Isnin, 31 Mei 2010

Pertanda Hidup Tak Lama

Aku sempat melihat semua ini. Dan aku kira ini mungkin satu pertanda yang boleh diambil kira. Dan boleh juga tidak!

Aku masih ingat semasa pergi menziarahi Mak Cikkepada ibu_suri yang baru sahaja keluar hospital di Sungai Ara. Umurnya sekitar 50an. Mengadu Mak Cik ini kepada kami;

"Aku ni teringin sangat nak minum ayaq tin. Depa tak bagi. Depa tak kesian kat aku."

"Kami bukan tak mau bagi Cik. Dia baru balik dari hospital. Ayaq tin tu gula dia tinggi. Tak elok untuk kesihatan Mak."

Sesekali fikit logik juga alasan yang diberikan oleh anak Mak Cik tu, kan! Ditakdirkan Tuhan, selang seminggu Mak Cik itu meninggal dunia.

Ziarah kedua ialah Mak Ngah aku sendiri yang terlantar di Hospital Besar Ipoh. Sebaik sahaja aku dapat berita Mak Ngah dimasukkan ke hospital, aku terus ajak ibu_suri balik kampung menziarahinya. Entah kenapa aku rasa bimbang kalau-kalau tidak 'sempat'.

Mak Ngah aku pulak mengidam hendak makan epal.

"Mak tu mana boleh makan benda manis ni. Doktor tak kasi." Terang Tin, anak lelakinya yang paling bongsu.

"Bukan aku minta banyak. Sepotong aje ha..."

"Sepotong ke sebiji ke tak boleh mak. Gula tetap gula."

Kalian tahu apa yang berlaku? Sebaik sahaja aku selesai ziarah, balik semula ke Pulau Pinang. Tapi belum sempat masuk ke dalam rumah aku mendapat panggilan Mak Ngah sudah pergi menghadap Tuhan. Bergegas pula aku dan ibu_suri balik semula ke Ipoh walaupun sudah dinihari.

Lantas bila ditakdirkan abah aku pula dimasukkan ke Hospital Tuanku Bainun, Ipoh akibat kegagalan buah pinggnag. Tanpa fikir panjang aku terus balik ke kampung. Sesampai di katil, abah sedang duduk. Muka abah berisi. Tembam!

"Abah macam mana?"

"Isyy... Aku tak de ape. Tak lama lagi boleh balik le. Deme ni ha... aku ndak benor minum teh. Tak dibagi dik deme."

Serta merta kenangan aku kepada semua peristiwa di atas menerpa benak.

"Nurse, Abah saya hendak minum teh tarik. Tak boleh ke saya bagi sikit."

"Sikit boleh. Biarlah, buat lepas gian dia tu.."

Pantas aku menalipon adik aku, Mamat.

"Mamat, kalau kamu datang tengok abah nanti belikan teh tarik kat kedai yang selalu Abah pegi tu. Tapi buat setengah cawan je. Abah ndak sangat minum teh tarik."

"Abah mana boleh minum teh tarik, Yop."

"Takpe. Abah tu dah tua. Bukan masa dia untuk pantang itu ini. Ini arahan Yop. Kamu beli je.."

Dan bila seminggu selepas Abah dibenarkan balik ke rumah, berita bahawa Abah juga pergi menyahut gilirannya mengadap Tuhan, aku tidak menyimpan rasa terkilan!
  • Abah walaupun kekampungan namun aku tetap menghormatinya!

Sabtu, 29 Mei 2010

Selagi Jarum Jam Tidak Bertemu

Akhir-akhir ini hampir saban malam Angah melatu aku dengan soalan: Bila lagi, ayah?

Aku cukup rimas. Anak aku yang seorang ini memang begitu sikapnya. Kalau hendak sesuatu itu akan diugunnya kita selagi tak dapat.

"Hang dah ambil kursus ke belum?"

"Belum!"

"Habis, takkan nak tunggu ayah pi carikan tempat kursus...." Sedikit @#$%^%$

"Dak la.... Angah tak nampak tarikh kahwinnya, jadi angah pun tak tahu nak start bila."

"Habis, semua nak tunggu ayah start baru hang nak start?"


Entahlah, hilang sabar pula aku dengan dia malam ni. Manalah fikiran aku serabut dengan soalan ibu_suri bertanyakan status bekas rumah sewaan mantan TKM1, Firdaus. Dia berangan-angan hendak buka tadika. Pantang lalu sahaja di situ dia akan bertanya aku dan mula bercerita tentang perancangannya untuk membuat banting, lanskap dan bentuk kerusi meja yang bakal menghiasi tadikanya itu.

Namun sebenarnya aku tahu bukan Angah sengaja bersikap begitu. Pastinya dia diomel oleh tunangnya. Dan tunangnya pula udah tak sanggup mendengar usikan atau sindiran dari saudara-maranya yang setiap kali bertandang ke rumahnya bertanya; Bila lagi kamu ni nak kahwin. Asyik berkepit je?

Huh! Anak kecil pun susah. Dah besar pun susah. Jangan pula bila dah kahwin pun masih memberi susah pada ibu dan ayah.

Sebenarnya aku keletihan kerana sedari pagi aku mengemas rumah. Jam 12 tengahri aku terpaksa pergi mengedar flyers WACANA HARI PEKERJA anjuran Kesatuan Ikatan Anak-Anak Perak yang mana aku adalah salah seorang AJK ke serata masjid di Kulim. Balik pula terpaksa membersih bilik tidur ibu_suri. 6 petang perlu keluar bawa ibu_suri makan dan bersiar-siar kerana duduk di rumah hangat, katanya. Biasalah ibu_suri; selagi jarum jam tidak bertemu di tengah malam, dia tidak mahu balik. Pendekata, malam ini Angah silap haribulan!

Sesekali teringat pula antara aku dengan emak dan abah. Agaknya beginilah yang mereka pernah tanggung ketika aku hendak kahwin dan sudah kahwin dahulu.

Rabu, 26 Mei 2010

Protes

Aku teringat semasa masih kecil sekitar 60an. Kehidupan yang susah. Kehidupan yang mana duit 1 sen masih boleh membeli seplastik air Lemonate atau ais kepal dari kedai Cina buat melepas dahaga ketika dalam perjalanan balik dari sekolah.

Satu hari, masa makan tengahari, entah kenapa aku tidak puas hati dengan masakan emak hari itu. Lauk yang dihidang amat tidak menyelerakan. Aku protes. Pinggan yang berisi nasi aku terbalikkan. Boikot. Tidak mahu makan. Lalu bertaburanlah nasi serta lauk itu di atas lantai. Aku tidak pula ingat atau mungkin tidak nampak bagaimana air muka emak ketika itu.

Bila sesekali aku teringat peristiwa itu di hari ini aku geleng kepala sendirian. Jauh di benakku aku terfikir kenapa aku sanggup berbuat begitu sedangkan aku tahu emak dan abah bukan mudah mencari rezeki. Hidup kami amat susah. Emak menoreh getah di sebelah pagi dan melanda bijih timah di sebelah petang sementara abah pula masih dalam rawatan schizrophenia.

Untuk mendapatkan duit buat membayar yuran peperiksaan pun terpaksa mencari botol-botol dan tin-tin buruk di belakang rumah lalu menjualkannya di kedai Cina. Entahlah...!


  • masih ada rupanya insan seperti ini di dunia yang serba maju dan bertamaddun hari ini.

Isnin, 24 Mei 2010

Permata Hijrah

Pantang ada sebarang iklan yang menarik terbaca di akhbar atau terpampang tv. Bingkas ibu_suri mencuit aku.

"Abang, ni... Permata Hijrah ada di TESCO, Sg Petani. Kita pi ya. Mata I ni... dah makin kelabu ni. Dah tak berapa nampak."

Sungai Petani... kira oklah. Dekatnya udah macam ulang-alek ke Bukit Mertajam sahaja.

"Peringkat umur kita ni memang gitu. Dah semakin kabur. Tuhan mula ambil nikmat mata kita tu sikit-sikit."

"Kita pi periksa apa salahnya."

Akhirnya aku tiba di Tesco yang aku sendiri tidak pernah sampai dan putar-putar juga mencari jalan masuk. Kelihatan setiap kerusi sudah ada orang duduk untuk didemokan yang kebanyakannya adalah golongan veteren.


"Mak Cik Ada darah tinggi ke?"

Aku angguk dan beri isyarat tangan tanpa pengetahuan ibu_suri bahawa tahap darah tinggi ibu_suri pernah mencecah 250 bawah 140.

"Kalau gitu makcik guna spray sahajalah ya. Dan nanti saya urut dengan tangan. Pak Cik nak cuba ke? Nah, pakai cermin mata ni ya."

Aku pun memakai cermin mata warna biru tua. Rasa segan juga. Maklumlah, perasan orang ramai tengok aku sebagai model. Dah rasa macam angkasawan je. Hensem ke tak aku ni?

Secara otomatik cermin mata itu bergetar dan mengurut keliling mataku.

"Bagaimana pak cik, rasa segar tak?"

Ya.. Memang rasa kepuasan. segar dan ringan mataku.

"Tapi mata I tak cerah pun. Masih kena pakai spec bila membaca." gerutu ibu_suri. Aku kuit lengan ibu_suri. Nampak kekampungan pula kata-kata itu.

"Bukan la la ni boleh baik. Kena buat rawatan macam ni selalu. Mungkin sebulan, 2 bulan atau setahun baru ok," terangku.

"Ya..betul kata pak cik tu. Itupun ikut tahap penerimaan badan."

"Oooo.. ingatkan mai-mai sini boleh baik dah.."

Aku minta pamplet dan terbaca laman sesawang Permata Hijrah di sini.

Jika hendak beli produk mengikut tahap kerabunan aku ( >100 ) berharga RM119.00

Boleh tahan juga ya....

Sabtu, 22 Mei 2010

Biar Bertongkat Siku

Aku agak terkesan dengan komen dari iBu gUru dalam entri ini. Memang aku amat terbeban dengan apa yang telah dan sedang menimpa diriku. Dugaan dari Allah ini bagiku amat berat untuk kutanggung.

Sebermula dari khabar bahawa anak ke3ku disahkan menghidap Disleksia, salah satu kategori Masalah Pembelajaran ( LD ) pada 2004. Sejak itu aku mula mengesani sikap anakku yang nakal dan mula terlibat dengan kes juvana akibat pengaruh persekitaran. Belum sempat aku dapat menarik nafas lega, ibu_suri pula diserang mild stroke pada 2007 dan depression. Maka aku terpaksa menanggung 2 permasalahan sekaligus..... seorang diri.


  • ibu_suri di hutan Gunung Panjang, Gopeng, Perak

Pun segala kegusaran di dalam hatiku jarang dapat dikesan oleh rakan-rakan. Aku selalu cuba menyoroknya dari terpancar di wajah. Aku selalu ketawa dan berbual seperti biasa dengan kawan-kawan. Aku percaya kepada kata-kata SMILE IS THE BEST MEDICINE.

InsyaAllah, hari ini dan hari-hari seterusnya aku masih dan tetap akan tabah menjaga anak-anakku dan ibu_suri yang aku tahu jauh di dalam hatinya amat mengharapkan aku selalu berada di sisi menemaninya. Sebusuk-busuk daging, kucicah, kumakan jua. Biar bertongkat siku aku tetap bergerak ke hadapan.

Selalu, bila dalam keadaan stabil ibu_suri berkata;

"I kasihan tengok u susah-susah jaga I. Bila I nak sihat macam dulu?"

"I beruntung dapat u. U baik dengan I. Tak pernah jentik I walaupun sekali. I saja yang selalu cubit u."

Ketika sujud dalam sembahyang aku selalu berdoa muga Allah beri aku kesempatan untuk hidup dan menjaga anak serta ibu_suri hingga sempurna disamping memberi kesempatan untukku bertaubat dan menebus segala dosa.

Dan insyaAllah, aku akan cuba untuk tidak mengeluh dan kesah terhadap apa yang terpaksa aku tanggung. Aku akan cuba untuk menyusun semula kehidupanku ini dengan cara dan kemampuanku sendiri. Aku tahu tiada siapa yang dapat membantu dirku melainkan diriku sendiri.

Terima kasih kepada semua rakan bloggers yang selalu memberi komen peransang maupun kritkan yang aku terima sebagai membina. Terimalah aku sebagai aku ini adanya. Aku hanya insan marhaen, ciptaan Allah jua...