Sabtu, 7 Februari 2015

Oh Kampungku!


Semalam aku balik kampung jenguk mak. Rasa terkejut bila melihatkan kiri kanan jalan masuk dah terang benderang. Malah cerucuk bangunan sedang galak dipacakkan. Apa dah jadi dengan kampung aku ni?

Adikku - Napi beritahu bahawa jalan tar itu sendiripun sikit hari lagi akan dilencongkan kerana ia juga adalah sebahagian tapak projek. Bagaimana boleh terjadi begini? Bukankah Kampungku ini salah satu dari Wawasan Desa. Tanahnya telah dikategorikan sebagai tanah rezab Melayu. Dan lagi, perkampungan ini juga adalah yang tertua di Perak berusia lebih 100 tahun?

Aku seperti enggan menerima hakikat ini. Terbayang di kotak fikiran akan nasib perkampungan Melayu di Pulau Pinang... akan serupakah nanti dengan nasib kampung dimana aku dibesarkan ini, 10~ 20 tahun lagi?

Namun siapalah aku untuk memprotes apa yang telah berlaku. Aku sendiri pun bukan lagi permastautin di sini. Tidak ada satu pun jasa aku dalam menjaga kampung sebelum ini.

Apa yang aku boleh buat hanyalah berputih mata melihat tanah kampungku tergadai satu persatu. Tidak lama lagi, yang tinggal mungkin hanya pusara mak dan abahku. Itupun jika tanah wakaf itu tidak menerima nasib yang sama!

10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sekarang ni status rezab melayu pun dah tak menjamin yang tempat tu kekal tak terusik.

ya, undang-undang dunia kan manusia yang punya. anytime boleh pinda.

iryantyismail berkata...

selama ni.. yan ingat tanah rezab akan kekal rezab..rupanya tidak...

Saniah berkata...

sekarang ni banyak geran yang pajakan 99 tahun,, tak de dah tahan hak untuk selama-lamanya,, mungkin kerajaan taknak rugi,,,kesian nasib kita sama,, kampung saya pun nak dipindahkan pada 2017 insha allah,,diberi pilihan PPRT atau RMR

Kamsiah yusoff berkata...

lama2 kampung melayu hanya tinggal nama ja...

miesha berkata...

sayangnya tanah2 kpg, anak2 muda nanti dah tak merasai dan kenal suasana kpg.

Unknown berkata...

Sdr IM,

Masalahnya kita (Melayu) mengetahui dan mengaku berlakunya kehinaan ini (milik terlepas tangan).

Malangnya kita masih belum menemui formula supaya wujud win win. Selama ini kita di pihak yang.

Kita cuma pemeriah dan memerhati cake ekonimi dikerjakan oleh satu golongan etnik sahaja di tempat yg baharu dibangunkan.

Kita sudah seronok persekitaran yg asalnya milik kita menjadi gah. Kita juga sudah seronok orang kita dapat kerja jaga atau pembantu kedai di pusat komersial baharu itu.

Nak buat macam mana....lesen berniaga pasar malam pun terlepas ke tangan Indon/Bangla...kita seperti tiada keupayaan langsung untuk bersaing dlm perniagaan yg lebih canggih seperti yg akan direalisasikan di kampung asal saudara.

Wallahualam.

JR berkata...

Korban pembangunan. Yg memerintah parti Melayu, yg jadi PM dan menteri2 ramai Melayu, yg bakal jadi Red Indian di negara tumpah darahnya juga Melayu. Melayu oh Melayu....

Aida Ali berkata...

Semoga perancangan pihak penguasa tidak mengorbankan hak anak-anak kita

Unknown berkata...

Di kampung juga kini tidak tertinggal dengan pembangunan.

Bunda_nora berkata...

Sikit hari lagi takut cucu cicit kita tak kenal apa itu kampong..