Halaman

Rabu, 31 Ogos 2016

Satu Malam... Malam MERDEKA!


Semalam, ibu_suri beria-ia minta aku bawanya jalan-jalan walaupun jam baru 6 petang ( selalunya lepas isya' baru keluar ). Raut wajahnya amat serius.

Untuk mengelak dari dia minta aku lajak menengok bunga api (selalunya kat Bagan atau Pantai Bersih ), aku memandu menghala ke Kepala Batas. Ingat nak singah di Masjid Abdullah Badawi tapi hujan renyai.

Sambil memandu sempat juga mendengar ucapan PM sempena menyambut 31 Ogos tengah malam nanti. Nak juga dengar apa isi ucapan beliau. Selalunya, ucapan seseorang PM di ketika seperti ini mengandungi nilai pemikiran yang bernas dan informatif.

Sempat ibu_suri bertanyakan aku tentang sikap manusia yang suka mengata di belakang. Tentunya dia merujuk kepada sesatu isu yang dia alami.

Jawap aku;

'Kita ni kekadang cakap tak serupa bikin. Kononnnya kita tak suka orang cakap belakang. Kalau nak, tegurlah secara berdepan.

Tapi bila kita tegur secara berdepan, kita di hentam cukup-cukup. Kemudian di masa lain, kita di perli pulak di hadapan kawan-kawan lain seolah seperti membalas dendam kerana teguran kita secara depan sebelum ini.

Memang susah nak mencari orang yang mendengar dengan hemat bila kita tegur kesilapannya. Memang susah nak cari orang lain yang akan mengakui kesilapannya sendiri.'

Kebetulan aku baru saja dapat cd Pak pandir. Aku putarkan untuk ibu_suri mendengar.


Namun seperti biasa; kesan angin ahmar yang diidapinya adakala buat ibu_suri lambat menangkap atau nak memahami apa yang di dengar. Terpaksa aku terangkan dengan ayat yang lain dengan sabar. 

Bila adakalanya, 2 ke 3 kali terangkan pun masih tak faham, aku tamatkan dengan diam.

Nak tanya... Memang sebenarnya kita dah merdeka ke?

Isnin, 29 Ogos 2016

Goreng Sahaja Yang Aku Tahu


Lepas hari Sabtu, menggoreng ikan curut sebagai menu makan tengahari, aku bercadang nak goreng ayam sahaja untuk menu Ahad (semalam).

Memang, goreng menggoreng sahajalah yang sehabis rajin untuk aku bila ke dapur sekarang ini. Nak menggulai atau menumis dah teramat malas. Malah sepatutnya di usia begini pada aku dah boleh gantung sendok dan sudip.

Balik riadah aku singgah ke kedai beli ayam setengah ekor. Beli bebanyak takut tak habis.

Sampai di rumah, ibu_suri dah pasang angan-angan. Katanya dah lama tak makan ayam goreng bawang. Ai sey....

Aku hentam sahaja resipinya. Goreng ayam dulu. Sesambil tu, mayang bawang kecil dan bawang putih. Untuk menumis ni, bawang kecil lebih sedap dari bawang besar cumanya renyah sikitlah nak mengupas dan merincih.

Kerana itu, bila nak beli bawang aku suka bawang India. Aku akan pilih yang bersaiz besar dan yang bulat-bulat.

Teringat kat laman 'herba' aku ada satu pokok limau purut yang terlalu banyak daunnya sebab tak pernah petik. Main campak aje ke dalam kuali tanpa potong kecil-kecil. Ternampak kicap Jalen atas meja... hah... tunggang saja seagak cukup.

Macam mana rasanya? Wallahualam.... Tengok ibu_suri makan bertambah nasi tanpa merungut tu, kira oklah masakan aku.

Atau mungkin kerana dah jemu makan masakan kedai, masakan cincai aku di rumah pun jadi sedap...

Aku kurang gemar makan ayam. Sejak dah berumur ni, sedikit demi sedikit selera aku hilang.

Petang itu memang ketara keletihan aku. Sepagian riadah di stadium mini, bukit Mertajam. Balik pula memasak, membasuh pakaian dan menyapu laman rumah serta membuang sampah; buat aku tidur lena menjelang Asar...

Sabtu, 27 Ogos 2016

Nasib Si Ikan Curut...


Muram sahaja wajah ibu_suri pagi ini. Selesai aku mandikan, aku lap sebahagian badannya lalu bertanya tentang sarapan.

'Tak mau!'

Aku beritahu dia bahawa aku ada beli ikan basah untuk digoreng. Dan sekarang sedang menunggu nasi ditanak. 

Aku menjangkakan dia akan gembira kerana dapat makan yang aku masak sendiri di rumah setelah sekian lama asyik makan di kedai sehinggakan dah tak tahu nak makan apa lagi dek jemu. 

Namun sangkaan aku meleset. Dia bungkam!

Kalau nak goreng ikan, aku lebih suka beli ikan curut ini. Sedang aku memilih ikan di kedai tadi, seekor kucing berlegar dan mengusap kaki. Agaknya, dia lapar.

Aku ambil 7 ekor dengan hasrat ingin memberi kepadanya setelah usai pembayaran nanti, Mana tahu, lambat pulak menanti giliran di kaunter, kucing itu berlalu ke arah lain.

Lama juga aku menanti kucing itu datang sambil aku menayang ikan di tangan, tapi dia tidak datang.

'Bukan rezeki kamulah agaknya' bisik hatiku sambil berlalu ke arah kereta.

Aku berasa agak longlai. Kepala sedikit berdenyut. Agaknya kerana cuaca yang agak panas menikam diri semasa aku tekun beriadah di stadium mini, Bukit Mertajam tadi.

Memang berbaloi riadah aku ini pagi. Badan berasa longgar. Cuma yang ralatnya, aku terlupa untuk solat Dhuha seperti selalunya di surau situ. Boleh pulak aku terus memandu keluar setelah selesai mengibas lapik kaki dan memilih cd Koleksi Lagu Lagu Terbaik Sweet Charity untuk didengar.

Dengkuran halus ibu_suri dari dalam bilik menandakan dia benar-benar tidur.

Mungkin aku sahajalah yang akan menghabiskan ikan goreng ini. Kalau ada kucing yang datang mengendeng kat pintu rumah, bolehlah aku berkongsi rezeki dengannya...

Isnin, 15 Ogos 2016

Ebiet G Ade - Best Of The Best

Aku kira umum kalian tahu aku ni memang fanatik dengan lagu-lagu Ebiet G Ade. Pernah memiliki hampir kesemua album studio EGA. Sayangnya, bila dah mula berkeluarga, kaset itu hilang ntah kemana.

Bebaru ini aku menerima cd EGA versi Best Of The Best. Yang sempoinya aku menerima 2 keping dari keluaran Indonesia (atas) dan Malaysia (bawah).


Secara amnya, rekabentuk album ini hampir sama. Aku suka rekabentuk ini hingga tega memiliki keduanya sekaligus. 

Malaysia, album ini dikeluarkan oleh Music Valley pada 2003. Indonesia oleh PT Musica Studio... tahun, tak pasti. Ini adalah album kompilasi. 



Inlay luar dan dalam hampir sama sahaja yakni memuatkan lirik lagu dan beberapa wajah EGA dalam warna hitam putih.

Senarai lagu:
01 Aku Ingin Pulang
02 Kupu-Kupu Kertas
03 Cinta Sebening Embun (versi asal)
04 Camellia II
05 Kalian Dengarkan Keluhanku
06 Rembulan Menangis
07 Menjaring Matahari
08 Elegi Esok Pagi
09 Untuk Kita Renungkan
10 Titip Rindu Buat Ayah
11 Nyanyian Rindu
12 Seraut Wajah
13 Masih Ada Waktu
14 Lagu Untuk Sebuah Nama
15 Berita Kepada Kawan

*semua lagu ciptaan dan lirik oleh Ebiet G Ade


Aku rasa beruntung kerana memiliki seorang rakan fb di Sumatera Barat dan Kalimantan Selatan. kami selalu berkongsi messenger tentang koleksi EGA.


Info lanjut: http://sukanimusik.blogspot.my/2015/08/cd-vcd-best-of-best-ebiet-g-ade.html

Ahad, 14 Ogos 2016

Penghargaan

Semalam berlansungnya Sukan Tadika Amal Rintis dan Sekolah Rendah Amal Rintis di padang SR Sri Impian tak jauh dari rumah.

Seperti sebelumnya, aku diminta bertugas mengendalikan sitem bunyi dan lagu. Cuma bezanya kali ini cucuku - Marissa menjadi peserta sukan. 

Tapi oleh kerana aku sibuk dengan tugasan, tidaklah dapat nak beri fokus kepada Marissa, menantu dan besanku.


Dan aku pun tak tahu kategori sukan apa yang Marissa bertanding. Bila dia datang kepada aku dan aku bertanya... menang tak?

" Menang.." sambil mengangguk kepala dan senyum polos.





Apabila semua kategori sukan tamat dipertandingkan dan tiba sesi pengurniaan pingat dan hadiah, seperti lazim... keputusan akan diumumkan dari tempat ketiga dan ke atas.

"Pemenang tempat ketiga jatuh kepada rumahhhh KUNING!"

Maka bergemalah sorakan peserta rumah kuning sambil mengangkat tangan tanda gembira. 



Aku dan ibubapa lain hanya ketawa melihatkan telatah kanak-kanak yang sememang bersih , tak  reti apa-apa dan tak mengharapkan apa-apa yang bernilai melainkan sebuah penghargaan dari kita yang dewasa!

klip video: https://www.facebook.com/abuhanifahamri/videos/10210255387286200/
lagi gambar: https://www.facebook.com/tadikaamalrintis/posts/674013722747164

Khamis, 11 Ogos 2016

Basah Lagi

Aku dah naik mangli bila melihat ibu_suri terkocoh-kocoh keluar dari bilik ke bilik air persis anak kecil baru belajar berjalan.

"Abang... abang... bilik basah. Sori bang..."

Aku yang baru sahaja duduk menghadap laptop selepas selesai mengemas dapur, bangun pula menyelak langsir pintu bilik.

Hmmm.... tak terkata apa...

Segera aku ambil tuala lapik kaki yang basah dengan hati-hati sambil mengelap baki air yang bertakung hingga ke bawah katil. Cadar dan Tilam juga basah. 

Garu kepala sekejap... kerja besar ni...

Selesai urus bilik dan memasukkan kesemua kain tercemar ke dalam mesin basuh, aku ke bilik air. Tentu saja paling baik, suruh ibu_suri mandi dan tukar semua pakaian.

Bila aku menyinsing kain yang aku pakai persis mamak nak tebar roti canai, ibu_suri ketawa terkekeh kekeh... Itu pertanda emosi ibu_suri okey... Cuma emosi aku aje yang tak okey.

"Bukan senang nak mandikan baby besaq..." ujarku separuh perli sambil menyiram air cebok demi cebok ke badan ibu_suri.

"Sori la... I tak sengaja..."

Tidak ada perkataan yang dapat aku keluarkan. Rasanya diam itu lebih baik!



Sabtu, 6 Ogos 2016

Cbox

Semasa aku godek godek laptop, merayau-lihat cit cat box, terjumpa semula dengan widget cbox

Aku pernah guna cbox ini lama dulu. Namun tabiat aku yang suka sangat tukar template sana sini, cbox aku pun merajuk dan hilang. Aku ganti dengan saybox yang rupa-rupanya mempunyai penampilan yang lebih baik.

Apa yang aku nak ceritakan ialah...


Hati aku yang tetiba digigit sayu bila terbaca komen adikku Haniza yang masih tersimpan. Kata-katanya tercatat pada 2009... kira-kira 5 tahun sebelum dia pergi menemui Ilahi.

Adikku yang seorang ini adalah antara adik yang menjadi tulang belakang dalam aktiviti kekeluargaan, Selalu senyum dan tegas yang melayakkannya menjadi pemimpin kemasyarakatan....

Mudah-mudahan Allah rahmati rohnya di alam barzakh...


Boleh baca catatan di : http://keluarga-amri.blogspot.my/2014/09/belasungkawa.html 
klip video di : https://www.youtube.com/watch?v=_qxpdLt-7JM

Jumaat, 5 Ogos 2016

Alleycats - Alleycats 22


Sehari selepas terima cd M Nasir - Phoenix Bangkit, dapat pula cd Alleycats 22. Ini juga cd 1st press dan hanya boleh di temui di atas talian sahaja.

Album ini dikeluarkan pada 1997 oleh syarikat rakaman PHILLIPS. Ntah kenapa, aku suka sangat dengan cd keluaran PHILLIPS ni.


Aku mengumpul cd Alleycats keluaran 70an, 80an dan 90an kerana ibu_suri gemar mendengarnya. Maklumlah... anak Penang.

Bila aku putarkan di pemain cd kereta, dia akan bernyanyi sambil menggoyang tangannya. Sesekali terlihat persis gelagat anak kecil.

Suasana itu cukuplah untuk memberi ketenteraman semasa memanduku ke sesuatu destinasi atau tanpa destinasi.


Untuk album di tahun seterusnya buat masa ni tak minat nak kumpul. Mungkin sebab lagu-lagunya tidak aku kenal sekaligus tiada nilai nostalgia.

Senarai lagu seperti di bawah:

01  Juita*   ( Chandar Prakash / Azam Dungun )   3.12
02  Mimpi Semalam   ( A Ali / Rozlan Mohd Noor )   4.36
03  Satu Bukti   ( Shamsuddin Sidek / Rosli Ali )   4.00
04  Jangan Belut Lupakan Lumpur*   ( YM Raja Kobat )   5.12
05  Keliru   ( Shamsuddin Sidek / Badar ) 4.42
06  Aduhai Kekasih   ( Eddie Hamid / Man Toba )   4.20
07  Beribu Rindu Berjuta Sayang   ( Jayaraman / Ramlan )   4.15
08  Teruskan Cinta Ini   ( A Ali / Juwie )   5.30
09  3 a.m   ( Eddie / Ramlan )   4.15
10  Just You And Me   ( Razman / Rumi )   3.44

Discogs



Kalau tak salah, harga pasaran ketika itu RM32 sekeping. Rasanya harga sebegitu masih dikira mahal maka kemampuan lebih kepada kaset yang harganya lebih murah.

Walaupun di pasaran atas talian, harga cd Alleycats first press tidaklah semahal M Nasir, Kembara, Kopratasa, Sohaimi Mior Hassan dan setaranya namun ianya tetap menjadi sebutan.

Rabu, 3 Ogos 2016

M Nasir - Phoenix Bangkit


Amat gembira bila mendapat cd M Nasir - Phoenix Bangkit, semalam. Album ini aku kira adalah antara yang terbaik selain Canggung Medonan.

Lebih osem lagi, cd ini adalah yang dikatakan sebagai first press (cetakan pertama) yang tentunya amat rare (susah ditemui) di pasaran dan menjadi rebutan pecinta lagu.

Dikeluarkan pada 2001, album ke 6 ini pada aku mempunyai senarai lagu yang sedap didengar selain kerana muziknya yang sarat dengan irama Melayu dan Timur Tengah; mempunyai rangkap lirik yang berfalsafah tinggi, punyai isi yang memerlukan kekuatan fikiran dan ilmu untuk memahaminya serta penggunaan alatmuzik asal (bukan elektronik).

Senarai lagu:

01 Raikan Cinta             (M Nasir/M Nasir)
02 Sahabat Gua            (M Nasir/M Nasir)
03 Masirah                   (M Nasir/S Amin Shahab)
04 Phoenix Bangkit        (M Nasir/M Nasir)
05 Bila Rumi Menari       (M Nasir/M Nasir)
06 Dah Lagu Tu!            (M Nasir/M Nasir)
07 Melawan Arus           (M Nasir/M Nasir)
08 Langgam Pak Dogo    (M Nasir/Loloq)
09 Oh!.. Anak               (M Nasir/Loloq)
10 Hijab Kasih               (M Nasir/Sebt)

Aku tak retilah nak kupas lebih-lebih. Baca ajelah ulasan oleh wartawan Ku Seman Ku Hussain pasal album ini di sini.

Selasa, 2 Ogos 2016

Puasa Terakhir



InsyaAllah... hari ini akan genaplah puasa 6. Punyalah payah nak menghabiskannya sedangkan ibu_suri dah pun be'raya' awal lagi.

Berbagai alasan aku beri bila ibu_suri bersungguh mengajak aku berpuasa bersama. Heh...

Tak sama kesungguhan berpuasaku ini di semasa masih bekerja dengan berpuasa semasa sentiasa di rumah. Apatah lagi bila orang lain semua udah hora hore dengan makanan sedangkan aku terkulat-kulat memandang dapur.

Namun setidak-tidaknya tahun ini aku telah berjaya melaksanakannya dengan jaya. Tak seperti tahun lepas. Kalau tak salah, aku sama sekali gagal untuk mendapatkan pahala free setahun!

Aku harap Allah 'menerima' puasa 6 ku ini walaupun mungkin pencapaian kualitinya tidak 100%.