Ahad, 28 Februari 2010

Takut Hujan

Dalam misi balik kampung semalam aku sempat singgah di rumah saudara kepada ibu_suri. Rumahnya cuma di belakang masjid lama Gunung Panjang, Gopeng.

Yang menarik perhatian aku ialah projek ternakan kambing yang diusahakannya. Tatkala aku masuk saja ke kawasan pagar rumah terdengar riuh rendah bunyi embikan sekalian kambing.


" Pasai apa depa buat bising tu, bang? "

" Mesyuarat Agong, agaknya. Macam mesyuarat koperasi yang kita pegi, ari tu.. " Aku merujuk pada satu mesyuarat koperasi yang pernah aku hadiri tahun lepas. Riuh rendah bila membincangkan agenda kewangan koperasi. Sampai nak baling kerusi.

" Kambing-kambing tu bising bukan apa. Deme nak makan daun kelapa sawit. Jadi, tu tengah tunjuk perasaan le tu. Lambat sikit hari ini pekerja saya bagi makan hari ni. Deme tak mau makan daun lain. Kalau pagi makan pelet ( dedak ), tengahari mesti makan daun kelapa sawit, petang pulak makan daun napia. " terang Nor Azizah, isteri saudara ibu_suri itu.

" Agaknya sedap daun tu ya. Lemak kot.. "


" Gamaknya le.. "

Dan memang betul lah. Tak lama lepas tu senyap sahaja kambing-kambing tu selepas diberi makan daun kelapa sawit. Aku ralit memerhati pekerja-pekerja Indon melayan kerenah kambing-kambing itu.

" Sekarang ni pasaran kambing kurang. Susah nak bisnes. Kos makanan kambing sahaja RM2000 sebulan. "

Tapi bela kambing bukan saja boleh jual daging malah susu dan tahi kambing juga boleh dijual. Agaknya kalau bau dia wangi, bau kambing pun boleh jual.


Aku cuba bayangkan kalau aku senasib dengan pekerja Indon itu. Hasrat untuk mencari hujan emas di rantau orang, rupa-rupanya yang ada tahi kambing.

Khamis, 25 Februari 2010

Kemana Aku, Esok?

Di tempat kerja tadi, beberapa orang bertanyakan aktiviti aku esok. Mungkin mereka menjangkakan aku akan pergi ikut berarak sempena Maulidur Rasul. Atau mereka mengagak aku akan bersama dengan kawan-kawan mengadakan ceramah.

" Esok insyaAllah nak balik kampung ziarah mak. " Ujarku memberitahu. " Udah lama tak ziarah mak. "

" Pergi dengan ibu_suri ke? "

" Ha...ah... Macam selaluu... " Selaku merujuk kepada agenda pulang ke kampungku sebelum ini jika ibu_suri ikut serta.

Pepagi esok bertolak. Mudah-mudahan sempat solat Jumaat di Masjid Al-Khairiah, kampungku itu. Kemudian ziarah kubur abah.

Sebenarnya ringan mulutku ini hedak bertanya pada mak.

" Mak, agaknya bagaimana mak mengharungi kehidupan dan menjaga kami sekeluarga semasa abah sakit dahulu? " Soalan ini merujuk kepada kisah aku dan adik-adikku masih di sekolah rendah sekitar 60an. Abah tiba-tiba menjadi tidak normal. Entahlah, hendak dikatakan akibat terlebih menuntut ilmu lewat peristiwa 13 Mei ketika itu, aku pun kurang ingat.

" Mak... saya dapat rasakan bahawa nasib mak ketika itu sama seperti nasib saya sekarang ini. "

" Bawa bersabarlah, IM... Tuhan tu Maha Kaya. Tak ada umat di atas dunia ni yang hidup tak ada masaalah. Semuanya perlu hadapi masalah itu. kalaulah ada orang yang hidup dengan tak ada masalah, mak rasa orang tu ada masalah... " Agaknya begitulah nasihat mak pada aku nanti.

" Hadapilah hidup ini dengan sabar. Hadapi ia satu demi satu. Habis hari ini, datang hari esok. Habis minggu ini kita lalui minggu depan. Tahun ini hingga tahun depan. Gitulah seterusnya. " Begitu nasihat yang selalu mak lumatkan ke telinga ku bila saja aku mengadu hal.

Kesian mak aku. Dalam kepayahannya menanggung kelumpuhan tangan dan kaki krinya, dia masih ambil berat tentang aku. Malah bila aku lama sikit tidak balik dia akan menalipon aku. Dan aku akan menjawap panggilan itu dengan penuh rasa serba salah.


Aku ingin contohi kekuatan semangat mak. Aku ingin teladani ketahanan mak. Pesan mak yang selalu aku ingat.

" Kita jangan banyak ragam. Jangan susahkan orang. Mana yang baik kita ikut sahaja. InsyaAllah, orang akan suka pada kita.

Ya... walaupun mak seperti sekarang ini, tapi mak tidak banyak menyusahkan anak-anaknya. Mak lebih suka berdikari...

Rabu, 24 Februari 2010

Kurang Satu

Ini adalah foto yang dikirim melalui e-mel oleh sahabatku berbangsa Cina. Senario yang berlaku di Perhentian Keretapi Negara Cina di minggu terakhir sebelum perayaan Tahun Baru Cina yang lalu.


Menatap foto ini kenangan aku terhimbau di peristiwa semasa balik berHari Raya di kampung kelahiranku Kampung Slim, Slim River. Sekitar awal 60an. Di masa itu mana ada bas ekspress melainkan apa yang diistilahkan sebagai bas lompat-lompat.

Keretapi adalah kenderaan balik yang menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia ketika itu hinggakan terpaksa berebut-rebut memasuki pintu keretapi sebaik saja ianya berhenti di platform tanpa mengira keselamatan.

Cerita beg pakaian hilang dalam kekalutan berebut-rebut masuk ini sudah jadi biasa. Terpaksa tidur dalam gerabak barang berteman pijat juga sudah biasa lantaran gerabak penumpang yang sudah sendat. Malah pernah satu ketika;

“ Mana Kedek? “ Mak bertanya pada aku sebaik saja kami semua berjaya masuk ke dalam gerabak.

Aku memerhati keliling mengira jumlah adik aku. Ya tak ya, kurang satu. Adikku yang nombor 2 tidak ada. Jenuh memerhati keliling, memang Kedek tak ada. Mak jadi panik.

Aku terlupa bagaimana akhirnya kami menemui semula Kedek yang rupanya berada di gerabak yang satu lagi. Dalam kekalutan berebut untuk naik itu tadi ada seorang hamba Allah telah mengangkat Kedek masuk ke gerabak berdekatan melalui tingkap!

Ahad, 21 Februari 2010

Ram Ram Pisang

Bebaru ini adik aku yang bekerja di PharmaNiaga, Shah Alam mengirim satu lagu melalui emel. Mendengar lagu itu hingga terkekek-kekek aku ketawa dibuatnya. Hilang sekejap resah di dada.

Lirik lagu itu memang membangkitkan nostalgia aku ke zaman masih anak-anak. Zaman aku dan adik-adik aku masih kecil. Zaman emak aku masih muda. Zaman bermain kondang-kondi, main aci nyorok dan main polis sentri. Era 60an.

Bila kami berkumpul di waktu malam, mak akan ajak kami bermain ram-ram pisang persis dalam lirik lagu ini. Siapa mulut tak diam mak akan cubit kami.

Aku cuba mencari klip video di dalam YouTube dan akhirnya temui ini. Dengarlah lagu ini dengan sabar.

(kuatkan suara pembesar suara )

Lirik lagu sebagai rujukan

Singgah bermalam rumah Pak Ude
Masaklah nasi sayur keladi
Biar papa asal bergaya
Asalkan senang di dalam hati.

Peram-peram pisang, pisang masak layu
Jatuh dalam lubang sambut bapa Yu
Umbut-umbut nyior belalang kedek-kedek
Siapa buat ingo ( bising ) orang tu kena cubit.

Dari Lambor pergi ke Bota
Singgah bermalam rumah Wan Lebor
Hajat hati minang anak dara
dapatlah janda rambutnya gugur.

Peram-peram pisang, pisang masak layu
Jatuh dalam lubang sambut bapa Yu
Umbut-umbut nyior belalang kedek-kedek
siapa buat ingo orang tu kena cubit.

Terjun dari gotak ( jambatan ) Bota
dapat sebiji durian dah mangkar
Kusangka air dalam belaka
jatuh tersembam di atas pasir.

Sabtu, 20 Februari 2010

Macet

Tidak tahu untuk menulis apa. Hidup ini memang macet. Macet yang tidak tahu untuk dihuraikan. Sekian lama aku hidup dan berjalan di atas kulit bumi ini. Banyak sudah bukit dan lurah aku lalui. Panas dan sejuk menjadi gebar di sepanjang perjalanan ini. Aku akur pada kata-kata emak satu waktu dulu;

" Kita ini baik sangat.... "

Ya... Agaknya aku ini baik sangat hingga menyusahkan diri sendiri. Terlalu mahu menjaga hati orang lain hingga akhirnya memenjarakan hati sendiri.

Hidup ini memang macet. Sepertimana macetnya lebuhraya PLUS Seberang Jaya dan Jambatan Pulau Pinang saban pagi tatkala melaluinya ke lokasi kerja. Alhamdulillah, buat setakat ini aku masih mampu mengawal emosi. Masih mampu menjaga batas-batas susila walaupun banyak kekadangnya terbabas. Masih juga mengingati Tuhan ketika baring dan berjalan.

Esok entah bagaimana susur galur perjalanan. Tidak nampak apa-apa. Tiada pelan apa-apa. Ada orang bertanya; esok kau mahu jadi apa?

... mahu jadi Kiyai..

Hah! Kiyai...? Sekarang pun engkau sudah berantakan.

... kenapa? Bukan mustahil kerana Tuhan itu kan Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tak perlu jadi Kiyai macam Nik Aziz. Jadi Kiyai dalam diri sendiri pun sudah cukup hebat...

Hum....

Selalunya, seusai sembahyang aku akan sujud semula dan berdoa;

" Ya Allah... Selamatkanlah aku di dalam perjalanan hidup ini. Berilah aku kesempatan untuk memperbetulkan diri, jasmani dan rohani ini.... "

I was here last 31st Jan 2010, Pantai Cendering. Looking for peacefullness...