Sabtu, 28 November 2009

Aidil Adhaku

Aidil Adha kali ini kebetulan jatuh pada hari Jumaat. Aku beraya di Air Itam, rumah Tok Ba. Bersama bapa mertua dan 2 birasku, kami pergi ke Masjid Negeri untuk solat Jumaat. Dah lama tidak ke sini bersolat. Ada lanskap air terjun, baru di bina di tangga masuk utama masjid.

Aku selalu berada di sisi bapa mertuaku, memimpinnya menaiki tangga, ke tandas dan mengiringi masuk ke masjid. Sudah tua dia. Umur pun mencecah 80an. Jalan pun dah terkengkang-kengkang kerana sakit lutut.

Sebaik sahaja azan berkumandang, usai solat sunat khatib pun memberi salam di mimbar. Aku mengambil posisi tengah tepat mengadap kiblat.

Aku nak dengar khutbah kali ni, betul-betul. Tak mahu tertidur, bisik hatiku. Masjid Negeri, khutbahnya mestila ada kelas, gitu.

Tapi terkaan aku meleset. Sudah 49 tahun tolak 15 umur akhil baligh, tiap kali raya isi khutbah asyik ulang kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Walaupun bacaan khatib begitu baik, nada suaranya begitu bersemangat namun sedari mula khutbah hingga tamat amat sedikit pengisian baru yang dapat menjentik hatiku untuk dibawa pulang.

Ditambah pula dengan sistem audio yang membingitkan dan bertimbal balas. Aku hampir tidak dapat menangkap butir bicara khatib. Agaknya kerana dewan ini tertutup untuk hawadingin menyebabkan zarah-zarah bunyi berlegar di dalam dewan dan tidak boleh lepas keluar. Lagipun dinding dewan solat ini diperbuat dari batu yang keras dan tidak mesra bunyi. Perlu banyak diletak tirai kain atau papan untuk penyerapan bunyi lebih baik.

Aku teringat pesan Dr Danial semasa aku menjaga sistem audio di ceramah mingguan Tapian Gelanggang, Batu Uban beberapa tahun lalu. DD selalu bertanyakan bagaimana respon anak muridnya tentang sistem audio hari itu. DD berpendapat bahawa sistem audio amat penting kerana jika sistem audio lemah biarlah sehebat mana penceramah, program hari itu akan jadi hambar.

Aku hanya sempat merakam pesan khatib tentang doa nabi Ibrahim kepada Tuhan agar dikurniakan anak yang soleh. Dan berkat dari doa itu beliau dikurniakan dengan anak yang soleh yakni Nabi Ismail. Khatib itu menyarankan para jamaah mengamalkan doa ini.

Selesai solat, aku sekali lagi iringi bapa mertuaku keluar dewan. Kelihatannya Gabenor Pulau Pinang juga berjalan turun ke kereta.

Apa-apa pun aku bersyukur kerana masih sempat beraya tahun ini bersama keluarga mertua. Tahun depan entah beraya dimana pula.

Tiba-tiba talipon aku bergegar. Terpapar di skrin nama adik aku di kampung!

Khamis, 26 November 2009

Baik Ada Makna Tuu...

Aku tak pasti samada benar dia tidak sembahyang. Cuma aku tak pernah nampak dia ke surau. Lazimnya kalau memang individu itu bersembahyang, paling tidak sesekali mesti terserempak.

Dia sering datang ke ofis aku. Samada untuk menghantar equipment untuk di calibrate atau sekadar berbual-bual. Dia tak minat bicara politik. Lebih-lebih lagi sejak PR ambil alih secara mendadak kerajaan negeri Pulau Pinang 2008. Pernah pagi itu dia menerpa aku di kantin;

“ Hah, puas hati sekarang. DAP perintah kita. Pakai la, sikit hari nanti nak azan pun tak boleh. Apa lagi nak berarak hari Maulud. “

Aku terkedu. Bukan kerana tak dapat nak bidas hujahnya tapi kerana aku tahu suasana itu tidak sesuai untuk berdebat tentang itu.

Bila dia datang ke bilik ofisku, topik perbualan aku selalu berkisar hal kerja. Hal adat resam. Lantaran dia orang Minang. Sikit-sikit aku sentuh bab berbuat baik. Bab perlunya kita berusaha memperbaiki diri. Dan bercerita tentang kisah hidupku dengan harapan akan menjadi iktibar kepada dia. Dan bab tugas sebagai hamba Allah. Begitu lebih baik kerana di situ ada persamaan. Ada titik pertemuan.

Lalu terkesimanya aku hari ini bila dia respon dari sikap aku selama ini berbanding lain-lain rakan sekerja yang menurutnya lebih banyak menghentam dari berbincang secara positif.

“ Pernah masa saya pergi berubat isteri saya, ustaz itu berpesan pada saya sebelum saya balik. Dia suruh isteri saya sembahyang. Saya rasa cukup terkesan. Ustaz tu kata lagi, syaitan bila berada dalam diri orang yang kurang ibadat seperti anak kecil yang berada di dalam ruang tamu rumah yang lapang. Anak ini akan berlari ke sana kemari dengan gembira.

Syaitan itu juga pandai. Bila telinga kita diperdengarkan dengan ayat Quran, dia lari ke kaki. Bila kaki kita dipicit dan dibaca ayat Quran dia lari ke tangan. Puncanya kerana di dalam diri kita tidak ada pendinding. Tidak selalu membaca atau dibacakan ayat Al Quran. “

Ujar aku lagi, “ Saya pun bukan la kuat rajin sembahyang sangat. Tapi ini untuk ingatan kita berdua juga. Manusia perlu kepada Tuhan. Dan Tuhan hanya akan kasih pada mereka yang buat baik kepada dia. Sembahyang itu adalah salah satunya. “

Aku dapat lihat air mukanya sedikit merah. Aku cepat-cepat melapik perbualanku dengan memohon maaf jika dia terasa. Saya bercakap untuk diri saya juga sebenarnya, ujarku merendah diri.

“ Tak apa. Saya faham. Sebenarnya saya lebih suka berbual dengan kamu sebab kamu open. Betul ni. Sebab itu saya tak suka berbual dengan depa nu sebab depa asyik kerja hentam aje. Saya tahulah saya ni kurang amal ibadat. Tapi depa nu yang tungang terbalik pun belum tentu masuk Syurga. “

“ Betul. Saya tak bohong. Saya lebih selesa sembang dengan kamu. Kamu orang baik dan open minded. Susah la nak cari orang baik macam kamu. "

“ Baikkkkk… baik ada makna tu….. “ Aku akhiri perbualan itu dengan jenaka. Begitulah selalunya kami. Sesekali berjenaka juga ala-ala P Ramlee.

Rupanya, untuk berdakwah tak semestinya di atas pentas atau di masjid. Di depan mata sendiri. Di tempat kerja ada ramai sedang menunggu untuk di dakwahkan. Cuma kita kekadang tidak nampak dek kerana egois yang tinggi. Bimbang jika itu yang dimaksudkan dengan 'sebesar zarah' lalu tidak di izinkan Allah masuk Syurga.

Ada seorang lagi yang sedang menjadi targetku. Jika ada ilham nanti aku cerita…

Selasa, 24 November 2009

Mee Udang Juru

Bukan mudah untuk melalui cuti hujung minggu dalam keadaan diriku sekarang.

" Kita nak pi mana esok? " Soalan biasa ibu_suri sebaik sahaja selesai solat Maghrib.

" Ha, you teringin nak makan apa? " Aku cuba mencari idea bila tidak tahu kemana lagi hendak kubawa ibu_suri jalan-jalan. Rasanya sudah hampir semua tempat yang aku tahu dan aku mampu bawanya berjalan. Terperuk sahaja di rumah selama 5 hari bekerjaku meyebabkan dia mahu aku membawanya bersiar-siar merelease tension bila saja ada peluang dari cutiku.

Walaupun sudah sudah ada kesepakatan untuk kemana hendak pergi, kesabaran masih tetap perlu dibekalkan secukupnya.

" Kita pi ikut jalan lama, ya! "

" Kita ikut highway la. Jalan lama takut tak sempat. " Aku cuba bertaici. Huu... jalan lama waktu-waktu begini pasti terkendon kaki menekan klac dan brek kereta.

Sebaik saja ternampak papan tanda JURU aku memutar stering ke kanan.

" Kita solat Asar dulu, ya! " bila saja ternampak menara Masjid Kampung Sekolah Juru.

Perkarangan masjid luas tapi lanskap luaran dan dalamannya sederhana sahaja. Masjid kampung, kira ok la. Aku pernah singgah solat di sini awal tahun lalu.


























"You nak makan apa? "

" Mee Udang la.. you niii... " Aku segera memegang dagu. Silap teknik da...

" Mee ketam satu berapa? "

" RM45! "

" Haa... biaq betoi. Errr... Mee udang satu. Mee lakna satu. Fresh orange, ais bandong dan air suam. "



























Sengaja aku minta mee yang lain dari ibu_suri. Aku malas nak kopek udang sebab itu aku order mee lakna yang ada banyak sayuran.

Sesekali aku melempar pandangan ke luar panorama Restoran Nelayan Kuala Juru ini. Banyaknya kulit kerang hinggakan timbunannya menjadi tambakan tebing laut.

Betapa enaknya makan di tepi kuala sungai ini. Dengan angin yang bertiup sepoi bahasa. Sesekali terdengar cebur air yang ditungkah bot nelayan. Sesekali kedengaran derai ketawa nelayan yang sedang berbual di atas jeti menampakkan kemesraan sesama mereka. Aku menumpang rasa tenteram mereka itu. Esok entah bagaimana jadual hidupku. Aku pasrah sahaja pada Tuhan.



























Aku tiba-tiba teringat kan rakan-rakan JIM yang pastinya sedang sibuk dengan program remaja, ihtifal tadika dan ziarah hospital sedangkan aku ...

Sabtu, 21 November 2009

Slow & Steady

Dia menguak pintu bilik ofisku. Jarang sekali dia masuk. Cuma akhir-akhir ini. Sejak dia mula mengambil alih tugas menyelia ME Linear group sekaligus para juruteknik. Dan selalu melekap di meja sebelah cermin bilik ofisku ini. Dan dapat menyaksikan setiap perlakuanku di sini.

" Why you come late? Now what time? "

" Relaxs la brother. My job start at 10.30am maaa... "

" Ye la... but you must on the light at 8.10am. Otherwise people thought you are not coming or what. Today no 5S cleaning ka? "

" Wait la.. I just on my pc and listing what I should do today. The cleaning song also not hear yet. "

" We must dicipline you know. Must improve attitude. "

Ha..ha..ha.. Aku tak berani ketawa di luar cuma dalam hati kerana aku tahu cakap-cakap dia itu betul tapi dia pun 2X5.

" Nobody perfect la. If you good in this task not means you also good in another task. "

" Ye la... ha..ha..ha.. " sambil dia menutup pintu, keluar.

Takda kerja ke si tambi ni, kacau aku pagi-pagi lagi.

Tapi memang betul aku selalu masuk lewat ke ofis. Scan In tu awal. Malah mungkin lebih awal dari sesetengah rakan sekerjaku yang tinggal dekat tempat kerjaku. Cuma seronok berborak kat kantin. Bos pulak tak kisah.

Tapi aku akui budaya ni kurang sihat. Aku cuba juga nak kontrol. Kekadang tu berjaya. Tapi banyak kadangnya, kantoi. Bila dah berumur ni, tak mahu fikir banyak-banyak. Lets make the job enjoyable! Slow & steady je...

Tapi bila cukup je bulan, gaji tak boleh slow. Mesti dapat ke tangan on time. Arrgghhh...

Rabu, 18 November 2009

Berpusing

Tatkala aku terbongkok-bongkok memutar spanar, terasa seperti hendak tumbang. Aku pegang bumbung kereta dan bersandar. Seketika Angah datang.

" Mai ayah, Angah buat. Tayar mana yang pancit ni? "

" Sini. " Aku menunjuk dengan kaki. Tak daya rasanya aku.

" Ayah rasa kepala ayah satu macam. " Gelap malam lebih menyukarkan aku untuk masuk ke rumah. Berpapah aku pada pintu pagar dan jeriji.

" You kenapa ni? " Heran ibu_suri melihatkan aku terhuyung-hayang. Aku meletak badan aku perlahan-lahan ke lantai. Baring. Aku lihat siling rumah berpusing-pusing. Bunga-bunga yang melekap di dinding juga begitu. Lampu dan bingkai gambar. Berita Utama tv3 aku dengar sayup-sayup di kejauhan. Tuhan, apa yang telah berlaku ini?

" You ni. Cakap la pasai apa. You jangan sakit. I sakit tak pa. " Goncangan dari ibu_suri tidak aku pedulikan. Aku memejamkan mata. Aku seperti nampak semuanya. Semua yang belum siap. Amalan. Tugasan. Tanggungjawap. Aku nampak semuanya. Semuanya yang seperti akan kutinggalkan. Isteri. Anak. Rumah. Adik-beradik. Kawan-kawan.

Aku tidak pernah rasai ini semua sebelum ini. Cuma pernah dengar dari mulut orang yang mengalaminya. Apa yang telah aku tersilap makan? Sakit apakah yang ada dalam tubuhku ini yang aku tidak ketahui?

Tidak lama, aku masuk ke bilik. Aku tidak peduli semua yang berada di luar dari diriku. Aku takut pada segala kemungkinan yang menerjah kotak fikiranku.

Aku cuba untuk tidak mahu tidur. Bimbang aku kiranya nanti tidak akan dapat bangun lagi. Tidak dapat melihat matahari pagi. Tidak dapat melihat bulan dan bintang. Dan yang pastinya aku takut untuk bertemu dengan Mungkar dan Nangkir.

Dapat aku rasakan ibu_suri menyelimuti tubuhku. Satu-satunya belaian ibu_suri yang sudah lama tidak aku nikmati.

Entah bila aku terlena. Cuma yang aku perasan ialah gambaran ibu_suri yang duduk di sisi persemadian abah tatkala aku ziarahnya di kampung baru-baru ini!