Ahad, 28 Mac 2010

Ilusi

Sabtu lalu aku pergi ke Perodua Seberang Jaya untuk service Kancil ibu_suri. Kancil ini memang hampir setiap bulan mencapai 5000km.
Balik dari service Kancil aku singgah cuci kereta di Car Wash pekan Penanti. Lama sangat tunggu giliran, aku tinggalkan kunci pada taukeh untuk pergi makan. Sambil berjalan itu terfikir juga;
"Isyy.. Kalau dibuatnya bawak lari Kancil ibu_suri ni, baru padan muka aku!"

Tapi aku kena percayalah pada taukeh ini. Dia pun cari makan macam aku juga.

Seperti biasa bila aku genggam 3 jari tengah dan tegakkan ibu jari serta kelingking sambil mengipasnya, anak taukeh kedai kopi di simpang 3 pasar malam Penanti itu memang tahu apa yang aku minta. Tidak lama, secawan Ali Cafe tarik tersedia di depanku. Aku capai sebungkus bihun.

Namun entah kenapa sambil menggarfu itu hati aku tiba-tiba menjadi sayu. Sudah lebih 3 tahun aku tidak menikmati masakan dari air tangan ibu_suri. Selalunya kalau ibu_suri memasak bihun goreng aku boleh habiskan semangkuk besar. Dan aku rasanya, tidak pernah mengatakan masakan bihun goreng ibu_suri itu tidak sedap. Kalau tawar pun aku akan angkat ibu jari tanda best bila ibu_suri;

"Sedap ke bang?"

Arakian, sambil berilusi itu ternampak seorang tua berbongkok udang sedang berjalan. Sebelum ini pun pernah jumpa dia. Mak cik itu yang berjalan aku pula yang letih melihatnya.

  • Mak Cik bertudung putih berbaju biru berjalan menungkah arus kenderaan.

  • Mak Cik itu duduk di depan kedai YTS. Berihat sekejap agaknya.

  • Mak Cik itu berjalan semula selepas hilang penat.
Aku pun percaya satu hari nanti aku juga akan menjadi seperti Mak Cik itu. Ataupun setidaknya aku akan jadi seperti abahku yang kini bersemadi di sisi Masjid Al Khairiah di kampung.

Takkan hidup menungkat langit ya tak? Masalahnya, sudah cukup bersediakah aku?

7 ulasan:

kakcik berkata...

Kita sentiasa ingat bahawa bekalan kita jauh dari mencukupi.. tapi, dalam mengingat itu pun kita sering lalai untuk menambah bekalan (ditujukan khususnya untuk diri kakcik sendiri)..

abu muaz berkata...

benar tuan. sudah bersediakah kita untuk bertemu dengan saat itu.

bearcat berkata...

aku selalu jugak terjumpa dengan makcik bongkok tu. kesian tengok dia. tapi dia berjalan memang cepat betul. aku selalu terfikir, dia tak punya anak-anak ke. sebab satu hari tu aku tengok dia bawak plastik barang besar. kesian.

iBu...gUru berkata...

salam,
bekalan........ entah diterima atau tidak. doaku moga diterima Nya

zai berkata...

Salam IM,

saya ni tak boleh lewat ke sini..pasti rasa sayu dan pilu..cukup memahami apa yg sedang IM lalui pabila teman hidup tak mampu mengerti apa yg kita alami segalanya terpaksa diharungi berseorangan wlupun hidup berdua..apakan daya sbg seorang kawan..saya hanya mendoakan IM akan terus tabah..percayalah Allah sentiasa bersama org2 yg sabar..dan satu hari kelak pasti IM akan temui bahagia yg dicari..

hentian berkata...

terima kasih buat mereka yang selalu ziarah dan beri pandangan positif.

walaupun kebanyakan tulisan adalah hal-hal peribadi harap ianya juga boleh menjadi panduan bersama.

MaMa MoDeN berkata...

salam im,
mama pun,macam zai.sayu hatimalah kadang2 menitik airmata kalau melawati blog im ni. sayu hati dgn ketabahan im merawat ibu_suri dgn penuh sabar&taat setia...

berapa ramai suami lain yang isteri masih tersergam indah, mampu melayan zahir & batin tetapimasih mencari2 cinta lain...

sabarlah im, Allah bersamamu. teruskanlah ketabahanmu merawat ibu_suri...sesungguhnya dia tidak minta berada dalam keadaan begitu..