Halaman

Sabtu, 31 Oktober 2015

Tiba-Tiba Berdebar


Tiba masa untuk aku ambil stok baru ubat psikiatrik ibu_suri dari farmasi Hospital Bukit Mertajam. Proses pengambilan di sini lebih mudah dan cepat berbanding pengambilan dari Hospital Besar Pulau Pinang sebelum ini.

Bila saja pegawai farmasi mengunjukkan stok ubat baru, aku perasan pada pil Sertraline. Ubat ini dah lama aku tak beri pada ibu_suri. Ya... dah lama.

Balik ke rumah aku bergegas ke dapur. Aku belek satu demi satu bekas ubat yang menyimpan hampir keseluruhannya 10 jenis ubat. Sahih.... Sertraline rupanya tidak ada dalam longgokan ubat-ubat lain. Tepuk dahi berkali-kali.

Mungkin inilah salah satu punca kenapa mood ibu_suri tidak stabil sejak beberapa minggu ini. Jiwanya asyik meronta dan mahu menjerit. Ada saja silap aku yang dia korek dan kritik. Tidak mahu aku membuat perkara lain selain dari duduk di sisinya dan melayan apa yang dia percakapi. Semuanya itu membuatkan aku jadi terlalu bosan, seperti diperbudak-budakkan dan berasa seperti tak bermakna.

Aku pun tak faham bagaimana ubat ini boleh tidak ada dalam stok lama. Hurmm... Aku kena perbaiki sistem penyimpanan dan pemberian ubat ibu_suri ini lagi nampaknya. Tak boleh alai-balai.

Teringat pesat doktor pakar psikiatrik dulu.... awak kena pastikan semua ubat ini dimakan oleh isteri awak jika awak tidak mahu apa yang telah berlaku terhadap awak dan isteri awak dulu berulang lagi...

Hatiku tiba-tiba berdebar...

Khamis, 29 Oktober 2015

Jodoh Tak Lama

Hari ini rasmilah kereta ke 3 yang aku guna selama hidup ini - WIRA PEY164 berpindah hakmilik. Tadi, aku bersama Angah ke JPJ untuk menguruskannya. Pemilik baru bernama Azhar... masih muda.

Mula sekali aku membeli kereta Mitsubishi Lancer, baki duit KWSP selepas tolak cengkeram beli rumah. Bila Lancer aku dah naik reput lantai dan badannya, aku tolak dan beli Iswara. 

Kemudian, rasa tak mampu nak tanggung kos, aku ke kedai kereta... konon nak ambil Kancil ERA. Tapi dalam perjalanan, ibu_suri dan anak-anak merayu jangan ambil Kancil sebab saiznya kecil. Di sokong pula oleh taukeh kedai.... akhirnya aku bawa balik WIRA aeroback (fuel injection).

Bila Akhmal habis belajar di kelas Pendidikan Khas SR Seberang Jaya, dia ditukar ke Pendidikan Khas SM Mengkuang. Kalau dulu pergi balik sekolahnya menaiki van sewa, kini susah sikit. Terpaksalah aku hantar setiap pagi dan ibu_suri ambil setiap petang dengan motor Comel, masa tu.

Tidak tahan berpanas dan hujan, ibu_suri ambil keputusan membeli Kancil dengan duit simpanannya sebagai guru tadika. Tak lama selepas itu, ibu_suri di serang ahmar menyebabkan dia tidak boleh memandu. Hempas pulas aku mengurus mereka berdua. 

Untuk mengambil hati ibu_suri, aku menggunakan Kancil sebagai kenderaan harian. Maka terbiarlah WIRA, jarang bergerak.

Bila Angah dah mula bekerja, aku serahkan WIRA kepadanya. Hah, dapat kepada anak muda, habis di ubahsuainyaa WIRA hingga aku geleng kepala. 

Bila Angah dah kahwin, dia beli Viva Elite auto, konon nak bagi kemudahan pada Ayu pergi kerja. Kancil yang aku bawa kemudiannya terlibat dengan kemalangan yang akhirnya menjadikan pemanduan Kancil dah tak seimbang. Aku beli pula Viva versi standard. WIRA terbiar semula. Akhirnya aku suruh Angah jual sahaja WIRA itu.

Di kalangan kawan-kawan sekerja, mereka lebih kenal  plate no PEY 164 berbanding kereta-kereta aku yang lain. Dan jujur aku katakan bahawa aku juga amat sayang pada WIRA itu namun dah takdir... jodoh tak lama.

Selasa, 27 Oktober 2015

Lagi Lagi Kapal Terbang


Seronok juga bila dapat berjualbeli entri dengan blogger ETUZA ini tentang kuih Kapal Terbang.

Sebenarnya dulu pun aku dah pernah membaca dan pautkan blog beliau ke sisi blog aku ini tapi bila aku rajin sangat tukar url kononnya nak elakkan dari beberapa orang pembaca yang aku rasa kurang senang dengan tindak tanduk mereka menyebarkan tulisan aku ke laman sosial lain tanpa izin hingga menjadi bahan sendaan di tempat kerja; aku tercicirkan blog beliau.

Akhir-akhir ini aku jumpa semula. Komen aku tentang entrinya Informasi Kuih Tradisional membuahkan kajian tentang variasi nama kuih Kapal Terbang mengikut negeri seperti yang beliau tulis dientri seterusnya Kuih Lidah, Maksud Kuih Kapal Terbang

Memang benar... ibu_suri suka makan kuih ini. Selalu dia minta aku belikan seperti di sini dan di sini. Malah, semalam aje, aku baru belikan sebungkus biarpun terpaksa meredah hujan lebat. Habuan makan waktu petang. 

Tapi aku taklah berapa gemar. Betul kata orang, citarasa suami dan isteri ini selalunya tak sama. Aku suka yang masin, ibu_suri pula suka yang manis dan pedas. Bila berlaku pertembungan citarasa, salah seorang kenalah mengalah. Agak agak... siapa?

Apapun, sesuatu yang menarik untuk aku baca pagi ini. Rajin kau buat research yer ETUZA. Cikgu la katakan!

Ahad, 25 Oktober 2015

Terima Seadanya


Semalam berlansungnya Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI) di ICC Shah Alam. Terkilan kerana gagal turut sama merasai kehangatan berjamaah.

Ada juga aku bertanya kengkawan mana yang akan pergi. Berhajat nak kirim belikan buku dan cd nasyid keluaran Risalah Harmoni (RHSB) yang khabarnya dijual dengan harga potongan. Antara lagu dalam cd tersebut ada yang dialunkan oleh SaffOne. Dah lama tak dengar lagu baru mereka.

Apapun, aku harap IKRAM akan terus memacu aktivisma dakwah di negaraku ini. Walaupun aku sudah jauh tergugur dari pecutan perjuangan bersama sahabat, aku terima seadanyalah diriku seperti yang telah tertulis.

Sabtu, 24 Oktober 2015

Bukan Kuala Muda... Kedah, Bang!


11.30 pagi adalah masa terbaik untuk aku membeli laukpauk untuk makan tengahari. Ikan basah masih ada 4 ekor untuk di goreng sekejap lagi. Cuma perlu beli kuah, sayur dan sedikit sambal.

Dalam bilik, ibu_suri baru saja lena. Semalaman dia tak boleh tidur.  Masa-masa dia tidur begini adalah ruang terbaik untuk aku rehatkan jiwa.

Sekembalinya aku dari kedai, tiba-tiba ada motor yang pin...pin...di belakang aku. Toleh ke belakang... ingatkan dia nak bertanya rumah yang dicari.

Sambil mengeluarkan bungkusan dari raga motor, dia berkata:

"Abang nak beli ikan masin? Buat sendiri ni..."

Aku belek-belek sementara dalam hati berbisik... sapa yang nak makan banyak-banyak macam ni?

"Berapa sebungkus?"

" Dua setengah.. "

Aku segera teringat akan status dari netizen di fb pinta bantu beli pada penjaja yang seperti ini. Apalah sangat dengan harga sebanyak itu berbanding jerihpayah mereka meraih rezeki yang sekelumit.

Lagipun kalau beli di pasaraya, harganya mau jadi 3 setengah atau bukan mustahil 4 setengah ringgit ni.

"Duduk kat mana?"

"Kuala Muda, bang. Kuala Muda... Penang. Bukan Kuala Muda... Kedah."

Aku sengih saja. Ada ke Kuala Muda kat Penang...? Aku pun tak perasan.

"Jauh juga mai jual kat sini. Yalah... cari rezeki ya..." ujar ku sambil menghulur wang 5 ringgit.

Masih basah nampaknya isi ikan ini yang aku kira bila digoreng nanti kan lebih sedap rasanya berbanding yang aku beli di kedai.

Hati merasa puas.

Khamis, 22 Oktober 2015

Esok, Gulai Rebung...


Aku memang tak pandai memasak gulai. Selalunya untuk makan tengahari, aku beli sahaja di kedai. Kalau rajin sikit, beli ikan basah, goreng di rumah. 

Antara gulai yang aku suka dan mudahbeli termasuklah gulai rebung. Rebung ini, kalau dapat jenis yang masih muda trang tang tang, lagi best.

Entah macammana satu hari ibu_suri bertanya pada aku... orang darah tinggi boleh makan ke rebung ni, bang? Oppss... tersentot juga aku. Untuk beberapa minggu, aku tak beli lagi gulai rebung walaupun teringin. 

Abang cubalah tengok dalam internet, boleh ke orang darah tinggi makan rebung... ibu_suri melontar cadangan semalam. Betul juga...!

Tau apa yang aku jumpa? Rupanya bukan sahaja boleh makan malah ianya baik untuk dijadikan makanan kesihatan. Aku kongsikan sedikit 5 dari beberapa khasiat rebung, kalau kena gaya memasaknya...hehe...

1.  menurunkan berat badan
2.  membantu pencernaan
3.  anti kanser
4.  menyembuh luka
5.  menurunkan kolestrol

Nampak gayanya, ada can lah aku beli gulai rebung esok. Beli ikan basah dan goreng sendiri... bersama sambal belacan... perghhh...

Selasa, 20 Oktober 2015

Ayah Yang Yang Uzur


Semalam, dalam perjalanan balik dari ziarah keluarga arwah Shakiman, aku singgah ke rumah bapa saudaraku Ayah Yang di Tambun, Ipoh. Rumahnya benar-benar di tepi jejambat lebuhraya.

Tatkala aku masuk ke rumah, dia sedang bersendirian di dapur memakan pisang emas. Rasa belas segera menyerbu ke dadaku.

Sambil bersalam dan mencium tangannya, aku bertanya khabar... lalu dia bertanya... kamu ni siapa?

Sambil mengusap belikatnya, aku tersenyum berat. Memang dah uzur benar dia; lebih uzur dari emak aku sendiri. Era dia masih sihat cergas mengayuh basikal dan berzanji terbayang di mindaku. Kini, orang hebat yang pernah hidup di era makan ubi kayu ini sudah semakin dimamah usia.

Aku amat hormati beliau, abang paling tua dalam keluarga abahku. Tak banyak masa yang masih ada lagi untuk aku bersamanya di dunia fana ini. 

Let Him Go...


Sepupu ibu_suri, Shakiman Sharudin  pergi menyahut seruan Ilahi semalam diusia masih muda. Beberapa hari terlantar di ICU Hospital Telok Intan akibat pendarahan dalam saluran darah di kepala. Meninggalkan isteri, Nuraini Harudin dan anak yang bakal mencapai usia 2 tahun pada hari esok.

Semuga rohnya dicucuri rahmat Allah yang berpanjangan. Lagu ini sekadar buat renungan... Let Her Go...

@Kampung Poh, Bidor, Perak.

Sabtu, 17 Oktober 2015

Bila Dia Tidur



Malam tadi ibu_suri tak boleh tidur. Mujur dia tak pula mengganggu tidurku.

Jadi, pagi ini, bila dia mulai berdengkur... aku terasa lapang dan damai sedikit. Aku nak keluar sekejap... mencari sesuatu kemudian membeli juadah untuk makan tengahari.

Rasanya, cadangan semalam nak ziarah mertua di hari ini tertunda lagi. Apapun, Isnin ini tanggungjawap aku akan membawa abah ke klinik, insyaAllah... Rutin rawatan susulan terhadap kakinya yang membengkak.

Tentu abah tertanya-tanya kenapa aku tidak datang semalam!

Jumaat, 16 Oktober 2015

Simpan Saja Di dalam Dada


Malam tadi, aku lebih banyak diam semasa memandu dan singgah beli makan bersama ibu_suri. Dia mahu makan mi goreng Pokok Ceri di astaka tak jauh dari Masjid Seberang Jaya. Memang, situ antara masakan mi goreng yang kami suka selain Restoran Zainal di pekan Bukit Mertajam atau mi sotong di Permatang Pauh.

Kenapa abang diam saja?

You tak kenal perangai abang ke walau dah 30 tahun berkahwin?

Diam.

Abang selalu bagitau, bila abang bercakap banyak, masa itu kita boleh melawak atau berlawan pendapat. Tapi bilamasa abang diam, jangan diusik. Orang yang kuat sabar ini kalau diusik diamnya, dia akan terkeluarkan semua apa yang ada di dalam perut. Busuk. Abang tak mahu itu. Sebab itu, jangan kacau abang bila abang mula diam. Biarkan ianya sejuk sendiri.

Nak makan mi goreng... aku bertanya sekali lagi untuk kepastian. Dah acapkali aku terkena. Aku beli apa yang dia nak makan tapi bila bawa kepada dia, dia boleh kata tak minta beli itupun tapi nak yang lain.

Memang susah dan kekadang pening melayan kerenah orang yang mempunyai emosi berubah-rubah ini (mood disorder).

Nak marah tak boleh. Simpan saja dalam dada.

Rabu, 14 Oktober 2015

Keresahan


Hari ini aku tidak ada ilham untuk menulis walaupun hampir sejam tercatuk di depan laptop. Nak sambung tidurlah... walaupun jari-jemari jam menghampiri tengahari. Jika diizinkanNya terbangun nanti, baru fikir apa yang hendak di masak untuk sarapan dan kerjabuat untuk menerus hidup.

Awal Muharam hari ini, terbaca status tentang Chairil Anwar di fb.  Tiba-tiba sahaja hatiku sayu.

Semalam, bersama emak dan adik-adik, beberapa isu yang tercetus, juga membuatkan aku dihurung dengan pemikiran yang berbagai.

Stop!

Isnin, 12 Oktober 2015

Agenda Rutin Balik Jenguk Mak...


Baru saja sampai di Ipoh dari Penang selama 3.5 jam pemanduan. Check in di Hotel Fair Park terlebih dulu untuk urus keperluan asas ibu_suri. 

Sememangnya tiap-tiap kali balik kampung pun... macam inilah. Inap di hotel dulu barang sejam dua, biarkan ibu_suri buang air, rehat dan makan ringan. Bila dah bersedia, barulah terus pergi ke rumah mak.

Selalunya, kalau ke rumah mak akan ambil masa 2 hari. Di rumah mak, aku akan banyak habiskan masa dengan dia di samping kemas rumah. Masa dengan mak ialah mendengar apa yang dia nak bercerita samada tentang adik-adik yang ada datang sebelum ini atau tentang masa lampaunya. Kemas bilik dan dapur pula sekadar untuk meringankan kerja adikku, Duyah. Aku tahu dia dah cukup penat jaga makan minum dan ubat mak. Tak ada masa dia nak cuci peti ais, bilik air, meja makan dan dapur. Inisiatifku ini diharap akan meredakan emosinya juga. Tidaklah dia merasak seperti kesaorangan dalam mengurus hal-hal mak. Aku faham sangat perasaan seperti itu kerana aku telah melaluinya bertahun-tahun.

Malam, selalunya jam 10 adalah masa untuk mak tidur. Setelah selesai makan malam dan sediakan ubat serta gantungkan kelambu untuk mak, baru aku balik semula ke hotel. Esok... selepas check out, aku akan singgah lagi jenguk mak dan akan balik semula ke Penang selepas jam 10 itu.

Untuk tempoh 2 hari aku berada bersama mak, adikku Duyah tak perlu datang tengok mak. Dia boleh duduk di rumah... berehat.

Beginilah agenda yang rutin setiap bulan jika ada yang bertanya tentang tanggungjawap aku terhadap mak. Sikit... tapi buat masa ini, itu yang termampu aku perbuat. Aku perlu tangani ke dua mereka, mak dan ibu_suri... sekaligus dengan cara yang terbaik.

Tentunya, akulah yang kena banyak sabar, berlapang dada dan cukup ikhlas membuat semua ini!

Ahad, 11 Oktober 2015

Tanya Sama Itu Hud Hud

Sekejap lagi aku nak berjumpa dengan kawan lama semasa belajar di IKM dulu. Dah buat perancangan  dengan rakan-rakan lain juga untuk bertemu di kedai Jeruk Pak Ali, Wakaf Seetee Aisyah. Boleh kata mini-reunion lah tu!

Sebelum bersiap pergi, aku nak kongsi dengan kalian lagu ini yang dikongsikan oleh kawan aku tadi. di fb. Sekaligus membuatkan aku rasa terpanggil untuk menjadikan lagu-lagu beliau sebagai koleksiku setaraf dengan Ebiet G Ade. Aku kagum dengan beliau kerana telah mengangkat lagu-lagu yang kebanyakannya tiada isi melainkan cintan cintun kepada falsafah hidup dan kemasyarakatan. Beliau juga mengangkat irama dan alat musik Melayu ke satu tahap yang lebih baik seperti angklung, gong dan gamelan. barisan liriknya juga kekadang berat, tak dapat difahami dengan sekali lalu melainkan perlu difikir dan ditelaah. Memang layak dia di gelar Sifu yang dikatakan telah mengasaskan Irama Nusantara.

Aku rakamkan lagu ini sebagai contoh dan rujuk maksud dari lirik di pautan yang aku sertakan di sini

Barulah aku tahu apa maksudnya -  Lang Mensilang Kui Mengsikui seperti dalam lirik. Rasa nak ketawa pun ada...


Jumaat, 9 Oktober 2015

Perlu Kekal Sihat

Aku cuba juga untuk mengawal cara pemakananku. Ini bila mula merasakan bahawa aku perlu cergas dan kekal sihat demi menjaga ibu_suri.

Sebenarnya kenapa ibu_suri tidak stabil emosinya adalah berpunca dari tekanan darahnya yang menaik. Sekarang ini aku setiap hari periksa tahapnya. Namun untuk dia mengubah cara makan dan beriadah memang susah. Jam ini kata ok, jam kemudian nanti tak mahu pula. Apapun, aku cuba. Bagi aku, tahap tekanan darah yang kritikal seperti sekarang ini, turun satu tahap pun dah lebih baik dari naik satu tahap.

Aku pun dah lama tak riadah. Lama sejak puasa dulu. Pagi semalam aku kuatkan azam untuk mula. Hari ini sakit kakilah jawapnya.

Sekejap lagi aku nak bersiap untuk ziarah mertua di Taman Buah Pala. Rutin aku yang tak lupa untuk ditunaikan demi tanggungjawap kepada mertua setiap Jumaat. Mertua pun persis mak abah kita juga. Perlu dijaga.

Esok lusa mungkin aku balik kampung di Ipoh, tengok mak pula. Itu tanggungjawap setiap bulan. Walaupun kosnya tinggi (tambang&hotel) namun aku cuba tunaikan selagi budgetnya ada.

Hurmm... layan klip video ini yang juga sempat aku kongsikan di fbku...



Selasa, 6 Oktober 2015

Temuduga


Semalam, Akhmal pergi temuduga kerja MPSP di Dewan Millenium, Bertam. Ingatkan sikit orang, rupanya ratus ratus. Aku bimbang juga sebab bila dah seramai ini, mesti giliran Akhmal dipanggil akan lambat. Akhmal jenis orang yang tak sabar. Kalau dia boring, dia boleh cunggit balik macam tu jer...

Sebelum hari temuduga, aku dah tanya... gambar dah ambil? Dah... Tapi rupanya belum...

Seluar dan baju kemeja ada tak? Tak payah la... Akhmal pakai baju T jer...  

Dokumen dah fotostat dan dapatkan cop pengerusi taman... Belum! 

Senang aje bunyi jawapannya. Aku pula yang jadi serba salah. Nanti kalau aku tak peduli  akan dikatakan pula bapa yang tak ambil berat kebajikan anak. Umur dah 20 lebih... hal seperti ini pun tak boleh urus sendiri. 

Jadi mau tak mau, aku pergilah ke Billion di Seberang Jaya membeli baju kemeja dan seluar. Beli kat pasaraya mana ada yang murah!

Aku pun ajaklah biras aku jumpa pengerusi qariah untuk dapatkan pengesahan salinan sijil. Sempat pula aku merungut kat ustaz... zaman sekarang pun masih nak minta pengesahan salinan sijil? Bank pun dah tak buat prosedur macam ni!

Sejam sebelum temuduga, kelam kabut cari kedai di Kompleks kailan, Kepala Batas untuk ambil gambar.

Sedangkan dia, bagus je melayan anginnya...

Ahad, 4 Oktober 2015

Layan Jer...


Emosi ibu_suri masih tak berapa ok lagi. Semalam aku layan mahunya untuk ke Tikam batu, Sungai Petani. Dia nak makan nasi paprik di satu gerai tomyam tak jauh dari SM Islah, semasa Along belajar di Tingkatan 1 hingga 3 dulu. Kemudian singgah Asar di Masjid Kampung Pokok Asam. Situ semua tempat-tempat nostalgia ibu_suri. Layan jer...

Hari ini dia minta aku memeriksa tekanan darah dan gula. Dia sendiri pun hairan dengan perubahan emosi yang dia rasai. Katanya, badannya tak berapa selesa. Aku respon yang baik-baik agar dia tidak rasa bimbang. Lalu, aku pun layan jer....

"Kalau tekanan darah naik, kita pergi klinik check... mau tak?" Sepertimana pesan doktor pakar di Klinik Kubang Semang semasa beberapa kali buat followup dulu. Diam saja dia. Aku tidak lagi memanjang isu itu. 

Kali ini, aku buat catatan ke dalam buku. Aku nak pantau tahap bacaan gula dan tekanan darah. Bukan sahaja dia malah aku juga.

Semalam aku memberitahu Angah tentang kondisi ibunya itu. Terasa aku seperti kesaorangan menanggung perasaan berat ini. Beritahu Angah pun setakat boleh beritahu ajelah... Apa yang dia boleh perbuat...?

Terima kasih pada sahabat bloggers yang meninggalkan komen positif dalam entri yang sama semalam. Sedikit sebanyak membantulegakan hatiku ini yang dup..dap..dup..dap...

Sabtu, 3 Oktober 2015

Bila Tiba-Tiba Emosinya Tidak Stabil


Kelmarin dan semalam, emosi ibu_suri amat tidak stabil. Menjerit-jerit walaupun jam 1 pagi. Suruh aku bawa dia berjalan-jalan sedangkan aku mengantuk dan bimbang tidak dapat memandu dengan baik.

Dia sendiri mengakui dia berasa hendak marah-marah tapi dia tidak tahu kenapa. Aku kata... menjeritlah. Keluarkan apa yang ada dalam dada.

Malam tadi semasa memandu pulang dari rumah mak, dia minta aku bawanya jalan-jalan... jangan balik lagi ke rumah. Dia suruh aku kunci pintu kereta ( aku masih ingat lagi bagaimana 2008 dulu dia pernah cuba membuka pintu Kancilku semasa masih dalam pemanduan di atas Jambatan Pulau Pinang. Mujur Along sempat menghalang...). Dada aku dup..dap..dup..dap... Aku kunci pintu kereta dan biarkan dia menjerit, menyanyi dan membebel. Bulu roma aku tegak berdiri...

Tapi... pagi ini bila dia bangun dan minta dimandikan, aku lihat wajahnya murung. Tidak ada senyuman keanak-anakan seperti mana selalu. Pun aku tak berani nak membuat lawak sepertimana selalu bila tiada ketawa di wajahnya. Aku tak dapat teka apa yang bergejolak di jiwanya.

Oh Tuhan... janganlah Engkau ulangi emosinya sepertimana ketika dia mengalami bi-polar disorder dulu. Amat ngeri dan menggegarkan jantung!

Bila dalam keadaan seperti ini, aku selalunya ikut sahaja kemahuan dia walaupun selalunya amat kontra dengan naluriku. Tidak ada yang lebih baik untuk aku perbuat melainkan sabar dan teguh jiwa. Seperti mahu sahaja aku menalipon klinik Psikitrik meminta nasihat...