Isnin, 30 Ogos 2010

Balik Kampung

Aku balik kampung Sabtu lalu. Puas hati kerana sempat singgah rumah Mak Nyah; kakak kepada abah. Itupun bila mak beria-ia pesan suruh singgah. Bila mak pesan begitu aku faham sangat. Mesti singgah kalau tidak mahu rasa terkilan di belakang hari.

Berbuka puasa dengan mak menyeronokkan. Mak cukup positif orangnya. Walaupun dia terpaksa mengisut ke bilik air dan ke katil, wajahnya tetap tenang.

Ok pula ibu_suri kali ini. Sikit-sikit ok ... ek.. tu biasalah! Banyak mengadu pada mak tentang keadaannya dan mak pula banyak memberi nasihat. Mak diserang angin ahmar hingga lumpuh bahagian kiri badan sementara ibu_suri pula ahmar di bahagian saraf otak. Hmmm...

Aku kemas dapur mak yang berselerak dengan pinggan mangkuk dan kain tak bercuci. Aku gantikan tungku dapur mak yang dah reput dimakan api. Belikan sesangkar telur ayam. Juga gantikan sabun basuh pinggan dan sepan.

Jam 4.30 pagi aku bangun untuk sediakan juadah sahur. Kebanyakkannya adikku Duyah sudah masakkan siang tadi. Ada satu dua mata aku beli dari kedai. Lainnya, aku cuma perangat dan modify sikit-sikit jer...

Aku pesan pada adikku supaya potong rumput depan rumah mak yang nampaknya sudah mula panjang. Habis kaki seluar aku kena kemuncup tatkala menjemur pakaian.

Pendekata, aku puas dengan ziarahku kali ini. Tambah pula Angah yang memandu kereta sementara aku jadi bos di belakang. Sesekali, best juga...

Sebelum balik aku peluk cium mak dan beri sedikit RM. Sikit je....

Juga tak lupa kepada Duyah, satu-satunya adik perempuan aku yang sanggup mengorbankan kerjanya semata-mata untuk menjaga mak sepenuh masa walaupun ekonomi keluarganya sendiri agak goyah. Pengorbanan yang aku sendiri tidak sanggup lakukan walaupun aku abangnya yang paling tua.

Muga-muga Allah beri ganjaran yang sebaik-baik kepada Duyah, adikku yang pendiam ini...

Ameen!

Rabu, 25 Ogos 2010

berapa banyak eh, da....

Photobucket - perjalanan hidup yang tidak henti-henti....

eh,
kenapa kali ini aku susah hendak menulis?
tiada idea
tiada bahasa.

eh,
kenapa hari ini aku terasa letih?
bukan kerana puasa
bukan kerana kerja.

eh,
kenapa masa terlalu cepat berlalu?
belum dapat buat apa-apa
sudah hampir habis seminggu.

eh,
kenapa hati tidak tenteram?
sejak balik dari Sekolah Menengah Sungai Nibong tadi
apakah aku telah menyinggung perasaan guru-guru Pendidikan Khas
yang pernah mendidik Akmal 2 tahun yang lalu?

eh,
kenapa banyak sangat eh?
kan Tuhan tidak suka
dengan orang yang terlampau banyak ber - eh..eh...

eh,
aku rindu kat mak!

weh,
nasi untuk sahur belum lagi ditanak...

Selasa, 24 Ogos 2010

Selagi Bergelar HambaNya!

Kehidupan ini benar-benar menagih kecekalan, tenang dan pasrah yang bukan calang-calang. Huu... tak sangka begini rupanya suratan hidupku di penghujung nafas ini. Segala tunjukajar yang aku terima dari mak, abah dan liku-liku pengalaman rupanya amat berguna dan telah berjaya membentuk aku menjadi insan seperti hari ini. Berjaya mempertahankan aku dari tersembam atau terpesong dari arah destinasi.


..... hartaku di dunia dan muga di akhirat jua....


Pagi tadi semasa di ofis, output kerjaku hampir 0 di waktu pagi. Apa saja yang aku buat serba tak kena seperti berada di atas awangan. Tersilap rekod, tidak tahu hendak mula dari mana. Fikiran aku terganggu dengan ilusi masa depan Akhmar. Masih terganggu dengan geraf prestasi kesihatan ibu_suri. Masih terkapai-kapai dengan wawasan persiapan walimatul urus Angah. Semuanya menerjah benak dan fikiranku, kiri kanan. Dan aku terasa kesaorang bergelut dengan semua ini.

Aku bangun lewat sahur tadi pagi. Terasa berat mengekang badan dari perbaringan. Terkocoh-kocoh memasak nasi. Pecahkan telur ke dalam mug dan letakkan ke dalam singki bertujuan hendak mengacau dengan garpu sekejap lagi. Entah bagaimana terlupa, basuh pula piring dan akhirnya air basuhan masuk ke dalam telur.

Aku tepuk dahi yang tak bersalah apa-apa. Sendirian aku mengeluh di dapur dan tertanya-tanya diri sendiri, kenapa hari ini?

Tidak teringat pagi Isnin jalan ke jambatan Pulau Pinang memang kebiasaannya sesak. Kesesakan ini seperti tidak akan habis-habis seperti juga cabaran-cabaran hidup yang mahu tidak mahu aku kena tempuh selama bergelar hambaNya!

Ahad, 22 Ogos 2010

Perpisahan

Aku tiba di STB lewat sejam kerana ibu_suri tiba-tiba muntah di katil selepas sahaja selesai sahur. Jenuh bersihkan katil dan tenangkan dia yang sedikit ngelabah.

Tapi agaknya inilah hikmah, fikirku bila majlis masih belum bermula walaupun dijadualkan jam 9 pagi. STB masih menunggu waris pelatih yang datang. Paling jauh dikatakan dari Jempul, N9.

"Pak cik datang dari KL. Lepas sahur pukul 5 dah bertolak. Naik kancil aje." terang pak cik yang sempat aku berbual dan bertanyakan tentang anaknya di sini. Ada yang datang naik mercedes mata belalang, ada yang berpakaian jubah putin dan ketayap. Ada yang bercakap dengan bahasa yang aku sendiri tidak pasti. Ada yang berbangsa Cina dan berbangsa India. Tapi biasalah... paling ramai bangsa kita, Melayu!

Program dirasmikan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Perak, Chong Phaik Kee dan dihadiri oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat juga merangkap ADUN Selama.

Seperti yang aku jangka, ibu_suri tidak boleh bertahan lama di dalam dewan. Dia mula meratus. Serba tak kena. Akhirnya aku suruh dia berehat di dalam kereta yang kebetulan dibenarkan oleh pihak STB untuk diparkir berdekatan dengan dewan. Semua kemudahan ini aku pinta menggunakan segala kemahiran berdiplomasi aku dengan polis yang menjaga pos pintu masuk STB dan kakitangan STB yang baik dan ramah!

Selain ucapan ada persembahan pentas oleh pelatih yang antaranya khatam Quran, nasyid, ikrar dan pertunjukan slaid. Antara lagu yang menyentuh hatiku ialah lagu latar belakang pertunjukan slaid (yang diperdengar sekarang) yang hampir membuatkan aku menitiskan airmata kerana sedikit sebanyak ianya juga mengingatkan masa lampauku ketika Akhmar masih kecil dan selalu membawanya beraktiviti bersama NGOku. Kalau hendak dengar dan muaturun, sila klik di Doa Perpisahan - Brothers.

Memang berbakat pelatih di sini dan sudah pasti staf yang sabar melatih mereka. Kalau tengokkan muka sesorang, kussss... semangat. Aku pun gerun bercampur seram.

Tiba saat penyerahan pelatih kepada waris. Pelatih dan waris akan dipanggil nama; akan bertemu berdua di hadapan audien dan akan menerima watikah penyerahan dari Pengerusi ALP. Bila saja namaku yang munggil ini dipanggil aku berjalan 'mengawal macho' ke hadapan. Aku dakap Akhmar dan menepuk-nepuk belakangnya. Kemudian baru bersalaman dengan (lelaki sahaja) deretan ALP, Pengarah JKM dan staf STB.

Kemudian pelatih seramai 32 orang yang akan dibebaskan beratur di pintu keluar dewan dan akan bersalaman dengan semua pelatih dan staf yang akan keluar dari dewan untuk bersurai. Di masa inilah aku perhatikan hampir semua mereka menangis termasuklah pelatih-pelatih yang menggerun dan menyeramkan itu.

Aku dapat rasakan bahawa sebenarnya pelatih-pelatih ini adalah insan seperti kita juga. Yang mesti ada sedikit rasa hati kemanusian, rasa hati keinsafan, rasa kasih sayang di sebalik wajah nakal mereka. Cumanya mereka ini sedikit tersasar dan rata-rata waris mereka mengatakan ini kerana pengaruh kawan. Lantas hatiku berkata sendirian: kalau semua mereka ini tersasar kerana pengaruh kawan, maka kawan itu terpengaruh oleh siapa?

Hakikatnya, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, kan? Kita kecil-kecil dulu pun bukanlah baik-baik sangat!

Aku teringat pesan blogger Jendela Hati semasa memandu balik semula ke rumah membawa pulang Akhmar. Aku singgah di Masjid Padang Ibu, aku mandikan dia dengan air kolah masjid. Mudah-mudahan berkat lebihan air wudhuk yang jatuh semula ke dalam kolah dari mereka-mereka yang soleh itu akan dapat melembutkan hatinya. Kemudian kami bersolat jamaah Zohor dan bersama kami solat sunat Syukur.

Bila melihat Akmar dapat mengambil wudhuk dengan sempurna, mendengar bacaan solat dan boleh membaca ayat Kursi dengan baik, sejuk hatiku.

Barangkali, inilah hikmahnya terhadap keputusan drastikku tidak mahu menjaminnya semasa di mahkamah lalu membiarkan dia di bawa oleh trak polis ke STB 14 bulan lalu!


( Akhmar berbaju Melayu kuning bersampin pelikat sesekali mengesat airmatanya)

Jumaat, 20 Ogos 2010

Pasrah

Aku udah diberitahu oleh Akhmal beberapa kali sebenarnya lewat ziarahku di STB sebelum ini. Tapi entah kenapa surat semalam benar-benar mengocak ketenanganku yang memang pun cuma tinggal sedikit selama ini.

"Sukacita dimaklumkan bahawa anak tuan telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pelawat Sekolah Tunas Bakti, Taiping untuk diberi pembebasan awal berlesen di atas disiplin baik sepanjang mengikuti program pemulihan di institusi ini. Dengan itu......."

Arrghh....

"Apa plan ayah?" Tanya Angah sebaik sahaja diberitahu berita ini.

"Ayah nak dia belajar motor dulu. Senang nanti dia pergi kerja."

"Ada ke duit ayah?"

Diam.

"Kenapa tak bagi dia sekolah lagi?"

"Semuanya terletak pada diri dia sendiri. Kalau dia tidak ulangi perangai lama dan mahu belajar tak ada masalah bagi ayah untuk usahakannya. Dia bukan jenis belajar secara teori. LD (Learning Disability) seperti dia lebih kepada praktikal."

Aku suruh Angah ushar mana-mana kelas memandu. Tanya tengok ada tak kemudahan untuk ujian ambil lesen motor bagi kes seperti Akhmal yang slow dalam pembacaan dan sukar menjawap soalan dengan cepat apatah lagi yang berbelit-belit.

"Ada ayah. Angah dah tanya kedai memandu Melati kat Bukit Tengah. Siap ambil Akhmal dari rumah lagi. Tapi apapun Akhmal kena bawa pergi JPJ dulu. Biar JPJ sahkan. Kena ada dokumen perubatan dan kad kuning tu."

Hah, sedikit lega hatiku. Paling tidak bila dia ada motor tak perlulah lari dari sekatan polis sepertimana yang berlaku dahulu dimana akhirnya membawa dia ke tempat dia sekarang ini.

Sabtu ini aku akan ke STB. Menghadiri majlis pelepasan anakku yang ke3 ini; yang pastinya gembira dan tidak sabar-sabar lagi hendak balik ke rumah. Sebaliknya aku pula yang mula mengira-ngira tambahan tanggungjawap yang perlu aku pikul kali ini. Ah.. Gunung Tahan lagi pernah kudaki. Harap-harap kalau pun Gunung Kinabalu, ianya memudahkan sedikit.

Respon dari ibu_suri...tiada. Aku pun sedikit heran.

Apapun, yang lebih penting ialah senarai apa yang perlu aku perbuat untuk pembaikan Akhmal. Tidak peduli apa pandangan jiran dan kawan-kawan bila mengetahui dia akan balik. Tidak kira samada Akhmal benar-benar akan berubah atau sebaliknya.

Itu, serah saja pada Allah yang Maha Mengetahui. Tak usah ghaflah. Aku pasrah je!