Khamis, 30 Disember 2021

Tatkala Telur Dipecahkan...

 1.14am....


tatkala memecahkan telur tadi aku teringat abah mertuaku. bila setiap kali aku dan istri ziarah ke sana, dia akan beriya iya suruh aku buat minuman sendiri. buat makan sendiri.

'megi pun ada Abu. masak la. bubuh telor... sedap'... sambil dia menggaru kepala dengan sikat di atas katil. itulah perkataannya selalu.

kini suara yang menyuruh aku masak itu sudah bertukar menjadi bahasa yang aku tak boleh nak fahami. 

muga anak perempuannya itu terus cekal dan kuat semangat menjaga abah. aku amat faham berat yang dipikul kerana aku juga pernah memikulnya. berat dan menguji kesabaran...



Selasa, 28 Disember 2021

Hepi Birthday, Along!

Baru ni Along balik dari KL. Kalau ibu_suri ada, mesti dia peringat aku bila hari jadi Along.  Aku mana la nak ingat tarikh lahir ni semua. Tarikh lahir aku sendiri pun lupa.

Along beriya nak beli kek. Rupanya nak selebret hari lahir dia. memang biasanya selebret kat rumah Angah sebab rumah aku tak ada siapa nak bersiap. Lagipun di rumah Angah meriah sikit sebab ada cucu 3 ketol tu...



Birthday yang ke berapa aku pun tak tanya. Sian Along!

Abah

Dulu bila ada kenduri kawen mesti ada kugiran sebagai penyeri hingga larut malam.

Abah aku kalau dapat peluang menyanyi memang tak sia siakan. Sengeh aje dia ambil mikrofon, balut dengan sapu tangan. Jaga suara ke atau jaga mikrofon supaya tak kena air liur ke ....wallahualam!


Aku nanti lari ke tempat lain. Semacam malu pula dengar suara abah sendiri. untuk rekod, abah aku memang suka musik dan lagu. Kalau tak salah, abah dan mak aku berkenalan dulu semasa malam persembahan pentas di kampung juga la.

Khamis, 23 Disember 2021

Mengadu Cinta...

Mengadu cinta yang masih belum penuh. Hanya 0.000 dan entah berapa sifar lagi. 

Tuhan, ampunilah aku. Bersihkan jiwaku. Luruskan perjalananku. Jauhi aku dari mazmumah. Berikan aku mahmudah.


Aku ingin habiskan sisa hidup ini dengan amal dan sikap yang baik baik. Aku tidak mahu yang mewah. Cukup sekadar apa yang ada dan yang menghiburkan jiwa.

Ampunkan aku, Tuhan. Ampunkan ibu_suriku. Berikan dia kelapangan di alam berzakh. Surga di akhirat sana.

Aku ampuni semua dosanya terhadapku biarpun yang payah apatah lagi yang mudah.

Janganlah kau biarkan airmata ini menitis atas kekesalanku kerana tidak menjaganya dengan baik semasa hidupnya yang masih, dahulu...

......sebak

ziarah ibu_suri

Kicau burung mencari rezeki. Temani aku merenung diri. Di sisi istri yang kini bersemadi. Mengadu kekosongan diri. Beban yang dipikuli. Kerenah anak yang di depani. Tidak kuat rasanya hati. Hanya kekuatan mental yang berbaki...



Semuga kau aman di sana. Walaupun aku tahu hakikatnya fana. Aku di alam baqa memohon doamu muga Allah luruskan perjalananku dan teguhkan jiwaku...

Khamis, 16 Disember 2021

Zaman Video 3G

Video ibu_suri ini diambil menggunakan talipon 3G - Sony Ericsson tahun 2008. di rumah penempatan sementara mertuaku di Taman Sri Nibong.

Di masa ini ibu_suri baharu sahaja discaj dari BM Specialist Centre (sekarang KPJ) akibat minor stroke. Dia baru saja pulih dari fasa Depresion dan beraleh ke fasa Bipolar Disorder. Di fasa Bipolar Disorder ini aku terpaksa ikut apa sahaja kemahuannya jika tidak mahu berlaku pertengkaran atau hal-hal yang diingini. Di fasa ini aku mulai merasai tekanan perasaan...



Tapi orang luar mungkin nampak aku macam ok je. Dan memuji aku kerana cool dalam menjaga kebajikan dia...

Ahad, 12 Disember 2021

Ziarah Pusara

Pagi ini sementelah berada di kampung kerana meraikan walimatul urus anak sulong arwah adikku Niza, aku singgah menziarahi pusara abah, Niza dan suaminya Din. 

Pusara abah:


Pusara Niza:


Pusara Din:


Muga Allah rahmati mereka, lapangkan kubur mereka dan tempatkan mereka di kalangan orang orang yang soleh...


Sabtu, 11 Disember 2021

'Hantu'...

Mohon dari sahabat bloggers, doakan kesihatan Along agar sembuh seperti biasa.

Sepanjang masa aku memikirkan tentang diri dia dan bimbang dengan segala kemungkinan.

Anak aku cuma ada 3 sahaja. Along adalah anak yang selalu support kewanganku.



Mutakhir ini aku merasakan Covid ini seperti 'hantu', sentiasa memerhatikan aku sedangkan aku tidak tahu dia memerhatikan dari mana.

Tidak cukup dengan nyawa ibu_suri, kini dia mengintai nyawa anak sulongku.

Aku berpesan pada Angah;

'Jaga pergaulan kamu di tempat kerja sebab ada ramai pekerja asing. Kamu ada istri dan anak-anak...'

Sabtu, 4 Disember 2021

Koleksi Album

Ini adalah laman tempat aku relaks kan diri. Dulu masa ibu_suri masih sihat, dialah yang selalu duduk sini menonton tv.

Sekarang aku yang ganti dia tapi lebih kepada dengar lagu sementara suara tv aku mute kan sebaliknya dengar lagu sahaja dari pemain cd di sebelah tv.

Dalam kabinet tu penuh dengan koleksi cd dan kaset aku sahaja.



Sebelah kiri sekali, koleksi album nasyid. Sebelah kanan sekali koleksi album bukan nasyid.

Laci tengah  kiri album nasyid inggeris dan album Hari Lebaran. Laci tengah kanan album Alleycats dan Sohaimi Meor Hassan.

Di tengah laci bawah, kaset nasyid OVA production. Laci dalam kontena kuning, kaset nasyid lama era 80 dan 90an. 

Di tengah atas kaset bukan nasyid.

Lagu Ebiet dan NadaMurni dalam kotak khas.

Almari tu dah terlalu sendat. Ada lagi koleksi cd Ebiet G Ade dan NadaMurni dalam 2 kotak A4 berasingan.

Koleksi aku sejak 1990. Aku anggar hampir 1,000 keping. Kalau sekeping harga rm30, ada nilai >rm3000 di sana.


Wow!

Khamis, 2 Disember 2021

Salak dek Anjing

Lagu ini mengingatkan aku di zaman sekolah rendah Seri Kepayang, Ipoh sekitar tahun 60an.

Jalan pintas pergi dan balik sekolah ialah dengan berjalan kaki melalui pekan Karut.

Deretan kedai dan rumah Cina di pekan kecil itu memang akan meriah dengan salakan anjing bila saja kami lalu. 

Di tangan memang siap dah genggam batu atau pasir bila saja lalu di situ. 

Bila saja ada bunyi salakan kami akan berlari lintang pukang sepanjang jalan penuh kulit kerang.

Lagu oleh Flybaits ini memang menghimbau kenangan...



Sepi

Baru 2 bulan ibu_suri pergi tetapi aku rasa seperti dah lama. Terasa hidup aku sepi dan kosong. 

Kekadang bila cuti hujung minggu aku seperti mati akal tak tahu nak buat apa. Kekadang habiskan masa dengan tidur atau baring dengar lagu. 

Nak berjumpa kawan kawan atau saudara mara seperti malas atau berasa macam akan mengganggu mereka.

Bimbang juga jika begini berterusan akan mengganggu kesihatanku.

Along pula bermula semalam kena kuarintin di pusat kuarintin MAEPS akibat contact rapat dengan rakan sekerja.

Akhmak pula dah jarang balik dan tidur di rumah. Tidak aku tanya pula dia tidur atau lepakbdi mana sebab aku tidak mahu menyesakkan dadaku dengan jawapan yang aku terima. Tapi aku boleh agak dia tidur dimana. Aku serahkan kepada Tuhan saja semua itu tentang dia.

Hati aku selalu sahaja resah atau tertekan samada pasal kerja, kerenah anak anak, sumber kewangan atau kekosongan.

Allah... Bantulah aku!

Khamis, 25 November 2021

Keikhlasan...

Menonton video ustaz Samsuri Ahmad ini, aku berani mengatakan bahawa aku telah cukup ikhlas mengahwini istriku dan setia hingga keakhir hayatnya walaupun terpaksa meniti pelbagai keperitan jiwa raga.

Banyak yang telah aku rakamkan kisah pahit manis perasaanku selama bersama ibu_suri tetapi lebih banyak yang cuma aku sahaja yang tahu dan simpan kemas kemas jauh ke lubuk hatiku tanpa sesiapa pun tahu melainkan Tuhan yang Esa.

Hari ini walaupun ibu_suri telah tiada, yang mungkin secara fizikalnya beban yang aku pikul dalam menjaganya sudah tiada, pergi bersama dia tetapi dia meninggalkan aku rasa sepi dan kesaorangan.

Bila aku rasa rindu aku ziarah pusaranya. Walaupun aku rasa sebak tapi aku cuba menahan kerana tidak mahu menangis di sisinya.

Aku tidak mahu mengadu akan kesunyian yang aku tanggung tetapi berdoa muga kuburnya diluaskan dan disinari cahaya oleh Allah.

Aku cuba melapangkan dadaku melepaskan dia pergi...


Foto ini kuambil semasa menziarahinya semalam...



Kesunyian dan kesepian ini tidak dapat di hilangkan walaupun oleh anak dan cucuku.

Benarlah kata blogger Mama Moden:

Isteri yang kematian suami masih boleh hidup sendiri tetapi suami yang kematian istri akan mengalami ketidaktentuan.

Ramai kawan kawan malah mak aku sendiri menyuruh aku mencari pengganti namun buat masa ini aku rasa biarlah aku sendirian.

Aku pernah memberitahu ibu_suri bahawa jika dia tiada lagi aku cuba untuk tidak mencari pengganti.

Apapun, aku masih berlapik kata... itu hanya Tuhan yang menentukan!

Rabu, 24 November 2021

Hari Tua

 Lama tak menulis. Harap sahabat blogger semua sihat.

Semakin masa berlalu aku semakin merasa sepi. Anak dan cucu tidak dapat membantu sepi ini. Terasa seperti mahu sahaja kembali pulang ke kampung dan menghabis sisa hidup di sana. Tetapi bila berada di kampung terasa pula ingin kembali ke rumah aku di sini sebab di kampung sunyi, tiada kawan atau suasana semasa aku kecil dulu sudah tiada. Rumah kayu dan pokok sudah tidak ada lagi. Semuanya berganti dengan rumah batu oleh generasi baharu.

Rupanya beginilah rasa hidup di hari tua. Sunyi. Seperti sunyinya dunia blogging sekarang ini. Ramai blogger lama menggantung keyboard mereka...

Selasa, 9 November 2021

Biarlah Ayah Berehat

Malam ini aku tidur di ofis kerja aku. Ntah kenapa aku tega berbuat begini. Yang mungkin pada sesetengah orang merasakan aku tidak sepatutnya berbuat begini.

Sebenarnya aku sudah terlalu letih. Letih dengan sikap A. Sedari kecil aku menjaga dia apa kerenah yang dia tidak buat terhadap aku. Malam ini sekali lagi yang mencabar aku selaku seorang bapa.

Aku pun tak tahu kenapa aku ambil keputusan keluar rumah. Mula ingat nak terjah lebuhraya sahaja balik kampung dan menenang diri disamping mak buat 2~3 hari. Tapi bila terfikir maslahat lain, aku bawa sahaja kereta ikut rasa. Terfikir isi minyak dulu.

Akhirnya aku ambil keputusan untuk pergi ke pejabat. Samada tidur atau sebaliknya itu biarlah masa yang tentukan. Esok pagi jika aku rasa ok, aku balik rumah. Mandi, salin pakaian dan pergi kerja. Jika tak ok...ntah!

Apapun aku nak rehat. Tak mahu susahkan fikiran, bimbang pada perkara yang tak tercapai oleh tangan. Apa nak jadi esok aku serah pada Tuhan.

Malam ini kalau boleh aku nak tidur di lantai sahaja. Harap aku lena hingga Subuh tanpa ada gangguan /$#@%.

Pasrah. Muga esok apa yang akan berlaku aku hadapi dengan tenang. Aku dah cakap kepada Along dan Angah bahawa ayah sekarang sudah tidak punya tanggungjawap berat lagi sebab semuanya telah pergi bersama ibu_suri.

Hal anak-anak ayah, biarlah anak-anak ayah yang urus sendiri. Kamu semua sudah besar dan matang sepatutnya.

Sekarang masa untuk ayah 'rehat' dan buat apa yang ayah rasa baik untuk diri ayah. Ayah mahu nikmati masa masa yang ada ini dengan sebaiknya dan dengan cara ayah.

Biarlah ayah bawa dan urus diri ayah. Jika ayah ada masaalah yang berat dan perlukan bantuan kamu, ayah akan beritahu.

Tapi seboleh-bolehnya, ayah tidak mahu menyusahkan kamu semua....anak-anak ayah!

Sabtu, 6 November 2021

Sindrom Parkinson

Aku tak ingat tarikh bila video ini aku ambil. Yang pastinya ialah ketika aku menghantar dia ke rawatan susulan di unit Psikiatrik, Hospital Besar Pulau Pinang. Masa itu Covid 19 belum menyerang negara kita.

Apa yang nak aku tunjukkan di dalam babak awal video ini ialah ibu jari tangan ibu_suri yang bergoyang di luar kawalan dia.

Keadaan ini berterusan walaupun selepas aku adukan kepada doktor. Doktor sarankan dia makan ubat urat saraf namun sindrom ini masih sama sehinggalah pergerakkan luar kawalan itu merebak hampir ke seluruh jari tangan kirinya.

Sampai ke satu tahap dia tidak boleh lagi memegang pinggannya sendiri ketika makan. Maka setiap kali dia nak makan aku perlu memegang pinggannya sehinggalah dia selesai makan.

Nasib baiklah ianya berlaku pada tangan kiri. Kalaulah di tangan kanan lebih susah dia sebab tidak boleh menyuap malan atau memegang apapun kerana semuanya akan terjatuh.




Jumaat, 5 November 2021

Hari Ulangtahun

Semalam, 4 Nov adalah tarikh ulangtahun ibu_suri.

Seperti biasa, sibuklah fb ulangtayang momen momen tarikh itu diraikan secara simple di kalangan aku dan cucunya.

Mungkin aku pernah rakam momen itu di dalam blog ini di tahun tersebut tapi tak mengapalah jika aku rakam sekali lagi untuk tatapan kalian.

Kalian boleh lihat sendiri bagaimana respon ibu_suri yang pernah mengalami minor stroke yang sekaligus memberi kesan kepada emosi dan karektornya...

Tahun 2015...



Tahun 2018...



Khamis, 4 November 2021

Cendol pekan Bukit Mertajam


Kalau ibu_suri teringin nak makan cendol,memang aku bawa ke kedai ini. Kedai ni bertempat di area bangunan MARA, pekan Bukit Mertajam. aku nanti beli semangkuk, tatang pi masuk dalam kereta dan teman dia makan sampai habis.

Ibu_suri tak boleh pegang mangkuk dengan baik sebab beberapa jari tangannya mengalami sindrom parkinson kesan terlalu lama dan terlalu banyak makan ubat.

Maka, aku kena pegang hingga dia selesai makan.

Lenguh tangan belah kiri, tukar ke tangan belah kanan. Walaupun ada orang perhati, aku buat tak tahu je...

Rabu, 3 November 2021

Senyap Yang Tak Boleh Diabaikan...

Pagi ini, buka saja fbku terpapar ulangan posting ucapan selamat hari lahir ibu_suri kepada saudara dan sahabat kami yang lahir di bulan November ini...




Sesekali rasa terubat juga perasaan kehilangan ini.

Silap juga dulu, aku tak muatnaik banyak-banyak foto ibu_suri semasa hayat dia.

Mungkin keistimewaan perempuan, ibu_suri memang ingat kesemua tarikh lahir adik beradiknya, anak buah malah kawan-kawannya.

Aku saja yang tak pernah ambil kisah bab tarikh lahir ni. Kadang kadang nampak rasa  kecil hati dia bila dia tanya:

Esok hari apa?

Aku jawap:

Hari Rabu...

Senyap ja dia. Senyap yang tak boleh di abaikan.

Maka bila begitu aku perasanlah...

'Selamat menyambut hari jadi, istriku...'

'Nak bagi hadiah apa?'

Adoi... ni yang buat aku 'susah hati'. Bercakap bab hadiah hari lahir ni aku bukan reti sangat. Tambah-tambah lagi perempuan. Hendaknya pulak istriku. 

Selama hidup aku sejak kecil di kampung tak pernah kenal bab selebret hari jadi. Bila datang Penang sahaja budaya ini aku kenal...

Isnin, 1 November 2021

Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung...5

lets end my journey. 

nanti malam boleh update semua entri ini ke dalam blog sambil baca baca kisah lama bersama isteri yang telah aku tulis sejak 2009. 

Memang beruntung kerana dilahirkan pada tahun 60an. Dapat merasai banyak nikmat perisian hidup...

https://hujan-petang.blogspot.com/search/label/ibu_suri?m=0





Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung...4

port terakhir singgahan. flush apa yang patut dan jama' mana yang masih dalam waktu

teringat di satu masa lalu, kereta aku dilanggar oleh pemandu mabuk tak jauh dari sini.

walaupun kereta remuk teruk mujur aku tidak apa apa. berkat dengar nasihat ibu_suri supaya aku memakai tali keledar walaupun asalnya aku malas nak pakai.







Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung...3

mendengar lagu dari penyanyi berdarah arab ni selalu mengingatkan aku pada abah.

muga abah, adik adikku 3 orang dan ibu_suri damai di alam barzakh sana...




Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung Semalam... 2

RnR sungai perak bukanlah port singgahan favourite aku tatkala otw balik atau pulang dari kampung. lebih suka singgah RnR gunung semanggol ni cari mi kari. tapi disebabkan aku dah makan tadi, aku minum sahaja di sini.

kereta nampak macam banyak tapi hakikatnya tak ramai yang dine-in.



aku ni kalau singgah mesti duduk minum paling kurang setengah jam.


Corat Coret Perjalanan Balik Dari Kampung Semalam...1

Teringin singgah sini. Lama tak makan ikan patin. Suka bahagian ekor, RM9 sekali dengan nasi. rasanya murah sikit dari masa aku pernah makan bersama istri dulu...

Betul la Hanz Kebek Kebek . makan sendirian ni rupanya kurang nikmat...



Khamis, 28 Oktober 2021

Sepasang Batu Nisan

Sabtu, 24 Oktober lalu, batu nisan yang aku terima telah siap. Aku ajak Akhmal untuk ke perkuburan ibu_suri untuk di tanam ke pusaranya. Aku memang tak larat nak angkat dan mencangkul tanah untuk menanam nisan tersebut. 

Akhmal mengajak kawan baiknya bersama.





Sewaktu aku hendak menempah batu nisan tersebut (yang nombor pembuat batu nisan itu aku dapat dari banner yang digantung di pagar Masjid Kubang Semang), aku minta pendapat anak-anakku, batu jenis mana yang mereka cadangkan.

Akhmal antara yang pertama respon mencadangkan supaya tempah jenis batu sungai kerana semasa hayat ibu_suri, beliau memang suka mengambil batu sungai untuk hiasan di taman kecil rumahku ini. Cadangan ini disokong oleh Along dan Angah sedangkan aku sendiri lebih suka nisan yang dibuat dari batu (kalau tak salah yang di impot dari Cina). Nisan itu lebih cantik buatannya.

Tapi tak mengapalah. Bukan isu besar sangat. Jadi aku akur sahaja dengan cadangan anak-anakku. Harga sepasang batu nisan sungai ini adalah RM380.

Semasa aku dan Akhmal menanam nisan ini, Pak Omar yang ditugaskan menjaga tanah perkuburan ini ada datang dan memberi beberapa panduan.

Kata Pak Omar, batu ini bukan sebenarnya dari sungai tapi dibuat dari konkrit seolah berbentuk batu sungai.

Barulah aku tahu. Tapi logik juga sebab mana nak cari batu sungai yang sebesar ini untuk memenuhi permintaan pelanggan sipembuat yang tentunya ramai. Maka, buat sendiri menggunakan bahan konkrit adalah yang lebih mudah.

Semasa si pembuat menghantar batu nisan ini ke rumah aku, sempat dia memberitahu bahawa bulan ini sahaja dia telah buatkan lebih seratus pasang batu nisan yang kebanyakannya adalah meninggal kerana kes Covid.

Bayangkan.. Itu baru di tangan dia. Bagaimana dengan di tangan pembuat batu nisan yang lain?

Ganasnya virus ini. Dulu aku hanya mendengar atau membaca sahaja tentang impak virus ini akan tetapi bila aku sendiri mengalaminya, aku dapat rasai ke'gerun'an ini.

Muga Allah jauhkan musibah ini dari keluargaku...


Biarlah Rindu Itu Berlalu...

 Pada 30 September lepas, aku telah pulangkan semula kerusi roda sumbangan dari AP Permatang Pauh akan ( tetapi belum sempat digunakan oleh ibu_suri ) serta beberapa pack lapin pakai buang bersaiz XL yang masih berbaki untuk di perpanjangkan sumbangannya kepada yang memerlukan.



Aku masih belum selesai samada menyimpan atau menyahkan pakaian atau peralatan yang digunakan oleh ibu_suri tetapi tidak dapat aku guna untuk diri sendiri seperti pakaian lamanya, gambar-gambar lamanya serta koleksi pemberian anak muridnya semasa menjadi guru Tadika Amal Rintis di sini.

Bagi aku yang berguna untuk aku dan keluarga, aku guna atau aku simpan sementara yang dah lusuh atau tak perlu aku simpan, aku buang sahaja.

Setengah orang suka menyimpan untuk dilihat selalu bila rindu sementara aku sebaliknya... tidak mahu dibebankan oleh rindu atau kesayuan.

Bagi aku yang pergi tetaplah pergi. Aku hanya berdoa muga Allah ringankan azabnya di'sana' jika ada dan diberikan Syurga di alam kekal nanti.

Namun sebenarnya doa dari anak-anaknya adalah lebih diterima Allah seperti doa kita terhadap ibubapa kita...

Ahad, 10 Oktober 2021

Uban

Ada satu hari tu semasa ibu_suri minta sikatkan rambutnya.

Aku sikat perlahan lahan supaya dia tidak terasa sakit di kulit kepala. Kalau dia merasa sakit, anginnya baleh naik secara tiba tiba. Naya nanti aku kena marah.

" You nak bunuh I ke? "

Pernah dia menjerit begitu satu ketika dulu sedangkan aku telah cuba menyikat rambutnya dengan sebaik mungkin. Rambut di bahagian belakang jadi kusut berpintal, mungkin sebab lama sangat berbaring.

Hati kecil aku tersentap juga bila yang bernama istri menginggikan suaranya terhadap suami. Aky cuba memujuk hati aku dengan memaafkannya dengan ikhlas.

" Kenapa you belek rambut I? Ada uban ke? "

" Mana ada. Rambut you hitam berkilat lagi. Rambut abang la banyak uban."

Sambil aku menunjukkan kepala aku kepadanya.

Memang rambutnya masa itu belum nampak ada uban namum tak lama selepas itu aku perasan ubannya mulai kelihatan.

Aku diam sahaja, tak mahu beritahu apa apa. Bimbang nanti hatinya terusik sekaligus akan membuatkan emosinya terganggu...


Jumaat, 8 Oktober 2021

Batu Nisan

Ada beberapa hal yang masih belum selesai berkaitan ibu_suri. Antaranya ialah menanam batu nisan di pusaranya.

Jujur aku katakan, hingga hari ini aku masih belum pernah ziarah pusara ibu_suri. Entah kenapa aku rasakan seperti tidak cukup kuat untuk menatapnya. Aku sekadar berdoa disetiap sujudku muga Allah lapangkan kuburnya dan tempatkan rohnya dikalangan mereka yang beriman.

Pun esok aku bercadang untuk ziarah juga dia. Ingin mengucapkan salam dan menyentuh tanah yang membaluti kerandanya.

Aku juga bercadang untuk berurusan dengan pembuat batu nisan yang aku dapat nombor taliponnya dari pemidang yang tergantung di hadapan Masjid Kubang Semang atau melalui Pak Omar, orang bertanggungjawap menjaga tanah perkuburan tempat ibu_suri disemadikan.

Tau tak, bila aku dapatkan sebut harga batu nisan dari pembuat itu lalu aku minta pendapat dari anakku, batu mana yang mereka cadangkan untuk aku beli, ini pilihan mereka yang di luar jangkaan aku...



Harganya sekitar rm380. Aku antara setuju dengan tidak setuju dengan cadangan ini.

Pusara abah aku juga dibuat dari batu sungai. Mak aku yang mahu dan dia ambik sendiri dari sungai di kampungku.

Esok bila aku ziarah pusara ibu_suri baru aku buat keputusan muktamad.



Isnin, 4 Oktober 2021

Cendol BM


Kalau ibu_suri teringin makan cendol, memang pi tang ni. aku nanti beli semangkuk, tatang pi masuk dalam kereta dan teman dia makan sampai habis.

Dia memang tak boleh pegang mangkuk dengan baik sebab beberapa jari tangannya ada sedikit sindrom parkinson.

Maka, aku kena pegang hingga dia selesai makan.

Lenguh tangan belah kiri, tukar ke tangan belah kanan. Walaupun ada orang perhati, aku buat tak tahu je...

Sabtu, 2 Oktober 2021

Al Aqsa

Aku kongsikan di sini keindahan Masjid Al Aqsa yang aku dapat dari kiriman grup telegram Hadis Palestin. 

Muga bermanafaat buat sekalian kita.


JANJI RASULULLAH MENGENAI PEMBUKAAN BAITULMAQDIS


Dari 'Auf bin Malik RA berkata: 

أَتَيْتُ النبيَّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ في غَزْوَةِ تَبُوكَ وهو في قُبَّةٍ مِن أَدَمٍ، فَقالَ: اعْدُدْ سِتًّا بيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ: مَوْتِي، ثُمَّ فَتْحُ بَيْتِ المَقْدِسِ، ثُمَّ مُوْتَانٌ يَأْخُذُ فِيكُمْ كَقُعَاصِ الغَنَمِ، ثُمَّ اسْتِفَاضَةُ المَالِ حتَّى يُعْطَى الرَّجُلُ مِئَةَ دِينَارٍ فَيَظَلُّ سَاخِطًا، ثُمَّ فِتْنَةٌ لا يَبْقَى بَيْتٌ مِنَ العَرَبِ إلَّا دَخَلَتْهُ، ثُمَّ هُدْنَةٌ تَكُونُ بيْنَكُمْ وبيْنَ بَنِي الأصْفَرِ، فَيَغْدِرُونَ فَيَأْتُونَكُمْ تَحْتَ ثَمَانِينَ غَايَةً، تَحْتَ كُلِّ غَايَةٍ اثْنَا عَشَرَ أَلْفًا.

Aku datang menemui Nabi SAW ketika terjadi perang Tabuk dan baginda sedang berada di dalam sebuah khemah yang terbuat dari kulit. Lalu baginda bersabda: Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang Hari Kiamat iaitu:


1. Kewafatanku.

2. Pembukaan Baitulmaqdis.

3. Kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba.

4. Melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar namun dia tidak menyukainya.

5. Timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab melainkan ia akan memasukinya.

6. Akhir sekali perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan Bani al-Asfar (bangsa rambut kuning iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah 80 panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada 12,000 tentera. 

HR AL-BUKHARI


sumber:

Hadis Palestin 🇵🇸

t.me/hadispalestin

Jumaat, 1 Oktober 2021

Foto

Aku abadi kan foto ibu_suri ( berdiri kanan ) di sini.

Foto ketika bersama sama dengan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang melakukan lawatan ke Hospital Pulau Pinang sekitar tahun 90an.

Yang Di Pertua JIM ketika itu adalah Dr Danial Zainal Abidin.


Foto ini aku terima dari sahabatku Arif Budiman atau Tokcik yang juga blogger Warna Nostalgia.

Mari Benahi diri

Tingkatkan azam untuk teruslah perbaiki diri. Masa semakin tidak cukup untuk kita berbual amal. Mari benahi hati dan diri...



Catatan 9 Tahun Lalu

Catatan aku 9 tahun yang lalu, hari ini muncul di laman FB. Senyum sendirian aku.

Kini, ibu_suri pun sudah tiada. Tinggal aku sendirian mengurus diri.

Tidak sama adanya anak anak dengan adanya istri di sisi walaupun sekadar terbaring di katil.

Sepi kian mencekam...



Khamis, 30 September 2021

Ziarah Oleh Adik

 Aku simpan di sini, gambar dari instagram adikku Matun. Mereka pernah ziarah ibu_suri sebelum dia meninggal dunia dengan anak saudara yang lain pada 22 September










Boleh dikira mereka beruntung sebab sempat melihat ibu_suri sebelum nafas terakhirnya. Boleh lihat wajah ibu_suri seperti tidak respon atas kehadiran mereka. Masa ini ibu_suri memang banyak diam dan kurang senyum...

Ikan

Jadilah seperti ikan. Tidak terjejas diri dan kehidupannya walaupun berenang di dalam air yang kotor seumur hidup.

Sekadar renungan pagi ini...

Isnin, 27 September 2021

Bebas

Alhamdulillah, aku dah disahkan bebas Covid semalam. Barulah berpeluang jumpa cucu di rumah Angah walaupun sedaya upaya cuba mengelak dari menyentuh mereka buat beberapa masa ini.

Dan hari ini aku akan mula sibuk menguruskan hal hal yang berkaitan dengan ibu seperti urusan JKM, Tabung Haji, BSN, Pejabat DUN dan lain lain.

Aku juga memulangkan semula kerusi roada ibu_suri yang telah disumbangkan oleh ahli parlimen Permatang Pauh tapi tak sempat digunakan. Juga memberi mereka baki sumbangan lampin lupus ibu_suri yang masih ada dalam 6 pack ( x8 keping ). Muga boleh dimanafaatkan oleh orang lain yang lebih memerlukan.



Khabar Buat Ibu

Lagu ini sebenarnya dulu aku tujukan kepada emak; nak ceritakan tentang istriku. Akan tetapi hingga ke sudah mak aku tidak tahu dan begitu juga istriku.

Semuanya aku simpan kemas kemas ke dalam sanubari atas alasan yang cuma aku sahaja yang tahu. Cuma sesekali aku nyanyikan di tepi dia sambil memegang stereng kereta.

Kereta Viva yang aku beli pada tahun 2013 memang khas untuk kemudahan membawa dia ke rawatan klinik/hospital juga membawa dia berjalan jalan berjam jam hampir setiap malam tanpa gagal demi melayan emosinya...



Ahad, 26 September 2021

Tidurlah Permaisuri

Ini pun salah satu lagu yang selalu aku pilih bila istri nyanyikan bila susah tidur malam.

Siap minta aku tepukkan pinggul dia sepertimana maktok dia tepukkan ketika dia kecil dulu.

Terasa macam keanak anakan pula aku ni namun aku layan sahaja kehendak dia.

Pun akhirnya dia ketawakan aku bila terbatuk batuk dan tercungap cungap mengontrol nafas sebab octave suara aku kelaut.

Lagipun dah jauh malam. Apa nanti kata jiran sebelah...


FB: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10227061511988814&id=1386049962

Sabtu, 25 September 2021

Hantu

Aku pernah berkata dengan sahabat atau saudaraku bahawa kekadang aku merasakan Covid ini seperti hantu.

Mungkinkah ini yang dikatakan fobia?

Bila diketika aku merasakan badan lemah dan mengantuk, aku tertanya tanya: adakah aku positif?

Tapi aku ada selera makan rasanya cuma tak puas sebab tidak boleh mengunyah makan dengan sempurna seperti sebelum akibat masaalah gigi yang goyang dan akhirnya tercabut sendiri (radang gusi).

Bila rasa macam susah bernafas aku check guna oximeter, bacaan ok je.

Rasa macam virus itu ada dimana sedang memandang aku dengan ganasnya.

Kekadang aku rasa macam seperti hari hari biasa tenang dan normal tapi bila masuk ke bilik aku sedar ibu_suribsebenarnya sudah tiada. Bilik terasa amat kosong tiada isi.

Sekarang ini aku lebih suka dengar cd atau kaset bacaan Quran atau mainkan zikir dan selawat.

Kekadang terasa aku nak jual majoriti cd lagu dan simpan hanya nasyid yang retro, yang lebih memberi rasa keinsafan diri berbanfing nasyid zaman sekarang yang tiada roh sebagaimana nasyid NadaMurni atau EL Suraya.

Kekadang aku berasa nak berjoggung di Mengkuang Dam sendirian, bersunyian dengan alam...


Ucapan Takziah

Di sini saya kongsikan ucapan takziah dari saudara mara dan rakan taulan lewat pemergian ibu_suri baru baru ini.

Letak di sini sekadar memorikan sahaja agar tidak hilang di awan dan akan saya rujuk bila laang dan teringat kepada sidia yang telah menjadi teman hidupku sejak 1986~2021...

Dari Baharom Mohammad (Hitach):


Dari abang Lan ( abang sulong ibu_suri ):


Dari blogger MAMA MODEN:




Belum Boleh Dine In lagi...




Awal pagi aku dah bersiap nak ke mini stadium jalan betek pekan Bukit Mertajam walaupun tarikh yang ditulis dalam surat adalah 26hb. 

Semalam pihak KKM menalipon aku. Bukan main senang dalam hati sebab dah lama beno aku terkurung dalam rumah. Hendaknya pulak ibu_suri dah tak ada. Teramat lengang rasanya suasana dalam rumah. Kalau ibu_suri masih ada paling tidak aku sibuk jaga dia.

Macam sebelum ini juga beratur panjang bumper to bumper. Sabar sajalah sambil memasang angan jika dah potong gelang nanti boleh la aku dine in. Lama beno tak ngopi, relaks relaks kat kedai Tok tepi masjid Kubang Semang.

Sampai giliran aku di check point kedua selepas mengesahkan nama dan no mykad di check point pertama. 

Aku turunkan cermin tingkap kanan. Staf KKM datang dengan appolo suit biru memegang batang putih persis batang cotton bud...

. Encik angkat muka, pandang depan.

Aku ikut aje arahan. Tiba tiba... psstt...psstt...

Dan dan pedih lubang hidung. Mak aiii...

. Ok, dah. Sila ke depan

Aku menekan pedal minyak sambil tangan kiri memicit micit kelopak hidung. Pedih ...pedih...mata tiba tiba berair. Pejam celik pejam celik mata aku sambil memegang stereng kemas kemas.

. Dok picit picit hidung tu, habis dah kot.

Aku terdengar sayup suara staf di hadapan.

Aku terus menekan pedal minyak perlahan lahan sambil picit hidung kesat air mata.

Di check point ketiga aku diberitahu untuk datang pada esok jam 4 ptg jika tiada panggilan dari KKM.

Adoi... Ingatkan hari ni dah potong gelang tapi rupanya belum bebas lagi...

Balik rumah, berkurung lagi la nampaknya. Nasib! Nasib!

Hatiku Luka Lagi

Beberapa bulan sebelum ibu_suri 'pergi', hampir setiap malam dia akan minta aku perdengarkan lagu ini just untuk hiburan sementara kami nak lelap mata.

Lagu ini kegemaran aku sebenarnya sejak bangku sekolah. Jadi aku selalu la pasang sementara nak tidur sampai cucu aku pun komplen... 

. Tok ayah ni, asyik pasang lagu Hantu Kak Limah je. Pasang la lagu lain.

Ha...ha...


Ada juga la lagu lagu lain yang ibu_suri suka dengar seperti Alleycats dan Hindustan ( terutama dari filem SANGGAM Lagu lagu ini memang favourite dia.

Sesekali dia mengeluh...

. Dulu I tahu nyanyi lagu lagu ini. Sekarang I dah lupa. Kenapa?...

Dan ibu_suri mula sebak.

Ibu_suri memang tahu sedikit sebanyak bahasa lirik lagu Hindustan sebab tok tiri ibu_suri adalah seorang Pakistan dan fasih berbahasa Urdu.

Jumaat, 24 September 2021

Tahlil Online Untuk ibu_suri

In sya Allah, esok. Sahabat sahabat dalam grup telegram NADAMURNI akan mengambil inisiatif melaksanakan majlis tahlil secara online jam 9.30 malam.



Aku amat berterima kasih kepada mereka atas usaha ini dan menghargai penghormatan ke atas diriku yang mereka anggap sebagai otai dalam memiliki banyak koleksi kaset dan cd nasyid era 90an termasuklah NadaMurni.

Sekali lagi terima kasih buat mereka terutama Afif Faisal yang lead program ini.

InsyaAllah, kita jumpa pada Jumaat malam Sabtu, jam 9.30 di Google Meet apps...


Khamis, 23 September 2021

Beruntung

Pada aku sahabat ibu_suri yang bernama Syikin ini amat beruntung kerana dapat mimpikan ibu_suri walaupun dalam suasana yang mungkin tidak menyenangkan perasaan...


Sedangkan aku suaminya tidak dapat pertanda apa apa melainkan mempunyai harapan atau firasat yang ibu_suri akan discaj tidak lama lagi.

Bayangkan pagi nurse menalipon aku minta hantarkan lampin ibu_suri kerana di wad tidak ada yang bersaiz XL.

Aku cepat cepat suruh Angah pergi hantarkan ke wad.

Belum sempat Angah sampai ke hoapital, doktor menalipon aku memberitahu bahawa ibu_suri sudah tiada. 

Menurut nurse pagi itu mesin pemantau Oksigen ibu menunjukkan paras normal. Tiba tiba saja di sebelah petang paras Oksigen dia merudum jatuh dan akhirnya...

Video Pengkebumian ibu_suri

Lagi video penuh proses pengkebumian ibu_suri di tanah perkuburan Taman Guar Perahu malam tadi - 22 September 2021 sekitar jam 10.00 malam.

Video diambil dari jauh sahaja kerana selain dari petugas KKM dan JPAM, tiada siapa yang dibenarkan mendekati kawasan pengkebumian.

Video diambil oleh Roslan, adik Ayu (istri Angah).

Di bawah ini pula video yang dikirimkan oleh Wanny adik Ayu. Van jenazah membawa ibu_suri dari Hospital Bukit Mertajam ke tanah perkuburan.



Persemadian ibu_suri

Sekarang aku berada di tanah perkuburan Taman Guar Perahu.

Memerhati dari dalam kereta sahaja proses pengkebumian ibu_suri dilaksanakan.

Aku tak dapat lihat dengan jelas pun proses pengkebumian berlansung.

Ralatnya hatiku Tuhan sahaja yang tahu. Sejak dia dimasukkan hospital, aku lansung tak boleh tengok dia. Di bilik mayat hanya Angah sahaja yang boleh tengok mewakili keluarga sebagai pengecam mayat. Aku dilarang sebab masih pakai gelang.

Di perkuburan aku cuma tengok dari dalam kereta. Apalah sangat yang nampak.

Pendekkata, last aku lihat dia adalah semasa dia dibawa ambulan dari rumah pada Isnin minggu lepas. Selepas itu aku hanya berhubung dengan doktor ataupun nurse.



Wajah ibu_,suri selepas selesai ditayamum dan dikafankan. Aku suruh Angah ambil gambar dia untuk aku tatap buat kali terakhir.

Aku letakkan di sini supaya kekal dalam simpanan memori.

Hanya yang membaca cacatan ini sahaja yang bertuah dapat melihat wajah ibu_suri. Aku tidak paparkan di mana mana kecualu grup wasap keluarga...




Doakan ibu_suri diterima semula oleh Allah. Aku redha atas pemergiannya dan mula rasa kehilangannya...


Rabu, 22 September 2021

Doktor Call

 Dalam pukul 4 pm tadi doktor tiba tiba call aku. Memaklumkan ibu_suri dalam keadaan tenat. Doktor minta aku segera ke hospital.

. Doktor, saya pakai gelamg pink. Boleh ke?


Oppss... Sat ada call masuk.


Apapa nanti aku update.

Selasa, 21 September 2021

Bila Dah Berjumpa

Terbaca status dari fb anak menakan di sini:

Sharodiyana Shapiee

.

' Only an aunt can give hugs like a mother ,

keep secret like a sister,

share love like a friend , 

and a heart thats made of gold .

lucky to have 6 of you.

Haji Zainal Girls 🥰 '







Adik beradik perempuan ibu_suri datang ke rumahku setahun lalu ( 21 Sep 20 ), ziarah adik/kakak mereka.

Masa ini ibu_suri dah tak boleh berjalan. Dah lama tak jenguk abahnya di Bukit Gelugor seperti rutin setiap minggu sebelum ini.

Biasalah anak anak mami penang ni. Kalau dah jumpa riuhnya macam nak perang dunia ke 3.