitu-gitu je. Takat potong-potong sikit-sikit. Nak sembelih, nak lapah bukan standard aku la... Tu kena serah kepada yang pakar.

Tapi pisau yang aku bawa ni rupanya lut takat potong daging beli dari pasar je. Tak sampai satu talam daging, dah mula kerat tak putus. Naik lenguh tangan aku ni. Patut tu la aku tengok depa yang lain kebanyakannya bawak pisau ala golok. Takpa, nanti senang-senang bila balik kampung, aku singgah kat Kuala Kangsar. Kedai kat tepi Sungai Perak tu aku perasan ada banyak jual parang, golok dan pisau.

Sebagai salah seorang yang menyertai panggu korban, aku diberi 2.5 kilo daging dan sebungkus tulang. Balik, aku suruh Along masakkan sup tulang. Tapi daging? Sapa yang nak masakkan nanti sebab Along balik ke Kepong semula malam nanti? Satu lagi, kalau dah dimasakkan pun, bimbang juga nak bagi ibu_suri makan. Kata orang, daging baru bahaya untuk orang yang ada hipertensi.

Apapun, malam ni aku nak tidur awal. Letih. Nak bangun awal esok untuk pergi riadah macam selalu. Dah 2 hari aku cuti dari riadah. 2 hari ni asyik makan lemang dengan rendang yang aku masak hari tu. Kena bakar balik semua ni...

Ketawa Mertua


Alhamdulilah, dapat juga ziarah mertua di Taman Buah Pala selepas hadir sekejap ke majlis gotong royong sembelih lembu aqiqah di masjid kediamanku petang tadi.

Abah nampak gembira dengan kebetulan kakak ipar dan cucu-cucu yang lain ada sama. Perasaan gembira abah dapat aku kesan dari nada suara dan ketawanya. Dan aku juga terkesan dengan perasaan gembiranya itu bila anak cucu datang menziarahi di rumah. Aku harap anak-anak dan cucu aku akan berbuat seperti itu bila aku sudah tua dan tak larat seperti abah.

Masing-masing membawa juadah termasuklah aku dengan rendang yang aku masak malam tadi.

"Yop ke yang masak rendang n?" tanya adik iparku - Yati. Aku antara mahu angguk dengan tidak jer.

"Haa... Memang sedap Yop..." puji Yati. Aku pun antara mau senyum dengan idak jer...Lega.

Apapun, motif aku selalu ziarah mertuaku ini adalah ikhlas sebagai menghargai pengorbanan mereka yang dulu melahirkan dan membesarkan ibu_suri. Lagipun taraf mertua itu persis mak abah aku juga. Selalu ziarah dan ambil berat hal-hal kebajikan mereka sama pahalanya seperti keselaluan aku menziarahi mak di kampung.

Ahad, 5 Oktober 2014

Lemang


Alhamdulillah, rendang ayam yang aku masak semalam kira masuk dalam kategori boleh makan walaupun bila Along suapkan ke mulut....

"Ayah... ni rendang ayam ke gulai ayam..?" Ape ape je lah....

Beli lemang 3 batang,  ruas sederhana besar kat Jalan Permatang Pauh depan Politek. 45 ringgit untuk tiga batang. Terasa perut dah berbunyi. Sengaja tak makan pagi sebelum solat sunat raya tadi. Pekena dengan teh misai kucing sat g bagus juga ni.

Lepas Asar nanti ada gotong royong untuk Aqiqah - 2 ekor lembu. Esok pagi baru pihak masjid laksanakan qurban. Muga-muga Allah izinkan aku menyertai mereka.

Hujan je kat sini. Semalam hujan bersekali dengan angin. Sampaikan aku terpaksa azan bila terasa atap porch kereta aku bagai nak terbang...

Rendang Lagi...


Setiap kali raya, tak boleh lari dari membuat rendang ayam. Berhari-hari ibu_suri mengingatkan aku supaya awas-awas rendang itu dibeli awal-awal.

Kali ini nak cuba resipi siapa pula? Sebelum ini seingat aku dah mencuba resipi Dapur Tanpa Sempadan.  Kemudian resipi Bunda

Aku godek-godek laptop sebelum pergi ke kedai runcit yang selalu aku pergi di Taman Pauh. Kedai mamak tu terletak tak jauh dari Restoran ABC. Semua bahan memaak memang ada kat sini. Malah takat daun kunyit atau serai... nala punya besaq.

Aku terjumpa blog Azie Kitchen. Biasa singgah blog ini dulu. Kata Angah, dia juga pernah try resipi Azie Kitchen. Ada banyak resipi rendang. Cuba yang ini.

"Betul ke Along, bawang merah 1 kg? Banyak bebenor nih!" bila saja aku nak mula menumis.

Beberapa kali aku mengonfirmkan semula kat skrin laptop aku. Aku scroll komen-komen dari pengomen... tak ada pula yang menyanggah kuantiti bawang merah tu. Sebaliknya semua memuji akan kesedapan resipi di atas kertas. Pasrah aje lah!

Sabtu, 4 Oktober 2014

Ketenangan Wajah


Kelmarin balik kampung semata-mata mahu rai majis tahlil di rumah mak. Majlis anjuran KEMAS Negeri Perak untuk arwah Niza yang kembali ke rahmatullah bulan lepas.

Semuanya sponsored by KEMAS negeri. Pengarah dan wakil-wakil bahagian turun sama. Sekumpulan rakan-rakan Tabligh juga ada. Mungkin mereka datang atas jemputan dari masjid sebelum itu.

Aku dapat rasakan bahawa Niza bukanlah calang-calang posisi di KEMAS. Melihatkan dari pelbagai kalangan jawatan mereka yang datang, Niza dikenali hingga ke peringkat negeri.

Apapun, yang lebih aku perhatikan ialah respon dari anak-anak arwah Niza. Paling aku kagum ialah sikap keterbukaan, akhlak 'kekampungan' dan ketenangan wajah Shamsuddin - suami Niza. Ianya seperti memberi satu inspirasi positif dan sejuk ke dalam diriku sendiri...

Khamis, 2 Oktober 2014

PJJ


Kawan lama menaliponku semalam. Kawan semasa belajar di IKM tahun '81~'82 dulu. Dia heran kerana setiap kali hantar emel kepada aku, emel itu bounce

"Mana idaknya. Aku berhenti sebulan dah dari kilang aku tu!"

Panjanglah pula aku memutar sejarah kenapa aku berhenti kerja.

"Wah... bestnya kalau dapat rehat macam hang. Bila lah agaknya rezeki aku nak mai. Aku jeles bila dengar ada kawan-kawan aku yang dah berhenti dan sekarang rileks jer... pergi memancing."

Kawan aku ni yang namanya Abdullah Halim, sebenarnya sambil kerja ambil degree dalam jurusan Sains Politik. Katanya sesaja je nak belajar walaupun dah tua. Dia sarankan aku supaya ambil PJJ macam dia.

Huu... kalau nak ikut nasihat kengkawan, mau loghat aku dibuatnya. Ada yang suruh aku berniaga, bidang yang tak pernah aku teroka apatah lagi meminatinya. Macam bapa mertua aku, suruh balik ke kampungnya di Tapah, jaga rumah pusaka dan dusunnya. Alahai...