Ahad, 30 November 2014

Rabun


Awat kabur je tulisan kat latop ni. Jenuh jegil.

La... silap ambil spec rupanya...

Akibat letak cermin mata bersebelahan atas kabinet tv.

Aku rabun dekat, sidia pulak rabun jauh... Elok le tu...

Kalau sidia tahu, ngekek le dia ketawakan aku... acha...

Hari ini Angah ajak makan di rumah dia. Ayu masak apom, katanya...

Aku bukan minat sangat makan apom ni tapi kira orait lah... Nak jadi mertua yang disenangi, kenalah bersikap 'tak banyak ragam'... betulkan?

Ini baru satu menantu, insyaAllah.. ada lagi 2 jika diizinkanNya jodoh mereka. Belum tahu lagi warna apa pulak tu nanti....

Sabtu, 29 November 2014

Habis Juga


Hari ini aku tak buat apa sangat. Lepas riadah kat Kompleks MPSP, aku bersihkan laman rumah. Rutin ini aku buat 2 hari sekali. Buang batu-batu dalam longkang besar. 

Juga buang sampah di satu sudut simpang tak jauh dari rumah. Ada pula si polan yang senang-senang buang plastik, bekas minuman dan sisa makanan kat situ. Sepatutnya dia faham sendirilah, sampah gitu buanglah dalam plastik dan letak di belakang rumah supaya nanti dikutip oleh lori MPSP.

Selesai itu semua aku ke dapur pula, satu-satunya unit dalam rumah yang tak pernah habis kerja yang kena dibuat. Tak masak sebab dah makan kat kedai tepi Masjid Kubang Semang tadi. Cuma basuh baju, refill botol sabun kain, sabun pinggan dan sabun tangan yang dah kosong. Catit dalam note hanphone, apa-apa yang dah habis dan perlu beli.

Angah tiba-tiba tersembul dari muka pintu. Tak kerja agaknya, hari ini.

"Ayah, tak ada plan nak cari kerja ke?"

"Hmmm... Tahun depanlah agaknya. Tak boleh pun rileks macam ni sebab badan masih sihat untuk kerja. Duit ni tinggi mana pun kalau dicangkul, habis juga. Tak boleh harap anak-anak ayah nak bantu ayah. Ayah kena cari rezeki sendirilah nampaknya selagi boleh."

Aku segera teringat abah. Dia terus bekerja hingga akhir hayatnya walaupun masa itu umurnya 75 tahun.

Jumaat, 28 November 2014

Toing


Bila diberitahu Jumaat tadi bahawa j/k qariah masjid akan menganjurkan program konvoi untuk anak-anak remaja yang gemar berpeleseran di taman aku ini, mungkin akulah di antara bapa yang gembira mendengarnya. Aku bayangkan akan cuba membujuk Akhmal untuk join program ini. Program konvoi, tentulah depa suka. Malah aku pun cadang nak join sama.

Namun bila kemudiannya, khatib mempericikan aturcara program antaranya menziarahi pondok Tuan Hj Musa di Sikh, harapan aku tiba-tiba jadi... toing..toing..toing..

"Macam ni kalu, yang ikut cuma anak-anak yang memang dah baik. Yang haru biru macam  Akhmal, dengaq nama pondok aje, depa pangkah awai..."

Aku teringat masa aku jadi j/k perkhemahan remaja di Hutan Lipur Bukit Panchor, Nibong Tebal dulu. Antara peserta yang turut sertai ialah remaja penagih rokok. Bila pemudahcara perkhemahan dapat tahu dia hisap rokok di balik pokok, jenuh remaja tu kena 'tazkirah'.

Sekarang ini bila aku fikirkan semula, rupanya pendekatan itu satu kesilapan. Memanglah remaja yang sebegini kita nak perbetulkan. Tapi perbetulkan mereka bukan dengan sekali program ibadah atau sekali tazkirah. Kita perlu dekati mereka secara halus dan hikmah. Dia nak datang ke program macam ini dalam keadaan memakai tudung pun dah kira cukup bagus.

Jadinya, tak dapatlah aku nak lihat Akhmal join program masjid ini kelak. Mungkin lain kalilah agaknya.

Khamis, 27 November 2014

Beban


Resah dengan sikap Akhmal buat aku tak banyak cakap... kelmarin, semalam maupun hari ini. Bila ibu_suri bertanya:

"Kenapa dengan Akhmal tu? Cakap bukan-bukan, hempas pintu, lempar barang sana sini.."

Aku malas nak jawap. Bukan kerana tak ada jawapan tapi tak mahu jika jawapan itu ada di telinga ibu_suri akan disusuli dengan soalan-soalan lain yang terpacul. Yangmana semua itu akan lebih menyesakkan dada yang sememang sudah lama keriput dan letih.

Dulu... benar. Paling membebankan pundak aku ialah tekanan kerja serta tekanan mengurus ibu_suri yang tegar dengan sindrom bipolar dis-order. Tapi bla dah berhenti kerja dalam keadaan yang mana ibu_suri juga sudah boleh dikira ok dan emosi mudah diurus, aku terpaksa menungkah tindak tanduk mazmumah anakku yang seorang ini pula. Tanya Along, tanya Angah... apa yang ayah perlu buat... mereka juga bungkam.

Agaknya kerana ibadah aku yang masih compang camping inikah? Atau lewat dosa-dosa aku yang lalu?

Lepas catatan ini selesai ditulis, aku bercadang untuk mandi sebersih-bersihnya, memakai pakaian terbaik, baca semuka Al Quran kemudian bawa ibu_suri jalan-jalan. Mungkin ziarah mak di Bukit Gelugor.

Tuhan.... Ampunilah dosaku. Bantulah aku!

Selasa, 25 November 2014

Senja Begini


Itu adalah gambar adik. Kalau dalam keluarga, dia ranking ke 2. Kini tinggal di Shah Alam. Punyai anak 4 orang - 2 lelaki 2 perempuan yang masih belajar. Dia seorang yang sederhana. Masa mudanya pernah bersama-sama dengan jamaah Tabligh. 

Dia berkahwin lewat. Kata orang: jodohnya payah. Tapi di sebalik semua itu ada hikmahnya. Akhirnya dia bertemu dengan seorang isteri yang aku kira solehah. Lemah lembut dan baik pekerti.

Senja-senja begini aku teringat dia. Rasanya, antara ramai-ramai adikku, dialah yang akrab. Kami sama-sama lalui zaman hidup yang susah semasa kecil. Semasa abah jatuh sakit memaksa mak mengambil aleh tanggungjawap mencari rezeki buat kami.

Kami berdua sama-sama lalui zaman kongsi bekal ke sekolah. Beli aiskrim Malaysia berharga 5 sen dan kerat 2 untuk makan bersama. Berkongsi tanggungjawap - aku menjaga adik-adik lain di rumah sementara dia menolong mak menoreh getah. Dan sama-sama menolong abah mesin rumput di rumah taukeh Cina di Jalan Bulan dan Jalan Matahari.

Sekali lagi, ntah kenapa senja-senja begini aku teringat dia. Kalau terjembong di kampung, aku selalu teringin nak ajak dia minum-minum berdua di Restoran Bunga Raya, tempat yang penuh nostalgia bersama abah dulu. Sayangnya, ibu_suri yang tidak boleh berenggang dengan aku membantutkan keinginan itu.

Kalau tidak kerana rumahnya terletak di tingkat 3 yangmana hampir mustahil ibu_suri mampu mendakinya, aku teringin sekali ziarah dia.

Ahad, 23 November 2014

Catatan Pagi



Hampir sepekan aku lansung tak kisah pasal rumah. Aku biarkan laman penuh dengan daun-daun kering yang luruh dari pokok pelam yang abah tanam. Dapur pun aku biarkan berselerak. 

Itu semua petanda fikiran aku yang semak. Juga petanda yang aku sedang berdemo secara senyap terhadap sesiapa yang ada di dalam rumah ini. 

Namun akhirnya aku sendiri yang mengalah dengan protes ini. Justeru aku tahu, yang rugi adalah aku sendiri. Yang kut mana pun tidak akan ada orang lain yang akan memikul beban mengurus rumah ini selain diri aku sendiri. Kan aku ketua rumah? Kan aku saja yang masih normal dan rasional?

Balik dari riadah di Kompleks Sukan dan Reakreasi Bukit Mertajam, aku urus dulu ibu_suri yang bergegas ke tandas. Sesambil itu aku masukkan kain ke dalam mesin basuh. Aku capai penyapu dan pencakar. Biasalah kalau aku meyapu laman, aku akan sapu juga daun-daun kering yang berserakan di sebahagian laman rumah jiran. Aku tahu, daun-daun kering itu jatuh dari pokok pelam aku juga.

Paling leceh ialah hendak membuang tahi kucing yang cukup gemar berak di depan lamanku. Kekadang 2~3 tompok. Kalau sesiapa lalu tentu hati mereka berkata: busuknya laman rumah si anu ni. Sedangkan sebenarnya aku tak ada dan tak gemar pun bela kucing. Kekadang rasa macam nak tembak aje kucing-kucing ni yang aku pun tak mahu bersangka buruk siapa tuannya.

Sampah-sampah itu selalunya aku masukkan ke dalam plastik. Aku ikat lalu letak di belakang rumah. Biasanya lori sampah datang 2x seminggu.

Walaupun azan berkumandang, aku terus dengan menyidai kain yang dah berbasuh separuh. Masukkan yang separuh lagi. Zohor aku di rumah sajalah nampaknya hari ini.

Mop lantai ruang tamu. Bekas-bekas tayar dan minyak yang tumpah dari motor Akhmal kalau tak disita dengan cepat akan melekat di lantai. Akhmal tak pernah peduli pun risiko ini.

Siap semua kain yang dibasuh aku gantung di penyidai. Aku keluar ke astaka depan rumah untuk membeli makanan. Hidangkan siap-siap di dalam talam. Mudahlah nanti kalau Akhmal atau ibu_suri nak makan nanti.

Kemudian aku capai baju-baju kering yang tergantung dalam bilik gosok baju. Itu semua seluar baju akulah tu.

"You tak mandi lagi?" soal ibu_suri dengan kening terangkat seusai makan.

"Asar nanti lah abang mandi." jawapku sambil mengangkat pinggan ke singki dan membasuh kesemuanya. Aku bercadang untuk berjamaah di masjid nanti. Aku lebih suka bembahyang di masjid akhir-akhir ini. Terasa lebih tenang, lebih ikhlas dan dapat berbuat lain-lain solat sunat.

Namun badan ini dah mula terasa sedikit letih dan mengantuk. Maklumlah... bukannya semakin muda!


link:

Sabtu, 22 November 2014

Western Union


Alhamdulillah, dapat juga aku kirim uang kepada Yani Handayani yang (agaknya) mewakili edaran untuk cd terbaru Ebiet.

Sebetulnya aku tak pernah ada pengalaman mengirim uang ke luar negara. Bila Yani bagitau aku tentang Western Union baru aku perasan. Bila mencari di pekan BM (bukit Mertajam), tak jumpa-jumpa.

'Inilah aku. Tak dicari ada nampak sign board dia. Bila kita cari, tak jumpa pulak.'

Akhirnya datang satu idea. Tanya pekerja asing. Kat pekan BM ni memang ada ramai.

Akhirnya jumpa juga tak jauh dari Balai Bomba. Huu... Macam rusa masuk kampung, tercangak-cangak sebab tak biasa. Ingatkan cepat prosesnya rupanya tidak. Rasa tak yakin pun ada, betul ke kiriman aku ni akan sampai atau hilang di tengah jalan.

Apapun, aku tidak sabar menunggu. Album ini amat aku nantikan...

Khamis, 20 November 2014

Emosional


Tak tahu macam mana nak mula untuk rujuk Akhmal ke hospital. Masih tertangguh sejak hujung minggu lepas lagi. Uhh...

Sayu bila dengar sesekali dia mengeluh sakit. Tapi bila aku kata jom... dia kata tunggu. Bila dia kata jom.. aku pula terasa payah. Nak paksa, nak terjah... nanti dia melompat dan melengking. Bila berdiplomasi, jiwa aku yang sengkak.

Perasaan aku terasa kelu. Langkah seperti ketat.  Otak bagai membeku.

Simptom sakitnya itu memang sesuatu yang sensitif untuk dibincangkan samada dengan dia apatah lagi kalau ada bersama kami - ibu_suri. Sedangkan kemana saja aku pergi ibu_suri tetap tidak mahu berlekang.

Bukan senang nak menjaga 2 orang OKU sekaligus. Hendaknya pula ia berkaitan dengan emosi yang emosional. Sekalipun di dalam kereta ber2 dengan mereka untuk 1 jam pun dah cukup tertekan kalau bukan calang-calang orang seperti aku menghadapinya.

Selasa, 18 November 2014

Magnet Trap


Aku ke Perodua Seberang Jaya, hantar Viva untuk servis ke30ribu kilometer tadi. Tanpa ibu_suri yang masih tidur. Enggan gerak dia. Mahu sendirian.

Usia Viva genap setahun hari ini. Ianya dibeli atas nama menantuku - Ayu setelah Kancilku kemalangan menjadikan pergerakannya tidak stabil.

Dah lama aku tak ke sini. Susunatur dalaman dah banyak berubah. Aku memilih ke sini berbanding yang lain kerana layananya baik dan bersih. Jauh bezanya berbanding EON semasa aku menggunakan Proton dulu.

Aku tak pasti, untuk tempoh setahun dengan penggunaan sejauh 30 ribu kilometer itu terlalu kerap atau just nice. Tapi masa aku guna Kancil untuk pergi dan balik kerja dulu memang hampir setiap bulan aku hantar servis untuk 5 ribu kilometer.

Staf perodua cadangkan aku memasang magnet trap kepada oil filter. Katanya, ia berfungsi memerangkap butiran metal yang terkandung dalam minyak enjin semasa proses penapisan.

"Ini produk perodua ke?" tanyaku ragu-ragu. Manalah tau, kot kot nak ambil kesempatan bkin bisnes sendiri pula.

"Ya... pelanggan selalu komplen bunyi enjin kasar. Jadi Perodua perkenalkanlah magnet trap ni." sambil menghulurkan katalog.

Aku rasa puas hati lalu mengatakan iya dengan harganya cuma 57 ringgit. Nak jaga kereta sebab besar kemungkinan inilah kereta terakhirku.

Isnin, 17 November 2014

Urusan


Harap akan dapat membawa Akhmal ke hospital hari ini. Melihatkan seluarnya yang basah dengan tompok bendalir dihurungi semut sewaktu memasukkan ke dalam mesin basuh buat aku bimbang.

Bukan mudah sebenarnya menguruskan Akhmal, seorang yang tidak sabar. Pulak tu, di hospital kerajaan yang umum kita tahu amat perlahan perkhidmatannya. Hendaknya di masa yang sama ibu_suri juga pasti akan mahu ikut bersama yang sekaligus aku terpaksa mengurus kedua mereka yang sama statusnya - OKU.

Mengurus mereka berdua sekaligus memerlukan jiwa yang kuat, emosi yang bersahaja dan sikap yang tidak tergesa-gesa.

Hari ini selesaikan permasalahan Akhmal. Esok hantar kereta untuk servis yang ke 30 ribu kilometer. Lusa, ada usrah. Tulat pula bercadang nak balik kampung ziarah mak.

Aku percaya boleh sempurnakan semuanya dengan baik. Dilandasi dengan niat yang ikhlas aku percaya ia boleh dikira sebagai ibadah...

Ahad, 16 November 2014

SERENADE


Sejak semalam aku asyik dengan fb Membumi Bersama Ebiet G Ade atau kata lainnya MemBers EGA.

Bukan kepalang gembira kerana akhirnya dapat bersama-sama dengan rakan-rakan yang sesama meminati lagu-lagu EGA; berkongsi info dan lagu-lagu oleh penyanyi kegemaran aku sejak belajar di IKMKL 1982 dulu. Aku memang meminati puisi lalu lagu-lagu EGA memang serasi dengan jiwaku yang suka dengan lagu gerne dakwah dan kemasyarakatan. Selain EGA aku meminati lagu-lagu Sohaimi Mior Hassan, Kembara, Harmoni dan pastinya lagu-lagu nasyid.

Sekarang ini aku sedang berurusan dengan Yani Handayani untuk membeli album SERENADE dan mungkin album-album yang lain terus dari pengurusan EGA. Aku harap ianya akan sukses.

Sabtu, 15 November 2014

Mereka Tidak Tahu


Aku singgah  di rumah kakak ipar semalam melihat cucuku yang diasuhnya. Ketika ruang kosong yang ada, biras aku datang merapatkan kerusi ke sisi dan bercerita tentang bebanan yang dia tanggung selama 3 tahun isterinya itu mengidap mild stroke.

Aku dengar dengan senyum didalam hati. Kesemua yang diceritakannya itu bagi aku masih ringan berbanding apa yang telah aku tempuh dan tanggung selama lebih 7 tahun menjaga ibu_suri.

Memang betul kata-kata birasku itu. Orang lain takkan faham dengan apa yang kami berdua alami. Orang lain akan melihat isteri kami seperti ok sahaja. Sihat sahaja. Tidak ada apa masaalah yang dilihat.

Namun apa yang berlaku setelah mereka pulang itulah yang mereka tidak tahu. Kepayahan menjaga pengidap stroke yang mempunyai emosi tidak menentu ini membuatkan kami berdua selalu stress.

Aku selalunya mengalami kesakitan pada otot seperti di cucuk-cucuk, birasku pula mengalami ketat di dada (pengidap lelah). Kalau aku bila stress, akan tidur, birasku pula bila stress akan membakar rokok.

Yang sama terhadap kami berdua ialah... bila stress, kami akan curi-curi peluang - kalau aku memandu kereta sendirian, dia pula menunggang motor minum di mana-mana kopitiam.

Bukan saja orang lain tidak akan tahu malah anak-anak sendiri juga, mungkin tahu tapi tak merasai seperti apa yang kami rasai.

Namun begitu masih beruntung sebab aku ada Angah untuk sesekali meluahkan apa yang berbuku di hati. birasku pula ada anak perempuannya untuk mengadu.

Aku teringat adikku - Duyah yang menjaga mak di kampung - lumpuh sebelah kiri. Dan juga mak kepada sahabatku yang menjaga adik perempuannya di kampung yang juga dirujuk ke Unit Psikiatrik seperti ibu_suri. Tentu mereka juga menanggung  stress sama seperti kami. 

Sabar... itulah perkataan yang selalunya diungkapkan ke telinga kami. Dan kami tidak pula menafikannya!

Jumaat, 14 November 2014

Anak


Awal-awal lagi aku dah booking tanggal ini dari ibu_suri. Malah sesudah ambil stok baru ubat psikiatrik kat HBPP tadi, aku bawa ibu_suri pergi ushar lokasi sebenar CMR. Nak pastikan sejauhmana kemudahan untuk ibu_suri boleh access ke dalam restoran. Kalau boleh aku tak mahu lepas peluang untuk ke sini walaupun sebenarnya aku memang dah pernah makan di sini.

Tapi sekonyong-konyongnya tadi, Akhmal mengadu bahawa sakit ...nya semakin serius. Bimbang pula aku.

"Esok pagi kita pi hospital..."

"Tak mau..."

Aku termenung sekejap di kerusi. Bukan sangat pasal CMR tapi pasal sakit ... si Akhmal ini. Marah tu marah. Menyampah tu menyampah. Nasihat aku tak mahu dengar. Tapi.... anak la... kan?

Selasa, 11 November 2014

Positif


Sewaktu aku menunggu sistem klac motor Akhmal siap diperbaiki di kedai Fit Racing sebelah kilang getah Kubang Ulu tadi, aku memikir ke dalam diri sendiri.

Kenyataan hidup ini perlu diharungi walaupun perit. Ujian yang datang kekadang seperti hujan yang turun ketika ini . Mau tidak mau perlu tempuhi dengan cekal.

Masa menunggu ini juga aku sempat berbual dengan Asyraf, kawan Akhmal. Sebenarnya nasihatku kepada dia itu juga aku tujukan kepada diriku sendiri...

"Yang paling penting dalam diri kita ini bukan sangat sijil atau ijazah tetapi ialah sikap yang positif dalam hidup."

"Kamu kenal siapa Boon Siew?"

Geleng kepala. Ah.. meleset jangkaan aku. Rupanya anak ini tidak kenal siapa pengedar tunggal motor Honda yang dia sendiri naiki itu...

"Boon Siew asalnya bukan seorang yang pandai dalam pelajaran. Tetapi kerana sikapnya yang positif dalam perniagaan, dia kini menjadi lagenda dalam bisnes pemotoran di Malaysia."

Ahad, 9 November 2014

Oat For Rice


Pasaraya Billion adalah lokasi beli belah yang aku suka pergi. Alasannya - selamat untuk tinggalkan ibu_suri dalam kereta disamping mudah bagi aku terus cari barang yang selalunya dah aku senaraikan siap-siap di nota talipon.

Kelmarin dulu, masa dok ushar oat 3in1, terjumpa oat yang dibuat khas untuk dimasak bersama nasi. Samada produk ini dah lama ada di pasaran atau keluaran terbaru dari Quacker, aku amat teruja. Selama ini aku campurkan oat yang biasa itu saja ke dalam nasi, Aku beli pek yang kecil dulu untuk cuba try.

Kagum juga dengan idea kreatif Quacker ini. Bila aku cuba memasaknya, no comment dari ibu_suri hatta Akmal sendiri. Jawap mereka.. bila aku tanya....macam makan nasi biasa saja. Ianya berbentuk bijian persis gandum juga.

Aku yang lebih suka cara diet sambil menyelam minum air ini tentunya merasakan ini alternatif terbaik untuk aku aplikasi ke dalam menu keluarga.

Beriku HidayahMu!


Sedikit resah pagi ini. Rasanya elok kalau pergi mandi dan keluar riadah di Kompleks Sukan MPSP, Bukit Mertajam. Harap-harap ibu_suri tak sedar aku keluar. Aku ingin sendirian mencari ketenteraman.

Dia masih tidur dengan dengkur yang teratur.

Tuhan... berilah aku kekuatan menempuh hidup yang masih ada. Berilah aku hidayahMu agar aku terus perkuatkan azamku untuk perbaiki diri, terus bangun walau tersungkur beberapa kali dalam ibadah dan istiqamah berjalan di atas jalanMu yang lurus!

Kembalikan aku ke rumah dengan dada yang lapang untuk meneruskan kehidupan yang masih panjang dan berlikuan...

Jumaat, 7 November 2014

Terkanja



Walaupun malam dah sayup, aku masih tak dapat picingkan mata. Sebaliknya ibu_suri pula begitu damai dengkurnya.

Masih terbayang hal tadi. Mendapat whatsapp tentang adanya program gotong royong mengecat rumah yang bakal dijadikan asas untuk SRI Amal Rintis milik IKRAM Seberang Perai Tengah. Teruja untuk berjumpa dengan kawan lama, aku pun bergegas mengajak ibu_suri seusai Maghrib di masjid.

Sesampai di Permatang Janggus, yang ramai aku dapati adalah ahli IKRAM gen Y. Terkanja rasanya bilamana tak nampak pun kelibat rakan-rakan seera aku. Hmm... agaknya mereka ada program lain kot. Maka aktiviti malam ni akan lebih diterajui oleh IKRAM gen Y.

Walaupun aku biasa tengok wajah-wajah mereka namun kurang mesra membuatkan aku rasa sikit canggung. Tambahan pula apabila cuba untuk berinteraksi dengan mereka, bagai ada jurang komunikasi. Jika ada sorang dua rakan sebaya aku sebagai pemangkin tentunya lebih meransang ikatan silaturrahim.

Inilah antara kelemahan aku; tak pantas menyesuaikan diri dengan sesuatu yang baru.

Rabu, 5 November 2014

Tajwidku


Malam ni aku berkesempatan untuk berjamaah di masjid. Selalunya, waktu Zohor dan Asar saja sebab malam bawa ibu_suri jalan-jalan. Malam ini, usrah cancell. Jadi ada can la aku dengar kuliah.

Sayangnya, kuliah pun cancell. Ustaz kurang sihat. Sebagai ganti, imam solat Maghrib tadi adakan sesi memahami tajwid. Dia merujuk pada Surah At- Tiin. Surah ini pada aku kacang je tapi ...laa... tajwid aku selama ini lintang pukang rupanya. So, alhamdulillah, banyak juga yang aku pelajari malam ini.

Kebetulan dalam kereta aku, memang selalu ada quran. Aku akan membaca setiap kali lepas solat sebelum memandu pulang. Jadi quran itulah yang menjadi rujukan aku tadi.

Selasa, 4 November 2014

51


Simple celebration sempena ulangtahun kelahiran ibu_suri ke 51 tadi di rumah Angah. Pertama kali juga aku belikan dia kek perisa mangga yang agak mahal harganya kat Damiral's, Perda.

Bagi aku, harga bagi sebuah keluarga ialah senyumtawa mereka. Namun bagi bagi ibu_suri agaknya ialah bilamana dapat memotong kek bersama cucu sulong kesayangannya - Marissa.

Isnin, 3 November 2014

Mak

Keuzuran mak amat ketara lebih-lebih lagi sejak pemergian Niza. Sosok tubuhnya semakin kering hinggakan bilamana aku nak mengangkatnya dari bilik air ke perbaringan terasa gusar. Takut-takut 'patah' atau terseliuh tulang dan sendi mak.

Memakaikan baju dan seluar mak tak ubah seperti aku memakaikan lampin anak-anakku dulu ketika masih bayi.

Sayangnya, aku ada ibu_suri yang merencatkan hasrat aku untuk tinggal beberapa hari menjaga mak. Keadaan fizikal dan emosi ibu_suri tidak membolehkan aku lama di rumah mak. Apakah ibu_suri seperti satu liabiliti dalam keadaan yang sepatutnya mak lah yang sepatutnya aku dahulukan menjaga?

Jumaat lalu, aku bawa mak ke klinik yang rupanya dah 2 hari demam. Dokot pesan, kalau hari Isnin masih tidak kebah, mak perlu dibawa ke hospital untuk di periksa. Hari ini hari Isnin. Aku menghantar sms kepada adikku bertanya tentang mak. Kata adik, mak sedang di rujuk semula ke klinik.

Doaku yang terbaik buat mak. Berbanding abah, mak adalah insan yang paling banyak berkorban untuk tumbesaran keluarga kami!