Jumaat, 10 Julai 2020

Akhmal! Akhmal!

Ya. Aku lansung tak pergi dia tengok di pusat tahanan reman Penjara Pulau Pinang walaupun dia merayu rayu supaya aku jenguk dia di sana nanti.

Ada beberapa sebab. Antaranya, nak melawat banduan sudah tidak seperti dulu. Pergi sahaja ke sana, ambil nombor dan tunggu sahaja giliran. Sekarang ini ( sebab isu PKP ), kena booking dulu melalui talipon. Itupun tak semestinya dapat sebab ada limit sehari cuma boleh sejumlah pelawat sahaja yang masuk.

Untuk booking pula kena berikan no mykad. No mykad Akhmal tak jumpa pula. Malas nak bersungguh-ungguh mencari pun ya.

Ketiganya, aku tahu. Bila jumpa dia nanti dia akan tergedik-gedik minta aku tolong dia ( jamin la tu ) sebab dia takut kalau jatuh hukum penjara 5 tahun dengan sebatan. Dia tahu, dia akan kena begitu sebab dia tergolong dalam kes berulang. Adalah nombor akta yang dia sebut. Aku pun tak ingat. Nak jamin bukan sikit duit kalau dan namanya 5 tahun. Manalah aku ada duit. Nak makan bulan-bulan pun jenuh fikir nak cekau mana.

Untuk ini aku tak lalu hati nak hadapi. Melihat dia merayu, aku tak sampai hati. Tapi jauh di sudut kalbu aku merasakan seperti tak mahu peduli. Dah letih. Dah tepu dengan sikap berulangnya mengambil dadah itu. Aku percaya ( berdasarkan pengalaman, pembacaan dan maklumat dari pegawai AADK dan polis ), manusia jenis ini lambat laun akan ulangi semula perangai lama kecuali jika dia sendiri benar-benar mau berjuang memperbaiki diri.

5 tahun... bukan masa yang enteng. Jika sekarang umur Akhmal 27 tahun ( tapi perangai macam budak17 tahun ), selepas 5 tahun dia keluar penjara umurnya 32 tahun. Bayangkan...

Kalau aku masih ada bila dia keluar nanti. Kalau aku dah tiada, siapa yang akan ambil berat tentang dia. Abang-abang dia? Adik beradik atau mak kandung dia? Saudara mara?

Inilah yang kadang-kadang bikin semak dada. Yang kadang-kadang, lorong rumah aku pun terlajak bila bawa kereta. Tau-tau lorong 31 entah kemana sampai ke lorong 35...

Akhmal! Akhmal! Rupa hensem tapi peribadi tak hensem. Kalau nak cerita bab malu terutama dengan jiran rumah lebih dari sekadar tebalnya perkataan.

Akhmal! Akhmal! Bilakah kau akan faham perasaan ayah?

Khamis, 9 Julai 2020

Banyaknya Dosa Aku...

Aku letak di sini sebuah catatan yang aku dapat dari wassap. Bergetar jantung aku bila membacanya. Allahurabbi.... Banyaknya dosa yang terpaksa aku pikul!




1. Lelaki bujang Menanggung Dosa Sendiri Apabila sudah baligh..Sedangkan Dosa Anak gadis Ditanggung pula oleh Bapaknya..

2. Lelaki Yang Menikah Menanggung Dosa sendiri..Dosa istri..Dosa anak Perempuan Yang Belum kawin dan Dosa anak Lelaki yang belum Baligh...

3. Hukum Menjelaskan..Anak Lelaki Bertanggung Jawab pada Ibunya..dan Sekiranya dia tidak Menjalankan Tanggung Jawabnya Maka dosa baginya Terutama anak Lelaki yang paling Tua..Manakala Perempuan tidak...Perempuan Hanya perlu taat kepada Suaminya...

4. Istri Yang berbuat baik Mendapat pahala.. kalau Berbuat tak Baik Dosanya Ditanggung Pula oleh Suaminya...

5. Suami wajib Memberi Nafkah pada istri..Tapi istri Tidak...
Walaupun Begitu istri boleh Membantu...Tak Layak bagi Suami Bertanya Pendapatan istri Lebih-lebih lagi Menggunakan Pendapatan istri Tanpa izin..

6. Diakhirat kelak, Seorang lelaki akan Dipertanggung Jawabkan Terhadap 4 wanita ini Istrinya..Ibunya..Anak Perempuannya dan Saudara Perempuannya.


Walaupun setiap kali aku balik kampung dan mencium tangan mak sambil meminta dia memaafkan segala kesalahan sedari aku kecil hingga tua, mak akan berkata: 

'Mak dah maafkan dosa kamu dan dosa semua anak-anak mak sejak dulu lagi'

Namun aku seperti tidak berpuas hati. Maka setiap kali aku memeluk dan mencium tangan mak aku masih tetap keampunan dari dia kerana aku kenal siapa diri aku.

Di dalam keluarga aku, maklah orang yang paling banyak menumpahkan airmatanya menjaga kami adik beradik terutama ketika abah aku menghidap skizofrenia sehingga hampir hendak dimasukkan ke Hospital Tanjung Rambutan!

Rabu, 8 Julai 2020

Balik Kampung

Dah lama aku tak balik kampung tengok mak. Lama sejak sebelum pkp lagi rasanya. Keterbatasan pergerakan ibu_suri buat ia jadi begitu. Alasan?

Aku rindu nak balik kampung. Rasa bersalah tak jenguk mak. Aku tahu mak mesti tertanya-tanya.

Aku anak sulong. Tentu saja kenangan dan ingatan mak terhadap aku lebih berbanding adik adik lain walaupun pada hakikatnya aku tidak ada apa-apa sangat jasa atau balas budi baik mak selama ini.

Aku tahu kerana aku juga punya anak sulong yang jarang-jarang balik seperti mana anak sulong aku yang jarang jarang balik jenguk kami berdua ini. Mungkin susah dapat cutu atau kekurangan bajet.

Kekadang mau saja aku curi balik. Minta cuti pada bos satu hari dan senyap senyap 'lari' ke kampung. tanpa pengetahuan ibu_suri. Petangnya aku balik la ke sini.

Entahlah!

Selasa, 7 Julai 2020

Mencuri Masa Untuk Damai

Sengaja aku lepak kat kedai kopi tepi Masjid Kubang Semang ini, port favourite aku. Curi masa selepas beli lauk makan tengahari tadi. Masa untuk damaikan hati yang penuh dengan pelbagai kecamuk yang aku sendiri  tak pasti.

Teringat kata kata anak saudaraku yang datang ziarah ibu_suri Ahad lalu: kalau kita tak pandai urus tekanan dalam diri kita boleh jadi iseng.

Betul sangat tu.

Cuaca baru lepas hujan agak mententeramkan. Aku tak peduli pelanggan lain yang bersembang di kiri kanan aku. Aku tenggelam dalam dunia aku sendiri.

Lama juga aku di sini. Tentu ibu_suri dah bangun dari tidurnya. Mesti nanti dia bising pada aku sebab keluar lama. Aku nanti buat pekak sahaja.

Seminggu dua ini dia asyik mengadu pening dan sakit bahu kiri.

Doakan aku tabah sahaja hadapi dugaan ini. Aku melayari hidup seperti tanpa semangat dan tidak nampak arah tujuan...