Halaman

Rabu, 27 Januari 2016

Risiko

Malam tadi, mak kandung Akhmal menghantar mesej, bertanyakan perkembangan Akhmal. Mahu tidak mahu, aku ceritakan kesemuanya. Letih dah nak berselindung... menanggung galau ini bersaorangan.

Tak lama, dia membalas mesej yang sedikit menyentak perasaanku dan mungkin lebih parah pada ibu_suri. Dia mahu mengajak Akhmal tinggal bersamanya di Setiawan, menjaganya dan mecarikan Akhmal kerja di sana. 

Dari satu sudut, sudah tentulah hal ini berat untuk aku terima. Tapi dari banyak sudut pula aku merasakan udah tiba masanya untuk aku berfikir secara luar kotak tentang masa depan Akhmal. Antaranya dengan menggalakkan dia keluar berhijrah mengubah hidup di tempat yang lain.

Aku juga mungkin dapat berehat seketika dari menanggung 100% beban memikirkan tentang dia. Rezeki perlu dicari. Ianya tak akan datang menggolek seperti selalu.

Namun, ibu_suri bukan main 'berang' bila aku beritahu.

"I tak izinkan mak dia ambil dia balik. Kenapa mesti ambil? I jaga dia dari baru lahir. Senang-senang dia nak ambil?"

Sebenarnya, risiko ini dah aku jangka sejak dari mula ibu_suri memberitahu nak ambil Akhmal menjadi anak angkat. Walaupun aku puas menasihatinya ....jangan... tapi dia tetap berdegil. Sekarang.....?

Selasa, 26 Januari 2016

Berita

Dapat berita sahabatku Atan mengalami kemalangan kereta di Gurun malam tadi. Kini di Hospital Sungai Petani.

Mudah-mudahan aku akan dapat menziarahinya dalam masa yang terdekat ini.

Semuga Allah melindungi beliau, sembuh segera dan sabar dalam menghadapi cabaran hidup ini, aameen...

Isnin, 25 Januari 2016

Sebenarnya, Allah Sayang Pada Kita...


Aku ke sini buat pertama kalinya bersama ibu_suri. Amat renyah pendaftarannya bagi yang belum pernah ada pas lawatan. Mujur pas lawatanku di Penjara Pulau Pinang boleh diguna di sini. Mudah sedikit.

Selesai daftar, aku bersegera ke kereta kerana ibu_suri perlu ke bilik air. Selesai lapor diri di pos kawalan pintu pagar, aku deras memandu ke tandas awam. Cuaca begitu panas lit lit.

Selesai semuanya, aku bercadang untuk memakir kereta di petak OKU. Mana tau... injin kereta tak boleh dihidupkan...Uh... Kenapa Tuhan beri aku dugaan di masa sukar seperti ini?

Aku minta beberapa lelaki menolak kereta ke parkir setelah usaha jumper cable tidak berjaya. Aku menalipon Perodua minta bantuan. Hari Ahad.. cuti Thaipusam... bukan mudah rupanya nak cari mekanik. 

Sesambil itu meminta kerusi roda dari pihak penjara. Tolak ibu_suri masuk ke dalam bilik menunggu yang berhawa dingin.

Pegawai penjara memang baik, mesra dan ringan tangan. Rasa kesal pun ada sebab aku adalah di antara beberapa orang yang asyik merungut di kaunter pendaftaran tadi sebab perlahannya proses mendapatkan kebenaran masuk.

Gaya penjara sini tak sama seperti di penjara Pulau Pinang mahupun di Sungai Petani. Memang kawalan ketat. Siap dengan pemeriksaan tubuh badan, alat pengesan, cctv dan terowong yang memang jauh masuk ke dalam.

Akhmal berbaju merah dengan vest kuning pantul cahaya.

Sekejap sahaja aku berbual dengan dia. Kesukaran pada ibu_suri hendak memegang gagang talipon dan berbual kerana ruang kerusi roda tidak ada.

Akhmal meminta RM100 untuk membeli kelengkapan pakai mandi dan sedikit stok makanan. Lebih banyak yang dia selalu minta semasa di penjara Pulau Pinang.

Bila aku dah keluar, lama sikit menunggu, barulah mekanik dari Perodua tiba membawa bateri. Tau berapa? RM250... Campur untuk Akhmal tadi.. dah RM350 terbang. Tak berkat agaknya duit aku ni, detak hati.

Apapun, syukurlah kerana tepat jangkaan mereka yang membantu aku menolak kereta tadi... kemungkinan masalah bateri. Walhal dry cell itu tak sampai setahun pun diguna. 

Aku terpaksa kensel temujanji dengan Hamzah untuk berjumpa di masjid. Minta tunjukajar cara-cara mengemaskini maklumat aktiviti masjid melalui komputer yang dipancar terus ke tv.

Dalam kereta, aku cuba mententeramkan hati, melapangkan fikiran dah melupakan seketika kekusutan tadi. Aku memandu sambil memasang cd Alleycats; lagu kegemaran ibu_suri.  Aku mahu ibu_suri rasa selesa. 

"Mungkin kita bernasib baik. Tuhan beri kereta kita rosak semasa ada di penjara. Ramai orang boleh tolong. Kalaulah rosak di tengah highway dan tengah malam buta pulak tu, lagi haru kan...." ujarku pada ibu_suri sambil teringat yang kebiasaan aku bawa ibu_suri jalan-jalan di waktu malam.

Aku beristighfar beberapa kali. Sebenarnya Allah sayang kepada kita melalui ujian yang dia beri. Cuma bagaimana cara kita melihatnya sahaja...

Sabtu, 23 Januari 2016

Rindu Seorang Ibu



Dalam seminggu ini ibu_suri terlalu kuat meragam.

Asyik minta ajak keluar jalan jalan. Asyik minta aku picit picitkan kakinya yang sesemut. Asyik minta aku duduk di sisinya dan berbual. Kekadang soalannya terlalu cepu mas dan adakalanya terlalu kebudakan.

Kekadang aku cuba mengelak. Tapi banyak kalanya aku terpaksa layan. Huh...

Memang perlu banyak sabar untuk menjaga insan yang moody ( emosi tak stabil ) ini. Jika ditakdirkan aku 'tiada', ntah siapalah yang sanggup menjaganya. 

Sehari dua ini dia asyik bercakap tentang Akhmal. Lat sejam dua, Akhmal..... Akhmal... Aku pun naik rimas dan jadi marah.

Kekadang terasa amat sepi hati ini bilamana terpaksa menghadapi semua ini seorang diri. 

Siapalah yang tidak merindui anak sendiri. Yang telah susah payah kita asuh, puluhan tahun lamanya. Namun inilah hakikat.

Teringat pula akan emak di kampung. Uffssss...


baca juga entri terbaru blog SRI MERSING di sini...

Khamis, 21 Januari 2016

Sebuah Kek


Semalam, cucu sulongku - Dhiya Marissa, genap 4 tahun. Cepat masa berlalu.

Paling happy tentulah ibu_suri. Awal dia dah peringat aku belikan kek.

"Mana lilinnya?" soal Marissa bila kotak dibuka,  terpapar hanya kek dan sebilah 'pisau'.

"Tok ayah, kalau beli kek memang takada lilin!" ujarku. "Itu semua budaya Majusi"

Terkulat-kulat cucuku, hampa agaknya tak merasa tiup lilin.

Ajak menyanyikan lagu 'Allah Selamatkan Kamu', tak mahu. nak lagu 'Happy Birthday' juga.

Yang ini, terpaksa jugalah aku ikut. Lagu paling popular di dunia malah dikatakan pernah dinyanyikan di bulan juga.

Berlainan dari adik, cucu yang ini, pasal posing bagi kat dia...


baca juga catatan terbaru blog SRI MERSING di sini...
http://keluarga-amri.blogspot.my/2016/01/al-manar.html

Selasa, 19 Januari 2016

Terima Kasih... Heri Sukani



Semalam, aku menerima kiriman di atas dari seorang fans MEMBERS EGA di Sumatera. Wah... teramat gembira.

Bukan senang nak dapatkan cd Ebiet sekarang ini sementelah rilisan Indonesia. Namun kalau dah yang bernama peminat tegar, tahu sahaja sumber mana nak dicari.

Tak minat sangat kaset tapi tidak pula menolak kalau diberi.

Aku dan Heri Sukani saling beri dan menerima cd atas konsep buttertrade. Aku beri beberapa keping album Ebiet G Ade versi Malaysia serta juga album M Nasir. Dia pula memberi cd Ebiet G Ade versi Indonesia dan juga album Iwan Fals.

Kami sama-sama menyukai lagu-lagu yang berbentuk kemasyarakatan, ketuhanan dan kehidupan. 

Heri juga mempunyai blognya sendiri, di sini...

Isnin, 18 Januari 2016

Matanya Merah


Tengahari ini aku tak ambil Marissa dari tadika seperti sepatutnya. Hari ini ada pendengaran pertuduhan ke atas Akhmal.

Tapi bila aku tiba di sana, kes Akhmal dah selesai. Cepat pulak kali ini, fikirku. Matanya merah bila aku melihat kelibatnya tatkala polis membawa OKT ke bilik air.

Kena tahan kat penjara Jawi, ujarnya. Owh... aku pun faham. Penjara Jawi antara penjara yang dia takut untuk berada di sana, ujarnya satu masa dulu.

Nadya - teman wanita dan Nabil, kawan dan jiran depan rumah Akhmal turut ada sama. Kehadiran mereka berdua sedikit sebanyak membantu hiburkan hatiku di sepanjang masa menunggu Akhmal di tepi lokap.

Aku redha sahaja dengan apa sahaja keputusan. Dah biasa dengan semua ini sejak bertahun lalu. Cuma ibu_suri sahaja nanti yang perlu bijak aku tangani akan emosi keibuannya.

Sebuah Hantaran


Pada kenduri anak saudara ibu_suri kelmarin juga, mencatat sejarah dalam keluarga besar ibu_suri bilamana belanja hantaran yang ditetapkan adalah RM15k.

Di sepanjang perjalanan balik hingga hari ini, tak henti-henti ibu_suri meratus.... 

" Tak apalah... itu hak ibubapa dia meletakkan hantaran. Semuga nilai itu sepadan dengan kualiti seorang anak yang bakal bernama isteri kepada menantunya kelak. Taat pada suami, bijak mengatur rumahtangga dan solehah..." pujukku.

Apapun, doakan yang terbaik buat mereka. Muga kekal bahagia hingga akhir hayat.

Masih ada 3 orang lagi yang sedang menanti. Kali ini, kesemuanya adalah lelaki.

Sabtu, 16 Januari 2016

Nama Yang Memikat


Hari ini aku berada di Taman Mutiara, Kulim. Hadiri majlis doa selamat sempena pertunangan Anis, anak saudara ibu_suri.

Bila waktu Zohor masuk, aku curi-curi keluar bersembahyang di Masjid berdekatan. Biarlah ibu_suri dijaga oleh adik beradiknya yang ramai. Aku nak bersendirian seketika.

Senang hati duduk santai di sini. Suasananya biasa saja. Ianya masih boleh dikira baru dibina.

Namun namanya memikat hati. Nama seorang tokoh besar dalam sejarah Islam - Masjid Muhammad Al Fateh...

Jumaat, 15 Januari 2016

Culas


Sewaktu liqo' semalam, murabbi menegur;

" Lama tak update blog "

Ntahlah! Culas benar dalam seminggu ini. Bukan cetek idea, bukan juga sempit masa. Buka blog... hurmm.. tumpul selera...

Aku lebih banyak memikir tentang diri. Bila dah bernama pesara, terasa benar kematian itu kian hampir. Nikmat dunia seperti tidak meransangkan. Cukuplah dengan apa yang ada...

Ada ratus ribu duit persaraan dan KWSP pun rupanya tidaklah sebesar mana. Tolak kiri, suap kanan... tau-tau dah surut.

Apapun, bila rambut semakin putih; pertanda masa kian sedikit. Bila perasan tenaga dah mula bip bip... berasa kesal terhadap masa lalu... beramal tak setara mana!

Jumaat, 8 Januari 2016

AMBIL PULANG


Rabu lepas bermulalah tanggungjawap baruku mengambil cucu pulang dari tadika setiap tengahari. 

Dulu aku beriya-iya tidak mahu menjadi bas sekolah (meminjam kata-kata dari sahabat sekerjaku dulu - Gopal) namun bila tiba masanya, mahu tidak mahu tersanggup juga. 

Aduh!

Kalau dulu aku bebas urus jadual aktiviti mengikut keperluanku, sekarang tidak lagi. Tengahariku telah ditambat dengan cucu... sesuatu yang tak pernah terfikir sebelum ini.

Aku harap, ini hanya sementara. Kalau boleh aku mahu anak aku berdikari sepertimana aku dulu, Lansung tidak mengharapkan apatah lagi membebankan ibu dan ayah.

Aku ingin penuhkan masaku yang tinggal sedikit ini dengan agenda diriku sendiri...

Selasa, 5 Januari 2016

MENUNGGU, LEBIH LAMA...


Aku ke sana tengahari tadi, jenguk dia. Bersih sedikit wajahnya berbanding sebelum ini.

Dia bertanya, kenapa tak datang tengok dia bulan lepas. Aku jawap, bukan aku tak mahu datang tengok cuma aku berasa amat berat.

Nak cerita semua pun dia bukannya akan faham hati seorang ayah. Inipun, aku datang atas desakan ibu_suri. Beberapa hari ibu_suri susah tidur kerana memikirkan dia.

Di sini, kamu merokok?

Tidak!

Boleh pun tinggal rokok...

Dia tersengih.

Macam mana duduk di sini?

Tak best. Ramai orang tua dan samseng belaka.

Aku bercakap semahunya. Terlihat mukanya merah dan airmata bergenang. Hatiku tidak pula ada rasa kasihan. Aku bertahan...

15 minit sahaja aku jumpa dia. Rasanya, duduk di ruang menunggu, menanti giliran berjumpa dia, lebih lama.

Sedih melihatkan ramai orang Islam di sini. Sedikit orang India dan Cina. Ada juga pendatang.

Tetapi lebih pilu bila mengenang nasib anakku yang seorang ini...

Isnin, 4 Januari 2016

LANGKAH BARU


Hari ini cucuku, Marissa memulakan langkah baru ke dunia pembelajaran. Nampaknya macam tak sabar...

Angah memilih Tadika Amal Rintis untuk Marissa.

Tadika yang berada di bawah naungan IKRAM Pulau Pinang dan ibu_suri pernah menjadi antara tenaga pengajar terawal sehingga 2008.

Begitu cepat masa berlalu. Terasa seperti baru saja menimang Marissa sebaik keluar dari dewan bersalin di HSJ, kini dah mulai membentuk dunia sendiri..

Di zaman ibu_suri mengajar dulu, tadika ini mendapat pujian dari sekolah rendah berdekatan kerana mampu melahirkan graduan yang berkebolehan dalam membaca, mengira dan mengaji dengan baik.

Sistem pembelajaran yang digunakan ialah Fonetik.

Tadika Amal Rinis ini menyimpan banyak kenangan suka duka kami berdua di waktu awal penubuhannya.

Kini Angah dan Marissa menyambung pengalaman itu dan akan membina pengalaman suka duka mereka pula.

Harap Marissa akan cepat belajar membaca, mengira dan mengaji.

Dan semuga, Tadika Amal Rintis akan berjaya membentuk pelajar seperti Marissa menjadi pelajar yang soleh wal musleh.

Ahad, 3 Januari 2016

SARA 2 TAHUN


Semalam, genaplah Qaisara berumur 2 tahun. Cucu ke2 ini kekadang layak di gelar puteri airmata kerana pinggir matanya kerap menakung air jernih.

Walaupun sudah 2 tahun akan tetapi Qaisara masih belum petah bercakap.

Berbanding kakaknya - Maisara, Qaisara agak teruk mengidap ekzema di awal-awal kelahirannya.

Aku suka berbual dengan Qaisara. Wajahnya memang mahal dengan senyum akan tetapi terlalu manis tatkala ianya menguntum.

Yang bestnya, kedua-dua cucuku ini meneruskan legasi keluargaku di kampung... berlesung pipit.

Muga Allah merahmatimu.... Sara!

Sabtu, 2 Januari 2016

TERIMA KASIH


Rasa terharu bila diberitahu bahawa grup wassup ex-src (rakan-rakan spm 1977 sekolah raja chulan ipoh) sudi memberi sumbangan kepada ibu_suri.

Terima kasih sahaja yang dapat aku ucapkan.

Rasa tak layak menerima. Masih ada orang lain yang lebih kekurangan memerlukan. Namun aku faham niat mereka ikhlas atas nama kebersamaan.

Bila aku khabarkan kepada ibu_suri, tampak kuntum bahagia di senyumnya.

Lalu aku terfikir bahawa alangkah beruntung jika kita setiap hari dapat membahagiakan orang lain.

Sekali lagi, terima kasih kepada yang bernama.... sahabat!

Jumaat, 1 Januari 2016

JUMAAT INI...

foto hiasan : sony ericssonku dulu...

Along ada balik semalam. Hujung tahun ini dia kerap balik. Katanya nak perabis cuti tahun.

Bila dia ada rumah, aku agak lega sikit. Dia boleh ke dapur. Emosi ibu_suri juga akan jadi lembut dengan adanya anak-anak di sisi.

Hari ini hari Jumaat. Nak mandi sebersih-bersihnya dan pakai yang terbaik. Pergi masjid awal sikit. Muga-muga mendapat sedikit kedamaian.

Aku teringat satu entri aku 2 tahun lalu. Di dalamnya ada satu klip video yang Angah rakam menggunakan talipon slide Sony Ericsson.

Aku kongsikan pautannya di sini untuk tatapan kalian yang mungkin belum pernah melihat kondisi ibu_suri semasa masih dalam sindrom kemurungan.

Video ini khusus untuk pembaca blog ini sahaja. Harap tidak disebarkan...

http://hujan-petang.blogspot.my/2013/09/aku-dan-hari-ini.html