Rabu, 29 April 2015

Persepsi


Foto kenangan: minum air kat pili awam di Balik
Pulau bersama kawan-kawan IKM

Re-union Ahad lalu, kami banyak bercerita tentang kesihatan masing-masing. Biasalah, bila berjumpa tatkala umur 30an, bercerita pasal berapa orang anak. Bila mencecah 40an, bercerita pasal pelajaran anak-anak. Sekarang ini, bertanya hal kesihatanlah pula bila rambut kami kebanyakannya dah putih.

Rentetan perbualan itu buatkan aku bersemangat semula untuk terus menjaga kesihatan diri. Ada antara kawan aku itu yang dah kena serang sakit jantung sebanyak 3 kali akibat salur darah tersumbat. Ada yang mula makan ubat kerana darah tinggi. Termasuklah aku yang dah 2 kali mengalami sakit batu karang.

Kemudian bila aku bercerita tentang keadaan isteri, mereka seperti tabik dengan apa yang telah dan sedang berlaku kepada aku. Ujar mereka, apa yang mereka alami rupanya tak sehebat yang aku alami. Mereka kagum dan salut. Aku senyum saja. Aku pun tak sangka sebenarnya perihal apa yang aku alami ini adalah sesuatu yang hebat di mata orang lain.

Namun apa yang aku beritahu mereka ialah ujian yang Allah berikan kepada kita itu sebenarnya bersesuaian dengan kempampuan kita.

Sebenarnya... jujur aku nak ceritakan. Keluarga ibu_suri menjangkakan ibu_suri akan berkahwin dengan orang lain. Orang lain itu orang sabah yang menumpang tinggl di rumah Tok Ba kepada ibu_suri. Mereka tidak menyangka bila satu hari ibu_suri menjemput aku ke majlis makan-makan keluarga.

Mulai hari itu ada adik beradik yang kurang senang dengan tindakan ibu_suri. Mereka cop aku orang PAS (masa itu kalau orang PAS ini adalah ekstrimis...). Aku buat biasa saja. Mereka tidak tahu sebenarnya aku bukanlah peminat politik. Aku lebih suka aktif dalam NGO.

Tapi begitulah persepsi masyarakat masa itu. jika sesaorang itu rajin sembahyang, rajin pi dengar kuliah agama, Santun dalam tingkah laku dan berbaju lengan panjang serta berketayap.... orang itu orang PAS. Orang PAS adalah ekstrim.

Namun... alhamdulillah... berkat sabar dan istiqamah... persepsi mereka terhadap aku bertukar kepada sebaliknya!

Selasa, 28 April 2015

Re-union


Ahad baru ni, aku menginap di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas. Taklah jauh mana pun dari rumah aku... kira-kira 30 minit memandu. Namun, menginap di sana lebih baik dari biarkan ibu_suri di rumah seorangan untuk lebih memudahkan aku mengurus program re-union yang dirancang hampir sebulan lalu.

Mulanya yang janji nak datang adalah 7 orang tapi akhirnya yang ada cuma 5 orang. Tapi bagi aku yang dah biasa mengurus sesuatu program, selagimana ada yang hadir hatta 2 orang pun dah kira okey. Tak perlu serabutkan dada dengan hal-hal kecil. Konsep pertemuan ini cuma untuk berjumpa kawan lama dan berbual kisah-kisah lama masa 'nakal-nakal' dulu secara santai.

Memang sesuai lokasi pertemuan ini rupanya walaupun awalnya aku lebih suka berjumpa di restoran biasa yang hampir dengan masjid. Kami berbual di lobi hotel dan bila tekak kering, berpindah ke Restoran Delima di sebelah. Tapi tudia la... harga makan... habaq hang.... Sepinggan mi goreng mydin (sebenarnya mi goreng mamak) - RM10 ringgit.

Kami di sana dari pukul 2 petang hingga lampu lobi katup... 11 malam. Sempatlah bawa seorang dari kawan aku yang datang dari Negeri Sembilan jalan-jalan di sekitar Kompleks Kailan dimana hotel ini terletak.

Kami sebenarnya dulu adalah pelatih Institut Kemahiran MARA Kuala Lumpur sessi 1981~1982. Maknanya... dah 30 tahun tak berjumpa!

Memang manis pertemuan ini. Hilang rasa jerih payah mengelolakannya...

Ahad, 26 April 2015

Rim Sport


Hari Jumaat aku pergi ke Kampung Batu 3, Jalan Pahang, Tapah untuk bersama keluarga mertua dalam urusan hal tanah pusaka. Disamping meraikan permintaan mereka supaya aku ada bersama, dapat juga aku keluar dari suasana rumah yang melemaskan ke suasana perkampungan yang sejuk dan damai.

Puas hati rasanya memandu Viva aku yang baru saja ditukar dari rim biasa kepada rim sport. Rim ini adalah pemberian ori dari Viva Elite  Angah. Dia beli rim sport yang baru. Pada pengamatan mata aku yang otai, rim ini ok la... Selain nampak sporty, taklah sangat groovy. Dan lagi, aku tak perlu lagi fikir pasal ganti jika cover rim lama aku pecah lagi nanti.

Walaupun pemanduan terasa berat tapi pergerakan kereta di atas jalan stabil. Pemasangan sound proof di pintu kereta juga banyak membantu pada kemantapan pemanduan dan kurang bunyi bising. Buktinya, jika sebelum ini tombol volume pemain cakera padat aku selalu di putar ke 10 kini sekadar ke 9 atau 8 mengikut kualiti suara cd. Cumanya aku agak, penggunaan petrol akan lebih sikit dari biasa.

Bapa mertua aku memang suka jika aku ada bersamanya di kampung. Aku tak banyak kerenah melayan mahunya ke sana ke mari. Lepas solat Jumaat, dia ajak aku ke Pekan Tapah, beli itu dan ini. Keesokan paginya pula dia awal-awal lagi ajak aku ke Jalan Baldwin. Dia teringin makan pulut dengan rendang daging. Rendang Perak memang tak sama dengan rendang penang....be!

Mertua aku ni orang Rawa. Bila berjumpa dengan gengnya di sana... bukan main Rawalah dia. Aku faham la sikit sebanyak telor mereka tu. Pengalaman aku belajar 2 tahun di IKM dulu di samping aktif dalam NGO mendendahkan aku kepada banyak resam budaya dan sikap marhaen...

Khamis, 23 April 2015

Sound Proof


Aku ni jenis yang banyak memandu. Kalau masa kerja naik kereta sendiri dulu, kereta aku hampir setiap bulan hantar servis 5000km. 

Sekarang ini pun lebihkurang sama je walaupun dah tak bekerja. Setiap hari mesti bawa ibu_suri jalan-jalan bagi hilangkan kebosanannya terperap di rumah. Viva aku ni walaupun baru setahun 5 bulan, milagenya dah mencecah 40 000km. 

Aku hantar ke Perodua untuk servis percuma. Selepas ini ada tinggal 2 kali servis saja lagi. Lepas itu... bayor sendiri le nampaknya.

Aku suka dengar lagu dari cd semasa memandu. Jarang dengar radio. Sebab itu aku ada banyak koleksi  cd. Nasib baiknya ibu_suri faham dengan fe'el aku ni walaupun kekadang dia merungut rimas sebab asyik-asyik belek cd, beli cd, cuci cd dan tukar cd. Bila dia bebel gitu, aku bagitau dia.... abang cuma suka cd jer.... bukan suka perempuan lain..he..he.. (aduh.... sakittt la pulak peha aku ni!)

Aku tertarik dengan iklan sound proof yang ada masa aku belek-belek kertas iklan di rak. biasalah kereta Malaysia ni. Bila ada kat lebuhraya, bunyi luar lebih kuat dari bunyi sound system dalam kereta hingga buatkan aku terpaksa tinggikan volume pemain cakera padat aku ni.

Maka aku bertanyalah pada staf di kaunter. Harga untuk sound proff bagi bonet lebihkurang RM90. Tapi bagi pintu lebih RM250. Mak aii... mahalnya. Tapi bila diberi penerangan, barulah aku faham kenapa. Aku dulu kan kerja bahagian teknikal. Dan semasa aktif dengan NGO dulu, aku selalunya ditugaskan menjaga sound system terutama bila ada persembahan pentas. Aku juga antara yang bertanggungjawap mengurus sound system kuliah bulanan Dr danial di Tapian Gelanggang Batu Uban.

Aku pun pejam mata jer menyuruh Perodua memasang alat itu. Dan hasilnya... huu... walaupun bukan sangat 100% kereta aku kurang bunyi dalaman semasa memandu akan tetapi kurang bising dari selalu. Faktor lain yang menyumbang ialah jenis tayar dan juga bunyi dari dalam kereta sendiri.

Itu sajalah modifikasi yang aku suka buat dalam kereta kecil aku ni. Bagi aku kereta ini persis rumah kedua. Perlu menyenangkan perasaan ketika memandu. barulah anytime ibu_suri ajak keluar... no problem...

Selasa, 21 April 2015

Hujung Minggu

Aku tadi ke Hotel Seri Malaysia yang terletak di dalam kawasan Kompleks Kailan, Kepala Batas. Pada 26hb ini, kawan-kawan lama semasa belajar di Institut Kemahiran MARA, Kuala Lumpur dijangka datang untuk mini re-union.

Akulah yang gatal sangat kemuka cadangan itu. Jadi bila ada di antaranya yang bersetuju; biasalah fe'el orang kita... yang mencadang itulah yang terpaksa pikul beban melaksanakan idea itu.

Nasib baiklah... pengalaman aku yang pernah menjadi ahli jawatankuasa sesuatu program anjuran NGO sebelum ini dapat aku gunakan dalam mengurus perjumpaan ini.

Tak sangka aku, rate sewa hotel di Seri Malaysia mahal yakni serendah RM190. Menelan air liur sendiri dibuatnya bilamana sebelum itu aku berangan untuk membuat tempahan satu bilik untuk kemudahan ibu_suri menginap. Sepanjang pengalaman aku menyewa hotel untuk ibu_suri ialah RM100.. itu dah kira cukup elok.

Tapi istimewanya hotel ini ada bilik khusus untuk golongan OKU. Aku belum tengok lagilah macamana rupanya bilik hotel itu tapi menurut staf di kaunter, bilik itu berada dekat dengan lif, bilik airnya seluas kerusi roda dan ada pemegang.

Untuk makan, ada restoran di sebelah bernama Restoran Delima. Kalau untuk kami yang dijangka bersaiz 6 orang digalakkan guna hidangan ala carte. Aku pun taklah berapa reti sangat maksud perkataan ala-ala Itali ni. Whateverlah!

Hujung minggu ni memang hujung minggu yang padat bagi aku. Disamping ada jemputan kenduri dari jiran setaman merangkap rakan facebook - Melorwati di mana dijangka blogger Citarasa Rinduan juga akan hadir, akan ada penamaan calun PRK Permatang Pauh yang selalunya aku tak pernah miss dan juga perjumpaan waris keluarga mertua di Kampung Batu 3, Jalan Pahang, Tapah perihal urusan tanah pusaka.

Kekadang begitulah... kalau senang hingga tak tahu nak buat apa. Kalau sibuk... nak ke bilik air pun tak sempat!

Isnin, 20 April 2015

Nasihat

8 pagi tadi aku ambil Angah untuk ke tempat kerja. Keretanya di tinggalkan di sana udah beberapa hari kerana sebab tersendiri.

Dalam kereta aku ambil kesempatan menasihatinya walaupun ibu_suri ada di sisi. Aku kena nasihatinya kerana aku mahu dia bisa menjaga keharmonian rumah tangga berdasarkan tips pengalaman yang telah aku tempuh selama 29 tahun berumahtangga.

"Angah... Isteri ini akalnya pendek. Pandangannya juga pendek. Citarasanya berbagai. 

Ayu sekarang dah berhenti kerja. Sepenuh masa di rumah. Dia akan melihat dan mengendalikan apa sahaja yang ada di rumah 24 jam sedangkan kamu... separuh masa di tempat kerja. Bila balik, kamu letih... lepas makan dan rehat, kamu tidur.

Jadi.. jika kamu membeli kelengkapan dalam rumah macam langsir, cadar atau perabut... biarlah isteri kamu yang pilih berdasarkan warna atau bentuk yang dia mahukan. Perempuan ni selalunya cerewet pada benda-benda kecil macam warna, corak jenis kain dan lain-lainnya.

Tugas kamu ialah melihat dari sudut besar. Contohnya harga, kualiti yang sesuai dengan harga dan kesesuaian jangka panjang.

Citarasa isteri selalunya tidak sama dengan suami. Justeru kamu jangan terlalu banyak bertelagah. Berlebihkuranglah dengan citarasa Ayu selagimana dari sudut besarnya, pilihan dia itu tidak melanggar batas agama dan kemampuan.

Ayah nasihatkan kamu sebab ayah nak rumahtangga kamu berjalan dalam harmoni. Ayah ada 29 tahun pengalaman hidup bersama ibu kamu. Tak banyak sikit ayah tahu kerenah isteri.

Tugas kamu memandu perjalanan keluarga kamu. Tugas isteri ialah menguruskan hal-hal di dalam rumahtangga."

Rasanya kali ini nasihat aku terhadap Angah lebih serius dan ikhlas.


Ahad, 19 April 2015

PAI


Tadi pagi aku hadiri PAI (Perhimpunan Ahli IKRAM) di Kompleks Yayasan An Nahdhoh, Kubang Semang. Seronok dapat bertemu dengan kawan-kawan lama termasuk rakan-rakan grup nasyid Muhajir, Dr Danial dan Mohd Rashid Hasnon - TKM 1 Pulau Pinang.

Lebih 'best' sebab aku pergi sendirian; ibu_suri tinggal di rumah. Agak bebaslah aku bergerak dan ngobrol dengan kawan-kawan. 

Selain ahli IKRAM, ada juga VIP jemputan seperti dari Suaram, Chinese Town Hall, Aliran dan pihak wartawan yang semuanya dari akhbar Cina. Heran pula... tidak ada wartawan dari akhbar Melayu yang hadir.

Sudah tentulah soalan dari kawan-kawan terhadap aku ialah... apa yang aku buat sekarang dan bagaimana kesihatan ibu_suri. Dah letih menjawap soalan yang sama seperti itu sebelum ini buatkan aku menjawap ringkas sahaja.... aku tak kerja dan ibu_suri ok jer...

Ramai yang dah putih rambut mereka dan ada yang dah perlahan pergerakannya. Tetapi semangat mereka dalam usaha dakwah buat aku rasa kerdil.

Apapun... kita punyai bahagian kita masing-masing yang diberi Tuhan. Kalau tidak A kita dapat B. Yang penting kita bersyukur dengan apa yang kita terima dan berusaha mencari dan memperbaiki mana yang kurang. Yang penting kita take it easy... walaupun tak berapa easy!
.
.
.

Okey... permisi... nak sediakan minuman petang untuk ibu_suri... dia dah bagi signal tu!

Sabtu, 18 April 2015

Damai


'Jumaat adalah hari untuk abah.'... begitu status yang aku tulis dalam fb semalam di sini.

Aku berpegang kepada prinsip hidup bahawa menjaga mertua adalah sama pentingnya seperti menjaga mak dan abah sendiri. Namun ianya tidaklah semudah dan seindah menulis di fb atau wassup

Adakalanya aku rasa beruntung dengan jerihpayah aku menjaga ibu_suri sedari 2008 dia dihinggapi mood disorder hingga sekarang. Pengalaman itu membuatkan aku menjadi matang dan berguna bilamana perlu pula memberi perhatian kepada mak yang diserang stroke dan mertua yang semakin uzur. Keras hati bapa mertuaku persis ibu_suri juga. Apa yang dia inginkan mesti ditunaikan..... segera.

Kini menjadi rutin setiap Jumaat untuk bawa abah solat Jumaat. Bagi aku, apa guna ada kereta yang baik kalau tidak digunakan untuk hal kebaikan seperti ini. Aku cuba jujurkan hati ini untuk mahu berbakti kepada abah yang dulu membesarkan ibu_suri... anaknya yang kini menjadi isteriku; ibu kepada anak-anakku dan opah kepada cucuku. Peluang terbaik ini mesti aku rebut sementara mereka semua masih hidup. Biarlah apa ipar duai bercakap, aku harap Allah hadiahkan aku rasa damai dek keihlasan aku ini - bak kata Ebiet G Ade di sini.

Rasa puas bila semalam aku dapat membawanya pergi gunting rambut di salun kegemarannya di Jalan Datuk Keramat serta kemudiannya membawanya beli barang-barang keperluan dapur di Hujung Pasir.

Damai dan bahagia ini aku seorang sahaja yang rasai namun tidak dapat aku nak gambarkan kepada sesiapa hatta ibu_suri dengan perkataan. Sabar sahaja melayan kerenahnya dan mendengar celotehnya yang sama macam yang sebelum ini juga.

Juga, Damai dan bahagia ini sebenarnya telah dapat menawarkan sedikit resah dan jemuku menjaga ibu_suri sekian lama...


Jumaat, 17 April 2015

Entahlah

Tak tahu nak tulis apa. Hari-hari yang berjalan terasa hambar sahaja. Menjaga kerenah ibu_suri yang seakan mengongkong kebebasan aku hampir 24 jam akhir-akhir ini kekadang terasa seperti orang bodoh. Sesekali suaranya meninggi bila aku lambat sedikit menunaikan apa yang dia suruh membuat aku teringat pesan doktor. Emosinya boleh menjadi tidak stabil seperti mula dulu jika tidak dijaga dengan baik.

Semalam ada usrah gabungan di Pejabat IKRAM. Mulanya aku memberi komitmen kepada naqib untuk pergi tapi bila masa untuk pergi ibu_suri minta di tinggalkan di rumah Angah dan tak mahu ikut aku seperti selalunya. Aku cuba elak dari selalu meninggalkan ibu_suri di rumah Angah kerana mahu menjaga keharmonian hubungan dengan menantu. Maklumlah... kalau dah selalu pergi tentu nanti akan ada saja isu yang kurang enak tercetus. Akhirnya aku 'ponteng' usrah.

Tengahari semalam, semasa singgah di kedai makan Jalan Permatang Janggus, aku terjumpa Ahmad Baharudin. Dia berniaga bihum sup di pasar malam atas nama Habuna Trading. Dia memberitahu aku bahawa pihak masjid sedang mencari seorang sukarelawan untuk mengemaskini papan kenyataan masjid. Juga aku diminta untuk menolong j/kuasa PRK yang sudah mula membina bilik gerakan untuk membuat pemerosesan senarai pengundi di kawasan ini untuk culaan.

Kalau setakat kerja-kerja dokumentasi boleh la, Mad.... ujarku. Namun sebenarnya dalam hati agak bimbang juga takut tak dapat buat kerana emosi ibu-suri ini tak menentu.

Sebenarnya aku suka dengan kerja-kerja kemasyarakatan. Kerja-kerja belakang tabir. Lgipun aku tak reti nak berdiri depan mikrofon atas pentas atau mempengerusikan mesyuarat.

Sedari umur 25an hinggalah bilamana ibu_suri jatuh sakit, aku memang ligat dengan kerja-kerja semacam ini. 

Sebab itulah sekarang agaknya aku terasa sepi dan kosong bila semua itu aku tinggalkan secara drastik dan tumpu perhatian kepada ibu_suri semata.

Entahlah!

Rabu, 15 April 2015

Dunia Ini Bulat

Lama juga aku tak menulis apatah lagi ziarah blog kawan-kawan. Ntah kenapa, ghairah menulis tiba-tiba saja tumpul walaupun banyak peristiwa berlaku dalam hidup.

Aku perasan yang semangat ini semakin surut. Segala perancangan yang aku senaraikan sebaik sahaja menandatangani dokumen MSS dulu hanya hangat di permulaan tetapi bila saja dirempuh dengan pelbagai masaalah lain yang terpaksa aku depani sendirian aku menjadi kian tidak bersemangat. Mengeluh dalam diri hingga buatkan aku jadi tak berdaya mendaki.

Aku seperti bimbang pada masa depanku sendiri.

Sesekali bila melihatkan pasangan suami isteri yang tampak bahagia makan di kedai atau berjalan di pasaraya, aku jadi seperti rendah diri. Jadi seperti jauh hati terhadap takdir yang menimpa diri ini. Aku kalau boleh tidak mahu asyik merintih akan tetapi itu semua datang sendiri ke benak ini.

Ntahlah... aku sebenarnya perlu kuat bertahan, bangun dan cergas memikul segala kebejatan ini. Aku tahu tidak ada orang lain yang boleh aku harapkan untuk membangunkan diri sendiri hatta anak-anak sendiripun. Tidak menyalahkan mereka kerana mereka juga terpaksa memikul beban hidup sendiri.

Namun aku percaya... keluh kesah ini hanya sementara. Bak kata Rafizi Ramli sekejap tadi di Majlis Perasmian Gerakerja PRK.... dunia ini bulat. Adakalanya kita di atas. Adakalanya kita di bawah!

Khamis, 9 April 2015

Doa


Semalam hampir sepagian aku di Klinik Kesihatan Kubang Semang, membawa ibu_suri untuk pemeriksaan kesihatan. Tekanan darah dan gula menurun sikit dari sebelum ini. Namun bagi doktor bacaan ini masih membimbangkan dia. Maka... macam biasa... doktor Cina yang masih muda itu... 'berleter'...

Yang aku nak habaq mai ni bukanlah sangat pasal rutin ibu_suri buat medical checkup tetapi ialah melihat ragam orang tua yang lebih kurang era aku ini. Ada yang datang berkerusi roda, ada yang bertongkat, ada yang berjalan mengheret kaki.

Ada yang tak faham-fahaam cakap jururawat, ada yang membebel tentang sakitnya, ada yang monyok dan ada yang terlebih ramah.

Aku meluahkan rasa kagum aku dengan beberapa orang Cina tua (majoriti yang datang ialah Melayu) yang membuat rawatan tapi gaya berjalannya memberitahu bahawa dia cergas. Berbeza dengan orang tua Melayu yang seperti aku tulis di atas.... bertongkat dan berpapah.

Ini semua seolah-olah memberi satu kesedaran yang otomatik bahawa sementara aku masih boleh berjalan dan berselera makan, sihat ini perlu dijaga. Jangan menjadi hingga seperti mereka yang lelah, yang payah dan yang susah untuk bergerak.

Biarlah aku menjadi orang yang menjaga orang sakit bukan sebaliknya menjadi pesakit yang orang lain pula terpaksa menjaga aku.

Sebabnya... aku rasa aku mampu dan layak menjaga orang yang sakit sekalipun kronik sedangkan aku tidak yakin yang orang lain boleh menjaga aku sekiranya aku pula yang sakit.

Aku selalu beritahu pada ibu_suri bahawa.... dia patut bersyukur pada Tuhan yang walaupun dia sakit tapi dia masih ada aku yang tetap sabar walaupun sesekali marah dan bosan menjaganya.

Bayangkanlah jika aku ini ditakdirkan tiada lagi...

Justeru itu aku selalu berdoa supaya kalaulah ditakdirkan untuk mati, biarlah ibu_suri yang mati dahulu. Tak patut ke doa aku ini?

Rabu, 8 April 2015

Orang Ketiga


Ayu mengambil keputusan nekad untuk berhenti kerja. Kamdar yang terletak di tengah pekan Bukit Mertajam adalah tempat dia mencari rezeki sejak lepas sekolah lagi. Tapi dek tekanan kerja yang semakin tidak tertanggung ditambah dengan letih mengurus anak-anak, dia nekad untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Hendaknya pula, sekarang ini dia mula berjinak dengan niaga atas talian. Niaga utamanya selain alat kosmetik ialah tudung jenama Aidijuma. Entahlah, aku bukan reti sangat pasal tudung berfesyen dan berjenama ni sebab dari dulu ibu_suri mengenakan tudung yang dibeli dari kedai kain Longwan atau dia jahit sendiri sahaja.

Walaupun dari sudut pandangan aku, merujuk kepada penggajian Angah yang tak seberapa sebagai pemandu lori simen, agak gayat juga untuk mereka mengharungi kehidupan yang tinggi kosnya sekarang ini.

Angah pernah bagitau bahawa belanja sebulan untuk susu dan lampin anaknya sahaja mencecah RM500. Dicampur dengan bayaran bulan rumah, kereta serta makan minum.....?

Tapi sebagai seorang ayah, aku selalu bertindak sebagai penyejuk suasana. Aku beritahu dia bahawa rezeki anak-anak tetap ada. Aku dulupun, bila ibu_suri mengandungkan Angah, alahan yang dialami terlalu teruk. Yang akhirnya aku menyuruh ibu_suri berhenti kerja sahaja walaupun aku sendiri tidak berapa yakin.

Ibu_suri kurang setuju dengan keputusan Ayu itu tapi aku meredakannya dengan mengatakan bahawa mereka lebih tahu akan apa yang mereka perbuat. Biarlah mereka urus kehidupan mereka dengan cara mereka sendiri. Kita jangan masuk campur kerana campur tangan pihak ketiga dalam rumahtangga anak boleh menghancurkan mereka.

Sebenarnya itulah juga pendirian mak terhadap kehidupan baru anak-anaknya termasuklah aku. Mak dan abah tidak pernah masuk campur!

Sabtu, 4 April 2015

Hari Ini

Along balik dari KL. Malam ni insyaAllah, kami akan buat makan-makan sekeluarga. Mungkin di De Pauh Garden, Permatang Pauh.

Perasaan aku 2~3 hari ini sedikit sebu dan tawar. Terasa jemu dan hambar melalui hari-hari yang pantas berlalu. Hati kecil kerap merintih.... bilalah aku dapat merasai ketenangan dan keceriaan sepertimana teman-teman yang aku lihat di facebook?

Keadaan rumah yang berselerak juga menumpulkan citarasa. Seperti mahu saja aku berpindah jauh membina hidup yang baru.

"Sepatutnya anak-anaklah yang belanja kita rai ulangtahun pekahwinan kita ni... bukan gitu ke?" getusku memecah hening berkereta kepada ibu_suri yang sepanjang jalan ke Penang Sentral asyik senyum senyum saja.

Aku teringat sikap aku dahulu kepada mak dan abah. Agaknya Allah pulangkan paku buah kerasnya kepada aku hari ini!

Jumaat, 3 April 2015

Mertua


Hari ini aku akan ke Taman Buah Pala, Bukit Gelugor untuk ziarah mertua. Ini rutin mingguan. Kekadang bila tak dapat datang, bertalu-talu soalannya bertaanya - kenapa.

Selalunya aku pergi pada hujung minggu namun mulai minggu ini nampaknya aku kena pergi pada setiap hari Jumaat. Beliau dah tak boleh berjalan jauh kerana sakit lutut yang agak kronik. Di rumah pun dia bergerak dengan bantuan kerusi plastik. Di tolaknya ke hadapan persis anak-anak kecil yang suka bermain dengan kerusi.

Kenapa hari Jumaat ialah untuk membawanya ke masjid. Beliau memang punyai sikap keras hati sejak dulu lagi. Kalau tak ada sesiap membawanya dengan kereta, dia akan menaiki motor. Udah beberapa kali dia terjatuh motor. Umurnya yang melebihi 80 tahun itu tak sepatutnya terjatuh apatah lagi dilanggar.

Beliau adalah bekas polis di zaman oang putih dulu. Tak ingat pulak samada Home Guard atau SC atau ntah apa-apalah. Tapi dia pula dapat pencen seperti mana polis sekarang. Itulah yang dia rungutkan selalu.

Setelah pencen dia buka syarikat memunggah barang dari kapal ke lori pengangkutan bersama 2 lagi kawannya - Melayu dan India. Rezeki dari situlah dia biaya hidup keluarga dan 8 anak termasuk ibu_suri.

Kata orang, menjaga mertua sama pentingnya sebagaimana menjaga orang tua sendiri. Malah melihat wajah mak mertua juga sama pahalanya seperti merenung wajah mak sendiri. Oleh kerana aku hanya dapatsebulan sekali menziarahi mak di kampung, biarlah aku ziarahi mertua aku seminggu sekali di sini. Dengan niat ikhlas muga-muga ini semua Allah berkati!

Khamis, 2 April 2015

Temujanji

Aku bawa ibu_suri ke Hospital Besar Pulau Pinang pagi ini. Temujanji walaupun 6 bulan sekali terasa amat cepat pusingannya.

Benarlah kata pakar psikiatrik satu ketika dulu yang memberi semacam amaran kepada ibu_suri;

"Saya tak mahu lihat kamu datang ke sini satu hari nanti berkerusi roda...." 

Hari ini kata-katanya itu menjadi kenyataan. Untuk bejalan dan memanjat tangga ke tingkat 2 wad 102 itu semakin bermasaalah kepada lutut ibu_suri yang akhirnya terpaksa menerima hakikat berkerusi roda. Memang penat bagi orang tua seperti aku untuk menolak kerusi roda yang isinya seberatnya 130kg.

"Abang, tak ada ke kerusi roda besaq sikit ka..." seru ibu_suri bila letakan punggungnya terasa sempit.

Bila giliran namanya dipanggil, aku suruh ibu_suri bangun berjalan sahaja ke meja pakar sebab aku tahu ruang bilik yang menempatkan 4 meja pakar psikiatrik sekaligus itu kecil. Tekedek-kedek dia berjalan membawa badannya yang sarat.

Tidak banyak benda baru yang diperbincangkan oleh pakar itu. Sebenarnya beliau hanya mahu melihat kondisi terkini ibu_suri sahaja.

Sambil aku menemani ibu_suri aku terdengar kisah pakar dan pesakit di sebelah pula.

"Awak ada dengar suara-suara lagi tak di telinga?" Pesakit itu geleng kepala.

"Awak ada pergi buat fisio?" ... angguk.

"Awak baru 7 bulan ambil ubat. Awak jadi begini sebab terlalu banyak ambil syabu. Sistem saraf otak awak teganggu. Jangan lupa makan ubat dan pergi fisio ya. Kalau otak awak terus menerus mengatakan kaki awak sakit, selamanya awak akan memakai tongkat seperti ini..."

Aku serta merta teringat Akhmal. Oh.. Tuhan...

Sepanjang perjalanan balik aku berdoa. Cukuplah ibu_suri seperti ini. Jangan ditambah lagi dengan Akhmal. Menjaga insan yang mempunyai emosi tidak stabil ini memerlukan terlalu banyak kesabaran dan kekuatan jiwa. 

Aku juga bertekad untuk terus menjaga kesihatan diriku sendiri. Aku bimbang... jika sekiranya aku 'tiada'... siapalah yang akan mampu menjaga mereka berdua!