Halaman

Jumaat, 30 Januari 2015

Gagal Akses


Beberapa waktu ini kerap berlaku kepada kad atm aku ini, Tak kiralah milik bank mana, tidak boleh di akses menggunakan mesin atm bank yang lain.

Tadi petang aku nak keluarkan duit dari Maybank menggunakan kad atm Agro Bank. Gagal. Pergi pula ke BSN. Juga gagal. Pindah ke Public Bank di sebelah... Pun tak boleh.

Akhirnya aku terpaksalah berpatah balik ke Agro Bank... barulah ok.

"Agaknya sebab hari ni hujung bulan, ramai orang nak keluar duit. Jadi bank tak kasilah pelanggan lain menggunakan kemudahan keluar duit dari bank dia..." ujarku pada ibu_suri sebaik saja masuk semula ke kereta sambil menyusun duit yang baru aku keluarkan tadi ke dalam dompet.  Sebelum ini tak pernah pula berlaku sebegini!

Esok sahajalah nampaknya aku ke AeonBig untuk membayar deretan bil-bil di Pejabat Pos. Istimewanya pejabat pos di situ ialah di buka hingga ke malam.

Senyum Ajelah!

Ingat nak rehat saja pagi ni dari pergi riadah seperti selalunya bila melihat mendung di luar. Tau-tau ibu_suri bersuara dari dalam bilik...

"Abang... cepat.. tak tahan ni..." lalu terdengar bunyi debur air mencurah jatuh ke permaidani.

Alahai... aku cepat-cepat ambil tuala mandi dengan segelas air. Suruh ibu_suri terus pergi mandi sahaja sementara permaidani itu aku lap.. curahkan air.. lap...curahkan air... dan seperti itulah beberapa kali.

Ini bukan sekali tapi dah acapkali. Aku ingat nak buang saja permaidani ini. Biarlah lantai simen ini dilitupi dengan tikar getah sahaja akan tetapi ibu_suri tak kasi. Sayang... katanya.

Selesai operasi di bilik tidur, aku ke bilik air membantu ibu_suri mandi.

"Sori ye bang... " sambil memegang tangan aku minta difahami. Apa yang nak aku katakan... Cipta senyuman balas sahajalah...

Khamis, 29 Januari 2015

Kenderaan Berat

Angah diarah oleh majikannya - Lafarge supaya menghantar lori yang selalu dia pandu bekerja ke Puspakom. Setelah selesai, dia minta aku ambil dia dari tempat kerja di mana lori itu akan di simpan.

Aku manalah tahu tempat kerja dia di ceruk mana. Jadi, dia menunggu aku di Petronas Sungai Lokan (kawasan Sungai Dua).

Aku bawa bersama ibu_suri yang  mahu sangat tengok bagaimana rupa lori yang anaknya kata 10 tayar tu. Tak sangka, dalam ramai anak mahupun adik beradik dan saudaramara, ada juga yang boleh memandu kenderaan yang seberat ini. Berbangga juga rasanya.

Usahkan ibu_suri, aku sendiri pun rasa gayat...

video



Ke Masjid


Hari ini aku lebih banyak lepak di rumah. Badan memang rasa tak sedap. Kalau istilah orang Perak... dedo..

Tapi alhamdulillah, berjamaah di masjid masih aku teruskan. Aku ni jenis lebih selesa mengenakan pakaian kasual sahaja bila ke masjid. Berbanding jamaah lain yang rata-ratanya memakai kain pelikat dengan baju Melayu malah yang lebih 'gah' ialah memakai jubah dengan serban.

Hari ini aku memakai kemeja T merah, seluar panjang hitam dengan kopiah yang orang Tabligh suka pakai tu. Datang awal 20 minit, relaks dulu dalam kereta dengar nasyid. Kemudian baru ambil wudhu' dari air kolah.

Aku lebih suka berwudhu' dengan air kolah. Bagi aku celupan tangan-tangan dari orang alim sebelum itu akan sedikit sebanyak tempias juga ke tubuhku.

Solat tahyatul masjid, solat sunat Qabliyah dan Ba'diyah. Kalau di rumah solat sunat begini berat sangat nak diperbuat. 

Sayangnya, aku pergi sendirian sahaja, selalunya. Kalau dapat ke masjid bersama dengan ibu_suri kan lebih awesome!

Rabu, 28 Januari 2015

Tak Semiak


Sebenarnya dah 2~3 hari dah rasa tak sedap badan. Kalau kata orang Perak, tak semiak. Mulanya sakit-sakit kat kening kiri. Hari ini terasa seram sejuk. Mata terasa berat dan seperti berpasir.

Tapi aku gagahi juga bawa ibu_suri berjalan-jalan. Itu rutin yang mau tidak mau aku kena buat walaupun adakalanya ibu_suri kata tak apa. Kesian juga dia terperuk seharian di dalam bilik.

Dan aku tahu, bila usia mencecah tua ini, sistem antibiotik dalam badan agak kurang efisyen. Jadi untuk kebah dengan sendirinya agak lambat. Kekadang seminggu. Malah kes yang terakhir demam aku sembuh memakan hampir setengah bulan.

Aku ni, kalau masa kerja rajinlah ke klinik... minta mc. Tapi sejak dah tak bekerja ni.... arghhh... biaq pi ianya baik sendirilah, ya...

Selasa, 27 Januari 2015

Marah


Oleh kerana ibu_suri dah bangun semasa aku bersiap untuk keluar beriadah, aku terpaksa bawa dia juga. Dan kerana ada dia, aku terpaksa pilih untuk beriadah di Taman Tunku bersebelahan Masjid Seberang Jaya. Aku berjalan 4 pusingan sahaja kerana lebih dari itu aku tahu, sendi kaki akan berasa sakit.

Balik dari riadah selalunya aku suka singgah bersarapan di kedai tepi Masjid Kubang Semang. Hari ini ntah kenapa, parkir dalam masjid penuh. Matahari yang tajam dan buat aku susah nak mencari parkir yang teduh untuk ibu_suri.

Pusing sana undur sini buatkan tiba-tiba ibu_suri berteriak;

"Toksah pi minumlah.... Asyik-asyik minum. Asyik-asyik minum!"

Aku pun tak tahu kenapa tiba-tiba saja undur semula kereta dan keluar dari dalam kawasan masjid.

"Marahlah tu...!"

Aku diam menahan semuanya dari lompat keluar melalui mulut kerana aku tahu, orang yang sabar seperti aku jika sekali mengeluarkan perkataan, ianya akan keluar semahunya tanpa henti. Sedangkan aku memang tahu dan akur, ibu_suri adalah separa normal.

Sepanjang pagi, kejemuan menghurung diri. Terasa mahu pergi jauh-jauh....

Episod Hidup


Buat sementara waktu, Akhmal dibebaskan dengan ikat jamin RM yang agak banyak juga. 

Semasa dalam perjalanan balik, berbagai nasihat aku hamborkan kepada dia. Tak tahulah sejauhmana ianya hinggap ke hati atau sekadar masuk telinga kiri dan tembus ke telinga kanan.

Aku tak beritahu 100% apa yang berlaku pada ibu_suri. Malah atas kes apa Akhmal ditahan dan bagaimana dia boleh dibebaskan juga aku tak bagitahu. Susahnya kepada aku juga jika dia tahu. 

Cuma yang dibagitahu, 30hb Mac nanti Akhmal kena naik sekali lagi ke mahkamah.

Huh... macam nilah episod kehidupanku menjelang hujung waktu!

Isnin, 26 Januari 2015

Biar Keadaan Menentukan


Jam 9 pagi nanti aku perlu ada di Mahkamah Bukit Mertajam, Jalan Betek. Pertuduhan akan dibacakan di depan Akhmal dan hukuman akan ditentukan oleh majistret.

Cuma ada 2 hukuman sahaja selalunya... A atau B. Tapi mana-mana keputusan pun aku masih tak ada idea nak buat macammana.

Walaupun aku dah biasa dengan hal sebegni sebelum ini namun untuk kali ini aku masih seperti rusa masuk kampung layaknya.... terpinga-pinga.

Selalunya, bila terumbang ambing begini, aku biarkan keadaan yang menentukannya nanti...

Ahad, 25 Januari 2015

Hening Hujung Minggu


Sebaik saja coretan aku yang di bawah ini tamat, ibu_suri tetiba terjaga dari tidur dan beriya-iya mahu mandi. Sedangkan aku bercadang akan bangun dan mandikan dia sebaik balik dari masjid sahaja nanti.

Hari ini hari Ahad. Hujung minggu rutinnya ialah menyampu rambut.  Bila begini, aku akan agak lama berada di bilik air memandikan dia. Sedangkan masa semakin dekat memasuki waktu.

Selesai mandi aku akan mengelap badannya, memilih baju yang dia mahu pakai dan terus ke dapur menyiap makanan tengahari sementara dia menunggu Zohor dengan telekong. Yup... ibu_suri bersembahyang secara duduk di sisi katil sahaja.

Menu makan tengahari ini cuma nasi goreng, telor goreng dan ikan goreng dan sambal belacan sahaja. Segelas besar air dan satu pot ubatan untuk ibu_suri berjumlah 8 biji.

"Elok sangatlah menu kita hari ni, yer... Gorengan belaka!" ujarku memecah kesunyian tengahari.

"Tapi takpa, abang guna minyak jagung untuk goreng. Ianya lebih baik dari minyak sawit." terangku tanpa dipinta.

Didapur, bunyi deru mesin membasuh pakaian memecah keheningan. Di luar, cuaca redup. Tanpa Akhmal, rumah ini bertambah sunyi. Dan aku cuma solat di rumah!

Zon Tidak Selesa


Semalam Angah ambil semula Viva dan meninggalkan Kancil untuk kegunaan aku bila perlu. Inilah susahnya bila kereta sendiri tidak ada. Kancil itu sudah tidak selesa untuk aku gunakan lagi. Selain dari berasa sempit, bunyi enjinnya yang kasar juga merimaskan.

Jadi, bila ibu_suri ajak aku jalan-jalan, aku beri 1001 alasan. Hatta mahu ke rumah maknya di Taman Buah Pala juga aku anjakkan ke hari esok.

Rupanya, bila aku dah lama di dalam zon selesa kemudian tetiba diuji Allah dengan ketidakselesaan, aku menjadi seperti berada di ruang yang sempit seakan tidak boleh bergerak. Sedangkan orang lain yang mungkin lansung tidak ada kereta masih boleh ketawa dan sabar menunggu bas datang berhenti mengambilnya di perhentian.

Aku ini dah terlalu lama hidup senang, agaknya. Harap-harap, jangan disebabkan tidak ada kereta yang selesa untuk ku pandu, aku gagal ke masjid berjamaah sepertimana masa aku ada Viva hari itu.

Opss... Dah nak hampir pukul 1. Mungkin berjalan kaki sahajalah agaknya aku nanti. Bila balik, aku goreng nasi sahaja sebagai isian perut aku dan ibu_suri tengahari ini.

Harap-harap, Angah balik awal dari kampung dan menukarkan semula Vivanya dengan Kancil ini. Viva aku masih tersadai di Perodua Juru. Khabarnya, bulan 2 baru siap. Uh!

Lim Jooi Soon


Aku memaksa diri aku untuk hadir di kuliah Maghrib seperti di atas. Nama LSJ memang aku tahu lama melalui fb PEJUANG AL KAHFI. Peluang terbaik ini aku tak mahu lepaskan untuk dengar terus melalui telinga sendiri. Aku tinggalkan ibu_suri berserta ngomelannya  di rumah dengan Angah.

Boleh tahan juga penyampaian beliau. Amat berterus terang, yakin dan petah. Tak perlu pakai songkok atau berjubah untuk bagi kuliah.

"Tak perlu tukar nama untuk jadi orang Islam," ujarnya.

'Pedas'nya isi penyampaian beliau masih terasa hingga kini. Malu rasanya. Malu dengan Islamku sekadar baka sedangkan Islamnya melalui ilmu.

Barulah aku tahu bahawa maksud LIM itu adalah keturunan, JOOI itu generasi yang ke 27 dan SOON itu ialah kejayaan. Sempoi... kan?

Janganlah lepas peluang jika beliau ada dijemput ke lokasi kalian. Meneguk ilmu dan inspirasi dari orang hebat seperti beliau tidak rugi.

Saya sedang mengintai seorang lagi yang hebat - Firdaus Wong Wai Hung.

Sabtu, 24 Januari 2015

Hikmah Di Sebaliknya


Dari satu sudut lain aku terfikir, dengan 'tersimpan'nya Akhmal buat sementara waktu di IPD Perda, aku dan ibu_suri sedikit bebas bergerak. Aku tak perlu memikirkan apa yang akan berlaku di rumah sepeninggalan aku tiada. Bila aku dan ibu_suri mahu balik, tidak lagi menjadi perdebatan otak.

Apa yang nak aku sediakan untuk makan tengahari juga tidak menjadi kerenyahan. Jika setakat untuk isi perut kami berdua, goreng nasi lebihan semalam pun dah mencukupi.

Duit belanja yang selalu aku beri pada Akhmal juga boleh dijimat untuk beberapa hari. 

Itulah hikmah di sebaliknya apa yang berlaku malam semalam yang kemudiannya apabila kes B yang disabitkan oleh polis didapati positif. 

Dia akan dihadap ke Mahkamah Bukit Mertajam, isnin ini. Aku diminta hadir oleh Sarjan Munah yang memegang fail Akhmal. Mahkamah Bukit Mertajam itu seolah tempat aku 'wajib' hadir di setiap tahun. Tak jauh dari mahkamah itulah Kompleks Sukan MPSP, lokasi rutin aku untuk riadah.

Agak ringan sikit otak dan dalam rumah terasa tenang tanpa hiruk pikuk suara Akhmal serta kawan-kawannya. Itu pun setakat menjelang hari Isnin. 

Jumaat, 23 Januari 2015

Jalan Berliku


Aku memaksa diri menyarung sut senaman. Memandu di celah-celah kesibukan kenderaan yang berebut ke tujuan sendiri. Persis aku yang mahu ke Kompleks sukan MPSP, Bukit Mertajam untuk meriadahkan diri seperti yang sepatutnya aku amalkan demi kesihatan yang panjang, mudah-mudahan. 

Aku ingin damaikan hatiku dengan keheningan pemandangan di trek sukan. Aku ingin segarkan jiwaku dengan nyaman udara dan hangat mentari yang menerbitkan peluh ke dahi. 

Aku ingin mencari sesuap ketenangan hati. Menilai diri yang terasa seperti terlalu banyak dosa dan kesilapan, kelalaian dan kealpaan.

Pekerja yang mencuci trek dan padang aku renung jauh-jauh dan dalam-dalam. Alangkah damainya, aku lihat. Berbual sambil menghayun mesin menebas rumput dan blower. Encik Fauzi yang aku kenali 2 hari sudah juga kelihatan khusyuk menyeret langkah. Beberapa orang Cina seusia malah yang lebih tua dari aku yang memang rutin di sini juga kelihatan aman damai.

Aku menarik nafas panjang. Kesihan pada ibu_suri di rumah yang aku kira semakin sulit kesihatannya. Lelah dada aku mengenangkan Akhmal yang ntah bila akan sembuh dari segala kebejatan hasil tangannya sendiri.

Aku tahu, aku tidak ada pilihan lain melainkan rengkuh perjalanan ini secekal hati!

Rempuh ajelah!

Aku pun tak tahu; nak menulis, otak rasa buntu. Tak menulis hati seperti mahu meluahkan sesuatu.

Ntahlah, Akhmal...

Ayah tak salahkan polis tu semua. Seramai hampir 10 orang itu hanya menjalankan tugas. Masuk ke bilik kamu, memeriksa segenap penjuru bilik persis apa yang yang tonton di kaca tv. Memeriksa setiap komponen motor kamu juga seperti yang tonton dalam drama di kaca tv juga. Luluhnya hati ayah ini ayah pertahankan.

Walaupun ayah tahu kamu memang dah lama tinggalkan sikap buruk mencuri motor itu; dan mengikut keterangan polis, nama kamu di'petik' oleh seorang rakan kamu yang ditahan sebelum itu, ayah tetap bimbang. Polis... kamu pun tahukan. Tak dapat bukti A dia akan cari bukti B. Dan bukti B itulah yang membimbangkan ayah.

Ternyata benarkan, bila kamu akhirnya ditahan juga kerana bukti B itu positif. Yang kemudiannya kamu merayu pada ayah meminta tolong. Luluhnya hati ayah, siapa yang tahu... kamu? Resahnya hati ayah, kepada siapa ayah nak mengadu? Pada ibu kamu?

"Kenapa muka you satu macam jer..." sambil merenung aku yang baru sudah menyuap mi hailam; yang lalu di kerongkongku seperti ranting-ranting kayu; "teringatkan Akhmal yer...?'

"Arghh... takdalah..." lalu membuat senyum menyembunyikan semuanya.

Ntahlah, di IPD esok nanti macamana ayah nak lalui. Rempuh sajalah. Walaupun ini bukan pertama kali malah dah acapkali ayah ke IPD tapi untuk esok ayah benar-benar seperti tak terdaya...

Salah ayahkah semua ini? Atau salah ibu? Atau bukan salah sapa-sapa?

Rabu, 21 Januari 2015

10 000 Langkah

Liat juga aku nak pergi riadah di Kompleks Sukan MPSP pagi ini. Rasa mahu je sambung tidur. Namun aku papah juga diri ini menukar ke sut sukan.

Kelihatan banyak bas PLKN memakir di sini. Teringat aku akan cadangan kerajaan mahu menangguh program itu tahun ini. Boleh jimat perbelanjaan 400 juta, kononya.

Melihatkan pemandu bas yang lepak di kaki 5 kompleks, aku teringat akan nasib mereka kelak bila bas-bas ini tidak lagi beroperasi. Melihatkan usia yang muda, pasti anak-anak mereka masih kecil.

Aku ditegur oleh seseorang ketika sedang asyik berjalan sambil dengar lagu Anak Kecil Main Api dari talipon bimbit. Gaya berjalannya menunjukkan dia pernah mengalami stoke. Aku biasa lihat dia di sini.

"Nama saya Fauzi. Tinggal kat Kampung Pelet," terangnya bila aku bertanya. Oh, tak jauh dari rumah aku.

"Dah 7 tahun berjalan macam ni. Memang kena kuat semangat. Setiap hari saya berjalan dalam 10 pusingan." Itu buatkan aku mengangkat kening.

"Uhhh... Saya, habis kuat pun 6 pusingan je. Tu pun, balik nanti sakit sendi kaki," jawap aku pula, "Sebaiknya kita berjalan 10 000 langkah sehari. Tapi.... tu dia la...."

Aku jadi bersemangat. Aku terus berjalan ntah ke berapa pusingan lagi.

Selasa, 20 Januari 2015

Lamanya

Susahnya hati ini bila memandu bukan kereta sendiri. Tatkala memegang stereng, rasa takut-takut itu sentiasa membayangi.

Pergi ke Perodua untuk lihat perkembangan pembaikian kereta. Menantu aku menandatangani beberapa dokumen yang diperlukan untuk proses tuntutan insuran. Angah beriya-iya mengajak aku melihat keadaan Viva aku yang kemek. Aku sebenarnya tak sanggup nak tengok. Lagi aku tengok lagi semak dada aku dibuatnya.

Bagi aku, kut manapun aku tetap kena terima  kenyataan kereta itu bukan lagi seasli sebelumnya. Dan bagaimana keadaan selepas baiki, aku serahkan pada Tuhan. Doaku ianya tidak senasib Kancilku sebelum ini.

Ikut kata encik Syukur, staf Perodua yang ambil kes kereta aku ni, 2 bulan lagi baru siap. Aduh... lama sungguh rasanya. Bukan lama itu kerana dapat kembali kereta tapi lama yang aku rasakan itu ialah tempoh aku terpaksa meminjam kereta Angah. Kereta yang sebenarnya dia beli mengunakan nama isterinya -  Ayu, yakni menantu aku itulah!


Isnin, 19 Januari 2015

(STICKY POST) ... Kemaskini RakanBlog

Ini sticky post. Untuk bacaan catatan terbaru, sila scroll ke bawah...


Tatkala membaca sticky post kat blog Sham Disini, aku pula teringin nak ikut jejak dia. 

Walaupun aku bukan rajin sangat berblogwalking kerana peluang mengadap laptop terbatas, namun aku tahu akan pentingnya menghargai rakanblog.

Harap dapat tinggalkan alamat blog kalian dalam ruang komen untuk kemudiannya nanti aku pautkan ke RakanBlog nanti. Atas kesudian itu.... arigato gonzaimas!

Ahad, 18 Januari 2015

Futur


Sejak ibu_suri diserang ahmar, aku meninggalkan hampir keseluruhan aktivisma aku dengan NGO IKRAM ( dulunya JIM ). Di 2015 ini, memasuki 7 tahun aku hanya menjadi pemerhati kepada rakan-rakan seperjuangan aku dulu yang masih giat melakukan kerja kemasyarakatn.

Terasa amat rugi, kosong dan hambar hidup ini. Hari-hari yang aku lalui seperti sama sahaja dan kekadang terasa sempit.

Aku selalu berdoa pada Tuhan muga satu hari nanti aku diberi peluang untuk kembali semula ke gelanggang dulu. Berganding bahu dengan rakan-rakan untuk mengisi hidup dengan berbuat amal kebaikan.

Tak paasti samada rakan-rakan aku dulu masih ingat akan aku atau sebaliknya. Apakah aku ini sebenarnya tergolong dalam kumpulan orang yang 'futur' dalam perjuangan?

Jumaat, 16 Januari 2015

Mandi Bunga



Itulah rupanya kereta aku semalam. Terbabit kemalangan di kilometer 156 jam 1 pagi otw balik dari kampung. Dilanggar oleh Nissan Sentra dari belakang. Katanya dia tak sempat membrek dalam kelajuan 90km/jam.

Ini kali ke 4 aku alami kemalangan serius; kali pertama dengan Viva baru aku ni Alhamdulillah, cuma kereta saja yang kemek bukan kami berdua. Respon ibu_suri ok semasa di tepi jalanraya buatkan aku mudah berurusan dengan agen kembalik Perodua.

Bagaimanapun, aku dan ibu_suri masih ada rasa fobia. Kereta ini pula dibeli bukan atas nama sendiri. Inilah susahnya kalau berkait dengan nama orang lain hatta orang lain itu menantu sendiri.

Aku teringat kata-kata bos kerja aku dulu;

'Saya cukup takut mau bawa kereta malam-malam especially after 11pm. Masa itu ada ramai orang balik mabuk'

4 kali...... hemm.... kena mandi bunga ni!

Khamis, 15 Januari 2015

Bila Yop Balik?

Bercadang untuk balik kampung, esok. Kalau sampai mak dah menalipon bertanya khabar, itu maknanya mak rindu kat anak-anak dia la tu. Itu, tara anak ramai - 8 orang.

Tak heranlah kalau ibu_suri juga tetiba bertanya pasal Along, kenapa kata nak balik tapi tak balik-balik pun...


"Dia kena standby kerja..." terangku. Asalnya Along kata nak balik Hari Krismas. Tunda ke tahun baru. Tunda pulak ke Hari Wilayah. Tup-tup, tadi pagi dia bagitahu ada kat Serawak.... kerja.

"Baguslah tu. Itu maknanya, bos percaya dia boleh buat kerja kat sana." terangku lagi bila ibu_suri semacam tak puas hati kenapa asyik Along saja kena pergi Serawak. Orang lain tak ada ke?

Kekadang letih juga melayan kerenah ibu_suri yang semacam ini. Acapkali dia seperti tidak dapat menerima hakikat terhadap sesuatu perkara yang pada aku sebenarnya normal.

Kelmarin pun dia tanya soal yang sama.... bila Along nak balik. Esok pun mungkin dia akan tanya juga, bila Along nak balik?

Macam itulah juga agaknya adikku Duyah di kampung melayan kerenah mak aku yang bila rasa sunyi, akan terkenangkan anak-anak yang dulu dia pelihara dengan segala susahpayah. Lalu bertanya...

Bila Yop kamu nak balik?

Kemudian tak lama, bertanya lagi... bila Yop kamu nak balik?

Walaupun sebenarnya kekadang, aku baru saja balik seminggu sebelum itu!

Rabu, 14 Januari 2015

Kuasa Pecut


Aku ke Shell Kubang semalam untuk isi Petrol.

Sebelum ini aku isi RON95 Petronas untuk uji sejauhmana tahap penjimatan dan kuasa pecut. Rasanya sedikit bagus berbanding RON95 Petron (atau Mobil, sebelum ini) yang aku guna hampir setahun seusia Vivaku ini.

Namun dari jauh dah terpampang notis 'RON95 habis. Lori lambat sampai'. Aku termanggu sekejap, fikir...

Akhirnya aku nekad guna RON97 sebab petunjuk tahap 1 tangki minyak dah berkelip. Nak cari Shell lain jauh dari sini.

Sayangnya, isian RM50 kurang 2 bar berbanding isian ringgit yang sama dengan RON95. Kecewa juga namun itu dipujuk dengan kepuasan bila menekan pedal minyak sebaik keluar dari Shell.

Memang V-Power sungguh. Tak hairanlan sejak harga minyak turun bebaru ini, pam RON97 selalu didapati kehabisan.

Selasa, 13 Januari 2015

Bengkel Kereta

Isa ajak aku berjumpa di sebuah bengkel kereta kat Sungai Lokan. Pusing-pusing mencari, akhirnya ketemu juga.  Relong Auto Service Center... gitulah lebih kurang nama bengkel tersebut. Kenapa tidak guna nama dalam BM sebaliknya dalam BI, ntahlah...

Ianya sebuah bengkel milik Biro Ekonomi Pertubuhan IKRAM Pulau Pinang. Ini antara projek penjanaan ekonomi selain rangkaian Tadika Amal, Sekolah Islah, koperasi dan lain-lain.


"Kami nak tawar kerja-kerja pejabat kat enta ni. Itupun kalau enta mahu..." terang Isa, sesuatu yang aku dah duga dari awal.

Bidang kereta memang asing bagi aku yang dah 30 tahun lebih bergelumang dengan pembuatan semikonduktor. Memang payah juga nak membuat keputusan samada menerima atau sebaliknya.

Bekerja itu memang perlu untuk sara hidup walaupun sedikit. Tambahan pula badan masih sihat dan ada tanggungan. Tapi fe'el aku yang agak takut-takut untuk mencuba bidang baru buat aku berfikir banyak.

Isnin, 12 Januari 2015

Hatiku Luka Lagi

"Abang, boleh ulang lagu tadi..." pinta ibu_suri.

Aku pun menekan punat pemain cd. Hem, baru aku perasan. Inilah lagu yang ibu_suri selalu kata suka dengar. Tak tahu judul lagu; ibu_suri cuma bagitau lagu ... kau... kau... kau...

Kiranya selama ini kami suka pada lagu yang sama.



Sesekali layan lagu retro selain nasyid dan lagu-lagu Ebiet sambil memandu ke Restoran Al Nur ni, best juga.

Kami ke sini sekadar mahu minum saja walaupun dah hampir 1 pagi. Layan mata ibu_suri yang belum mengantuk. Mungkin antara sebabnya, banyak minum kopi di siang tadi...

Khamis, 8 Januari 2015

Masjid Perai



Aku singgah sembayang Asar di Masjid Perai, Jalan Besar semalam sebelum ke Giant. Sengaja mencari masjid yang tak biasa aku bersembahyang di dalamnya dengan tujuan merasai dan menikamti suasana masjid yang berlainan.

Ini masjid lama melihatkan dari struktur tambah menambah ruang di kelilingnya. Tandasnya bersih dan elok. Sesuai dengan penarafan 3 bintang yang diberi oleh pihak berwajib.

"Best juga sembahyang kat sini," ujar aku pada ibu_suri, " boleh rasakan kedamaiannya..."

Di sebelah masjid ini ada Restoran Kamelia. Melihat keadaan restoran ini dari jauh, tiada keinginan aku untuk singgah. Mungkin ini restoran mamak biasa. Masjid dan restoran ini aku agak akan menjadi mangsa kerakusan urbanisasi tidak lama lagi... 10 atau 20 tahun akan datang.

Melangkah ke arah pintu masuk Giant, aku diserbu oleh sekumpulan pasir yang berpusar di tiup angin. Pedih mata dan berdebu rasanya muka aku ini. Kiranya, jika Allah nak tunjukkan kekuasaannya, gerombolan pasir dan debu ini sahaja sudah cukup untuk menundukkan ego manusia.

Aku lewat ke sini sebenarnya saja bawa ibu_suri jalan-jalan. Gelap pekat langit dan angin yang bertiup ini cukup untuk memberitahu bahawa hujan akan turun dengan lebatnya... sekejap lagi...

Selasa, 6 Januari 2015

i-Bantu



Alhamdulillah... malam tadi sempat memberi sedikit masa bersama rakan-rakan i-Bantu mengkelas dan menyusun timbunan barangan sumbangan. 

Memang pening bila dah duduk bersila, membuka karong dan kotak lalu menyelak pelbagai jenis baju, seluar malah ada yang bagi stokin yang dah longgar getah, selipar yang dah dipakai, penyangkut baju yang usang malah punya 'baik hati' bagi tuala wanita yang dah tinggal baki 2~3 keping. Berkarong-karong juga pakaian yang terpaksa kami reject kerana tak selayaknya dinamakan sumbangan yang ikhlas.

Bila turun gelanggang begini barulah kita tahu fe'el sesetengah manusia kalangan kita yang kononnya baik hati menderma. Barulah kita tahu betapa lelahnya mereka yang sukarela memproses bantuan itu dengan kudrat dan tangan yang ada.

Barulah kita dapat rasakan denyut nadi sekalian sukarelawan yang benar-benar berada di gelanggang berbanding mereka yang hanya ber'viral' di facebook...

Isnin, 5 Januari 2015

Petrol



Sekarang ini aku tengah memikirkan samada mahu terus mengisi Viva aku dengan Petron atau menukarkannya dengan jenama lain.

Bila nak isi petrol, aku gemar ke Petron Seberang Jaya (selepas bayar tol BKE). Kenapa suka ke sana ialah... jika isi RM50, akan dapat sebotol air 1.5 liter percuma disamping mata ganjaran dengan kad Miles. Air botol itu akan aku simpan untuk kegunaan ibu_suri di rumah. Dan mata ganjaran Miles lebih mudah ditebus berbanding Mesra Petronas apatah lagi Bonus Link Shell.

Angah memang lebih suka guna Shell. Menurut dia, petrol Shell lebih jimat dan ada power. Tak tahulah aku darimana dia dapat fakta itu atau mungkin dari pengalamannya sendiri.

Umum tahu bahawa RON97 lebih baik dari RON95 tapi dek faktor harga vs duit dalam poket yang semakin mengecil maka rata-rata kita memilih RON95 termasuk aku. Walaupun sekarang harga RON97  jatuh kepada RM2.11 dan khabarnya minyak di pam itu selalu kehabisan, aku masih tetap memilih RON95 kerana ianya 20 sen lebih murah. Lagipun, aku rasa jatuh bangunnya harga minyak ini lebih kepada permainan politik yang agak tidak jujur.

Berbalik topik asal, mana satu aku nak pilih jika benar nak beraleh penggunaan petrol?

Aku belek-belek pandangan blogger dalam siber, Petronas dan Shell adalah pilihan teratas dalam senarai mereka.

Tangki minyak Viva aku masih penuh. Dijangka 2-3 hari lagi akan surut. Kata orang, tak bagus selalu bertukar jenama petrol.

Kenapa aku berfikir untuk tukar jenama petrol? Bila akhir-akhir ini aku dapat rasakan petrol aku walaupun tangki penuh tapi cepat habis. Macam ada yang tak kena...

Malam


Bila mata tidak juga mahu pejam, aku ambil keputusan keluar minum di kopitiam tepi Masjid Kubang Semang yang beroperasi 24 jam.

Bawa kereta secara santai dalam hening malam amat mententeramkan. Lebih damai bila memutar stereng sambil dengar lagu-lagu Ebiet G Ade, penyanyi kegemaranku melalui album Puisi-Puisi Cinta keluaran BMG yang aku beli pada 1995 dulu.

Jalan raya yang hari siangnya begitu sibuk dan sendat terasa amat lapang. Masa ini semasa memandu sempat juga merenung ke dalam diri dan masa depan. Udah 3 bulan aku menganggur sejak menerima MSS, Ogos lepas.

Petang tadi aku di datangi oleh anak saudara yang memberithu mungkin akan ada kerja kosong sebagai tukang kebun sekolah. Ayah mahu atau tidak, tanya dia. Aku minta tempoh berfikir sehari dua.

Aku teringat akan abah yang dulu bekerja dengan Majlis Bandaran Ipoh - ikut lori sampah. Kemudian, bila pencen dia membeli sebuah mesin rumput dan ambil upah memotong rumput di rumah taukeh Cina di sekitar Ipoh Garden dan Canning Garden. Dengan duit itulah dia menyara persekolahan 7 orang kami adik beradik. Mungkinkah kini giliran aku pula mewarisi karier kerja kolar biru abah?

Esok, aku diberitahu melalui wassup usrah bahawa tenaga kerja diperlukan di Surau Al Hidayah, Taman Cenderawasih, Prai untuk proses pembungkusan barangan bantuan mangsa banjir di Pantai Timur. Projek ini di bawah seliaan i-Bantu IKRAM. Teringin sangat untuk turut sama esok. Kalau tidak kerana ibu_suri dan Akhmal yang tak boleh ditinggal lama, mau saja aku sertai misi ke sana sepertimana rakan-rakan aku yang lain.

Apapun, lewat malam begini, minum sambil membaca Harakah yang aku beli siang tadi dapat juga melegakan sedikit fikiran dan jiwa. Esok, lembar kehidupan tetap menanti dan meraih rutin kekuatan dan kesetiaanku...

...
Tuhan pasti telah memperhitungkan
amal dan dosa yang kita perbuat
kemanakah lagi kita kan sembunyi
hanya kepadaNya kita kembali
tak ada yang bakal bisa menjawab
mari hanya tunduk sujud padaNya ...

#untukkitarenungkan

(sesekali, batuk ibu_suri mengganggu kosentrasi aku menulis. Kesian dia...)

Sabtu, 3 Januari 2015

Tahun Baru


Beberapa hari ini ibu_suri asyik batuk-batuk hingga berair mata. Kesian juga tengok dia. 

"Sakit otot-otot perut.." ujarnya.

Dalam begitupun, dia masih mahu temani aku samada mesyuarat di Pejabat IKRAM mahupun ziarah mak di Taman Buah Pala.

Apa yang aku boleh buat melainkan menenangkan perasaannya.

Motor Akhmal pula meragam. Piston enjinnya pecah. Aku tahu sangat... ini penangan merayakan tahun baru yang luar batasan. Aku pun sedih mengenangkan gelagat anak muda seperti dia yang hanya tahu berseronok.

Malam nanti, Angah buat majlis ulangtahun Marissa dan Qaisara sekaligus. Walaupun aku bukan minat sangat bab-bab sambut harijadi ini tapi kalau di sudut lain ianya baik untuk merapat silaturrahuim sesama keluarga, kira oraitla... Aku taja 250 cucuk sate malam nanti.

Along tak jadi balik tahun baru ni. Kena stand by, katanya. Dia pilih cuti Hari Wilayah. Aku okey jer sebaliknya ibu_suri ajelah yang mengomel.

Namun, yang tentunya... ibu_suri dah tak sabar nak beri hadiah kepada cucu-cucunya malam hari nanti..