Khamis, 2 April 2015

Temujanji

Aku bawa ibu_suri ke Hospital Besar Pulau Pinang pagi ini. Temujanji walaupun 6 bulan sekali terasa amat cepat pusingannya.

Benarlah kata pakar psikiatrik satu ketika dulu yang memberi semacam amaran kepada ibu_suri;

"Saya tak mahu lihat kamu datang ke sini satu hari nanti berkerusi roda...." 

Hari ini kata-katanya itu menjadi kenyataan. Untuk bejalan dan memanjat tangga ke tingkat 2 wad 102 itu semakin bermasaalah kepada lutut ibu_suri yang akhirnya terpaksa menerima hakikat berkerusi roda. Memang penat bagi orang tua seperti aku untuk menolak kerusi roda yang isinya seberatnya 130kg.

"Abang, tak ada ke kerusi roda besaq sikit ka..." seru ibu_suri bila letakan punggungnya terasa sempit.

Bila giliran namanya dipanggil, aku suruh ibu_suri bangun berjalan sahaja ke meja pakar sebab aku tahu ruang bilik yang menempatkan 4 meja pakar psikiatrik sekaligus itu kecil. Tekedek-kedek dia berjalan membawa badannya yang sarat.

Tidak banyak benda baru yang diperbincangkan oleh pakar itu. Sebenarnya beliau hanya mahu melihat kondisi terkini ibu_suri sahaja.

Sambil aku menemani ibu_suri aku terdengar kisah pakar dan pesakit di sebelah pula.

"Awak ada dengar suara-suara lagi tak di telinga?" Pesakit itu geleng kepala.

"Awak ada pergi buat fisio?" ... angguk.

"Awak baru 7 bulan ambil ubat. Awak jadi begini sebab terlalu banyak ambil syabu. Sistem saraf otak awak teganggu. Jangan lupa makan ubat dan pergi fisio ya. Kalau otak awak terus menerus mengatakan kaki awak sakit, selamanya awak akan memakai tongkat seperti ini..."

Aku serta merta teringat Akhmal. Oh.. Tuhan...

Sepanjang perjalanan balik aku berdoa. Cukuplah ibu_suri seperti ini. Jangan ditambah lagi dengan Akhmal. Menjaga insan yang mempunyai emosi tidak stabil ini memerlukan terlalu banyak kesabaran dan kekuatan jiwa. 

Aku juga bertekad untuk terus menjaga kesihatan diriku sendiri. Aku bimbang... jika sekiranya aku 'tiada'... siapalah yang akan mampu menjaga mereka berdua!

5 ulasan:

ANIM berkata...

Moga Allah berikan IM kekuatan untuk bersabar. Moga Allah berikan kesihatan yang baik buat IM . Semoga IM terus tabah dan ada sinar baru buat Akmal dan ibu_suri,in sha Allah.

mokja berkata...

tabahkan hati IM.Semoga diberi Allah kesihatan yg baik utk menjalankan amanah yg diberi.

JR berkata...

Saya tak ingin terlalu berpikir tentang "jika aku tiada.."ia hanya menimbulkan rasa sedih bila kita tahu masih banyak urusan yang belum selesai. Semoga Allah mengasihani kita dan mereka yang kita kasihani...

iryantyismail berkata...

semoga ibu suri kuat semangat menentang sakitnya....jga ibu suri baik2 ye im...

Tanpa Nama berkata...

inShaaAllah IM sehat dan sentiasa boleh jaga ibu Suri dan Akhmal tidak diuji dengan berat. amin.