Sabtu, 20 Jun 2015

Kanji Masjid Kepayang

 

Aku berada di Ipoh. Tujuannya ialah memenuhi giliran menjaga mak di kampung. Kami adik beradik yang tinggal jauh membuat jadual menjaga mak sebulan sekali.
 
Adik-adik yang lain mungkin tidak ada masaalah untuk bermalam di rumah mak dan boleh melihat mak 24 jam tetapi tidak dengan aku. Keadaan kesihatan dan kepayahan mengelola kebajikan diri ibu_suri buat aku selalunya siang sahaja di rumah mak tetapi bermalam di hotel. Hotel yang selalu menjadi pilihan ialah Hotel Fair Park. Ianya tak jauh dari kampung. Bilik pula selalunya aku sewa yang berharga RM100 ke atas. Kekadang pihak hotel membuat promosi. Seperti malam ini, bilik yang berharga RM200 diberi diskaun 40%. Wah... sakan lah aku dan ibu_suri... enjoy dengan katil saiz permaisuri sorang satu.
 
Pertama sekali bila sampai rumah mak, sudah tentu aku peluk cium tangan dan pipi mak. Kemudian aku tanya mak;
 
'Ada sesiapa boleh ambil kanji kat masjid?'
 
'Tak mandang orang yang boleh di suruh pegi ngambik kanji tu.. Semuanya habis dah belajo jauh...' ujar mak merujuk pada anak-anak saudaraku yang rata-ratanya sudah belajar di IPT. Dah besar-besar mereka tu.
 
Jadi aku terus capai cerek 'keramat' mak dan bergegas ke masjid. Takut nanti melepas untuk merasai kanji masjid yang memang lejen rasanya sedari aku kecil lagi.
 
Makanya, berbuka puasa aku tadi asyik mengadap kanji saja. Tak sentuh makanan lain hingga tegak lah badan aku menahan kenyang perut. Aduhai...
 
Istimewanya kanji di kampung aku ni dicampurkan dengan kacang tanah. Memang sejak dari zaman aku kecil hingga sekarang, rasanya sama walaupun tukang masaknya dah bertukar beberapa tangan.
 
Berbuka esok pun aku akan cari kanji masjid. Agaknya, kesedapan kanji ini adalah kerana keberkatan sipolan yang bersedekah. Atau mungkin juga keberkatan anak-anak muda yang bergotong-royong memasaknya.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rasanya yang masih sama tak berubah tu, sebab tukang masak dulu tu tak kedekut resepi kot. Diperturunkan kepada orang yang berikutnya.

iryantyismail berkata...

kanji tu bubur lambuk ke im

Nor Azimah Ali berkata...

Tulah nk tau jugak, bubur lambuk ke?

Mario berkata...

ni bubur lambok...

Bunda_nora berkata...

Kanji tu rasanya bubur nasi...tak kira yang lambuk ke dak...janji bubur nasi kosong pun kanji jugak kann IM..

insan marhaen berkata...

Di kg saya panggil kanji. Kat penang panggil buboq atau moi...