Halaman

Selasa, 31 Mac 2015

Sebak


Sebenarnya aku cuba untuk malas menulis kisah yang tidak menyenangkan di blog ini. Namun hakikatnya kisah begitulah yang  menjadi selalu menjadi viral dan berasa perlu dicatat sebagai diari dan biografiku.

Semalam Akhmal hadir mahkamah ekoran kes dia di sini. Aku dah semacam cuak untuk masuk mahkamah hampir saban tahun ini namun terpaksa demi anak. Majestrit menjatuhkan hukuman  penjara atau denda rm3k. 

Aku keluar dari kamar mahkamah II itu dengan hati penuh sebak. Denda sebanyak itu rasanya tak mampu aku layan dengan status aku yang tidak bekerja ini. Lagipun membayar denda untuk Akhmal dibebaskan belum tentu menjamin Akhmal akan sedar dan menjadi baik.

Aku mundar mandir sekitar laman, kantin dan foyer mahkamah. Befikir dan terus berfikir sementara talipon aku terus menerus berbunyi oleh panggilan Akhmal.

Hati besar dan hati kecil aku berperang sesama sendiri di benak. Kemudian aku menuju ke Masjid Sheikh Abdul Kadir yang tidak jauh untuk mengadu petunjuk dari Allah.

Akhirnya aku balik tanpa menoleh lagi dengan talipon yang tak jemu-jemu berbunyi itu aku perosok ke dalam laci dashboard. Sementara benak aku masih berkecamuk dengan perang sesama hati.

Sabtu, 28 Mac 2015

Tidur


Heran juga aku. Akhmal ni dah lebih 24 jam tidur. Bermula malam semalam, sekitar jam 10 hinggalah pagi ini. Yang aku perasan dia cuma bangun untuk minum ais bandung yang aku beli malam tadi. Nasi bungkus yang aku beli tengahari kemudiannya nasi ayam tatkala petang semalam sedikit pun tidak berusik. Akhirnya terpaksa aku simpan ke dalam peti ais.

"Tu nanti, abanglah yang akan goreng balik untuk abang sendiri yang makan..." aduku pada ibu_suri.

Aku tak mahu sangka yang tidak baik. Kemungkinan besar dia keletihan sebab 2 hari berturut-turut dia kerja ambil upah angkut barang. Berat... katanya. Hah... selama ini kamu dah terlalu banyak buat kerja senang.

Tapi takkan hingga lebih 24 jam. Malah nampak macam mau masuk 48 jam nih!

Kekadang berasa suasana rumah akan lebih tenteram kalau dia tiada atau bila masa dia tidur. Tabiat aku, memang tak suka ganggu orang lain tidur lebih-lebih macam Akhmal... yang suka mamun kalau kejutkan dia ketika mana chargingnya masih belum betul betul penuh!

Rabu, 25 Mac 2015

Tentang Kita


Hari ini aku tak keluar riadah. Sebaliknya isikan masa hampir setengah hari menguruskan e-filling, membuat rayuan permohonan BRIM dan juga menghantar kain yang baru aku belikan untuk ibu_suri semalam untuk tempahan bajunya.

Aku sebenarnya cuba-cuba saja minta BRIM walaupun sebenarnya kalau ikut gaji aku sebelum berhenti dulu melampaui taraf kelayakan. Untung sabut timbul... betul kan? 

Along menalipon aku bila dia tahu itu.

"Ayah bubuh nama sapa sebagai tanggungan?"

"Ibu la..."

"Along pun bubuh nama ibu... "

Laaa... Pandai pandai aje depa ni. Guna nama ibu tapi bila dapat duit tak nampak pun bagi sikit kat ibu dia. Aspalela...

Kesian juga kat ibu_suri kerana terpaksa tunggu lama dalam kereta yang walaupun masih dengan hawa dingin tapi panas di luar kalau ikut paparan skrin talipon aku adalah 26 darjah C. Sabar sahaja dia.

Semasa melilau mencari kedai untuk fotostat dokumen, aku tertarik untuk singgah disebuah kedai kain yang menjual cd. Kegemaran aku ni.... mencari cd-cd nasyid lama atau yang lain dari yang lain. Yeah... aku terjumpa cd kumpulan 6 Sense - TENTANG KITA. Memuatkan 9 lagu-lagu religi. Setelah aku layari youtube, aku ambil keputusan untuk memilikinya sebagai tambahan kepada koleksi album Indonesia yang ada seperti Wali Band dan Opick. Sedang mencari album religi kumpulan Ungu pula.

Yang selalu membebel dengan fe'el aku ni sudah tentu lah ibu_suri!

Isnin, 23 Mac 2015

Balik Kampung

Sejak balik dari kampung ( Tapah dan Slim River ) 2 hari lepas, ibu_suri asyik bekurung dalam bilik. Sakit lutut akibat banyak bejalan buatkan dia sedikit derita dan murung. Selera makan juga merudum. Lebih banyak tidur.

Semalam juga ntah berapa kali terbuang air di dalam bilik. Aku lontar cadangan supaya carpet di bilik itu ditukar saja dengan tikar getah atau tikar buluh supaya mudah basuh tetapi ibu_suri tak benarkan. Lagipun carpet tu dah lama. Dibeli semasa Along dan Angah kecil lagi. Dah patut pun tukar, pujukku namun ibu_suri tetap juga geleng kepala.

Aku pun,  sejak balik kampung hingga hari ini lansung tak keluar riadah seperti pagi selalu. Solat di masjid juga tidak sebaliknya di rumah sahaja. Berat sahaja rasanya perasaan ini.

Sekejap lagi aku ingat nak recycle sahaja nasi bungkus semalam yang tak disentuh pun oleh ibu_suri. Nasi itu agak banyak. Kalau melihatkan nafsu makan ibu_suri hari ini aku rasa kongsi berdua pun sudah memadai. Aku pun sekarang ini sedang belajar makan sedikit sahaja setiap kali. Melihatkan ramai saudaramaraku yang semakin uzur buatkan aku semakin insaf dan rasa perlu serius menjaga kesihatan.

Khamis, 19 Mac 2015

PemberianNya

Pagi ini aku dapat berita 2 orang sahabatku dimasukkan ke hospital. Seorang sahabat lama semasa belajar di IKM Kuala Lumpur, di serang sakit jantung sementara sahabat dalam IKRAM mengidap sakit kepala yang berat.

Aku beritahu kepada ibu_suri hal ini semasa mengurus dia di bilik air;

"Sorang demi sorang kawan-kawan abang ni sakit. Ada yang dah 'pergi' pun. Beginilah nasib kita bila dah berumur. Kita cuma hamba Tuhan yang lemah...."

"Syukurlah kita masih sihat dan boleh bergerak bebas..." sambungku lagi yang sekaligus sebenarnya mengharap akan kata-kataku tadi bisa menyuntik keredaan ke hatinya menerima ujian yang dia alami dan memberi semangat kepadanya untuk terus meneruskan kehidupan ini walaupun perit.

Memang, aku berasa amat bersyukur kerana pada zahirnya aku masih sihat dan bisa bersiap-siap untuk pergi riadah pagi. Aku harap ibu_suri juga berperasaan begitu kerana masih memiliki aku yang akan tetap setia menjaganya.

Juga masih beruntung kerana esok mungkin masih berpeluang untuk pergi ziarah mertua di Kampung Batu 3, Jalan Pahang, Tapah. Kemudian lusanya akan terus ke Kampung Slim, Slim River untuk meraikan mak saudara yang akan berkahwin kali ke 2 selepas menjanda sekian lama.

Kesemuanya di atas... sihat, sakit, peluang melihat mak dan jodoh adalah pemberian dari Allah. Kita pun tidak tahu bagaimana dan sempatkah melaluinya...

Selasa, 17 Mac 2015

Secawan Ali Tea


Aku ada bawa balik nasi dari kampung semalam. Lebihan makan bersama mak. Bila aku goreng untuk makan tengahari, rupanya ia hanya cukup untuk ibu_suri dan Akhmal sahaja.

Namun aku pun sebenarnya taklah rasa nak makan yang berat di penghujung tengahari ini. Jadinya, aku bancuh Ali Tea dan makan bersama mi segera Mamee Cup. Walaupun nampaknya menu aku ini dalam kategori tak berapa menyihatkan tapi oklah buat hari ini. Nak keluar beli nasi terasa malas dek letih balik kampung selama 2 hari masih ada. Cuaca pun bukan main panas... lit lit...

Mak aku memang ketara... yang mungkin boleh aku istilahkan sebagai nyanyuk kecil. Percakapan atau pertanyaannya kekadang berulang-ulang. Kata-katanya juga kekadang agak sensitif juga lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan ibu_suri  yang juga dalam kategori sakit yang sama - stroke; cuma berbeza jenis kurang upayanya. Bagi aku, perasaan mereka yang mengalami stroke ini agak perasa, susah nak dijangka dan difahamkan.

Makanya, aku yang normal inilah yang perlu memainkan peranan menjadi penenang suasana. Paling kritikal semalam ialah bila berita tv asyik menyiarkan kisah politik semasa yang buatkan mak aku tidak henti-henti membidas pihak pembangkang dan menasihatkan kami supaya jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka sedangkan samada dia tahu atau tidak tahu ibu_suri adalah sebaliknya. Aku cuba untuk mengelencongkan topik percakapan mak tapi tak dapat juga.

Hurm.... ntahlah. Kekdang aku pasrah sahaja dengan keadaan sebegini bila balik kampung. Aku tahu, ikut adatnya, aku cuma ada masa yang sedikit sahaja untuk bersama dan berbakti kepada mak. Aku berazam untuk selalu balik tengok mak. Seperti semalam, aku rasa puas kerana disamping dapat memasak, buatkan kopi dan makan sama mak, aku juga membersihkan bilik mak, belikan keperluan mak dan paling penting ialah beri pendengaran terhadap apa sahaja yang mak perkatakan dengan sabar walaupun berulang-ulang.

Seperti yang aku selalu perkatakan kepada ibu_suri;

"You nasib baik sebab you yang sakit tapi abang sihat untuk jaga you. Kalaulah ditakdirkan kalau abang yang sakit macam you atau macam mak, ntah siapalah yang akan sabar menjaga abang...."

Ahad, 15 Mac 2015

Tak Habis Habis!

Memang letih. Kekadang nafas pun terasa pendek.

Begitulah selalunya jika aku balik ke rumah samada dari beriadah atau bawa ibu_suri jalan-jalan.

Sesampai di rumah, barang dalam kereta perlu di keluarkan dan letak samada ke dapur atau ke dalam bilik. Ternampak kain di ampaian, ambil lalu kelaskan ke almari berkenaan. Kalau biar tersepok saja atas kerusi atau meja, akan di situlah sampai bila-bila. Takkan ada orang lain nak kemaskan.

Bila ke dapur, ada saja pinggan/cawan di singki. Basuhkan dulu. Kekadang tak sempat habis membasuh, ibu_suri menjerit dari bilik air minta dibantu. Mau tak mau, berhenti dan uruskan dia dahulu. 

Kemudian dia peringatkan aku belum makan ubat; aku ke dapur untuk sediakan. Bila ke bilik, aku gantungkan pula baju dan tudung ibu_suri di penyangkut.

Kekadang, bila rasanya dah habis berkemas, aku labuhkan punggung ke kerusi depan tv, terjerit lagi ibu_suri dari dalam bilik;

"Air botol ni dah habis...."

Aku ambil pulak botol air dari stok baru. Bila nak buang botol kosong ke tong sampah, tong sampah dah penuh. Ambil dan buang pula ke belakang. Kemudian gantikan kepada plastik sampah yang baru.

Sambil lalu itu kerling ke dalam baldi.... dah hampir penuh dengan pakaian kotor. Kalau rajin aku terus masukkan ke mesin dan basuh. Sebaliknya kalau dah naik malas, esok saja.

Tup..tup.. dah masuk waktu solat. Kekadang sempat aku ke masjid. Kekadang aku solat saja di ruang tamu.

Memang meletihkan. Rasanya kalau aku masih bekerja macam dulu lebih baik. Kalau tension kat ofis, boleh juga keluar ke kantin minum dengan kawan-kawan sekejap.

Beginilah tugasan seorang isteri sepenuh masa, rupanya. Kerja yang tak akan habis-habis selagi tak tutup mata. 

Ini pun kira nasib baik sebab anak-anak dah besar. Kalaulah anak-anak masih kecil.... alahai... berdepan dengan lampin, sabun dan beruslah pula!

Jumaat, 13 Mac 2015

Umrah


Sahabatku blogger JH akan bertolak ke Tapah kemudiannya ke KL untuk tunaikan umrah. 

Aku ke rumahnya sekitar 8 pagi tadi meraikan pemergiannya. Tak sangka, dia minta aku membacakan sedikit doa sempena pemergiannya. Aku yang tidak bersedia apa-apa berdoa pendek muga pergi dan baliknya selamat dengan umrah yang mabrur.

Dia kini dalam perjalanan menyahut seruan Tuhan sedangkan aku masih terkebil-kebil. Rezeki masing-masing memang bukan perancangan kita. Orang yang ada duit menimbun-nimbun belum tentu mampu pergi tapi orang yang kelihatan tidak ada apa-apa diberi jalan oleh Allah.

Sesudah bertolaknya dia, aku ajak ibu_suri untuk makan pagi saja. Hasrat nak pergi riadah aku batalkan sebab dah 9.30 pagi dengan cahaya matahari yang cukup tajam menikam bumi.

"Kita makan kat kedai yang kita pernah singgah dulu di Permatang Rawa, mau tak?" tanyaku.

Kali pertama aku singgah ialah tahun lepas. Teruja untuk singgah lagi. Nasi lemaknya memang sedap. 

"Bukan saja nasi kandar beratur, nasi lemak pun kena beratur..." ujarku pada ibu_suri yang memang gemar dengan sambal kerang...


Khamis, 12 Mac 2015

Pagi Ini

Ntah kenapa, pagi ni asyik teringat mak dan adik yang menjaganya.

Pagi ini juga teringat akan hidup ini yang masih belum dapat rehat dari mengharungi debar dada dan resah jiwa.

Agaknya kerana Tuhan masih mahu aku dekat padaNya. Justeru semua ini, panjang doa aku dalam sujud terakhir sejak solat semalam dan solat pagi ini....

Pagi ini aku sengaja pergi sorang-sorang riadah di mini stadium Bukit Mertajam. Aku nak lampiaskan segala resah di jiwa sambil dengar lagu-lagu Ebiet...    
(klik foto)


Rabu, 11 Mac 2015

Boly Boly


Sejak tengahari tadi hingga sekarang ini, ibu_suri asyik memerap dalam bilik dengan talipon aku. Punya khusyuk dengar radio hinggakan aku nak hantar mesej kat naqib aku bertanya ada tak usrah malam ni atau tidak pun tak dapat.

Balik dari riadah tadi lagi, ibu_suri pesan kena balik cepat. Nak dengar radio.

"Ada Boly-Boly la bang, sat lagi... Balik cepat ya!"

Amboi... Sabaq sat. Aku nak singgah minum kat warkop Masjid Kubang Semang ni macam selalu. Hari ni akhbar K edisi Rabu dah terbit. Nak baca sambil minum.

"Abang... talipon ni tak boleh sambung kat bluetooth speaker laptop abang tu ka... nak dengar lagu tak payah guna phone telinga ni?"

"Tak boleh. Headphone tu adalah sebagai arial dia. Macam arial tv."

Ooo....

Tapi... Kalau dia ralit dengar Boly-Boly jam 12 hingga 1 tengahari; disambung pula dengan berita kemudian ada slot ceramah oleh Ustaz Samsuri Ahmad pula lepas berita... relaks sikit aku boleh buat kerja sendiri.

Kalau tak... dok asyik abang sana... abang sini ajelah...

Isnin, 9 Mac 2015

Makan

Semalam awal tidurnya. Sekarang ini masih belum bangun-bangun lagi. Wow... Boleh tahan lamanya tidur ibu_suri hari ni.

Aku siap-siap pergi riadah pun dia tak ada riak sedar dari jaga. Aku balik terus capai penyapu sapu sampah depan rumah dan buang sampah, juga dia tak sedar. Aku mandi dan siap pergi masjid, dia masih pejam. Aku basuh baju dan kemas meja di dapur, juga masih sempurna dengkurnya.

Nasi aku beli tadi dah sejuk agaknya. Aku beli sebungkus saja dengan lebih lauk-pauk. Makan berdua. Kalau sikit ibu_makan, banyaklah pula berbaki untuk habuan aku pula. Kalau nasib tak baik, seleranya bagus.... aku makan roti saja. Bukan apa, kekadang dia makan tak habis, simpan dalam peti ais. Kalau dah lama sangat, aku terpaksa buang saja.

Bab makan memang ibu_suri cerewet. Tahap sedap ditekaknya itu jarang menepati makanan yang aku beli. Lantaran itulah akhirnya aku membuat polisi bahawa kalau aku nak makan secara bungkus, beli satu sahaja. Kecuali sesama kami makan di kedai barulah aku satu pinggan, ibu_suri satu pinggan. Aku pula memang tak cerewet bab makan. Cantik kan.... perancangan Tuhan!

Aduhh... perut aku dah lapar sangat ni.

Perangai aku dari dulu... memang tak suka gerak orang yang sedang tidur. Apatah lagi ibu_suri yang bila terjaga akan susah pula nak tidur semula!

Letih


Malam ini nampaknya baru jerap tidur ibu_suri. Itupun setelah masuk ke botol kedua ubat batuk yang menjadi makanan tambahannya selepas makanan asasi. Dia tak mahu ke klinik. Tahu sebabnya iaitu dia sukar memanjat tangga klinik.

Dalam banyak jenis ubat batuk, ibu_suri rasi dengan Cap Ibu dan Anak. Aku beritahu ibu_suri, tak bagus minum ubat batuk banyak sangat. 

Pagi semalam aku tinggalkan dia di rumah hingga tengahari kerana aku pergi ke Mesyuarat Tahunan IKRAM daerah. Aku pergi awal kerana mahu ngobrol dengan kawan-kawan sebelum mula mesyuarat. Mereka tetap seperti dulu, ceria dan komited dalam perjuangan dakwah. Cuma aku sahaja yang corot.

Sekarang ini tenaga kerja IKRAM ramainya dibarisi dengan anak-anak muda. Seronok aku melihat mereka yang kaya dengan semangat, energi dan ilmu IT. Tapi yang ketara ialah masih muda dengan pengalaman kelat kehidupan.

Jam 1, walaupun mesyuarat belum tamat, aku bergegas balik. Kononnya nak bawa ibu_suri pergi ke majlis kenduri rumah saudaranya di Kulim. Tapi bila sampai rumah, aku tertidur di sisi ibu_suri.

"Kenapa tak gerak?"

"Takkk.... Sian tengok abang tidur sedap jer... I tahu... abang letih semalam...."

Ahad, 8 Mac 2015

Pokok Pelam Depan Rumah



Keputusan ini aku timbang sejak lama. Yang beratnya adalah pokok ini satu-satunya kenangan yang ditinggalkan oleh abah. Dia tanam semasa datang ke sini dulu. Aku tak jaga pun pokok ini namun ia tumbuh membesar dengan buah yang manis serta lebat. Berbanding aku yang tidaklah minat sangat makan pelam kecuali yang masak, jiran-jiran hatta India sekalipun selalu minta untuk makan secara cicah.

Daunnya yang rimbun selalu gugur atas bumbung. Kata kontrektor yang perbaiki rumah aku minggu lepas, daun yang jatuh ke atas bumbung jika dibiar tak berbuang akan mereputkan bumbung.

Dan lagi, daun dan dahan yang terjuntai jatuh ke bumbung akan menerbitkan bunyi geselan yang tak menyedapkan telinga mendengar bila angin bertiup waktu petang. Rumah aku rumah tepi. Angin yang datang dari arah padang belakang rumah memang kuat hembusannya hingga boleh terangkat bumbung rumah.

Tua-tua begini rasa malas dah nak tanggung pemikiran yang susah-susah. Selagi ada pilihan lain yang lebih baik, aku akan buat. Termasuklah menebang pokok ini dengan upah tebang RM250.

Melihat cara 4 anak muda itu menebang semalam, boleh tahan juga kerja ini. Kalau aku nak buat memang gayat.

Entah kemana mereka buang puing-puing pokok itu semalam tidaklah aku tahu. Tapi yang pastinya, mereka akan campak ke mana-mana saja tanah semak yang kosong. Mereka tahulah... sebab itu kerja mereka. 

Aku difahamkan, salah seorang dari mereka adalah pekerja MPSP. Memang bidang merekalah bab tebang menebang dan buang membuang ni....

Jumaat, 6 Mac 2015

Dapur

Aku segan nak letak gambaran dapur rumah aku kerana ianya taklah seindah dapur kalian. Semalam, seharian aku mengemasnya. 

Mesin basuh yang baru, dah sampai.  Yang lama, dah 3 kali rosak. Aku ambil keputusan ganti saja dengan yang baru. 

Bila aleh keluar mesin basuh lama, serba mak nenek ada di belakang, rupanya. Kain buruk, sisa tulang ikan serta ayam dan sawang. Aku bersihkan dan susunatur  supaya air basuhan keluar tepat ke lubang kumbahan.

Aku buat sorang-sorang jer. Malas nak minta tolong anak yang ibarat paku dengan penukul. Tolongnya sikit, komennya lebih.

Berpeluh-peluh. Sakit belakang. Tua benar aku ini rupanya. Aku teringat semasa remaja dulu, bergotong royong bersih tanah perkuburan kat masjid dengan orang kampung. Pesan mereka:

"Buat pelan-pelan yop oi.. Badan kita ni nak guna lama..."

Bila dah siap semua, aku pandang dari jauh persis memandang sebuah mural. Rasa puas hati kerana tampak bersih dan kemas di mata aku. Cukuplah bagi aku dapur yang tak sepertinya ini. Aku pernah melihat dapur yang lebih daif dari dapurku ini semasa aku aktif dengan kerja-kerja kemasyarakatan dulu.

Tak tahulah berapa lama akan kekalnya kekemasan ini. Yang menggunanya ramai, yang mengemasnya tu la... sorang jer...


Khamis, 5 Mac 2015

Masih Sihat

Sian kat ibu_suri. Batuknya makin menjadi-jadi. Badan masih panas.

Malam tadi sementara aku masih berjaga, beberapa kali aku urut belakangnya dan menyuruh minum air kosong supaya basah di tekak. Tapi ntah bilalah masanya aku pula lena.

Tau-tau bila sedar waktu pagi, ibu_suri dah tidur dengan dengkuran selalunya itu.

Aku pelan-pelan capai seluar trek dan keluar untuk riadah. Dah beberapa minggu semenjak Akhmal mengamuk di susuli Qaisara masuk hospital dan sekarang ibu_suri pula demam, aku tak pergi ziarah mertua. Khabarnya, mertua pun tertanya-tanya kenapa kami tak datang jenguk mereka seperti selalu.

Mak aku di kampung juga aku tak berkesempatan balik menjenguk. Adikku yang menjaga mak juga khabarnya berhadapan dengan masaalah.

Hujung minggu ni ada mesyuarat agong pertubuhan pula.

Apapun aku masih tetap bersyukur kerana diri ini masih sihat dan mampu menghadapi semuanya. Cumanya aku perlu perbaiki amal ibadat kerana jangkahayat semakin singkat!

Rabu, 4 Mac 2015

Esok



Demam dan batuk ibu_suri buat aku sikit resah juga. Batuknya mengokol hingga menyakitkan otot perut. Tak mahu pula bila diajak ke klinik. Makan pagi juga aku paksakan walaupun sekadar setengah keping roti.

Dia minta aku jangan pergi bila aku bercadang nak keluar riadah, rutin setiap pagi. Belas rasa hati, aku tunda ke petang nanti... harapnya. Malam nanti aku ada usrah; tak pasti sejauhmana aku boleh bawa dia bersama.

Bila memandang wajahnya yang sedang tidur dengan dengkur yang serata, terdetik pula di hati betapa beruntungnya aku masih sihat untuk menjaganya. Memang, aku jarang sakit. Kalau pun ada, masih boleh bangun untuk kemas rumah atau keluar bawa dia jalan-jalan.

Sesungguhnya, Allah itu Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Di jadikan setiap pasangan itu dengan keistimewaan dan kelemahan masing-masing. Mereka akan saling lengkap melengkapi dalam membina rumahtangga yang harmoni. Maka jika ada yang tidak harmoni bermakna pasangan itu tidak menghargai apa yang Allah takdirkan kepada mereka.

Aku tidak tahu, esokku bagaimana....!

Selasa, 3 Mac 2015

Qaisara... 2


Alhamdulillah, cucuku Qaisara sudah keluar hospital. Walaupun bukan 100% sihat tapi mungkin kerana mahu mengurangkan kepadatan wad maka yang tinggal sikit-sikit lagi sakitnya itu di benarkan keluar.

Lama juga menunggu di farmasi. Ubat-ubat yang diberi rata-ratanya jenis cecair. Merah... jernih... semuanya ada. Campur sana 5ml dengan yang ini 2ml... Kena pandai matematik juga kalau nak beri anak meminum ubat jenis penyakit macam Qaisara ni.

Angah tak dapat nak ambil Ayu dan Qaisara dari hospital kerana kerja. Jadi, akulah yang urus semuanya ini termasuk membayarkan bilnya yang berjumlah RM39. Murah je kan... kalau hospital swasta agaknya mau ratus ringgit ni kalau dah duduk di wad hampir seminggu.

Tak pasal-pasal bila selesai urusan discaj, bawa mereka keluar ke kereta, ada notis amaran berwarna merah di cermin, Aku senyum saja... Betul juga jangkaan aku. Mesti guard itu tak senang tengok kereta aku parkir lama sangat di depan pintu masuk hospital. Aku ingatkan sekejap jer urusan discaj Qaisara ni... jadi aku letakkan sekejap kereta itu di bibir jalan. Faham ajelah... parkir di Hospital Seberang Jaya ni... sendat!

Qaisara adalah seorang anak yang tak banyak rengek. Senyum pun payah. Jadi agak sukar juga nak ketahui sejauhmana sakitnya dia. 

Tapi kalau dia menguntum senyum, memang manis. Lebih manis bila kelihatan 2 batang gigi arnabnya itu

Isnin, 2 Mac 2015

Qaisara

Sejak Jumaat hingga hari ini, dah 3 hari cucu keduaku - Qaisara berada di wad akibat jangkitan kuman di paru-paru. Kesian Ayu - terpaksa kesampingkan kerja dan rumah semata-mata menemaninya di katil.


Mulanya dia dikejarkan ke Klinik Kubang Semang awal pagi bila Angah berasa tidak sedap hati melihat nafas Qaisara deras ombak dan desirnya. Tiba di klinik, bila rawatan oleh staf klinik seperti tidak melegakan, Qaisara dinasihatkan rujuk ke hospital.


Syukurnya, Qaisara adalah anak yang tidak banyak ragam. Setiap beberapa jam dia akan diberi oksijen bercampur dengan sejenis cairan.

Kalau aku sendiripun akan rasa rimas jika tiub sentiasa dijolok ke lubang hidung apatah lagi dia.

Aku hantar pesan pada Ayu supaya banyakkan sabar dan doa. Doa ibu adalah paling mustajab. Ini baru ujian kecil dari pelbagai ujian yang akan mereka tempuhi selaku ibu sekaligus sebagai hamba Tuhan!