Halaman

Isnin, 28 Mac 2016

Sesuatu Tentang Disleksia

Aku ingin berkongsi dengan kalian, satu komen dari responden (tanpa sebarang edit) tentang catatanku di sini. Responden ini mengalami sindrom yang sama dengan anak ke3ku yakni Disleksia. Lihat bagaimana cara responden ini menulis. Hayati juga isihatinya.

Memang pada dasarnya jika anak yang menghidap sindrom ini mampu dikendali dengan baik, masih punyai harapan untuk dia maju dalam hidup. Namun dalam kes yang aku lalui ini, aku telah gagal menjadikan anak ke3ku sebaik-baik anak.


Salam saya disleksik tapi baruntau masa nak masuk tagun dua univrrsiti. Kekurangan saya a kelebihan orang.kekurangan orang kelebigan saya.
Tapi mada kecik mak baoak ingat saya bodoh.
Masa tadika saya tulis tgn kiri mak bantai
.tulis tgn kanan.. 
Confuse instruction nak tulis patern.
Lama lama ok...tulisan ikut moodla
Boleh buat cantik sgt atau malas buruk sgt.
Oleh kerana saya suka history..saya suka membaca.tapi saya boleh ingat jalan lancar aja...termasuk shortcut

Time kwcik teruk kena paksa latih tubi exercise dari maths sampai semua ..lepas tu srp lost sikit. Lepas tu ok la..pilih subject yg saya ada strength..reading. so..saya belajar usaha persevere.. sbb saya tak di muakan dan dimanja kan..saya tahu tanggungjawab saya
Malah saya bebas bergerak ..tapi sayu tahu peraturan rumah.malah arwah mak tahu kalau takde hal aaya duduk.kat rumah membaca. Petang kemas luar..sapu daun.basuh bilik air.cucie rumah lap.habuk lantai.etc.

Bila saya pergu belajar semua benda ni takde sapa buat.

Anak yg ada menunjukkan masalah belajar.perlu dididk dan diterapkan disiplin dan tidak boleh dimanjakan sangat. 

Anyway i have discipline.seboleh boleh saya cuba buat benda harian ber jadual. Disebabkan saya cuma tahu saya ni dyslexic bila dah nak pergi abroad

Makanya saya tidak memjadikan ini halangan

.segala kegagalan adalah satu ujian. Saya bangkit dan cuba..sampai tak boleh


Disebabkan dulu dulu hujung 70an dyslexic ini tak famous time.saya masuk tadika tapi saya kena marah hari hari. Semua ingat saya bodoh. Saya malas nak cakap.sebab semua org yg ajar rasa.diaorang sgt pandai.
Anyway saya yg pertama grad dalam keluarga alhamdullillah....its a mind over matter thing..bukan salah kan sesapa..
Wasalam

Ahad, 27 Mac 2016

Kepimpinan Generasi Baru


Alhamdulillah, dapat juga hadir di Mesyuarat Agong IKRAM, Seberang Perai Tengah sepanjang pagi tadi berlansung di IPG Tuanku Bainun

Seronok melihatkan ramai generasi baru kini mengambil aleh tampuk kepimpinan 2016~2018 sekaligus melaksanakan RI1619.

Sistem mesyuarat juga kini sudah memasuki era lebih moden. Pengundian J/K menggunakan sistem komputer. Pembentangan laporan prestasi juga menggunakan sistem KPI, tak seperti dulu yang berjela-jela penerangannya. Sesi belanjawan juga mula didebatkan hinggakan Bendahari 'tak senang duduk' mencari jawap. Ini satu senario yang positif !

Kalau dulu, bila MAD macam ni, akulah antara yang sibuk di meja hadapan namun sejak aku ghuyup sekejap dari kepimpinan, aku hanya duduk di bangku belakang. Jadi, lebih luaslah pandangan aku melihat reaksi atau gerakkerja AJK mesyuarat.

Yang lama memang perlu diganti bila sampai masa. Biarlah yang baru pula mengurus pertubuhan di pasca mereka yang tentunya lebih baru, bertenaga dan teknologi yang lebih cepat dan mudah.

Yang lama bukanlah pula lepas tangan. Sebaliknya mengisi pula ruang-ruang kosong di belakang tabir yang sebenarnya lebih penting. Begitulah sunnah alam!

Khabarnya, IKRAM cawangan Bukit Mertajam sedang dalam perancangan penubuhan. Kawasan tempat tinggal aku lah tu! Gembiralah pula mendengarnya...

Malam nanti pun ada mesyuarat juga. Namun ini mesyuarat yang lain dari biasa, Aku ingat nak pergilah juga nanti walaupun sekejap sebagai pemerhati. Harap-harap isteriku tak bising apa-apa...

Jumaat, 25 Mac 2016

Golongan Kedua

Khatib hari ini ialah ustaz Abu Bakar Bakelani. Dia membawa hadis berikut ke dalam khutbah tanpa teksnya hari ini:

“ Ada tiga golongan, yang tidak akan Allah ajak bicara pada hari kiamat, tidak akan Allah lihat, dan tidak akan Allah sucikan, serta baginya adzab yang pedih. Rasulullah mengulang sebanyak tiga kali. Abu Dzar bertanya : Siapa mereka wahai Rasulullah ? Sabda beliau : Al musbil (lelaki yang menjulurkan pakaiannya melebihi mata kaki, al mannaan (orang yang suka menyebut-nyebut sedekah pemberian), dan pedagang yang bersumpah dengan sumpah palsu” 
(H.R. Muslim:106)


Aku agak terkesan dengan kupasan khatib terhadap golongan yang kedua itu. 

Ingatan melayang kepada isteriku di rumah yang kini ditakdirkan Tuhan - separa mandiri. Segala urusan dalam rumah terpaksa aku pikul sendiri. Malah untuk dia mandi, bersuci, memilih pakaian hatta berjalan pun aku kena bantu.

Kekadang bersungut juga aku. Kekadang terkeluar marah-marah. Malah kekadang memang aku ada mengungkit.

Aku tahu, tak sepatutnya aku begitu tetapi bilamana kekadang aku rasa macam tak sempat nak duduk rehat dah kena panggil. Otak sedang fikir masalah lain, dia tokok masalah baru... aku jadi hilang sabar dan melenting.

Muga Allah memaaafkan aku yang sebenarnya kalau boleh tidak mahu menjadi suami seperti itu. Suami yang termasuk dalam golongan kedua.

Aku ingin ikhlas menjaganya yang telah menjadi isteriku selama 30 tahun ini...

Rabu, 23 Mac 2016

Kad Bank

Entah untuk keberapa kali aku ke Maybank tadi, gara-gara kad bank hilang.

Mulanya, aku cuba buat tak tahu jer. Alehkan penggunaan kepada kad Bank Islam, kononnya nampak la islamik. 

Tapi disebabkan Bank Islam cuma ada 2 jer kat kawasan aku ni, aku selalu membuat pengeluaran atau pindah duit dari mesin atm lain yang mengenakan caj. Terasa buta-buta saja aku 'kehilangan' duit walaupun seringgit.

Bila membuat urusan secara online ni, Maybank adalah intitusi kewangan yang lebih mudah didapati untuk urusan transaksi samada oleh penjual mahupun pembeli.

Kalau tak salah dulu, bila ganti kad baru, cajnya RM8 tapi sekarang dah RM12.

Merungut jugalah aku kat staf yang melayan orang tua macam aku ni, tadi.

Aku nak cuba pulak belajar guna perbankan internet. Maksud aku, Maybank2u. Tak payahlah susah-susah beratur untuk nak kirim duit. Hendaknya pulak bila time gaji...

Kekadang naik cemus bila mesin asyik reject jer duit tu. Segan kat orang lain yang beratur di belakang...

Selasa, 22 Mac 2016

Matahari Sejengkal

Sunyi dan susah juga kehidupan tanpa smart phone, rupanya. 

Tak dapat nak ambil gambar barangan untuk promo jualan di media sosial. Isteri mengeluh kerana tak boleh nak tengok gambar dan klip video cucu bila tak boleh picing mata waktu malam. Atau mendengar Bolly-Bolly bila Sabtu malam. Juga mengemaskini jadual lawatan klinik isteri, abah dan anak3 di kalendar talipon.

Tadi, kawan senasyid aku dulu menalipon minta masukkan nama salah seorang ahli. Baru aku perasan, aku juga adalah pengurus kepada beberapa grup whatsapp.

"Patutlah hang senyap jer...." 

Aku teringat semasa berusrah di Sungai Ara dulu. Naqib sering berpesan supaya kita mendidik diri dan keluarga kepada kesusahan, sekali sekala supaya kita tidak kekok bila ditakdirkan suatu hari nanti kita akan benar-benar hidup susah. Bukan mustahil apa yang berlaku di Bosnia (tazkirah semasa) akan berlaku di Malaysia.

Sekarang ini, kalau bersembahyang di masjid, aku akan cuba dapatkan ruang dalam yang berpenghawadingin. Kalau sembahyang di serambi masjid, terasa pijar.

Sedangkan di Padang Mahsyar, panasnya seolah-olah matahari sejengkal sahaja di atas kepala. Tak boleh bayangkan!

Sabtu, 19 Mac 2016

Tak Usah

Dah 3 hari aku tidak berpeluang melayari whatsApp, instagram atau facebook tatkala singgah minum setelah jauh memandu. Hanya memanndang gelagat orang yang berbagai.

Ada kalanya berasa lebih selesa sebegini. Hanya melayani panggilan atau sms sahaja. Tak perlu kalut dengan power bank atau topup (aku menggunakan xox yang jangkahayat topup adalah 2 tahun ).

Nak beli yang baru, belum ada gerak hati. Lagipun, terasa berat untuk mengeluarkan wang yang sebegitu banyak. Nantilah... bila hati dah sejuk. Atau bila merasakan ianya satu keperluan.

Inilah isi hati seorang ayah yang mungkin tak pernah diketahui oleh anak-anak. 

Nak berkongsi perasaan dengan isteri pun rasanya lebih elok tidak usah ...

Jumaat, 18 Mac 2016

Bila Kepanasan

Haba panas yang semakin menggigit buat aku ambil keputusan meluluskan Akhmal tidur di bilik tengah yang juga ada penghawadingin selain bilik ibu_suri.

Bilik tengah adalah bilik Along dan Angah semasa remaja dulu. Bilik belakang adalah bilik CT semasa dia pernah aku jaga seketika dulu. Kemudian Akhmal ambil aleh. 

Bilik belakang memang hangat sebab cahaya matahari yang jatuh memang tepat memijarkan dinding bilik hingga ke malam. Bilik tengah berkuap sebab tidak ada ruang udara keluar masuk. Justeru itu, semasa bilik itu dijadikan bilik pengantin untuk Angah, dipasang penghawadingin.

Tak sampai hati melihat Akhmal 'menggelepar'  hangat di musim panas lit lit begini sedangkan di waktu malam kami nyenyak tidur berselimut.

"Tapi ayah jangan bawa keluar barang dalam bilik. Biar macam tu. Biaq dia guna untuk tidur saja." ujar Angah.

Sebenarnya, bilik itu aku berangan nak jadikan bilik sembahyang, bilik bacaan, bilik menulis dan bilik tetamu. Akan tetapi belum kesampaian.

Apapun, nampaknya sehari dua ini sikap Akhmal agak okey. Dan aku berasa lapang dada melihat dia juga selesa.

Aku faham, Akhmal tidak seperti anak-anak aku yang lain. Cara berfikirnya agak mundur 2~3 tahun ke belakang. Inferiority Complexnya juga agak tinggi.

Sindrom Disleksia yang dialaminya membuatkan dia terpaksa mendapatkan pendidikan formal di Kelas Pendidikan Khas. Sayangnya, kelas itu hanyalah kelas umum dan bukannya khusus untuk anak-anak Disleksia.

Hal inilah yang menuntut kesabaran yang tinggi dalam aku menjaganya!

Isnin, 14 Mac 2016

Kerana Kedamaian Hati Itulah...


Alhamdulillah. Kes kemalangan Akhmal yang berlarutan dari 2012 akhirnya diselesaikan secara luar mahkamah, hari ini.

Kes ini memakan masa lama kerana laporan polis yang dibuat oleh ketiga-tiga pihak yang terlibat berbeza hingga sukar bagi peguam pembela, peguam insuran dan majistret membuat keputusan.

Akhmal cuma mendapat pampasan sekitar RM2k. Setelah ditolak kos guaman, pembaikkan motor yang rosak dan kos laporan perubatan, dapatlah seciput jer.

"Rasanya ini lebih baik daripada berlarutan hingga mengganggu kerja dan urusan kami yang lain," ujarku.

Itu apa yang nyata di mata sahaja tapi yang lebih benar ialah aku dah letih melayan kerenah Akhmal yang tak sabar membawa dan menunggu di mahkamah. Mahkamah... siapa yang biasa dengan hal-hal seperti ini ini tentu maklum...

Pada aku, ada kalanya kita perlu ambil kira soal wang. Namun ada juga keadaan di mana wang bukan keutamaan tetapi kedamaian hati.

Hari ini, keputusan untuk menyelesaikan kes ini di luar mahkamah, aku persetujui kerana kedamaian hati itulah.

Selepas ini aku boleh urus temujanji abah mertua dengan pihak hospital untuk pemeriksaan buah pinggang dan kemudiannya balik kampung ziarah mak!

Tak Ada Tajuk


Sesekali ingat, jadi macam dia pun baik juga agaknya.

Problem free. Hepi dengan dunia sendiri. Tak kacau orang. Orang tak kacau dia.

Nak minum... mintak jer kat kedai mamak. Tidur atau hujan, bus stop jadi tempat teduhan.

Uffss...



Nota:
Lokasi : Bandar Sunway, Seberang Jaya.

Sabtu, 12 Mac 2016

Doaku

Hari ini, Akhmal mula mencuba bekerja di tempat baru. Anak saudaraku - Eli yang merekomenkan kepada majikannya. 

Aku tak pasti kerja yang bagaimana dan sejauhmana dia boleh bertahan. Namun dia kena bekerja dan aku kena percaya pada kemahuannya untuk mahu berubah (tapi perlukan sokongan).

Beritahu ibu_suri, kerjanya adalah 12 jam. Aku mencongak; jika 12 jam bekerja, 4 jam rehat dan 8 jam tidur, dia takkan ada masa untuk melakukan benda-benda lain yang tak berfaedah.

Aku percaya, satu hari nanti dia akan berubah. Maka aku berharap, hari itu permulaannya adalah hari ini (walaupun keyakinan itu cuma 50% sahajalah beb...).

Semasa dan selepas solat Zohor di masjid tadi, aku tak henti-henti berdoa muga Allah menurunkan hidayahNya ke atas Akhmal. Memberi dia peluang untuk memperbetulkan dirinya dan polos.

Bukan mustahil, anak yang 'nakal' sepertinya bertukar menjadi baik. Dan dialah kelak yang akan menjaga aku bila aku dah uzur berbanding anak yang lain.

Aku pernah menyaksikan itu...

Jumaat, 11 Mac 2016

Panas

Beberapa hari ini memang terasa bahang yang amat panas.

Bagaimanalah agaknya, pekerja binaan bangunan, pesawah/peladang dan lain-lainnya itu membuat kerja di tengah panas?

"Nanti, bila akhir zaman sebelum Dajjal turun ke bumi, dunia akan kemarau selama 3 tahun. Macammana kemarau 3 tahun kalau macam ini pun kita dah keluh kesah..." ujarku pada ibu_suri tatkala duduk-duduk di ruang tamu bersama Akhmal.

Kebetulan aku baru saja habis tonton ceramah Ustaz Fawwaz kat YouTube di sini...

Memang hangat dan belengas. Muga Allah ampunkan dosa hamba-hambanya yang serba lalai dan leka!

Khamis, 10 Mac 2016

Tuntutan

Esok, Akhmal akan naik ke Mahkamah Butterworth jam 9 pagi.

Tadi bertemu dengan peguam untuk 'briefing' bagaimana sepatutnya Akhmal beri respon terhadap apa saja soalan dari peguam sebelah sana bila di kandang. Risau juga bila mendengar secara sepintas lalu suasana di mahkamah itu nanti oleh peguam.

Mungkin ini satu latihan dan pengalaman yang cukup berguna bagi aku dan Akhmal.

Namun debaran ini sebenarnya lebih kencang jika dibandingkan dengan debaran-debaran yang aku alami dalam beberapa kes Akhmal yang sememangnya bersalah dan hanya perlu mengatakan YA sahaja bila di tanya oleh Majestrit.

Akhmal adalah seorang yang tak sabar. Takut nanti, bila peguam tanya soalan yang bertalu-talu dan berbelit-belit, dia naik angin.

Berkali-kali aku pesan kepada dia supaya tenang, sabar, jawap cuma pada soalan yang ditanya mengikut skrip lapuran polis yang dibuat dulu.

Perbicaraan esok lebih merupakan tuntutan  insuran oleh Akhmal kepada syarikat insuran atas kemalangan yang berlaku hingga menyebabkan jari kaki Akhmal patah.

Horrey...

Akhmal dah balik. 

Sepanjang jalan mengambilnya dari Jawi ke rumah, ibu_suri tak habis-habis bertanya dan beritahu itu ini. Aku lebih banyak diam.

Sampai di rumah, adalah lebih sikit dari sejam, dia cunggit keluar dengan motornya. Sebaik balik, ramailah kawan-kawan dia datang.

Hati ini terasa amat jauh...

Petang, sepucuk surat aku ambil dari peti surat. Dari peguam Gurmit Paramjit. Minta Akhmal hadir di Mahkamah Majestrit Butterworth; kes kemalangan motor tahun 2012.

6 bulan yang telah lalu, aku sedikit lapang sebab hanya perlu tumpu pada ibu_suri. Mulai hari ini aku terpaksa ada 2 fokus.

Sesekali bila terasa amat lelah, aku tidur di atas lantai berbantal lengan. Kekadang lelap kekadang lena ayam. Tak siapa tahu (mungkin ), cara aku membumi segala lelah dan resah di dada ini.

Jam dah hampir 1.30 pagi. Ntah kemanalah budak ni pergi...

Isnin, 7 Mac 2016

Harta Karun

2~3 hari ini aku asyik mengemas rumah. Semasa anak masih ada kesemuanya, rumah ini seperti sempit. Sekarang, bila mereka pun 'menghilang' terasa rumah ini terlalu luas dan letih menguruskannya.

Segala 'harta karun' yang terkumpul 20 tahun lebih; aku ambil keputusan untuk buang sahaja. Kalaulah aku ini peniaga di Rope Walk, tentu semua ini boleh aku jual semula dari membazir.

Esok aku akan tumpu ke bilik Akhmal. Bilik yang sesekali aku rasa persis berada di dalam gua di Gunung Mat Sirat, akan aku punggah dan kitar selagi boleh. Tilam dan bantalnya aku buang kerana dah berbau. Beli sahaja yang baru tapi murah murah sahaja.

Lusa dia akan balik dan bilik ini akan dihuninya semula.

"Pesan kat dia, jangan bawak kawan masuk bilik dah," ujar ibu_suri.

Aku diam sahaja. Ada banyak perkara bersimpang-siur di dalam serebrum ini tapi 10% sahaja yag boleh dikongsi. Selebihnya, biarlah masa yang memberitahu.

Dan berdoa setiap kali berjalan, memandu hatta tika sembahyang!

Petak 23

Berhati-hati aku menolak kerusi roda di celah lorong mencari petak 23. Berat badan ibu_suri yang terpaksa ditanggung oleh roda bergaris pusat 6 inci itu menuntut sepenuh tenaga menolaknya.

Akhmal dah sedia menunggu dengan baju berwarna merah. Berjiran dengan petak 23 ada yang berbangsa Cina dan berbangsa India.

Tatkala mendaftar masuk tadi, seorang India merayu minta dibenarkan melawat suami isteri yang sama-sama ke 'dalam'.

"Saya kena jumpa dia orang hari ini tuan. Dia orang punya anak ada sama saya..." Dia merayu apabila pegawai bertugas tetap memintanya datang pada hari esok. Belas juga rasa hati ini.

Aku tidak banyak bercakap jauh sekali membebel dengan Akhmal seperti sebelum ini. Entah kenapa, hati ini tidak berapa seronok.

Aku beri gagang talipon kepada ibu_suri setelah beberapa minit perbualan. Pendek wayar gagang menyebabkan aku memapah ibu_suri bangun dari kerusi roda ke bangku yang dikhaskan. Melihat kesukaran itu, beberapa orang India dan Melayu datang membantu.

"Tak mengapa..." ujarku, "dah biasa macam ni."

Aku biarkan saja ibu_suri bercakap... bercerita apa yang berlaku di rumah dan pada adik beradik selama Akhmal di 'dalam'. 

"Ayah, nanti bayar duit kat kaunter, ya!" pinta Akhmal setelah 15 minit lebih bercakap. Walaupun masa diberi selama 45 minit tetapi 15 itu pun dah terasa lama. Kekadang, rasa seperti tak berbaloi jika dibanding dengan masa dan kos yang diambil untuk datang.

"Nak berapa?"

"RM60"

"Eh, bukan kamu nak balik tak lama lagi. Yang ada tu tak cukup ke?" 

Bulan lepas saja dia minta RM100 untuk beli perkakasan mandi, makan dan pakaian dalaman.

Setelah pamit, aku menolak ibu_suri keluar. Pegawai penjara memang baik dan amat membantu.

Berbanding penjara Sungai Petani dan Pulau Pinang, kawalan keselamtan di sini lebih ketat.

Akan tetapi, sistem mendaftar untuk kebenaran masuk adalah paling lambat dan ketinggalan zaman!

Sabtu, 5 Mac 2016

Debaran

Semalam memang beriya-iya rancang nak balik Ipoh jenguk mak. 

Namun, usai solat Subuh, aku baring semula di atas sejadah... lelap. Kedengaran beberapa kali ibu_suri memanggil dari bilik.

"Agaknya, macam tulah perasaan mak. Dulu, kita selalu komplen, mak tak tetap pendirian. Semalam kata ok, hari ini kata tak ok..." ujarku pada ibu_suri merujuk kepada sikap mertua beberapa ketika dulu. Teh yang aku hirup bersama ibu_suri terasa hambar di tekak.

Mungkinkah ini semua akibat perubahan hormon dalam badan? Atau kesan dari terlalu memikirkan apa yang bakal aku hadapi sebaik Akhmal bebas dan pulang ke rumah beberapa hari lagi ini...

Dadaku berdebar-debar!

Khamis, 3 Mac 2016

Terkenang


Cepatnya masa memasuki 2016. Hampir 2 tahun aku menamatkan khidmatku selaku assistant engineer dan Calibration Lab adalah tempat terakhir aku bekerja.

Aku sebenarnya seronok bekerja di bilik kecil yang penuh dengan electronic equipement itu. Setiap hari ada sahaja pelanggan yang datang menghantar atau mengambil equipment milik mereka.

Tak kurang juga yang datang sekadar untuk bersembang atau yang bertanyakan hal-hal agama maupun yang mahu berkongsi masaalah peribadi sambil mengharapkan nasihat dari aku.

Bulan Mac adalah bulan dimana sepatutnya aku memulai persediaan untuk menghadapi odit samada oleh pelanggan Renesas seperti Sony, Toyota malah oleh SIRIM yang selalunya pada bulan Ogos.

Odit oleh SIRIM inilah yang benar-benar mencabar; yang menjadi salah satu sebab kenapa aku ambil keputusan untuk menerima offer dari pihak HR untuk bersara awal. 

Memang sengsara bila odit SIRIM. Aku persis diserang 'demam kepialu' yang menjadikan tidur tak lena; makan tak kenyang.

Namun sesekali terbit rasa rindu dengan semua itu. Rindu dengan kawan-kawan yang selalu datang ke bilik atau ketika di kafetaria.

Walaupun mereka selalu mengusik aku namun mereka menghormati terutama generasi baru yang dah boleh aku anggap sebagai anak.

Selasa, 1 Mac 2016

Free Tuisyen Kat Rumah


Aku bukanlah minat mengajar. Apatah lagi kepada anak-anak kecil. 

Terus terang aku katakan, aku tak sangat mesra bebudak.

Masa ibu_suri masih sihat, dia mengajar di tadika sebelah pagi. Petang, dia membuka kelas tuisyen di rumah. 

Pendapatan yang dia dapat hasil mengajar di tadika dan tuisyen itulah dia kumpul dan membeli Kancil

Tapi, beberapa minggu kebelakangan ini, aku pula tak semena-mena seperti 'terpaksa' buka semula kelas tuisyen. 

Hampir setiap malam, anak saudaraku 2~3 orang datang minta bantu selesaikan kerja sekolah, mengaji Quran atau baca buku.

Nak tolak, anak saudara. Lagipun aku tahu, mengajar adalah kerja yang mulia. Jika disertakan dengan keikhlasan, menjadi satu ibadah.

Kekadang, 'panas hati' juga bila ajar punya ajar, tak juga dapat-dapat. Tapi aku sedar, aku belajar kaedah zaman 60an. Mana sama dengan kaedah 50 tahun selepas itu!

Apapun, aku cuba bersikap terbuka mengajar mereka. Entah berapa lama bertahan... aku pun tak tahu. 

Tapi... setidak-tidaknya, setiap malam rumahku akan ada kunjungan dari anak-anak kecil. Anak-anak yang bersih bak kain putih!