Halaman

Jumaat, 27 Februari 2015

Gagang Talipon

Induksi
Mengambilkira saranan Angah di sini, aku bawa ibu_suri keluar makan tengahari. Kemudian singgah di Perodua Juru untuk tengok perkembangan pembaikian Viva aku yang terlibat kemalangan di sini.

Alhamdulillah, Paling lewat awal minggu depan boleh ambil. Legalah aku nanti sebab dah boleh pandu kereta sendiri. Pinjam kereta orang walaupun ianya milik anak sendiri pun rasa serba salah juga dibuatnya selama ini.

Kemudian aku singgah Rapid Wash kat Petronas Seberang Jaya. Aku suka polish kereta di sini sebab cuciannya tidak menggunakan mesin sebaliknya guna tangan. Kata bidalan; orang berbudi kita berbahasa. Bila pulangkan semula kereta yang dipinjam kepada tuan mestilah dalam keadaan merelit dan penuh petrol di tangki. Itu saja cara yang terbaik sebab kalau bagi duit kemungkinan besar Angah tolak.

Malam... jam 7 aku bergegas ke pejabat IKRAM di Taman Kelasah. Hadiri majlis iftar (walaupun sebenarnya aku tidak pun berpuasa sunat) dan program induksi. Program induksi adalah program penerangan tentang latarbelakang jamaah, suaikenal sesama ahli baru serta solat berjamaah. Rata-rata yang hadir adalah anak muda. Bila berbual dengan mereka tentang usia ternyata mereka sebaris dengan Along dan Angah.

Selesai program, aku balik ke rumah. Bawa ibu_suri keluar pekan untuk beli sedikit barang dapur. Sambil memandu, otak aku asyik memikir tentang wassap Akhmal tadi, berhasrat untuk tinggal bersama maknya di Setiawan.

Aku teringat talipon rumah yang aku guna semasa anak-anak masih kecil 15~20 tahun dulu. Selalunya bila berdering, kita akan angkat talipon itu menjawap panggilan. Selepas selesai perbualan, talipon itu akan di letakkan semula ke gagang.

Begitukah agaknya Allah mentakdirkan perjalanan hari depan Akhmal?

Khamis, 26 Februari 2015

Semalam

Semalam aku benar-benar dalam kecamuk. Akhmal mengamuk. Menerpa dapur dan menggenggam semua pisau yang tersimpan di atas kabinet dapur. Dia mencari CT. Ntah apa sebabnya yang dia  marah sangat.

Tapi yang aku pasti, dia dalam kondisi 'tak stabil'. Aku panik. Cuba menalipon Angah. Tapi talipon aku pula buat hal. 

Aku ke rumah biras, ingat nak minta tolong. Mereka juga tak ada. Nasib baik Ema (anak saudara) datang. Ada juga penyejuk suasana dan teman aku secara tak lansung.

Aduh... Akhmal... Akhmal...

Aku sembahyang dan sujud lama-lama minta pertolongan dari Tuhan. Semasa memandu, semasa menunggu talipon di periksa oleh pekedai, semasa semuanyalah itu... aku berbisk dalam hati... berdoa minta Allah membantu.

Akhmal benar-benar mengamuk. Merapu, mencarut dan menengking... semua ada.

Sesekali aku teringat kepada mak Akhmal di Setiawan. Maafkan aku... kak, kerana gagal menjaga Akhmal sebaiknya!

Akhirnya, kemuncak dari segala tekanan dalam diri, aku tidur di lantai berbantalkan lengan sehinggalah Angah balik dari kerja.

Malam, Angah datang berbisik kepada aku...

"Ayah, tak usah fikirkan sangat pasal Akhmal. Nanti ayah sakit. Ayah pi lah bawa ibu kemana-mana. Rehatkan fikiran sekejap..."

Rabu, 25 Februari 2015

Klip Video

Selepas bangun dari tidur petang tadi, aku mandi sepuasnya. Aku capai kemeja T merah JIM kegemaran.

Usai solat di masjid, aku akur saja ajakkan ibu_suri untuk jalan-jalan. Lagipun, aku nak santai saja malam ni mententeramkan jiwa yang sikit kecamuk. Memandu sambil dengar zikir Penawar Hati 7 - Munif Ahmad.

Singgah makan malam di gerai Nasi Malam kat Pongsu Seribu. Walaupun lauknya dah tinggal seredak tapi dek malas nak ke tempat lain, cedok saja apa yang ada. Lagipun, laukpauk hatta kuahnya saja pun memang sedap.

Selesai makan, ibu_suri ajak balik ikut jalan jauh. Singgah beli aiskrim di kedai Tabligh, Penanti. Sambil tunggu dia makan, aku tunjukkan dia klip video di bawah. Ada 2 saja kemungkinan bila dia tonton klip video ini:

1. ketawa
2. aku kena marah

Aku gamble je... nasiblah!

klip video 1...



klip video 2...



Bergantang-gantang soalan dia pada aku;

1. dari mana aku dapat video ni.
2. pasal apa video ni asyik cerita pasal/tunjuk orang gemuk.
3. apa pendapat aku tentang dia... adakah dia gemuk dan tak lawa
4. bla... bla...
5. kena cubit...

Apapun, bila balik rumah dia suruh aku tunjuk semula kedua klip video tersebut. Sambil tonton dia ketawa sendirian...

Selasa, 24 Februari 2015

Tabahlah!


Hari ini aku berasa amat tidak bersemangat. Beriadah pagi tadi pun setelah aku paksa diri ini untuk bangun menyarung seluar trek.

Balik riadah, aku beli sahaja nasi bungkus untuk makan tengahari. Malas masak. Ragam ibu_suri dan Akhmal menokok kebosanan aku hari ini.

Tak tahu apa yang berlaku kepada Akhmal. Bunyi perbualan di talipon dan raut wajah dan tingkahnya menggambarkan semua itu.

Dan aku pula tak boleh jauh sikit dari ibu_suri. Ada saja dia memanggil... 

"Abangg... you buat apa? Mai la sini..."

"Abangg... picit la kaki ni. Sakit.."

"Abangg.. nasi ni tak sedap. you perabis la..."

Aku rindu dengan dengan kengkawan. Aku rindu hendak beraktiviti dengan mereka. Mengisi saki hidup dengan berbakti kepada masyarakat luar.

Sebelum keluar beriadah tadi, rutinnya aku isi perut dulu dengan sekeping roti bersama teh puerh. Sambil itu buka laptop membaca facebook. Terjumpa gambar sahabatku - Fuzi Embi (atas) di sini. Kami sesama kerja di Renesas. Sesama pula berhenti kerja setelah terima MSS (sini). Dia kemudiannya kian ligat dengan kerja amal sedang aku lepak saja di rumah.

Selesai urus ibu_suri makan, basuh pinggan dan mandikan, aku ambil bantal dan baring. Ntah bila lelap dalam bebelan.

Aku percaya beginilah juga perasaan dan semangat adikku yang menjaga mak yang lumpuh sebelah badan sejak bertahun-tahun. Baru-baru ini dia menghantar mesej bertalu-talu kat sini.

Aku harap dia akan tetap sabar dan tabah dalam menjaga mak. Memang hanya dialah ayam tambatan keluarga kami. 

Ahad, 22 Februari 2015

Jumpa Mak

Bagi aku, ini antara sesuatu yang hebat juga. Yang perlu aku perakui. Yang wajib aku tempuhi. Dan kena berlapang dada akan hakikat dan kemungkinan apa yang akan berlaku kemudiannya.

Akhmal menghantar mesej semalam...

"Akhmal nak pi rumah mak. Boleh tak ayah?" 

Mak kandung Akhmal tinggal di Setiawan, Perak. Memang dah terlalu lama aku tidak bawa dia ke sana. Lama sejak dia mula keluar masuk balai dan mahkamah. Lama kerana aku terasa amat malu dan bersalah terhadap mak dia atas kegagalanaku menjaga Akhmal selama ini.

Senyap-senyap, aku menalipon Kak Ton, mak Akhmal. Berbicara panjang juga. Sebelum ini Kak Ton ada menghantar mesej pada aku bertanyakan Akhmal. Aku tak balas. Menalipon aku, juga aku tak jawap.

Rupanya sebelum ini pun, Akhmal dah beberapa kali balik ke Setiawan tanpa pengetahuan aku. Yang aku bimbang bukan sangat dia mencari mak dia malah memang sepatutnya dan tidak salah dia mencari dan berjumpa insan yang melahirkan dia. Berdosa aku jika menghalang itu.

Cuma yang paling aku bimbang dan takut kemungkinan berlaku ialah dia akan menyalahkan maknya kerna memberi dia kepada orang lain menjaganya. Aku tahu perangai Akhmal yang hangin itu. Tambahan pula jika dalam keadaan dia tidak stabil dek pengaruh benda 'negatif' itu.

Aku merasakan seperti memasuki fasa baru. Apa yang pernah aku tonton dalam drama Melayu perihal anak angkat seperti akan berlaku kepada diriku. Semua kemungkinan yang pernah aku jangka semasa ibu_suri, adiknya dah abah mertua beiya-iya mahu mengambil Akhmal sebagai anak angkat walaupun aku menentang secara total kini terpaksa aku pikul sendirian.

Tak siapa pun tahu hatta ibu_suri. Aku bekalkan Akhmal dengan wang serta pesanan. Aku berdoa semuga perjalanan, apa yang bakal berlaku di sana dan hasil pertemuan dia dengan maknya nanti baik-baik saja.

Jauh juga Setiawan itu jika diukur dengan perjalanan menaiki motor. Lebih-lebih lagi di musim CNY ini...


Jumaat, 20 Februari 2015

Bukit D.O


Lama juga aku tak beriadah sejak Akhmal jatuh motor kat sini. Pagi ini aku sarung semula seluar trek biru itu. Sambil bertemankan lagu-lagu dari cd Hijjaz - Pelita Hidup VI, aku memandu ke Kompleks Sukan Bukit Mertajam.

Tapi.... aikk...! Tutup pulak. 

"Jaga ni pun nak cuti juga agaknya.." getusku pada ibu_suri di sebelah.

Aku teringat Bukit DO. Agaknya inilah hikmah di sebalik kompleks sukan ini ditutup sempena CNY.

"Kat mana jalan nak pi Bukit Kecil - rumah Ali Askar dulu?" tanyaku pada ibu_suri yang memang kuat dayaingatnya tentang jalan dan tarikh lahir adik beradik serta kawan-kawan. Ali Askar adalah kawan aku yang dulunya bekerja dengan TNB. Bukit D.O dikatakan berada dalam kawasan Bukit Kecil.

Beriadah di sini kira ok juga. Treknya tidak mencangak setinggi Bukit Tok Kun. Sesuai dengan otai seperti aku ni. Ramai Cina beriadah di sini. Boleh dikira yang Melayunya. Selain trek tar, ada juga tangga, ada alat gim, ada dataran untuk perhimpunan, ada gelanggang tenis dan ada dataran untuk melihat pemandangan Bandar Bukit Mertajam dari atas. Suhu agak nyaman disebabkan teduhan pokok. Boleh baca sedikit tentangnya di sini.

Viva aku parkir di bawah pokok kerana teduh itu juga akan mendamaikan ibu_suri yang menunggu. Mulanya aku ingat nak senyap-senyap keluar sendirian ke sini tapi tengah dok salin ke seluar trek, tau-tau...

"Abang nak pi jogging ka? Nak ikut arrr..." Aduss....

Rabu, 18 Februari 2015

Mug Merah


Semasa beratur dikaunter bayar pasaraya Billion, Seberang Jaya semalam, aku ternampak tawaran mug besar berwarna merah oleh Kit Kat. Tanpa berlengah aku terus mengambil satu pek Kit Kat itu sambil terbayang wajah ibu_suri yang pastinya akan gembira.

"Abang beli Kit Kat ni sebab ada tawaran mug. Abang tau.. you mesti suka sebab warna dia merah..."

Memang, warna merah Tahun Baru Cina ini warna kegemaran ibu_suri. Tak heranlah semasa di awal sindrom bipolar dis-order nya dulu, ibu_suri pernah 'memaksa' aku membeli tanglung dan gantung di depan pintu rumah. Hinggakan, kawan-kawan aku yang nak datang ziarah dia di rumah menalipon aku...

"Eh... rumah hang ka ni... yang dok tergantung tanglung Cina?" Memang, penuh rasa segan tapi itulah hakikat... Ha..ha..ha..

Walaupun kat rumah aku dah ada bermacam jenis dan saiz mug, aku rasa ini adalah hadiah yang terbaik dari aku untuk dia dalam usaha menggalakkan dia istiqamah mengamalkan meminum teh Pu Erh ke arah penjagaan kesihatannya yang lebih baik.


Selasa, 17 Februari 2015

Anak Yang Ramai

Duyah yang diamanahkan oleh seluruh adik beradikku untuk menjaga mak yang lumpuh sebelah kiri menghantar sms bertalu-talu menyatakan kerisauannya yang mula berasa jemu menjaga mak, semalam.

Aku faham perasaan dia kerana rasa yang sama juga aku alami selama menjaga ibu_suri. Jemu, resah, tidak mempunyai ruang untuk bersendirian, tiada tempat untuk meluah perasaan yang tertekan dan segalanya.

Ini buatkan fikiran aku terketuk. Ya.. amat tidak adil kalau adikku yang seorang ini sahaja dibebankan dengan menjaga mak sedangkan aku dan adik-adik yang lain selesa bersantai dengan keluarga sendiri. Dia juga punya suami dan anak-anak untuk diurus. Bukan sehari, bukan juga sebulan tapi dah bertahun-tahun. Tentu saja dia rasa jemu dan cuak dengan tugasan panjang seperti tidak nampak hujung.

Aku terlebih lagi rasa bersalah. Aku anak lelaki... sulong pula tu. Akulah sepatutnya yang mengambil tugasan utama menjaga mak sebab mak telah menjaga aku lebih lama dari adik-adik semua.

Tapi aku juga.... aduh!

Aku akui, sejak ibu_suri sakit, aku cuma balik hari saja bila ke kampung. Selalunya bila Duyah bertanya... Yop tak tak tidur sini ke?... aku cuma geleng kepala yang berat.

Jenuh aku berfikir sejak semalam hingga saat ini. Kekadang aku berangan, kalaulah aku tidak ada tanggungan di sini, mau aku pindah duduk dengan mak. Biar akulah yang menjaga mak. Aku tidak mahu menjadi salah seorang dari golongan ramai anak yang tidak mampu menjaga mak seorang sedang mak seorang mampu menjaga anak yang ramai.

Isnin, 16 Februari 2015

Sedap Air Soya Ni!


Aku sengaja memilih berjalan kaki balik dari menghantar Kancilku untuk diperbaiki di Asia Tyre, Penanti daripada meminta tolong mereka menghantar aku. Sedari awal aku memang berniat untuk beriadah. Justeru itu aku siaga dengan seluar dan kasut sukan.

Boleh tahan juga mencabarnya perjalanan meniti bibir jalan raya yang berdebu dan sarat kenderaan ini. Melihat lebih dekat pelbagai ragam suasana seperti tong sampah yang busuk dan bersepah, parit yang tak diselenggara, pelanggan memakir tunggangan sesuka hati di pintu kedai....

Tidak pula terasa jemu atau letih malah berasa amat santai dan menyegarkan. Mungkin dek kebiasaan aku beriadah saban pagi sebelum ini.

Sesampai di simpang masuk taman kediaman, hati tergerak nak singgah minum di gerai depan SM Taman Guar Perahu Indah.

Sungguh sedap rasanya air kacang soya yang sejuk serta berbekaskan stainless steel ini. Seteguk demi seteguk aku lalukan di kerongkong perlahan-lahan. Betapa nikmat sebegini jarang-jarang aku rasai. Agaknya seperti inilah kepuasaan yang dialami oleh orang yang bekerja membanting tulang empat kerat di sawah, di tapak pembinaan atau yang gelandangan pabila mendapat makanan yang walaupun tak seberapa.

"Berapa harga?"

"5 kupang"

Terasa pula murahnya...

"Sedap air ni!" ujarku lagi penuh ikhlas.

Wanita itu yang mungkin isterinya memulangkan kembali baki dari seringgit yang aku beri. Tampak inai di tiga jarinya yang masih merah.

Sabtu, 14 Februari 2015

Nasi Kandar Beratur


Dah banyak hari sebenarnya aku berasa kurang sihat. Sakit kepala kat penjuru mata dan sesekali badan seram sejuk. Tapi nak mengadu kat sapa ekk... Bila beritahu ibu_suri, dia cuma senyum simpul... Mengadu kat Akhmal dia camdek kita balik.. tu la.. ayah suka tengok komputer dalam gelap..

Tadi ibu_suri ajak juga aku bawa dia makan kat nasi kandar beratur di Jalan Talikom, Bagan. Dah banyak kali dia minta aku bawa dia ke sana. Tak larat nak taici dah... ibu_suri memang dari sihatnya dulu begitu.. keras hati.

Bukan apa, namanya saja dah nasi beratur... kena beraturlah... tu yang aku malas tu. Aku pun bukannya boleh berdiri lama.

Sampai di sana jam 10.30 malam. Aku tengok orang dah beratur panjang. Aku pun ikut beratur. Tapi... aisey... rupanya, gerai tu cuma buka jam 11. 

Aku belum pernah makan nasi kandar ni. Entah apa sedapnya sampai Melayu, Cina dan India sangup sesama beratur panjang.

Restoran utamanya ( Restoran Jamal Mohammed ) ada kat seberang jalan tapi tak ramai yang pergi makan di sana sebaliknya gerai kecil ini juga yang jadi tungguan. Cakap-cakap yang aku dengar dari orang yang sama-sama berbaris... agaknya sebab ianya berada di bawah pokok ketapang kot!

Aku tanya pada ibu_suri yang sedang makan... sedap tak? Boleh tahan.... jawap ibu_suri. 

Kalau ibu_suri cakap boleh tahan, kira... tahap kesedapan pada dia hanya C.

Sebaliknya bila aku tanya Akhmal, sedap?

"Sedap. Kalau tak, tak habislah nasi dalam pinggan ni..."

Jangan tanya aku sebab aku cuma belikan untuk mereka berdua saja. Memang beginilah aku... Perut aku masih terasa kenyang dek makan nasi semalam yang aku goreng semula jam 5 petang tadi. 

Dan lagi, tekak aku ini tak semacam ibu_suri yang pantang dengar ada makan yang sedap, mesti nak cuba....

Jumaat, 13 Februari 2015

Belasungkawa TGNA


Pergi sudah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menemui Penciptanya. Pergilah dengan senyuman yang manis. Kami di sini amat merasai ini sebagai satu kehilangan...

# Seraut Wajah - Ebiet G Ade ; tribute  untuk insan yang kami sanjungi....

Khamis, 12 Februari 2015

Siapa Boleh?

Aku terima sms dari adikku - Mamat kelmarin tapi aku belum lagi menjawapnya hingga ke hari ini. Isi sms itu meminta - sesiapa diantara abang-abangnya (aku pasti sms itu dihantar secara pukal kepada semua abangnya termasuk aku) yang boleh menghantar mak ke klinik pada 24hb ini?

Jauh lagi tarikh itu dan aku tidak nampak sejauhmana jadual aku di hari itu. Justeru itulah aku masih belum ada jawapan.

Kalau bolehlah pasti jawapan yang mahu aku berikan ialah - Yop boleh hantar mak ke klinik. Kamu jangan risau!

Seumur hidup mak sejak mengalami kelumpuhan ini tak pernah sekalipun aku menghantarnya ke klinik untuk rawatan rutinnya. Sadis kan?

Jadi, dalam hati kecil aku ini memang meronta-ronta rasa mahu merebut peluang keemasan untuk berbakti kepada mak.

Tau apa respon ibu_suri bila aku ajukan hal ini kepadanya semalam?

"Awat... takda orang lain ke yang boleh hantar mak ke klinik?"

"Kenapa mesti tanya orang lain? Itukan mak abang. Sebagai abang yang paling tua, sepatutnya abanglah yang memikul tanggungjawap menjaga mak. Mamat tu dah terlalu banyak berkorban menjaga mak. Kenapa tidak kali ini abang berkorban pula. Lagipun, abang bukannya kerja lagi. Tak ada alasan untuk tidak ada masa nak bawa mak ke klinik. Sekali ni saja."

Sambung ku lagi..." sepatutnya kita berebut-rebut menjaga mak yang telah melahir dan membesarkan kita; bukannya menuding kepada orang lain. Macam mak you juga, kenapa setiap minggu abang selalu ajak kita balik tengok mak you kat Gelugor sana? Sebab peluang keemasan yang masih ada inilah. Janganlah bila mak abah dah mati baru kita menangis menyesal..." ...panjang dan penuh emosi pula leteranku itu.

Aku cuba mencongak. Nak bawa mak mestilah awal pagi sedangkan aku sampai Ipoh dari Penang pun memakan masa 4 jam... tentu terlambat. Nak tidur sehari awal di rumah mak, memang susah kerana kemudahan di rumah mak untuk ibu_suri tak sama seperti di rumah sendiri.

Nak tidur hotel.... juga masih sedikit payah. Huuu.... inilah yang sedang berlegar di benak!


p/s: kisah bagaimana aku mula kenal ibu_suri dan cabarannya...  baca sini.

Rabu, 11 Februari 2015

Resah

Entahlah... kenapa aku tiba-tiba saja merasai resah malam ini.

Luka di lutut Akhmal dah beransur kering. Dia tak mahu buat dressing di klinik sebaliknya lebih tega buat sendiri di rumah. Memandikan dia, menyediakan makan dan mengemaskan tempat tidurnya seperti satu tugas tambahan pula. Kawan-kawannya sudah mulai membanjiri rumah buatkan aku seperti kehilangan privasi.

Kekadang Akhmal dan ibu_suri meragam dalam masa serentak. Saat sebeginilah kesabaran dan ketenangan dalam hati itu perlu. Bila ada masa-masa terluang selepas semuanya diselesaikan, aku curi-curi untuk berlama di masjid. Ada kalanya aku lelapkan mata sambil dengar lagu di dalam kereta sebelum atau selepas keluar masjid.

Tidak tahulah.... berapa lama aku akan berhadapan dengan rutin hidup yang seperti ini. Letih dan jemu. Tidak ada kebebasan untuk berbuat sesuatu yang aku suka seperti suami-suami lain...

Selasa, 10 Februari 2015

Teh Puerh



Gembira bila akhirnya aku menerima sebungkus besar teh puerh dari Sheriffa Fahima melalui pos laju beberapa minggu lalu. Pemberian secara percuma daripada beliau (walaupun aku baru pertama kali mengenalinya hanya melalui fb) membuka ruang kepada alternatif baharu dalam usaha merawat komplikasi kesihatan ibu_suri.

Aku juga ingin berterima kasih kepada Cas Val, seorang revert yang telah memperkenalkan aku pada Sheriffa Fahima.

Pada yang tidak biasa dengan minuman ala-ala teh cina ini tentu berkata 'tak sedap', akan tetapi bagi mereka yang perlahan-lahan berkecimpung dalam dunia teh tanpa gula ini sudah pasti memperakui kebagusan teh seperti ini.

Maka stok ali tea yang selama ini menjadi kegemaranku saban pagi akan menjadi stok terakhir. Selepas ini aku akan menjadi penggemar teh tanpa gula seperti puerh.

Antara mereka yang sepatutnya mengamalkan teh puerh.... 

✏ Mereka yang ingin menurunkan berat badan atau berdiet
✏ Mereka yang ingin kekal sihat dan langsing
✏ Pengidap diabetes
✏ Pengidap darah tinggi/hypertensionn 
✏ Mereka yang ingin menurunkan kadar kolesterol dalam darah
✏ Mereka yang menhadapi masalah penghadaman/sembelit
✏ Mereka yang menghadapi masalah kencing tak lawas
✏ Wanita yang menghidapi senggugut dan haid tidak teratur
✏ Pengidap gout
✏ Mereka yang ingin menyingkirkan toksin dari badan (detox)


Muga ini dapat memberi harapan baharu buat ibu_suri... isteriku yang aku terima seadanya dia ke dalam hidupku!

Isnin, 9 Februari 2015

Teguran Dari Tuhan

Akhmal tidur di ruang tamu. Sesekali mengerang kesakitan. Lututnya yang berbalut itu memanglah akan terasa sakit bila digerakkan. Membiarkan kakinya tidak lansung bergerak pula akan membuatkan dia berasa lenguh dan kebas, juga merimaskan.

Subuh semalam tiba-tiba sahaja tingkap bilik aku di ketuk orang. Aku mengesat mata sambil memandang jam di talipon bimbit... pukul 3.30 pagi. Bila ditolak pintu gelansar, kelihatan Akhmal duduk menjulur di lantai memegang kaki.

"Kenapa bang?"

"Nak bawak Akhmal pergi hospital. Dia jatuh motor!" tanpa mahu menghurai lebih lanjut. Adakalanya ibu_suri tak perlu tahu kerana tahunya dia kelak akan menambah susah kerjabuatku nanti.

Aku sudah mangli dengan semua ini. Balai polis, mahkamah dan hospital seperti tempat wajib yang mesti aku pergi saban tahun.

Terfikir aku, adakah ini semua terjadi ke atas diriku dek kerana kelalaian aku dalam ibadah kepada Tuhan. Ada kesilapan yang telah aku lakukan.

Mungkin ini cara Tuhan menegur aku akan kelalaian yang aku buat kelmarin. Dia mahu aku segera menjajarkan semula terhadap semua amal ibadatku dan istiqamah dengannya.

Semasa aku menunggu Akhmal di rawat oleh doktor semalam, aku menghantar sms kepada Angah.

"Kalau tak ada kerja, datanglah teman ayah di rumah ya. Ayah rasa tak mampu nak tanggung kerenah Akhmal dan ibu kamu ini seorang diri ayah!" 

Sujud terakhir Subuhku itu agak panjnag. Memang dah agak lama juga aku tidak berdoa dalam sujud sepanjang itu.

Sabtu, 7 Februari 2015

Oh Kampungku!


Semalam aku balik kampung jenguk mak. Rasa terkejut bila melihatkan kiri kanan jalan masuk dah terang benderang. Malah cerucuk bangunan sedang galak dipacakkan. Apa dah jadi dengan kampung aku ni?

Adikku - Napi beritahu bahawa jalan tar itu sendiripun sikit hari lagi akan dilencongkan kerana ia juga adalah sebahagian tapak projek. Bagaimana boleh terjadi begini? Bukankah Kampungku ini salah satu dari Wawasan Desa. Tanahnya telah dikategorikan sebagai tanah rezab Melayu. Dan lagi, perkampungan ini juga adalah yang tertua di Perak berusia lebih 100 tahun?

Aku seperti enggan menerima hakikat ini. Terbayang di kotak fikiran akan nasib perkampungan Melayu di Pulau Pinang... akan serupakah nanti dengan nasib kampung dimana aku dibesarkan ini, 10~ 20 tahun lagi?

Namun siapalah aku untuk memprotes apa yang telah berlaku. Aku sendiri pun bukan lagi permastautin di sini. Tidak ada satu pun jasa aku dalam menjaga kampung sebelum ini.

Apa yang aku boleh buat hanyalah berputih mata melihat tanah kampungku tergadai satu persatu. Tidak lama lagi, yang tinggal mungkin hanya pusara mak dan abahku. Itupun jika tanah wakaf itu tidak menerima nasib yang sama!

Khamis, 5 Februari 2015

insaf

Terus terang aku katakan bahawa aku sebenarnya telah gagal mendisiplinkan diri dengan pemakanan oat setiap hari.

Tanak nasi bersama oat tidak praktikal kerana nasi cepat menjadi basi. Mengamalkan minum oat setiap pagi juga kini meloyakan tekak.

Kelmarin aku baru saja buang sebekas oat yang dah terlalu lama disimpan.

Apa yang aku masih bertahan ialah memakan roti berasaskan gandum penuh seperti jenama Mighty White dengan sapuan margerin berasaskan tumbuhan seperti jenama Natural. Setiap pagi sebelum keluar beriadah aku akan makan sekeping bersama teh pegaga HPA. Bila malam terasa lapar, aku akan makan biskut Quaker Oat.

Makan berpilih dan bersukat seperti ini buat aku insaf akan nikmat Tuhan yang semakin mengurang terhadap aku. Namun rontaan keteringinan  untuk makan roti canai, mi goreng atau nasi goreng ikan masin yang menjadi kegemaranku sejak dulu kekadang buat aku langgar juga pantangnya.

Namun aku percaya, walaupun kita sebenarnya masih boleh makan apa saja tapi mestilah dengan kadar yang just nice. Kemudian mesti di sulamkan dengan riadah yang istiqamah dan memakan atau meminum makanan yang boleh menyerap segala bahan lebihan dalam badan seperti oat.

Isnin, 2 Februari 2015

Kebersamaan di Puncak Mutiara

Malam tadi sekeluarga kami bermakan malam di Puncak Mutiara Cafe. Walaupun dah lama bermastautin di sini namun ke PMC, ini baru pertama kali.

Along belanja sebenarnya. Dan bila ada orang nak belanja di lokasi makan yang agak istimewa mestilah besar belanjanya. Besar belanja tentulah besar persediaan koceknya.

Pertama kali juga rasanya Akhmal mahu ikut sama makan bersama kami. Selalunya sebelum ini susah nak ajak dia. Pernah dulu semasa makan di De Pauh Garden, dia dah duduk pun bersama kami di meja. Secara tiba-tiba sahaja dia bangun dan keluar. Tak lama aku mendapat sms dia dengan nada rajuk dan jauh hati. Kononnya siapalah dia yang hanya anak angkat untuk layak makan besar bersama kami. Allah sahaja yang tahu betapa luluhnya hati aku saat itu.

Pada aku PMC boleh kira hebatlah sebab ianya diusahakan oleh orang Melayu kita. Tapi mungkin disebabkan aku dah biasa makan menu ala makanan barat seperti di Victoria Station dan The Ship tatkala pergi outing dengan Small Group Activities (SGA) semasa bekerja dulu, buatkan keterujaan aku kurang. 

Namun yang penting sebenarnya adalah kebersamaan dengan anak menantu dan cucu. Bagi seorang manusia yang sedang berjalan meniti hari-hari terkhirnya ini tidak ada yang lebih berharga dari mengecapi kemesraan dan kasih sayang keluarga.

Dan untuk mengujudkan semua itu, aku perlu menjadi pemangkinnya. Dan untuk menjadi pemangkin... aku perlu banyak mengorban kepentingan diri.

"Lagi sekali, kalau ada rezeki, kita pi makan nasi arab Hadramout kat Kepala Batas,ya!"...

Ahad, 1 Februari 2015

Hati Yang Kotor

Along baru sahaja balik dari Kepong, malam semalam. Aku ajak dia beriadah bersama aku, pagi ini. Aku bangunkan ibu_suri dari tidur yang masih. Kalau tak diajak dia bersama kemudiannya dia tahu aku berpergian pula dengan Along, pastilah dia akan berkecil hati. Walaupun pada dasarnya, aku lebih senang beriadah bersendirian.

Bingkas sahaja ibu_suri ke bilik air. Aku ingatkan dia cuma ke tandas tapi rupanya...

"Abang... mai sat."

Sahihlah... dia mandi. Semakin lambatlah nak pergi ni, getus hatiku sambil mengerling jarum jam yang hampir ke nombor 9.

"Sabun jatuh dalam kolah."

Aku memandang ke kolah. Airnya keruh. Aku raba sabun di rak, dah kembang. Kerja sapa pula ni, getus hatiku lagi sambil terbayang  Along dan Akmal... 2 orang saja yang ada di rumah aku sejak semalam selain aku dan ibu_suri.

"Tak apalah... Nanti dia jernih sendiri..." jawapku yang sebenarnya malas nak fikir lebih jauh.

Namun kemudiannya di dalam hati merasakan betul juga jawapanku tadi. Jika aku biarkan saja air keruh itu begitu tanpa perlu dibuang, gunakan macam biasa untuk mandi sambil paip air yang dibuka akan meluncurkan air baru yang jernih dari tangki, lama kelamaan air yang baru yang jernih akan memenuhi kolah yangmana air yang keruh tadi digunakan untuk mandi.

Begitulah juga hati kita yang kotor. Jika selalu di isi dan di usap dengan unsur-unsur yang baik, tentulah akan bertukar menjadi bersih.