Jumaat, 29 November 2013

Re-union IKM KL

Rasa amat seronok kerana dapat mengumpulkan rakan-rakan lama semasa belajar di IKM KL tahun '81~'82 dulu. 5 orang semuanya. Berjumpa di kantin Masjid Seberang Jaya.

Ada yang dah berubah susuk badan tapi perangai masih sama macam dulu. Tak henti-henti ketawa kami berderai mengenang kisah lama.

Tapi yang pastinya, kalau yang dulu seorang playboy tapi kini ada yang dah jadi YDP sesuatu pertubuhan. Yang dulu dikatakan kaki surau namun hingga kini masih ditakuk lama.

Kami dulu sesama belajar di jurusan elektronik radio/tv di sana tapi aleh-aleh kerja ada yang jauh menyimpang dari apa yang dipelajari.

Aku masih ingat kata-kata Dr Mahathir satu ketika dulu bahawa mahasiswa jangan ingat bahawa kerja baru mesti yang berkaitan dengan pembelajaran dahulu. mahasiswa mesi bersedia menerima apa saja bentuk kerja setelah menjadi graduan.

Kami ber5 adalah Aku, Bukhori Ghazali, Abdul Rahim Romli, Mohd Salleh Osman dan Abdullah Halim. Kemudiannya aku diminta untuk menghubungi kawan-kawan lain. Kami bercadang untuk membuat re-union kali kedua.

Ya lah... yang tinggal cuma kenangan. Ianya tak akan dapat diputarkan kembali. kenangan itu walaupun semasa realitinya amat pahit tapi bila menjadi kenangan rupanya ia teramat manis...

Khamis, 28 November 2013

Ntah Dan Ntah Tidak...

Atas usaha Angah, akhirnya aku dapat memiliki sebuah Viva 1000 EZ (A) baru. Ia dikeluarkan atas nama menantuku - Ayu. Lapang sikit rasanya pemanduan yang selama ini agak stress jika menggunakan Kancilku yang kurang stabil sejak kemalangan di Tanah Liat tahun lalu.

Sebenarnya yang lebih perlu ialah untuk membawa ibu_suri ke hospital atau klinik dan juga untuk dia bersiar-siar. Selain itu mudah untuk balik ke kampung ziarah mak.

Aku masih ingat lagi akan hadis ini:

" Rasulullah s.a.w bersabda. Maksudnya;

Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa..."

Walaupun Along beriya menyarankan aku mengambil Saga kerana ia lebih relevan dengan saiz ibu_suri yang agak XXXL namun aku lebih suka pada kereta keluaran Perodua. Khidmat lepas jualannya bagi aku lebih praktikal, mudah dan mesra berbanding Proton.

Di usia begini, tiada apa lagi yang hendak aku hambatkan melainkan hanya memanafaatkan apa yang ada sahaja. Cita-cita hanya mahukan kesihatan yang baik, anak-anak yang menggembirakan dan jauh dari beban hutang.

Beban hutang? Hemmm.... Viva tu 9 tahun lagi baru nak habis. Ntah dan ntah tidak la...

Rabu, 27 November 2013

Habbatus Sauda

Seperti yang aku rancangkan; gaji hujung bulan ini aku akan mulai beli Habbatus Sauda sebagai makanan tambahan. Habbatus Sauda adalah penawar segala penyakit kecuali mati; begitu sabda nabi.

Aku singgah kat Ayam Ori, Kubang Semang. Mulanya aku ingatkan nak beli jenis yang sama seperti blogger JH biasa beli yakni dalam bentuk kotak. Memang ada tapi keluaran PharmaNiaga.

"Satu jenis saja ke?" Aku bertanya pada gadis yang jaga kedai yang sarat dengan pelbagai makanan kesihatan Halalan Toyyiba ini.

Segera dia keluarkan beberapa jenis botol. Ada yang kecil ada yang debab. Aku belek-belek jenamanya. Haa... Halagel. Terus aku tertarik.

Aku masih ingat bahawa pengasas Halagel dan HPA adalah sahabat baik. Mereka saling berusaha memartabatkan produk kegunaan Muslim.

Sebotol berkuantiti 60 biji berharga RM30 sementara kuantiti 120 biji berharga RM50. Fikir punya fikir aku ambil sebotol berkuantiti 6o biji.

"Cuba try dulu..." fikirku.

Aku pernah beritahu pada kawan-kawan secara berseloroh bahawa aku sekarang ini makan seperti orang kaya. Semuanya berharga mahal. Selepas habis oat bran yang aku makan sekarang ini aku bercadang nak beli BG22 pula. Kalau tak salah aku, yang ni lagi nala punya harga...

Ahad, 24 November 2013

Abang Beca

Aku baru balik dari kampung. Hadiri majlis perkahwinan anak sepupuku, Jama di RPT Sentang, Batu Gajah. Mahu pula  si Akhmal ikut bersama. Selalunya payah  untuk dia begitu.

Tak sangka, rupanya di sana aku bertemu dengan rakan-rakan sekampung. Bukan main rabungnya kami berbual kisah-kisah lama. Terlupa sekejap ibu_suri yang terkonteng-konteng makan bersaorang di meja sedang aku pula berbual di sudut lain sambil menjamah cendol S M Nor, aksesori selain nasi minyak yang amat sedap. Kemudian ibu_suri tak segan silu meminta aku tambah rendang daging ala-ala rendang tok yang memang terkenal di Perak.

Sambil DJ memainkan lagu-lagu mengiringi majlis, aku terpikat dengan satu suara yang aku kira dinyanyi oleh yang hadir secara karaoke. Lagu Abang Beca. Memang sedap patah-patah lirik yang dialunkan. Patutlah sedap alunan lagu itu. Rupanya yang menyanyi secara karaoke itu adalah M Rizal. Dah tua rupanya dia... Kening pun dah putih!

Selesai kenduri aku terus ke rumah mak. Adikku Mamat tengah sibuk membetulkan arial tv. Rupanya mak beli tv baru menggantikan tv lama yang dah rosak. Tv LED tu...

"Awak nak try dapatkan siarah TV Al Hijrah untuk mak." beritahu Mamat. Selain Duyah yang ditugaskan menjaga makan minum mak, Mamat juga orang kuat keluarga kami yang ambil berat hal-hal kebajikan mak seperti ke klinik atau bawa mak berjalan-jalan ziarah saudara mara. Aku memang salute  pada mereka berdua ini. Muga-muga Syurgalah buat mereka!

Seperti biasa, bila aku ziarah mak aku akan penuhi setiap masa aku dengan membersih dapur. Selalunya mak akan meminta aku membaiki mana-mana alatan eletrik yang tak berfungsi. Sedari dulu mak memang pandai mengambil hati anak-anaknya berdasarkan apa yang anak-anaknya mahir lakukan.

Seperti selalu juga aku cuma balik hari, tak bermalam di rumah mak. Kondisi ibu_suri yang tidak betah bermalam di tempat kecuali hotel atau rumah sendiri buatkan aku bersiap-siap balik selepas Maghrib. Aku harap mak faham dan tak berkecil hati!

Selasa, 19 November 2013

Izzack - Mahir Melapah dan Muay Thai

Bebaru ini sebuah klip video tentang seorang budak yang mahir melapah lembu korban bertebaran di FB. Anak itu bernama Mohd Izzack, anak saudara kepada ibu_suri yang tinggal selang beberapa rumah saja dari rumahku.


Tak heranlah bagaimana dia begitu tangkas melapah yang jika aku sendiri sebenarnya terkial-kial. Bapa dan bapa saudaranya mempunyai kandang lembu dan selalu mengambil upah menyembelih dan melapah. 

Bapanya yang aku  panggil Zam mempunyai lesen menyembelih. Dan Izzack adalah anak sulong dari 3 orang anak-anaknya yang kesemua adalah lelaki. Mereka selalu memanggil aku dengan panggilan Tok Ayah. 

Izzack, disamping pandai melapah juga pandai dalam seni Muay Thai. Boleh ikuti FB Izzack di sini.

Izzack (kanan) dan adiknya