Halaman

Khamis, 30 Julai 2015

Minum Petang


Aku ada muatnaik gambar atas di status fb tadi di sini. Kemudian kakak ipar aku share status itu di fb dia di sini.

Kakak ipar aku ini memang suka share status rakan-rakan fbnya yang mungkin dia rasakan baik untuk dikongsi. Aku, kekadang aje share. Tapi selalunya suka baca sahaja. Kekadang je update status. Ransangan menulis aku lebih kepada blog. 

Aku sekarang ini sedang cuba kawal habit minum 3in1. Ianya bermula bila Raya baru ni aku terlantar di wad. Setiap pagi, misi akan periksa tekanan darah dan gula. Bila aku tanya macam mana dengan tekanan darah, dia kata ok tapi mulut herot bila bagitau tahap gula. Herot juga emosi aku bila dengar jawapan misi tu. Aku tahu, ini semua penangan suka minum air dari vending machine setiap kali breaktime waktu masih kerja dulu.

Teh pu erh yang aku minum di atas itu dikirim secara percuma oleh Sheriffa Fahima. Aku tak kenal dia kecuali melalui fb jer. Bila aku bagitau hasrat untuk beli sebungkus untuk ibu_suri, aku jadi kaget sebab harga sebungkus hampir RM90. Aku minta beli separuh jer sebab tak mampu nak beli dengan harga tara tu punya tinggi. Akhirnya, dia kirim pada aku dengan foc. Rezeki...

Jadi sekarang ni, aku dah jadi biasa minum teh cina atau kekadang green tea. Dalam  stok aku ada banyak jenis teh yang aku kira-kira cukup untuk setahun. Dan teh itu pula aku minum menggunakan koleksi mug yang aku ada. Mug merah di atas adalah koleksi terbaru berian anak saudaraku.

Tapi nak tahu bila aku beritahu ini pada doktor bila bawa ibu_suri untuk rawatan susulan di klinik?

"No... Tak bagus minum teh cina sebab you tak tahu how good is it. Tak ada kajian saintifik tentangnya. Takut nanti dia rosakkan buah pinggang isteri awak..."

Huishhh.... doktor ni....

Rabu, 29 Julai 2015

Tekanan Darah Dan Gula















Kelmarin, semasa bawa ibu_suri jalan-jalan di Bandar Perda, aku tiba-tiba teringin singgah di Farmasi Harmoni. Lama sangat dah aku bertangguh nak risik-risik harga. Kelmarin aku nekad.

Farmasis di situ pun begitu mesra pelanggan melayan setiap pertanyaan aku dan mengeluarkan alat-alat tersebut serta menerangkan setiap fungsinya. Aku pada mulanya sekadar nak bertanya harga dan kemudian membandingkan dengan kedai lain untuk dapatkan yang lebih murah. 

Dan, ingatkan nak beli satu jer tapi bila fikir lebih jauh, ah... beli dua-dua sekalilah. Harganya tiga ratus lebih. Pejam mata....

Semuanya sebab aku rasa sudah tiba masanya aku ada alatan ini di rumah. Senang untuk aku pantau kesihatan ibu_suri yang kekadang ada masanya doktor suruh periksa tekanan darah selang sehari bilamana masa temujanji dengan doktor di klinik, keputusan terutamanya tekanan darah ibu_suri tidak memuaskan. Jadi, daripada setiap awal pagi aku kena bawa ibu_suri ke klinik semata-mata untuk periksa, kini aku boleh buat di rumah sahaja.

Idea nak beli alatan ini timbul masa aku terlantar di hospital Raya baru ni lah. Bila setiap pagi dan petang doktor periksa tekanan darah dan gula, aku selalu bertanya akan keputusannya. Terasa begitu berguna segala data-data itu dalam memantau tahap kesihatan aku. Sejak hari itulah hati aku berbolak balik samada nak beli atau sayangkan duit....

Nah, sekarang timbul satu masalah lain pula. Mentang-mentanglah dah ada alatan ini di rumah, ibu_suri asyik minta periksa saja tekanan darah dia.

"Tekanan darah ok... boleh check selalu. Tapi nak periksa gula... tak boleh!"

"Kenapa pulak?"

"Hat tu, kalau nak check bawak mai RM5."

"Awatnya....?

"Strip dan jarum tu jenis pakai buang. Kalau habis kena beli...tau. Bukan murah pulak tu!"

Aku teringat semasa di Farmasi Harmoni hari tu, seorang pelanggan mau diperiksa gula dan tekanan darahnya. Kena bayar RM15...

Selasa, 28 Julai 2015

Sport Rim


Aku hantar Viva ke Perodua semalam setelah urusan Takaful Etiqa selesai. Kes langgar motor masa puasa aritulah.... sini.

Kata staf Perodua, insyaAllah paling minima 3 hari boleh siap. Mungkin juga cepat sebab mereka tukar sekeping demi sekeping part yang rosak macam bumper dan lampu.

Jadi, buat sementara ni aku pinjam kereta Angah untuk kemana-mana. Wah... best juga bawa  kereta Angah ni. Sterengnya stabil dan pemanduannya mantap.

"Abang pun ingat nak tukar kepada sport rim macam Angahlah... Best kalau jalan jauh. Terasa relaks... " ujarku pada ibu_suri.

"Tukar kereta ajelah...." cadangan balas ibu_suri yang boleh tahan juga telinga aku mendengarnya. Dari dulu lagi ibu_suri asyik merengek suruh tukar kepada kereta yang besar sikit sebab katanya tempat duduk dia sempit.

"You tu kena kuruskan badan... bukannya tukar kereta..." getusku, "kita berdua aje naik kereta ni. Anak-anak semua dah besar. Jadi buat apa beli kereta lain. Guna yang ada dah la... Lagipun Viva ni nak jaga mudah dan parkir pun senang."

Itulah perempuan, fikirku. Ingat nak senang jer.. tukar kereta. Dah tua-tua ni, tak kerja pulak tu... takkan nak berhutang lagi.  Dah letih mengadap bank!

Ahad, 26 Julai 2015

Mug Merah


Semasa aku hadir di majlis makan-makan sempena raya di rumah Liza semalam; agaknya dia perasan dalam banyak-banyak cawan, aku dok pilih mug Nescafe itu untuk minum.  Memang aku dok berkenan sangat dengan mug itu. 

Raya dulu aku dah pau 1 set mug Nescafe (1 untuk aku dan 1 untuk ibu_suri) dari Liza juga.

"Ayah kalau nak ambil mug tu ambil la...." sambil ketawa dia semawa kat aku. Bak pucuk dicita ulam mendatang.

Aku memang suka juga memiliki koleksi mug. Buat masa ini aku ada mug Ali Cafe, antara yang aku sayang. Bila aku minum Alitea, aku akan guna mug inilah sebab kuantiti airnya sepadan dengan tekak dan perut aku.

Lalu 2~3 hari ini aku ngebat dengan mug 75 tahun Nescafe ini bila minum teh pu erh  waktu pagi dengan biskut 4 segi Julie's atau roti gandum Massimo dengan sapuan Naturel.  Itulah sarapan aku buat masa ini bila pagi sebab malas nak keluar beli kudapan.

Untunglah bagi sesiapa yang punyai isteri yang rajin sediakan makanan untuk suaminya setiap pagi. Hargailah susahpayah dia...

Udang Lipan


Aku dapat mesej dari anak saudara menjemput datang ke rumahnya di Taman Bertam Perdana kerana ada makan-makan. Selesai Maghrib, aku cepat-cepat ajak ibu_suri bersiap. Memang seharian ini pun aku tak kemana. Memerap saja di rumah. Kesian juga kat ibu_suri, tak keluar jalan-jalan. Badan aku rasanya belum pulih 100% lagi.

Suami kepada anak saudaraku - Liza ini sememangnya memiliki kedai makan di Kuala Muda. Jadi, malam tadi tetamu yang datang di jamu dengan mi kuah udang lipan. 

"Waduh... siang tadi kita makan mi. Malam ni mi lagi...." keluh aku pada ibu_suri.

Seronoknya bila aku hadir di majlis makan-makan saudara mara aku ni, aku boleh relaks sikit dari memberi tumpuan pada ibu_suri. Biarlah anak-anak saudara yang layan dia sementara aku bolehlah sembang santai dengan orang lain.

"Ayah.... nah mi kuah udang lipan" sua Liza dengan sepinggan penuh. 

"Hmmm... eloklah. Balik hospital aritu, 2 hari ayah asyik makan sup ketam konon nak bagi naik platelet darah. Pagi tadi ayah masak mi goreng campur sotong. Malam ni makan udang pulak... Mau naik pulak geraf kolestrol ayah ni...." ujarku sambil memerhati yang dikatakan udang tapi tak macam udang tu di dalam pinggan. Rasa geli pun ada sebab ini first time nak rasa  yang dikatakan udang lipan, kononnya sedap....

Hmm.... rasa macam ketam pun ada tapi isinya tak banyak. Bagi aku, tak adalah special manapun rasa udang lipan ni...

"Betul ke kata orang, kalau kena demam denggi elok makan ketam?" tanya Mudiana, isteri Bob yakni adik kepada Liza.

"Mungkin betul sebab masa ayah keluar wad, tahap platelet lebih kurang 55. Lepas 3 hari ayah pi klinik check darah, tahap platelet naik 280. Doktor kata ayah dah ok.... tak perlu check darah lagi..."

Ya tak ya.... Aku pun baru perasan. Seingat aku, keluar saja dari hospital, selain minta menantuku - Ayu buatkan sup ketam, aku juga amalkan minum 100 plus dan banyak minum air kosong.

Salah satu atau kesemuanya mungkin membantu kepada penambahan platelet darahku itu!

Sabtu, 25 Julai 2015

Perasan Sedap!


Bila semalam, aku buka peti ais, ternampak sebungkus mee kuning. Agaknya, ini kerja Along la Raya baru ni, fikirku.

Aku sebenarnya dah bertekad tak mahu lagi lihat ada makanan berlebihan tersimpan di dalam peti ais untuk jangkamasa yang lama. Mesti aku clearkan secepat mungkin samada di proses untuk makan atau buang saja.

Aku pun pepagi lagi tadi beli awas-awas untuk buat mi goreng. Sedikit kucai, taugeh, 2 keping tauhu (buatan orang kita), sotong dan perencah mi Adabi. Merungut aku kepada taukesoh.... kenapa tidak ada perencah mi goreng sebaliknya perencah bihun goreng berlambak.

Akhirnya aku terjumpa perencah mi hailam.... mi hailam pun mi hailam lah....

Aku pun mula memasak setakat yag aku tahu. Siap masak, hidangkan pada ibu_suri.

"Kenapa tak habis?" tanyaku bila melihat ibu_suri berhenti menyuap sedangkan masih ada baki di dalam pinggan.

"Kenyang..." jawapnya.

Aku teruskan makan kemudian menghabiskan baki yang ada dalam pinggan ibu_suri. Pada aku, mi goreng hailam yang aku buat ni tidaklah sedap tapi tidak juga tak sedap.

Lewat tengahari, bila melihatkan masih ada baki di dalam kuali aku lontarkan cadangan pada ibu_suri;

"Mi ada belen lagi. Ingat nak bagi kat Ayu sikit, boleh ke?"

"Tak usahlah...."

Aku sedikit heran. Aku mengira, kalau setakat kami nak menghabiskannya tak terhabis. Masih ada banyak bakinya.

"Kenapa?"

"Tak sedap sangat. Takat kita makan aje boleh la...."

Patutlah Akhmal dan ibu_suri tak ulang makan mi goreng aku ni. Rupanya, aku jer yang perasan sedap.

Aduh... jangan-jangan....  ke tong sampah jugalah akhirnya nanti!

Ahad, 19 Julai 2015

Pemangkin

Doktor baru sahaja datang membuat lawatan susulan. Rata-rata doktor yang ada di sini adalah muda-muda... sekitar 20 ~ 30an. Cumanya, tidak ada lansung doktor Melayu!

Semalam, saudara maraku yang datang ziarah banyak bagi cadangan
 Suruh minum air rebusan daun betiklah, makan sup ketamlah dan minum 100 plus.

Pagi ini aku berpeluang mendengar sikit penerangan doktor.

Rupanya bila bercakap tentang denggi ianya bukan saja berkenaan Platelet tapi juga tentang hati, tentang sel darah merah, darah putih dan ntah apa lagi istilah darah.

Betik dan ketam hanyalah satu pemangkin kepada meningkatkan tahap platelet (ketam adalah paling berkesan) tapi selama aku di sini taklah pula diberi pil sup ketam atau pil rebusan betik sebaliknya disuruh banyak minum air kosong hingga letih mengulang tandas hampir setiap 2 jam.

Kata doktor, perkembangan kesihatanku ke arah postif.

"Walaupun geraf naik dan turun awak agak perlahan tapi itu afalh normal. Memang ianya takkan pulih mendadak tapi ambil masa. Yang penting awak kena banyak minum air,ok..."

Kemungkinan besar aku boleh balik hari ni, agaknya. Dah mula rasa rindu pada rumah dan mendengar suara ibu_suri!

Sabtu, 18 Julai 2015

Semua Itu Alasan!

Aku telah membuat kesilapan hari ini dengan memakan secara berlebihan. Kenapa? Kononnya untuk tidak mahu berlaku pembaziran.

Akibatnya... perut aku kesegahan.

Aku juga telah membuat kesilapan kedua. Apa pula? Meminum teh yang terlalu manis walaupun namanya teh 0. Bukankah ianya manis yang tak diperlukan? Yang sepatutnya boleh aku elak dengan meminum air 0.

Demi ke arah kesihatan yang lebih baik, aku perlu lebih berjaga-jaga terhadap apa yang aku makan dan banyak mana yang patut aku suapkan ke tenggorokan.

Cukup cukuplah melayan nafsu dengan beralaskan alasan... tak mahu membazir.

Itu hanya dongengan!

Discaj

Ini hari ke 3 aku di wad. Pada dasarnya rasa badan beransur selesa. Tiub serta botol 'drip' juga dah dipisahkan dari tangan kiriku.

Paras bp stabil sejak mula namun paling menggembirakan tahap gula dalam darah semakin baik dari bacaan 13 kepada 12 dan tadi kepada 8. Mungkin kerana aku hampir 95% darinya adalah air kosong. Cuma sekali minum secawan kopi.

Kawan aku Mr Ah Ngau di kiri dan pak cik Othman di kanan katil dah discaj. Sebaliknya masuk 2 orang pesakit baru - pengidap stroke dan ha.. ha.. mangsa denggi ke 2 selepas aku.

Angah, Along dan saudara maraku baru saja balik tadi. Seronok juga dapat berbual dengan mereka dalam kondisi badanku yang sihat.

Inilah yang dikatakan kita ini hanya hamba Tuhan. Lemah dan tiada kuasa apa-apa. Sikit saja sakit Allah bagi bagai seluruh nikmat di dunia ini tak berarti.

Rawatan aku di sini hanya dengan.. Banyak minum air kosong. Tanpa perlu pil atau masukan darah dari luar.

Harap harap esok aku juga akan dapat keluar wad seperti Ah Ngau dan Othman.

Jumaat, 17 Julai 2015

Beraya Di Wad


Setelah menunggu 3 jam barulah akhirnya staf hospital membuat keputusan menahan aku di wad. Tahap platelet darah aku semakin merun dari 35 kepada 16.

"Kalau ini berlarutan, bimbang akan berlaku pendarahan ke otak," ujar doktor muda India itu.

Aku tenang sahaja mengangguk akan saranan doktor. Rasanya pun, rawatan penuh di wad adalah yang terbaik.

Ini pengalaman pertama aku memakai pakaian hijau dan duduk di katil putih yang mempunyai jiran seramai 7 katil lagi. Semasa aku di bawa dengan kerusi roda oleh pembantu hodpital, terasa satu pengalaman yang baru.

Aku berazam untuk menjadi pesakit yang tidak banyak kerenah.

Doktor silih berganti datang interview.

Ruusan dari interview itu, doktor pun kata;

"Kalau keadaan macam encik ini, insyaAllah akan cepat baik dengan syarat minum air banyak.."

Aku nak rasakan enjoi duduk di sini. Tak mahu ghaplah fikir hal luar. Biarlah anak-anak aku urus ibu_suri pula. Bukan selalu pun.

Aku harap bila balik nanti aku dalam keadaan cukup fit turun berat badan.

Saja aku tak beritahu kawan ramai yang aku ada di sini. Biarlah aku betsendirian buat sementara waktu ini.

Khamis, 16 Julai 2015

Esok Raya

Tadi pagi aku ke Klinik Kubang Semang. Ambil darah dan bawa ke makmal. Memang kemungkinan besar aku menghidap denggi. Platelet aku adalah 35 jauh lebih rendah dari paras normal 100.

Aku dinasihatkan banyak minum air. Akhirnya aku ambil keputusan tidak berpuasa tadi untuk banyak minum air.

Alonglah yang banyak tolong mengemas rumah. Ayu pula tolong masakkan rendang yangmana memang juadah kami setiap kali raya.

Esok dan setiap harinya, aku diarah membuat pemeriksaan darah demi memantau tahap platelet.

Nampaknya esok dan lusa aku beraya di katil saja. Aku tak boleh bawa kereta malah berdiri lama pun nak tumbang.

Cemburu melihat orang lain gembira sedang aku tersadai di perbaringan.

Kesian kat ibu_suri yang selalu bertanya;

Abang tak ok lagi ke?

Dah hampir seminggu dia tak dapat jalan-jalan. Terperuk kat rumah macam aku juga.

Mujur Angah dan Maisara selalu datang menjenguk.

Beginilah rupanya perasaan mereka yang tidak bernasib baik menyambut raya.

Ada harta berkoyan pun tak bermakna jika kesihatan terencat.

Platelet

Masuk hari ini dah 5 hari aku demam, sakit kepala, cepat letih dan tidak ada selera makan.

Malam semalam baru Angah dapat bawa aku ke hospital Bukit Mertajam. Aku harap sangat dimaaukkan ke wad supaya aku akan dirawat sepenuhnya oleh doktor. Duduk di rumah sekadar telan ubat je aku rasa seperti tak ada makna.

Tapi meleset juga harapan aku itu. Doktor cuma bagi surat dari minta aku buat pemeriksaan darah di klinik .

Pagi ini aku ke Kinik Kubang Semang. Ambil ambil dan hantar ke makmal.

Rupanya platelet darahku jatuh ke angka 35.

"Saya letakkan kes awak sebagai suspected denggi"

Opss...

Ahad, 12 Julai 2015

Tat Nenas


Aku berasa kurang sihat hari ini. Ditambah dengan sejuk penghawa dingin buat aku tak jerap tidur. Aku beraleh baring di luar ketika jam dah pukul 2 pagi. 

Ntah bila aku terlena. Tiba-tiba ibu_suri kejutkan aku tatkala jam penggera talipon berdering di 4.30 pagi. Memang aku dah pesan suruh kejutkan bila saja penggera berbunyi untuk laksanakan Tahjjud. Punyalah beratnya nak bangun.

Sahur aku cuma dengan se-mug teh tarik dan beberapa keping roti. Tengah malam semalam, aku cuma beli sebungkus nasi, telor masin, kari kacang bendi dan ikan goreng untuk ibu_suri saja. Aku tak mahu makan berat konon nak jaga perut aku ini supaya tak penuh. Yangmana akhirnya buat aku tak selesa untuk ibadat. Sasaran aku ini kira tercapailah juga 75 peratus. Berbuka nanti aku cadang nak makan kurma dan moi sahaja. Muga sasaran ini mencapai 100 peratus.

Along akan balik dari Kepong Rabu ini. Maka aku perlu segera kemaskan bilik dia yang semak dengan barang-barang. Semalam dah beli kipas diri untuk kemudahan dia yang selalu merungut akan kipas siling tak cukup kuat anginnya. Orang yang berbadan besar ini memang hangat saja badan mereka, agaknya. Bagi aku, setting kipas kepada angka 2 dah cukup dengan angin yang sepoi-sepoi.

Tinggal beberapa hari saja lagi untuk aku mengemas rumah. Esok, ibu_suri dah bagi signal supaya mencari kuih raya. Ayu bagitau, dia akan belikan kuih samperit dan tat nenas gulung untuk ibu_suri. Nak buat sendiri... katanya, takut tak sedap. Aku tanya ibu_suri, tat nenas gulung tu macam yang kat gambar di atas ka? Ntah... jawap ibu_suri.

Aku perhatikan kuih raya dah naik 2~3 ringgit sebekas berbanding dulu yang sekitar rm25.

"Tahun depan, kalau minyak dan tol terus naik, tak mustahil sebekas kuih raya mencecah rm30..." ujarku pada ibu_suri semalam.

Nak kata apa.... pekedai naikkan harga barang, kerajaan saman. Kerajaan naikkan harga minyak dan tol, siapa pula nak saman?  

Soalan di atas tak perlu jawapan. Biarlah ianya tergantung. Buat sakit kepala jer memikirkannya...he..he..

Jumaat, 10 Julai 2015

Hari Raya Pertama

Aku masih gagal mengawal makan ketika berbuka mahupun sahur. Sesudah makan aku terasa perut tak selesa kerana penuh. Semua ini gara-gara sayangkan makanan yang berbaki serta tak mahu membazir.

Aku harap sahur sat lagi, aku akan berjaya makan se adanya. Aku beli lauk dan masak nasi pun sekadar cukup untuk Akhmal dan ibu_suri sahaja. Bahagian aku nanti, kalau ada lebihan mereka aku makanlah bagi perabis. Kalau tak ada, aku makan kurma dan biskut cecah Alitea ajelah!

Orang lain selalunya hujung Ramadhan badan tampak susut tapi sebaliknya saiz aku rasanya... kekal sama. 

Minggu depan adalah minggu terakhir puasa. Masih banyak kerja yang belum selesai. Beberapa hari ini aku dok ligan nak langsaikan semua hutang kereta, rumah dan kawan-kawan.

Lepas Raya, aku mula nak fikirkan bagaimana cara untuk dapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan harian di masa depan. Aku tak boleh nak harapkan rezeki dari anak-anak. Juga nak harapkan simpati ibu_suri supaya berdikit dalam berbelanja harian. Kekangan dari ibu_suri melarang aku bekerja dan mahu aku 100 peratus menjaga dia buatkan aku terpaksa banyak berfikir.

Aku akan balik kampung beraya dengan mak di Raya kedua dan ketiga. Tetapi sebaliknya Angah dan keluarga mahu balik kampung 2 hari sebelum raya. Katanya, dia nak merasa suasana masak lemang di kampung.

Tidakkah dia tahu bahawa aku usaha lewatkan balik kampung kerana mahu bersama dengan semua anak-anak dan cucuku di rumahku? Habis, kalau dah dia balik beraya di kampung, aku dan ibu_suri terkonteng-kontenglah beraya sorang-sorang di rumah ini?

Aku tak komen apapun bila Angah beritahu rancangannya itu. Aku tak mahu kacau pelan hari rayanya. Dia sepatutnya belajar untuk faham sendirilah. 

Mungkin, beginilah perasaan mak aku di kampung bilamana aku - anaknya yang sulong, tidak ada di sisinya pada Hari raya pertama nanti?

Khamis, 9 Julai 2015

Dah Nak Raya...

Ari ni dah Khamis. Seminggu lagi nak Raya. Aku... ntah kenapa tak rasa macam nak raya. Rasa macam hari-hari biasa puasa.

Memang jiwa agak kosong sekarang ini. Tak rasa seri macam jiran-jiran yang nampak sibuk buat kuih raya.

"Awak tak perlu kalut-kalut nak pesan kuih raya kat sesapa hatta menantu sendiri. Tak mau susahkan orang. Kita beli jer... Abang nanti cari kat stesyen minyak. Selalunya ada jual. Rasa pun okey. Mahal sikit takpa.

Yang jual kat tepi jalan tu memang murah tapi rasanya ntah apa-apa..."

"Kita beli 3~4 jenis/balang saja dah cukup. Tambah 1~2 dengan maruku atau kacang. Rumah kita pun bukan sapa sangat nak datang. Habih kuat... budak-budak ntah dari mana yang nak beraya untuk duit raya..."

Feveret aku ialah lemang dan rendang. Dah ada bunga-bunga dari mulut ibu_suri suruh buat ayam golek seperti yang dia pernah buat semasa belum di serang stroke dulu. Masa tu pun, oven dapur aku masih okey lagi. Aku cantas siap-siap idea tu. 

Ada cadangan dari kakak ipar nak buat family gathering  di hari terakhir puasa di rumah abah mertua. 

"Kalau betul jadi nanti, abang nak awal-awal kita dah siap rumah. Habis buka puasa kat rumah abah tu nanti kita boleh balik dan terus tidur supaya esok bangun pagi, fresh untuk beraya. Tak mau macam sebelum sebelum ini. Pukul tiga empat pagi dok bersilat kat dapur. Aper cerrr..."

Ntahlah... Kekadang sedih aku fikirkan. Akhir-akhir puasa ni sepatutnya kita berpesta ibadah tapi sebaliknya kita bergelut dengan persiapan raya. Susah juga nak ubahkan tabiat ni...

Isnin, 6 Julai 2015

Tatkala Bersendirian


Hari ini 19 Ramadhan? Uuu... Cepatnya kamu berlalu. Minggu depan pula Syawal? Ahh... Cepatnya kamu nak datang!

Along balik semula ke Kepong, semalam. Sebelum balik, sempat bawa dia beli juadah berbuka di Bazaar Ramadhan Parit Busuk, Kubang Semang. Terjumpa kawan lama dia yang menolong bapanya berniaga. Akhir perbualan, aku terdengar kawanya itu berkata; Cepat kahwin, Azhar...! Bila aku bertanya, Along beritahu... kawannya itu dah ada anak 3 orang!

Hari ini aku ada banyak tugasan yang perlu dibuat. Nak bayarkan bil serta roadtax kereta Angah, ambil duit sumbangan perubatan abah mertua dari Koperasi Pelaut lansung ke Taman Buah Pala jenguk mertua, nak singgah ke kedai komputer beli tetikus dan.. erkss... itu saja dulu kot. Nak pergi Maybank untuk settlekan pinjaman rumah rasaya tak sempat. Esok saja...

Jujur aku katakan, hati ini masih seperti beberapa hari sebelumnya.... tidak tenteram. Aku perbanyakkan bilik, di kereta, di kedai minuman kegemaran atau di masjid. Aku merasakan... bila diam, sunyi sambil merenung ke dalam diri sendiri, resah aku sedikit terubat...

Menulis ini pun, aku paksakan jari jemari ini menekan kekunci...

Sabtu, 4 Julai 2015

Quranku


Along ada balik semalam dari Kepong. Katanya, nak berbuka dan bersahur dengan ayah dan ibu sebelum menjelang Raya. Yang paling gembira tentu saja ibu_suri. Beriya-iya dia peringat aku semalam supaya jangan lewat ambil Along di Penang Sentral, Butterworth.

Tapi tidak pada aku. Hati aku masih resah tak menentu walaupun aku tahu resah ini tak berpenghujung.

Dah hampir seminggu tak jenguk mertua di Taman Buah Pala. Tak tahu bagaimana keadaan mereka di sana. Aku harap, baik-baik saja. Bila Along balik ni, tentu ibu_suri akan ajak aku bawa dia ke sana. Memang, aku selalu peringatkan mereka; jangan lupa untuk selalu ziarah nenek, maktok atau opah di kampung. Jangan lupa selalu ziarah bapa dan mak saudara. Semua ini adalah pesanan turun temurun dari mak kepada aku juga dulu. Mak selalu pesan, kalau aku balik ke Kampung Slim, mesti pergi rumah opah dulu. Kemudian baru ke rumah saudara yang lain. Pesan yang sama aku tanamkan ke jiwa anak-anak aku supaya mereka tahu untuk menghargai orang-orang yang lebih tua dari mereka.

Puasa kali ini memang aku kalah. Longlai dalam usaha mengemas rumah mahupun untuk istiqamah ke masjid. Yalah... bila seketul darah di dalam tidak lagi tenteram, pastinya memberi kesan kepada fizikal luaran.

Khutbah Jumaat semalam oleh Tuan Guru Sidek Nor berkisar tentang Quran sebagai teman hidup semasa di dunia, di dalam kubur dan di akhirat. Katanya, kalau di dunia lagi kita malas nak baca Quran, macam mana kita nak jawap bila malaikat soal - siapa imam kamu di alam barzakh nanti? Surat khabar boleh kamu baca dari muka depan hingga muka belakang setiap hari tapi Quran?

Memang dah agak lama aku tak tatap Quranku ini.  Aku juga tidak mahu menjadikan suasana di dalam rumahku persis sebuah kubur!

Jumaat, 3 Julai 2015

Musibah


Isnin baru ni, dalam dok kalut nak ke Hospital Pulau Pinang jumpa adik, kereta aku dilanggar oleh satu motor yang 'konon'nya di tunggang oleh warga Sri Lanka.

Simpang T Lorong Buah Pala di rumah abah itu memang agak kritikal juga bahayanya. Banyak kereta parkir di kiri kanan jalan buatkan ruang melihat kenderaan yang datang dari kiri atau kanan terbatas.

Aku menjulur muncung Viva aku pelan-pelan hendak membelok ke kanan. Setelah yakin tidak ada kenderaan dari arah kanan atau kiri, aku pun memutar stereng. Mana tau tiba-tiba sebuah motor yang laju tiba-tiba tersembul dan mencium kereta aku. Motor itu pula terbabas ke depan tapi mujur dia tak jatuh.

Dia cuma calar-calar di kaki. Motor dia aku tak tahu sebab terletak jauh dri kereta aku. Mulanya aku ingatkan kereta aku sekadar pecah cermin tapi bila aku rujuk ke Perodua untuk pembaikian, rupanya bumper dan cover sisi juga bengkok.

"Insuran kereta encik masih baru lagi NCBnya jadi saya cadangkan encik klem insuran. Nak repair ni mau dua tiga ribu juga." ujar staf Perodua Seberang Jaya bila aku pergi meminta nasihat mereka sebelum bercadang untuk ke kedai ketuk dan cat di Penanti saja untuk melihat pandangan ke 2, kos baiki mana lebih murah.

Akhirnya, aku serahkan Viva aku kepada Perodua sebab aku lebih suka komponen yang rosak itu diganti daripada ianya diketukguna semula. Inilah masanya untuk guna insuran, fikirku.

Usah ditanyalah komen ibu_suri. Selalunya, kalau ada situasi yang negatif berlaku, selain aku terpaksa susah hati dengan apa yang berlaku, aku terpaksa susah hati menyediakan persiapan mental dan jiwa untuk berhadapan dengan ibu_suri. Sepatutnya, saat-saat susah seperti ini isteri adalah penenang jiwa dan mententeramkan suasana tapi ibu_suri adalah sebaliknya.

Dan aku terfikir-fikir juga, silap manalah yang telah aku perbuat hingga Allah membalas dosaku dengan musibah seperti ini.

Viva aku baru setahun lebih sahaja aku guna tapi dah dua kali terlibat dengan kemalangan....

Rabu, 1 Julai 2015

Pandang Wajahku!

Aku pun tak ingat hari ini masuk puasa yang keberapa. Tak pernah kira kerana hari yang berlalu seakan sama sahaja. Kalau aku nak tahu, aku tanya ibu_suri saja.

Walaupun aku dah tak bekerja yangmana sepatutnya aku tak perlu lagi risau pasal odit ISO, pasal technical report yang perlu aku submit di setiap bajet, pasal surau, pasal isu-isu makan di kantin, pasal memulihkan kes-kes histeria yang kerap terjadi di kalangan pekerja wanita dan sebagainya, aku masih tetap juga di selubungi resah dengan bebanan pemikiran. Keadaan ibu_suri yang semakin obes buatkan pergerakannya terbatas, Akhmal yang masih ting tong dan tak tentu masa depan, pasal kos sara hidup aku yang rasanya tak boleh nak berdikit dan paling merimaskan ialah keadaan rumah yang berselerak tak seperti rumah rakan blogger lain yang aku perhatikan cantik dan bersih.

Ramadhan ini masih aku tak mampu nak isi dengan solat berjamaah di masjid secara konsisten. Aku masih tidak dapat melibatkan diri dengan aktiviti IKRAM dengan sepenuhnya malah jika tak kuat semangat dan sabar, balik kampung untuk jenguk mak juga mungkin dikekang oleh ragam ibu_suri yang memberatkan.

Aku terpaksa simpan semua galau ini di dada tanpa dapat berkongsi semuanya. Bagitupun, aku tetap juga bangun walaupun jatuh banyak kali. Aku tahu, selagi bernafas selagi itulah aku tiada pilihan lain selain meneruskan kehidupan.

Aku selalu berdoa muga Allah berikan hidayah kepadaku, berilah petunjuk ke jalan yang lurus, berkan aku rezeki yang berkah, sihatkan tubuhku dan beri aku peluang untuk hidup dan selesaikan semuanya ini.

Anak-anakku nampaknya masih bergantung kepada aku walaupun pada zahirnya mereka sudah besar dan sepatutnya berdikari.

Dan aku tidak nampak melainkan aku terpaksa membantu diri sendiri untuk meneruskan hidup tanpa mengharap tangan-tangan orang lain.

Muga Allah memandang wajahku walaupun aku kekadang memalingkan muka daripada Dia!